Malay 1st John /1 Kami menulis kepada kamu tentang Firman yang memberi kehidupan, Firman yang telah berwujud semenjak permulaan sekali; Kami telah mendengarnya, dan kami telah melihatnya dengan mata kami sendiri; Sesungguhnya kami telah melihatnya, dan tangan kami telah menjamahnya. Bila sumber kehidupan ini menjadi nyata, kami nampak dia; itulah sebabnya kami menyaksikan kepada kamu tentang kehidupan kekal, yang ada bersama Bapa, dan yang telah dinyatakan kepada kami. Setelah kami nampak dan dengar, kami beritahu pula kepada kamu supaya kamu boleh ikut bersama kami bersekutu dengan Bapa itu dan dengan Anaknya Yesus Kristus. Kami menulis ini supaya kesukaan kami menjadi lengkap. Inilah perkhabaran yang telah kami dengar dari Anaknya lalu mengisvubarkannya kepada kamu: bahawa Allah itu cahaya, dan padanya tidak ada kegelapan sama sekali. Sebab itu, jika kita berkata kita bersekutu dengan dia, padahal kita hidup di tengah kegelapan, kita berdusta dengan perkataan kita dan perbuatan kita. Tetapi jika kita hidup di bawah cahaya, sebagaimana dia itu cahaya, baharulah kita bersekutu satu sama lain, dan darah Yesus Kristus, Anaknya, membersihkan kita dari segala dosa. Jika kita berkata kita tidak mempunyai dosa, kita menipu diri kita sendiri, dan pada kita tidaklah ada kebenaran. Tetapi jika kita mengaku dosa-dosa kita kepada Allah, dia akan memenuhkan janjinya dan melakukan apa yang benar; Dia akan mengampuni dosa-dosa kita dan membersihkan kita dari segala kesalahan. Tetapi jika kita berkata kita tidak pernah berdosa, kita menjadikan Allah pendusta, dan firmannya tidaklah ada pada kita. /2 Aku menulis ini kepada kamu, hai anak-anakku, supaya kamu jangan berdosa; Tetapi jika ada yang berdosa, ada pada kita Yesus Kristus yang benar itu; Dialah yang pohonkan bagi kita ke hadapan Bapa. Kristus sendiri adalah jalan yang dengannya dosa-dosa kita diampunkan; Dan bukan dosa-dosa kita sahaja, tetapi juga dosa-dosa sekalian manusia. Jika kita taat kepada perintah-perintah Allah, baharulah kita pasti bahawa kita kenal dia. Jika seorang berkata, Aku kenal dia, tetapi tidak taat kepada perintah-perintahnya, orang semacam itu pendusta; Padanya tidak ada kebenaran. Tetapi barangsiapa taat kepada firmannya, dialah orang yang kasihnya terhadap Allah telah benar-benar disempurnakan; Dengan jalan inilah dapat kita pastikan bahawa kita hidup bersekutu dengan Allah. iaitu barangsiapa berkata dia hidup bersekutu dengan Allah, haruslah orang itu hidup sebagaimana Kristus hidup. Hai sahabat-sahabatku yang kekasih, perintah yang aku tulis kepada kamu ini bukanlah perintah baharu; Ianya perintah lama, yang kamu telah mempunyai semenjak permulaan sekali; Perintah lama ini ialah perkhabaran yang kamu telah dengar semenjak permulaan sekali. Walaupun demikian, perintah yang aku tulis kepada kamu ini ialah perintah baharu, dan hakikatnya ternyata pada diri Kristus, dan juga pada diri kamu; Sebab kegelapan sedang berlalu, dan cahaya yang benar telah pun bersinar. Barangsiapa berkata dia berada di bawah cahaya tetapi membenci saudaranya, dia masih berada di tengah kegelapan hingga saat ini. Barangsiapa mengasihi saudaranya, dia tinggal terus di bawah cahaya; Sebab itu tidak ada apa pun pada dirinya yang akan menyebabkan orang lain berdosa. Tetapi barangsiapa membenci saudaranya, dia berada di tengah kegelapan; Dia berjalan di tengah kegelapan, dan tidak tahu ke mana dia pergi sebab kegelapan itu telah membutakan dia. Aku menulis kepada kamu, hai anak-anakku, sebab dosa-dosa kamu telah diampuni atas nama Kristus. Aku menulis kepada kamu, hai bapa-bapa, sebab kamu kenal dia yang telah berwujud semenjak permulaan; Aku menulis kepada kamu, hai orang-orang muda, sebab kamu telah mengalahkan Iblis. Aku menulis kepada kamu, hai anak-anak, sebab kamu kenal Bapa itu; Aku menulis kepada kamu, hai bapa-bapa, sebab kamu kenal dia yang telah berwujud semenjak permulaan; Aku menulis kepada kamu, hai orang-orang muda, sebab kamu kuat; Firman Allah hidup di dalam diri kamu, dan kamu telah mengalahkan Iblis. Janganlah mengasihi nafsu dunia ini, ataupun apa sahaja yang menjadi milik dunia ini; Jika kamu mengasihi dunia ini, kamu tidak mempunyai pada diri kamu kasih untuk Bapa. Segala sesuatu yang menjadi milik dunia ini; yang diinginkan oleh nafsu diri yang berdosa, yang dilihat dan dikehendaki orang, segala sesuatu di dalam dunia ini yang dibangga-banggakan manusia; tidak satu pun berasal dari Bapa; Segala-galanya berasal dari dunia. Dunia dan segala yang ada di dalamnya yang diinginkan oleh manusia itu tidak kekal; Tetapi orang yang melakukan kehendak Allah, akan hidup selama-lamanya. Hai anak-anakku, akhir zaman telah dekat! Kamu telah diberitahu bahawa Musuh Kristus akan datang; Sekarang ramai musuh Kristus telah kelihatan, sebab itu kita tahu bahawa akhir zaman telah dekat. Orang-orang itu sebenarnya tidak termasuk golongan kita, itulah sebabnya mereka meninggalkan kita; Jika mereka termasuk golongan kita, tentu mereka tetap bersama kita; Tetapi mereka pergi, supaya nyata bahawa tidak seorang pun di antara mereka yang benar-benar termasuk golongan kita. Tetapi Kristus telah mencurahkan Roh Allah ke atas kamu, sebab itu kamu semua kenal kebenaran. Aku menulis kepada kamu, bukannya sebab kamu tidak mengenal kebenaran; sebaliknya, sebab kamu kenal, dan juga tahu bahawa tidak pernah dusta datang daripada kebenaran. Jika demikian siapakah yang berdusta? Dialah orang yang berkata bahawa Yesus bukannya Juruselamat yang dijanjikan itu; Dia inilah Musuh Kristus; Dia menolak baik Bapa mahupun Anak itu. Sebab barangsiapa menolak Anak itu, dia menolak Bapa itu juga, dan barangsiapa mengaku Anak itu, dia menyambut Bapa itu juga. Sebab itu, tentukanlah bahawa kamu menyimpan perkhabaran yang kamu dengar semenjak permulaan itu di dalam hati kamu; Jika kamu berpegang kepada apa yang kamu dengar semenjak permulaan, baharulah kamu akan sentiasa hidup bersatu dengan Anak itu dan Bapa. Dan inilah yang Kristus sendiri berjanji hendak memberikan kepada kita iaitu kehidupan yang kekal. Aku menulis surat ini kepada kamu tentang mereka yang cuba menipu kamu. Tetapi bagi kamu, Kristus telah mencurahkan Rohnya ke atas kamu; Selama Rohnya ada pada kamu, kamu tidak memerlukan sesiapa pun untuk mengajar kamu; Sebab Rohnya mengajar kamu tentang segala sesuatu, dan apa yang diajarnya itu benar, bukan palsu; Sebab itu, taatlah kepada ajaran Rohnya, dan tetaplah bersatu dengan Kristus. Sesungguhnya, hai anak-anakku, tetaplah bersatu dengan Kristus, supaya kita penuh dengan keberanian bila dia tampak, dan tidak perlu bersembunyi daripadanya kerana malu pada Hari kedatangannya. Kamu tahu Kristus itu benar; Sebab itu kamu harus tahu tiap-tiap orang yang melakukan apa yang benar ialah anak Allah. /3 Lihatlah betapa Allah mengasihi kita! Kasihnya sedemikian besar, sehingga kita disebut anak-anak Allah; dan sebenarnya memang demikianlah kita; Itulah sebabnya dunia tidak mengenal kita, sebab dunia tidak mengenal Allah. Hai sahabat-sahabatku yang kekasih, kita sekarang ialah anak-anak Allah, tetapi belum jelas lagi apa kejadian kita kelak; Tetapi kita tahu bahawa bila Kristus tampak, kita akan menjadi seperti dia, sebab kita akan melihat dia dalam keadaannya yang sebenarnya. Tiap-tiap orang yang mempunyai harapan ini terhadap Kristus, menjaga supaya dirinya suci, sebagaimana Kristus pun suci. Barangsiapa berdosa, dia melanggar hukum Allah; sebab dosa ialah pelanggaran hukum. Kamu tahu Kristus datang supaya menghapuskan dosa-dosa manusia, dan bahawa pada dirinya tidak ada dosa. Sebab itu, tiap-tiap orang yang hidup bersatu dengan Kristus, tidak terus berdosa; Dan barangsiapa yang terus berdosa, bereti dia belum pernah melihat Kristus, ataupun mengenal dia. Janganlah seorang pun menipu kamu, hai anak-anak! Barangsiapa berbuat benar, dia itu benar, seperti Kristus pun benar. Barangsiapa terus berdosa, dia milik Iblis, sebab Iblis berdosa semenjak permulaan sekali; Justeru untuk inilah Anak Allah tampak, untuk membinasakan pekerjaan Iblis. Barangsiapa menjadi anak Allah, dia tidak terus berdosa sebab sifat Allah sendiri ada padanya; dan sebab Allah itu Bapanya, dia tidak dapat terus berdosa. Inilah perbezaannya di antara anak-anak Allah dengan anak-anak Iblis: siapa sahaja yang tidak melakukan yang benar, atau tidak mengasihi saudaranya, bukanlah anak Allah. Perkhabaran yang kamu dengar dari permulaan sekali ialah: hendaklah kita mengasihi satu sama lain. Janganlah kita berlaku seperti Kain; Dia itu termasuk golongan Iblis; Dia membunuh adiknya sendiri; Mengapakah Kain membunuh adiknya? Sebab perbuatan yang dilakukannya salah, tetapi perbuatan yang dilakukan saudaranya benar. Sebab itu, hai saudara-saudara, janganlah hairan jika orang dunia ini membenci kamu. Kita tahu bahawa kita telah meninggalkan maut dan bahawa kita sekarang hidup; Kita tahu ini sebab kita mengasihi saudara-saudara kita; Barangsiapa tidak mengasihi, dia itu masih di bawah kuasa maut. Barangsiapa membenci saudaranya ialah pembunuh, dan kamu tahu seorang pembunuh tidak mempunyai kehidupan yang kekal pada dirinya. Apakah kasih itu? Jalan kita mengetahuinya ialah begini: Kristus telah memberikan nyawanya untuk kita; Kita juga harus memberikan nyawa kita untuk saudara-saudara kita. Jika seorang kaya melihat saudaranya yang miskin memerlukan pertolongan, lalu mengeraskan hatinya terhadap saudaranya, bagaimanakah dapat dia mengaku dia mengasihi Allah di dalam hatinya. Hai anak-anakku! Janganlah mengasihi dengan perkataan dan cakapan sahaja; Kasih kita hendaklah sejati, dibuktikan dengan perbuatan. Sebab itu, inilah jalan kita mengetahui bahawa kita termasuk pihak kebenaran; Inilah caranya hati kita yakin di hadapan Allah. Jika hati kita menyalahkan kita, kita tahu bahawa Allah lebih besar dari hati kita, dan bahawa dia tahu segala-galanya. Demikianlah, hai sahabat-sahabatku yang kekasih, jika hati kita tidak menyalahkan kita, kita berani di hadapan Allah. Kita menerima daripadanya apa yang kita minta, sebab kita taat kepada perintah-perintahnya dan kita melakukan apa yang berkenan kepadanya. Inilah perintahnya: iaitu kita percaya kepada Anaknya Yesus Kristus, serta mengasihi satu sama lain sebagaimana Kristus memerintahkan kita. Barangsiapa taat kepada perintah-perintah Allah, orang itu hidup bersatu dengan allah, dan Allah hidup bersatu dengan dia; Dan inilah caranya kita tahu bahawa Allah hidup bersatu dengan kita: kita tahu daripada Roh yang telah Allah berikan kepada kita. /4 Hai sahabat-sahabatku yang kekasih! Janganlah percaya kepada semua orang yang mengaku mereka mempunyai Roh Allah, tetapi ujilah mereka, dan cari tahu samada Roh yang ada pada mereka itu berasal dari Allah; Sebab ramai nabi palsu telah keluar ke manamana. Inilah jalannya bagaimana kamu boleh mengetahui samada roh itu Roh Allah: barangsiapa mengisytiharkan bahawa Yesus Kristus telah sungguh-sungguh menjelma menjadi seorang manusia, orang itu mempunyai Roh yang datang dari Allah. Tetapi barangsiapa tidak mengisytiharkan bahawa Yesus Kristus telah sungguh-sungguh menjelma menjadi seorang manusia, orang itu tidak mempunyai Roh dari Allah; Roh yang dipunyainya itu dari Musuh Kristus; Kamu dengar bahawa dia akan datang, sekarang dia telah berada di dunia ini. Tetapi kamu ini, hai anak-anakku, kamu berpihak Allah; Kamu telah mengalahkan nabi-nabi palsu itu, sebab Roh yang ada pada diri kamu lebih berkuasa daripada roh yang ada pada orang-orang yang berpihak dunia ini. Orang-orang pihak dunia ini berucap tentang perkara-perkara dunia ini, dan dunia ini dengar perkataan mereka sebab mereka terhisab kepada dunia ini. Tetapi kita berpihak Allah! Dan barangsiapa mengenal Allah dengar perkataan kita; Barangsiapa tidak berpihak Allah, tidak mahu mendengar perkataan kita; Sebab itu, inilah jalannya kita dapai membezakan di antara Roh kebenaran dengan roh yang menyesatkan. Hai sahabat-sahabat, marilah kita mengasihi satu sama lain, sebab kasih itu datangnya dari Allah; Barangsiapa mengasihi, dia itu anak Allah dan mengenal Allah. Barangsiapa tidak mengasihi, tidak pula mengenal Allah, sebab Allah itu kasih. Inilah cara Allah menunjukkan kasihnya untuk kita: dia menyuruh Anaknya yang tunggal ke dalam dunia supaya dengan perantaraannya kita boleh hidup. Inilah kasih! Bukannya sebab kita telah mengasihi Allah, tetapi sebab dia mengasihi kita serta menyuruh Anaknya untuk menjadi jalan yang dengannya dosa-dosa kita diampunkan. Hai sahabat-sahabat, jika demikian Allah mengasihi kita, kita pun harus mengasihi satu sama lain. Tidak ada seorang pun yang telah melihat Allah; Jika kita mengasihi satu sama lain, Allah hidup bersatu dengan kita, dan kasihnya disempurnakan dalam diri kita. Caranya kita pasti bahawa kita hidup bersatu dengan Allah dan Allah hidup bersatu dengan kita, iaitu dia telah memberikan kita Rohnya. Kita telah melihat dan memberitahu orang-orang lain bahawa Bapa itu menyuruh Anaknya untuk menjadi Juruselamat dunia ini. Barangsiapa mengaku Yesus itu Anak Allah, Allah hidup bersatu dengan orang itu, dan dia pun hidup bersatu dengan Allah. Kita sendiri tahu dan percaya akan kasih itu, yang telah Allah berikan kepada kita; Allah itu kasih; Barangsiapa hidup serta mengasihi, orang itu hidup bersatu dengan Allah, dan Allah hidup bersatu dengan dia. Tujuan daripada kasih disempurnakan dalam diri kita ialah supaya kita beroleh keberanian pada Hari Pengadilan kelak; dan kita tentu berolehnya sebab kehidupan kita dalam dunia sama dengan kehidupan Kristus. Pada kasih tidak ada ketakutan; Kasih yang sempurna melenyapkan segala ketakutan; Sebab itu, pada orang yang takut, kasih belum lagi disempurnakan, sebab ketakutan ada hubungannya dengan hukuman. Kita mengasihi dia sebab Allah telah terlebih dahulu mengasihi kita. Jika seorang berkata, Aku mengasihi Allah, tetapi dia membenci saudaranya, dia itu pendusta; Sebab tidak mungkin seorang mengasihi Allah yang tidak pernah dilihatnya, jika dia tidak mengasihi saudaranya yang telah pun dilihatnya. Sebab itu, inilah perintah yang diberi Kristus kepada kita, iaitu: orang yang mengasihi Allah mesti mengasihi saudaranya juga. /5 Barangsiapa percaya bahawa Yesus ialah Kristus yang dijanjikan Allah, orang itulah anak Allah; dan barangsiapa mengasihi seorang bapa, mengasihi anaknya juga. Itulah sebabnya kita tahu bahawa kita mengasihi anak-anak Allah, sebab kita mengasihi Allah dan taat kepada perintah-perintahnya. Kasih kita terhadap Allah membuktikan bahawa kita taat kepada perintah-perintahnya; Dan perintah-perintahnya tidak terlalu susah untuk kita. Sebab tiap-tiap anak Allah dapat mengalahkan dunia; Dengan jalan inilah kita mengalahkan dunia: iaitu dengan iman kita. Siapakah dapat mengalahkan dunia? Hanya orang yang percaya bahawa Yesus Anak Allah. Yesus Kristuslah dia yang telah datang; dia datang dengan air baptisannya dan dengan darah kematiannya; Dia datang bukan sahaja dengan air, tetapi dengan air dan darah; Dan Roh Allah sendiri menyaksikan bahawa ini benar, sebab Roh itu ialah kebenaran. Sebab ada tiga saksi, di dalam sorga: Bapa, Firman dan Roh Kudus; dan ketiganya adalah satu. Dan ada tiga saksi, di bumi: Roh Allah, air, dan darah; dan ketiga-tiganya ini bersetuju. Kita percaya kepada kesaksian manusia; kesaksian Allah lebih kuat lagi; Dan inilah kesaksian yang telah diberi Allah tentang Anaknya. Sebab itu, barangsiapa percaya kepada Anak Allah orang itu mempunyai kesaksian ini di dalam hatinya; tetapi barangsiapa tidak percaya kepada Allah, orang itu menjadikan Allah pendusta, sebab dia tidak percaya apa yang telah Allah saksikan tentang Anaknya. Inilah kesaksian itu: Allah telah memberikan kita kehidupan kekal, dan kehidupan ini datang kepada kita melalui Anaknya. Barangsiapa mempunyai Anak itu, mempunyai kehidupan ini; dan barangsiapa tidak mempunyai Anak Allah, tidak mempunyai kehidupan. Aku menulis ini kepada kamu supaya kamu tahu kamu mempunyai kehidupan kekal, iaitu kamu yang percaya kepada Anak Allah. Kita berani di hadapan Allah sebab kita pasti dia mendengarkan kita apabila kita memohon kepadanya untuk apa sahaja asalkan menurut kehendaknya. Dia mendengarkan kita manakala kita bermohon kepadanya; Oleh sebab kita tahu bahawa ini benar, kita tahu juga bahawa dia memberikan kita apa yang kita minta daripadanya. Jika seorang nampak saudaranya melakukan dosa yang tidak membawa maut, hendaklah dia berdoa kepada Allah supaya memberikan orang itu kehidupan; Ini berkenaan dengan mereka yang dosanya tidak membawa maut; Tetapi ada dosa yang membawa maut, dan aku tidak berkata bahawa kamu harus berdoa kepada Allah mengenai dosa itu. Segala perbuatan salah ialah dosa, tetapi ada dosa yang tidak membawa maut. Kita tahu bahawa anak-anak Allah tidak ada yang terus-menerus berdosa, sebab Anak Allah itu memeliharakan dia dengan selamat, dan Iblis tidak dapat menyakiti dia. Kita tahu kita ini berpihak Allah, meskipun seluruh dunia ini di bawah perintah Iblis. Kita tahu bahawa Anak Allah telah datang dan telah memberikan kita pengertian, supaya kita kenal Allah yang Maha Benar; Kehidupan kita ini bersatu dengan Allah yang Maha Benar itu dengan perantaraan Anaknya Yesus Kristus; Inilah Allah yang Maha Benar, dan Yesus Kristuslah kehidupan kekal bagi manusia. Hai anak-anakku, jauhkanlah diri kamu daripada berhala palsu! Amin.