The New Testament of our Lord and Saviour Jesus Christ

Matius 1

1 Inilah senarai nenek moyang Yesus Kristus, keturunan Daud, keturunan Abraham. 2 Daripada Abraham hingga Raja Daud, nama-nama nenek moyang Yesus adalah seperti berikut: Abraham, Ishak, Yakub, Yehuda dan saudara-saudaranya, Peres dan Zerah (ibu mereka bernama Tamar), Hezron, Ram, Aminadab, Nahason, Salmon, Boas (ibunya Rahab), Obed (ibunya Rut), Isai, dan Raja Daud. 6 Daripada Daud hingga ke masa bangsa Israel dibuang ke Babel, nama nenek moyang yang tercatat adalah seperti berikut: Salomo (ibunya ialah bekas isteri Uria), Rehabeam, Abia, Asa, Yosafat, Yoram, Uzia, Yotam, Ahas, Hizkia, Manasye, Amon, Yosia, Yoyakhin dan saudara-saudaranya. 12 Dari masa pembuangan di Babel sehingga kelahiran Yesus, nama nenek moyang yang tercatat adalah seperti berikut: Yoyakhin, Sealtiel, Zerubabel, Abihud, Elyakim, Azur, Zadok, Akhim, Eliud, Eleazar, Matan, Yakub, Yusuf, suami Maria. Marialah yang melahirkan Yesus, yang disebut Kristus. 17 Demikianlah ada empat belas generasi dari zaman Abraham sehingga zaman Daud, dan ada empat belas generasi dari zaman Daud sehingga masa pembuangan di Babel, dan empat belas generasi dari masa itu sehingga kelahiran Kristus. 18 Inilah kisah kelahiran Yesus Kristus. Ibu-Nya, Maria, bertunang dengan Yusuf. Tetapi sebelum mereka berkahwin, Maria sudah mengandung kerana kuasa Roh Allah. 19 Yusuf seorang yang taat kepada hukum agama, tetapi dia tidak mahu mempermalukan Maria di hadapan umum. Oleh itu Yusuf berniat memutuskan pertunangan itu secara diam-diam. 20 Yusuf mempertimbangkan perkara itu. Kemudian dalam mimpi, malaikat Tuhan menampakkan diri kepadanya. Malaikat itu berkata, "Hai Yusuf, keturunan Daud! Janganlah takut memperisteri Maria. Dia mengandung kerana kuasa Roh Allah. 21 Maria akan melahirkan seorang anak lelaki. Anak itu harus engkau namakan Yesus, kerana Dia akan menyelamatkan umat-Nya daripada dosa mereka.'' 22 Semua itu berlaku supaya terjadilah apa yang difirmankan oleh Tuhan melalui nabi-Nya, 23 "Seorang anak dara akan mengandung, lalu melahirkan seorang anak lelaki. Anak itu akan dinamakan Imanuel.'' (Dalam bahasa Ibrani, Imanuel bererti, "Allah menyertai kita''). 24 Apabila Yusuf terjaga, dia melakukan apa yang dikatakan oleh malaikat Tuhan itu. Dia berkahwin dengan Maria. 25 Tetapi Yusuf tidak berseketiduran dengan Maria sehingga Maria melahirkan anak lelakinya. Yusuf menamakan anak itu Yesus.

Matius 2

1 Yesus lahir di kota Betlehem di negeri Yudea, pada masa pemerintahan Raja Herodes. Kemudian beberapa orang ahli kaji bintang dari timur datang ke Yerusalem. 2 Mereka bertanya, "Di manakah anak yang baru lahir itu, yang akan menjadi raja orang Yahudi? Kami nampak bintang-Nya terbit di sebelah timur, dan kami datang hendak menyembah Dia.'' 3 Apabila mendengar hal itu, Raja Herodes resah gelisah, demikian juga semua penduduk Yerusalem. 4 Raja Herodes mengumpulkan semua ketua imam dan guru Taurat lalu bertanya, "Di manakah Raja yang dijanjikan oleh Allah akan lahir?'' 5 Mereka menjawab, "Di kota Betlehem di negeri Yudea. Seorang nabi sudah menuliskan hal itu, 6 `Hai Betlehem di negeri Yudea, engkau sekali-kali bukanlah yang terkecil antara kota-kota utama di Yudea; Daripadamu akan datang seorang pemimpin yang akan memimpin umat-Ku Israel.' '' 7 Kemudian Raja Herodes mengadakan pertemuan rahsia dengan ahli-ahli kaji bintang itu. Daripada mereka, Raja Herodes mengetahui dengan tepat masa bintang itu mula kelihatan. 8 Lalu Raja Herodes menyuruh ahli-ahli kaji bintang itu pergi ke Betlehem dengan perintah berikut, "Pergilah dan carilah Anak itu dengan saksama. Apabila kamu menjumpai Dia, beritahulah beta, supaya beta juga boleh pergi menyembah Dia.'' 9 Mereka berangkat, lalu di tengah perjalanan mereka nampak bintang yang pernah dilihat oleh mereka di sebelah timur. Alangkah sukacitanya ahli-ahli kaji bintang itu apabila mereka nampak bintang itu. Bintang itu mendahului mereka, lalu berhenti di atas tempat Anak itu. 11 Mereka masuk ke dalam rumah itu dan nampak Anak itu dengan ibu-Nya Maria. Mereka sujud menyembah Anak itu, dan mereka mengeluarkan emas, kemenyan dan mur, lalu mempersembahkan semua hadiah itu kepada-Nya. 12 Kemudian dalam mimpi, ahli-ahli kaji bintang itu diperingatkan oleh Allah supaya jangan kembali kepada Herodes. Oleh itu mereka balik ke negeri asal mereka melalui jalan lain. 13 Setelah mereka berangkat, malaikat Tuhan menampakkan diri kepada Yusuf dalam mimpi dan berkata, "Herodes akan mengeluarkan perintah untuk mencari Anak itu dan membunuh Dia. Bangunlah dan bawalah Anak itu dengan ibu-Nya ke Mesir. Tinggallah di sana sehingga Aku berfirman lagi kepadamu.'' 14 Yusuf bangun, dan pada malam itu juga dia membawa Anak itu dengan ibu-Nya ke Mesir. 15 Mereka tinggal di sana sehingga Raja Herodes mangkat. Dengan demikian berlakulah apa yang difirmankan oleh Tuhan melalui nabi-Nya, "Aku memanggil Anak-Ku keluar dari Mesir.'' 16 Apabila Raja Herodes sedar bahawa ahli-ahli kaji bintang dari timur sudah memperdayakannya, Raja Herodes murka. Lalu Raja Herodes memberikan perintah supaya semua anak lelaki di Betlehem dan sekitarnya, yang berumur dua tahun ke bawah dibunuh. Hal ini sesuai dengan keterangan ahli-ahli kaji bintang tentang masa bintang itu mula kelihatan. 17 Dengan demikian berlakulah apa yang dikatakan oleh Nabi Yeremia, 18 "Di Rama terdengar suara tangisan dan rintihan, ratapan, dan tangisan penderitaan. Rahel meratapi anak-anaknya, dia tidak mahu dihiburkan, kerana anak-anaknya telah tiada.'' 19 Setelah Raja Herodes mangkat, malaikat Tuhan menampakkan diri dalam mimpi Yusuf. Pada masa itu Yusuf masih di Mesir. 20 Malaikat itu berkata, "Bangunlah dan bawalah Anak itu dengan ibu-Nya kembali ke negeri Israel, kerana orang yang cuba membunuh Anak itu sudah meninggal.'' 21 Yusuf pun bangun, lalu membawa anak itu dan Maria kembali ke negeri Israel. 22 Tetapi apabila Yusuf mendengar bahawa Arkelaus, putera Herodes, sudah menggantikan bapanya sebagai raja negeri Yudea, Yusuf takut pergi ke sana. Yusuf menerima arahan selanjutnya dalam mimpi, lalu dia pergi ke wilayah Galilea. 23 Dia tinggal di kota yang bernama Nasaret. Dengan demikian berlakulah apa yang dikatakan oleh nabi-nabi tentang anak itu, "Dia akan disebut Orang Nasaret.''

Matius 3

1 Pada masa itu Yohanes Pembaptis tiba di padang gurun di Yudea dan mula memberitakan hal ini. 2 "Bertaubatlah daripada dosa kamu,'' katanya, "kerana tidak lama lagi Allah akan memerintah!'' 3 Yohaneslah orang yang dimaksudkan oleh Nabi Yesaya ketika dia berkata, "Seorang berseru di padang gurun, `Sediakanlah jalan bagi Tuhan; luruskanlah jalan bagi-Nya.' '' 4 Pakaian Yohanes dibuat daripada bulu unta, dan tali pinggangnya daripada kulit. Makanannya belalang dan madu hutan. 5 Orang dari Yerusalem, seluruh negeri Yudea, dan seluruh kawasan di sekitar Sungai Yordan datang kepada Yohanes. 6 Mereka mengaku dosa, lalu Yohanes membaptis mereka di Sungai Yordan. 7 Banyak orang Farisi dan Saduki datang kepadanya untuk dibaptis. Apabila Yohanes melihat mereka, dia berkata "Hai kamu orang jahat! Siapakah yang memberitahu kamu bahawa kamu dapat melepaskan diri daripada hukuman Allah yang akan datang? 8 Lakukanlah perkara-perkara yang menunjukkan bahawa kamu sudah bertaubat daripada dosa. 9 Jangan sangka kamu dapat melepaskan diri daripada hukuman dengan berkata, `Abraham nenek moyang kami.' Ketahuilah, Allah dapat membuat batu-batu ini menjadi keturunan untuk Abraham! 10 Kapak sudah tersedia untuk menebang pokok hingga ke akarnya. Tiap-tiap pokok yang tidak menghasilkan buah yang baik akan ditebang dan dibuang ke dalam api. 11 Aku membaptis kamu dengan air untuk menyatakan bahawa kamu sudah bertaubat daripada dosa. Tetapi Dia yang datang kemudian daripada aku akan membaptis kamu dengan Roh Allah dan api. Dia lebih besar daripada aku, sehingga menjinjing kasut-Nya pun aku tidak layak. 12 Tangan-Nya memegang nyiru untuk menampi. Dia akan mengumpulkan gandum yang bersih di dalam jelapang, tetapi Dia akan membakar sekam di dalam api yang tidak dapat padam.'' 13 Pada masa itu Yesus meninggalkan Galilea lalu pergi ke Sungai Yordan. Di situ Dia menemui Yohanes dan minta supaya dibaptis olehnya. 14 Tetapi Yohanes cuba menolak permintaan itu. Dia berkata, "Sayalah yang seharusnya dibaptis oleh Tuan. Tetapi Tuan pula yang datang kepada saya!'' 15 Tetapi Yesus menjawab, "Untuk sekarang ini biarlah demikian, kerana dengan jalan ini kita akan melaksanakan segala yang dikehendaki oleh Allah.'' Yohanes pun bersetuju. 16 Setelah Yesus dibaptis, Dia keluar dari air sungai itu. Tiba-tiba langit terbuka dan Yesus nampak Roh Allah turun seperti burung merpati ke atas-Nya. 17 Kemudian terdengar suara Allah berfirman, "Inilah Anak-Ku yang Aku kasihi. Dia menyenangkan hati-Ku.''

Matius 4

1 Kemudian Yesus dipimpin oleh Roh Allah ke padang gurun supaya dicubai oleh Iblis. 2 Setelah berpuasa selama empat puluh hari dan empat puluh malam, Yesus lapar. 3 Lalu Iblis datang dan berkata kepada-Nya, "Jika Engkau Anak Allah, perintahlah batu-batu ini menjadi roti.'' 4 Yesus menjawab, "Di dalam Alkitab tertulis, `Manusia tidak dapat hidup dengan roti sahaja, tetapi juga dengan setiap kata yang difirmankan oleh Allah.' '' 5 Kemudian Iblis membawa Yesus ke Yerusalem, kota suci itu, lalu meletakkan Dia di puncak Rumah Tuhan. 6 Iblis berkata kepada Yesus, "Jika Engkau Anak Allah, terjunlah ke bawah, kerana di dalam Alkitab tertulis, `Allah akan menyuruh malaikat-malaikat-Nya menjaga Engkau; malaikat akan menyambut Engkau dengan tangan, supaya kaki-Mu tidak terhantuk pada batu.' '' 7 Yesus menjawab, "Tetapi di dalam Alkitab tertulis juga, `Janganlah cubai Tuhan Allahmu.' '' 8 Kemudian Iblis membawa Yesus ke gunung yang sangat tinggi, dan menunjukkan semua kerajaan di dunia ini serta segala kekayaannya kepada-Nya. 9 Lalu Iblis berkata kepada Yesus, "Semua ini akan aku berikan kepada-Mu, jika Engkau sujud menyembah aku.'' 10 Yesus menjawab, "Pergilah, hai Iblis! Di dalam Alkitab tertulis, `Sembahlah Tuhan Allahmu dan abdikan diri kepada Dia sahaja!' '' 11 Kemudian Iblis meninggalkan Yesus, dan malaikat-malaikat pun datang menolong Dia. 12 Ketika Yesus mendengar bahawa Yohanes dipenjarakan, Dia pun pergi ke Galilea. 13 Dia tidak menetap di Nasaret, tetapi tinggal di Kapernaum, sebuah kota di tepi Tasik Galilea di kawasan Zebulon dan Naftali. 14 Hal ini berlaku supaya terjadilah apa yang dikatakan oleh Nabi Yesaya, 15 "Tanah Zebulon dan tanah Naftali, yang menghala ke tasik, di seberang Sungai Yordan, Galilea, negeri orang bukan Yahudi! 16 Bangsa yang hidup dalam kegelapan akan nampak cahaya yang gemilang! Bagi mereka yang hidup di negeri yang dibayangi maut, cahaya itu akan bersinar!'' 17 Sejak itu Yesus mula mengisytiharkan perkhabaran-Nya, "Bertaubatlah daripada dosa kamu, kerana tidak lama lagi Allah akan memerintah!'' 18 Sementara Yesus berjalan di tepi Tasik Galilea, Dia nampak dua orang nelayan: Simon (yang juga disebut Petrus) dengan adiknya, Andreas. Mereka sedang menjala ikan di tasik. 19 Yesus berkata kepada mereka, "Ikutlah Aku. Aku akan mengajar kamu menjala orang supaya menjadi pengikut-Ku.'' 20 Dengan segera adik-beradik itu meninggalkan jala mereka lalu mengikut Yesus. 21 Yesus meneruskan perjalanan, lalu nampak dua orang adik-beradik yang lain, iaitu Yakobus dan Yohanes, anak-anak Zebedeus. Mereka di dalam perahu bersama-sama bapa mereka, dan sedang mengemaskan jala. Yesus memanggil mereka. 22 Dengan segera mereka meninggalkan perahu dan bapa mereka, lalu mengikut Yesus. 23 Yesus menjelajah seluruh negeri Galilea. Dia mengajar di rumah ibadat dan mengkhabarkan Berita Baik bahawa tidak lama lagi Allah akan memerintah. Dia menyembuhkan banyak orang sakit yang menderita berbagai-bagai penyakit. 24 Berita tentang Yesus tersebar di seluruh negeri Siria, sehingga mereka yang menderita berbagai-bagai penyakit dan kesusahan dibawa kepada-Nya. Lalu Yesus menyembuhkan semua orang yang dirasuk roh jahat, yang sakit gila babi, dan yang lumpuh. Mereka semua disembuhkan oleh Yesus. 25 Orang yang mengikut Yesus banyak sekali. Mereka dari Galilea, dari Sepuluh Kota, dari Yerusalem, dari Yudea, dan dari negeri di seberang Yordan.

Matius 5

1 Apabila Yesus melihat orang ramai itu, Dia naik ke bukit lalu duduk. Pengikut-pengikut-Nya berkumpul di sekeliling-Nya, 2 lalu Dia mula mengajar mereka: 3 "Berbahagialah orang yang sedar bahawa mereka memerlukan Allah, merekalah yang menikmati Pemerintahan Allah! 4 Berbahagialah orang yang bersedih hati, Allah akan menghiburkan mereka! 5 Berbahagialah orang yang rendah hati, mereka akan menerima apa yang telah dijanjikan oleh Allah! 6 Berbahagialah orang yang betul-betul mahu melakukan kehendak Allah, Allah akan memuaskan mereka! 7 Berbahagialah orang yang mengasihani orang lain, Allah juga akan mengasihani mereka! 8 Berbahagialah orang yang murni hati, mereka akan mengenal Allah! 9 Berbahagialah orang yang membawa kedamaian antara manusia, Allah akan menyebut mereka anak-anak-Nya! 10 Berbahagialah orang yang menderita penganiayaan kerana melakukan kehendak Allah, merekalah yang menikmati Pemerintahan Allah! 11 Berbahagialah kamu apabila orang menghina, menganiaya, dan memfitnah kamu kerana kamu pengikut-Ku. 12 Nabi-nabi zaman dahulu juga dianiaya seperti itu. Bersukacitalah dan bergembiralah, kerana Allah sudah menyediakan pahala yang besar di syurga untuk kamu.'' 13 "Kamu bagaikan garam dunia. Jika garam sudah menjadi tawar, garam itu tidak dapat menjadi masin lagi. Garam seperti itu tidak berguna lagi, selain dibuang dan dipijak-pijak orang. 14 Kamu bagaikan cahaya bagi dunia. Kota yang terletak di atas bukit tidak dapat disembunyikan. 15 Tidak seorang pun memasang pelita lalu menaruhnya di bawah pasu, tetapi dia akan meletakkannya di atas kaki pelita supaya memberikan cahaya kepada setiap orang di dalam rumah. 16 Hendaklah cahaya kamu juga bersinar di hadapan orang, supaya mereka melihat perbuatan kamu yang baik, lalu memuji Bapa kamu yang di syurga.'' 17 "Janganlah menganggap bahawa Aku datang untuk menghapuskan Taurat Musa dan ajaran nabi-nabi. Aku tidak datang untuk menghapuskannya, tetapi Aku datang supaya semua ajaran itu berlaku. 18 Ingatlah! Selama langit dan bumi masih ada, titik atau huruf yang terkecil sekalipun di dalam Taurat, tidak akan dihapuskan jika semuanya belum berlaku. 19 Oleh itu, sesiapa melanggar hukum yang paling tidak penting sekalipun, serta mengajar orang lain berbuat demikian, orang itu akan menjadi yang paling tidak penting antara orang yang menikmati Pemerintahan Allah. Sebaliknya, sesiapa mentaati Taurat dan mengajar orang lain berbuat demikian, orang itu akan menjadi penting antara orang yang menikmati Pemerintahan Allah. 20 Oleh itu ingatlah bahawa kamu dapat menikmati Pemerintahan Allah, hanya jika kamu lebih setia daripada guru Taurat dan orang Farisi dalam usaha kamu melakukan kehendak Allah.'' 21 "Kamu sudah mendengar yang diajarkan kepada nenek moyang kita: `Jangan membunuh; sesiapa yang membunuh orang akan diadili.' 22 Tetapi sekarang Aku berkata kepada kamu: Sesiapa yang marah terhadap saudaranya akan diadili; dan sesiapa yang memaki saudaranya akan dibawa ke hadapan Majlis Agama, dan sesiapa yang memanggil saudaranya `Jahil', patut dibuang ke dalam api neraka. 23 Oleh itu, apabila kamu hendak mempersembahkan pemberian di atas mazbah kepada Allah, lalu teringat bahawa saudaramu sakit hati terhadap kamu, 24 tinggalkanlah pemberianmu di hadapan mazbah. Pergilah berdamai dahulu dengan dia, barulah kembali lalu persembahkan pemberian kamu itu kepada Allah. 25 Jika seseorang hendak mendakwa kamu di mahkamah, berdamailah dengan dia selagi ada masa dan sebelum tiba di mahkamah. Jika tidak, orang itu akan menyerahkan kamu kepada hakim, lalu hakim akan menyerahkan kamu kepada polis, kemudian polis akan memenjarakan kamu. 26 Ketahuilah, kamu akan tinggal di penjara sehingga kamu melunaskan semua dendamu.'' 27 "Kamu sudah mendengar ajaran seperti berikut: `Jangan berzina.' 28 Tetapi sekarang Aku berkata kepada kamu: Sesiapa memandang seorang wanita dengan perasaan berahi, orang itu sudah berzina dengan dia di dalam hati. 29 Jika mata kanan kamu menyebabkan kamu berdosa, cungkillah dan buanglah mata itu! Lebih baik kamu kehilangan salah satu anggota tubuh daripada seluruh tubuh kamu dibuang ke dalam neraka. 30 Jika tangan kanan kamu menyebabkan kamu berdosa, potonglah dan buanglah tangan itu! Lebih baik kamu kehilangan sebelah tangan daripada seluruh tubuh kamu masuk ke dalam neraka.'' 31 "Ada juga ajaran yang mengatakan, `Sesiapa menceraikan isterinya, hendaklah orang itu memberikan surat cerai kepadanya.' 32 Tetapi sekarang Aku berkata kepada kamu: Sesiapa menceraikan isterinya kecuali kerana perzinaan, orang itu membuat isterinya berzina jika wanita ini berkahwin lagi. Orang yang mengahwini wanita yang diceraikan itu, berzina juga.'' 33 "Kamu sudah mendengar bagaimana nenek moyang kita diajar seperti berikut: `Jangan mungkir janji. Lakukanlah apa yang sudah kamu janjikan dengan sumpah di hadapan Tuhan.' 34 Tetapi sekarang Aku berkata kepada kamu: Jangan bersumpah sama sekali. Jangan bersumpah demi langit, kerana langit itu takhta Allah, 35 atau demi bumi, kerana bumi itu alas kaki-Nya; atau demi Yerusalem, kerana kota itu kota Allah, Raja yang besar. 36 Jangan bersumpah bahkan demi kepala kamu, kerana kamu tidak berkuasa membuat sehelai rambut menjadi putih ataupun hitam. 37 Cukuplah kamu berkata `Ya' atau `Tidak'. Kata-kata yang lebih daripada itu datangnya daripada Iblis.'' 38 "Kamu sudah mendengar ajaran seperti berikut: `Mata ganti mata; gigi ganti gigi.' 39 Tetapi sekarang Aku berkata kepada kamu: Jangan balas dendam terhadap orang yang berbuat jahat kepada kamu. Sebaliknya jika seseorang menampar pipi kananmu untuk menghina kamu, biarkanlah dia menampar pipi kirimu juga. 40 Jika seseorang mendakwa kamu di mahkamah untuk menuntut bajumu, berikanlah jubahmu juga. 41 Jika seorang askar penjajah memaksa kamu mengangkat barangnya sejauh satu kilometer, angkatlah barangnya sejauh dua kilometer. 42 Jika seseorang meminta sesuatu daripada kamu, berikanlah apa yang dimintanya. Jika seseorang hendak meminjam sesuatu daripada kamu, pinjamkan apa yang dikehendakinya.'' 43 "Kamu sudah mendengar ajaran seperti berikut: `Kasihilah sahabatmu, dan bencilah musuhmu.' 44 Tetapi sekarang Aku berkata kepada kamu: Kasihilah musuh kamu dan berdoalah bagi orang yang menganiaya kamu. 45 Dengan demikian kamu menjadi anak-anak Bapa kamu yang di syurga, kerana Allah menerbitkan matahari yang dijadikan-Nya untuk orang yang baik dan yang jahat. Dia menurunkan hujan untuk orang yang mentaati Allah dan juga untuk orang yang tidak mentaati-Nya. 46 Patutkah kamu menerima pahala daripada Allah, jika kamu hanya mengasihi orang yang mengasihi kamu? Bukankah para pemungut cukai pun berbuat demikian? 47 Jika kamu hanya beramah-ramahan dengan kawan-kawan kamu, apakah kelebihannya? Orang yang tidak mengenal Allah pun berbuat demikian! 48 Kamu harus mengasihi semua orang, seperti Bapa kamu yang di syurga mengasihi semua orang.''

Matius 6

1 "Ingatlah, janganlah kamu lakukan kewajipan agama di hadapan umum supaya dilihat orang. Jika kamu berbuat demikian, kamu tidak akan menerima pahala daripada Bapa kamu yang di syurga. 2 Oleh itu, apabila kamu memberikan sedekah kepada orang miskin, jangan heboh-hebohkan perbuatan itu seperti yang dilakukan oleh orang munafik di dalam rumah ibadat dan di jalan raya. Mereka melakukan perkara itu supaya dipuji orang. Ketahuilah, mereka sudah menerima ganjaran mereka. 3 Tetapi apabila kamu memberikan sedekah kepada orang miskin, lakukanlah hal itu secara diam-diam, supaya sahabat karib kamu sekalipun tidak mengetahuinya. 4 Biarlah hal itu tidak diketahui oleh sesiapa pun. Bapa kamu yang melihat perbuatan yang tersembunyi itu akan memberikan pahala kepada kamu.'' 5 "Apabila kamu berdoa, jangan seperti orang munafik. Mereka suka berdoa sambil berdiri di rumah ibadat dan di simpang jalan supaya dilihat orang. Ketahuilah, mereka sudah menerima ganjaran mereka. 6 Tetapi apabila kamu berdoa, masuklah ke bilik dan tutuplah pintu, lalu berdoalah kepada Bapa kamu yang tidak kelihatan itu. Bapa kamu yang mengetahui apa yang kamu lakukan secara tersembunyi itu, akan memberikan pahala kepada kamu. 7 Apabila kamu berdoa, jangan gunakan banyak kata yang tidak bererti seperti yang dilakukan orang yang tidak mengenal Allah. Mereka menyangka bahawa Allah akan mendengarkan permintaan mereka kerana doa mereka panjang. 8 Jangan berbuat seperti mereka. Bapa kamu mengetahui apa yang kamu perlukan, sebelum kamu memintanya. 9 Sepatutnya kamu berdoa begini, `Ya Bapa kami yang di syurga, Engkaulah Allah yang Esa, semoga Engkau disembah dan dihormati. 10 Engkaulah Raja kami. Semoga Engkau memerintah di bumi, dan seperti di syurga, kehendak-Mu ditaati. 11 Berilah kami makanan yang kami perlukan pada hari ini. 12 Ampunkanlah kesalahan kami, seperti kami mengampuni orang yang bersalah terhadap kami. 13 Janganlah biarkan kami kehilangan iman ketika dicubai, tetapi selamatkanlah kami daripada kuasa Si Jahat. Engkaulah Raja yang berkuasa dan mulia untuk selama-lamanya. Amin.' 14 Jika kamu mengampuni orang yang bersalah terhadap kamu, Bapa kamu yang di syurga pun akan mengampunkan kesalahan kamu. 15 Tetapi jika kamu tidak mengampunkan kesalahan orang lain, Bapa kamu yang di syurga tidak akan mengampunkan kesalahan kamu juga.'' 16 "Apabila kamu berpuasa, jangan bermuka muram seperti orang munafik. Mereka kelihatan menderita, sehingga semua orang tahu bahawa mereka berpuasa. Ketahuilah, mereka sudah menerima ganjaran. 17 Apabila kamu berpuasa, basuhlah muka dan sikatlah rambut, 18 supaya orang tidak tahu bahawa kamu berpuasa. Biarlah hanya Bapamu yang tidak kelihatan itu yang tahu. Bapamu melihat perbuatanmu yang tersembunyi itu dan kamu akan menerima pahala daripada Dia.'' 19 "Jangan kumpulkan harta di dunia, kerana di situ gegat dan karat merosakkannya, dan pencuri datang untuk mencurinya. 20 Kumpulkanlah harta di syurga, kerana di situ gegat dan karat tidak dapat merosakkannya, dan pencuri tidak datang untuk mencurinya. 21 Lakukanlah hal itu, kerana perhatian kamu sentiasa tertumpu kepada hartamu!'' 22 "Mata bagaikan pelita bagi tubuh. Jika matamu terang, seluruh tubuhmu penuh dengan cahaya. 23 Tetapi jika matamu kabur, seluruh tubuhmu menjadi gelap gelita. Jika cahaya di dalam tubuhmu menjadi gelap, alangkah pekatnya kegelapan itu!'' 24 "Tidak seorang pun dapat menjadi hamba kepada dua orang tuan. Dia akan membenci yang seorang dan mengasihi yang lain, atau dia akan setia kepada yang seorang dan menghina yang lain. Demikianlah kamu tidak dapat menjadi hamba Allah dan juga hamba kekayaan. 25 Oleh itu, jangan khuatir akan hidup kamu -- apa yang akan kamu makan dan minum, atau apa yang akan kamu pakai. Bukankah hidup lebih penting daripada makanan, dan tubuh lebih bernilai daripada pakaian? 26 Lihatlah burung di udara yang tidak menyemai benih, tidak menuai tuaian, dan tidak mengumpulkan hasil di dalam jelapang, tetapi Bapa kamu yang di syurga memelihara semuanya! Bukankah kamu jauh lebih berharga daripada burung? 27 Siapakah antara kamu dapat memanjangkan umur walaupun sedikit dengan mengkhuatiri hidupnya? 28 Mengapa kamu khuatir tidak mempunyai cukup pakaian? Lihatlah bunga-bunga di padang, yang tidak bekerja atau menenun. 29 Tetapi Raja Salomo dengan segala kekayaannya pun tidak berpakaian seindah bunga-bunga itu! 30 Jika Allah menghiasi rumput di padang, yang ada hari ini lalu esoknya dibakar di dapur, tidakkah Allah akan memberi kamu pakaian? Tetapi kamu kurang percaya kepada Allah! 31 Jangan khuatir tentang apa yang akan kamu makan, atau apa yang akan kamu minum, atau apa yang akan kamu pakai. 32 Semua perkara itu sentiasa dikhuatiri orang yang tidak mengenal Allah. Bapa kamu yang di syurga tahu bahawa kamu memerlukan semua itu. 33 Sebaliknya utamakanlah Pemerintahan Allah dan lakukanlah kehendak-Nya, lalu Allah akan memberikan semua itu kepada kamu. 34 Oleh itu, jangan khuatiri hari esok, kerana ada cukup hal yang dikhuatirkan pada hari esok. Cukuplah kesusahan hari ini, tidak usah ditambah lagi.''

Matius 7

1 "Jangan hakimi orang lain, supaya Allah tidak menghakimi kamu juga. 2 Allah akan menghakimi kamu sebagaimana kamu menghakimi orang lain. Sukatan yang kamu gunakan untuk menghakimi orang lain akan digunakan oleh Allah untuk kamu. 3 Mengapakah kamu perhatikan selumbar di dalam mata saudaramu, sedangkan kayu balak di dalam matamu tidak kamu perhatikan? 4 Bagaimana kamu dapat berkata kepada saudaramu, `Biarlah saya keluarkan selumbar dari mata saudara,' sedangkan ada kayu balak di dalam matamu sendiri? 5 Hai munafik! Keluarkan dahulu kayu balak dari matamu, barulah kamu dapat melihat dengan jelas, lalu keluarkan selumbar dari mata saudaramu. 6 Jangan berikan apa-apa yang suci kepada anjing; anjing hanya akan berbalik lalu menerkam kamu. Jangan berikan mutiara kepada babi; babi hanya akan memijak-mijak mutiara.'' 7 "Mintalah sesuatu daripada Allah, maka kamu akan menerimanya. Carilah sesuatu daripada Allah, maka kamu akan mendapatnya. Ketuklah pintu, maka Allah akan membukanya bagi kamu. 8 Hal itu demikian kerana setiap orang yang meminta sesuatu daripada Allah akan menerimanya; setiap orang yang mencari sesuatu daripada Allah akan mendapatnya; dan Allah akan membuka pintu bagi setiap orang yang mengetuknya. 9 Bapa yang manakah akan memberikan batu kepada anaknya, apabila anaknya meminta roti? 10 Bapa yang manakah akan memberikan ular, apabila anaknya meminta ikan? 11 Walaupun kamu jahat, kamu tahu memberikan apa yang baik kepada anak-anak kamu. Lebih-lebih lagi Bapa kamu yang di syurga; Dia akan memberikan apa yang baik kepada mereka yang meminta daripada Dia! 12 Apa yang kamu ingin orang lain lakukan untuk kamu, lakukanlah hal itu untuk mereka. Inilah inti Taurat Musa dan ajaran nabi-nabi.'' 13 "Masuklah melalui pintu yang sempit, kerana pintu dan jalan yang menuju ke neraka itu lebar dan lapang! Banyak orang yang mengambil jalan itu. 14 Tetapi pintu dan jalan yang menghala ke hidup sejati itu sempit dan susah. Hanya sedikit orang yang mendapati jalan itu.'' 15 "Waspadalah terhadap nabi palsu. Mereka datang kepada kamu dengan rupa domba, tetapi sebenarnya mereka seperti serigala buas. 16 Kamu akan mengenal mereka melalui hasil perbuatan mereka. Belukar berduri tidak menghasilkan buah anggur, dan semak berduri tidak menghasilkan buah ara. 17 Tetapi pokok yang subur menghasilkan buah yang baik, dan pokok yang tidak subur menghasilkan buah yang buruk. 18 Pokok yang subur tidak dapat menghasilkan buah yang buruk, dan pokok yang tidak subur tidak dapat menghasilkan buah yang baik. 19 Setiap pokok yang tidak menghasilkan buah yang baik, ditebang lalu dibakar. 20 Demikianlah kamu akan mengenal nabi palsu melalui perbuatan mereka.'' 21 "Tidak semua orang yang memanggil Aku, `Ya Tuhan, ya Tuhan,' akan menikmati Pemerintahan Allah, tetapi hanya orang yang melakukan kehendak Bapa-Ku yang di syurga. 22 Pada Hari Kiamat banyak orang akan berkata kepada-Ku, `Ya Tuhan, ya Tuhan, bukankah dengan nama Tuhan kami memberitakan perkhabaran Allah? Bukankah dengan nama Tuhan kami mengusir roh jahat, serta melakukan banyak mukjizat?' 23 Tetapi Aku akan menjawab, `Aku tidak mengenal kamu! Pergilah dari sini, hai kamu yang tidak mentaati Allah!' '' 24 "Setiap orang yang mendengar kata-kata-Ku ini dan menurutnya, dia seperti seorang bijak yang membina rumah di atas batu. 25 Hujan turun, air sungai melimpah, dan angin kencang melanda rumah itu, tetapi rumah itu tidak roboh kerana berasaskan batu. 26 Setiap orang yang mendengar kata-kata-Ku ini tetapi tidak menurutnya, dia seperti seorang bodoh yang membina rumah di atas pasir. 27 Hujan turun, air sungai melimpah, dan angin kencang melanda rumah itu, lalu rumah itu roboh. Alangkah dahsyatnya kerosakan rumah itu!'' 28 Setelah Yesus mengatakan perkara-perkara tersebut, orang ramai sangat hairan dengan cara Dia mengajar. 29 Dia mengajar dengan wibawa, bukan seperti guru Taurat mereka.

Matius 8

1 Yesus turun dari bukit, dan banyak orang mengikuti Dia. 2 Lalu seorang berpenyakit kulit yang mengerikan datang dan berlutut di hadapan-Nya. Dia berkata, "Tuan, jika Tuan sudi, Tuan dapat menyembuhkan saya.'' 3 Yesus menghulurkan tangan-Nya lalu menjamah dia dan berkata, "Aku mahu. Sembuhlah!'' Seketika itu juga penyakitnya tiada lagi. 4 Lalu Yesus berkata kepadanya, "Dengarlah, jangan beritahu sesiapa pun hal ini, tetapi pergilah kepada imam dan mintalah dia mengesahkan kesembuhanmu. Kemudian persembahkanlah korban seperti yang diperintahkan oleh Musa, sebagai bukti kepada semua orang bahawa kamu betul-betul sudah sembuh.'' 5 Apabila Yesus masuk ke Kapernaum, seorang ketua askar Roma menjumpai Dia lalu memohon kepada-Nya, 6 "Tuan, orang suruhan saya sakit di rumah, dia terbaring di katil dan tidak dapat bergerak. Dia sangat menderita.'' 7 Yesus berkata kepadanya, "Baiklah, Aku akan pergi menyembuhkan dia.'' 8 Tetapi ketua askar itu menjawab, "Tuan tidak usah datang ke rumah. Saya tidak layak menyambut Tuan ke rumah saya. Perintahkanlah sahaja, tentu hamba saya akan sembuh. 9 Saya pun di bawah perintah perwira atasan, dan di bawah saya juga ada askar-askar lain. Apabila saya menyuruh seorang askar, `Pergi!' dia pun pergi; apabila saya menyuruh askar lain, `Ke mari!' dia pun datang. Apabila saya menyuruh hamba saya, `Buatlah ini!' dia pun melakukannya.'' 10 Yesus hairan mendengar hal itu, lalu Dia berkata kepada orang ramai yang mengikut Dia, "Ketahuilah, belum pernah Aku menjumpai sesiapa pun antara umat Israel yang mempunyai iman sebesar ini. 11 Ketahuilah! Banyak orang akan datang dari timur dan dari barat, lalu menikmati perjamuan di Dunia Baru Allah bersama-sama Abraham, Ishak, dan Yakub. 12 Tetapi orang yang seharusnya menikmati Pemerintahan Allah akan dibuang ke kegelapan di luar; di sana mereka akan menangis dan menderita.'' 13 Lalu Yesus berkata kepada ketua askar itu, "Pulanglah! Apa yang kamu percayai itu akan berlaku.'' Hamba ketua askar itu pun sembuh pada saat itu juga. 14 Yesus pergi ke rumah Petrus. Di situ Dia melihat ibu mentua Petrus sedang berbaring di tempat tidur kerana demam. 15 Yesus menjamah tangannya, lalu demamnya hilang dengan serta-merta. Dia pun bangun lalu mula melayani Yesus. 16 Apabila hari sudah petang, orang ramai membawa banyak orang yang kerasukan roh jahat kepada Yesus. Yesus mengusir roh-roh jahat itu dengan sepatah kata sahaja. Dia juga menyembuhkan semua orang sakit. 17 Yesus melakukan semua itu supaya berlakulah apa yang dikatakan oleh Nabi Yesaya, "Dia menanggung penderitaan kita dan menyembuhkan penyakit kita.'' 18 Yesus nampak orang ramai di sekeliling-Nya, lalu Dia menyuruh pengikut-pengikut-Nya pergi ke seberang tasik. 19 Seorang guru Taurat datang kepada Yesus dan berkata, "Guru, saya bersedia mengikut guru ke mana sahaja guru pergi!'' 20 Yesus menjawab, "Serigala mempunyai lubang dan burung mempunyai sarang, tetapi Anak Manusia tidak mempunyai tempat untuk berbaring dan berehat.'' 21 Lalu seorang pengikut yang lain berkata, "Tuan, izinkanlah saya balik terlebih dahulu untuk menguburkan jenazah bapa saya.'' 22 Tetapi Yesus menjawab, "Ikutlah Aku. Biarlah orang mati menguburkan orang mati mereka sendiri.'' 23 Yesus menaiki sebuah perahu dan pengikut-pengikut-Nya pergi bersama-sama Dia. 24 Tiba-tiba ribut membadai dan melanda tasik itu sehingga ombak memenuhi perahu. Tetapi Yesus sedang tidur. 25 Oleh itu pengikut-pengikut-Nya pergi kepada-Nya lalu membangunkan Dia. Mereka berkata, "Ya Tuhan, selamatkanlah kami! Kita hampir mati!'' 26 Yesus menjawab, "Mengapakah kamu takut? Mengapa kamu kurang percaya kepada-Ku?'' Lalu Yesus bangun dan menengking angin dan ombak itu. Dengan segera tasik itu menjadi tenang sekali. 27 Para pengikut Yesus hairan. Mereka berkata, "Angin dan ombak pun taat kepada perintah-Nya. Orang apakah Dia ini?'' 28 Apabila Yesus tiba di seberang tasik di daerah Gadara, Dia didatangi oleh dua orang yang dirasuk roh jahat. Mereka keluar dari gua kubur dan mereka sangat ganas, sehingga tiada sesiapa pun berani lalu di situ. 29 Apabila mereka melihat Yesus, mereka berseru, "Apakah yang akan Engkau lakukan terhadap kami, hai Anak Allah? Adakah Engkau hendak menghukum kami sebelum waktunya?'' 30 Tidak jauh dari situ, ada kawanan babi yang sedang makan. 31 Roh-roh jahat itu memohon kepada Yesus, "Jika Engkau hendak memerintah kami keluar, suruhlah kami masuk ke dalam kawanan babi itu.'' 32 "Pergilah,'' kata Yesus. Dengan segera roh-roh jahat itu meninggalkan kedua-dua orang itu lalu masuk ke dalam kawanan babi itu. Semua babi itu lari ke pinggir jurang, terjun ke dalam tasik lalu tenggelam. 33 Penjaga-penjaga babi itu lari ke bandar lalu menceritakan segala perkara itu dan apa yang telah berlaku kepada kedua-dua orang yang dirasuk roh jahat. 34 Semua orang di bandar itu pergi menjumpai Yesus. Apabila mereka melihat Yesus, mereka memohon supaya Dia meninggalkan kawasan mereka.

Matius 9

1 Yesus menaiki sebuah perahu dan menyeberangi tasik, lalu kembali ke bandar tempat Dia tinggal. 2 Di sana beberapa orang membawa seorang lumpuh yang terbaring di atas tikar kepada Yesus. Ketika Yesus melihat betapa besarnya iman mereka, Dia berkata kepada orang lumpuh itu, "Teguhkanlah hatimu, anak-Ku! Dosamu sudah diampunkan.'' 3 Beberapa orang guru Taurat di situ berkata dalam hati, "Orang ini mengkufuri Allah!'' 4 Yesus mengetahui apa yang difikirkan mereka, lalu Dia berkata, "Mengapa kamu memikirkan perkara sejahat itu? 5 Manakah yang lebih mudah: mengatakan, `Dosamu sudah diampunkan' atau `Bangunlah dan berjalan'? 6 Aku akan membuktikan kepada kamu bahawa di atas bumi ini Anak Manusia berkuasa mengampunkan dosa.'' Lalu Yesus berkata kepada orang yang lumpuh itu, "Bangunlah, angkat tikarmu dan pulanglah!'' 7 Orang lumpuh itu pun bangun lalu pulang ke rumah. 8 Apabila orang di situ nampak kejadian itu, mereka ketakutan dan memuji Allah kerana Allah sudah memberikan kuasa yang begitu besar kepada manusia. 9 Yesus meninggalkan tempat itu. Ketika Dia sedang berjalan, Dia nampak seorang pemungut cukai bernama Matius duduk di tempat memungut cukai. Yesus berkata kepadanya, "Ikutlah Aku.'' Matius berdiri lalu mengikut Yesus. 10 Sementara Yesus makan di rumah Matius, banyak pemungut cukai dan orang yang dihina oleh masyarakat makan bersama-sama Yesus dan pengikut-Nya. 11 Beberapa orang Farisi nampak hal ini, lalu bertanya kepada pengikut-pengikut Yesus, "Mengapa guru kamu makan bersama-sama pemungut cukai dan orang yang dihina masyarakat?'' 12 Yesus mendengar pertanyaan mereka lalu menjawab, "Orang sihat tidak memerlukan doktor; hanya orang yang sakit. 13 Carilah makna ayat Alkitab ini: `Aku menghendaki belas kasihan dan bukan korban binatang.' Itulah sebabnya Aku tidak datang untuk memanggil orang yang menganggap diri mereka baik, tetapi orang yang dihina masyarakat.'' 14 Setelah itu pengikut-pengikut Yohanes Pembaptis datang kepada Yesus dan bertanya, "Mengapa kami dan orang Farisi kerap kali berpuasa sedangkan pengikut-pengikut guru tidak berpuasa sama sekali?'' 15 Yesus menjawab, "Adakah kamu berharap tetamu di jamuan perkahwinan berdukacita selama pengantin lelaki bersama-sama mereka? Tentu tidak! Tetapi akan tiba masanya pengantin lelaki itu akan diambil daripada mereka. Pada masa itulah mereka berpuasa. 16 Tidak ada orang menampal pakaian lama dengan seperca kain baru, kerana tampalan itu akan mengecut lalu mengakibatkan koyakan yang lebih besar. 17 Demikian juga tidak ada orang menuang wain baru ke dalam kirbat kulit yang lama. Jika dia berbuat demikian, kirbat itu akan pecah dan rosak, lalu wain itu akan terbuang. Wain baru harus dituang ke dalam kirbat kulit yang baru juga, supaya kedua-duanya tetap baik.'' 18 Sementara Yesus berkata-kata dengan para pengikut Yohanes Pembaptis, seorang ketua rumah ibadat datang berlutut di hadapan-Nya dan berkata, "Anak perempuan saya baru sahaja meninggal. Tetapi datanglah dan letakkan tangan padanya supaya dia hidup semula.'' 19 Yesus bangkit lalu pergi bersama dengan dia. Pengikut-pengikut Yesus pun ikut serta. 20 Kemudian seorang wanita yang selama dua belas tahun menghidap penyakit pendarahan teruk yang berkaitan dengan haidnya, menghampiri Yesus dari belakang lalu menyentuh hujung jubah-Nya. 21 Wanita itu berkata dalam hati, "Asal sahaja aku menyentuh jubah-Nya, tentu aku akan sembuh.'' 22 Yesus berpaling dan nampak dia. Yesus berkata kepadanya, "Teguhkanlah hatimu, anak-Ku! Kerana kamu percaya kepada-Ku, kamu sembuh!'' Pada ketika itu juga wanita itu sembuh. 23 Apabila Yesus tiba di rumah ketua itu, Dia melihat para pemain muzik perkabungan dan semua orang di situ kecoh. 24 Dia berkata, "Keluarlah kamu semua! Anak ini tidak mati; dia hanya tidur.'' Mereka mula mentertawakan Yesus. 25 Tetapi sebaik sahaja mereka keluar, Yesus masuk ke dalam bilik anak perempuan itu lalu memegang tangannya. Anak itu pun bangkit. 26 Berita ini tersebar ke seluruh daerah itu. 27 Yesus meninggalkan tempat itu. Ketika Dia sedang berjalan, dua orang buta mula mengikut Dia. Mereka berseru, "Hai Anak Daud, kasihanilah kami.'' 28 Apabila Yesus masuk ke dalam rumah, kedua-dua orang buta itu menghampiri Dia. Yesus bertanya kepada mereka, "Percayakah kamu bahawa Aku boleh menyembuhkan kamu?'' "Ya, Tuan!'' jawab mereka. 29 Lalu Yesus menjamah mata mereka sambil berkata, "Kerana kamu percaya, berlakulah apa yang kamu harapkan!'' 30 Lalu mereka dapat melihat. Yesus berpesan kepada mereka dengan tegas, "Jangan beritahukan hal ini kepada sesiapa pun.'' 31 Tetapi mereka pergi dan menyebarkan berita tentang Yesus ke seluruh daerah itu. 32 Apabila kedua-dua orang itu pergi, beberapa orang membawa seorang bisu kepada Yesus. Orang itu bisu kerana dirasuk roh jahat. 33 Sebaik sahaja roh jahat itu diusir oleh Yesus, orang itu mula bercakap. Semua orang hairan melihat hal itu. Mereka berkata, "Belum pernah kami saksikan peristiwa serupa ini di Israel!'' 34 Tetapi orang Farisi berkata, "Ketua roh jahatlah yang memberikan kuasa kepada Yesus untuk mengusir roh jahat.'' 35 Demikianlah Yesus pergi dari satu bandar ke bandar lain dan dari satu pekan ke pekan lain. Dia mengajar di rumah ibadat dan mengkhabarkan Berita Baik bahawa Allah akan memerintah. Dia menyembuhkan orang daripada berbagai-bagai penyakit. 36 Apabila Dia melihat orang ramai itu, Dia mengasihani mereka kerana mereka risau dan tidak berdaya, seperti kawanan domba tanpa gembala. 37 Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, "Tuaian sungguh banyak, tetapi penuai hanya sedikit. 38 Berdoalah kepada pemilik tuaian itu supaya menghantar pekerja untuk mengumpulkan tuaian.''

Matius 10

1 Yesus memanggil dua belas orang pengikut-Nya, lalu memberikan kuasa kepada mereka untuk mengusir roh jahat dan menyembuhkan segala macam penyakit. 2 Inilah nama dua belas orang rasul itu: Simon (yang disebut Petrus) dan saudaranya, Andreas; Yakobus dan saudaranya, Yohanes, iaitu anak-anak Zebedeus; 3 Filipus dan Bartolomeus; Tomas dan Matius yang dahulunya pemungut cukai; Yakobus anak Alfeus dan Tadius; 4 Simon, Si Patriot dan Yudas Iskariot yang mengkhianati Yesus. 5 Yesus mengutus dua belas orang rasul itu dengan petunjuk seperti berikut, "Janganlah pergi ke daerah orang bukan Yahudi atau bandar orang Samaria. 6 Pergilah kepada orang Israel, yang seperti domba yang sesat. 7 Pergilah dan khabarkanlah bahawa `tidak lama lagi Allah akan memerintah.' 8 Sembuhkanlah orang yang sakit; bangkitkan orang yang mati; sembuhkanlah orang berpenyakit kulit yang mengerikan dan usirlah roh jahat. Kamu sudah menerima kuasa ini dengan percuma, maka lakukanlah semuanya tanpa meminta bayaran! 9 Janganlah bawa wang emas, perak, ataupun tembaga. 10 Janganlah bawa beg sedekah, atau baju ganti, atau kasut, atau tongkat dalam perjalanan kamu. Seorang pekerja layak menerima apa yang diperlukannya. 11 Apabila kamu tiba di suatu bandar atau pekan, carilah seorang yang rela menyambut kamu. Tinggallah dengan dia sehingga kamu meninggalkan tempat itu. 12 Apabila kamu masuk ke rumah orang, berikanlah salam. 13 Jika orang di rumah itu menyambut kamu, biarlah salam sejahtera kamu itu tinggal dengan mereka. Tetapi jika tidak, tariklah balik salam kamu itu. 14 Jika ada rumah atau bandar yang tidak mahu menyambut atau mendengarkan kata-kata kamu, tinggalkanlah tempat itu dan kebaskanlah debu daripada telapak kaki kamu. 15 Ingatlah! Pada Hari Kiamat, Allah akan lebih mengasihani penduduk Sodom dan Gomora, daripada penduduk bandar itu!'' 16 "Dengarlah! Aku mengutus kamu seperti domba ke tengah-tengah serigala. Kamu harus waspada seperti ular dan tulus hati seperti burung merpati. 17 Berjaga-jagalah, kerana ada orang yang akan menangkap kamu dan membawa kamu ke mahkamah, dan kamu akan disesah di rumah ibadat mereka. 18 Kamu akan diadili di hadapan penguasa dan raja kerana kamu pengikut-Ku, dan kamu akan mengkhabarkan Berita Baik daripada Allah kepada mereka dan kepada bangsa yang tidak mengenal Allah. 19 Apabila kamu diadili, janganlah khuatir tentang apa yang hendak kamu katakan atau bagaimana kamu harus mengatakannya. Apabila tiba masanya, kamu akan diberitahu apa yang harus kamu katakan. 20 Kata-kata yang akan kamu ucapkan itu bukan kata-kata kamu sendiri, tetapi kata-kata itu daripada Roh Bapa kamu yang berkata-kata melalui kamu. 21 Orang akan mengkhianati saudara sendiri supaya dibunuh; bapa pun akan berbuat demikian terhadap anak-anak. Anak-anak akan melawan ibu bapa, lalu menyerahkan mereka supaya dibunuh. 22 Tiap-tiap orang akan membenci kamu kerana kamu pengikut-Ku. Tetapi sesiapa bertahan sehingga akhir akan diselamatkan. 23 Apabila kamu dianiaya di suatu bandar, larilah ke bandar lain. Ketahuilah bahawa Anak Manusia akan datang, sebelum kamu dapat menyampaikan ajaran-Ku di semua bandar di Israel. 24 Tidak ada murid yang lebih besar daripada gurunya, dan tidak ada hamba yang lebih besar daripada tuannya. 25 Seorang murid haruslah puas hati menjadi seperti gurunya, dan seorang hamba haruslah puas hati menjadi seperti tuannya. Jika ketua keluarga diberikan nama Beelzebul, tentu anggota keluarganya akan diberikan nama yang lebih buruk lagi!'' 26 "Janganlah takut akan manusia. Apa yang tersembunyi akan dinyatakan, dan tiap-tiap rahsia akan didedahkan. 27 Apa yang Aku katakan kepada kamu secara sulit, hendaklah kamu ulangi di hadapan orang ramai. Apa yang dibisikkan di telinga kamu, umumkanlah seluas-luasnya! 28 Janganlah takut akan mereka yang membunuh badan, tetapi tidak berkuasa membinasakan roh. Tetapi takutlah akan Allah yang berkuasa membinasakan baik badan mahupun roh di dalam neraka. 29 Kamu dapat membeli dua ekor burung pipit dengan mata wang yang paling kecil. Meskipun demikian tidak seekor pun jatuh ke tanah tanpa persetujuan Bapa kamu. 30 Rambut di kepala kamu pun sudah dihitung semuanya. 31 Oleh itu, janganlah takut! Di sisi Allah, kamu lebih berharga daripada banyak burung pipit!'' 32 "Sesiapa mengaku dirinya pengikut-Ku di hadapan umum, Aku pun akan mengakui dia di hadirat Bapa-Ku di syurga. 33 Tetapi sesiapa menyangkal Aku di hadapan umum, Aku pun akan menyangkal dia di hadirat Bapa-Ku di syurga.'' 34 "Jangan menyangka bahawa Aku membawa kedamaian ke dunia ini. Aku tidak membawa kedamaian, tetapi pertentangan. 35 Aku datang untuk menyebabkan anak lelaki melawan bapa mereka, anak perempuan melawan ibu mereka, dan menantu perempuan melawan ibu mentua mereka. 36 Demikianlah, musuh terbesar seseorang ialah anggota keluarganya sendiri. 37 Sesiapa yang lebih mengasihi bapa atau ibunya daripada Aku, tidak layak menjadi pengikut-Ku. Demikian juga sesiapa yang lebih mengasihi anak lelaki atau anak perempuannya daripada Aku, tidak layak menjadi pengikut-Ku. 38 Sesiapa yang tidak mahu memikul salibnya dan mengikut Aku, tidak layak menjadi pengikut-Ku. 39 Sesiapa yang mempertahankan hidupnya akan kehilangan hidup sejati, tetapi sesiapa kehilangan hidupnya kerana dia pengikut-Ku, akan memperoleh hidup sejati.'' 40 "Sesiapa yang menyambut kamu, menyambut Aku juga; dan sesiapa yang menyambut Aku, menyambut Dia yang mengutus Aku. 41 Sesiapa yang menyambut seorang pesuruh Allah kerana dia pesuruh Allah, akan menerima pahala seorang pesuruh Allah. Sesiapa yang menyambut seorang baik kerana orang itu baik, akan menerima pahala seorang baik. 42 Ingatlah! Sesiapa yang memberikan minuman walaupun hanya air sejuk kepada salah seorang pengikut-Ku yang paling hina kerana dia pengikut-Ku, akan menerima pahalanya.''

Matius 11

1 Setelah Yesus memberikan petunjuk kepada dua belas orang pengikut-Nya, Dia meninggalkan tempat itu lalu pergi mengajar serta memberitakan perkhabaran daripada Allah di bandar-bandar yang berdekatan. 2 Apabila Yohanes Pembaptis yang berada di penjara mendengar tentang apa yang dilakukan oleh Kristus, dia menghantar beberapa orang pengikutnya kepada Yesus. 3 Mereka bertanya, "Adakah Guru orang yang dikatakan akan datang menurut janji Allah, atau adakah kami harus menantikan seorang lain?'' 4 Yesus menjawab, "Baliklah dan beritahu Yohanes apa yang kamu dengar dan nampak: 5 orang buta melihat, orang lumpuh berjalan, orang berpenyakit kulit yang mengerikan sembuh, orang tuli mendengar, orang mati dibangkitkan semula, dan Berita Baik daripada Allah dikhabarkan kepada orang miskin. 6 Berbahagialah orang yang tidak mempunyai keraguan terhadap Aku!'' 7 Sementara pengikut-pengikut Yohanes meninggalkan tempat itu, Yesus berkata kepada orang ramai tentang Yohanes, "Apabila kamu pergi kepada Yohanes di padang gurun, apakah yang mahu kamu lihat? Sehelai rumput yang ditiup anginkah? 8 Kamu keluar mahu melihat apa? Seorang yang berpakaian mewah? Orang yang berpakaian demikian tinggal di istana! 9 Katakanlah, kamu keluar mahu melihat apa? Seorang nabikah? Betul, bahkan lebih daripada seorang nabi! 10 Yohanes Pembaptis itulah yang dikatakan dalam ayat Alkitab, `Allah berfirman: Inilah utusan-Ku. Aku akan mengutus dia dahulu daripada-Mu untuk menyediakan jalan bagi-Mu.' 11 Ketahuilah! Yohanes Pembaptis lebih besar daripada semua orang yang pernah hidup di dunia ini. Namun demikian orang yang terkecil antara mereka yang menikmati Pemerintahan Allah, lebih besar daripada Yohanes. 12 Sejak Yohanes Pembaptis mengkhabarkan beritanya sehingga saat ini, Pemerintahan Allah telah dilawan oleh orang ganas yang berusaha menguasainya dengan kekerasan. 13 Sehingga kedatangan Yohanes, semua nabi dan Taurat Musa bernubuat tentang Pemerintahan itu. 14 Jika kamu mahu percaya kepada perkhabaran mereka, Yohanes itulah Elia yang kedatangannya sudah dinubuatkan. 15 Jika kamu bertelinga, dengarlah! 16 Dengan apakah dapat Aku bandingkan orang zaman ini? Mereka seperti anak-anak yang duduk di pasar. Kumpulan yang satu berseru kepada yang lain, 17 `Kami memainkan lagu perkahwinan untuk kamu, tetapi kamu tidak mahu menari! Kami meratap, tetapi kamu tidak mahu menangis!' 18 Apabila Yohanes datang, dia berpuasa dan tidak minum wain; lalu semua orang berkata, `Dia dirasuk syaitan!' 19 Apabila Anak Manusia datang, Dia makan dan minum; lalu semua orang berkata, `Lihatlah orang ini! Dia rakus, pemabuk, sahabat pemungut cukai, dan sahabat orang berdosa!' Walaupun demikian kebijaksanaan Allah dibuktikan benar oleh perbuatan orang yang menerima kebijaksanaan itu.'' 20 Lalu Yesus mula mencela bandar-bandar tempat Dia paling banyak melakukan mukjizat, kerana penduduk di sana tidak mahu bertaubat daripada dosa mereka. 21 "Alangkah malangnya kamu, hai Korazin! Alangkah malangnya kamu, hai Betsaida! Jika mukjizat-mukjizat yang dilakukan di kalangan kamu itu Aku lakukan di Tirus dan Sidon, penduduk di sana pasti sudah lama bertaubat daripada dosa mereka, lalu mengenakan kain guni dan menaruh abu di kepala. 22 Ketahuilah! Pada Hari Kiamat, Allah akan lebih mengasihani penduduk Tirus dan Sidon daripada kamu! 23 Dan kamu, hai Kapernaum! Adakah kamu hendak meninggikan diri sampai ke syurga? Kamu akan dibuang ke neraka! Jika mukjizat-mukjizat yang dilakukan di kalangan kamu itu Aku lakukan di Sodom, tentu Sodom masih ada sehingga saat ini! 24 Ketahuilah! Pada Hari Kiamat, Allah akan lebih mengasihani Sodom daripada kamu!'' 25 Pada masa itu Yesus berkata, "Ya Bapa, Tuhan langit dan bumi! Aku bersyukur kepada-Mu kerana apa yang Engkau rahsiakan daripada orang yang bijak pandai, Engkau tunjukkan kepada orang yang tidak terpelajar. 26 Ya Bapa, memang hal inilah yang Engkau kehendaki.'' 27 Yesus berkata lagi, "Bapa-Ku telah menyerahkan segala sesuatu kepada-Ku. Tidak seorang pun mengenal Anak kecuali Bapa, dan tidak seorang pun mengenal Bapa kecuali Anak dan mereka yang diberitahu oleh Anak tentang Bapa. 28 Marilah kepada-Ku, hai kamu semua yang lelah kerana memikul beban yang berat; Aku akan membebaskan kamu daripada beban kamu. 29 Ikutlah perintah-Ku dan terimalah ajaran-Ku, kerana Aku ini lemah lembut dan rendah hati; kamu akan mendapat kesejahteraan. 30 Perintah yang Aku berikan kepada kamu mudah diturut, dan beban yang Aku berikan mudah dipikul.''

Matius 12

1 Pada suatu hari Sabat, Yesus melewati ladang gandum. Pengikut-pengikut-Nya lapar, dan mereka mula memetik gandum lalu memakannya. 2 Apabila orang Farisi nampak hal ini, mereka berkata kepada Yesus, "Lihatlah, pengikutmu melanggar Taurat kita. Mereka melakukan apa yang dilarang pada hari Sabat!'' 3 Yesus menjawab, "Belum pernahkah kamu baca apa yang dilakukan oleh Daud ketika dia dan anak buahnya lapar? 4 Daud masuk ke dalam Khemah Allah, lalu dia dan anak buahnya makan roti yang sudah dipersembahkan kepada Allah, walaupun perbuatan itu melanggar Taurat. Hanya imam yang dibenarkan makan roti itu. 5 Belum pernahkah kamu baca di dalam Taurat Musa bahawa pada setiap hari Sabat, imam di Rumah Tuhan sebetulnya melanggar hukum hari Sabat? Tetapi mereka tidak disalahkan. 6 Perhatikan apa yang Aku katakan ini: Di sini ada yang lebih penting daripada Rumah Tuhan. 7 Di dalam Alkitab tertulis, `Aku menghendaki belas kasihan, bukan korban binatang.' Jika kamu benar-benar memahami ayat itu, tentu kamu tidak akan menyalahkan orang yang tidak bersalah, 8 kerana Anak Manusia berkuasa atas hari Sabat.'' 9 Yesus meninggalkan tempat itu lalu pergi ke sebuah rumah ibadat. 10 Di situ ada seorang yang tangannya lumpuh sebelah. Tetapi ada juga beberapa orang yang hendak mencari-cari kesalahan Yesus supaya dapat menuduh Dia. Mereka bertanya kepada Yesus, "Adakah menyembuhkan orang pada hari Sabat melanggar Taurat kita?'' 11 Yesus menjawab, "Apakah yang akan kamu lakukan seandainya seorang antara kamu mempunyai seekor domba, lalu pada hari Sabat domba itu jatuh ke dalam lubang yang dalam? Tentunya kamu akan berusaha untuk mengeluarkannya dari lubang itu. 12 Manusia lebih berharga daripada domba! Oleh itu, Taurat kita membenarkan kita menolong seseorang pada hari Sabat.'' 13 Kemudian Yesus berkata kepada orang yang tangannya lumpuh sebelah, "Hulurkanlah tanganmu.'' Orang itu pun menghulurkan tangannya, dan sembuhlah tangan itu sehingga seperti tangannya yang sebelah. 14 Tetapi orang Farisi di situ meninggalkan tempat itu lalu berkomplot hendak membunuh Yesus. 15 Apabila Yesus mengetahui pakatan jahat itu, Dia pergi dari situ dan banyak orang mengikut Dia. Dia menyembuhkan semua orang sakit, 16 dan melarang mereka memberitahu orang lain tentang Dia. 17 Dia berbuat demikian supaya berlakulah apa yang difirmankan Allah melalui Nabi Yesaya, 18 "Inilah hamba-Ku yang telah Aku pilih, orang yang Aku kasihi dan yang menyenangkan hati-Ku. Roh-Ku akan Aku anugerahkan kepada-Nya, dan keadilan-Ku akan diisytiharkan-Nya kepada semua bangsa. 19 Dia tidak akan bertengkar atau berteriak, ataupun berkata-kata dengan suara kuat di jalan-jalan raya. 20 Buluh halus yang terkulai tidak akan dipatahkan-Nya, pelita yang redup tidak akan dipadamkan-Nya. Dia akan berjuang sehingga keadilan tercapai, 21 dan semua bangsa akan berharap kepada-Nya.'' 22 Kemudian seorang yang buta dan bisu kerana dirasuk roh jahat dibawa kepada Yesus. Yesus menyembuhkannya sehingga orang itu dapat bercakap dan melihat. 23 Orang ramai di situ kehairanan, lalu mereka bertanya, "Mungkinkah Dia ini Anak Daud?'' 24 Apabila orang Farisi mendengar hal ini, mereka menjawab, "Dia dapat mengusir roh jahat hanya kerana Dia diberikan kuasa oleh Beelzebul, ketua roh jahat.'' 25 Yesus mengetahui fikiran orang Farisi, lalu berkata kepada mereka, "Negeri yang berpecah menjadi beberapa bahagian lalu saling bermusuhan, tidak akan tahan lama. Bandar atau keluarga yang berpecah belah dan saling berlawanan, akan hancur. 26 Demikian juga, jika kerajaan Iblis mempunyai golongan yang saling berlawanan, maka kerajaan itu sudah berpecah belah dan segera akan runtuh. 27 Kamu berkata bahawa Aku mengusir roh jahat kerana Aku diberikan kuasa oleh Beelzebul. Jika demikian siapakah yang memberikan kuasa mengusir roh jahat kepada para pengikut kamu? Pengikut kamu membuktikan bahawa pendapat kamu itu salah! 28 Roh Allah memberi Aku kuasa untuk mengusir roh jahat. Hal ini membuktikan bahawa Allah sudah mula memerintah di kalangan kamu. 29 Tidak seorang pun dapat masuk ke dalam rumah seorang yang kuat lalu merampas hartanya, kecuali dia terlebih dahulu mengikat orang kuat itu. Barulah dia dapat merampas hartanya. 30 Sesiapa yang tidak berpihak kepada-Ku sebenarnya melawan Aku, dan sesiapa yang tidak menolong Aku, sebenarnya merosakkan pekerjaan-Ku! 31 Oleh itu ketahuilah, orang yang berbuat dosa ataupun mengatakan kata-kata kufur, akan diampuni. Tetapi sesiapa mengkufuri Roh Allah, tidak akan diampuni! 32 Sesiapa yang dengan kata-katanya menentang Anak Manusia dapat diampuni, tetapi sesiapa yang menghina Roh Allah tidak dapat diampuni, baik sekarang mahupun di akhirat!'' 33 "Untuk mendapat buah yang baik, kamu harus mempunyai pokok yang baik. Jika pokok kamu tidak baik, buahnya pun tidak baik. Baik tidaknya sesuatu pokok diketahui daripada buahnya. 34 Hai kamu orang jahat, bagaimanakah kamu dapat mengatakan perkara-perkara baik padahal kamu ini jahat? Orang mengucapkan apa yang terkandung di dalam hati. 35 Seorang yang baik mengeluarkan perkara-perkara baik, kerana hatinya penuh kebaikan. Seorang yang jahat mengeluarkan perkara-perkara jahat, kerana hatinya penuh kejahatan. 36 Ketahuilah bahawa pada Hari Kiamat setiap orang harus mempertanggungjawabkan tiap-tiap kata yang tidak seharusnya diucapkan. 37 Kata-kata kamu akan digunakan untuk menentukan sama ada kamu bersalah atau tidak.'' 38 Kemudian beberapa orang guru Taurat dan orang Farisi berkata, "Guru, kami ingin melihat guru melakukan mukjizat.'' 39 Tetapi Yesus menjawab, "Alangkah jahat dan derhakanya orang zaman ini! Kamu meminta Aku melakukan mukjizat? Tidak! Satu-satunya mukjizat yang akan ditunjukkan kepada kamu adalah mukjizat Nabi Yunus. 40 Sebagaimana Yunus tinggal tiga hari dan tiga malam di dalam perut ikan besar, demikian juga Anak Manusia akan tinggal tiga hari dan tiga malam di dalam perut bumi. 41 Pada Hari Kiamat kelak, penduduk Niniwe akan bangkit bersama-sama orang zaman ini, lalu menuduh kamu kerana mereka bertaubat daripada dosa apabila mereka mendengar perkhabaran yang disampaikan oleh Yunus. Tetapi ketahuilah, di sini sekarang ada yang lebih besar daripada Yunus! 42 Pada Hari Kiamat kelak, ratu dari Syeba akan bangkit bersama-sama orang zaman ini, lalu menuduh kamu kerana ratu itu datang dari hujung bumi untuk mendengar ajaran Raja Salomo yang bijak itu. Ketahuilah, di sini sekarang ada yang lebih besar daripada Raja Salomo!'' 43 "Apabila roh jahat meninggalkan seseorang, roh itu menjelajah tempat yang kering untuk mencari tempat tinggal. Jika tempat tinggal tidak ditemuinya, 44 roh itu akan berkata, `Aku akan balik ke rumah yang telah aku tinggalkan.' Kemudian roh itu balik dan mendapati rumah itu kosong, bersih, dan teratur. 45 Lalu roh itu pergi dan memanggil tujuh roh lain yang lebih jahat daripadanya. Semuanya memasuki orang itu dan tinggal di situ. Akhirnya keadaan orang itu lebih buruk daripada dahulu. Inilah yang akan berlaku kepada orang jahat zaman ini.'' 46 Sementara Yesus berkata-kata dengan orang ramai, ibu dan saudara-saudara-Nya tiba. Mereka berdiri di luar dan ingin bercakap dengan Yesus. 47 Seorang daripada orang ramai itu memberitahu Yesus bahawa ibu dan saudara-saudara-Nya hendak bercakap dengan Dia. 48 Tetapi Yesus berkata, "Siapakah ibu-Ku? Siapakah saudara-saudara-Ku?'' 49 Lalu Dia menunjuk kepada pengikut-pengikut-Nya dan berkata, "Lihat, inilah ibu-Ku dan saudara-saudara-Ku. 50 Sesiapa melakukan kehendak Bapa-Ku yang di syurga, orang itu saudara lelaki, saudara perempuan, dan ibu-Ku.''

Matius 13

1 Pada hari itu juga Yesus meninggalkan rumah itu lalu pergi ke tepi tasik. Dia duduk di situ dan mengajar. 2 Orang yang berkumpul di sekeliling-Nya begitu banyak sehingga Yesus menaiki sebuah perahu lalu duduk di situ, sedangkan orang ramai berdiri di pantai. 3 Yesus mengajar mereka banyak perkara dengan menggunakan perumpamaan. Dia berkata, "Seorang peladang pergi menabur benih. 4 Semasa dia menabur benih, ada benih yang jatuh di jalan, lalu burung datang dan memakan habis benih itu. 5 Ada juga yang jatuh di tempat berbatu yang sedikit tanahnya. Benih-benih itu segera bertunas kerana tanahnya sedikit. 6 Tetapi apabila matahari naik, tunas-tunas itu layu lalu kering. Tumbuhan itu mati kerana akarnya tidak dalam. 7 Ada pula yang jatuh di tengah semak berduri. Semak berduri itu tumbuh, lalu membantutkan tumbuhan itu. 8 Tetapi ada benih yang jatuh di tanah subur lalu berbuah. Hasilnya ada yang seratus kali ganda, ada yang enam puluh kali ganda, dan ada yang tiga puluh kali ganda.'' 9 Lalu Yesus berkata, "Jika kamu bertelinga, dengarlah!'' 10 Kemudian pengikut-pengikut Yesus datang dan bertanya kepada-Nya, "Mengapa Guru menggunakan perumpamaan ketika berkata-kata kepada orang ramai?'' 11 Yesus menjawab, "Kamu telah diberikan anugerah untuk mengetahui rahsia tentang bagaimana Allah memerintah, sedangkan mereka tidak. 12 Seseorang yang mempunyai sesuatu akan diberikan lebih banyak lagi, supaya dia beroleh lebih daripada cukup. Tetapi seseorang yang tidak mempunyai apa-apa, sedikit yang ada padanya akan diambil juga. 13 Itulah sebabnya Aku menggunakan perumpamaan ketika berkata-kata kepada orang ramai, kerana mereka melihat tetapi tidak nampak dan mereka mendengar tetapi tidak mengerti. 14 Dengan perbuatan mereka itu berlakulah nubuat Nabi Yesaya, `Allah berfirman: Mereka akan mendengar dan mendengar, tetapi tidak faham; mereka akan melihat dan melihat, tetapi tidak nampak, 15 kerana seolah-olah fikiran mereka tumpul; telinga pekak, dan mata buta. Jika mereka tidak demikian, tentu mata mereka akan melihat, telinga akan mendengar, dan fikiran boleh mengerti, sehingga mereka kembali kepada-Ku, dan Aku pun akan menyembuhkan mereka.' 16 Tetapi kamu sangat bertuah! Mata kamu melihat dan telinga kamu mendengar. 17 Ketahuilah! Banyak nabi dan orang yang melakukan kehendak Allah ingin melihat apa yang kamu lihat sekarang ini, tetapi tidak dapat melihatnya. Mereka ingin mendengar apa yang kamu dengar tetapi tidak dapat mendengarnya.'' 18 "Dengarlah dan ketahuilah makna perumpamaan tentang seorang penabur itu. 19 Benih yang jatuh di jalan bagaikan orang yang mendengar perkhabaran tentang bagaimana Allah memerintah, tetapi tidak memahaminya. Si Jahat iaitu Iblis datang lalu merampas apa yang sudah ditabur di dalam hati mereka. 20 Benih yang jatuh di tempat yang berbatu bagaikan orang yang mendengar perkhabaran itu lalu segera menerimanya dengan sukacita. 21 Tetapi perkhabaran itu tidak berakar di dalam hati, sehingga mereka tidak tahan lama. Apabila mereka menderita kesusahan atau penganiayaan oleh sebab perkhabaran itu, segera mereka tidak lagi percaya kepada perkhabaran itu. 22 Benih yang jatuh di tengah semak berduri bagaikan orang yang mendengar perkhabaran itu, tetapi kekhuatiran tentang hidup dan keinginan untuk hidup mewah membantutkan perkhabaran itu sehingga tidak berbuah. 23 Benih yang jatuh di tanah subur bagaikan orang yang mendengar perkhabaran itu lalu memahaminya, dan berbuah banyak; ada yang seratus kali ganda, ada yang enam puluh kali ganda, dan ada yang tiga puluh kali ganda.'' 24 Yesus menceritakan sebuah perumpamaan lain kepada mereka. "Apabila Allah memerintah, keadaannya seperti seorang yang menabur benih yang baik di ladangnya. 25 Pada suatu malam, ketika semua orang sedang tidur, musuhnya datang lalu menanam lalang di antara gandum itu, kemudian dia pergi. 26 Apabila tanaman itu membesar dan bulir gandum muncul, lalang-lalang itu kelihatan. 27 Hamba peladang itu datang kepadanya dan berkata, `Tuan menanam benih yang baik di ladang. Dari manakah datangnya lalang-lalang ini?' 28 Peladang itu menjawab, `Seorang musuh sudah melakukan perkara ini.' Hambanya bertanya, `Adakah tuan mahu kami mencabut lalang-lalang itu?' 29 `Tidak,' jawabnya, `kerana pada masa kamu mencabut lalang, mungkin gandum ikut tercabut. 30 Biarkanlah lalang tumbuh bersama-sama gandum sehingga tiba masa menuai gandum. Lalu aku akan berkata kepada para penuai supaya mencabut lalang dahulu, lalu mengikatnya dan kemudian membakarnya. Selepas itu baru kumpulkan gandum, lalu simpanlah gandum di dalam jelapang.' '' Sawi yang dimaksudkan di sini sejenis tanaman yang dapat tumbuh setinggi kira-kira tiga meter. 31 Yesus menceritakan sebuah perumpamaan lain kepada mereka, "Apabila Allah memerintah, keadaannya seperti sebutir biji sawi yang diambil oleh seseorang, lalu ditanam di ladang. 32 Biji sawi adalah benih yang terkecil, tetapi apabila tumbuh, menjadi lebih besar daripada segala tanaman. Tanaman itu menjadi pokok, sehingga burung datang membuat sarang pada cabangnya.'' 33 Yesus menceritakan sebuah perumpamaan lain. "Apabila Allah memerintah, keadaannya seperti ini. Seorang wanita mengambil sedikit ragi, lalu mencampurnya dengan empat puluh liter tepung sehingga adunan itu naik.'' 34 Demikianlah Yesus mengajar orang ramai perkara-perkara ini dengan menggunakan perumpamaan. Dia tidak berkata apa-apa tanpa menggunakan perumpamaan. 35 Yesus berbuat demikian supaya berlakulah apa yang dikatakan oleh nabi, "Aku akan menggunakan perumpamaan apabila bertutur dengan mereka; Aku akan memberitahu mereka perkara-perkara yang tersembunyi sejak dunia diciptakan.'' 36 Setelah itu Yesus meninggalkan orang ramai lalu masuk ke dalam rumah. Pengikut-pengikut-Nya datang kepada-Nya dan berkata, "Beritahulah kami makna perumpamaan tentang lalang di antara gandum itu.'' 37 Yesus berkata, "Orang yang menabur benih yang baik itu Anak Manusia. 38 Ladang itu dunia ini; benih yang baik itu orang yang menjadi umat Allah, sedangkan lalang itu orang yang berpihak kepada Si Jahat. 39 Musuh yang menabur benih lalang itu Iblis. Masa menuai tuaian itu Hari Kiamat dan para penuai itu malaikat-malaikat. 40 Sebagaimana lalang dikumpulkan dan dibakar di dalam api, demikian juga halnya pada Hari Kiamat kelak. 41 Anak Manusia akan menyuruh malaikat-malaikat-Nya mengumpulkan semua orang antara umat-Nya yang menyebabkan orang berdosa, dan semua orang lain yang melakukan kejahatan. 42 Mereka semua akan dibuang ke dalam tempat pembakaran yang berapi. Di situ mereka akan menangis dan menderita. 43 Kemudian orang yang melakukan kehendak Allah akan bersinar seperti matahari di Dunia Baru Allah, Bapa mereka. Jika kamu bertelinga, dengarlah!'' 44 "Apabila Allah memerintah, keadaannya seperti ini. Seseorang menjumpai harta yang terpendam di tanah, lalu dia memendamnya semula. Kemudian dengan penuh sukacita dia pergi menjual segala miliknya, lalu kembali dan membeli tanah itu.'' 45 "Apabila Allah memerintah, keadaannya seperti ini. Seorang saudagar mencari mutiara yang sangat berharga. 46 Apabila dia menemui sebutir mutiara yang sangat berharga, dia menjual segala miliknya, lalu membeli mutiara itu.'' 47 "Apabila Allah memerintah, keadaannya seperti pukat yang dilabuhkan ke dalam tasik lalu mendapat bermacam-macam ikan. 48 Apabila pukat itu sudah penuh, nelayan menariknya ke darat. Lalu mereka duduk dan memisahkan ikan-ikan itu: yang baik disimpan di dalam bekas dan yang tidak baik dibuang. 49 Demikianlah halnya pada Hari Kiamat. Malaikat-malaikat akan datang untuk mengumpulkan orang jahat antara orang yang melakukan kehendak Allah. 50 Lalu orang jahat akan dibuang ke dalam tempat pembakaran yang berapi. Di sana mereka akan menangis dan menderita.'' 51 "Fahamkah kamu akan perkara-perkara ini?'' tanya Yesus kepada pengikut-pengikut-Nya. "Kami faham,'' jawab mereka. 52 Yesus berkata pula, "Oleh itu setiap guru Taurat yang telah menerima ajaran tentang Pemerintahan Allah, bagaikan pemilik rumah yang mengeluarkan benda baru dan benda lama dari stornya.'' 53 Setelah Yesus menceritakan perumpamaan-perumpamaan itu, Dia meninggalkan tempat itu, 54 lalu balik ke kampung halaman-Nya. Di sana Dia mengajar di rumah ibadat, dan orang yang mendengar-Nya hairan. Mereka bertanya, "Dari manakah dia mendapat kebijaksanaan seperti itu? Dari manakah dia mendapat kuasa untuk melakukan mukjizat? 55 Bukankah dia anak tukang kayu? Bukankah Maria itu ibunya, dan Yakobus, Yusuf, Simon, serta Yudas itu saudaranya? 56 Bukankah saudara-saudara perempuannya bersama-sama kita? Dari manakah dia memperoleh semuanya ini?'' 57 Oleh itu mereka tidak mahu menerima Dia. Yesus berkata kepada mereka, "Seorang nabi dihormati di mana sahaja, kecuali di kampung halamannya dan antara keluarganya sendiri.'' 58 Yesus tidak melakukan banyak mukjizat di situ kerana mereka tidak percaya kepada-Nya.

Matius 14

1 Pada masa itulah Herodes, penguasa negeri Galilea, mendengar berita tentang Yesus. 2 Herodes berkata kepada pegawai-pegawainya, "Sesungguhnya dia itu Yohanes Pembaptis! Dia sudah hidup semula! Itulah sebabnya dia mempunyai kuasa untuk melakukan mukjizat.'' 3 Herodes menyangka demikian kerana sebelum itu Herodes memberikan perintah supaya Yohanes ditangkap, dirantai lalu dimasukkan ke dalam penjara. Herodes berbuat demikian kerana Herodias itu, isteri Filipus, saudaranya. 4 Yohanes sentiasa menegur Herodes, katanya, "Tuan bersalah kerana berkahwin dengan Herodias!'' 5 Herodes berniat membunuh Yohanes, tetapi Herodes takut akan orang Yahudi kerana mereka menganggap Yohanes sebagai nabi. 6 Pada hari jadi Herodes, anak perempuan Herodias menari di hadapan para hadirin dan menghiburkan hati Herodes. 7 Oleh itu Herodes bersumpah akan memberikan apa sahaja yang diminta oleh gadis itu. 8 Gadis itu mengikut kehendak ibunya dan meminta kepala Yohanes Pembaptis di atas talam pada waktu itu juga. 9 Mendengar permintaan itu, Herodes bersedih hati. Tetapi Herodes sudah bersumpah di hadapan semua hadirin. Oleh itu Herodes memberikan perintah supaya permintaan gadis itu dipenuhi. 10 Oleh itu Herodes menyuruh orang pergi ke penjara untuk memancung kepala Yohanes. 11 Kemudian kepala Yohanes ditaruh di atas talam dan diserahkan kepada gadis itu. Lalu gadis itu membawa kepala Yohanes kepada ibunya. 12 Setelah itu pengikut Yohanes datang untuk mengambil jenazah Yohanes dan mengebumikannya. Kemudian mereka pergi dan memberitahu Yesus hal itu. 13 Apabila Yesus mendengar berita tentang Yohanes, Dia meninggalkan tempat itu dengan perahu, lalu pergi sendirian ke suatu tempat yang sunyi. Tetapi orang ramai mendengar hal itu, lalu mereka meninggalkan bandar mereka dan mengikut Yesus melalui jalan darat. 14 Apabila Yesus turun dari perahu dan melihat orang ramai itu, Dia mengasihani mereka dan menyembuhkan orang sakit di situ. 15 Pada petang harinya, pengikut-pengikut Yesus datang dan berkata kepada-Nya, "Hari sudah hampir malam dan tempat ini terpencil. Suruhlah semua orang ini pergi, supaya dapat membeli makanan di pekan.'' 16 Tetapi Yesus menjawab, "Mereka tidak usah pergi; kamu sendiri beri mereka makanan.'' 17 Pengikut-pengikut-Nya berkata, "Kami hanya mempunyai lima ketul roti dan dua ekor ikan!'' 18 Yesus berkata, "Bawalah makanan itu kepada-Ku.'' 19 Kemudian Dia menyuruh orang ramai duduk di atas rumput. Lalu Yesus mengambil lima ketul roti dan dua ekor ikan itu. Kemudian Dia menengadah ke langit dan mengucap syukur kepada Allah. Setelah itu Dia membahagikan roti itu dan menyerahkannya kepada pengikut-pengikut-Nya supaya diberikan kepada orang ramai itu. 20 Tiap-tiap orang makan sehingga kenyang. Selepas itu pengikut-pengikut-Nya mengumpulkan lebihan makanan sebanyak dua belas buah bakul. 21 Jumlah orang lelaki yang makan kira-kira lima ribu orang, belum terhitung wanita dan kanak-kanak. 22 Kemudian Yesus menyuruh pengikut-pengikut-Nya naik perahu dan menyeberangi tasik terlebih dahulu, sementara Dia menyuruh orang ramai pulang. 23 Setelah orang ramai pergi, Yesus naik ke bukit seorang diri lalu berdoa. Pada petang harinya Yesus masih sendirian di situ. 24 Tetapi pada masa itu perahu yang dinaiki oleh pengikut Yesus sudah jauh di tengah-tengah tasik, dan diumbang-ambingkan ombak kerana angin bertiup dari arah yang berlawanan. 25 Antara pukul tiga dan enam pagi, Yesus berjalan di atas air dan menghampiri mereka. 26 Apabila pengikut-pengikut-Nya nampak Dia berjalan di atas air, mereka berasa gerun. "Hantu!'' jerit mereka dengan ketakutan. 27 Tetapi Yesus segera berkata kepada mereka, "Tabahkan hati kamu! Aku Yesus. Jangan takut!'' 28 Lalu Petrus berkata, "Ya Tuhan, jika Engkau benar-benar Yesus, suruhlah aku datang berjalan di atas air.'' 29 "Marilah,'' jawab Yesus. Petrus turun dari perahu dan mula berjalan di atas air menuju kepada Yesus. 30 Tetapi apabila Petrus nampak betapa kencangnya angin bertiup, dia takut dan mula tenggelam. Lalu Petrus berseru, "Ya Tuhan, selamatkanlah aku!'' 31 Dengan segera Yesus menghulurkan tangan lalu memegang dia. Yesus berkata, "Mengapa engkau kurang percaya kepada-Ku? Mengapa engkau meragui Aku?'' 32 Lalu kedua-dua mereka menaiki perahu dan angin pun teduh. 33 Kemudian pengikut Yesus yang di perahu sujud menyembah Yesus sambil berkata, "Sesungguhnya Engkau Anak Allah!'' 34 Mereka menyeberangi tasik lalu tiba di Genesaret. 35 Orang di situ mengenal Yesus. Kemudian mereka memberitahu semua orang di sekitar daerah itu bahawa Yesus datang, lalu mereka membawa orang sakit kepada Yesus. 36 Mereka memohon supaya setidak-tidaknya Yesus membenarkan orang sakit menyentuh hujung jubah-Nya. Semua orang sakit yang menyentuh hujung jubah-Nya sembuh.

Matius 15

1 Kemudian beberapa orang Farisi dan guru Taurat dari Yerusalem datang kepada Yesus dan bertanya, 2 "Mengapa pengikutmu melanggar adat istiadat nenek moyang kita? Sebelum makan, mereka tidak membasuh tangan menurut adat!'' 3 Yesus menjawab, "Mengapa kamu tidak menurut perintah Allah, tetapi menurut ajaran kamu sendiri? 4 Allah berfirman, `Hormatilah ibu bapamu,' dan `Orang yang mencaci ibu bapa mesti dihukum mati.' 5 Tetapi kamu mengajarkan: Jika seseorang berkata kepada ibu bapanya, `Apa yang seharusnya saya gunakan untuk menolong ayah dan emak, sudah saya persembahkan kepada Allah,' 6 maka orang itu tidak perlu menghormati bapanya. Demikianlah kamu meniadakan firman Allah untuk menurut ajaran kamu sendiri. 7 Kamu munafik! Tepat sekali apa yang dikatakan oleh Nabi Yesaya tatkala dia bernubuat tentang kamu! 8 Allah berfirman, `Semua orang ini menghormati Aku dengan kata-kata, tetapi hati mereka sebenarnya jauh daripada-Ku. 9 Sia-sialah mereka menyembah Aku, kerana peraturan manusia diajarkan oleh mereka seolah-olah peraturan itu hukum Allah!' '' 10 Kemudian Yesus memanggil orang ramai dan berkata kepada mereka, "Dengarlah dan fahamilah! 11 Apa yang masuk ke dalam mulut seseorang tidak dapat menajiskan dia. Tetapi apa yang keluar dari mulut, itulah yang menajiskan dia.'' 12 Kemudian pengikut-pengikut Yesus datang dan berkata kepada-Nya, "Guru, tahukah Guru bahawa orang Farisi tersinggung oleh kata-kata Guru?'' 13 Yesus menjawab, "Tiap-tiap tanaman yang tidak ditanam oleh Bapa-Ku di syurga akan dicabut. 14 Jangan pedulikan orang Farisi. Mereka pemimpin buta, dan apabila orang buta memimpin orang buta, kedua-dua mereka jatuh ke dalam longkang.'' 15 Petrus berkata, "Jelaskanlah makna perumpamaan itu kepada kami.'' 16 Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, "Kamu ini pengikut-Ku, tetapi kamu pun tidak faham seperti mereka. 17 Tidakkah kamu mengerti? Apa yang masuk ke dalam mulut seseorang, turun ke dalam perut lalu keluar lagi. 18 Tetapi apa yang keluar dari mulut, berasal dari hati, dan hal-hal inilah yang menajiskan orang. 19 Dari hatilah timbul fikiran jahat, yang menyebabkan seseorang membunuh, berzina, berbuat cabul, merompak, memberikan kesaksian palsu, dan memfitnah. 20 Hal-hal itulah yang menajiskan orang, dan bukan makan dengan tidak membasuh tangan menurut adat!'' 21 Yesus meninggalkan tempat itu lalu pergi ke kawasan dekat bandar Tirus dan Sidon. 22 Seorang wanita Kanaan yang tinggal di kawasan itu datang kepada Yesus dan berseru, "Anak Daud, kasihanilah saya! Anak perempuan saya dirasuk roh jahat dan keadaannya amat teruk.'' 23 Yesus tidak menjawab sepatah kata pun. Pengikut-pengikut-Nya datang dan memohon kepada-Nya, "Suruhlah wanita ini pergi. Dia mengikut kita dan membuat bising sahaja!'' 24 Yesus berkata kepada wanita itu, "Aku diutus hanya kepada orang Israel yang seperti domba yang sesat.'' 25 Mendengar kata-kata itu, wanita itu menghampiri Yesus dan sujud di hadapan-Nya. Dia berkata, "Tuan, tolonglah saya.'' 26 Tetapi Yesus menjawab, "Tidaklah patut mengambil makanan anak-anak lalu melemparkannya kepada anjing.'' 27 "Betul, tuan,'' jawab wanita itu, "tetapi anjing pun makan sisa yang jatuh dari meja tuannya.'' 28 Oleh itu Yesus berkata kepadanya, "Kamu seorang wanita yang sungguh percaya kepada-Ku! Apa yang kamu kehendaki akan berlaku!'' Pada saat itu juga anak wanita itu sembuh. 29 Yesus meninggalkan tempat itu lalu berjalan menyusur tepi Tasik Galilea. Kemudian Dia naik ke sebuah bukit lalu duduk. 30 Banyak orang datang kepada-Nya dan membawa orang yang tempang, yang buta, yang lumpuh, yang bisu, dan banyak lagi orang sakit. Mereka meletakkan semua orang ini di hadapan Yesus dan Yesus menyembuhkan mereka semua. 31 Orang ramai hairan apabila mereka melihat yang bisu bercakap, yang lumpuh berjalan, yang tempang sembuh, dan yang buta melihat. Mereka memuji-muji Allah umat Israel. 32 Yesus memanggil pengikut-pengikut-Nya lalu berkata, "Aku kasihan kepada orang ramai ini. Sudah tiga hari mereka bersama-sama Aku dan sekarang mereka kehabisan makanan. Aku tidak mahu menyuruh mereka pulang dengan perut kosong, kerana mungkin mereka akan pengsan di tengah jalan.'' 33 Pengikut-pengikut Yesus bertanya kepada-Nya, "Di manakah kami dapat memperoleh makanan yang cukup di tempat terpencil ini untuk orang ramai ini?'' 34 Yesus bertanya kepada mereka, "Berapa banyak roti yang ada pada kamu?'' "Tujuh ketul,'' jawab mereka, "dan beberapa ekor ikan kecil.'' 35 Yesus menyuruh orang ramai duduk di atas tanah. 36 Kemudian Dia mengambil tujuh ketul roti dan ikan itu. Dia mengucap syukur kepada Allah, lalu membahagikan makanan itu dan menyerahkannya kepada pengikut-pengikut-Nya untuk diberikan kepada orang ramai. 37 Semua orang makan sehingga kenyang. Kemudian pengikut-pengikut Yesus mengumpulkan lebihan roti dan ikan sebanyak tujuh buah bakul. 38 Jumlah orang lelaki yang makan ada empat ribu orang, belum terhitung wanita dan kanak-kanak. 39 Sesudah itu Yesus menyuruh orang ramai pulang, lalu Dia menaiki sebuah perahu dan pergi ke daerah Magadan.

Matius 16

1 Beberapa orang Farisi dan orang Saduki datang kepada Yesus. Mereka hendak memerangkap Dia. Mereka meminta Yesus melakukan mukjizat untuk membuktikan bahawa Dia datang daripada Allah. 2 Yesus menjawab, "Apabila matahari terbenam, kamu berkata, `Cuaca baik, kerana langit merah.' 3 Pada pagi hari, kamu berkata, `Hari akan hujan, kerana langit merah dan gelap.' Kamu dapat meramalkan cuaca dengan melihat keadaan langit, tetapi kamu tidak dapat memahami hal-hal yang berlaku pada masa ini! 4 Alangkah jahat dan derhakanya orang zaman ini! Kamu meminta Aku melakukan mukjizat, tetapi satu-satunya mukjizat yang akan ditunjukkan kepada kamu hanyalah mukjizat Nabi Yunus.'' Setelah berkata demikian, Yesus meninggalkan mereka lalu pergi dari situ. 5 Apabila pengikut-pengikut Yesus menyeberangi tasik, mereka lupa membawa roti. 6 Yesus berkata kepada mereka, "Berhati-hatilah dengan ragi orang Farisi dan Saduki.'' 7 Mereka mula bercakap sesama sendiri, "Dia berkata demikian kerana kita tidak membawa roti.'' 8 Yesus mengetahui apa yang dipersoalkan mereka. Dia berkata, "Mengapa kamu mempersoalkan hal tidak membawa roti? Kamu kurang percaya kepada-Ku! 9 Adakah kamu masih belum mengerti? Tidakkah kamu ingat bagaimana Aku membahagikan lima ketul roti untuk lima ribu orang? Berapa buah bakul lebihan makanan yang kamu kumpulkan? 10 Bagaimanakah dengan tujuh ketul roti yang Aku bahagikan untuk empat ribu orang? Berapa buah bakul lebihan makanan yang kamu kumpulkan? 11 Mengapakah kamu tidak faham bahawa Aku tidak berkata-kata tentang roti? Berhati-hatilah dengan ragi orang Farisi dan Saduki!'' 12 Barulah pengikut-pengikut Yesus faham bahawa Yesus tidak menyuruh mereka berhati-hati dengan ragi yang digunakan untuk membuat roti, tetapi dengan ajaran orang Farisi dan Saduki. 13 Yesus pergi ke daerah dekat kota Kaisarea Filipi. Di situ Dia bertanya kepada pengikut-pengikut-Nya, "Menurut kata orang siapakah Anak Manusia itu?'' 14 Mereka menjawab, "Ada yang berkata Yohanes Pembaptis. Ada juga yang berkata Elia, sedangkan yang lain berkata Yeremia atau salah seorang nabi.'' 15 "Tetapi menurut kamu, siapakah Aku ini?'' tanya Yesus. 16 Simon Petrus menjawab, "Guru ialah Penyelamat yang diutus oleh Allah, Anak Allah Yang Hidup.'' 17 "Hai Simon anak Yohanes, berbahagialah engkau!'' kata Yesus, "Bukannya manusia yang memberitahukan hal itu kepadamu, tetapi Bapa-Ku di syurga yang memberitahumu. 18 Oleh itu ketahuilah, engkau Petrus, batu yang kuat. Dengan beralaskan batu inilah, Aku akan membina jemaah-Ku. Bahkan maut pun tidak dapat memusnahkannya! 19 Aku akan memberikan kunci Dunia Baru Allah kepadamu. Apa yang engkau larang di atas bumi, akan dilarang juga di syurga. Apa yang engkau benarkan di atas bumi, akan dibenarkan juga di syurga.'' 20 Kemudian Yesus melarang pengikut-pengikut-Nya memberitahu sesiapa pun bahawa Dia Penyelamat yang diutus oleh Allah. 21 Sejak itu, Yesus mula berkata dengan terus-terang kepada pengikut-pengikut-Nya, "Aku harus pergi ke Yerusalem dan mengalami banyak penderitaan yang disebabkan oleh para pemimpin masyarakat, ketua imam, dan guru Taurat. Aku akan dibunuh, tetapi pada hari ketiga Aku akan dibangkitkan semula!'' 22 Petrus menarik Yesus ke tepi dan mula menegur Dia, "Ya Tuhan, semoga Allah menjauhkan perkara itu daripada Tuhan! Perkara itu tidak boleh berlaku kepada Tuhan!'' 23 Yesus berpaling lalu berkata kepada Petrus, "Pergilah dari sini, hai Iblis! Engkau penghalang jalan-Ku. Fikiranmu itu fikiran manusia, bukan fikiran Allah!'' 24 Kemudian Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, "Jika seseorang hendak mengikut Aku, dia mesti melupakan kepentingan sendiri, memikul salib, dan mengikut Aku. 25 Sesiapa yang mempertahankan hidupnya akan kehilangan hidup yang sejati. Tetapi sesiapa yang mengorbankan hidup untuk-Ku, akan mengalami hidup yang sejati. 26 Apa gunanya jika seseorang memiliki seluruh dunia ini, tetapi kehilangan hidup yang sejati? Dapatkah seseorang menukar hidup itu dengan sesuatu? Tentu tidak. 27 Anak Manusia sudah hampir tiba bersama-sama para malaikat-Nya dengan kemuliaan Bapa-Nya. Pada masa itu Dia akan membalas tiap-tiap orang menurut perbuatannya. 28 Ketahuilah! Beberapa orang di sini tidak akan meninggal sebelum melihat Anak Manusia datang sebagai Raja.''

Matius 17

1 Enam hari kemudian Yesus membawa Petrus, Yakobus, dan Yohanes, saudaranya pergi menyendiri ke sebuah gunung yang tinggi. 2 Sewaktu mereka memandang Yesus, rupa Yesus berubah. Muka-Nya menjadi terang seperti matahari dan pakaian-Nya putih berkilau-kilauan. 3 Lalu ketiga-tiga orang pengikut itu nampak Elia dan Musa berkata-kata dengan Yesus. 4 Petrus berkata kepada Yesus, "Tuhan, sungguh baik kami di sini. Jika Tuhan mahu, aku akan mendirikan tiga buah khemah: satu untuk Tuhan, satu untuk Musa, dan satu lagi untuk Elia.'' 5 Sementara Petrus berkata-kata, awan yang bersinar-sinar meliputi mereka, dan terdengar suara dari awan berkata, "Inilah Anak-Ku yang Aku kasihi. Dia menyenangkan hati-Ku. Dengarkanlah Dia!'' 6 Apabila pengikut-pengikut Yesus mendengar suara itu, mereka sangat ketakutan dan meniarap di tanah. 7 Tetapi Yesus datang dan menyentuh mereka. "Bangunlah,'' kata-Nya, "janganlah takut!'' 8 Apabila mereka memandang di sekeliling, mereka tidak nampak sesiapa pun, kecuali Yesus. 9 Semasa mereka turun dari gunung itu, Yesus memerintah mereka, "Jangan beritahu sesiapa pun apa yang telah kamu lihat, selagi Anak Manusia belum dibangkitkan daripada kematian.'' 10 Pengikut-pengikut-Nya bertanya kepada Yesus, "Mengapakah guru Taurat berkata bahawa Elia mesti datang terlebih dahulu?'' 11 Yesus menjawab, "Elia memang datang terlebih dahulu untuk menyediakan segala-galanya. 12 Tetapi Aku berkata kepada kamu, Elia sudah datang namun orang tidak mengenal dia; mereka memperlakukan dia dengan sesuka hati mereka. Dengan cara yang sama mereka akan memperlakukan Anak Manusia.'' 13 Barulah pengikut Yesus mengerti bahawa Yesus berkata-kata tentang Yohanes Pembaptis. 14 Apabila Yesus dan ketiga-tiga orang pengikut-Nya kembali kepada orang ramai, seorang lelaki datang dan berlutut di hadapan Yesus. 15 Dia berkata, "Tuan, kasihanilah anak lelaki saya! Dia menderita penyakit gila babi. Serangan sawannya begitu teruk sehingga kerap kali dia jatuh ke dalam air atau api. 16 Saya membawa dia kepada pengikut-pengikut tuan, tetapi mereka tidak dapat menyembuhkannya.'' 17 Yesus menjawab, "Hai kamu orang yang tidak percaya dan yang sesat! Berapa lamakah Aku harus tinggal bersama-sama kamu? Berapa lamakah Aku harus bersabar terhadap kamu? Bawa anak itu ke mari!'' 18 Yesus menengking roh jahat itu, dan roh jahat itu pun keluar daripada anak itu. Pada saat itu juga anak itu sembuh. 19 Kemudian pengikut-pengikut Yesus datang kepada Yesus, dan apabila tidak ada orang lain di situ mereka bertanya, "Mengapakah kami tidak dapat mengusir roh jahat itu?'' 20 Yesus menjawab, "Kamu tidak dapat melakukannya, kerana kamu kurang percaya kepada Allah. Ketahuilah! Jika kamu mempunyai iman sebesar biji sawi, kamu dapat berkata kepada bukit ini, `Beralihlah ke sana!' dan bukit ini akan beralih. Kamu dapat melakukan apa sahaja! 21 Tetapi roh jahat semacam ini, hanya dapat diusir dengan doa dan puasa.'' 22 Apabila semua pengikut Yesus berkumpul di Galilea, Yesus berkata kepada mereka, "Tidak lama lagi Anak Manusia akan diserahkan ke dalam kekuasaan manusia. 23 Dia akan dibunuh, tetapi pada hari ketiga, Dia akan dibangkitkan semula.'' Oleh itu pengikut-pengikut-Nya berdukacita. 24 Apabila Yesus dan pengikut-pengikut-Nya tiba di Kapernaum, para pemungut cukai Rumah Tuhan datang kepada Petrus dan bertanya, "Adakah guru kamu membayar cukai Rumah Tuhan?'' 25 Petrus menjawab, "Tentu sahaja!'' Apabila Petrus masuk ke dalam rumah, dan sebelum dia berkata apa-apa, Yesus berkata kepadanya, "Simon, apa pendapatmu? Siapakah yang membayar cukai kepada raja-raja dunia ini? Rakyat atau orang asing?'' 26 "Orang asing,'' jawab Petrus. "Jika demikian,'' kata Yesus, "rakyat tidak perlu membayar. 27 Tetapi janganlah kita singgung perasaan sesiapa pun. Pergilah ke tasik dan pancinglah ikan. Di dalam mulut ikan pertama yang engkau tangkap, engkau akan mendapati sekeping duit syiling yang cukup untuk membayar cukai Rumah Tuhan bagi kita berdua. Ambillah duit itu dan bayarlah cukai kita.''

Matius 18

1 Pada waktu itu pengikut-pengikut Yesus datang kepada Yesus dan bertanya, "Siapakah yang dianggap terbesar antara orang yang menikmati Pemerintahan Allah?'' 2 Yesus memanggil seorang kanak-kanak dan menyuruhnya berdiri di hadapan mereka semua. 3 Lalu Yesus berkata, "Ketahuilah! Kecuali kamu mengubah sikap dan menjadi seperti kanak-kanak, kamu tidak dapat menikmati Pemerintahan Allah. 4 Orang yang dianggap terbesar antara mereka yang menikmati Pemerintahan Allah adalah orang yang merendahkan diri dan menjadi seperti kanak-kanak. 5 Sesiapa yang menyambut kanak-kanak seperti ini kerana Aku, menyambut Aku.'' 6 "Sesiapa menyebabkan salah seorang pengikut-Ku yang kecil ini tidak lagi percaya kepada-Ku, lebih baik jika batu kisaran diikatkan pada leher orang itu, lalu dia ditenggelamkan ke dalam laut yang dalam. 7 Alangkah malangnya dunia ini kerana ada perkara-perkara yang menyebabkan orang berdosa. Perkara-perkara seperti ini akan sentiasa berlaku, tetapi malanglah orang yang menyebabkannya! 8 Jika tangan atau kakimu menyebabkan kamu berdosa, potonglah dan buanglah tangan atau kaki itu. Lebih baik kamu hidup dengan Allah tanpa sebelah tangan atau sebelah kaki, daripada kamu dibuang ke dalam api neraka dengan kedua-dua belah tangan atau kaki. 9 Jika matamu menyebabkan kamu berdosa, cungkillah dan buanglah mata itu! Lebih baik kamu hidup dengan Allah tanpa sebelah mata, daripada kamu dibuang ke dalam api neraka dengan kedua-dua belah mata.'' 10 "Awas! Jangan hina salah seorang pengikut-Ku yang kecil ini. Ketahuilah, malaikat-malaikat mereka sentiasa di hadirat Bapa-Ku di syurga. 11 Anak Manusia datang untuk menyelamatkan orang yang sesat! 12 Bagaimanakah pendapat kamu? Apakah yang akan dilakukan oleh seorang yang mempunyai seratus ekor domba, jika seekor daripada kawanan domba itu sesat? Tentunya orang itu akan meninggalkan sembilan puluh sembilan ekor domba yang sedang meragut rumput di bukit, lalu pergi mencari domba yang sesat itu. 13 Ketahuilah! Apabila dia menjumpai domba itu, kegembiraannya atas domba yang seekor itu lebih besar daripada kegembiraannya atas sembilan puluh sembilan ekor domba lainnya yang tidak sesat. 14 Demikian juga Bapa kamu yang di syurga tidak mahu salah seorang pengikut-Ku yang kecil ini sesat.'' 15 "Jika saudaramu berdosa terhadapmu, pergilah kepadanya dan tunjukkan kesalahannya. Lakukan hal ini dengan diam-diam antara kamu berdua sahaja. Jika dia menurut kata-katamu, maka kamu berjaya mendapat kembali saudaramu. 16 Tetapi jika tidak, bawalah seorang atau dua orang bersama-samamu. Berbuatlah demikian kerana di dalam Alkitab tertulis, `Tiap-tiap tuduhan harus dikuatkan oleh kesaksian dua atau tiga orang saksi.' 17 Jika dia tidak mahu menerima nasihat mereka, beritahukan perkara itu kepada jemaah. Akhirnya jika dia masih tidak mahu menerima nasihat jemaah, anggaplah dia sebagai orang yang tidak mengenal Allah atau sebagai pemungut cukai.'' 18 "Ketahuilah, apa yang kamu larang di dunia, akan dilarang juga di syurga. Apa yang kamu izinkan di dunia, akan diizinkan juga di syurga. 19 Ketahuilah juga, setiap kali dua orang antara kamu di dunia ini bersetuju berdoa bagi perkara apa sahaja, doa itu akan dikabulkan oleh Bapa-Ku di syurga. 20 Hal itu demikian kerana apabila dua atau tiga orang berkumpul kerana Aku, Aku pun di situ bersama-sama mereka.'' 21 Petrus datang kepada Yesus dan bertanya, "Ya Tuhan, jika saudaraku berdosa terhadap aku, berapa kalikah harus aku ampuni dia? Sehingga tujuh kalikah?'' 22 Yesus menjawab, "Bukan tujuh kali, tetapi tujuh puluh kali tujuh kali! 23 Aku berkata demikian, kerana apabila Allah memerintah keadaannya seperti berikut. Seorang raja hendak memeriksa akaun pegawai-pegawainya. 24 Apabila raja mula berbuat demikian, salah seorang pegawainya yang meminjam wang beratus-ratus juta dibawa menghadap. 25 Pegawai itu tidak mempunyai cukup wang untuk melunaskan hutangnya. Oleh itu, raja memberikan perintah supaya pegawai itu dijual sebagai hamba bersama-sama anak isterinya dan segala harta miliknya, untuk melunaskan hutang. 26 Pegawai itu sujud di hadapan raja dan memohon, `Bersabarlah terhadap hamba. Hamba akan melunaskan segala hutang hamba.' 27 Raja itu kasihan kepadanya lalu menghapuskan semua hutangnya dan membebaskan dia. 28 Tetapi apabila pegawai itu keluar, dia berjumpa dengan seorang pegawai lain yang berhutang wang beberapa ratus sahaja kepadanya. Dia menangkap rakannya, lalu mencekiknya dan berkata, `Lunaskan semua hutangmu.' 29 Rakannya itu sujud di hadapannya dan memohon, `Bersabarlah, aku akan melunaskan hutangku!' 30 Tetapi pegawai itu tidak menghiraukan permohonan rakannya. Sebaliknya, dia memberikan perintah supaya rakannya dipenjarakan sehingga dia melunaskan hutangnya. 31 Apabila pegawai-pegawai yang lain melihat hal itu, mereka sangat sedih dan melaporkan segala perkara itu kepada raja. 32 Lalu raja memanggil pegawai yang jahat itu dan bertitah, `Hai hamba yang jahat! Semua hutangmu sudah dihapuskan kerana kamu memohon supaya beta mengampunimu. 33 Sepatutnya kamu mengasihani rakanmu, sebagaimana beta sudah mengasihani kamu.' 34 Raja sangat murka, lalu pegawai yang jahat itu dipenjarakan dan dihukum sehingga semua hutangnya dilunaskan.'' 35 Yesus mengakhiri ceritanya dan berkata, "Demikianlah Bapa-Ku yang di syurga akan memperlakukan setiap orang daripada kamu, jika kamu tidak mengampuni saudaramu dengan ikhlas.''

Matius 19

1 Setelah Yesus mengatakan semua perkara itu, Dia meninggalkan Galilea lalu pergi ke daerah Yudea di seberang Sungai Yordan. 2 Banyak orang mengikut Dia, dan Dia menyembuhkan orang sakit di situ. 3 Beberapa orang Farisi datang untuk memerangkap Yesus. Mereka bertanya, "Adakah Taurat kita membenarkan seorang lelaki menceraikan isterinya dengan sebarang alasan?'' 4 Yesus menjawab, "Belum pernahkah kamu baca ayat Alkitab yang mengatakan bahawa pada mulanya Allah menjadikan orang lelaki dan perempuan? 5 Kemudian Allah berfirman, `Itulah sebabnya seorang lelaki meninggalkan ibu bapanya dan bersatu dengan isterinya, lalu kedua-duanya menjadi satu.' 6 Dengan demikian mereka bukan lagi dua orang, tetapi satu. Oleh itu mereka yang telah disatukan oleh Allah, tidak boleh dipisahkan oleh manusia.'' 7 Orang Farisi di situ bertanya kepada Yesus, "Jika demikian, mengapa Musa memberikan hukum yang membenarkan seseorang menceraikan isterinya asal menulis surat cerai?'' 8 Yesus menjawab, "Musa membenarkan kamu menceraikan isteri kerana kamu terlalu sukar diajar. Tetapi sebenarnya bukanlah demikian pada mulanya. 9 Ketahuilah, sesiapa menceraikan isterinya, kecuali kerana perzinaan, orang itu berzina jika dia berkahwin lagi dengan wanita lain.'' 10 Pengikut-pengikut Yesus berkata kepada-Nya, "Jika demikian halnya dengan kehidupan suami isteri, lebih baik tidak berkahwin.'' 11 Yesus menjawab, "Tidak semua orang dapat menerima ajaran ini, hanya mereka yang sudah dikurniai oleh Allah kemampuan untuk menerimanya. 12 Banyak sebabnya mengapa orang tidak berkahwin: Ada yang dilahirkan demikian, ada yang dijadikan mandul, dan ada pula yang tidak berkahwin supaya dapat mengabdikan diri kepada Allah. Biarlah orang yang sanggup menerima ajaran ini, berbuat demikian.'' 13 Beberapa orang membawa kanak-kanak kepada Yesus supaya Yesus meletakkan tangan-Nya pada kepala kanak-kanak itu dan mendoakan mereka. Tetapi pengikut-pengikut Yesus memarahi orang yang membawa semua kanak-kanak itu. 14 Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, "Biarlah kanak-kanak itu datang kepada-Ku! Jangan larang mereka, kerana orang seperti inilah yang menikmati Pemerintahan Allah.'' 15 Yesus meletakkan tangan-Nya pada kepala semua kanak-kanak itu. Kemudian Dia pergi. 16 Pada suatu hari seorang lelaki datang kepada Yesus. Dia bertanya, "Guru, perbuatan baik apakah yang harus saya lakukan supaya beroleh hidup sejati dan kekal?'' 17 Yesus menjawab, "Mengapakah kamu bertanya kepada-Ku tentang apa yang baik? Hanya Allah yang baik. Taatilah hukum Allah jika kamu hendak beroleh hidup sejati dan kekal.'' 18 "Hukum yang mana?'' tanya orang itu. Yesus menjawab, "Jangan membunuh; jangan berzina; jangan mencuri; jangan berikan kesaksian palsu; 19 hormatilah ibu bapamu; dan kasihilah sesama manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri.'' 20 "Semua hukum ini sudah saya taati,'' jawab orang muda itu. "Adakah lagi yang harus saya lakukan?'' 21 Yesus berkata kepadanya, "Jika kamu hendak menjadi sempurna, pergilah jual segala sesuatu yang kamu miliki, dan berikan wangnya kepada orang miskin, maka kamu akan beroleh harta di syurga. Kemudian marilah, ikutlah Aku.'' 22 Apabila orang muda itu mendengar hal ini, dia meninggalkan tempat itu dengan susah hati kerana dia sangat kaya. 23 Lalu Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, "Ketahuilah, susah sekali bagi seorang kaya menikmati Pemerintahan Allah. 24 Aku berkata kepada kamu: Lebih mudah bagi seekor unta memasuki lubang jarum daripada seorang kaya menikmati Pemerintahan Allah.'' 25 Apabila pengikut-pengikut Yesus mendengar kata-kata-Nya, mereka sangat hairan. Mereka berkata, "Jika demikian siapakah yang boleh diselamatkan?'' 26 Yesus memandang mereka lalu berkata, "Hal ini mustahil bagi manusia, tetapi Allah dapat melakukan segala perkara!'' 27 Lalu Petrus berkata, "Lihatlah, kami sudah meninggalkan segala-galanya lalu mengikut Guru. Apakah yang akan kami terima daripada Allah?'' 28 Yesus berkata kepada mereka, "Percayalah bahawa pada masa Anak Manusia duduk di atas takhta-Nya yang mulia di Dunia Baru Allah, kamu dua belas orang pengikut-Ku juga akan duduk di atas takhta dan memerintah dua belas suku Israel! 29 Setiap orang yang sudah meninggalkan rumah, atau saudara lelaki, atau saudara perempuan, atau ibu bapa, atau anak-anak, atau ladang kerana Aku, akan menerima seratus kali ganda apa yang sudah ditinggalkan, serta menerima hidup sejati dan kekal. 30 Tetapi banyak orang yang sekarang ini terdahulu akan menjadi yang terakhir, dan yang sekarang ini terakhir akan menjadi yang terdahulu.''

Matius 20

1 "Apabila Allah memerintah, keadaannya seperti perumpamaan ini. Seorang pemilik ladang anggur keluar pada waktu fajar untuk mengupah orang bekerja di ladangnya. 2 Dia bersetuju membayar mereka upah yang biasa dibayar untuk kerja sehari, iaitu sekeping wang perak. Lalu dia menyuruh mereka bekerja di ladang anggurnya. 3 Pada pukul sembilan pagi, pemilik ladang itu pergi lagi ke pasar dan melihat beberapa orang sedang menganggur. 4 Dia berkata kepada mereka, `Pergilah bekerja di ladang anggurku. Aku akan membayar kamu dengan upah yang berpatutan.' 5 Mereka pun pergi. Pada pukul dua belas tengah hari dan juga pada pukul tiga petang, pemilik ladang itu melakukan hal yang sama. 6 Pada kira-kira pukul lima petang dia pergi lagi ke pasar dan nampak beberapa orang masih menganggur. Dia bertanya kepada mereka, `Mengapa sepanjang hari kamu membuang masa tanpa melakukan apa-apa?' 7 Mereka menjawab, `Tidak ada orang yang mengupah kami untuk bekerja.' `Jika demikian, pergilah bekerja di ladang anggurku,' kata pemilik ladang itu. 8 Pada petang hari, pemilik ladang anggur itu berkata kepada ketua para pekerja, `Panggillah pekerja-pekerja itu dan bayarlah upah masing-masing, mulai daripada pekerja yang datang terakhir sampai kepada pekerja yang datang awal sekali.' 9 Pekerja yang mula bekerja dari pukul lima petang, masing-masing menerima upah sehari sebanyak sekeping wang perak. 10 Oleh itu pekerja yang diupah sejak pagi berharap menerima lebih, tetapi mereka diberikan sekeping wang perak juga. 11 Apabila mereka menerima wang itu, mereka mula bersungut-sungut terhadap pemilik ladang itu. 12 Mereka berkata, `Pekerja-pekerja yang datang terakhir itu bekerja hanya satu jam, sedangkan kami bekerja sepanjang hari di bawah terik matahari. Tetapi jumlah yang tuan bayar kepada mereka sama dengan jumlah yang tuan bayar kepada kami!' 13 Pemilik ladang anggur itu menjawab salah seorang daripada mereka, `Dengarlah, kawan! Aku tidak menipu kamu. Bukankah kamu bersetuju bekerja dengan upah sekeping wang perak sehari? 14 Ambillah upahmu dan pulanglah. Aku memang hendak memberi pekerja yang datang terakhir itu, upah sebanyak yang kamu terima. 15 Tidakkah aku berhak berbuat sekehendak hatiku dengan wangku sendiri? Mengapakah kamu cemburu kerana aku murah hati?' '' 16 Lalu Yesus berkata lagi, "Demikianlah orang yang terakhir akan menjadi yang terdahulu, dan orang yang terdahulu akan menjadi yang terakhir.'' 17 Yesus dan dua belas orang pengikut-Nya pergi ke Yerusalem. Di tengah perjalanan, Yesus mengajak mereka ke tepi lalu berkata kepada mereka sahaja, 18 "Dengarlah, kita sekarang menuju ke Yerusalem. Di sana Anak Manusia akan diserahkan kepada ketua imam dan guru Taurat. Mereka akan menjatuhkan hukuman mati kepada-Nya, 19 lalu menyerahkan Dia kepada orang bukan Yahudi, yang akan mengolok-olok Dia, menyesah Dia, dan menyalibkan Dia. Tetapi pada hari ketiga, Dia akan dibangkitkan semula.'' 20 Kemudian isteri Zebedeus datang kepada Yesus dengan kedua-dua orang anaknya. Dia berlutut di hadapan Yesus dan meminta sesuatu daripada-Nya. 21 "Apakah kehendakmu?'' tanya Yesus. Ibu itu menjawab, "Berjanjilah bahawa apabila Tuan menjadi Raja, kedua-dua orang anak saya akan duduk di sebelah kanan dan kiri Tuan.'' 22 Yesus berkata kepada kedua-dua orang anak lelaki ibu itu, "Kamu tidak tahu apa yang kamu minta. Sanggupkah kamu minum dari cawan penderitaan yang akan Aku minum?'' "Sanggup,'' jawab mereka. 23 Yesus berkata kepada mereka, "Memang kamu akan minum dari cawan penderitaan-Ku. Tetapi Aku tidak berhak menentukan orang yang akan duduk di sebelah kanan atau kiri-Ku. Bapa-Ku yang menentukan siapa orang yang akan duduk di tempat itu.'' 24 Apabila sepuluh orang pengikut-Nya yang lain mendengar hal itu, mereka marah terhadap dua orang bersaudara itu. 25 Oleh itu Yesus memanggil mereka semua lalu berkata, "Kamu tahu bahawa para penguasa bangsa yang tidak mengenal Allah menindas rakyat. Para pemimpin mereka selalu menekan rakyat. 26 Tetapi tidak demikian halnya dengan kamu. Jika seorang antara kamu hendak menjadi orang besar, dia harus melayani orang lain. 27 Jika seorang antara kamu hendak menjadi yang pertama, dia harus menjadi hamba kamu semua. 28 Kamu harus berbuat demikian kerana Anak Manusia tidak datang untuk dilayani; Dia datang untuk melayani orang serta menyerahkan nyawa-Nya untuk membebaskan banyak orang.'' 29 Ketika Yesus dan pengikut-pengikut-Nya meninggalkan Yerikho, banyak orang mengikut mereka. 30 Dua orang buta yang duduk di pinggir jalan mendengar bahawa Yesus sedang lalu di situ. Mereka mula berseru, "Ya Anak Daud, kasihanilah kami!'' 31 Orang ramai memarahi mereka dan menyuruh mereka diam. Tetapi lebih kuat lagi mereka berseru, "Ya Anak Daud, kasihanilah kami!'' 32 Yesus berhenti dan memanggil mereka. Dia bertanya, "Apakah yang kamu mahu Aku lakukan untuk kamu?'' 33 Mereka menjawab, "Tuan, kami ingin melihat!'' 34 Yesus mengasihani mereka. Dia menyentuh mata mereka, dan dengan segera mereka dapat melihat. Lalu mereka mengikut Yesus.

Matius 21

1 Semasa mendekati Yerusalem, Yesus dan pengikut-pengikut-Nya tiba di Betfage, sebuah pekan di Bukit Zaitun. Di situ Yesus menyuruh dua orang pengikut-Nya pergi terlebih dahulu. 2 Yesus berkata kepada mereka, "Pergilah ke pekan yang di hadapan itu. Sebaik sahaja kamu memasuki pekan itu, kamu akan nampak seekor keldai yang terikat, dan anaknya pun di situ. Lepaskan keldai itu dan bawa kedua-duanya kepada-Ku. 3 Jika ada orang mengatakan sesuatu, katakan kepadanya, `Tuhan memerlukannya.' Dengan segera orang itu akan membenarkan kedua-dua ekor keldai itu dibawa pergi.'' 4 Hal ini berlaku supaya terjadilah apa yang dikatakan oleh nabi, 5 "Katakanlah kepada kota Sion, Rajamu sedang datang kepada kamu. Dia rendah hati dan menunggang seekor keldai, Dia datang mengendarai anak keldai yang muda.'' 6 Kedua-dua orang pengikut itu pun pergi dan melakukan seperti yang diarahkan oleh Yesus. 7 Mereka membawa kedua-dua ekor keldai itu, lalu mengalasi punggung keldai dengan jubah mereka. Kemudian Yesus menungganginya. 8 Banyak orang membentangkan jubah di atas jalan, sementara yang lain mengerat ranting-ranting pokok, lalu menyelerakkannya di jalan. 9 Orang ramai yang berjalan di hadapan dan yang mengikut di belakang Yesus mula berseru-seru, "Pujilah Anak Daud! Diberkatilah Dia yang datang dengan nama Tuhan! Pujilah Allah!'' 10 Apabila Yesus masuk ke Yerusalem, seluruh kota menjadi gempar. Orang bertanya, "Siapakah dia?'' 11 "Dia Yesus, nabi dari Nasaret di Galilea,'' jawab orang ramai yang mengiringi Yesus. 12 Yesus masuk ke Rumah Tuhan, lalu mengusir semua orang yang berjual beli di situ. Dia menunggangbalikkan meja para penukar wang dan bangku para penjual burung merpati. 13 Yesus berkata kepada mereka, "Di dalam Alkitab tertulis bahawa Allah berfirman, `Rumah-Ku akan disebut rumah tempat berdoa.' Tetapi kamu menjadikannya tempat persembunyian perompak!'' 14 Orang buta dan orang tempang datang kepada Yesus di Rumah Tuhan dan Yesus menyembuhkan mereka. 15 Ketua imam dan guru Taurat marah apabila mereka melihat mukjizat-mukjizat yang dilakukan oleh Yesus. Mereka marah juga apabila mendengar anak-anak berseru-seru di Rumah Tuhan, "Pujilah Anak Daud!'' 16 Mereka berkata kepada Yesus, "Adakah kamu mendengar apa yang dikatakan oleh mereka?'' "Tentu sahaja,'' jawab Yesus. "Belum pernahkah kamu baca ayat Alkitab berikut, `Ya Allah, Engkau telah mengajar anak-anak dan bayi mengucapkan pujian yang sempurna.' '' 17 Yesus meninggalkan mereka, lalu keluar dari kota itu dan pergi ke Betania. Dia bermalam di situ. 18 Keesokan paginya, dalam perjalanan kembali ke kota, Yesus lapar. 19 Dia melihat sebatang pokok ara di pinggir jalan. Dia menghampiri pokok itu, tetapi tidak mendapati satu buah ara pun. Dia mendapati daun sahaja. Yesus berkata kepada pokok itu, "Hai pokok, engkau tidak akan berbuah lagi!'' Dengan segera pokok ara itu layu. 20 Apabila pengikut-pengikut Yesus nampak kejadian itu, mereka hairan. Mereka bertanya, "Bagaimanakah pokok ara itu layu dengan serta-merta?'' 21 "Ketahuilah,'' jawab Yesus, "jika kamu percaya kepada Allah dan tidak ragu-ragu, kamu akan dapat melakukan apa yang telah Aku lakukan terhadap pokok ara ini. Bukan itu sahaja, bahkan kamu akan dapat berkata kepada bukit ini, `Terangkatlah dan terbuanglah ke dalam laut!' Hal itu pun akan berlaku. 22 Apabila kamu berdoa dan percaya bahawa Allah akan melakukan apa yang kamu minta, maka Dia akan melakukannya.'' 23 Yesus kembali ke Rumah Tuhan. Semasa Dia mengajar, ketua imam dan pemimpin masyarakat Yahudi datang kepada-Nya dan bertanya, "Dengan hak siapakah kamu melakukan perkara-perkara ini? Siapakah yang memberikan hak ini kepadamu?'' 24 Yesus menjawab, "Aku akan bertanya satu soalan sahaja. Jika kamu menjawabnya, Aku akan memberitahu kamu dengan hak siapa Aku melakukan perkara-perkara ini. 25 Dengan hak siapa Yohanes membaptis orang? Dengan hak Allah atau manusia?'' Mereka mula berbincang sesama sendiri, "Apakah yang akan kita katakan? Jika kita menjawab, `Dengan hak Allah,' Dia akan berkata, `Mengapakah kamu tidak percaya kepada Yohanes?' 26 Tetapi jika kita berkata, `Dengan hak manusia,' kita takut akan apa yang mungkin dilakukan orang ramai, kerana mereka semua yakin bahawa Yohanes seorang nabi.'' 27 Oleh itu, mereka menjawab, "Kami tidak tahu.'' Yesus berkata kepada mereka, "Jika demikian Aku pun tidak mahu memberitahu kamu dengan hak siapa Aku melakukan perkara-perkara ini.'' 28 "Sekarang bagaimana pendapat kamu?'' kata Yesus selanjutnya. "Ada seorang bapa yang mempunyai dua orang anak lelaki. Dia pergi kepada anaknya yang sulung dan berkata, `Pergilah bekerja di ladang anggur hari ini.' 29 Anaknya menjawab, `Saya tidak mahu,' tetapi kemudian anak itu mengubah fikirannya lalu pergi ke ladang anggur itu. 30 Kemudian bapa itu pergi kepada anaknya yang kedua, dan mengatakan hal yang sama. `Baiklah ayah,' jawab anaknya yang kedua. Tetapi dia tidak pergi. 31 Yang manakah antara kedua-dua orang anak itu melakukan kehendak bapanya?'' "Anak yang sulung,'' jawab mereka. Oleh itu Yesus berkata kepada mereka, "Ketahuilah! Pemungut cukai dan pelacur akan menikmati Pemerintahan Allah lebih dahulu daripada kamu. 32 Yohanes Pembaptis datang kepada kamu dan menunjukkan cara hidup yang dikehendaki oleh Allah, tetapi kamu tidak mahu percaya kepada ajarannya. Sebaliknya pemungut cukai dan pelacur percaya kepada ajarannya. Meskipun kamu telah melihat pemungut cukai dan pelacur berbuat demikian, kamu tidak mahu mengubah fikiran dan percaya kepada ajarannya.'' 33 "Dengarlah sebuah perumpamaan lain,'' kata Yesus. "Seorang pemilik tanah mempunyai ladang anggur. Dia memasang pagar di sekelilingnya, menggali lubang tempat memeras buah anggur, dan mendirikan menara tempat berkawal. Kemudian dia menyewakan ladang anggur itu kepada beberapa orang, lalu dia berangkat ke negeri lain. 34 Apabila tiba masanya untuk mengumpulkan buah anggur, pemilik ladang itu mengutus hamba-hambanya kepada penyewa-penyewa ladang itu untuk menerima hasil bahagiannya. 35 Tetapi penyewa-penyewa ladang itu menangkap hamba-hamba pemilik ladang itu; ada yang dipukul, ada yang dibunuh, dan ada lagi yang direjam. 36 Sekali lagi pemilik ladang itu mengutus hamba-hamba lain, lebih banyak daripada yang dahulu. Tetapi hamba-hamba itu juga menerima perlakuan yang sama. 37 Akhirnya pemilik ladang itu mengutus anaknya kepada mereka. Dia berkata dalam hati, `Tentu mereka akan menghormati anakku.' 38 Tetapi apabila penyewa-penyewa ladang itu nampak anak pemilik ladang itu, mereka berkata sesama sendiri, `Ini dia anak pemilik ladang. Marilah kita bunuh dia, supaya kita dapat hartanya!' 39 Oleh itu mereka menangkap anak itu, membuang dia ke luar ladang, dan membunuh dia.'' 40 Kemudian Yesus bertanya, "Apabila pemilik ladang anggur itu kembali, apakah yang akan dilakukannya kepada penyewa-penyewa ladang itu?'' 41 Mereka menjawab, "Tentu dia akan membunuh semua orang jahat itu, lalu menyewakan ladang anggur itu kepada penyewa-penyewa lain yang mahu memberikan hasil bahagiannya pada musim anggur.'' 42 Yesus berkata kepada mereka, "Belum pernahkah kamu baca apa yang tertulis di dalam Alkitab? `Batu yang dibuang oleh pembina bangunan telah menjadi batu yang paling utama. Inilah perbuatan Tuhan; alangkah indahnya!' '' 43 Yesus berkata lagi, "Ketahuilah! Hak untuk menikmati Pemerintahan Allah akan diambil daripada kamu, lalu diserahkan kepada orang yang memberikan hasil yang dikehendaki oleh Allah.'' 44 Sesiapa yang jatuh pada batu itu akan hancur; dan sesiapa yang ditimpa batu itu akan tergilas menjadi debu. 45 Ketua imam dan orang Farisi mendengar perumpamaan-perumpamaan Yesus, dan mereka tahu bahawa Yesus berkata-kata tentang mereka. 46 Oleh itu mereka cuba menangkap Yesus. Tetapi mereka takut akan orang ramai, yang menganggap Yesus sebagai nabi.

Matius 22

1 Yesus berkata-kata lagi kepada orang ramai dengan menggunakan perumpamaan. 2 Dia berkata, "Apabila Allah memerintah, keadaannya seperti perumpamaan ini. Seorang raja mengadakan majlis perkahwinan untuk puteranya. 3 Raja menyuruh hamba-hambanya memberitahu para jemputan supaya datang ke majlis jamuan itu. Tetapi mereka tidak mahu datang. 4 Kemudian raja itu menyuruh hamba-hambanya yang lain. Raja bertitah, `Beritahu para jemputan itu bahawa jamuan sudah disiapkan; lembu jantan dan anak-anak lembu yang terbaik sudah disembelih, dan semuanya sudah tersedia. Datanglah ke majlis perkahwinan!' 5 Tetapi para jemputan itu tidak peduli. Mereka pergi melakukan pekerjaan masing-masing: Yang seorang pergi ke ladang, yang seorang lagi pergi ke kedai, 6 sedang yang lain menangkap hamba-hamba itu, lalu memukul dan membunuh mereka. 7 Raja itu sangat murka dan menyuruh askar-askarnya membunuh semua pembunuh itu serta membakar kota mereka. 8 Lalu raja memanggil hamba-hambanya dan bertitah, `Majlis perkahwinan sudah siap, tetapi semua orang yang dijemput itu tidak layak menerima jemputan itu. 9 Sekarang pergilah ke jalan raya dan jemputlah seberapa banyak mungkin orang yang kamu temui, ke majlis perkahwinan ini.' 10 Demikianlah hamba-hamba raja itu pergi ke jalan raya dan mengumpulkan semua orang yang dijumpai mereka, orang yang baik mahupun yang jahat. Lalu penuhlah balai majlis jamuan itu dengan tetamu. 11 Raja itu masuk untuk melihat para tetamunya, dan raja nampak seorang yang tidak memakai pakaian pesta. 12 Raja bertitah kepadanya, `Kawan, engkau tidak memakai pakaian pesta. Engkau tidak patut berada di sini.' Orang itu tidak berkata sepatah pun. 13 Lalu raja itu bertitah kepada hamba-hambanya, `Ikat kaki dan tangan orang ini, dan buang dia ke luar ke tempat yang gelap. Di sana orang akan menangis dan menderita.' '' 14 Lalu Yesus mengakhiri perumpamaan itu sambil berkata, "Banyak yang dijemput, tetapi hanya sedikit yang terpilih.'' 15 Beberapa orang Farisi pergi dan berkomplot untuk memerangkap Yesus dengan pertanyaan. 16 Mereka mengutus pengikut-pengikut mereka dan beberapa orang anggota golongan Herodes kepada Yesus. Mereka yang diutus berkata, "Guru, kami tahu bahawa guru jujur. Dengan terus terang guru mengajarkan kehendak Allah bagi manusia. Guru tidak menghiraukan pendapat orang lain, kerana guru tidak memandang kedudukan orang. 17 Oleh itu, beritahu kami pendapat guru. Menurut Taurat, bolehkah kita bayar cukai kepada Kaisar Roma? Haruskah kita bayar cukai atau tidak?'' 18 Yesus mengetahui maksud mereka yang jahat itu, lalu berkata, "Kamu munafik! Mengapa kamu cuba memerangkap Aku? 19 Tunjukkan mata wang yang kamu gunakan untuk membayar cukai!'' Lalu mereka memberikan mata wang itu kepada Yesus. 20 Yesus bertanya kepada mereka, "Gambar dan nama siapakah ini?'' 21 "Kaisar,'' jawab mereka. Oleh itu Yesus berkata kepada mereka, "Jika demikian, berikan apa yang menjadi milik Kaisar kepada Kaisar, dan berikan apa yang menjadi milik Allah kepada Allah.'' 22 Apabila mereka mendengar penjelasan itu, mereka hairan. Mereka meninggalkan Yesus lalu pergi. 23 Pada hari itu juga, beberapa orang Saduki datang kepada Yesus. Mereka berpendapat bahawa orang mati tidak akan bangkit semula. 24 "Guru,'' kata mereka, "Musa mengajarkan demikian: Jika seorang lelaki meninggal tanpa mempunyai anak, maka saudara lelakinya harus berkahwin dengan balunya untuk memberikan keturunan kepada orang yang sudah meninggal itu.' 25 Dahulu ada tujuh orang adik-beradik tinggal di sini. Yang sulung berkahwin lalu meninggal tanpa mempunyai anak. Oleh itu, saudara yang kedua berkahwin dengan balunya. 26 Saudara yang kedua pun meninggal tanpa mempunyai anak. Hal yang sama berlaku kepada saudara yang ketiga dan seterusnya sehingga kepada yang ketujuh. 27 Akhirnya wanita itu meninggal. 28 Pada hari kebangkitan orang mati, isteri siapakah wanita itu? Mereka semua telah berkahwin dengan dia.'' 29 Yesus menjawab, "Pendapat kamu salah sekali! Kamu tidak memahami Alkitab ataupun kuasa Allah. 30 Apabila orang mati dibangkitkan semula, mereka akan menjadi seperti malaikat di syurga: Mereka tidak berkahwin. 31 Tentang orang mati dibangkitkan semula, belum pernahkah kamu baca apa yang difirmankan oleh Allah? Allah berfirman, 32 `Akulah Allah yang disembah Abraham, Ishak, dan Yakub.' Oleh itu, Dia Allah orang hidup, bukan Allah orang mati.'' 33 Apabila orang ramai mendengar penjelasan Yesus, mereka hairan mendengar ajaran-Nya. 34 Apabila orang Farisi mendengar bahawa Yesus telah menyebabkan orang Saduki tidak dapat berkata sepatah pun, mereka datang berkumpul. 35 Lalu seorang guru Taurat antara mereka, cuba memerangkap Yesus dengan sebuah pertanyaan. 36 Dia bertanya, "Guru, perintah manakah yang paling utama dalam Taurat?'' 37 Yesus menjawab, " `Kasihilah Tuhan Allahmu dengan sepenuh hatimu, dengan segenap jiwamu dan dengan seluruh akalmu.' 38 Inilah perintah yang terutama dan yang terpenting! 39 Perintah kedua sama pentingnya dengan yang pertama: Kasihilah sesama manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri. 40 Seluruh Taurat Musa dan ajaran nabi-nabi berasaskan kedua-dua perintah ini.'' 41 Apabila orang Farisi berkumpul bersama-sama, Yesus bertanya kepada mereka, 42 "Apa pendapat kamu tentang Penyelamat yang diutus oleh Allah? Keturunan siapakah Dia?'' "Keturunan Daud, '' jawab mereka. 43 "Jika demikian,'' tanya Yesus, "mengapa Daud, ketika diilhami oleh Roh Allah menyebut Penyelamat itu `Tuhan'? Daud berkata, 44 `Tuhan telah berfirman kepada Tuhanku: duduklah di sebelah kanan-Ku, sehingga Aku menaklukkan musuh-Mu kepada-Mu.' 45 Jika Daud menyebut Penyelamat yang diutus oleh Allah itu `Tuhan', bagaimana mungkin Penyelamat itu keturunan Daud?'' 46 Tidak seorang pun dapat menjawab pertanyaan Yesus. Sejak hari itu, tidak seorang pun berani menanya Yesus soalan apa pun.

Matius 23

1 Lalu Yesus berkata kepada orang ramai dan kepada pengikut-pengikut-Nya, 2 "Guru Taurat dan orang Farisi diberikan kuasa untuk mentafsirkan Taurat Musa. 3 Oleh itu taatilah dan turutilah segala yang diperintahkan mereka. Tetapi jangan lakukan apa yang dilakukan mereka, kerana perbuatan mereka tidak sesuai dengan ajaran mereka. 4 Mereka meletakkan beban yang berat dan susah dipikul ke atas bahu orang, tetapi mereka tidak mahu menghulurkan satu jari pun untuk menolong orang memikul beban itu. 5 Mereka melakukan segala sesuatu hanya untuk dilihat orang. Lihatlah betapa besarnya bekas ayat Alkitab yang diikat pada dahi dan lengan mereka. Perhatikan juga betapa panjangnya rumbai jubah mereka! 6 Mereka gemar akan tempat yang terbaik di majlis jamuan, dan akan kerusi istimewa di rumah ibadat. 7 Mereka suka dihormati orang di pasar, dan suka dipanggil `Guru.' 8 Janganlah minta orang menyebut kamu `Guru', kerana kamu semua bersaudara dan Guru kamu hanya satu. 9 Janganlah panggil sesiapa pun di dunia ini `Bapa', kerana kamu hanya mempunyai satu Bapa yang di syurga. 10 Janganlah minta orang menyebut kamu `Pemimpin', kerana Penyelamat yang diutus oleh Allah itu satu-satunya pemimpin kamu. 11 Orang yang terbesar antara kamu harus menjadi pelayan kamu. 12 Sesiapa yang meninggikan diri akan direndahkan, dan sesiapa yang merendahkan diri akan ditinggikan.'' 13 "Alangkah malangnya kamu, guru Taurat dan orang Farisi! Kamu munafik! Kamu menghalang orang menikmati Pemerintahan Allah. Bukan sahaja kamu tidak mahu menikmati Pemerintahan Allah, bahkan kamu menghalang orang yang berusaha menikmatinya. 14 Alangkah malangnya kamu, guru Taurat dan orang Farisi! Kamu munafik! Kamu memperdaya balu dan merampas rumah mereka, kemudian pura-pura berdoa dengan berpanjangan. Oleh itu, kamu akan menerima hukuman yang berat! 15 Alangkah malangnya kamu, guru Taurat dan orang Farisi! Kamu munafik! Kamu menyeberangi lautan dan menjelajah daratan untuk menjadikan seorang pemeluk agama kamu. Tetapi setelah kamu berjaya, kamu menjadikan dia layak menerima hukuman di neraka yang dua kali banyaknya seperti kamu sendiri! 16 Alangkah malangnya kamu pemimpin buta! Kamu mengajarkan hal ini, `Jika seseorang bersumpah demi Rumah Tuhan, orang itu tidak terikat pada sumpahnya. Tetapi jika dia bersumpah demi emas di dalam Rumah Tuhan, dia terikat pada sumpahnya.' 17 Kamu orang bodoh yang buta! Manakah yang lebih mustahak: Emas atau Rumah Tuhan yang menjadikan emas itu suci? 18 Kamu juga mengajarkan ini, `Jika seseorang bersumpah demi mazbah, orang itu tidak terikat pada sumpahnya, tetapi jika dia bersumpah demi persembahan di atas mazbah itu, dia terikat pada sumpahnya.' 19 Alangkah butanya kamu! Manakah yang lebih mustahak? Persembahan itu atau mazbah yang menjadikan persembahan itu suci? 20 Oleh itu, apabila seseorang bersumpah demi mazbah, dia bersumpah demi mazbah itu dan demi segala persembahan di atasnya. 21 Apabila seseorang bersumpah demi Rumah Tuhan, dia bersumpah demi Rumah itu dan demi Allah yang tinggal di situ. 22 Apabila seseorang bersumpah demi syurga, dia bersumpah demi takhta Allah dan demi Allah yang duduk di takhta itu. 23 Alangkah malangnya kamu guru Taurat dan orang Farisi! Kamu munafik! Kamu memberikan sepersepuluh daripada berbagai-bagai jenis rempah seperti selasih, adas manis, dan jintan kepada Allah. Tetapi kamu tidak mentaati ajaran Taurat yang betul-betul mustahak seperti keadilan, belas kasihan, dan kesetiaan. Semua perkara ini harus kamu lakukan, tanpa melalaikan ajaran yang lain. 24 Hai pemimpin buta! Lalat di dalam minuman kamu tapis, tetapi unta kamu telan. 25 Alangkah malangnya kamu guru Taurat dan orang Farisi! Kamu munafik! Kamu membersihkan bahagian luar cawan dan pinggan, tetapi bahagian dalamnya penuh dengan apa yang kamu peroleh dengan kekerasan dan ketamakan. 26 Hai orang Farisi, kamu buta! Bersihkan bahagian dalam cawan itu terlebih dahulu, lalu bahagian luarnya akan bersih juga! 27 Alangkah malangnya kamu guru Taurat dan orang Farisi! Kamu munafik! Kamu seperti kubur yang bercat putih; baik di luar tetapi di dalamnya penuh dengan tulang dan mayat yang busuk. 28 Demikianlah halnya dengan kamu! Pada lahirnya kamu kelihatan melakukan kehendak Allah, tetapi kamu sebenarnya orang jahat dan munafik.'' 29 "Alangkah malangnya kamu guru Taurat dan orang Farisi! Kamu munafik! Kamu membina kubur yang elok-elok untuk para nabi, serta menghiasi kubur orang yang melakukan kehendak Allah. 30 Kamu berkata, `Seandainya kami hidup pada zaman nenek moyang kami, tentu kami tidak akan mengikut perbuatan mereka yang membunuh nabi.' 31 Oleh itu kamu mengakui kamu keturunan orang yang membunuh nabi! 32 Jika demikian teruskan dan selesaikan apa yang dimulakan oleh nenek moyang kamu! 33 Kamu jahat seperti ular berbisa dan kamu keturunan orang jahat! Bagaimana mungkin kamu dapat melepaskan diri daripada hukuman di neraka? 34 Ketahuilah bahawa Aku akan mengutus nabi, orang bijak, dan guru kepada kamu. Kamu akan membunuh beberapa orang antara mereka dan menyalibkan yang lain. Kamu akan menyesah yang lain di dalam rumah ibadat, dan mengejar mereka dari satu kota ke kota lain. 35 Akhirnya, Allah akan menghukum kamu kerana pembunuhan semua orang yang tidak bersalah itu, mulai daripada pembunuhan Habel yang tidak bersalah, sehingga pembunuhan Zakharia anak Berekia, yang kamu bunuh di antara Rumah Tuhan dan mazbah. 36 Percayalah, orang zaman ini akan dihukum kerana semua pembunuhan itu!'' 37 "Yerusalem, Yerusalem! Engkau membunuh nabi dan merejam utusan Allah! Sudah beberapa kali Aku ingin memeluk semua pendudukmu seperti seekor induk ayam menaungi anak-anaknya di bawah sayapnya, tetapi pendudukmu tidak mahu! 38 Yerusalem, engkau akan ditinggalkan oleh Allah, sehingga engkau terbiar. 39 Ketahuilah bahawa mulai sekarang kamu tidak akan melihat Aku lagi sehingga kamu berkata, `Diberkatilah Dia yang datang dengan nama Tuhan.' ''

Matius 24

1 Ketika Yesus meninggalkan Rumah Tuhan, pengikut-pengikut-Nya datang kepada-Nya dan menunjukkan bangunan-bangunan Rumah Tuhan itu. 2 Yesus berkata kepada mereka, "Lihatlah semuanya ini! Ketahuilah bahawa satu batu pun tidak akan tinggal tersusun pada tempatnya; semuanya akan dirobohkan.'' 3 Di bukit Zaitun, semasa Yesus duduk, pengikut-pengikut-Nya datang kepada-Nya. Tiada orang lain di situ, maka mereka bertanya, "Guru, beritahulah kami bila segala perkara ini akan berlaku? Apakah tanda-tanda yang akan menunjukkan masa kedatangan Guru dan akhir zaman?'' 4 Yesus menjawab, "Berjaga-jagalah supaya kamu tidak tertipu. 5 Banyak orang akan datang dengan nama-Ku dan berkata, `Aku Penyelamat yang diutus oleh Allah!' Mereka akan menipu banyak orang. 6 Kamu akan mendengar riuh pertempuran dan berita peperangan, tetapi janganlah takut. Semua perkara ini mesti berlaku, tetapi hal itu tidak bererti bahawa akhir zaman telah tiba. 7 Satu bangsa akan berperang melawan bangsa yang lain. Satu kerajaan akan menyerang kerajaan yang lain. Di mana-mana akan berlaku kebuluran dan gempa bumi. 8 Semuanya ini hanya permulaan sahaja, sama seperti sakit yang dialami oleh wanita yang akan bersalin. 9 Kemudian kamu akan ditangkap dan diserahkan untuk diseksa dan dibunuh. Semua orang akan membenci kamu kerana kamu pengikut-Ku. 10 Pada masa itu banyak antara pengikut-Ku yang tidak lagi percaya kepada-Ku. Mereka akan saling mengkhianati dan saling membenci. 11 Lalu banyak nabi palsu akan muncul dan menipu banyak orang. 12 Kejahatan semakin merebak sehingga kasih kebanyakan orang hampir lenyap. 13 Tetapi sesiapa yang bertahan sehingga akhir akan diselamatkan. 14 Berita Baik tentang bagaimana Allah memerintah akan dikhabarkan ke seluruh dunia supaya semua orang mendengarnya. Setelah itu barulah tiba akhir zaman.'' 15 "Kamu akan melihat `Bencana yang Dahsyat' yang dikatakan oleh Nabi Daniel, di tempat yang suci itu. (Catatan kepada pembaca: Hendaklah kamu faham apa maknanya!) 16 Lalu mereka yang di Yudea mesti lari ke pergunungan. 17 Orang yang di bumbung rumah janganlah turun dan masuk ke rumah untuk mengambil sesuatu. 18 Orang yang di ladang janganlah balik untuk mengambil jubah. 19 Alangkah dahsyatnya masa itu bagi wanita yang mengandung dan ibu yang menyusui bayi! 20 Berdoalah kepada Allah supaya kamu tidak kena melarikan diri pada musim sejuk atau pada hari Sabat! 21 Kesusahan pada masa itu jauh lebih dahsyat daripada yang pernah berlaku, sejak dunia diciptakan sehingga sekarang. Perkara itu pun tidak akan berlaku lagi. 22 Seandainya Allah tidak memendekkan masa itu, tidak seorang pun akan selamat. Tetapi kerana umat pilihan Allah, Dia memendekkan masa itu. 23 Pada masa itu, jika seseorang berkata kepada kamu, `Lihat, Penyelamat yang diutus oleh Allah ada di sini!' atau `Lihat, Dia di situ!' -- janganlah percaya kepada orang itu. 24 Penyelamat palsu dan nabi palsu akan datang. Mereka akan melakukan mukjizat dan keajaiban untuk menipu orang, bahkan umat pilihan Allah pun tertipu. 25 Dengarlah! Aku telah mengatakan semua ini kepada kamu sebelum perkara itu berlaku. 26 Jika orang berkata kepada kamu, `Lihat, dia di padang gurun!' -- janganlah kamu ke sana. Atau jika mereka berkata, `Lihat, dia di dalam bilik!' -- janganlah percaya. 27 Sesungguhnya Anak Manusia akan datang seperti kilat yang memancar di seluruh langit, dari timur sampai ke barat. 28 Di tempat yang ada mayat, di situlah burung pemakan bangkai berkumpul.'' 29 "Tidak lama selepas kesusahan masa itu, matahari akan menjadi gelap dan bulan tidak lagi bercahaya. Bintang-bintang akan jatuh dari langit, dan kuasa di angkasa lepas akan ditarik daripada peredarannya. 30 Kemudian tanda Anak Manusia akan kelihatan di langit. Pada masa itu semua bangsa di bumi akan menangis, ketika melihat Anak Manusia datang di awan dengan kekuasaan dan kemuliaan yang besar. 31 Trompet akan dibunyikan dengan kuat, dan Anak Manusia akan mengutus malaikat-malaikat-Nya ke empat penjuru bumi untuk mengumpulkan umat pilihan Allah dari hujung bumi ke hujung langit.'' 32 "Biarlah pokok ara memberikan pelajaran kepada kamu. Apabila dahan-dahannya hijau, lembut, dan mula bertunas, kamu tahu bahawa musim panas sudah dekat. 33 Demikian juga apabila kamu melihat semua perkara ini, kamu tahu bahawa waktunya sudah dekat dan segera akan bermula. 34 Ingatlah! Segala perkara ini akan berlaku sebelum orang yang hidup sekarang ini mati semuanya. 35 Langit dan bumi akan lenyap, tetapi firman-Ku kekal selama-lamanya.'' 36 "Meskipun demikian, tidak seorang pun mengetahui hari atau waktunya, sama ada malaikat-malaikat di syurga ataupun Anak; hanya Bapa yang tahu. 37 Apabila Anak Manusia datang kelak, masa itu seperti zaman Nuh. 38 Pada masa banjir belum melanda, orang makan dan minum, lelaki dan perempuan berkahwin sehingga pada hari Nuh masuk ke dalam bahtera. 39 Mereka tidak tahu akan apa yang sedang berlaku sehingga banjir membinasakan mereka semua. Demikianlah keadaannya apabila Anak Manusia datang. 40 Pada waktu itu, dua orang sedang bekerja di ladang: Seorang akan dibawa pergi dan seorang lagi akan ditinggalkan. 41 Dua orang wanita sedang menggiling gandum: Seorang akan dibawa pergi dan seorang lagi akan ditinggalkan. 42 Berjaga-jagalah kerana kamu tidak mengetahui waktunya Tuhan kamu akan datang. 43 Ingatlah hal ini! Jika tuan rumah mengetahui waktunya pencuri hendak datang, dia tidak akan tidur. Dia tidak akan membenarkan pencuri memasuki rumahnya. 44 Oleh itu, kamu pun hendaklah sentiasa bersedia, kerana Anak Manusia akan datang pada saat yang tidak kamu sangka.'' 45 "Siapakah hamba yang setia dan bijak? Dialah orang yang ditunjuk tuannya menjadi pengurus rumah tangganya. Tuannya juga menyuruh dia memberikan makanan kepada hamba-hamba yang lain pada waktu yang ditentukan. 46 Alangkah bahagianya hamba itu, jika dia didapati menjalankan tugas pada masa tuannya kembali. 47 Percayalah, tuan itu akan mempercayakan segala hartanya kepada hamba itu. 48 Tetapi jika hamba itu orang yang jahat, dia akan berkata dalam hati, `Masih lama lagi tuanku akan kembali.' 49 Lalu dia mula memukul hamba-hamba yang lain, dan makan minum dengan orang yang suka mabuk. 50 Kemudian pada hari dan masa yang tidak disangkanya, tuan hamba itu kembali. 51 Dia akan menghukum hamba itu dengan berat, dan membuang hamba itu ke tempat orang munafik dihukum. Di sana dia akan menangis dan menderita.''

Matius 25

1 "Pada masa itu Pemerintahan Allah seperti perumpamaan berikut. Sepuluh orang gadis keluar membawa pelita untuk menyambut pengantin lelaki. 2 Lima orang daripada mereka kurang bijak, tetapi lima orang yang lain bijak. 3 Lima orang gadis yang kurang bijak membawa pelita, tetapi tidak membawa minyak tambahan. 4 Lima orang gadis yang bijak membawa pelita dan juga bekas yang penuh dengan minyak. 5 Pengantin lelaki itu lambat datang, maka mengantuklah semua gadis itu lalu tertidur. 6 Pada tengah malam, terdengar suara orang berseru, `Pengantin lelaki datang! Mari, sambutlah dia!' 7 Sepuluh orang gadis itu bangun lalu memasang pelita. 8 Lima orang gadis yang kurang bijak berkata kepada yang bijak, `Berilah kami sedikit minyak, kerana pelita kami hampir padam.' 9 `Tidak boleh!' kata gadis-gadis yang bijak itu. `Minyak tidak cukup untuk kita semua. Pergilah ke kedai dan belilah minyak.' 10 Oleh itu lima orang gadis yang kurang bijak itu pergi membeli minyak. Sementara mereka pergi, pengantin lelaki tiba. Kelima-lima orang gadis yang sudah siap itu masuk bersama-sama pengantin lelaki ke balai perjamuan, dan pintu pun ditutup. 11 Kemudian gadis-gadis yang lain itu tiba. `Tuan, tuan,' seru mereka, `bukalah pintu untuk kami.' 12 Tetapi pengantin lelaki itu menjawab, `Aku tidak kenal kamu!' '' 13 Yesus mengakhiri perumpamaan-Nya dengan mengatakan, "Oleh itu, berjaga-jagalah kerana kamu tidak tahu hari ataupun waktunya.'' 14 "Pada masa itu Pemerintahan Allah seperti perumpamaan berikut. Seorang lelaki hendak berangkat ke luar negeri. Dia memanggil hamba-hambanya lalu mempercayakan hartanya kepada mereka. 15 Setiap orang hamba diberikannya bahagian menurut kebolehan masing-masing. Yang seorang diberikannya lima ribu keping wang emas, yang lain diberikannya dua ribu keping, dan yang seorang lagi diberikannya seribu keping. Lalu orang itu pun berangkat. 16 Hamba yang menerima lima ribu keping wang emas segera pergi berniaga, lalu mendapat keuntungan sebanyak lima ribu keping wang emas. 17 Hamba yang menerima dua ribu keping wang emas, juga mendapat keuntungan sebanyak dua ribu keping wang emas. 18 Tetapi hamba yang menerima seribu keping wang emas pergi menggali lubang di tanah, lalu menyembunyikan wang tuannya. 19 Lama kemudian, tuan hamba-hamba itu pulang lalu menyuruh mereka memberikan laporan tentang apa yang dilakukan dengan wangnya. 20 Hamba yang menerima lima ribu keping wang emas datang dan menyerahkan sepuluh ribu keping wang emas. Dia berkata, `Tuan menyerahkan lima ribu keping wang emas kepada saya. Lihatlah, saya berhasil mendapat keuntungan sebanyak lima ribu keping lagi.' 21 `Bagus,' kata tuan itu, `kamu hamba yang baik dan setia. Oleh sebab kamu dapat dipercayakan dengan yang sedikit, aku akan mempercayakan yang lebih banyak kepadamu. Masuklah dan bersukacitalah bersama-sama tuanmu!' 22 Lalu hamba yang menerima dua ribu keping wang emas datang dan berkata, `Tuan menyerahkan dua ribu keping wang emas kepada saya. Lihatlah, saya berhasil mendapat keuntungan sebanyak dua ribu keping lagi.' 23 `Bagus,' kata tuan itu, `kamu hamba yang baik dan setia. Oleh sebab kamu dapat dipercayakan dengan yang sedikit, aku akan mempercayakan yang lebih banyak kepadamu. Masuklah dan bersukacitalah bersama-sama tuanmu!' 24 Kemudian hamba yang menerima seribu keping wang emas datang dan berkata, `Tuan, hamba tahu bahawa tuan seorang yang keras. Tuan menuai tuaian di tempat yang tidak tuan tanami, dan tuan memungut hasil di tempat yang tidak tuan taburi dengan benih. 25 Hamba takut, maka hamba pergi menyembunyikan wang tuan di dalam tanah. Inilah milik tuan.' 26 `Kamu hamba yang jahat dan malas!' kata tuan itu. `Tidakkah kamu tahu, bahawa aku menuai tuaian di tempat yang tidak aku tanami, dan memungut hasil di tempat yang tidak aku taburi dengan benih? 27 Jika demikian, seharusnya kamu simpan wangku di bank, supaya apabila aku balik, aku dapat menerima wangku kembali dengan faedahnya.' 28 Kemudian tuan itu berkata kepada hamba yang lain, `Ambil wang itu daripadanya, dan berikan kepada orang yang mempunyai sepuluh ribu keping wang emas. 29 Setiap orang yang mempunyai sesuatu akan diberikan lebih banyak lagi supaya dia beroleh lebih daripada cukup. Tetapi seorang yang tidak mempunyai apa-apa, sedikit yang ada padanya akan diambil juga. 30 Tentang hamba yang tidak berguna ini, buanglah dia ke luar ke tempat yang gelap. Di sana dia akan menangis dan menderita!' '' 31 "Apabila Anak Manusia datang sebagai Raja dengan semua malaikat Allah, Dia akan duduk di atas takhta-Nya yang mulia. 32 Umat manusia di bumi ini akan dikumpulkan di hadapan-Nya. Kemudian Dia akan memisahkan mereka menjadi dua kumpulan, seperti gembala memisahkan domba daripada kambing. 33 Anak Manusia akan mengumpulkan orang yang melakukan kehendak Allah di sebelah kanan-Nya dan yang lain di sebelah kiri-Nya. 34 Kemudian Raja itu akan berkata kepada mereka yang di sebelah kanan-Nya, `Hai kamu yang diberkati Bapa-Ku! Marilah dan nikmatilah Pemerintahan Allah yang telah disediakan oleh Allah untuk kamu sejak dunia ini diciptakan-Nya. 35 Ketika Aku lapar, kamu memberi Aku makan, dan ketika Aku dahaga, kamu memberi Aku minum. Aku seorang asing, tetapi kamu menyambut Aku ke dalam rumah kamu. 36 Aku tidak berpakaian, dan kamu memberi Aku pakaian. Aku jatuh sakit, dan kamu merawat Aku. Aku dipenjarakan, dan kamu melawat Aku.' 37 Tetapi mereka yang melakukan kehendak Allah berkata, `Ya Tuhan, bilakah kami nampak Tuhan lapar lalu memberi Tuhan makan, atau dahaga lalu memberi Tuhan minum? 38 Bilakah kami nampak Tuhan sebagai orang asing lalu menyambut Tuhan ke dalam rumah kami, atau melihat Tuhan tidak berpakaian lalu memberi Tuhan pakaian? 39 Bilakah kami nampak Tuhan sakit lalu merawat Tuhan? Bilakah kami melawat Tuhan di penjara?' 40 Raja itu akan menjawab, `Ketahuilah, manakala kamu melakukan perkara itu untuk salah seorang daripada saudara-Ku, walaupun dia hina, kamu telah melakukannya untuk-Ku!' 41 Kemudian Raja itu akan berkata kepada kumpulan orang di sebelah kiri-Nya, `Pergi dari sini, hai kamu yang dikutuk Allah! Pergilah ke dalam api yang tidak dapat padam yang telah disediakan oleh Allah untuk Iblis dan malaikat-malaikatnya! 42 Ketika Aku lapar, kamu tidak memberi Aku makan; ketika Aku dahaga, kamu tidak memberi Aku minum. 43 Aku seorang asing, tetapi kamu tidak menyambut Aku ke dalam rumah kamu. Aku tidak berpakaian, tetapi kamu tidak memberi Aku pakaian. Aku jatuh sakit dan dipenjarakan, tetapi kamu tidak melawat Aku.' 44 Lalu mereka akan berkata kepada-Nya, `Ya Tuhan, bilakah kami nampak Tuhan lapar, atau dahaga, atau sebagai orang asing, atau tidak berpakaian, atau sakit, atau dipenjarakan, dan kami tidak menolong Tuhan?' 45 Raja itu akan menjawab, `Ketahuilah bahawa pada waktu kamu tidak mahu menolong salah seorang yang hina, kamu tidak mahu menolong Aku.' 46 Kemudian semua orang itu akan menderita hukuman yang kekal, sedangkan mereka yang melakukan kehendak Allah akan menerima hidup sejati dan kekal.''

Matius 26

1 Setelah Yesus mengajarkan semua perkara itu, Dia berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, 2 "Kamu tahu bahawa dua hari lagi Perayaan Paska akan dirayakan, dan Anak Manusia akan diserahkan untuk disalibkan!'' 3 Kemudian para ketua imam dan pemimpin masyarakat Yahudi berkumpul di istana Imam Agung Kayafas. 4 Mereka berkomplot untuk menangkap Yesus dengan diam-diam dan membunuh Dia. 5 Mereka berkata, "Kita tidak boleh melakukannya pada masa perayaan, kerana nanti rakyat merusuh.'' 6 Yesus di Betania, di rumah Simon yang dahulu berpenyakit kulit yang mengerikan. 7 Yesus sedang makan apabila seorang wanita datang kepada-Nya. Dia membawa sebuah botol marmar berisi minyak wangi yang mahal. Dia menuang minyak wangi itu ke atas kepala Yesus. 8 Pengikut-pengikut Yesus nampak apa yang berlaku, lalu naik marah. Mereka bertanya, "Mengapa minyak wangi itu dibazirkan? 9 Minyak itu boleh dijual dengan harga yang tinggi dan wangnya boleh diberikan kepada orang miskin!'' 10 Yesus mengetahui apa yang dikatakan mereka, lalu Dia berkata kepada mereka, "Mengapa kamu menyusahkan wanita ini? Apa yang telah dilakukannya untuk-Ku itu baik dan terpuji. 11 Orang miskin sentiasa ada di kalangan kamu, tetapi Aku tidak selamanya bersama-sama kamu. 12 Wanita ini menuangi Aku dengan minyak wangi, dan dengan perbuatan itu dia mempersiapkan tubuh-Ku bagi penguburan-Ku. 13 Ingatlah! Di seluruh dunia, di mana sahaja Berita Baik dikhabarkan, perbuatan wanita ini akan diceritakan untuk mengenang dia.'' 14 Kemudian seorang daripada dua belas orang pengikut Yesus, yang bernama Yudas Iskariot, pergi kepada para ketua imam. 15 Dia berkata, "Apakah yang akan kamu berikan kepadaku jika aku menyerahkan Yesus kepada kamu?'' Mereka mengira tiga puluh keping wang perak lalu menyerahkan wang itu kepadanya. 16 Sejak itu Yudas mencari peluang baik untuk mengkhianati Yesus. 17 Pada hari pertama Perayaan Roti Tidak Beragi, pengikut-pengikut Yesus datang kepada-Nya dan bertanya, "Di manakah Guru ingin kami sediakan jamuan Paska untuk Guru?'' 18 Yesus menjawab, "Pergilah berjumpa dengan seorang di bandar. Katakan kepadanya, `Guru berkata, saat-Nya sudah hampir tiba; Dia hendak merayakan Paska di rumahmu bersama dengan pengikut-pengikut-Nya.' '' 19 Pengikut-pengikut-Nya melakukan suruhan Yesus dan menyiapkan jamuan Paska itu. 20 Apabila malam tiba, Yesus dan dua belas orang pengikut-Nya mula makan. 21 Sementara mereka makan, Yesus berkata, "Ketahuilah, seorang daripada kamu akan mengkhianati Aku.'' 22 Pengikut-pengikut-Nya sangat sedih. Seorang demi seorang mula bertanya kepada Yesus, "Tentu bukan aku yang Tuhan maksudkan?'' 23 Yesus menjawab, "Orang yang ikut mencelup roti ke dalam mangkuk dengan Aku, dialah yang akan mengkhianati Aku. 24 Memang Anak Manusia akan mati seperti yang tertulis di dalam Alkitab, tetapi alangkah malangnya orang yang mengkhianati Anak Manusia! Lebih baik jika orang itu tidak pernah dilahirkan!'' 25 Lalu Yudas, pengkhianat itu berkata, "Tentu bukan saya yang guru maksudkan?'' Yesus menjawab, "Demikianlah katamu!'' 26 Sementara mereka makan, Yesus mengambil roti dan mengucap syukur, lalu membahagikan roti itu. Kemudian Dia memberikan roti itu kepada pengikut-pengikut-Nya sambil berkata, "Ambillah roti ini dan makanlah; ini tubuh-Ku.'' 27 Kemudian Dia mengambil sebuah cawan berisi wain. Dia mengucap syukur kepada Allah, lalu memberikan cawan itu kepada pengikut-pengikut-Nya sambil berkata, "Minumlah, kamu semua. 28 Inilah darah-Ku yang mengesahkan perjanjian yang dibuat oleh Allah dengan umat-Nya; darah-Ku yang dicurahkan bagi banyak orang supaya dosa mereka diampunkan. 29 Percayalah, Aku tidak akan minum wain ini lagi sehingga hari itu apabila Aku minum wain baru bersama-sama kamu di Dunia Baru Bapa-Ku.'' 30 Setelah mereka menyanyikan sebuah nyanyian pujian, mereka pergi ke Bukit Zaitun. 31 Kemudian Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, "Pada malam ini juga kamu semua akan lari meninggalkan Aku, kerana di dalam Alkitab tertulis, `Allah akan membunuh gembala itu, lalu kawanan dombanya akan tercerai-berai.' 32 Tetapi setelah Aku dibangkitkan semula, Aku akan pergi ke Galilea terlebih dahulu daripada kamu.'' 33 Petrus berkata kepada Yesus, "Meskipun semua yang lain meninggalkan Guru, saya tidak akan berbuat demikian!'' 34 Yesus berkata kepadanya, "Ingatlah, sebelum ayam jantan berkokok malam ini, tiga kali engkau akan berkata engkau tidak mengenal Aku.'' 35 Petrus menjawab, "Tidak sekali-kali saya akan berkata saya tidak mengenal Guru, meskipun saya terpaksa mati bersama-sama Guru!'' Semua pengikut yang lain pun berkata demikian. 36 Kemudian Yesus dan pengikut-pengikut-Nya pergi ke suatu tempat bernama Getsemani. Dia berkata kepada mereka, "Duduklah di sini sementara Aku pergi ke sana untuk berdoa.'' 37 Yesus mengajak Petrus dan kedua-dua orang anak Zebedeus pergi bersama dengan-Nya. Dia sangat sedih dan gelisah. 38 Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, "Hati-Ku sedih sekali sehingga Aku hendak mati rasanya. Tinggallah di sini dan berjagalah dengan Aku.'' 39 Yesus pergi lebih jauh sedikit lalu meniarap di tanah dan berdoa, "Ya Bapa, jika boleh, jauhkanlah cawan penderitaan ini daripada-Ku! Tetapi janganlah turut kehendak-Ku, melainkan kehendak Bapa sahaja.'' 40 Kemudian Yesus kembali kepada ketiga-tiga orang pengikut-Nya dan mendapati mereka sedang tidur. Dia berkata kepada Petrus, "Tidak dapatkah kamu bertiga berjaga dengan Aku selama satu jam? 41 Berjaga-jagalah dan berdoalah supaya kamu tidak mengalami cubaan. Memang kamu ingin melakukan apa yang benar, tetapi kamu tidak sanggup kerana tabiat manusia lemah.'' 42 Sekali lagi Yesus pergi dan berdoa, "Ya Bapa, jika cawan penderitaan ini tidak dapat dijauhkan daripada-Ku, tetapi harus Aku minum, biarlah kehendak Bapa berlaku.'' 43 Kemudian Yesus kembali kepada pengikut-pengikut-Nya dan Dia mendapati mereka masih tidur kerana mengantuk. 44 Sekali lagi Yesus meninggalkan mereka, lalu pergi dan berdoa dengan kata-kata yang sama untuk kali ketiga. 45 Lalu Yesus kembali kepada pengikut-pengikut-Nya dan berkata, "Masihkah kamu tidur dan berehat? Lihatlah, saatnya sudah tiba bagi Anak Manusia diserahkan ke dalam kekuasaan orang berdosa. 46 Bangunlah, marilah kita pergi. Lihatlah, orang yang mengkhianati Aku sudah datang!'' 47 Yesus masih berkata-kata apabila Yudas, seorang daripada dua belas orang pengikut-Nya tiba. Bersama dengan dia datang juga sekumpulan orang yang membawa pedang dan belantan. Mereka disuruh oleh para ketua imam dan pemimpin masyarakat Yahudi. 48 Pengkhianat itu telah menentukan suatu tanda bagi mereka. Dia berkata, "Orang yang saya cium, itulah dia. Tangkaplah dia!'' 49 Apabila Yudas tiba, dia segera menghampiri Yesus dan berkata, "Salam sejahtera, Guru,'' lalu mencium Yesus. 50 Yesus menjawab, "Cepatlah, kawan!'' Kemudian orang yang datang bersama-sama Yudas mendekati Yesus dan menangkap-Nya serta memegang Dia dengan kuat. 51 Salah seorang pengikut di situ yang bersama-sama Yesus, menghunus pedangnya lalu memukul hamba Imam Agung dan mengerat telinganya. 52 Yesus berkata kepada pengikut itu, "Sarungkan pedangmu kembali, kerana semua orang yang menggunakan pedang akan terbunuh dengan pedang. 53 Tidakkah kamu tahu bahawa Aku boleh meminta Bapa-Ku menolong Aku, dan dengan segera Bapa-Ku dapat mengirim malaikat yang lebih daripada dua belas pasukan? 54 Tetapi Aku tidak akan meminta Bapa-Ku menolong Aku. Jika Aku berbuat demikian, bagaimanakah nubuat di dalam Alkitab yang mengatakan bahawa perkara ini harus berlaku dapat terjadi?'' 55 Lalu Yesus berkata kepada semua orang itu, "Perlukah kamu datang dengan pedang dan belantan untuk menangkap Aku, seolah-olah Aku ini penjahat? Setiap hari Aku mengajar di Rumah Tuhan, tetapi kamu tidak menangkap Aku! 56 Tetapi segala perkara ini berlaku supaya apa yang ditulis oleh para nabi di dalam Alkitab terjadi.'' Kemudian semua pengikut Yesus lari meninggalkan Dia. 57 Kumpulan orang yang menangkap Yesus membawa Dia ke rumah Imam Agung Kayafas. Di situ guru Taurat dan pemimpin masyarakat Yahudi telah berkumpul. 58 Petrus mengikuti Yesus dari jauh sampai ke halaman rumah Imam Agung itu. Petrus masuk ke halaman itu dan duduk bersama dengan pengawal-pengawal untuk mengetahui apa yang akan berlaku. 59 Ketua-ketua imam dan anggota lain daripada Majlis Agama berusaha untuk mencari bukti-bukti palsu bagi mendakwa Yesus, supaya mereka boleh menjatuhkan hukuman mati kepada-Nya. 60 Tetapi mereka tidak mendapat satu bukti pun, walaupun banyak yang memberikan kesaksian palsu terhadap Yesus. Akhirnya dua orang tampil ke hadapan 61 dan berkata, "Orang ini berkata, `Aku dapat merobohkan Rumah Tuhan dan dalam tiga hari Aku dapat membinanya semula.' '' 62 Lalu Imam Agung berdiri dan bertanya kepada Yesus, "Tidakkah kamu mahu menjawab tuduhan yang ditujukan kepadamu?'' 63 Tetapi Yesus diam sahaja. Sekali lagi Imam Agung berkata kepada-Nya, "Demi nama Allah yang hidup, beritahu kami! Adakah kamu Penyelamat yang diutus oleh Allah, iaitu Anak Allah?'' 64 Yesus menjawab, "Demikianlah katamu. Tetapi Aku berkata kepada kamu semua: Tidak lama lagi kamu akan melihat Anak Manusia duduk di sebelah kanan Allah Yang Maha Kuasa, serta datang di atas awan!'' 65 Lalu Imam Agung mengoyakkan jubahnya dan berkata, "Dia mengkufuri Allah! Kita tidak memerlukan saksi lagi. Kamu telah mendengar Dia mengkufuri Allah. 66 Apakah keputusan kamu?'' 67 Mereka menjawab, "Dia bersalah dan mesti dihukum mati.'' Mereka meludahi muka Yesus dan memukul Dia. Beberapa orang yang menampar Yesus 68 berkata, "Hai Penyelamat yang diutus oleh Allah, tekalah siapa yang memukul kamu?'' 69 Petrus sedang duduk di luar, di halaman, apabila salah seorang hamba perempuan Imam Agung datang dan berkata kepadanya, "Kamu juga bersama-sama Yesus orang Galilea itu.'' 70 Tetapi Petrus menafikan hal itu di hadapan mereka semua. Dia berkata, "Aku tidak tahu akan maksudmu.'' 71 Lalu dia pergi ke pintu halaman. Seorang hamba perempuan lain nampak Petrus dan berkata kepada semua orang di situ, "Orang ini juga bersama-sama Yesus dari Nasaret.'' 72 Sekali lagi Petrus menafikan hal itu dan menjawab, "Aku bersumpah aku tidak kenal akan orang itu!'' 73 Tidak lama kemudian, orang yang berdiri di situ datang kepada Petrus dan mereka berkata, "Tentu kamu salah seorang pengikut Yesus. Loghatmu membuktikannya.'' 74 Lalu Petrus bersumpah, "Biarlah Allah menghukum aku jika aku berdusta! Aku tidak kenal akan orang itu!'' Pada saat itu juga ayam berkokok. 75 Maka Petrus teringat bahawa Yesus sudah berkata kepadanya, "Sebelum ayam berkokok, engkau akan menyangkal Aku tiga kali.'' Petrus keluar dan menangis tersedu-sedu.

Matius 27

1 Pada pagi-pagi sekali, semua ketua imam dan pemimpin masyarakat Yahudi membuat keputusan untuk membunuh Yesus. 2 Mereka mengikat Yesus, lalu membawa Dia pergi untuk diserahkan kepada Pilatus, gabenor kerajaan Roma. 3 Apabila Yudas, pengkhianat itu tahu bahawa Yesus telah dijatuhi hukuman mati, dia menyesal. Lalu dia mengembalikan tiga puluh keping wang perak itu kepada para ketua imam dan pemimpin masyarakat Yahudi. 4 Dia berkata, "Aku sudah berdosa kerana mengkhianati orang yang tidak bersalah sehingga dihukum mati!'' Tetapi mereka menjawab, "Kami tidak peduli! Itu urusanmu!'' 5 Yudas melempar wang itu ke dalam Rumah Tuhan lalu meninggalkan mereka. Kemudian dia pergi menggantung diri. 6 Para ketua imam memungut wang itu dan berkata, "Wang ini upah seorang pembunuh. Menurut Taurat kita, wang ini tidak boleh dimasukkan ke dalam peti persembahan di Rumah Tuhan.'' 7 Setelah bersetuju, mereka menggunakan wang itu untuk membeli tanah yang disebut Tanah Tukang Periuk. Tanah itu digunakan sebagai perkuburan orang bukan Yahudi. 8 Itulah sebabnya sehingga hari ini tanah itu dinamakan "Tanah Darah''. 9 Dengan demikian berlakulah apa yang dikatakan oleh Nabi Yeremia, "Mereka mengambil tiga puluh keping wang perak, jumlah yang disetujui oleh orang Israel sebagai bayaran bagi Dia. 10 Wang itu digunakan untuk membeli tanah tukang periuk, seperti yang diperintahkan oleh Tuhan kepadaku.'' 11 Yesus berdiri di hadapan Gabenor Pilatus, dan Pilatus bertanya kepada-Nya, "Adakah kamu raja orang Yahudi?'' "Begitulah yang tuan katakan,'' jawab Yesus. 12 Tetapi apabila para ketua imam dan pemimpin masyarakat Yahudi melemparkan banyak tuduhan terhadap Yesus, Dia diam sahaja. 13 Oleh itu Pilatus berkata kepada-Nya, "Tidakkah kamu mendengar segala tuduhan yang dilemparkan oleh mereka terhadapmu?'' 14 Tetapi Yesus tidak menjawab sepatah pun, sehingga gabenor itu sangat hairan. 15 Pada tiap-tiap Perayaan Paska, gabenor Roma biasanya membebaskan seorang tahanan yang dikehendaki orang ramai. 16 Pada masa itu ada seorang tahanan yang terkenal, yang bernama Yesus Barabas. 17 Apabila orang ramai berkumpul, Pilatus bertanya kepada mereka, "Siapakah yang kamu mahu aku bebaskan? Yesus Barabas atau Yesus yang disebut Kristus?'' 18 Pilatus tahu betul bahawa pemimpin orang Yahudi menyerahkan Yesus kepadanya kerana iri hati. 19 Sementara Pilatus duduk di balai pengadilan, isterinya mengirim berita kepadanya, "Janganlah turut campur perkara orang yang tidak bersalah itu, kerana saya mendapat mimpi buruk tentang dia.'' 20 Para ketua imam dan pemimpin masyarakat Yahudi menghasut orang ramai supaya meminta Pilatus membebaskan Barabas dan menghukum mati Yesus. 21 Tetapi Pilatus bertanya kepada orang ramai, "Yang mana satu antara kedua-dua orang ini yang kamu mahu aku bebaskan?'' "Barabas!'' jawab mereka. 22 "Lalu apakah yang harus aku lakukan terhadap Yesus yang disebut Kristus?'' Pilatus bertanya kepada mereka. "Salibkan dia!'' jawab mereka semua. 23 Tetapi Pilatus berkata, "Kejahatan apa yang telah dilakukannya?'' Kemudian mereka berteriak lebih kuat lagi, "Salibkan dia!'' 24 Apabila Pilatus sedar bahawa dia tidak boleh berbuat apa-apa lagi dan bahawa orang ramai mungkin merusuh, dia mengambil air lalu membasuh tangan di hadapan orang ramai. Dia berkata, "Aku tidak bertanggungjawab terhadap kematian orang ini! Kamulah yang bertanggungjawab!'' 25 Seluruh orang ramai itu menjawab, "Kami dan keturunan kami bertanggungjawab terhadap kematiannya!'' 26 Kemudian Pilatus membebaskan Barabas bagi mereka, dan menyuruh orang menyesah Yesus serta menyerahkan Dia kepada askar untuk disalib. 27 Kemudian askar-askar Pilatus membawa Yesus ke istana gabenor, dan semua askar di situ berkumpul di sekeliling-Nya. 28 Mereka menanggalkan pakaian Yesus lalu memakaikan jubah merah ungu pada Dia. 29 Kemudian mereka membuat mahkota daripada ranting-ranting berduri dan mengenakannya pada kepala Yesus. Askar-askar itu juga menaruh sebatang tongkat pada tangan kanan Yesus. Kemudian mereka berlutut di hadapan Yesus dan mengejek Dia. Mereka berkata, "Daulat Raja Orang Yahudi!'' 30 Mereka meludahi Dia dan mengambil tongkat itu lalu memukul kepala-Nya. 31 Setelah mereka mempermainkan Yesus, mereka menanggalkan jubah merah ungu itu lalu memakaikan pakaian-Nya sendiri semula. Kemudian mereka membawa Yesus ke luar untuk disalib. 32 Dalam perjalanan ke luar kota, mereka berjumpa dengan seorang lelaki dari Kirene yang bernama Simon. Askar-askar memaksa dia memikul salib Yesus. 33 Mereka tiba di tempat bernama Golgota, yang bermakna "Tempat Tengkorak''. 34 Di situ mereka memberikan wain yang bercampur bahan pahit kepada Yesus. Tetapi setelah Yesus mengecap minuman itu, Dia tidak mahu meminumnya. 35 Kemudian askar-askar menyalibkan Dia, dan membahagi-bahagikan pakaian-Nya antara mereka dengan membuang undi. 36 Setelah itu mereka duduk di sana dan mengawal Dia. 37 Di sebelah atas kepala Yesus, terpasang tulisan tentang tuduhan terhadap Yesus: "Inilah Yesus, Raja Orang Yahudi.'' 38 Dua orang penjahat juga disalibkan bersama-sama Yesus, seorang di sebelah kanan dan seorang lagi di sebelah kiri-Nya. 39 Semua orang yang lalu di situ menggelengkan kepala sambil mencemuh Yesus. Mereka berkata, 40 "Kamu mahu merobohkan Rumah Tuhan lalu membinanya semula dalam tiga hari! Jika kamu Anak Allah, selamatkanlah dirimu dan turunlah dari salib!'' 41 Para ketua imam, guru Taurat, dan pemimpin masyarakat Yahudi juga memperolokkan Yesus. Mereka berkata, 42 "Dia menyelamatkan orang lain, tetapi tidak dapat menyelamatkan dirinya sendiri! Bukankah dia raja orang Israel? Jika dia turun dari salib sekarang, kami akan percaya kepadanya! 43 Dia percaya kepada Allah dan berkata bahawa dia Anak Allah. Mari kita lihat, adakah Allah akan menyelamatkan dia sekarang?'' 44 Bahkan kedua-dua orang penjahat yang disalibkan bersama-sama Yesus pun menghina Dia seperti itu. 45 Pada tengah hari, selama tiga jam, seluruh negeri itu menjadi gelap. 46 Pada pukul tiga petang, Yesus berseru dengan suara lantang, "Eli, Eli, lama sabakhtani?'' yang bererti, "Ya Allah-Ku, ya Allah-Ku, mengapa Engkau meninggalkan Aku?'' 47 Beberapa orang di situ mendengar seruan Yesus, lalu berkata, "Dia memanggil Elia!'' 48 Seorang daripada mereka segera lari mengambil bunga karang, lalu mencelupkannya ke dalam wain murah. Kemudian bunga karang itu dicucukkannya pada hujung sebatang kayu, lalu dihulurkannya ke mulut Yesus. 49 Tetapi orang lain di situ berkata, "Tunggu, mari kita lihat kalau-kalau Elia datang menyelamatkan dia!'' 50 Kemudian Yesus berseru lagi dengan nyaring, lalu menghembuskan nafas yang terakhir. 51 Kemudian tirai yang tergantung di dalam Rumah Tuhan koyak dari atas sampai ke bawah, sehingga menjadi dua helai. Bumi bergoncang, gunung batu terbelah, 52 kubur terbuka, dan banyak umat Allah yang sudah meninggal dihidupkan semula. 53 Mereka meninggalkan kubur, dan setelah Yesus bangkit daripada kematian, mereka masuk ke Yerusalem. Di sana banyak orang nampak mereka. 54 Apabila ketua askar dan askar-askar yang sedang mengawal Yesus nampak gempa bumi dan segala perkara yang berlaku, mereka ketakutan. Mereka berkata, "Dia betul-betul Anak Allah!'' 55 Di situ ada juga banyak wanita yang memandang dari jauh. Mereka datang bersama-sama Yesus dari Galilea dan mereka menolong Dia. 56 Antara mereka ialah Maria Magdalena, Maria ibu Yakobus dan Yusuf, serta ibu anak-anak Zebedeus. 57 Pada waktu petang, seorang kaya dari Arimatea yang bernama Yusuf datang. Dia juga pengikut Yesus. 58 Dia pergi kepada Pilatus dan meminta jenazah Yesus. Pilatus memberikan perintah supaya jenazah Yesus diserahkan kepadanya. 59 Yusuf mengambil jenazah itu lalu membalutnya dengan kain linen baru. 60 Dia meletakkan jenazah Yesus di dalam kubur miliknya sendiri yang baru dipahat di bukit batu. Kemudian Yusuf menggulingkan sebuah batu besar untuk menutup pintu kubur itu, lalu dia pergi. 61 Maria Magdalena dan Maria yang lain duduk di situ menghadapi kubur itu. 62 Keesokan harinya, pada hari Sabat, ketua-ketua imam dan orang Farisi pergi menghadap Pilatus. 63 Mereka berkata, "Tuan, kami ingat bahawa semasa penipu itu masih hidup, dia pernah berkata, `Selepas tiga hari Aku akan dibangkitkan.' 64 Oleh itu suruhlah orang mengawal kubur itu baik-baik sehingga hari ketiga. Dengan demikian pengikut-pengikutnya tidak dapat mencuri jenazah Yesus, dan memberitahu orang bahawa dia telah dibangkitkan daripada kematian. Penipuan yang terakhir ini akan lebih buruk daripada yang pertama.'' 65 "Bawalah beberapa orang askar,'' kata Pilatus kepada mereka, "pergilah dan kawallah kubur itu dengan rapi.'' 66 Lalu mereka pergi ke kubur itu, memeteraikan batu penutup kubur dan menyuruh beberapa orang askar mengawal kubur itu.

Matius 28

1 Setelah hari Sabat berlalu dan fajar mula menyingsing pada hari Ahad, Maria Magdalena dan Maria yang lain pergi melihat kubur Yesus. 2 Tiba-tiba berlaku gempa bumi yang kuat. Malaikat Tuhan turun dari syurga, menggulingkan batu penutup kubur itu lalu duduk di atasnya. 3 Rupa malaikat itu terang seperti kilat dan pakaiannya putih seperti salji. 4 Askar-askar pengawal di situ begitu ketakutan sehingga mereka gementar lalu rebah seperti orang mati. 5 Malaikat itu berkata kepada wanita-wanita itu, "Janganlah takut! Aku tahu bahawa kamu mencari Yesus yang telah disalibkan itu. 6 Dia tidak ada di sini. Dia sudah bangkit seperti yang dikatakan-Nya dahulu. Marilah lihat tempat jenazah Yesus diletakkan. 7 Sekarang, cepatlah pergi dan beritahu pengikut-pengikut-Nya, `Dia sudah dibangkitkan daripada kematian, dan sekarang Dia pergi ke Galilea terlebih dahulu daripada kamu. Di sana kamu akan melihat Dia.' Ingatlah akan apa yang aku katakan kepada kamu.'' 8 Dengan cepat mereka meninggalkan kubur itu; mereka takut tetapi juga bersukacita. Lalu mereka lari memberitahu pengikut-pengikut Yesus. 9 Tiba-tiba Yesus datang menemui wanita-wanita itu dan berkata, "Sejahteralah kamu.'' Mereka menghampiri Dia, memegang kaki-Nya, dan menyembah Dia. 10 "Janganlah takut,'' kata Yesus kepada mereka, "pergilah beritahu saudara-saudara-Ku supaya pergi ke Galilea; di sana mereka akan melihat Aku.'' 11 Sementara wanita-wanita itu meneruskan perjalanan, beberapa orang askar yang mengawal kubur itu kembali ke kota dan memberitahu ketua-ketua imam segala yang sudah berlaku. 12 Ketua-ketua imam berunding dengan para pemimpin masyarakat Yahudi, dan mengambil keputusan untuk memberikan wang yang banyak kepada askar-askar pengawal itu. 13 Mereka berkata kepada askar-askar itu, "Kamu harus mengatakan bahawa pengikut-pengikut Yesus datang pada malam hari dan mencuri jenazah Yesus ketika kamu tidur. 14 Jika gabenor mendengar hal ini, kami akan meyakinkan dia bahawa kamu tidak bersalah. Kamu tidak usah khuatir.'' 15 Askar-askar pengawal mengambil wang itu dan berbuat seperti yang disuruh mereka. Sehingga hari ini, cerita itu masih tersebar di kalangan orang Yahudi. 16 Sebelas orang pengikut Yesus pergi ke bukit di Galilea seperti yang diperintahkan oleh Yesus kepada mereka. 17 Apabila mereka melihat Yesus, mereka menyembah Dia meskipun ada di kalangan mereka yang ragu-ragu. 18 Yesus menghampiri mereka lalu berkata, "Aku telah diberikan segala kuasa di syurga dan di bumi. 19 Pergilah kepada semua bangsa di seluruh dunia dan jadikanlah mereka pengikut-Ku. Baptislah mereka dengan menyebut nama Bapa, Anak, dan Roh Allah. 20 Ajarlah mereka mentaati segala yang sudah Aku perintahkan. Ingatlah, Aku akan sentiasa menyertai kamu sehingga akhir zaman.''

Markus 1

1 Inilah Berita Baik tentang Yesus Kristus, Anak Allah. 2 Berita Baik ini bermula seperti yang ditulis oleh Nabi Yesaya, "Allah berfirman, `Inilah utusan-Ku. Aku akan mengutus dia terlebih dahulu daripada-Mu, supaya dia menyediakan jalan bagi-Mu.' 3 Seorang berseru di padang gurun, `Sediakanlah jalan bagi Tuhan; luruskanlah jalan bagi-Nya!' '' 4 Demikianlah Yohanes muncul di padang gurun. Dia membaptis orang dan mengisytiharkan berita daripada Allah. "Bertaubatlah daripada dosa kamu dan hendaklah kamu dibaptis, supaya Allah mengampunkan dosa kamu,'' kata Yohanes kepada orang ramai. 5 Banyak sekali orang yang datang dari negeri Yudea dan kota Yerusalem untuk mendengarkan Yohanes. Mereka mengakui dosa dan Yohanes membaptis mereka di Sungai Yordan. 6 Yohanes mengenakan pakaian yang dibuat daripada bulu unta dan tali pinggangnya dibuat daripada kulit. Dia makan belalang dan madu hutan. 7 Dia mengisytiharkan berita ini, "Dia yang lebih besar daripada aku akan datang kelak. Aku tidak layak membongkok untuk mengurai tali kasut-Nya. 8 Aku membaptis kamu dengan air, tetapi Dia akan membaptis kamu dengan Roh Allah.'' 9 Kemudian Yesus datang dari Nasaret di negeri Galilea, lalu Yohanes membaptis Dia di Sungai Yordan. 10 Sebaik sahaja Yesus keluar dari sungai itu, Dia nampak langit terbuka dan Roh Allah seperti burung merpati turun ke atas-Nya. 11 Lalu terdengarlah suara Allah, "Engkaulah Anak-Ku yang Aku kasihi. Engkau menyenangkan hati-Ku.'' 12 Roh Allah segera memimpin Yesus ke padang gurun. 13 Selama empat puluh hari Yesus di situ, dan dicubai oleh Iblis. Binatang liar juga ada di situ, dan malaikat datang menolong Dia. 14 Setelah Yohanes dipenjarakan, Yesus pergi ke Galilea dan mengisytiharkan Berita Baik daripada Allah. 15 Dia berkata, "Masanya sudah tiba; tidak lama lagi Allah akan memerintah. ini!'' 16 Sementara Yesus berjalan di tepi Tasik Galilea, Dia nampak dua orang nelayan, Simon dan saudaranya, Andreas. Mereka sedang menjala ikan di tasik. 17 Yesus berkata kepada mereka, "Ikutlah Aku dan Aku akan mengajar kamu menjala orang supaya menjadi pengikut-Ku.'' 18 Mereka segera meninggalkan jala lalu mengikut Yesus. 19 Yesus meneruskan perjalanan-Nya, lalu melihat dua orang adik-beradik yang lain: Yakobus dan Yohanes, anak-anak Zebedeus. Mereka sedang mengemaskan jala di dalam perahu. 20 Sebaik sahaja Yesus nampak mereka, Dia memanggil mereka. Kedua-dua orang bersaudara itu meninggalkan bapa mereka dengan orang gajinya di dalam perahu, lalu mengikut Yesus. 21 Yesus dan pengikut-pengikut-Nya tiba di kota Kapernaum. Pada hari Sabat berikutnya, Yesus pergi ke rumah ibadat dan mula mengajar. 22 Semua orang yang mendengarkan Dia kagum dengan cara Dia mengajar, kerana Dia mengajar dengan kewibawaan, tidak seperti guru Taurat. 23 Pada waktu itu seorang yang dirasuk roh jahat masuk ke dalam rumah ibadat dan berseru, 24 "Engkau mahu buat apa dengan kami, hai Yesus, orang Nasaret? Adakah Engkau mahu membinasakan kami? Aku tahu siapa Engkau: Engkau utusan yang suci daripada Allah!'' 25 Yesus menengking roh itu, "Diam! Keluarlah daripada orang ini!'' 26 Roh jahat itu menggoncangkan badan orang itu kuat-kuat, lalu keluar dari orang itu sambil berteriak. 27 Semua orang sangat hairan sehingga mereka bercakap sesama sendiri, "Apakah ini suatu ajaran baru? Orang ini berkuasa memerintah roh jahat dan roh jahat taat kepada-Nya!'' 28 Demikianlah berita tentang Yesus tersebar dengan cepat ke seluruh negeri Galilea. 29 Yesus dan pengikut-Nya, termasuk Yakobus dan Yohanes, meninggalkan rumah ibadat itu lalu terus pergi ke rumah Simon dan Andreas. 30 Ibu mentua Simon sedang terbaring di tempat tidur kerana demam. Apabila Yesus tiba di situ, Dia diberitahukan hal itu. 31 Yesus menghampiri ibu mentua Simon, memegang tangannya lalu menolong dia bangun. Demamnya hilang dan dia pun mula melayani mereka. 32 Pada petang hari, setelah matahari terbenam, orang membawa semua orang sakit dan orang yang dirasuk roh jahat kepada Yesus. 33 Semua penduduk kota itu berkumpul di hadapan rumah itu. 34 Yesus menyembuhkan banyak orang yang menderita berbagai-bagai penyakit, dan Dia juga mengusir roh-roh jahat. Yesus tidak membenarkan roh-roh jahat berkata apa-apa, kerana roh-roh jahat tahu siapa Dia. 35 Esok paginya, ketika masih subuh, Yesus bangun lalu meninggalkan rumah. Dia pergi ke luar kota, ke suatu tempat yang sunyi untuk berdoa. 36 Simon dan sahabat-sahabatnya pergi mencari Yesus. 37 Apabila mereka menemui Yesus, mereka berkata, "Semua orang sedang mencari Guru.'' 38 Tetapi Yesus menjawab, "Kita mesti meneruskan perjalanan ke pekan-pekan lain di sekitar kawasan ini. Aku mesti menyampaikan perkhabaran itu di sana juga, kerana untuk tujuan itulah Aku datang.'' 39 Demikianlah Yesus menjelajah seluruh Galilea dan berkhutbah di rumah ibadat serta mengusir roh-roh jahat. 40 Seorang berpenyakit kulit yang mengerikan datang kepada Yesus. Orang itu berlutut dan memohon pertolongan-Nya. "Tuan, jika tuan sudi,'' katanya, "tuan dapat menyembuhkan saya.'' 41 Yesus mengasihaninya. Dia pun menghulurkan tangan-Nya, lalu menjamah orang itu sambil berkata, "Aku mahu, sembuhlah!'' 42 Seketika itu juga penyakitnya tiada lagi dan orang itu sembuh. 43 Lalu Yesus menyuruh dia pergi sambil memperingatkan dia, 44 "Dengarlah baik-baik, jangan beritahu sesiapa pun perkara ini. Tetapi pergilah kepada imam dan mintalah dia mengesahkan kesembuhanmu. Kemudian persembahkanlah korban seperti yang diperintahkan oleh Musa, sebagai bukti kepada semua orang bahawa kamu betul-betul sudah sembuh.'' 45 Tetapi orang itu pergi dan mula menyebarkan berita itu di mana-mana. Dia terus-menerus menceritakan hal itu sehingga Yesus tidak dapat masuk ke bandar secara terang-terangan. Yesus tinggal di luar bandar di tempat-tempat yang sunyi, tetapi orang dari berbagai-bagai tempat datang kepada-Nya.

Markus 2

1 Beberapa hari kemudian Yesus kembali ke Kapernaum dan tersebarlah khabar bahawa Yesus di rumah. 2 Banyak sekali orang datang berkumpul di situ, sehingga tidak ada tempat. Bahkan di pintu pun penuh sesak dengan orang. Lalu Yesus memberitakan perkhabaran daripada Allah kepada mereka. 3 Sementara Yesus berkata-kata, datanglah empat orang yang mengusung seorang lumpuh. 4 Tetapi kerana terlalu banyak orang, mereka tidak dapat membawa dia kepada Yesus. Oleh itu mereka membuka bumbung rumah yang terletak tepat di atas tempat Yesus. Kemudian mereka menurunkan orang lumpuh yang terbaring di atas tikar. 5 Yesus melihat bahawa mereka sangat beriman. Oleh itu Dia berkata kepada orang lumpuh itu, "Anak-Ku, dosamu sudah diampunkan.'' 6 Beberapa orang guru Taurat yang duduk di situ berkata dalam hati, 7 "Alangkah beraninya dia mengkufuri Allah! Tidak seorang pun boleh mengampunkan dosa kecuali Allah!'' 8 Pada ketika itu juga Yesus mengetahui apa yang difikirkan mereka, lalu Dia berkata kepada mereka, "Mengapa kamu berfikir demikian? 9 Manakah yang lebih mudah: mengatakan, `Dosamu sudah diampunkan' atau `Bangunlah, angkat tikarmu, dan berjalan'? 10 Tetapi kepada kamu Aku akan membuktikan bahawa di atas bumi ini Anak Manusia berkuasa mengampunkan dosa.'' 11 Lalu Yesus berkata kepada orang lumpuh itu, "Bangunlah, angkat tikarmu, dan pulanglah!'' 12 Di hadapan mereka semua, orang lumpuh itu bangkit, mengangkat tikarnya, dan segera keluar. Semua orang di situ tercengang-cengang lalu memuji Allah. Mereka berkata, "Belum pernah kami lihat perkara seperti ini!'' 13 Yesus balik semula ke pantai Tasik Galilea. Lalu orang ramai datang kepada-Nya dan Dia mula mengajar mereka. 14 Sementara Yesus berjalan di situ, Dia melihat seorang pemungut cukai bernama Lewi anak Alfeus sedang duduk di tempat memungut cukai. Yesus berkata kepadanya, "Ikutlah Aku.'' Lewi berdiri lalu mengikut Yesus. 15 Kemudian Yesus makan di rumah Lewi. Sebilangan besar pemungut cukai dan orang yang dihina masyarakat mengikut Yesus. Banyak antara mereka yang turut makan bersama-sama Yesus dan pengikut-Nya. 16 Beberapa orang guru Taurat daripada golongan Farisi nampak Yesus makan bersama dengan pemungut cukai dan orang yang dihina masyarakat. Oleh itu mereka bertanya kepada pengikut-pengikut Yesus, "Mengapa dia makan bersama-sama pemungut cukai dan orang yang dihina masyarakat?'' 17 Yesus mendengar pertanyaan mereka, lalu menjawab, "Orang sihat tidak memerlukan doktor; hanya orang sakit memerlukannya. Aku tidak datang untuk memanggil orang yang menganggap diri mereka baik, tetapi untuk orang yang dihina masyarakat.'' 18 Pada suatu ketika, para pengikut Yohanes Pembaptis dan orang Farisi sedang berpuasa. Beberapa orang datang kepada Yesus dan bertanya, "Mengapa pengikut Yohanes Pembaptis dan pengikut orang Farisi berpuasa, tetapi pengikut guru tidak?'' 19 Yesus menjawab, "Adakah tetamu di jamuan perkahwinan berpuasa? Tentu tidak! Selama pengantin lelaki masih bersama-sama mereka, mereka tidak berpuasa. 20 Tetapi akan tiba masanya apabila pengantin lelaki itu diambil daripada mereka. Pada masa itulah mereka berpuasa. 21 Tidak ada orang menggunakan kain yang baru untuk menampal pakaian lama, kerana kain penampal yang baru itu akan mengecut lalu menyebabkan pakaian lama itu semakin koyak. 22 Demikian juga tidak ada orang yang menuang wain baru ke dalam kirbat kulit lama. Jika dia berbuat demikian, wain itu akan memecahkan kirbat kulit itu dan kedua-duanya terbuang. Wain baru harus dituang ke dalam kirbat yang baru juga!'' 23 Pada suatu hari Sabat ketika Yesus sedang melewati ladang gandum, para pengikut-Nya yang berjalan bersama dengan Dia mula memetik bulir gandum. 24 Lalu beberapa orang Farisi berkata kepada Yesus, "Lihatlah, para pengikutmu telah melanggar Taurat kita dengan melakukan perbuatan itu pada hari Sabat!'' 25 Yesus menjawab, "Belum pernahkah kamu baca apa yang dilakukan oleh Daud ketika dia dan anak buahnya lapar? 26 Dia masuk ke Khemah Allah lalu makan roti yang sudah dipersembahkan kepada Allah. Hal itu berlaku tatkala Abiatar bertugas sebagai Imam Agung. Menurut Taurat kita, hanya imam yang boleh makan roti itu. Tetapi Daud memakannya, malahan dia juga memberikan roti itu kepada anak buahnya.'' 27 Yesus berkata lagi, "Hari Sabat ditetapkan untuk kepentingan manusia; manusia tidak dijadikan untuk hari Sabat. 28 Oleh itu Anak Manusia juga berkuasa atas hari Sabat.''

Markus 3

1 Kemudian Yesus kembali ke rumah ibadat. Di situ ada seorang yang tangannya lumpuh sebelah. 2 Di situ pun ada beberapa orang yang hendak mencari kesalahan Yesus, supaya mereka dapat mengajukan tuduhan terhadap Dia. Oleh itu mereka mengawasi Dia dengan rapi sama ada Dia akan menyembuhkan orang itu pada hari Sabat. 3 Yesus berkata kepada orang yang tangannya lumpuh sebelah itu, "Marilah ke depan.'' 4 Lalu Dia bertanya kepada orang di situ, "Menurut Taurat, apakah yang boleh kita lakukan pada hari Sabat? Berbuat baik atau berbuat jahat? Menyelamatkan orang atau membinasakan mereka?'' Mereka diam sahaja. 5 Yesus marah ketika memandang semua orang di situ, dan Dia juga sedih, kerana mereka terlalu keras kepala. Lalu Yesus berkata kepada orang itu, "Hulurkanlah tanganmu.'' Orang itu menghulurkan tangannya lalu tangannya pun sembuh. 6 Maka orang Farisi meninggalkan rumah ibadat itu, lalu segera berkomplot dengan beberapa orang anggota golongan Herodes untuk membunuh Yesus. 7 Yesus dan pengikut-Nya pergi ke Tasik Galilea. Banyak sekali orang dari Galilea mengikut Dia. Banyak juga yang datang dari Yudea, 8 dari Yerusalem, dari kawasan Idumea, dari kawasan di sebelah timur Sungai Yordan, dan dari sekitar kota Tirus dan Sidon. Orang ramai datang kepada Yesus, kerana mereka mendengar hal-hal yang telah dilakukan-Nya. 9 Orang begitu banyak sehingga Yesus menyuruh pengikut-Nya menyediakan perahu bagi-Nya, supaya Dia tidak terhimpit. 10 Dia telah menyembuhkan banyak orang. Oleh itu semua orang sakit berasak-asak hendak menyentuh Dia. 11 Setiap kali orang yang dirasuk roh jahat nampak Dia, mereka sujud di hadapan-Nya dan berseru, "Engkaulah Anak Allah!'' 12 Dengan tegas Yesus melarang roh jahat mengatakan siapa Dia. 13 Kemudian Yesus pergi ke kawasan berbukit. Dia memanggil semua orang yang dikehendaki-Nya. Mereka datang, 14 lalu Yesus memilih dua belas orang antara mereka. Dia berkata kepada mereka, "Aku telah memilih kamu supaya menyertai Aku. Aku juga mengutus kamu untuk mengisytiharkan Berita Baik daripada Allah. 15 Kamu akan mendapat kuasa untuk mengusir roh jahat.'' 16 Inilah dua belas orang yang dipilih-Nya: Simon (yang juga disebut-Nya Petrus); 17 Yakobus dan saudaranya, Yohanes iaitu anak-anak Zebedeus (dua orang adik-beradik ini diberikan-Nya nama Boanerges, yang bererti "anak guntur''); 18 Andreas, Filipus, Bartolomeus, Matius, Tomas, Yakobus anak Alfeus, Tadeus, Simon Si Patriot, 19 dan juga Yudas Iskariot yang mengkhianati Yesus. 20 Kemudian Yesus pulang. Tetapi orang ramai datang berkumpul lagi, sehingga Yesus dan pengikut-pengikut-Nya tidak sempat makan. 21 Keluarga Yesus pergi mendapatkan Dia apabila mereka mendengar orang berkata, "Dia sudah gila!'' 22 Beberapa orang guru Taurat yang datang dari Yerusalem berkata, "Dia dirasuk oleh Beelzebul! Dia diberikan kuasa oleh ketua roh jahat untuk mengusir roh jahat.'' 23 Oleh itu Yesus memanggil semua orang itu lalu menceritakan beberapa perumpamaan kepada mereka. Dia berkata, "Bagaimana Iblis boleh mengusir Iblis? 24 Negeri yang berpecah menjadi beberapa bahagian lalu saling bermusuhan, akan runtuh. 25 Keluarga yang berpecah belah dan saling berlawanan, akan hancur. 26 Oleh itu, jika kerajaan Iblis mempunyai golongan yang saling berlawanan, kerajaan itu tidak tahan lama dan pasti akan lenyap. 27 Tidak seorang pun dapat masuk ke dalam rumah orang yang kuat dan merampas hartanya, kecuali dia terlebih dahulu mengikat orang kuat itu. Setelah itu, barulah dia dapat merampas hartanya. 28 Ingatlah! Segala dosa yang dilakukan orang dan semua kata kufur yang diucapkan mereka, dapat diampunkan. 29 Tetapi sesiapa yang mengkufuri Roh Allah, tidak dapat diampuni! Dia telah melakukan dosa yang kekal.'' ( 30 Yesus berkata demikian kerana ada orang berkata, "Dia dirasuk roh jahat.'') 31 Kemudian ibu dan saudara-saudara Yesus datang dan menunggu di luar. Mereka menyuruh orang memanggil Yesus. 32 Ketika itu orang ramai sedang duduk di sekeliling Yesus dan mereka berkata kepada-Nya, "Guru, lihatlah! Ibu dan saudara-saudara guru ada di luar. Mereka memanggil guru.'' 33 Yesus menjawab, "Siapakah ibu-Ku? Siapakah saudara-saudara-Ku?'' 34 Dia memandang semua orang yang duduk di sekeliling-Nya lalu berkata, "Lihatlah, inilah ibu dan saudara-saudara-Ku! 35 Sesiapa melakukan kehendak Allah, dialah saudara lelaki, saudara perempuan, dan ibu-Ku.''

Markus 4

1 Yesus mula mengajar lagi di tepi Tasik Galilea. Orang yang mengerumuni-Nya begitu banyak sehingga Dia terpaksa duduk di sebuah perahu di tasik itu. Orang ramai berdiri di tepi tasik. 2 Yesus mengajar banyak perkara kepada mereka dengan menggunakan perumpamaan. Dia berkata, 3 "Dengarlah! Seorang peladang pergi menabur benih. 4 Semasa dia menabur benih, ada yang jatuh di jalan. Lalu burung datang dan makan habis benih itu. 5 Ada juga yang jatuh di tempat berbatu yang sedikit tanahnya. Benih-benih ini segera tumbuh kerana kurang tanah, 6 tetapi apabila matahari naik, tunas-tunas itu layu, lalu kering. Tumbuhan itu mati kerana akarnya tidak dalam. 7 Ada pula yang jatuh di tengah semak berduri. Semak berduri ini tumbuh dan membantutkan tumbuhan tersebut sehingga tidak berbuah. 8 Tetapi ada benih yang jatuh di tanah subur. Benih-benih itu bertunas, membesar, lalu berbuah. Ada yang tiga puluh kali ganda, ada yang enam puluh kali ganda, dan ada yang seratus kali ganda hasilnya.'' 9 Lalu Yesus berkata, "Jika kamu bertelinga, dengarlah baik-baik!'' 10 Apabila Yesus sendirian, beberapa orang yang telah mendengar ajaran-Nya datang kepada-Nya bersama dengan dua belas orang pengikut-Nya. Mereka meminta Yesus menerangkan erti perumpamaan itu. 11 Yesus berkata kepada mereka, "Kamu telah diberikan anugerah untuk mengetahui rahsia tentang bagaimana Allah memerintah. Tetapi orang luar akan mendengar segalanya melalui perumpamaan 12 supaya, `Mereka akan melihat dan melihat, tetapi tidak nampak, mereka akan mendengar dan mendengar, tetapi tidak faham, kerana jika mereka memahaminya, mereka akan kembali kepada Allah dan Dia akan mengampuni mereka.' '' 13 Kemudian Yesus bertanya kepada mereka, "Jika kamu tidak memahami perumpamaan ini, bagaimanakah kamu dapat memahami perumpamaan yang lain? 14 Peladang itu menabur perkhabaran Allah. 15 Benih yang jatuh di jalan bagaikan orang yang mendengar perkhabaran Allah. Tetapi sebaik sahaja mereka mendengarnya, Iblis datang lalu mengambil perkhabaran yang sudah ditabur di dalam hati mereka. 16 Benih yang jatuh di tempat berbatu bagaikan orang yang mendengar perkhabaran itu dan menerimanya dengan sukacita. 17 Tetapi perkhabaran itu tidak berakar di dalam hati, sehingga mereka tidak tahan lama. Apabila mereka menderita kesusahan atau penganiayaan kerana perkhabaran itu, dengan segera mereka tidak lagi percaya kepada perkhabaran itu. 18 Benih yang jatuh di tengah semak berduri bagaikan orang yang mendengar perkhabaran itu. 19 Tetapi kekhuatiran tentang hidup, keinginan untuk hidup mewah, dan pelbagai keinginan lain memenuhi hati mereka dan membantutkan perkhabaran itu sehingga tidak berbuah. 20 Tetapi benih yang jatuh di tanah subur bagaikan orang yang mendengar perkhabaran itu dan menerimanya, lalu berbuah; ada yang tiga puluh, ada yang enam puluh, dan ada yang seratus kali ganda hasilnya.'' 21 Selanjutnya Yesus berkata, "Pernahkah seseorang memasang pelita lalu meletakkannya di bawah pasu ataupun di bawah katil? Tentu pelita itu diletakkannya di atas kaki pelita. 22 Apa yang tersembunyi akan dinyatakan, dan apa yang dirahsiakan akan didedahkan. 23 Jika kamu bertelinga, dengarlah baik-baik.'' 24 Yesus juga berkata kepada mereka, "Perhatikanlah apa yang kamu dengar! Ukuran yang kamu gunakan untuk menghakimi orang akan digunakan oleh Allah juga untuk kamu -- malahan lebih berat lagi! 25 Seseorang yang mempunyai sesuatu akan diberikan lebih banyak lagi; tetapi seseorang yang tidak mempunyai apa-apa, sedikit yang ada padanya akan diambil juga.'' 26 Yesus berkata lagi, "Apabila Allah memerintah, keadaannya dapat diumpamakan seperti seorang yang menabur benih di ladangnya. 27 Pada malam hari dia tidur; pada siang hari dia bekerja. Sementara itu, benih itu terus-menerus tumbuh dan membesar. Orang itu tidak mengerti bagaimana hal itu berlaku. 28 Tanah itulah yang menumbuhkan tanaman sehingga berbuah: mula-mula pucuk, kemudian bulir dan akhirnya buah. 29 Manakala buahnya masak, orang itu pun mula menuainya kerana musim menuai sudah tiba.'' 30 "Bagaimanakah keadaannya apabila Allah memerintah?'' tanya Yesus. "Perumpamaan apa yang dapat kita gunakan untuk menerangkannya? 31 Keadaannya seperti berikut. Biji sawi adalah benih yang terkecil di dunia. Seseorang mengambilnya lalu menanamnya di tanah. 32 Beberapa waktu kemudian benih itu tumbuh dan menjadi yang terbesar di antara segala tumbuh-tumbuhan. Cabangnya rimbun sehingga burung datang membuat sarang di bawah keteduhannya.'' 33 Demikianlah Yesus mengajar dengan menggunakan banyak perumpamaan seperti itu. Dia mengajarkan perkhabaran itu sejauh mana mereka dapat mengerti. 34 Dia sentiasa menggunakan perumpamaan apabila mengajar. Tetapi manakala Dia sendirian dengan pengikut-Nya, Dia menjelaskan segala-galanya. 35 Pada petang hari itu juga, Yesus berkata kepada pengikut-Nya, "Marilah kita menyeberang tasik.'' 36 Sementara Yesus masih di dalam perahu, para pengikut-Nya meninggalkan orang ramai. Setelah itu pengikut-pengikut Yesus belayar bersama dengan Dia. Ada juga perahu-perahu lain yang belayar bersama-sama. 37 Lalu angin kencang bertiup dan ombak melanda perahu sehingga hampir penuh dengan air. 38 Tetapi Yesus sedang tidur di bahagian belakang perahu itu, dengan kepala-Nya beralaskan bantal. Pengikut-pengikut-Nya membangunkan Dia dan berkata, "Guru, tidakkah Guru peduli? Kita hampir tenggelam!'' 39 Yesus bangun lalu menengking angin, dan berkata kepada ombak, "Diam! Tenanglah!'' Angin pun reda dan tasik menjadi tenang sekali. 40 Lalu Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, "Mengapakah kamu takut? Mengapa kamu masih belum percaya kepada-Ku?'' 41 Mereka menjadi sangat takut sehingga mula bercakap sesama sendiri, "Siapakah orang ini? Angin dan ombak pun taat kepadanya!''

Markus 5

1 Kemudian Yesus dan pengikut-pengikut-Nya tiba di seberang Tasik Galilea, di daerah Gerasa. 2 Sebaik sahaja Yesus turun dari perahu, Dia didatangi oleh seorang lelaki yang keluar dari gua kubur. 3 Orang itu dirasuk roh jahat dan tinggal di kawasan perkuburan. Tiada seorang pun dapat mengikat dia lagi, walaupun dengan rantai. 4 Banyak kali kaki dan tangannya dirantai, tetapi dia sentiasa memutuskan rantai itu dan mematahkan belenggu besi pada kakinya. Dia begitu kuat sehingga tiada seorang pun dapat menahaninya. 5 Siang malam dia berkeliaran di kuburan dan di bukit, sambil berteriak-teriak dan melukai tubuhnya dengan batu. 6 Dia masih jauh tatkala dia nampak Yesus. Segera dia lari mendekati Yesus lalu sujud di hadapan-Nya. 7 Dengan suara keras dia berseru, "Hai Yesus, Anak Allah Yang Maha Tinggi! Apakah yang akan Engkau lakukan terhadap aku? Demi Allah, aku memohon, janganlah seksa aku!'' ( 8 Dia berkata demikian kerana Yesus berkata kepadanya, "Roh jahat, keluarlah daripada orang ini!'') 9 Lalu Yesus bertanya kepadanya, "Siapa namamu?'' Orang itu menjawab, " `Legiun' -- kerana kami ini banyak sekali.'' 10 Dia memohon dengan sangat supaya Yesus tidak menyuruh roh-roh jahat itu keluar dari kawasan itu. 11 Dekat tempat itu ada kawanan babi yang sedang mencari makan di lereng bukit. 12 Roh-roh jahat itu memohon kepada Yesus, "Suruhlah kami masuk ke dalam babi-babi itu.'' 13 Yesus bersetuju. Kemudian roh-roh jahat itu keluar daripada orang itu lalu masuk ke dalam babi-babi itu. Kesemua babi itu -- lebih kurang dua ribu ekor -- terjun dari pinggir jurang ke dalam tasik lalu tenggelam. 14 Penjaga-penjaga kawanan babi itu lari dan menyebarkan berita itu di bandar dan di kampung. Lalu penduduk keluar hendak melihat apa yang sudah berlaku. 15 Mereka datang kepada Yesus dan nampak orang yang tadinya dirasuk roh jahat, duduk di situ. Dia sudah berpakaian dan fikirannya waras. Mereka semua ketakutan. 16 Semua orang yang telah menyaksikan perkara itu memberitahu mereka apa yang sudah berlaku kepada orang itu dan kawanan babi itu. 17 Oleh itu mereka meminta Yesus meninggalkan daerah itu. 18 Ketika Yesus menaiki perahu, orang yang tadinya dirasuk roh jahat memohon kepada-Nya, "Guru, benarkanlah saya mengikut guru.'' 19 Tetapi Yesus tidak membenarkan dia ikut. Sebaliknya Yesus berkata kepadanya, "Pulanglah kepada keluargamu dan beritahu mereka betapa besarnya pertolongan Tuhan dan betapa baiknya Dia kepadamu!'' 20 Demikianlah orang itu pergi ke seluruh daerah Sepuluh Kota dan memberitakan apa yang telah dilakukan oleh Yesus untuknya. Semua orang yang mendengarnya kehairanan. 21 Yesus kembali ke seberang tasik. Di pantai tasik itu, banyak sekali orang datang berkumpul di sekeliling Yesus. 22 Yairus, ketua rumah ibadat tempatan, datang juga dan ketika dia melihat Yesus, dia sujud di hadapan Yesus. 23 Dia memohon dengan sungguh-sungguh, "Guru, anak perempuan saya sakit tenat. Tolonglah datang dan letakkanlah tangan guru padanya, supaya dia sembuh dan tidak mati!'' 24 Yesus pun pergi bersama-sama Yairus. Orang yang mengikut Yesus amat banyak sehingga Dia diasak dari semua sisi. 25 Di situ ada seorang wanita yang menderita penyakit pendarahan teruk yang berkaitan dengan haidnya selama dua belas tahun. 26 Dia sudah menghabiskan segala hartanya untuk membayar rawatan doktor, tetapi dia tidak sembuh, malahan semakin parah keadaannya. 27 Wanita itu telah mendengar banyak hal tentang Yesus. Oleh itu dia datang ke tengah-tengah orang ramai dan mendekati Yesus dari belakang. 28 "Jika aku dapat menyentuh jubah-Nya,'' kata wanita itu dalam hati, "tentu aku akan sembuh.'' 29 Dia menyentuh jubah Yesus dan seketika itu juga pendarahannya berhenti. Wanita itu berasa dirinya sudah sembuh. 30 Pada saat itu juga Yesus menyedari ada kuasa yang telah keluar daripada-Nya. Yesus berpaling kepada orang ramai dan bertanya, "Siapa yang menyentuh jubah-Ku?'' 31 Pengikut-pengikut-Nya berkata, "Lihatlah orang berasak-asak di sekeliling Guru. Mengapa Guru bertanya siapa yang menyentuh Guru?'' 32 Tetapi Yesus memandang di sekeliling-Nya untuk mencari orang yang telah menyentuh-Nya. 33 Wanita itu tahu akan apa yang telah berlaku pada dirinya. Dia gementar kerana takut, lalu sujud di hadapan Yesus dan memberitahu Dia segala-galanya. 34 Yesus berkata kepada wanita itu, "Hai anak-Ku, kerana kamu percaya kepada-Ku, kamu sembuh. Pergilah dengan sejahtera. Kamu sihat sekarang!'' 35 Semasa Yesus berkata demikian, beberapa orang pesuruh datang dari rumah Yairus dan memberitahu Yairus, "Anak perempuan tuan sudah meninggal. Tak usah tuan susahkan guru lagi.'' 36 Yesus tidak mempedulikan apa yang dikatakan oleh mereka, tetapi Dia berkata kepada Yairus, "Jangan takut, percayalah kepada-Ku!'' 37 Setelah itu Yesus tidak membenarkan sesiapa pun mengikut Dia kecuali Petrus, Yakobus, dan Yohanes, saudara Yakobus. 38 Apabila mereka tiba di rumah Yairus, Yesus melihat keadaan yang kecoh serta mendengar tangisan dan ratapan yang kuat. 39 Lalu Yesus masuk dan berkata kepada mereka, "Mengapa sangat kecoh dan mengapa menangis? Anak itu tidak mati; dia hanya tidur!'' 40 Mereka mula mentertawakan Yesus. Oleh itu Yesus menyuruh mereka semua keluar. Dia mengajak ibu bapa anak itu serta ketiga-tiga orang pengikut-Nya masuk ke dalam bilik tempat anak itu berbaring. 41 Yesus memegang tangan anak itu lalu berkata kepadanya, "Talitha kum,'' yang bererti, "Anak perempuan, Aku berkata kepadamu: Bangun!'' 42 Anak perempuan itu segera bangun lalu berjalan. (Umurnya dua belas tahun.) Ketika peristiwa itu berlaku, mereka semua sangat kagum. 43 Tetapi dengan tegas Yesus melarang mereka memberitahukan hal itu kepada sesiapa pun. Lalu Dia berkata, "Berilah anak ini makanan.''

Markus 6

1 Yesus meninggalkan tempat itu, lalu pulang bersama dengan pengikut-pengikut-Nya ke kampung halaman-Nya. 2 Pada hari Sabat Dia mula mengajar di rumah ibadat. Orang di situ sangat banyak. Apabila mereka mendengar ajaran Yesus, mereka semua hairan. Mereka berkata, "Dari manakah dia memperoleh semuanya ini? Kebijaksanaan apakah yang ada padanya? Bagaimanakah dia dapat melakukan mukjizat? 3 Bukankah dia ini tukang kayu, anak Maria dan juga saudara Yakobus, Yoses, Yudas, dan Simon? Bukankah saudara-saudara perempuannya tinggal di sini?'' Oleh itu mereka tidak mahu menerima Dia. 4 Yesus berkata kepada mereka, "Seorang nabi dihormati di mana-mana tempat, kecuali di kampung halamannya dan antara sanak saudaranya serta keluarganya sendiri.'' 5 Dia tidak dapat melakukan satu mukjizat pun di situ. Dia hanya menyembuhkan beberapa orang sakit dengan meletakkan tangan-Nya pada mereka. 6 Yesus sangat hairan kerana mereka tidak percaya kepada-Nya. Kemudian Yesus pergi ke kampung-kampung di sekitar tempat itu dan mengajar orang. 7 Dia memanggil dua belas orang pengikut-Nya, lalu mengutus mereka berdua-dua, dan memberi mereka kuasa untuk mengusir roh jahat. 8 Dia juga memberikan perintah ini kepada mereka, "Jangan bawa apa-apa dalam perjalanan, kecuali sebatang tongkat. Jangan bawa makanan, atau beg sedekah, ataupun wang. 9 Tetapi pakailah kasut dan sehelai baju sahaja.'' 10 Yesus juga berkata, "Di setiap tempat kamu disambut, tinggallah di rumah yang sama sehingga kamu meninggalkan kota itu. 11 Tetapi jika kamu tiba di suatu tempat lalu penduduk di situ tidak mahu menerima kamu atau mendengar kata-kata kamu, tinggalkanlah kota itu dan kebaskanlah debu daripada telapak kaki kamu sebagai amaran kepada mereka!'' 12 Demikianlah dua belas orang pengikut Yesus pergi dan menyampaikan berita bahawa manusia harus bertaubat daripada dosa. 13 Mereka mengusir roh jahat, menyapukan minyak zaitun pada orang sakit, dan menyembuhkan mereka. 14 Raja Herodes mendengar segala kejadian itu, kerana nama Yesus sudah terkenal di semua tempat. Ada orang berkata, "Yohanes Pembaptis sudah hidup semula! Itulah sebabnya dia mempunyai kuasa untuk melakukan mukjizat.'' 15 Tetapi yang lain berkata, "Dia Elia.'' Ada pula yang berkata, "Dia itu nabi, seperti salah seorang nabi zaman dahulu.'' 16 Ketika mendengar hal itu, Raja Herodes bertitah, "Dialah Yohanes Pembaptis! Dengan perintah beta, kepalanya sudah dipancung, tetapi dia hidup semula!'' 17 Dahulu Raja Herodes memberikan perintah supaya Yohanes ditangkap, diikat lalu dimasukkan ke dalam penjara. Raja Herodes berbuat demikian kerana Herodias, yang telah dikahwininya walaupun sebenarnya wanita itu isteri Filipus, saudara Raja Herodes. 18 Yohanes selalu menegur Raja Herodes, katanya, "Tuanku bersalah kerana berkahwin dengan isteri saudara tuanku!'' 19 Itulah sebabnya Herodias menaruh dendam terhadap Yohanes dan ingin membunuh dia. Tetapi Herodias tidak dapat melakukan hal itu kerana dihalang oleh Raja Herodes. 20 Raja Herodes takut akan Yohanes kerana Raja Herodes tahu bahawa Yohanes seorang yang baik dan diutus oleh Allah. Oleh itu Raja Herodes menjaga keselamatan Yohanes. Raja Herodes suka mendengar kata-kata Yohanes, meskipun kata-katanya membuat Raja Herodes sangat gelisah. 21 Akhirnya Herodias mendapat peluang pada hari keputeraan Raja Herodes. Raja Herodes mengadakan jamuan untuk semua pegawai tinggi kerajaan, pegawai tentera, dan tokoh-tokoh masyarakat Galilea. 22 Anak perempuan Herodias menari dan menghiburkan hati Raja Herodes serta tetamunya. Oleh itu Raja Herodes bertitah kepada anak gadis itu, "Anakanda ingin apa? Ayahanda akan memberikan apa sahaja yang anakanda ingini!'' 23 Lalu Raja Herodes berjanji kepada gadis itu dengan sumpah. Raja Herodes bertitah, "Ayahanda berjanji memberikan apa sahaja yang anakanda minta, bahkan separuh daripada kerajaan ayahanda sekalipun!'' 24 Oleh itu gadis itu keluar dan bertanya kepada ibunya, "Apakah yang sebaiknya saya minta?'' Ibunya menjawab, "Mintalah kepala Yohanes Pembaptis.'' 25 Gadis itu segera kembali kepada Raja Herodes dan berkata, "Anakanda minta ayahanda memberi anakanda kepala Yohanes Pembaptis di atas talam sekarang juga!'' 26 Setelah mendengar permintaan itu, Raja Herodes sangat berdukacita. Tetapi Raja Herodes tidak dapat menolak permintaan itu kerana telah berjanji dengan sumpah di hadapan semua tetamunya. 27 Lalu Raja Herodes memberikan perintah kepada askarnya untuk mengambil kepala Yohanes Pembaptis. Askar itu meninggalkan istana, pergi ke penjara lalu memancung kepala Yohanes. 28 Kemudian kepala itu diletakkannya di atas talam, dibawanya ke istana, dan diserahkannya kepada gadis itu. Lalu gadis itu menyerahkan kepala Yohanes kepada ibunya. 29 Apabila pengikut Yohanes mendengar hal itu, mereka mengambil jenazah Yohanes dan mengebumikannya. 30 Rasul-rasul yang diutus oleh Yesus kembali kepada Yesus, dan melaporkan segala yang sudah dilakukan dan diajarkan oleh mereka. 31 Orang yang datang dan pergi di tempat itu sedemikian banyak sehingga Yesus dan pengikut-pengikut-Nya tidak sempat makan. Oleh itu Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, "Marilah kita pergi ke tempat yang sunyi supaya kita dapat sendirian dan kamu pun boleh berehat sekejap.'' 32 Oleh itu mereka bertolak dengan perahu ke tempat yang sunyi. 33 Tetapi orang ramai nampak mereka meninggalkan tempat itu dan mengenal mereka. Lalu orang dari semua kota di kawasan itu berlari melalui jalan darat supaya mendahului Yesus dan pengikut-Nya ke tempat yang ditujui mereka. 34 Apabila Yesus turun dari perahu, Dia nampak orang ramai di situ. Hati-Nya penuh belas kasihan kerana mereka seperti domba tanpa gembala. Dia pun mula mengajarkan banyak perkara kepada mereka. 35 Apabila hari sudah petang, pengikut-pengikut Yesus datang dan berkata kepada-Nya, "Hari sudah hampir malam dan tempat ini terpencil. 36 Suruhlah semua orang ini pergi. Biarlah mereka pergi ke pekan dan kampung di sekitar sini untuk membeli makanan.'' 37 Tetapi Yesus menjawab, "Sebaiknya kamu beri mereka makanan.'' Pengikut-pengikut-Nya bertanya, "Adakah Guru mahu kami pergi membeli roti seharga dua ratus keping wang perak supaya kami dapat memberikan makanan kepada mereka?'' 38 Yesus berkata kepada mereka, "Pergilah lihat berapa banyak roti yang ada pada kamu.'' Setelah mereka pergi melihat, mereka berkata, "Lima ketul roti dan dua ekor ikan.'' 39 Lalu Yesus memberitahu pengikut-pengikut-Nya supaya menyuruh semua orang di situ duduk berkelompok-kelompok di rumput yang hijau. 40 Mereka pun duduk dengan teratur dalam kelompok. Ada yang seratus orang sekelompok dan ada pula yang lima puluh orang. 41 Setelah itu Yesus mengambil lima ketul roti dan dua ekor ikan itu. Dia menengadah ke langit dan mengucap syukur kepada Allah. Kemudian Dia membahagikan roti itu lalu menyerahkannya kepada pengikut-pengikut-Nya supaya diberikan kepada orang ramai itu. Dia juga membahagi-bahagikan dua ekor ikan itu kepada mereka semua. 42 Tiap-tiap orang makan sehingga kenyang. 43 Selepas itu pengikut-pengikut-Nya mengumpulkan lebihan makanan sebanyak dua belas buah bakul. 44 Jumlah orang lelaki yang makan roti itu kira-kira lima ribu orang. 45 Yesus segera menyuruh pengikut-pengikut-Nya pergi terlebih dahulu dengan perahu ke Betsaida di seberang tasik, sementara Dia menyuruh orang ramai pulang. 46 Setelah Yesus melihat orang ramai itu pergi, Dia pun pergi ke bukit untuk berdoa. 47 Apabila hari sudah malam, perahu pengikut-pengikut Yesus sudah ada di tengah-tengah tasik, sedangkan Yesus seorang diri di darat. 48 Yesus nampak pengikut-pengikut-Nya bersusah payah mendayung perahu kerana angin bertiup dari arah yang berlawanan. Oleh itu, kira-kira antara pukul tiga dan enam pagi, Dia berjalan di atas air dan menghampiri mereka. Yesus hendak mendahului mereka, 49 tetapi mereka nampak Dia berjalan di atas air. "Hantu!'' teriak mereka. 50 Mereka sangat ketakutan ketika melihat Yesus. Tetapi Yesus segera berkata kepada mereka, "Tabahkan hati kamu! Aku Yesus. Jangan takut!'' 51 Lalu Dia menaiki perahu mereka dan angin pun teduh. Pengikut-pengikut-Nya sangat hairan, 52 kerana masih belum faham akan apa yang telah berlaku dengan lima ketul roti itu; mereka tidak dapat memahaminya. 53 Mereka menyeberang tasik lalu tiba di Genesaret. Di situ mereka menambat perahu itu. 54 Ketika mereka meninggalkan perahu, orang ramai mengenal Yesus dengan serta-merta. 55 Lalu mereka berlari ke seluruh kawasan itu. Di mana-mana mereka tahu Yesus ada, mereka membawa semua orang sakit yang terbaring di atas tikar kepada-Nya. 56 Ke mana sahaja Yesus pergi, baik ke kampung, ke kota, ataupun ke pekan, penduduk di situ membawa semua orang sakit ke padang tempat orang berkumpul. Lalu mereka memohon supaya setidak-tidaknya Yesus membenarkan semua orang sakit menyentuh hujung jubah-Nya. Maka semua orang yang menyentuhnya sembuh.

Markus 7

1 Beberapa orang Farisi dan guru Taurat yang datang dari Yerusalem, berkumpul di sekeliling Yesus. 2 Mereka melihat beberapa orang pengikut Yesus makan dengan tangan yang tidak bersih menurut agama, iaitu tanpa terlebih dahulu membasuh tangan menurut peraturan agama Yahudi. 3 Baik orang Farisi mahupun orang Yahudi lain, semuanya menurut adat istiadat nenek moyang. Mereka tidak akan makan sebelum membasuh tangan menurut cara-cara yang ditetapkan. 4 Makanan yang dibeli di pasar tidak akan dimakan, sebelum dibasuh terlebih dahulu. 5 Oleh itu semua orang Farisi dan guru Taurat di situ bertanya kepada Yesus, "Mengapakah pengikutmu tidak menurut adat istiadat nenek moyang kita? Mengapakah mereka makan dengan tangan yang tidak dibasuh?'' 6 Yesus menjawab, "Tepat sekali apa yang dikatakan oleh Nabi Yesaya, tatkala dia bernubuat tentang kamu! Kamu munafik, seperti yang dituliskan oleh Yesaya di dalam kitabnya, `Demikianlah firman Allah: Semua orang ini menghormati Aku dengan kata-kata, tetapi hati mereka sebenarnya jauh daripada-Ku. 7 Sia-sialah mereka menyembah Aku, kerana peraturan manusia diajarkan oleh mereka seolah-olah peraturan itu hukum Allah!' 8 Kamu tidak mempedulikan perintah Allah supaya kamu dapat menurut ajaran manusia.'' 9 Yesus berkata pula, "Cerdik sekali cara kamu menolak perintah Allah untuk mempertahankan ajaran kamu sendiri. 10 Musa memberikan perintah ini, `Hormatilah ibu bapamu,' dan `Orang yang mencaci ibu bapa mesti dihukum mati.' 11 Tetapi kamu memberikan ajaran berikut: Jika seseorang berkata kepada ibu bapanya, `Apa yang seharusnya saya gunakan untuk menolong ayah dan emak, sudah saya jadikan Korban. Semuanya sudah saya persembahkan kepada Allah.' 12 Maka orang itu tidak payah menolong ibu bapanya. 13 Dengan jalan ini ajaran yang kamu sampaikan kepada orang lain, meniadakan firman Allah. Banyak lagi perkara seperti ini yang kamu lakukan.'' 14 Lalu sekali lagi Yesus memanggil orang ramai itu dan berkata kepada mereka, "Dengarlah supaya kamu mengerti! 15 Tiada sesuatu pun dari luar yang masuk ke dalam seseorang, dapat menajiskan dia. Sebaliknya, apa yang keluar daripada seseorang menajiskan dia. 16 Oleh itu, jika kamu bertelinga, dengarlah!'' 17 Apabila Yesus meninggalkan orang ramai lalu masuk ke rumah, pengikut-pengikut-Nya bertanya kepada-Nya tentang perumpamaan itu. 18 Yesus berkata kepada mereka, "Kamu ini sama dengan mereka. Tidakkah kamu mengerti? Tiada sesuatu pun dari luar yang masuk ke dalam seseorang dapat menajiskan dia, 19 kerana apa yang masuk itu tidak ke dalam hati, melainkan ke dalam perut, lalu keluar lagi.'' Dengan kata-kata ini Yesus menyatakan bahawa semua makanan boleh dimakan. 20 Yesus berkata lagi, "Apa yang keluar daripada seseorang menajiskan dia, 21 kerana dari hatilah timbul fikiran jahat yang menyebabkan orang berbuat cabul, merompak, membunuh, 22 berzina, tamak; melakukan segala perkara yang jahat, seperti menipu, berbuat yang tidak senonoh, cemburu, memfitnah, sombong, dan tidak berbudi pekerti. 23 Semua perkara jahat ini timbul dari dalam dan hal itulah yang menajiskan orang.'' 24 Kemudian Yesus meninggalkan tempat itu lalu pergi ke kawasan dekat kota Tirus. Dia masuk ke dalam sebuah rumah. Dia tidak mahu orang tahu bahawa Dia di situ, tetapi Dia tidak dapat menyembunyikan diri. 25 Seorang ibu, yang anak perempuannya dirasuk roh jahat mendengar perihal Yesus. Dia segera datang kepada-Nya lalu sujud di hadapan-Nya. 26 Wanita itu bukan orang Yahudi dan dia dilahirkan di daerah Fenisia di Siria. Dia memohon supaya Yesus mengusir roh jahat yang merasuk anaknya. 27 Tetapi Yesus menjawab, "Anak-anak harus diberikan makanan terlebih dahulu, kerana tidak patut kita mengambil makanan mereka lalu melemparkannya kepada anjing.'' 28 "Tuan,'' jawab wanita itu, "anjing di bawah meja pun makan sisa yang dijatuhkan oleh anak-anak!'' 29 Yesus berkata kepadanya, "Kerana jawapanmu itu, pulanglah; roh jahat sudah keluar daripada anak perempuanmu!'' 30 Ketika ibu itu tiba di rumah, dia mendapati anaknya terbaring di katil, dan roh jahat benar-benar sudah keluar daripada anak itu. 31 Kemudian Yesus meninggalkan daerah sekitar Tirus dan meneruskan perjalanan ke Tasik Galilea melalui Sidon. Dia melalui daerah Sepuluh Kota. 32 Di situ beberapa orang membawa seorang tuli yang ada kecacatan pertuturan, kepada-Nya. Mereka memohon supaya Yesus meletakkan tangan-Nya pada orang itu. 33 Yesus membawa dia ke tepi, jauh dari orang ramai, lalu memasukkan jari-Nya ke dalam kedua-dua belah telinga orang itu. Setelah itu Yesus meludah dan menjamah lidah orang itu. 34 Kemudian Yesus menengadah ke langit dan menarik nafas panjang. Lalu Dia berkata kepada orang itu, "Effata,'' yang bererti, "Terbukalah!'' 35 Seketika itu juga telinga orang itu terbuka, lidahnya pulih, lalu dia mula bercakap dengan mudah. 36 Selepas itu Yesus melarang mereka menceritakan hal itu kepada sesiapa pun. Tetapi semakin Yesus melarang, semakin mereka menceritakannya. 37 Semua orang yang mendengar hal itu sangat hairan. Mereka berkata, "Sungguh baik perbuatannya! Dia pun dapat membuat orang tuli mendengar dan orang bisu bercakap!''

Markus 8

1 Tidak lama kemudian, ada lagi orang ramai datang berkumpul. Apabila mereka kehabisan makanan, Yesus memanggil pengikut-pengikut-Nya dan berkata, 2 "Aku kasihan kepada orang ramai ini. Sudah tiga hari mereka bersama-sama Aku, dan sekarang mereka kehabisan makanan. 3 Jika Aku menyuruh mereka pulang dengan perut kosong, mereka akan pengsan di tengah jalan, kerana ada antara mereka yang datang dari jauh.'' 4 Pengikut-pengikut Yesus bertanya kepada-Nya, "Di tempat terpencil ini, di manakah orang boleh mendapat cukup makanan untuk semua orang ini?'' 5 Yesus bertanya kepada mereka, "Berapa banyak roti yang ada pada kamu?'' "Tujuh ketul,'' jawab mereka. 6 Yesus menyuruh orang ramai duduk di atas tanah. Lalu Dia mengambil tujuh ketul roti itu dan mengucap syukur kepada Allah. Kemudian Dia membahagikan roti itu, lalu menyerahkannya kepada para pengikut-Nya untuk diberikan kepada orang ramai. Pengikut-Nya pun berbuat demikian. 7 Mereka juga mempunyai beberapa ekor ikan kecil. Yesus mengucap syukur kepada Allah bagi ikan itu, lalu menyuruh pengikut-Nya membahagi-bahagikan ikan itu juga. 8 Semua orang makan sehingga kenyang -- ada kira-kira empat ribu orang di situ. Selepas itu pengikut-pengikut Yesus mengumpulkan lebihan roti dan ikan sebanyak tujuh buah bakul. Kemudian Yesus menyuruh orang ramai pulang. 10 Sesudah itu Dia segera menaiki perahu bersama-sama para pengikut-Nya, lalu pergi ke daerah Dalmanuta. 11 Beberapa orang Farisi datang kepada Yesus dan mula bersoal jawab dengan Dia. Mereka hendak memerangkap Dia. Mereka meminta Yesus melakukan mukjizat untuk membuktikan bahawa Dia datang daripada Allah. 12 Yesus mengeluh lalu menjawab, "Mengapakah orang zaman ini meminta Aku melakukan mukjizat? Tidak! Tanda semacam itu tidak akan diberikan kepada mereka!'' 13 Yesus meninggalkan mereka, lalu kembali ke perahu dan mula menyeberangi tasik. 14 Pengikut Yesus lupa membawa roti yang cukup. Mereka hanya mempunyai seketul roti di perahu. 15 Yesus memperingatkan mereka, "Berhati-hatilah dengan ragi orang Farisi dan ragi Herodes.'' 16 Mereka mula mempersoalkan hal itu. Mereka berkata, "Dia berkata demikian kerana kita tidak membawa roti.'' 17 Yesus mengetahui apa yang dipersoalkan mereka. Oleh itu Dia bertanya kepada mereka, "Mengapa kamu mempersoalkan hal tidak membawa roti? Tidakkah kamu tahu dan faham juga? Adakah fikiran kamu sedemikian tumpul? 18 Kamu mempunyai mata, mengapa tidak dapat melihat? Kamu mempunyai telinga, mengapa tidak dapat mendengar? Tidakkah kamu ingat 19 bagaimana Aku membahagikan lima ketul roti untuk lima ribu orang? Berapa buah bakul lebihan makanan yang kamu kumpulkan?'' Mereka menjawab, "Dua belas.'' 20 Yesus bertanya lagi, "Ketika Aku membahagikan tujuh ketul roti untuk empat ribu orang, berapa buah bakul lebihan makanan yang kamu kumpulkan?'' Mereka menjawab, "Tujuh.'' 21 Yesus berkata, "Dan kamu masih belum faham juga?'' 22 Mereka tiba di Betsaida. Di situ beberapa orang membawa seorang buta kepada Yesus, dan mereka memohon supaya Yesus menyentuh dia agar dia sembuh. 23 Yesus memegang tangan orang buta itu lalu memimpinnya keluar dari pekan itu. Setelah Yesus meludahi mata orang itu, Dia meletakkan tangan-Nya pada mata orang itu, lalu bertanya kepadanya, "Dapatkah kamu lihat sesuatu?'' 24 Orang itu memandang ke hadapan lalu berkata, "Ya. Saya nampak orang, tetapi mereka seperti pokok yang berjalan.'' 25 Sekali lagi Yesus meletakkan tangan-Nya pada mata orang itu. Kali ini orang itu memandang dengan seboleh-bolehnya. Matanya sembuh, dan dia melihat segala-galanya dengan jelas sekali. 26 Lalu Yesus menyuruh dia pulang, dan berkata kepadanya, "Jangan masuk lagi ke pekan itu.'' 27 Kemudian Yesus dan pengikut-pengikut-Nya pergi ke pekan-pekan di sekitar Kaisarea Filipi. Di tengah jalan Yesus bertanya kepada mereka, "Menurut kata orang, siapakah Aku ini?'' 28 Mereka menjawab, "Ada yang berkata Yohanes Pembaptis; ada pula yang berkata Elia, sedangkan yang lain berkata salah seorang nabi.'' 29 "Tetapi menurut kamu, siapakah Aku ini?'' tanya Yesus. Petrus menjawab, "Guru ialah Kristus, Penyelamat yang diutus oleh Allah!'' 30 Lalu Yesus memerintah mereka, "Jangan beritahu sesiapa pun perkara tentang diri-Ku.'' 31 Kemudian Yesus mula mengajar pengikut-pengikut-Nya, "Anak Manusia mesti mengalami banyak penderitaan, dan tidak akan diterima oleh para pemimpin masyarakat, ketua imam, dan guru Taurat. Dia akan dibunuh, tetapi selepas tiga hari, Dia akan bangkit semula.'' 32 Yesus mengatakan hal ini kepada mereka dengan jelas sekali. Oleh itu Petrus menarik Yesus ke tepi dan mula menegur Dia. 33 Tetapi Yesus berpaling dan memandang pengikut-pengikut-Nya, lalu menegur Petrus, "Pergilah dari sini, hai Iblis! Fikiranmu itu fikiran manusia, bukan fikiran Allah!'' 34 Kemudian Yesus memanggil pengikut-pengikut-Nya dan orang ramai di situ. Dia berkata kepada mereka, "Jika seseorang hendak mengikut Aku, dia mesti melupakan kepentingan sendiri, memikul salib, dan mengikut Aku. 35 Sesiapa yang mempertahankan hidupnya akan kehilangan hidup yang sejati. Tetapi sesiapa yang mengorbankan hidupnya untuk-Ku dan untuk Berita Baik daripada Allah, akan menyelamatkannya. 36 Apa gunanya jika seseorang memiliki seluruh dunia ini, tetapi kehilangan hidup yang sejati? 37 Dapatkah hidup itu ditukar dengan sesuatu? Tentu tidak. 38 Jika seseorang malu mengakui Aku dan ajaran-Ku pada zaman yang derhaka dan jahat ini, Anak Manusia juga akan malu mengakui orang itu, apabila Dia datang kelak dengan kemuliaan Bapa-Nya berserta malaikat-malaikat-Nya yang suci.''

Markus 9

1 Yesus berkata lagi, "Ketahuilah! Ada beberapa orang di sini yang tidak akan meninggal, sebelum melihat Allah memerintah dengan penuh kuasa!'' 2 Enam hari kemudian Yesus membawa Petrus, Yakobus, dan Yohanes, pergi menyendiri ke sebuah gunung yang tinggi. Ketika mereka memandang Yesus, rupa Yesus berubah. 3 Pakaian-Nya menjadi putih bersinar-sinar. Tiada sesiapa pun di bumi dapat membasuh kain sehingga menjadi seputih itu. 4 Lalu ketiga-tiga orang pengikut itu nampak Elia dan Musa berkata-kata dengan Yesus. 5 Petrus berkata kepada Yesus, "Guru, sungguh baik kami di sini. Kami akan mendirikan tiga buah khemah: satu untuk Guru, satu untuk Musa, dan satu lagi untuk Elia.'' 6 Sebenarnya Petrus tidak mengetahui apa yang harus dikatakannya, kerana dia dan kedua-dua orang kawannya sangat takut. 7 Lalu awan meliputi mereka dan terdengar suara dari awan berkata, "Inilah Anak-Ku yang Aku kasihi. Dengarkanlah Dia!'' 8 Mereka melihat di sekeliling, tetapi tidak nampak sesiapa pun bersama-sama mereka kecuali Yesus. 9 Ketika mereka turun dari gunung itu, Yesus memperingatkan mereka, "Jangan beritahu sesiapa pun apa yang telah kamu nampak, selagi Anak Manusia belum bangkit daripada kematian.'' 10 Mereka menurut perintah-Nya, tetapi mula mempersoalkan makna "bangkit daripada kematian''. 11 Mereka bertanya kepada Yesus, "Mengapakah guru Taurat berkata bahawa Elia mesti datang terlebih dahulu?'' 12 Yesus menjawab, "Elia memang datang terlebih dahulu untuk menyediakan segala-galanya. Tetapi, mengapa di dalam Alkitab tertulis bahawa Anak Manusia akan mengalami banyak penderitaan serta dihina orang? 13 Aku berkata kepada kamu: Elia sudah datang dan orang memperlakukan dia dengan sesuka hati mereka. Hal itu tepat seperti yang tertulis di dalam Alkitab tentang dirinya.'' 14 Apabila mereka kembali kepada pengikut-pengikut yang lain, mereka nampak orang ramai di situ. Beberapa orang guru Taurat sedang bersoal jawab dengan pengikut-pengikut Yesus. 15 Sebaik sahaja orang ramai melihat Yesus, mereka kehairanan, lalu berlari menyambut Dia. 16 Yesus bertanya kepada pengikut-pengikut-Nya, "Apa yang kamu persoalkan dengan mereka?'' 17 Seorang daripada orang ramai itu menjawab, "Guru, saya membawa anak saya kepada pengikut-pengikut guru. Dia bisu kerana dirasuk roh jahat. 18 Apabila roh jahat menyerang dia, tubuhnya dibanting-banting ke tanah dan mulutnya berbuih. Giginya berkertak dan badannya menjadi kaku. Saya meminta pengikut-pengikut guru mengusir roh jahat itu, tetapi mereka tidak dapat melakukannya.'' 19 Yesus berkata kepada mereka, "Hai kamu orang yang tidak percaya! Berapa lamakah harus Aku tinggal bersama-sama kamu? Berapa lamakah harus Aku bersabar terhadap kamu? Bawa anak itu ke mari!'' 20 Mereka pun membawa dia kepada Yesus. Sebaik sahaja roh jahat itu melihat Yesus, roh jahat itu membuat anak itu kena sawan sehingga anak itu jatuh terguling-guling ke tanah. Mulutnya berbuih. 21 Yesus bertanya kepada bapa anak itu, "Sudah berapa lamakah dia begini?'' Bapanya menjawab, "Sejak dia masih kanak-kanak lagi! 22 Sering kali roh jahat itu cuba membunuhnya dengan membuang dia ke dalam api atau air. Kasihanilah kami dan tolonglah kami, sekiranya guru dapat menolong!'' 23 "Apa katamu? Jika guru dapat?'' jawab Yesus. "Orang yang percaya kepada Allah dapat melakukan segala sesuatu!'' 24 Bapa itu segera berseru, "Saya percaya, tetapi iman saya kurang. Tolonglah saya supaya lebih percaya lagi!'' 25 Yesus melihat bahawa orang ramai mula datang berkerumun. Oleh itu Dia memerintah roh jahat itu dengan berkata, "Roh tuli dan bisu, Aku memerintah kamu keluar daripada anak ini dan jangan sekali-kali masuk lagi!'' 26 Roh jahat itu berteriak dan membuat anak itu berkejang-kejang, lalu keluar daripada anak itu. Anak itu kelihatan seperti mayat sehingga semua orang berkata, "Dia sudah mati!'' 27 Tetapi Yesus memegang tangannya dan menolong dia bangun. Anak itu pun berdiri. 28 Kemudian Yesus masuk ke dalam rumah. Apabila tiada orang lain di situ, pengikut-pengikut Yesus bertanya kepada-Nya, "Mengapakah kami tidak dapat mengusir roh jahat itu?'' 29 Yesus menjawab, "Tiada cara lain yang dapat mengusir roh jahat semacam ini, kecuali dengan doa.'' 30 Yesus dan pengikut-pengikut-Nya meninggalkan tempat itu lalu meneruskan perjalanan melalui Galilea. Yesus tidak mahu orang tahu di mana Dia, 31 kerana Dia sedang mengajar pengikut-pengikut-Nya. Dia berkata, "Anak Manusia akan diserahkan ke dalam kekuasaan manusia, lalu Dia akan dibunuh, tetapi tiga hari kemudian Dia akan bangkit semula!'' 32 Mereka tidak memahami makna ajaran itu, tetapi mereka takut bertanya kepada Yesus. 33 Mereka tiba di Kapernaum. Setelah mereka masuk ke rumah, Yesus bertanya kepada pengikut-pengikut-Nya, "Apakah yang kamu persoalkan di tengah jalan tadi?'' 34 Mereka tidak menjawab, kerana sewaktu dalam perjalanan, mereka mempersoalkan siapa yang terbesar. 35 Yesus duduk, lalu memanggil dua belas orang pengikut-Nya. Dia berkata kepada mereka, "Sesiapa yang mahu menjadi pertama, mesti menjadi yang terakhir dan menjadi hamba semua orang.'' 36 Setelah itu Dia memanggil seorang kanak-kanak, lalu menyuruhnya berdiri di hadapan mereka semua. Yesus memeluk kanak-kanak itu sambil berkata kepada mereka, 37 "Sesiapa yang menyambut kanak-kanak seperti ini kerana Aku, menyambut Aku. Sesiapa yang menyambut Aku, menyambut bukan Aku sahaja, tetapi juga Allah yang mengutus Aku.'' 38 Yohanes berkata kepada Yesus, "Guru, kami nampak seorang mengusir roh jahat dengan nama Guru. Kami melarang dia, kerana dia tidak termasuk golongan kita.'' 39 Yesus berkata kepada mereka, "Jangan larang dia, kerana tiada seorang pun yang telah melakukan mukjizat dengan nama-Ku, akan segera memburuk-burukkan Aku. 40 Sesiapa yang tidak melawan kita, berpihak kepada kita. 41 Ingatlah! Sesiapa yang memberi kamu minuman kerana kamu pengikut Kristus, pasti akan menerima pahalanya.'' 42 "Sesiapa menyebabkan salah seorang pengikut-Ku yang kecil ini tidak lagi percaya kepada-Ku, lebih baik jika batu kisaran diikatkan pada leher orang itu, lalu dia dibuang ke dalam laut. 43 Jika tanganmu menyebabkan kamu berdosa, potonglah tangan itu! Lebih baik kamu hidup tanpa sebelah tangan daripada kamu dengan kedua-dua belah tangan masuk ke dalam neraka, ke dalam api yang kekal. 44 Di sana ulat tidak dapat mati dan api tidak pernah padam. 45 Jika kakimu menyebabkan kamu berdosa, potonglah kaki itu! Lebih baik kamu hidup tanpa sebelah kaki daripada kamu dengan kedua-dua belah kaki dibuang ke dalam neraka. 46 Di sana ulat tidak dapat mati dan api tidak pernah padam. 47 Jika matamu menyebabkan kamu berdosa, cungkillah mata itu! Lebih baik kamu menikmati Dunia Baru Allah dengan hanya sebelah mata, daripada kamu dengan kedua-dua belah mata dibuang ke dalam neraka. 48 Di sana ulat tidak dapat mati dan api tidak pernah padam. 49 Setiap orang akan dimurnikan dengan api, sebagaimana persembahan korban dimurnikan dengan garam. 50 Garam itu baik, tetapi jika garam sudah menjadi tawar, garam itu tidak dapat menjadi masin lagi. Hendaklah kamu menjadi seperti garam serta hidup rukun.''

Markus 10

1 Kemudian Yesus meninggalkan tempat itu. Dia pergi ke daerah Yudea dan daerah di seberang Sungai Yordan. Orang ramai berkumpul lagi di sekeliling Yesus, dan seperti biasa Yesus mula mengajar mereka. 2 Beberapa orang Farisi datang hendak memerangkap Dia. Mereka bertanya, "Menurut Taurat kita, bolehkah orang menceraikan isteri?'' 3 Yesus menjawab dengan bertanya, "Apakah perintah yang diberikan oleh Musa kepada kamu?'' 4 Mereka menjawab, "Musa membenarkan seseorang menceraikan isterinya asal menulis surat cerai.'' 5 Yesus berkata kepada mereka, "Musa menulis perintah itu kerana kamu terlalu sukar diajar. 6 Tetapi pada mula-mulanya, pada waktu Allah menciptakan manusia, ada dikatakan bahawa `Allah menjadikan mereka lelaki dan perempuan. 7 Itulah sebabnya seorang lelaki meninggalkan ibu bapanya lalu bersatu dengan isterinya, 8 dan kedua-duanya menjadi satu.' Dengan demikian mereka bukan lagi dua orang tetapi satu. 9 Oleh itu mereka yang telah disatukan oleh Allah, tidak boleh dipisahkan oleh manusia!'' 10 Setelah mereka pulang ke rumah, pengikut-pengikut-Nya bertanya kepada Yesus tentang hal itu. 11 Yesus berkata kepada mereka, "Seorang lelaki yang menceraikan isterinya lalu berkahwin dengan wanita lain, berzina terhadap isterinya yang pertama. 12 Demikian juga seorang wanita yang menceraikan suaminya lalu berkahwin dengan lelaki lain, pun berzina.'' 13 Beberapa orang membawa kanak-kanak kepada Yesus supaya Yesus meletakkan tangan-Nya pada kanak-kanak itu dan memberkati mereka. Tetapi pengikut-pengikut-Nya memarahi mereka. 14 Ketika Yesus nampak hal ini, Dia marah lalu berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, "Biarlah kanak-kanak itu datang kepada-Ku! Jangan larang mereka, kerana orang seperti inilah yang menikmati Pemerintahan Allah. 15 Ingatlah! Orang yang tidak menyambut Pemerintahan Allah seperti seorang kanak-kanak, tidak dapat menikmati Pemerintahan Allah.'' 16 Lalu Yesus memeluk semua kanak-kanak di situ, kemudian Dia meletakkan tangan-Nya pada tiap-tiap anak, dan memberkati mereka. 17 Ketika Yesus meneruskan perjalanan-Nya, seorang lelaki berlari ke arah Yesus. Dia sujud di hadapan Yesus lalu bertanya, "Guru yang baik, apakah yang harus saya lakukan supaya beroleh hidup sejati dan kekal?'' 18 "Mengapa kamu mengatakan Aku baik?'' tanya Yesus. "Tiada seorang pun yang baik kecuali Allah. 19 Kamu tahu akan hukum Allah: `Jangan membunuh; jangan berzina; jangan mencuri; jangan berikan kesaksian palsu; jangan menipu; hormatilah ibu bapamu.' '' 20 "Guru,'' kata orang itu, "sejak muda saya telah menurut semua hukum itu.'' 21 Dengan penuh kasih Yesus memandang orang itu lalu berkata, "Tinggal satu perkara sahaja yang perlu kamu lakukan. Pergilah jual segala yang kamu miliki; berikan wangnya kepada orang miskin, maka kamu akan beroleh harta di syurga. Kemudian marilah, ikutlah Aku.'' 22 Apabila orang itu mendengar kata-kata Yesus, mukanya muram. Dia terus meninggalkan tempat itu dengan susah hati kerana dia sangat kaya. 23 Yesus memandang pengikut-pengikut-Nya lalu berkata kepada mereka, "Alangkah susahnya bagi orang kaya menikmati Pemerintahan Allah!'' 24 Pengikut-pengikut-Nya terperanjat mendengar kata-kata Yesus itu. Tetapi Yesus berkata pula, "Hai anak-anak-Ku, memang susah untuk menikmati Pemerintahan Allah! 25 Lebih mudah bagi seekor unta memasuki lubang jarum daripada seorang kaya menikmati Pemerintahan Allah.'' 26 Pengikut-pengikut Yesus hairan mendengar kata-kata itu, lalu mereka bertanya sesama sendiri, "Jika demikian, siapakah yang boleh diselamatkan?'' 27 Yesus memandang mereka lalu menjawab, "Hal ini mustahil bagi manusia, tetapi tidak mustahil bagi Allah kerana Allah dapat melakukan segala perkara.'' 28 Lalu Petrus berkata, "Lihatlah, kami sudah meninggalkan segala-galanya lalu mengikut Guru.'' 29 "Betul!'' kata Yesus, "Percayalah kepada-Ku: Sesiapa yang meninggalkan rumah tangganya, atau saudara lelakinya atau saudara perempuannya, atau ibunya, atau bapanya, atau anak-anaknya, atau ladangnya kerana Aku dan kerana Berita Baik itu, 30 akan menerima lebih banyak lagi pada zaman ini. Orang itu akan menerima seratus kali ganda rumah, saudara lelaki, saudara perempuan, ibu, anak-anak, ladang, dan juga penganiayaan. Pada zaman yang akan datang orang itu akan beroleh hidup sejati dan kekal. 31 Tetapi banyak orang yang sekarang ini terdahulu akan menjadi yang terakhir, dan yang sekarang ini terakhir akan menjadi yang terdahulu.'' 32 Yesus dan pengikut-pengikut-Nya sedang dalam perjalanan ke Yerusalem. Yesus berjalan di hadapan, sementara pengikut-pengikut-Nya mengikuti-Nya dengan cemas. Orang ramai yang mengikut mereka pun takut. Sekali lagi Yesus memanggil pengikut-pengikut-Nya ke tepi, lalu berkata kepada mereka tentang apa yang akan berlaku terhadap diri-Nya. 33 "Dengarlah,'' kata-Nya, "Kita sekarang sedang menuju ke Yerusalem. Di situ Anak Manusia akan diserahkan kepada para ketua imam dan guru Taurat. Mereka akan menjatuhkan hukuman mati kepada-Nya, lalu menyerahkan Dia kepada orang bukan Yahudi. 34 Mereka akan mengolok-olok Dia, meludahi Dia, menyesah Dia, dan membunuh Dia. Tetapi selepas tiga hari, Dia akan bangkit semula.'' 35 Lalu Yakobus dan Yohanes, anak-anak Zebedeus datang kepada Yesus. "Guru,'' kata mereka, "ada satu perkara yang kami hendak Guru lakukan untuk kami.'' 36 "Apakah yang kamu mahu Aku lakukan untuk kamu?'' tanya Yesus. 37 Mereka menjawab, "Apabila Guru bertakhta dalam kemuliaan, benarkanlah kami duduk di sebelah kanan dan kiri Guru.'' 38 Yesus berkata kepada mereka, "Kamu tidak mengetahui apa yang kamu minta. Sanggupkah kamu minum dari cawan penderitaan yang akan Aku minum? Sanggupkah kamu mengalami baptisan penderitaan yang akan Aku alami?'' 39 "Sanggup,'' jawab mereka. Yesus berkata kepada mereka, "Memang kamu akan minum dari cawan penderitaan yang akan Aku minum dan kamu akan mengalami baptisan penderitaan seperti yang akan Aku alami. 40 Tetapi Aku tidak berhak menentukan orang yang akan duduk di sebelah kanan atau kiri-Ku. Allah yang menentukan siapa orangnya yang akan duduk di tempat itu.'' 41 Ketika sepuluh orang pengikut-Nya yang lain mendengar hal itu, mereka marah terhadap Yakobus dan Yohanes. 42 Yesus memanggil mereka semua lalu berkata, "Kamu tahu bahawa para penguasa bangsa yang tidak mengenal Allah menindas rakyat. Para pemimpin mereka selalu menekan rakyat. 43 Tetapi tidak demikian halnya dengan kamu. Jika seorang antara kamu hendak menjadi besar, dia harus melayani orang lain. 44 Jika seorang antara kamu hendak menjadi yang pertama, dia harus menjadi hamba kamu semua. 45 Anak Manusia tidak datang untuk dilayani; Dia datang untuk melayani orang serta menyerahkan nyawa-Nya untuk membebaskan banyak orang.'' 46 Mereka tiba di Yerikho. Ketika Yesus meninggalkan kota itu dengan pengikut-pengikut-Nya dan orang ramai, ada seorang buta yang duduk minta sedekah di pinggir jalan. Namanya Bartimeus anak Timeus. 47 Apabila orang buta itu mendengar bahawa yang sedang lalu di situ adalah Yesus orang Nasaret, dia mula berseru, "Yesus, Anak Daud! Kasihanilah hamba!'' 48 Orang ramai memarahi dia dan menyuruh dia diam. Tetapi lebih keras lagi dia berseru, "Anak Daud, kasihanilah saya!'' 49 Yesus berhenti lalu berkata, "Panggillah dia.'' Mereka memanggil orang buta itu. "Jangan kecil hati!'' kata mereka. "Bangunlah, Yesus memanggil kamu.'' 50 Orang buta itu pun melempar jubahnya, lalu melompat dan pergi kepada Yesus. 51 Yesus bertanya kepadanya, "Apakah yang kamu mahu Aku lakukan untukmu?'' Orang buta itu menjawab, "Guru, saya ingin melihat.'' 52 "Pergilah,'' kata Yesus, "kamu sembuh kerana kamu percaya kepada-Ku.'' Pada saat itu juga orang itu dapat melihat, lalu dia mengikut Yesus di jalan.

Markus 11

1 Ketika mendekati Yerusalem, mereka sampai ke kota Betfage dan Betania, di Bukit Zaitun. Di situ Yesus menyuruh dua orang pengikut-Nya pergi terlebih dahulu. 2 Yesus berkata kepada mereka, "Pergilah ke kampung yang di hadapan itu. Apabila kamu tiba di situ kamu akan nampak seekor anak keldai yang terikat, yang belum pernah ditunggangi orang. Lepaskanlah dan bawalah keldai itu ke sini. 3 Jika ada orang bertanya kepada kamu `Mengapa kamu melepaskan keldai ini?' katakanlah, `Guru memerlukannya dan segera akan mengembalikannya.' '' 4 Pengikut-pengikut itu pergi dan mendapati seekor anak keldai yang terikat pada pintu sebuah rumah di pinggir jalan, lalu mereka melepaskannya. 5 Beberapa orang yang berdiri di situ bertanya kepada mereka, "Apa yang kamu lakukan? Mengapa kamu melepaskan keldai ini?'' 6 Mereka menjawab seperti yang diarahkan oleh Yesus, lalu orang di situ pun membiarkan mereka pergi. 7 Mereka membawa anak keldai itu kepada Yesus, lalu mengalas punggung keldai itu dengan jubah mereka. Kemudian Yesus menungganginya. 8 Banyak orang membentangkan jubah di atas jalan, sementara yang lain mengerat dahan-dahan di ladang lalu menyelerakkannya di jalan. 9 Orang ramai yang berjalan di hadapan dan yang mengikut di belakang mula berseru-seru, "Pujilah Allah! Diberkatilah Dia yang datang dengan nama Tuhan. 10 Diberkatilah pemerintahan-Nya yang akan datang -- pemerintahan Daud nenek moyang kita! Pujilah Allah!'' 11 Yesus masuk ke Yerusalem, lalu pergi ke Rumah Tuhan sambil memandang di sekeliling-Nya. Tetapi kerana hari sudah petang, Dia pergi bersama-sama dua belas orang pengikut-Nya ke Betania. 12 Esoknya, ketika mereka balik dari Betania, Yesus lapar. 13 Dari jauh Dia nampak sebatang pokok ara yang lebat daunnya. Yesus mendekati pokok itu untuk melihat sama ada pokok itu berbuah. Tetapi apabila Dia tiba di pokok itu, Dia mendapati daun-daun sahaja, kerana pada masa itu belum musim buah ara. 14 Yesus berkata kepada pokok ara itu, "Tiada sesiapa pun akan makan buah ara daripadamu lagi!'' Pengikut-pengikut-Nya mendengar kata-kata Yesus itu. 15 Ketika mereka tiba di Yerusalem, Yesus pergi ke Rumah Tuhan lalu mula mengusir semua orang yang berjual beli di situ. Dia menunggangbalikkan meja para penukar wang dan bangku para penjual burung merpati. 16 Dia tidak membenarkan orang membawa apa-apa pun melalui halaman Rumah Tuhan. 17 Kemudian Dia mengajar orang ramai di situ. Dia berkata, "Di dalam Alkitab tertulis bahawa Allah berfirman, `Rumah-Ku akan disebut rumah tempat berdoa untuk semua bangsa!' Tetapi kamu menjadikannya tempat persembunyian perompak!'' 18 Para ketua imam dan guru Taurat mendengar kata-kata itu. Oleh itu mereka mula mencari jalan untuk membunuh Yesus. Mereka takut akan Dia, kerana semua orang kagum mendengar ajaran-Nya. 19 Menjelang malam, Yesus dan pengikut-pengikut-Nya meninggalkan kota itu. 20 Pada keesokan paginya, ketika mereka melewati pokok ara itu, mereka melihat pokok itu sudah mati sehingga ke akar-akarnya. 21 Petrus teringat akan apa yang telah berlaku. Dia berkata kepada Yesus, "Guru, lihatlah, pokok ara yang Guru kutuki sudah mati!'' 22 Yesus menjawab, "Percayalah kepada Allah. 23 Maka kamu dapat berkata kepada bukit ini, `Terangkatlah dan terbuanglah ke dalam laut!' Jika kamu tidak ragu-ragu, tetapi percaya bahawa apa yang kamu katakan itu akan berlaku, perkara itu pun akan dilakukan untuk kamu. 24 Oleh itu ingatlah: Apabila kamu berdoa dan minta sesuatu, percayalah bahawa kamu telah menerimanya, kerana apa sahaja yang kamu minta akan diberikan kepada kamu. 25 Apabila kamu berdiri untuk berdoa, ampunkanlah kesalahan sesiapa pun, supaya Bapa kamu yang di syurga juga akan mengampunkan dosa kamu. 26 Jika kamu tidak mengampuni orang lain, Bapa kamu yang di syurga juga tidak akan mengampunkan dosa kamu.'' 27 Mereka kembali lagi ke Yerusalem. Ketika Yesus berjalan di dalam Rumah Tuhan, para ketua imam, guru Taurat, dan pemimpin masyarakat Yahudi datang kepada-Nya. 28 Mereka bertanya, "Dengan hak siapakah kamu melakukan perkara-perkara ini? Siapakah yang memberikan hak kepadamu untuk melakukannya?'' 29 Yesus menjawab, "Aku akan bertanya satu soalan sahaja kepada kamu. Jawablah dan Aku akan memberitahu kamu dengan hak siapa Aku melakukan perkara-perkara ini. 30 Katakanlah, dengan hak siapakah Yohanes membaptis orang? Dengan hak Allah atau manusia?'' 31 Mereka mula berbincang sesama sendiri, "Apakah yang akan kita katakan? Jika kita menjawab, `Dengan hak Allah,' Dia akan berkata, `Mengapakah kamu tidak percaya kepada Yohanes?' 32 Tetapi jika kita berkata, `Dengan hak manusia . . .' '' (Mereka takut akan orang ramai, kerana semua orang berpendapat bahawa Yohanes seorang nabi.) 33 Oleh itu mereka menjawab, "Kami tidak tahu.'' Yesus berkata kepada mereka. "Jika demikian Aku pun tidak mahu memberitahu kamu dengan hak siapa Aku melakukan perkara-perkara ini.''

Markus 12

1 Kemudian Yesus berkata-kata kepada para ketua imam, guru Taurat, dan pemimpin masyarakat Yahudi dengan menggunakan perumpamaan. Dia berkata, "Ada seorang yang menanami ladang anggur. Dia memasang pagar di sekelilingnya, menggali lubang tempat memeras buah anggur, dan mendirikan menara tempat berkawal. Kemudian dia menyewakan ladang anggur itu kepada beberapa orang, lalu dia berangkat ke negeri lain. 2 Apabila tiba masanya untuk mengumpulkan buah anggur, pemilik ladang itu mengutus seorang hambanya kepada penyewa-penyewa ladang itu untuk menerima hasil bahagiannya. 3 Tetapi penyewa-penyewa ladang itu menangkap hamba itu, memukul dia lalu menyuruh dia pulang dengan tangan kosong. 4 Pemilik ladang itu mengutus seorang hamba lain, tetapi penyewa-penyewa ladang itu memukul kepala hamba itu dan mempermalukan dia. 5 Lalu pemilik ladang itu mengutus seorang lagi hambanya, tetapi mereka membunuh dia. Demikianlah mereka memperlakukan banyak lagi hamba yang lain: Ada yang dipukul dan ada juga yang dibunuh. 6 Hanya tinggal seorang yang dapat diutus, iaitu anaknya sendiri yang dikasihinya. Akhirnya pemilik ladang itu mengutus anaknya kepada penyewa-penyewa ladang itu. `Tentu mereka akan menghormati anakku,' katanya. 7 Tetapi penyewa-penyewa ladang itu bercakap sesama sendiri, `Ini dia anak pemilik ladang. Marilah kita bunuh dia, supaya kita dapat hartanya!' 8 Oleh itu mereka menangkap anak itu, membunuh dia, lalu membuang mayatnya ke luar ladang itu.'' 9 Lalu Yesus bertanya kepada mereka, "Apakah yang akan dilakukan oleh pemilik ladang itu? Tentu dia akan datang dan membunuh semua penyewa itu, lalu menyerahkan ladang anggur itu kepada penyewa-penyewa lain. 10 Tentu kamu sudah membaca ayat ini di dalam Alkitab, `Batu yang dibuang oleh pembina bangunan telah menjadi batu yang paling utama. 11 Inilah perbuatan Tuhan; alangkah indahnya!' '' 12 Para pemimpin Yahudi itu berusaha untuk menangkap Yesus, kerana mereka tahu bahawa Yesus menujukan perumpamaan itu kepada mereka. Tetapi mereka takut akan orang ramai. Oleh itu mereka meninggalkan Yesus. 13 Beberapa orang Farisi dan anggota golongan Herodes diutus untuk memerangkap Yesus dengan beberapa pertanyaan. 14 Mereka datang kepada Yesus dan berkata, "Guru, kami tahu bahawa guru jujur dan tidak menghiraukan pendapat orang lain. Guru tidak memandang kedudukan orang, tetapi guru mengajar kehendak Allah bagi manusia dengan terus terang. Katakanlah, menurut Taurat bolehkah kita membayar cukai kepada Kaisar Roma? Haruskah kita membayarnya atau tidak?'' 15 Yesus mengetahui kemunafikan mereka. Dia menjawab, "Mengapa kamu cuba memerangkap Aku? Cuba perlihatkan sekeping wang perak kepada-Ku.'' 16 Mereka memberikan sekeping wang perak kepada-Nya. Lalu Yesus bertanya, "Gambar dan nama siapakah ini?'' "Kaisar,'' jawab mereka. 17 "Jika demikian,'' kata Yesus, "berikan apa yang dimiliki oleh Kaisar kepada Kaisar, lalu berikan apa yang dimiliki oleh Allah kepada Allah.'' Mereka kagum mendengar kata-kata Yesus. 18 Beberapa orang Saduki datang kepada Yesus. (Mereka berpendapat bahawa orang mati tidak akan bangkit semula.) 19 "Guru,'' kata mereka, "Musa memberikan hukum ini kepada kami: `Jika seorang lelaki meninggal tanpa mempunyai anak, maka saudara lelakinya harus berkahwin dengan balunya supaya orang yang sudah meninggal itu mendapat keturunan.' 20 Dahulu ada tujuh orang adik-beradik. Yang sulung berkahwin tetapi meninggal tanpa mempunyai anak. 21 Lalu yang kedua berkahwin dengan balunya, tetapi dia pun meninggal tanpa mempunyai anak. Hal yang sama berlaku kepada saudara yang ketiga, 22 dan seterusnya sehingga kepada yang ketujuh. Tujuh orang adik-beradik itu berkahwin dengan wanita yang sama, lalu meninggal tanpa mempunyai anak. Akhirnya wanita itu sendiri meninggal. 23 Pada hari kebangkitan orang mati, isteri siapakah wanita itu? Tujuh orang adik-beradik itu sudah berkahwin dengan dia.'' 24 Yesus menjawab, "Pendapat kamu salah sekali! Tahukah kamu apa sebabnya? Kamu tidak memahami Alkitab ataupun kuasa Allah. 25 Apabila orang mati dibangkitkan, mereka akan menjadi seperti malaikat di syurga, mereka tidak berkahwin. 26 Tentang orang mati dibangkitkan semula, belum pernahkah kamu baca di dalam kitab Musa kisah tentang belukar yang bernyala itu? Di dalam kisah itu tertulis bahawa Allah berfirman kepada Musa, `Akulah Allah yang disembah Abraham, Ishak, dan Yakub.' 27 Oleh itu, Dia Allah orang hidup, bukan Allah orang mati. Pendapat kamu salah sama sekali!'' 28 Di situ ada seorang guru Taurat yang mendengar perbincangan mereka. Dia melihat bahawa Yesus telah menjawab soalan orang Saduki dengan baik. Oleh itu dia bertanya kepada Yesus, "Perintah manakah yang paling utama di antara semua perintah?'' 29 Yesus menjawab, "Inilah perintah yang paling utama, `Dengarlah, hai bangsa Israel! Tuhan Allah kita, Dialah Tuhan Yang Esa. 30 Kasihilah Tuhan Allahmu dengan sepenuh hatimu, dengan segenap jiwamu, dengan seluruh akalmu, dan dengan segala kekuatanmu.' 31 Perintah yang kedua ialah, `Kasihilah sesama manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri.' Tiada lagi perintah lain yang lebih utama daripada kedua-dua perintah ini.'' 32 Guru Taurat itu berkata kepada Yesus, "Bagus, guru! Memang benar apa yang guru katakan: Tuhanlah Allah Yang Esa dan tidak ada yang lain. 33 Manusia harus mengasihi Allah dengan sepenuh hati, dengan seluruh akal, dan dengan segala kekuatannya. Dia juga harus mengasihi sesama manusia seperti dia mengasihi diri sendiri. Mematuhi kedua-dua perintah ini lebih mustahak daripada mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati Tuhan dan korban-korban lain.'' 34 Yesus melihat bahawa guru Taurat itu menjawab dengan bijak. Lalu Yesus berkata kepadanya, "Kamu tidak jauh daripada Pemerintahan Allah.'' Selepas itu tidak seorang pun berani mengajukan pertanyaan kepada Yesus. 35 Sewaktu Yesus mengajar di Rumah Tuhan, Dia bertanya, "Bagaimanakah guru Taurat boleh mengatakan bahawa Penyelamat yang diutus oleh Allah itu keturunan Daud? 36 Sedangkan Daud, ketika diilhami oleh Roh Allah, berkata, `Tuhan telah berfirman kepada Tuhanku: duduklah di sebelah kanan-Ku sehingga Aku menakluki musuh-Mu ke bawah kaki-Mu.' 37 Daud menyebut Penyelamat yang diutus oleh Allah itu `Tuhan'. Bagaimana mungkin Penyelamat yang diutus oleh Allah itu keturunan Daud?'' Orang ramai di Rumah Tuhan suka mendengar ajaran Yesus. 38 Sewaktu Yesus mengajar mereka, Dia berkata, "Berhati-hatilah dengan guru Taurat. Mereka suka berjalan-jalan dengan memakai jubah panjang, dan suka dihormati orang di pasar. 39 Mereka memilih tempat terbaik di dalam rumah ibadat dan di majlis jamuan. 40 Mereka memperdaya balu serta merampas rumah mereka, kemudian pura-pura berdoa dengan berpanjangan. Mereka akan menerima hukuman yang amat berat!'' 41 Sewaktu Yesus duduk dekat peti persembahan di Rumah Tuhan, Dia memerhati orang memasukkan wang ke dalam peti itu. Sebilangan besar orang kaya memasukkan banyak wang. 42 Lalu seorang balu yang miskin datang dan memasukkan dua keping mata wang tembaga yang sangat kecil nilainya. 43 Yesus memanggil pengikut-pengikut-Nya lalu berkata kepada mereka, "Ketahuilah, balu yang miskin ini memberikan persembahan yang lebih besar nilainya daripada semua orang lain. 44 Semua orang lain memberikan persembahan daripada kelebihan kekayaan mereka, tetapi balu ini, walaupun dia sangat miskin, memberikan segala yang ada padanya -- dia mendermakan semua nafkahnya.''

Markus 13

1 Ketika Yesus meninggalkan Rumah Tuhan, seorang daripada para pengikut-Nya berkata, "Guru, lihatlah! Betapa indahnya batu-batu dan bangunan-bangunan ini!'' 2 Yesus menjawab, "Kamu melihat bangunan-bangunan yang indah ini, bukan? Satu batu pun tidak akan tinggal tersusun pada tempatnya. Semuanya akan dirobohkan.'' 3 Kemudian Yesus pergi ke Bukit Zaitun lalu duduk di tempat yang berhadapan dengan Rumah Tuhan. Petrus, Yakobus, Yohanes, dan Andreas datang kepada-Nya. 4 Mereka berkata kepada Yesus, "Guru, beritahulah kami; bilakah semua perkara ini akan berlaku? Apakah tanda-tanda yang menunjukkan bahawa masanya sudah tiba?'' 5 Yesus berkata kepada mereka, "Berjaga-jagalah supaya kamu tidak tertipu. 6 Banyak orang akan datang dengan nama-Ku dan berkata, `Akulah dia!' Mereka akan menipu banyak orang. 7 Janganlah risau apabila kamu mendengar riuh pertempuran dan berita peperangan. Semua perkara ini mesti berlaku, tetapi hal itu tidak bererti bahawa akhir zaman telah tiba. 8 Satu bangsa akan berperang melawan bangsa yang lain. Sebuah kerajaan akan menyerang kerajaan yang lain. Di mana sahaja akan berlaku gempa bumi dan kebuluran. Semua ini hanya permulaan, sama seperti sakit yang dialami wanita yang akan bersalin. 9 Kamu sendiri mesti berhati-hati. Kamu akan ditangkap dan dibawa ke mahkamah. Kamu akan dipukul di rumah ibadat. Kamu akan dihadapkan kepada penguasa dan raja kerana kamu pengikut-Ku, lalu kamu akan mengkhabarkan Berita Baik daripada Allah kepada mereka. 10 Berita Baik itu mesti dikhabarkan terlebih dahulu kepada semua bangsa. 11 Apabila kamu ditangkap dan dibawa ke mahkamah, janganlah khuatir tentang apa yang harus kamu katakan. Apabila tiba masanya, katakanlah apa yang diberitahu kepada kamu pada waktu itu. Kata-kata yang kamu ucapkan itu bukan kata-kata kamu sendiri, tetapi datang daripada Roh Allah. 12 Orang akan mengkhianati saudara sendiri supaya dibunuh. Bapa juga akan berbuat demikian terhadap anak-anak. Anak-anak akan melawan ibu bapa dan menyerahkan mereka supaya dibunuh. 13 Semua orang akan membenci kamu kerana kamu pengikut-Ku. Tetapi orang yang bertahan sehingga akhir akan diselamatkan.'' 14 "Kamu akan melihat `Bencana yang Dahsyat' di tempat yang terlarang baginya. (Catatan kepada pembaca: Hendaklah kamu faham apa maknanya!) Pada waktu itu mereka yang di Yudea mesti lari ke pergunungan. 15 Orang yang di bumbung rumah janganlah turun dan masuk ke dalam rumah untuk mengambil sesuatu. 16 Orang yang di ladang janganlah balik untuk mengambil jubah. 17 Alangkah dahsyatnya masa itu bagi wanita yang mengandung dan ibu yang menyusui bayi! 18 Berdoalah kepada Allah supaya perkara-perkara ini tidak berlaku pada musim sejuk! 19 Pada masa itu akan timbul suatu kesusahan yang belum pernah berlaku, sejak Allah menjadikan dunia hingga sekarang. Perkara itu pun tidak akan berlaku lagi. 20 Seandainya Allah tidak memendekkan masa itu, tidak seorang pun akan selamat. Tetapi kerana umat-Nya yang terpilih, Allah memendekkan masa itu. 21 Pada masa itu jika seseorang berkata kepada kamu, `Lihat, Penyelamat yang diutus oleh Allah ada di sini!' atau `Lihat, Dia di situ!' -- janganlah percaya kepada orang itu. 22 Penyelamat palsu dan nabi palsu akan datang. Mereka akan melakukan mukjizat dan keajaiban untuk menipu orang, jika mungkin umat pilihan Allah juga. 23 Berjaga-jagalah! Semua perkara itu telah Aku katakan kepada kamu sebelum semuanya berlaku.'' 24 "Selepas masa kesusahan itu, matahari akan menjadi gelap dan bulan tidak lagi bercahaya. 25 Bintang-bintang akan jatuh dari langit dan kuasa di angkasa lepas akan ditarik daripada peredarannya. 26 Barulah Anak Manusia akan kelihatan datang dikelilingi awan dengan kekuasaan besar dan kemuliaan. 27 Dia akan mengutus malaikat-malaikat ke empat penjuru bumi untuk mengumpulkan umat pilihan-Nya dari hujung bumi ke hujung langit.'' 28 "Biarlah pokok ara memberikan pelajaran kepada kamu. Apabila dahan-dahannya hijau, lembut, dan mula bertunas, kamu tahu bahawa musim panas sudah dekat. 29 Demikian juga apabila kamu melihat perkara-perkara ini berlaku, kamu tahu bahawa waktunya sudah dekat dan akan bermula dengan segera. 30 Ingatlah! Segala perkara ini akan berlaku sebelum orang yang hidup sekarang ini mati semuanya. 31 Langit dan bumi akan lenyap, tetapi firman-Ku kekal selama-lamanya.'' 32 "Meskipun demikian, tidak seorang pun mengetahui hari atau waktunya, baik malaikat-malaikat di syurga ataupun Anak; hanya Bapa yang tahu. 33 Berjaga-jagalah dan berwaspadalah, kerana kamu tidak mengetahui waktunya. 34 Keadaannya seperti seorang yang meninggalkan rumahnya lalu pergi ke tempat yang jauh. Dia menyuruh hamba-hambanya menjaga rumah, setelah dia memberikan tugas kepada mereka. Kepada penjaga pintu, dia berpesan supaya berjaga baik-baik. 35 Oleh itu, berjaga-jagalah, kerana kamu tidak mengetahui waktunya tuan rumah itu balik; mungkin pada petang hari, tengah malam, subuh, atau pada waktu matahari terbit. 36 Jika dia datang dengan tiba-tiba, janganlah kamu didapati tidur. 37 Apa yang Aku katakan kepada kamu, Aku katakan juga kepada semua orang: Berjaga-jagalah!''

Markus 14

1 Dua hari sebelum Perayaan Paska dan Perayaan Roti Tidak Beragi, ketua imam dan guru Taurat mencari jalan untuk menangkap Yesus dengan diam-diam. Mereka hendak membunuh dia. 2 Tetapi mereka berkata, "Kita tidak boleh melakukannya pada masa perayaan, kerana rakyat akan merusuh.'' 3 Yesus ada di Betania, di rumah Simon yang dahulu berpenyakit kulit yang mengerikan. Ketika Yesus sedang makan, seorang wanita datang kepada-Nya. Dia membawa sebuah botol marmar yang berisi minyak wangi mahal daripada akar wangi. Dia memecahkan botol itu lalu menuang minyak wangi itu ke atas kepala Yesus. 4 Beberapa orang di situ marah dan bercakap sesama sendiri, "Apa gunanya minyak wangi itu dibazirkan? 5 Minyak itu dapat dijual dengan harga lebih daripada tiga ratus keping wang perak, dan wangnya boleh diberikan kepada orang miskin!'' Mereka mengecam wanita itu. 6 Tetapi Yesus berkata, "Biarkanlah dia! Mengapa kamu menyusahkan dia? Apa yang telah dilakukannya untuk-Ku itu baik dan terpuji. 7 Orang miskin sentiasa ada antara kamu. Jika kamu hendak menolong mereka, bila-bila pun boleh. Tetapi Aku tidak selamanya bersama-sama kamu. 8 Wanita ini melakukan apa yang dapat dilakukannya. Dia menuangi Aku dengan minyak wangi untuk menyediakan tubuh-Ku bagi penguburan-Ku sebelum waktunya. 9 Ingatlah! Di seluruh dunia, di mana sahaja Berita Baik dikhabarkan, perbuatan wanita ini akan diceritakan untuk mengenang dia.'' 10 Kemudian Yudas Iskariot, seorang daripada dua belas orang pengikut Yesus, pergi kepada para ketua imam dengan maksud untuk menyerahkan Yesus kepada mereka. 11 Mereka suka sekali mendengar tawaran Yudas, lalu berjanji memberikan wang kepadanya. Yudas pun mula mencari peluang untuk mengkhianati Yesus. 12 Pada hari pertama Perayaan Roti Tidak Beragi, iaitu hari apabila orang menyembelih domba Paska, pengikut-pengikut Yesus bertanya kepada-Nya, "Di manakah Guru ingin kami menyediakan jamuan Paska untuk Guru?'' 13 Yesus menyuruh dua orang daripada mereka, "Pergilah ke bandar, lalu kamu akan berjumpa dengan seorang lelaki yang menjunjung buyung air. Ikutilah dia 14 ke rumah yang dimasukinya, lalu berkatalah kepada pemilik rumah itu, `Guru bertanya, di mana bilik tempat Dia dan pengikut-pengikut-Nya akan makan jamuan Paska.' 15 Dia akan menunjukkan sebuah bilik besar di tingkat atas yang sudah teratur dan lengkap dengan perabot, kepada kamu. Siapkanlah segala-galanya untuk kita di situ.'' 16 Kedua-dua orang pengikut itu pergi ke bandar dan mendapati semuanya seperti yang telah dikatakan oleh Yesus, lalu mereka pun menyediakan jamuan Paska itu. 17 Pada malam harinya, Yesus datang dengan dua belas orang pengikut-Nya. 18 Sementara mereka makan, Yesus berkata, "Ketahuilah, seorang daripada kamu, yang sekarang ini makan bersama-sama Aku akan mengkhianati Aku.'' 19 Pengikut-pengikut-Nya menjadi sangat sedih. Seorang demi seorang mula bertanya kepada Yesus, "Tentu bukan saya yang Guru maksudkan?'' 20 Yesus menjawab, "Dia salah seorang daripada kamu yang dua belas ini, yang ikut mencelup roti ke dalam mangkuk dengan Aku. 21 Memang Anak Manusia akan mati seperti yang tertulis di dalam Alkitab, tetapi malanglah orang yang mengkhianati Anak Manusia! Lebih baik bagi orang itu jika dia tidak pernah dilahirkan!'' 22 Ketika mereka sedang makan, Yesus mengambil roti dan mengucap syukur kepada Allah, lalu membahagikan roti itu. Kemudian Dia memberikan roti itu kepada pengikut-pengikut-Nya sambil berkata, "Ambillah dan makanlah, ini tubuh-Ku.'' 23 Kemudian Dia mengambil sebuah cawan berisi wain. Dia mengucap syukur kepada Allah, lalu memberikan cawan itu kepada pengikut-pengikut-Nya. Kemudian mereka semua minum dari cawan itu. 24 Yesus berkata, "Inilah darah-Ku yang dicurahkan untuk banyak orang, darah yang mengesahkan perjanjian Allah. 25 Percayalah, Aku tidak akan minum wain ini lagi sehingga hari itu apabila Aku minum wain baru di Dunia Baru Bapa-Ku.'' 26 Setelah mereka menyanyikan sebuah nyanyian pujian, mereka pergi ke Bukit Zaitun. 27 Yesus berkata kepada mereka, "Kamu semua akan lari meninggalkan Aku, kerana di dalam Alkitab tertulis, `Allah akan membunuh gembala itu, lalu kawanan dombanya akan tercerai-berai.' 28 Tetapi setelah Aku dibangkitkan semula, Aku akan pergi ke Galilea lebih dahulu daripada kamu.'' 29 Petrus menjawab, "Meskipun semua yang lain meninggalkan Guru, saya tidak akan berbuat begitu.'' 30 Yesus berkata kepadanya, "Ingatlah, sebelum ayam berkokok dua kali malam ini, tiga kali engkau akan berkata bahawa engkau tidak mengenal Aku.'' 31 Petrus menjawab dengan lebih tegas, "Tidak sekali-kali saya akan berkata saya tidak mengenal Guru, meskipun saya terpaksa mati bersama-sama Guru!'' Semua pengikut yang lain pun berkata demikian. 32 Mereka tiba di satu tempat bernama Getsemani. Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, "Duduklah di sini sementara Aku berdoa.'' 33 Kemudian Dia mengajak Petrus, Yakobus, dan Yohanes pergi bersama-sama Dia. Yesus sangat sedih dan gelisah. 34 Dia berkata kepada mereka, "Hati-Ku sedih sekali sehingga Aku hendak mati rasanya. Tinggallah di sini dan berjagalah!'' 35 Yesus pergi lebih jauh sedikit lalu meniarap di tanah dan berdoa supaya jika boleh Dia tidak usah mengalami saat penderitaan itu. 36 Dia berdoa, "Bapa, ya Bapa-Ku! Tidak ada satu perkara yang mustahil bagi Bapa. Jauhkanlah cawan penderitaan ini daripada-Ku. Tetapi janganlah turut kehendak-Ku, melainkan kehendak Bapa sahaja.'' 37 Selepas itu Yesus kembali dan mendapati tiga orang pengikut-Nya sedang tidur. Dia berkata kepada Petrus, "Simon, tidurkah engkau? Tidak dapatkah engkau berjaga selama satu jam?'' 38 Lalu Dia berkata kepada mereka semua, "Berjaga-jagalah dan berdoalah supaya kamu tidak mengalami cubaan. Memang roh kamu ingin melakukan apa yang benar, tetapi kamu tidak sanggup kerana kamu lemah.'' 39 Sekali lagi Yesus pergi berdoa dan mengucapkan kata-kata yang sama. 40 Ketika Dia kembali kepada pengikut-pengikut-Nya, Dia mendapati mereka masih tidur kerana terlalu mengantuk. Mereka tidak tahu akan apa yang harus dikatakan kepada Yesus. 41 Ketika Yesus kembali untuk kali ketiga, Dia berkata kepada mereka, "Masihkah kamu tidur dan berehat? Cukuplah! Saatnya sudah tiba. Lihatlah, Anak Manusia akan diserahkan ke dalam kekuasaan orang berdosa. 42 Bangunlah, marilah kita pergi. Lihatlah, orang yang mengkhianati Aku sudah datang!'' 43 Yesus masih berkata-kata apabila Yudas, seorang daripada dua belas orang pengikut-Nya tiba. Bersama dengan dia datang juga sekumpulan orang yang membawa pedang dan belantan. Mereka diutus oleh para ketua imam, guru Taurat, dan pemimpin masyarakat Yahudi. 44 Pengkhianat itu telah menentukan suatu tanda bagi mereka. Dia berkata, "Orang yang saya cium, itulah Dia. Tangkaplah Dia dan bawalah Dia dengan kawalan yang ketat!'' 45 Sebaik sahaja Yudas tiba, dia menghampiri Yesus lalu berkata, "Guru!'' seraya mencium Dia. 46 Lalu mereka menangkap Yesus dan memegang Dia dengan kuat. 47 Tetapi salah seorang di situ menghunus pedangnya lalu memukul hamba Imam Agung serta mengerat telinganya. 48 Yesus berkata kepada mereka, "Mestikah kamu datang dengan pedang dan belantan untuk menangkap Aku, seolah-olah Aku ini penjahat? 49 Berhari-hari Aku mengajar di Rumah Tuhan, tetapi kamu tidak menangkap Aku. Memang apa yang tertulis di dalam Alkitab mesti berlaku.'' 50 Ketika itu semua pengikut Yesus lari meninggalkan Dia. 51 Seorang lelaki muda yang memakai sehelai kain linen untuk menutupi badan, mengikuti Yesus. Apabila orang cuba menangkap lelaki itu, 52 dia melepaskan kainnya lalu lari bertelanjang. 53 Kemudian mereka membawa Yesus ke rumah Imam Agung. Di situ semua ketua imam, pemimpin masyarakat orang Yahudi, dan guru Taurat sedang berkumpul. 54 Petrus mengikut dari jauh lalu masuk ke halaman rumah Imam Agung itu. Dia duduk berdiang dengan pengawal-pengawal. 55 Para ketua imam dan seluruh Majlis Agama berusaha mencari bukti-bukti untuk menyalahkan Yesus, supaya mereka dapat menjatuhkan hukuman mati kepada-Nya. Tetapi mereka tidak mendapat satu bukti pun. 56 Banyak saksi memberikan kesaksian palsu terhadap Yesus, tetapi kesaksian mereka saling bertentangan. 57 Kemudian beberapa orang berdiri dan memberikan kesaksian palsu tentang Yesus. 58 Mereka berkata, "Kami mendengar orang ini berkata, `Aku akan merobohkan Rumah Tuhan yang dibina oleh manusia, lalu selepas tiga hari Aku akan membina yang lain yang bukan buatan manusia.' '' 59 Tetapi kesaksian mereka pun saling bertentangan. 60 Setelah itu Imam Agung berdiri di hadapan mereka semua dan bertanya kepada Yesus, "Tidakkah kamu mahu menjawab tuduhan yang ditujukan kepadamu?'' 61 Yesus diam sahaja dan tidak mahu berkata sepatah pun. Sekali lagi Imam Agung bertanya kepada-Nya, "Kamukah Penyelamat yang diutus oleh Allah, Anak Allah Yang Maha Suci?'' 62 Yesus menjawab, "Ya! Kamu semua akan melihat Anak Manusia duduk di sebelah kanan Allah Yang Maha Kuasa, serta datang dikelilingi awan dari langit!'' 63 Imam Agung mengoyakkan pakaiannya dan berkata, "Kita tidak memerlukan saksi lagi! 64 Kamu sudah mendengar dia mengkufuri Allah! Apakah keputusan kamu?'' Mereka semua mengambil keputusan bahawa Yesus memang bersalah dan mesti dihukum mati. 65 Beberapa orang mula meludahi Yesus. Mereka menutupi mata-Nya dan memukul Dia. "Tekalah,'' kata mereka, "siapa yang memukul kamu?'' Pengawal-pengawal di situ pun menampar Dia. 66 Petrus masih di halaman apabila salah seorang hamba perempuan Imam Agung datang. 67 Apabila dia nampak Petrus berdiang, dia mengamati Petrus dan berkata, "Kamu juga bersama-sama Yesus orang Nasaret itu.'' 68 Tetapi Petrus menafikannya. Dia berkata, "Aku tidak tahu dan tidak faham akan apa yang kamu katakan.'' Lalu dia pergi ke pintu masuk halaman itu. Pada ketika itu, ayam berkokok. 69 Hamba perempuan tadi nampak Petrus di situ. Dia berkata pula kepada semua orang di situ, "Orang ini seorang daripada mereka!'' 70 Tetapi Petrus menafikannya lagi. Tidak lama kemudian, semua orang di situ menuduh Petrus lagi, "Kamu tidak dapat menafikannya bahawa kamu salah seorang daripada mereka, kerana kamu pun dari Galilea!'' 71 Petrus bersumpah, "Biarlah Allah menghukum aku jika aku berdusta! Aku tidak mengenal orang yang kamu sebutkan itu!'' 72 Ketika itu juga ayam berkokok untuk kali kedua. Maka Petrus teringat bahawa Yesus sudah berkata kepadanya, "Sebelum ayam berkokok dua kali, engkau akan menyangkal Aku tiga kali.'' Lalu dia menangis tersedu-sedu.

Markus 15

1 Pada pagi-pagi sekali, para ketua imam, pemimpin masyarakat Yahudi, guru Taurat, dan anggota-anggota lain daripada Majlis Agama bermesyuarat untuk membuat beberapa rancangan. Mereka mengikat Yesus, lalu membawa Dia pergi untuk diserahkan kepada Pilatus. 2 Pilatus bertanya kepada Yesus, "Betulkah kamu raja orang Yahudi?'' Yesus menjawab, "Begitulah yang tuan katakan.'' 3 Ketua-ketua imam melemparkan banyak tuduhan terhadap Yesus. 4 Lalu Pilatus bertanya lagi kepada Yesus, "Tidak mahukah kamu menjawab? Lihatlah betapa banyaknya tuduhan yang dilemparkan oleh mereka terhadapmu!'' 5 Sekali lagi Yesus tidak mahu menjawab sepatah pun, sehingga Pilatus merasa hairan. 6 Pada tiap-tiap Perayaan Paska, Pilatus biasanya membebaskan seorang tahanan yang dikehendaki orang ramai. 7 Pada masa itu, seorang bernama Barabas ada di dalam penjara bersama dengan semua pemberontak lain yang telah melakukan pembunuhan pada masa kerusuhan. 8 Ketika orang ramai berkumpul dan seperti biasa mula meminta Pilatus membebaskan seorang tahanan, 9 Pilatus bertanya kepada mereka, "Adakah kamu mahu aku membebaskan raja orang Yahudi ini?'' 10 Pilatus tahu betul bahawa ketua-ketua imam telah menyerahkan Yesus kepadanya kerana iri hati. 11 Tetapi para ketua imam menghasut orang ramai supaya meminta Pilatus membebaskan Barabas. 12 Pilatus berkata lagi kepada orang ramai itu, "Jika demikian, apakah yang kamu ingin aku lakukan terhadap orang yang kamu sebut raja orang Yahudi?'' 13 Mereka berteriak, "Salibkan dia!'' 14 Pilatus bertanya, "Tetapi kejahatan apa yang sudah dilakukannya?'' Mereka berteriak lebih kuat lagi, "Salibkan dia!'' 15 Pilatus hendak menyenangkan hati orang ramai, maka dia membebaskan Barabas untuk mereka. Kemudian dia menyuruh orang mencambuk Yesus dan menyerahkan Dia kepada askar supaya disalib. 16 Askar-Askar membawa Yesus ke balai istana gabenor dan mengumpulkan semua askar yang lain. 17 Mereka memakaikan jubah ungu pada Yesus, serta membuat mahkota daripada ranting-ranting berduri lalu meletakkannya pada kepala Yesus. 18 Setelah itu mereka memberikan hormat kepada-Nya, "Daulat raja orang Yahudi!'' 19 Mereka memukul kepala-Nya dengan kayu, meludahi-Nya serta sujud di hadapan-Nya. 20 Setelah mereka mempermainkan Yesus, mereka menanggalkan jubah ungu itu lalu mengenakan pakaian-Nya semula. Kemudian mereka membawa Yesus ke luar untuk disalib. 21 Di tengah jalan mereka berjumpa dengan seorang bernama Simon. Dia baru datang dari kampung dan sedang memasuki bandar. Askar-askar memaksa dia memikul salib Yesus. (Simon berasal dari Kirene; dia bapa Aleksander dan Rufus.) 22 Mereka membawa Yesus ke tempat bernama Golgota, yang bermakna "Tempat Tengkorak.'' 23 Di situ mereka cuba memberikan wain yang bercampur mur kepada Yesus, tetapi Dia tidak mahu meminumnya. 24 Kemudian mereka menyalibkan Dia, lalu membahagi-bahagikan pakaian-Nya di kalangan mereka dengan membuang undi untuk menentukan bahagian masing-masing. 25 Mereka menyalibkan Dia pada pukul sembilan pagi. 26 Pada salib itu dipasang tulisan tentang tuduhan terhadap Yesus: "Raja Orang Yahudi.'' 27 Mereka juga menyalibkan dua orang penjahat bersama-sama Yesus, seorang di sebelah kanan dan seorang lagi di sebelah kiri-Nya. 28 Dengan demikian apa yang tertulis di dalam Alkitab dipenuhi, "Dia dianggap sebagai penjahat.'' 29 Semua orang yang lalu di situ menggeleng-gelengkan kepala sambil mengejek Yesus. Mereka berkata, "Cis! Kamu mahu merobohkan Rumah Tuhan lalu membinanya semula dalam tiga hari! 30 Sekarang turunlah dari salib itu dan selamatkanlah dirimu!'' 31 Para ketua imam dan guru Taurat juga memperolokkan Yesus. Mereka bercakap sesama sendiri, "Dia menyelamatkan orang lain, tetapi tidak dapat menyelamatkan dirinya sendiri! 32 Jika dia raja Israel, Penyelamat yang diutus oleh Allah, biarlah dia turun dari salib, supaya kami melihat dan percaya kepadanya!'' Kedua-dua orang yang disalibkan bersama-sama Yesus pun menghina Dia. 33 Pada tengah hari, selama tiga jam, seluruh negeri itu menjadi gelap. 34 Pada pukul tiga petang, Yesus berseru dengan suara lantang, "Eloi, Eloi, lama sabakhtani?'' yang bererti, "Ya Allah-Ku, ya Allah-Ku, mengapa Engkau meninggalkan Aku?'' 35 Beberapa orang di situ mendengar seruan itu lalu berkata, "Dengarlah, Dia memanggil Elia!'' 36 Seorang daripada mereka lari mengambil bunga karang, lalu mencelupkannya ke dalam wain murah. Kemudian bunga karang itu dicucukkannya pada hujung sebatang kayu lalu dihulurkannya ke mulut Yesus sambil berkata, "Tunggu! Mari kita lihat kalau-kalau Elia datang menurunkan dia dari salib.'' 37 Lalu Yesus berteriak dan menghembuskan nafas yang terakhir. 38 Tirai yang tergantung di dalam Rumah Tuhan koyak dari atas sampai ke bawah, sehingga menjadi dua helai. 39 Ketua askar yang berdiri di hadapan salib itu, melihat bagaimana Yesus meninggal. Oleh itu dia berkata, "Memang benar orang ini Anak Allah!'' 40 Di situ juga ada beberapa orang wanita yang menyaksikan semuanya dari jauh. Antara mereka ialah Salome, Maria Magdalena, serta Maria, ibu Yakobus yang muda dan Yoses. 41 Merekalah wanita yang mengikut dan menolong Yesus pada waktu Dia di Galilea. Di situ juga ada banyak wanita lain yang telah datang ke Yerusalem bersama-sama Yesus. 42 Hari sudah senja ketika Yusuf dari Arimatea tiba. Dia seorang ahli Majlis Agama yang dihormati orang. Dia menunggu-nunggu masanya Allah memerintah. Hari itu hari Persiapan (iaitu hari sebelum hari Sabat). Oleh itu dengan berani Yusuf menghadap Pilatus dan memohon jenazah Yesus. 44 Pilatus hairan mendengar bahawa Yesus sudah meninggal. Lalu dia memanggil ketua askar dan bertanya sama ada Yesus sudah lama meninggal. 45 Setelah mendengar laporan ketua askar itu, Pilatus membenarkan Yusuf mengambil jenazah Yesus. 46 Lalu Yusuf membeli kain linen. Setelah dia menurunkan jenazah Yesus, dia membalut jenazah itu dengan kain linen, lalu meletakkan jenazah itu di dalam sebuah kubur baru yang dipahat di bukit batu. Selepas itu dia menggulingkan sebuah batu besar untuk menutup pintu kubur itu. 47 Maria Magdalena dan Maria, ibu Yoses memperhatikan tempat jenazah Yesus diletakkan.

Markus 16

1 Setelah hari Sabat berlalu, Maria Magdalena, Salome, dan Maria ibu Yakobus pergi membeli ramuan untuk melumuri jenazah Yesus. 2 Pada hari Ahad, pagi-pagi sekali, ketika matahari terbit, mereka pergi ke kubur. 3 Di tengah jalan mereka bercakap sesama sendiri, "Siapakah yang boleh menolong kita menggulingkan batu penutup pintu kubur?'' (Batu itu sangat besar.) Tetapi apabila mereka tiba di situ, mereka melihat bahawa batu itu sudah digulingkan. 5 Mereka masuk ke dalam kubur itu dan di sebelah kanan mereka nampak seorang lelaki muda memakai jubah putih duduk di situ. Mereka terkejut. 6 Lelaki muda itu berkata, "Janganlah takut! Aku tahu bahawa kamu mencari Yesus orang Nasaret yang telah disalibkan. Dia tidak ada di sini. Dia sudah dibangkitkan! Lihatlah, inilah tempat mereka meletakkan Dia. 7 Sekarang pergilah dan sampaikan khabar ini kepada pengikut-pengikut-Nya termasuk Petrus. Katakan, `Dia pergi terlebih dahulu daripada kamu ke Galilea. Di situ kamu akan melihat Dia, sebagaimana yang telah dikatakan-Nya kepada kamu.' '' 8 Mereka keluar lalu lari dari kubur itu kerana terkejut dan takut. Mereka tidak berkata apa-apa kepada sesiapa pun, kerana mereka takut. 9 Wanita-wanita itu pergi kepada Petrus dan sahabat-sahabatnya lalu memberikan laporan singkat tentang segala sesuatu yang telah diberitahukan oleh lelaki muda itu kepada mereka. 10 Sesudah itu Yesus dengan perantaraan pengikut-pengikut-Nya memberitakan perkhabaran yang suci dan kekal tentang penyelamatan yang abadi, dari timur ke barat. 11 Tetapi apabila mereka mendengar Maria berkata bahawa Yesus hidup dan bahawa Maria sudah nampak Yesus, mereka tidak percaya. 12 Sesudah itu Yesus menampakkan diri kepada dua orang pengikut-Nya dengan cara lain. Hal itu berlaku ketika mereka sedang dalam perjalanan ke sebuah kampung. 13 Kemudian pengikut-pengikut ini balik dan memberitahukan hal itu kepada pengikut yang lain, tetapi mereka tidak percaya. 14 Akhirnya, Yesus menampakkan diri kepada sebelas orang pengikut-Nya ketika mereka sedang makan. Dia menegur mereka kerana mereka kurang beriman dan terlalu degil, sehingga tidak percaya kepada kesaksian orang yang sudah melihat sendiri bahawa Dia hidup. 15 Yesus berkata kepada mereka, "Pergilah ke seluruh dunia dan khabarkanlah Berita Baik daripada Allah kepada seluruh umat manusia. 16 Orang yang percaya dan dibaptis akan selamat, tetapi orang yang tidak percaya akan dihukum. 17 Kepada mereka yang percaya akan diberikan tanda-tanda ini: Mereka akan mengusir roh jahat demi nama-Ku; mereka akan berkata-kata dalam bahasa yang tidak diketahui. 18 Jika mereka memegang ular atau meminum racun, mereka tidak akan mendapat celaka. Jika mereka meletakkan tangan pada orang sakit, orang sakit akan sembuh.'' 19 Setelah Tuhan Yesus berkata-kata dengan mereka, Dia diangkat ke syurga lalu duduk di sebelah kanan Allah. 20 Pengikut-pengikut Yesus pergi mengkhabarkan Berita daripada Allah di serata tempat. Tuhan bekerja bersama-sama mereka dan melalui tanda-tanda itu, Dia membuktikan bahawa perkhabaran mereka benar.

Lukas 1

1 Tuan Teofilus yang terhormat, Banyak orang telah berusaha membuat laporan tentang peristiwa yang berlaku di kalangan kami. 2 Mereka menulis sesuai dengan apa yang diceritakan kepada kami oleh mereka yang menyaksikan peristiwa itu dari permulaan dan kemudian mengisytihar berita itu. 3 Tetapi sekarang, Tuan Teofilus yang terhormat, saya sendiri telah menyelidiki semua peristiwa itu dari permulaannya, maka ada baiknya saya juga menulis satu laporan yang teratur untuk tuan. 4 Saya berbuat demikian supaya tuan dapat tahu dengan selengkapnya bahawa apa yang telah diajarkan kepada tuan memang benar. 5 Ketika Herodes menjadi raja negeri Yudea, ada seorang imam bernama Zakharia. Dia termasuk golongan imam Abia. Isterinya bernama Elisabet dan dia juga keturunan imam. 6 Kehidupan suami isteri itu menyenangkan hati Allah. Mereka mentaati semua hukum dan perintah Tuhan. 7 Mereka tidak mempunyai anak kerana Elisabet mandul dan kedua-duanya sudah lanjut usia. 8 Pada suatu hari, Zakharia dan rakan-rakan segolongannya mendapat giliran untuk bertugas di Rumah Tuhan. 9 Seperti biasa para imam membuang undi dan Zakharia terpilih untuk masuk ke dalam Rumah Tuhan dan membakar kemenyan di atas mazbah. 10 Sementara upacara pembakaran kemenyan berlangsung, orang ramai berdoa di luar. 11 Pada waktu itu malaikat Tuhan menampakkan diri kepada Zakharia. Malaikat itu berdiri di sebelah kanan mazbah tempat membakar kemenyan. 12 Ketika Zakharia nampak malaikat itu, dia cemas dan takut. 13 Tetapi malaikat itu berkata kepadanya, "Janganlah takut, Zakharia! Allah sudah mendengar doamu. Isterimu Elisabet akan melahirkan seorang anak lelaki. Hendaklah engkau menamakan dia Yohanes. 14 Engkau akan sangat bersukacita dan bergembira, dan banyak orang akan bersukacita apabila dia dilahirkan! 15 Dia akan menjadi orang besar di sisi Tuhan. Dia tidak boleh minum wain 16 Dia akan memimpin banyak orang Israel kembali kepada Tuhan, Allah mereka. 17 Dia akan menjadi utusan Tuhan yang kuat dan berkuasa seperti Elia. Dia akan mendamaikan bapa dengan anak, serta memimpin orang yang tidak taat kembali ke jalan fikiran yang benar. Dia juga akan mempersiapkan suatu umat untuk Tuhan.'' 18 Zakharia berkata kepada malaikat itu, "Bagaimana aku boleh tahu bahawa perkara ini akan berlaku? Aku sudah tua dan isteriku pun sudah tua.'' 19 Malaikat itu menjawab, "Aku ini Gabriel yang sentiasa siap melakukan suruhan Allah. Dia sendiri mengutus aku kepadamu supaya menyampaikan berita baik ini. 20 Apa yang aku katakan akan berlaku pada waktunya. Tetapi kerana engkau tidak percaya, engkau akan menjadi bisu sehingga apa yang aku katakan berlaku.'' 21 Sementara itu, orang ramai sedang menantikan Zakharia. Mereka hairan kerana dia begitu lama di dalam Rumah Tuhan. 22 Ketika Zakharia keluar, dia tidak dapat bercakap kepada mereka. Dia memberikan isyarat dengan tangan kerana dia bisu. Lalu orang di situ tahu bahawa Zakharia sudah nampak satu penglihatan di dalam Rumah Tuhan. 23 Setelah habis masa Zakharia bertugas di Rumah Tuhan, dia pulang ke rumah. 24 Tidak lama kemudian Elisabet, isterinya mengandung, dan dia tidak keluar dari rumah selama lima bulan. 25 Elisabet berkata, "Akhirnya Tuhan menolong aku. Dia telah menghapus keaibanku.'' 26 Setelah Elisabet mengandung enam bulan, Allah mengutus malaikat Gabriel ke Nasaret, sebuah kota di negeri Galilea. 27 Gabriel membawa berita untuk seorang gadis bernama Maria. Dia telah bertunang dengan seorang lelaki bernama Yusuf, keturunan Raja Daud. 28 Malaikat itu datang kepada Maria dan berkata, "Salam sejahtera, hai engkau yang sangat diberkati oleh Tuhan! Tuhan menyertai engkau!'' 29 Maria gelisah mendengar kata-kata malaikat itu dan dia tertanya-tanya tentang makna salam itu. 30 Malaikat itu berkata kepadanya, "Janganlah takut, Maria, kerana Allah berkenan kepada engkau. 31 Engkau akan mengandung, lalu melahirkan seorang anak lelaki. Hendaklah engkau menamakan Dia Yesus. 32 Dia akan menjadi agung dan akan disebut Anak Allah Yang Maha Tinggi. Tuhan Allah akan menjadikan Dia raja seperti Daud, nenek moyang-Nya. 33 Dia akan memerintah sebagai raja keturunan Yakub untuk selama-lamanya. Kerajaan-Nya tidak akan berakhir.'' 34 Maria berkata kepada malaikat itu, "Aku masih dara. Bagaimanakah perkara ini boleh berlaku?'' 35 Malaikat itu menjawab, "Roh Allah akan datang kepadamu, dan kuasa Allah akan menaungi engkau. Itulah sebabnya Anak yang akan lahir itu disebut Suci, Anak Allah. 36 Ketahuilah, sanakmu Elisabet yang dikatakan mandul, sudah mengandung enam bulan, walaupun umurnya sudah lanjut. 37 Bagi Allah tiada perkara yang mustahil.'' 38 Maria berkata, "Aku hamba Tuhan; biarlah berlaku kepadaku seperti yang engkau katakan.'' Lalu malaikat itu meninggalkan Maria. 39 Tidak lama kemudian, Maria segera berangkat ke sebuah kota di Yudea, di kawasan pergunungan. 40 Dia pergi ke rumah Zakharia lalu memberikan salam kepada Elisabet. 41 Ketika Elisabet mendengar salam Maria, anak dalam kandungannya bergerak. Elisabet dikuasai oleh Roh Allah, 42 lalu dia berseru, "Berbahagialah kamu antara semua wanita! Berbahagialah anak yang akan kamu lahirkan itu! 43 Mengapakah penghormatan yang sebesar ini diberikan kepadaku, sehingga ibu Tuhanku datang melawat aku? 44 Sebaik sahaja aku mendengar salammu, anak dalam kandunganku bergerak kerana bersukacita. 45 Alangkah bahagianya kamu kerana percaya bahawa apa yang dikatakan oleh Tuhan kepadamu akan berlaku!'' 46 Maria berkata, "Hatiku menyanjung Tuhan; 47 jiwaku bersukacita kerana Allah, Penyelamatku, 48 Dia ingat akan daku, hamba-Nya yang hina! Mulai sekarang semua orang akan mengatakan aku berbahagia, 49 kerana Allah Maha Kuasa sudah melakukan perkara yang besar untukku. Sucilah nama-Nya. 50 Dia merahmati orang yang menghormati-Nya, keturunan demi keturunan. 51 Dengan tangan-Nya yang berkuasa Dia mencerai-beraikan mereka yang sombong, dan mengacaukan rancangan mereka. 52 Dia menurunkan raja dari takhta lalu meninggikan orang hina. 53 Dia memuaskan orang lapar dengan segala yang baik, tetapi orang kaya diusir-Nya sehingga pergi dengan berhampa tangan. 54 Dia menepati janji-Nya kepada nenek moyang kita; Dia datang untuk menyelamatkan Israel hamba-Nya. 55 Dia tidak lupa merahmati Abraham dan keturunannya selama-lamanya!'' 56 Maria tinggal dengan Elisabet kira-kira tiga bulan lamanya, lalu pulang ke rumah. 57 Apabila tiba masanya Elisabet bersalin, dia melahirkan seorang anak lelaki. 58 Semua jiran dan sanak saudaranya mendengar betapa baiknya Tuhan terhadap Elisabet, dan mereka ikut bersukacita dengan dia. 59 Setelah bayi itu berumur lapan hari, mereka datang untuk menyunat dia. Mereka hendak menamakan bayi itu Zakharia menurut nama bapanya. 60 Tetapi ibunya berkata, "Jangan! Dia harus dinamakan Yohanes.'' 61 Mereka berkata kepadanya, "Tetapi tidak seorang pun antara sanak saudaramu bernama begitu.'' 62 Lalu dengan isyarat, mereka bertanya kepada bapa bayi itu nama yang hendak diberikan kepada anaknya. 63 Zakharia meminta sebuah papan tulis lalu menulis, "Namanya Yohanes.'' Mereka semua hairan. 64 Pada masa itu juga Zakharia dapat bercakap semula lalu mula memuji-muji Allah. 65 Semua jirannya ketakutan dan berita ini tersebar ke seluruh pergunungan Yudea. 66 Semua orang yang mendengar perkara itu berkata dalam hati, "Anak ini tentu akan menjadi orang besar.'' Mereka berkata demikian kerana nyata sekali kuasa Tuhan menyertainya. 67 Zakharia, bapa Yohanes, dikuasai oleh Roh Allah, lalu menyampaikan berita daripada Allah. Dia berkata, 68 "Marilah kita memuji Tuhan, Allah bangsa Israel! Dia sudah datang untuk menyelamatkan umat-Nya dan membebaskan mereka. 69 Dia mengurniai kita Penyelamat yang berkuasa, seorang keturunan Daud, hamba-Nya. 70 Dahulu kala melalui nabi-nabi yang dipilih-Nya, Tuhan telah berjanji 71 akan menyelamatkan kita daripada musuh, dan daripada kuasa orang yang membenci kita. 72 Dia berjanji akan merahmati nenek moyang kita, serta ingat akan janji-Nya yang suci itu. 73 Dia bersumpah kepada nenek moyang kita Abraham, dan berjanji akan menyelamatkan kita daripada musuh, serta membolehkan kita mengabdikan diri kepada-Nya tanpa takut, 75 supaya kita menjadi suci dan menyenangkan hati-Nya sepanjang hidup kita. 76 Engkau, hai anakku, akan disebut nabi Allah Yang Maha Tinggi. Engkau diutus terlebih dahulu daripada Tuhan supaya merintis jalan untuk-Nya, 77 supaya memberitahu umat-Nya bahawa mereka akan diselamatkan, apabila Allah mengampunkan dosa mereka. 78 Allah kita pengasih dan penyayang. Bagi menyelamatkan kita Dia akan datang bagaikan fajar terang yang menyinari semua orang yang hidup dalam kegelapan dan di bawah bayang maut. Dia akan memimpin kita ke jalan yang menuju kedamaian.'' 80 Anak Zakharia membesar dan semakin kuat kerohaniannya. Dia tinggal di padang gurun sehingga tiba masanya dia menampilkan diri kepada umat Israel.

Lukas 2

1 Pada masa itu Kaisar Agustus menitahkan semua penduduk Empayar Roma mendaftarkan diri untuk dibanci. 2 Pembancian yang pertama dijalankan sewaktu Kirenius menjadi gabenor negeri Siria. 3 Semua orang pergi ke kota masing-masing untuk mendaftarkan diri. 4 Yusuf berangkat dari Nasaret di Galilea, lalu pergi ke Betlehem di Yudea, tempat lahir Raja Daud. Yusuf pergi ke sana kerana dia keturunan Raja Daud. 5 Dia mendaftarkan diri bersama-sama Maria, tunangannya yang sedang mengandung. 6 Ketika mereka di Betlehem, tibalah masanya bagi Maria untuk bersalin. 7 Dia melahirkan seorang anak lelaki, anaknya yang sulung. Anak itu dibedungnya lalu diletakkan di dalam palung, kerana mereka tidak mendapat tempat untuk menumpang. 8 Pada malam itu, beberapa orang gembala sedang menjaga domba di padang. 9 Tiba-tiba malaikat Tuhan menampakkan diri kepada mereka dan cahaya kemuliaan Tuhan menerangi mereka sehingga mereka ketakutan. 10 Tetapi malaikat itu berkata, "Janganlah takut! Aku datang membawa Berita Baik untuk kamu, berita yang akan menggembirakan semua orang. 11 Pada hari ini di kota Daud telah lahir Penyelamat kamu, Kristus, Tuhan. 12 Inilah tandanya: Kamu akan menemui seorang bayi yang dibedung dengan kain dan berbaring di dalam palung.'' 13 Tiba-tiba malaikat itu disertai oleh sepasukan besar malaikat syurga, yang memuji-muji Allah, 14 "Termulialah Allah di langit yang tertinggi! Dan di atas bumi, sejahteralah manusia yang menyenangkan hati-Nya!'' 15 Setelah para malaikat itu meninggalkan mereka dan kembali ke syurga, gembala-gembala itu bercakap sesama mereka, "Marilah kita pergi ke Betlehem dan melihat perkara yang berlaku itu, yang sudah diberitahukan oleh Tuhan kepada kita.'' 16 Mereka segera pergi, lalu menjumpai Maria, Yusuf, dan bayi yang sedang berbaring di dalam palung. 17 Apabila para gembala melihat bayi itu, mereka memberitahu semua orang di situ apa yang dikatakan oleh malaikat tentang bayi itu. 18 Semua orang yang mendengarnya hairan akan apa yang dikatakan oleh para gembala itu. 19 Tetapi Maria menyimpan semua perkara itu di dalam hati dan merenungkannya. 20 Semua gembala itu kembali ke padang sambil memuji-muji Allah bagi segala yang sudah didengar dan dilihat oleh mereka, kerana semuanya tepat seperti yang dikatakan oleh malaikat. 21 Sesudah berumur lapan hari, tibalah masanya anak itu disunat. Dia dinamakan Yesus, nama yang diberikan oleh malaikat kepada-Nya sebelum Dia dikandung oleh ibu-Nya. 22 Tibalah masanya Yusuf dan Maria menjalankan upacara penyucian menurut Taurat Musa. Oleh itu, mereka membawa anak itu ke Yerusalem untuk diserahkan kepada Tuhan. 23 Di dalam hukum Tuhan tertulis, "Tiap-tiap anak lelaki sulung harus diserahkan kepada Tuhan.'' 24 Mereka juga mempersembahkan korban menurut hukum Tuhan, iaitu sepasang burung dara atau dua ekor burung merpati muda. 25 Pada masa itu di Yerusalem ada seorang lelaki bernama Simeon. Dia seorang yang baik dan takut akan Allah. Dia menantikan masanya Allah menyelamatkan Israel. Roh Allah menyertai Simeon 26 dan memberitahu dia bahawa dia tidak akan meninggal sebelum melihat Penyelamat yang dijanjikan oleh Tuhan. 27 Dengan pimpinan Roh Allah Simeon masuk ke Rumah Tuhan. Pada waktu itu Yusuf dan Maria membawa Yesus yang masih kecil itu ke Rumah Tuhan untuk melakukan apa yang diperintahkan Taurat bagi-Nya. 28 Simeon mengambil anak itu lalu mendukung-Nya sambil memuji Allah, 29 "Sekarang, ya Tuhan, Engkau telah menepati janji-Mu. Biarlah hamba-Mu meninggal dengan tenteram. 30 Dengan mataku sendiri aku sudah melihat Penyelamat yang datang daripada-Mu. 31 Penyelamat yang telah Engkau sediakan di hadapan semua bangsa; 32 bagaikan cahaya yang menunjukkan kehendak-Mu bagi bangsa-bangsa lain dan cahaya yang mendatangkan kemuliaan bagi umat-Mu Israel.'' 33 Ibu bapa anak itu hairan mendengar apa yang dikatakan oleh Simeon tentang anak itu. 34 Simeon memberkati mereka dan berkata kepada Maria, ibu anak itu, "Anak ini sudah dipilih oleh Allah untuk membinasakan dan menyelamatkan banyak orang Israel. Dia akan menjadi tanda daripada Allah, yang akan dilawan oleh banyak orang, 35 dan dengan demikian terdedahlah rahsia fikiran mereka. Seperti pedang yang tajam, kesedihan akan menikam hatimu.'' 36 Ada pula seorang nabi wanita bernama Hana anak Fanuel, daripada suku Asyer. Dia balu dan umurnya sudah lanjut. Dia berkahwin selama tujuh tahun, 37 dan sekarang umurnya lapan puluh empat tahun. Dia tidak pernah meninggalkan Rumah Tuhan. Siang malam dia beribadat kepada Allah dengan berdoa dan berpuasa. 38 Tepat pada waktu itu dia datang, lalu bersyukur kepada Allah. Dia bercakap tentang anak itu kepada semua orang yang menantikan masanya Allah membebaskan Yerusalem. 39 Setelah Yusuf dan Maria melakukan segala yang diwajibkan oleh hukum Tuhan, mereka kembali ke kampung mereka di Nasaret, di daerah Galilea. 40 Demikianlah anak itu bertambah besar dan kuat. Dia sangat bijaksana dan Allah berkenan kepada-Nya. 41 Tiap-tiap tahun ibu bapa Yesus pergi ke Yerusalem untuk merayakan Perayaan Paska. 42 Ketika Yesus berumur dua belas tahun, mereka pergi ke perayaan itu seperti biasa. 43 Sehabis perayaan itu mereka pulang, tetapi Yesus, anak itu, masih di Yerusalem. Ibu bapa-Nya tidak tahu. 44 Mereka menyangka Dia bersama-sama rombongan itu. Setelah mereka berjalan sejauh sehari, barulah mereka mencari Dia antara sanak saudara dan kawan mereka. 45 Tetapi mereka tidak menjumpai Yesus. Lalu mereka kembali ke Yerusalem untuk mencari Dia. 46 Pada hari ketiga mereka mendapati Yesus di dalam Rumah Tuhan. Dia sedang duduk mendengarkan guru-guru agama Yahudi dan mengajukan soalan. 47 Semua orang yang mendengar Yesus hairan kerana jawapan-Nya bijak. 48 Ibu bapa-Nya pun hairan melihat Dia. Ibu-Nya berkata kepada Dia, "Nak, mengapa berbuat seperti ini terhadap ayah dan emak? Cemas hati ayah dan emak mencari-Mu!'' 49 Yesus menjawab, "Mengapa mencari Aku? Tidakkah Aku harus di rumah Bapa-Ku?'' 50 Tetapi mereka tidak memahami jawapan Yesus. 51 Setelah itu Yesus pulang bersama-sama mereka ke Nasaret dan taat kepada mereka. Ibu-Nya menyimpan semua perkara ini di dalam hati. 52 Yesus bertambah besar dan bijaksana, dan Dia menyenangkan hati Allah mahupun manusia.

Lukas 3

1 Pada tahun kelima belas pemerintahan Kaisar Tiberius, Pontius Pilatus ialah gabenor negeri Yudea dan Herodes memerintah negeri Galilea. Filipus, saudara Herodes, menguasai kawasan Iturea dan Trakhonitis; dan Lisanias memerintah di Abilene. 2 Pada masa itu, Hanas dan Kayafas menjabat kedudukan Imam Agung. Itulah masanya Allah berfirman kepada Yohanes anak Zakharia di padang gurun. 3 Lalu Yohanes menjelajah seluruh kawasan Sungai Yordan dan mengisytiharkan berita daripada Allah. Yohanes berseru, "Bertaubatlah daripada dosa kamu dan hendaklah kamu dibaptis, supaya Allah mengampunkan dosa kamu.'' 4 Seperti yang tertulis di dalam kitab Nabi Yesaya, "Seorang berseru di padang gurun, `Sediakanlah jalan untuk Tuhan, luruskanlah jalan bagi-Nya! 5 Tiap-tiap lembah hendaklah ditimbus, tiap-tiap gunung dan bukit diratakan. Jalan yang berliku-liku hendaklah diluruskan, dan jalan yang lekak-lekuk diratakan. 6 Lalu setiap orang akan melihat Allah menyelamatkan manusia!' '' 7 Banyak orang datang kepada Yohanes supaya dibaptis olehnya. "Kamu orang jahat!'' kata Yohanes kepada mereka. "Siapakah yang memberitahu kamu bahawa kamu dapat melepaskan diri daripada hukuman Allah yang akan datang? 8 Lakukanlah perkara-perkara yang menunjukkan bahawa kamu sudah bertaubat daripada dosa! Janganlah mula berkata sesama sendiri, `Abraham nenek moyang kami.' Ketahuilah, Allah dapat membuat batu-batu ini menjadi keturunan untuk Abraham! 9 Lihatlah, kapak sudah tersedia untuk menebang pokok sehingga ke akarnya. Tiap-tiap pokok yang tidak menghasilkan buah yang baik akan ditebang lalu dibuang ke dalam api.'' 10 Orang ramai bertanya kepada Yohanes, "Apakah yang harus kami lakukan?'' 11 Yohanes menjawab, "Sesiapa yang mempunyai dua helai baju, harus memberikan sehelai kepada orang yang tidak mempunyai baju; dan sesiapa yang mempunyai makanan, harus berkongsi makanan dengan yang berkekurangan.'' 12 Beberapa orang pemungut cukai datang dan minta dibaptis. Mereka bertanya kepada Yohanes, "Guru, apakah yang harus kami lakukan?'' 13 Yohanes berkata, "Janganlah minta lebih daripada apa yang telah ditetapkan.'' 14 Askar-askar juga bertanya kepadanya, "Bagaimana dengan kami? Apakah yang harus kami lakukan?'' Yohanes menjawab, "Janganlah peras duit daripada sesiapa pun, dan jangan rampas wang dengan mengajukan tuduhan palsu. Berpuas hatilah dengan gaji kamu!'' 15 Harapan orang ramai mula timbul. Mereka tertanya-tanya sama ada Yohanes itu Penyelamat yang diutus oleh Allah. 16 Yohanes berkata kepada mereka, "Aku membaptis kamu dengan air, tetapi Dia yang lebih besar daripadaku akan datang. Aku pun tidak layak mengurai tali kasut-Nya. Dia akan membaptis kamu dengan Roh Allah dan api. 17 Tangan-Nya memegang nyiru untuk menampi. Dia akan mengumpulkan gandum yang bersih di dalam jelapang, tetapi Dia akan membakar sekam di dalam api yang tidak dapat padam!'' 18 Demikianlah Yohanes menasihati orang dengan berbagai-bagai cara, pada waktu dia mengisytiharkan Berita Baik. 19 Tetapi Yohanes menegur Gabenor Herodes tentang perkahwinannya dengan Herodias, isteri saudaranya, dan tentang semua kejahatan lain yang telah dilakukannya. 20 Kemudian Herodes melakukan perbuatan yang lebih jahat lagi; dia memenjarakan Yohanes. 21 Setelah semua orang itu dibaptis, Yesus juga dibaptis. Ketika Dia berdoa, langit terbuka, 22 dan Roh Allah berwujud burung merpati turun ke atas-Nya. Lalu terdengar suara dari syurga mengatakan, "Engkaulah Anak-Ku yang Aku kasihi. Engkau menyenangkan hati-Ku.'' 23 Ketika Yesus memulakan pelayanan-Nya, Dia berumur kira-kira tiga puluh tahun. Menurut pendapat orang, Dia anak Yusuf anak Eli, 24 anak Matat, anak Lewi, anak Malkhi, anak Yanai, anak Yusuf, 25 anak Matica, anak Amos, anak Nahum, anak Hesli, anak Nagai, 26 anak Maat, anak Matica, anak Simei, anak Yosekh, anak Yoda, 27 anak Yohanan, anak Resa, anak Zerubabel, anak Sealtiel, anak Neri, 28 anak Malkhi, anak Adi, anak Kosam, anak Elmadam, anak Er, 29 anak Yosua, anak Eliezer, anak Yorim, anak Matat, anak Lewi, 30 anak Simeon, anak Yehuda, anak Yusuf, anak Yonam, anak Eliakim, 31 anak Melea, anak Mina, anak Matata, anak Natan, anak Daud, 32 anak Isai, anak Obed, anak Boas, anak Salmon, anak Nahason, 33 anak Aminadab, anak Admin, anak Arni, anak Hezron, anak Peres, anak Yehuda, 34 anak Yakub, anak Ishak, anak Abraham, anak Terah, anak Nahor, 35 anak Serug, anak Rehu, anak Peleg, anak Eber, anak Selah, 36 anak Kenan, anak Arpakhsad, anak Sem, anak Nuh, anak Lamekh, 37 anak Metuselah, anak Henokh, anak Yared, anak Mahalaleel, anak Kenan, 38 anak Enos, anak Set, anak Adam, anak Allah.

Lukas 4

1 Yesus yang dikuasai oleh Roh Allah, kembali dari kawasan Sungai Yordan. Yesus dipimpin oleh Roh Allah ke padang gurun. 2 Di situ Dia dicubai oleh Iblis selama empat puluh hari. Sepanjang masa itu, Yesus tidak makan apa-apa, sehingga Dia lapar. 3 Iblis berkata kepada-Nya, "Jika Engkau Anak Allah, perintahlah batu ini menjadi roti.'' 4 Yesus menjawab, "Di dalam Alkitab tertulis, `Manusia tidak dapat hidup dengan roti sahaja.' '' 5 Lalu Iblis membawa Yesus ke tempat yang tinggi, dan dalam sekelip mata Iblis menunjukkan segala kerajaan di dunia kepada-Nya. 6 "Aku akan memberikan segala kekuasaan dan kekayaan ini kepada-Mu,'' kata Iblis kepada Yesus. "Semuanya ini telah diberikan kepadaku, dan aku berhak memberikannya kepada sesiapa sahaja yang aku suka. 7 Semua ini akan menjadi milik-Mu, jika Engkau sujud menyembah aku. '' 8 Yesus menjawab, "Di dalam Alkitab tertulis, `Sembahlah Tuhan Allahmu dan abdikan diri kepada Dia sahaja!' '' 9 Lalu Iblis membawa Yesus ke Yerusalem dan menaruh Dia di puncak Rumah Tuhan dan berkata kepada-Nya, "Jika Engkau Anak Allah, terjunlah ke bawah, 10 kerana di dalam Alkitab tertulis, `Allah akan memerintah para malaikat-Nya menjaga Engkau baik-baik.' 11 Juga tertulis, `Malaikat akan menyambut Engkau dengan tangan, supaya kaki-Mu tidak terhantuk pada batu.' '' 12 Yesus menjawab, "Di dalam Alkitab tertulis, `Janganlah cubai Tuhan Allahmu.' '' 13 Apabila Iblis selesai mencubai Yesus dengan segala upaya, dia meninggalkan Yesus untuk sementara waktu. 14 Yesus kembali ke Galilea dan kuasa Roh Allah menyertai Dia. Berita tentang Yesus tersebar ke seluruh daerah itu. 15 Yesus mengajar di rumah ibadat dan Dia dipuji oleh semua orang. 16 Kemudian Yesus pergi ke Nasaret, tempat Dia dibesarkan. Pada hari Sabat, seperti biasa Yesus pergi ke rumah ibadat. Dia berdiri untuk membaca Alkitab, 17 lalu Dia diberikan gulungan naskhah yang berisi perkhabaran daripada Nabi Yesaya. Yesus membuka gulungan naskhah itu, lalu mendapatkan bahagian yang tertulis, 18 "Roh Tuhan ada pada-Ku. Dia telah melantik Aku supaya mengkhabarkan Berita Baik kepada orang miskin. Dia mengutus Aku supaya mengumumkan pembebasan kepada orang tawanan, kesembuhan bagi orang buta; dan kemerdekaan bagi orang yang tertindas, 19 serta mengisytiharkan masanya Tuhan menyelamatkan umat-Nya.'' 20 Yesus menggulung gulungan naskhah itu semula dan mengembalikannya kepada petugas, lalu duduk. Mata semua orang di dalam rumah ibadat itu tertumpu kepada Yesus. 21 Yesus mula berkata kepada mereka, "Pada hari ini ayat-ayat Alkitab ini sudah berlaku pada masa kamu mendengarnya. '' 22 Kata-kata yang diucapkan oleh Yesus baik sekali sehingga para pendengar-Nya kagum. Mereka berkata, "Bukankah dia anak Yusuf?'' 23 Tetapi Yesus berkata, "Tentu kamu akan menyebut peribahasa ini kepada-Ku, `Hai doktor, sembuhkanlah dirimu sendiri.' Kamu juga akan berkata, `Kami mendengar tentang semua perkara yang sudah berlaku di Kapernaum, lakukanlah semuanya di kampung halamanmu juga.' '' 24 Yesus berkata lagi, "Ketahuilah, seorang nabi tidak pernah dihormati di kampung halamannya sendiri. 25 Dengarkan kata-kata-Ku: Memang ada banyak balu di Israel pada zaman Nabi Elia. Pada masa itu musim kemarau berlanjutan, kerana hujan tidak turun selama tiga tahun setengah sehingga bencana kebuluran yang dahsyat berlaku di negeri itu. 26 Tetapi Allah tidak menyuruh Elia pergi kepada salah seorang balu itu. Dia disuruh pergi kepada seorang balu yang tinggal di Sarafat di daerah Sidon. 27 Demikian juga ada banyak orang berpenyakit kulit yang mengerikan di Israel pada zaman Nabi Elisa. Tetapi tidak seorang pun daripada mereka disembuhkan, kecuali Naaman orang Siria itu.'' 28 Semua orang di rumah ibadat itu sangat marah apabila mereka mendengar hal itu. 29 Mereka bangkit lalu menyeret Yesus ke luar bandar dan membawa-Nya ke puncak bukit tempat kota mereka dibina. Mereka bermaksud menolak Yesus ke dalam jurang. 30 Tetapi Yesus terus berjalan antara orang ramai lalu pergi dari situ. 31 Lalu Yesus pergi ke Kapernaum, sebuah kota di Galilea. Di situ Dia mengajar orang pada hari Sabat. 32 Orang kagum melihat cara Yesus mengajar, kerana Dia berkata-kata dengan wibawa. 33 Di rumah ibadat itu ada seorang yang dirasuk roh jahat. Orang itu memekik dengan suara kuat, 34 "Engkau mahu berbuat apa dengan kami, hai Yesus, orang Nasaret? Adakah Engkau mahu membinasakan kami? Aku tahu siapa Engkau: Engkau utusan suci daripada Allah!'' 35 Yesus memerintah roh itu, "Diam, dan keluarlah daripada orang ini!'' Kemudian roh jahat itu membanting orang itu di hadapan mereka, lalu keluar daripada orang itu tanpa menyakitinya. 36 Semua orang hairan dan bercakap sesama sendiri, "Alangkah hebat kata-katanya. Dengan wibawa dan kuasa, dia memerintah roh-roh jahat keluar lalu roh-roh itu pun keluar!'' 37 Laporan tentang Yesus tersebar di seluruh kawasan itu. 38 Yesus meninggalkan rumah ibadat itu, lalu pergi ke rumah Simon. Ibu mentua Simon sakit; dia demam. Orang di situ memberitahukan hal itu kepada Yesus. 39 Yesus mendekati katil ibu itu, lalu mengusir demamnya. Demam ibu mentua Simon hilang, lalu dia segera bangun untuk melayani mereka. 40 Ketika matahari terbenam, semua orang yang mempunyai kawan yang menderita berbagai-bagai penyakit membawa mereka kepada Yesus. Yesus meletakkan tangan-Nya ke atas tiap-tiap orang dan menyembuhkan mereka semua. 41 Roh-roh jahat pun keluar daripada banyak orang, sambil berseru, "Engkau Anak Allah!'' Yesus menengking roh-roh itu dan berkata, "Diam!'' Dia berkata demikian kerana roh-roh itu tahu bahawa Dia Penyelamat yang diutus oleh Allah. 42 Apabila fajar menyingsing, Yesus meninggalkan kota itu lalu pergi ke tempat yang sunyi. Orang ramai mula mencari Dia. Apabila mereka menjumpai Dia, mereka cuba menghalang Dia meninggalkan kota itu. 43 Tetapi Yesus berkata kepada mereka, "Berita Baik tentang bagaimana Allah memerintah harus Aku khabarkan juga di kota-kota lain, kerana Allah mengutus Aku untuk melakukan tugas itu.'' 44 Demikianlah Dia menyampaikan Berita Baik itu di rumah ibadat di seluruh Yudea.

Lukas 5

1 Pada suatu waktu, sedang Yesus berdiri di pantai Tasik Genesaret, orang ramai berasak-asak hendak mendengar berita daripada Allah. 2 Yesus nampak dua buah perahu di pantai itu, tetapi nelayan sudah meninggalkan perahu dan sedang mencuci jala. 3 Yesus menaiki salah sebuah perahu itu, iaitu perahu Simon. Lalu Dia menyuruh Simon menolak perahu itu sedikit jauh dari pantai. Yesus duduk di perahu itu, lalu mengajar orang ramai. 4 Setelah selesai mengajar, Dia berkata kepada Simon, "Dayunglah perahu ke tempat yang dalam lalu tebarkanlah jala untuk menangkap ikan.'' 5 "Guru,'' jawab Simon, "sepanjang malam kami berjerih tetapi tidak menangkap apa-apa pun! Tetapi kerana guru yang menyuruh, baiklah, saya akan menebarkan jala.'' 6 Mereka menebarkan jala, lalu mendapat sedemikian banyak ikan sehingga jala itu hampir koyak. 7 Oleh itu mereka minta pertolongan rakan-rakan di perahu lain. Mereka memenuhi kedua-dua buah perahu itu dengan ikan sehingga perahu hampir tenggelam. 8 Apabila Simon nampak apa yang telah berlaku, dia berlutut di hadapan Yesus sambil berkata, "Tinggalkanlah aku, ya Tuhan! Aku orang berdosa!'' 9 Simon dan semua orang yang bersama-sama dia kagum melihat banyaknya ikan yang dijala oleh mereka. 10 Demikian juga halnya dengan rakan Simon yang lain, iaitu Yakobus dan Yohanes, anak-anak Zebedeus. Yesus berkata kepada Simon, "Jangan takut! Mulai sekarang kamu akan menjala orang supaya menjadi pengikut-Ku.'' 11 Mereka menarik perahu-perahu itu ke pantai dan meninggalkan segala-galanya, lalu mengikut Yesus. 12 Pada suatu hari, Yesus berada di sebuah kota. Di situ ada seorang lelaki berpenyakit kulit yang mengerikan. Ketika dia nampak Yesus, dia bersujud di hadapan Yesus dan memohon, "Tuan, jika tuan mahu, tuan boleh menyembuhkan saya!'' 13 Yesus menghulurkan tangan-Nya lalu menjamah dia. "Aku mahu,'' kata-Nya, "sembuhlah!'' Seketika itu juga penyakitnya tiada lagi. 14 Yesus memerintah dia, "Jangan beritahukan hal ini kepada sesiapa pun. Pergilah temui imam supaya dia mengesahkan kesembuhanmu. Lalu persembahkanlah korban sebagaimana yang diperintahkan oleh Musa, sebagai bukti kepada semua orang bahawa kamu sudah sembuh.'' 15 Tetapi berita tentang Yesus semakin tersebar luas. Banyak orang datang untuk mendengar Dia dan untuk disembuhkan daripada penyakit mereka. 16 Tetapi Yesus pergi ke tempat yang sunyi dan berdoa. 17 Pada suatu hari ketika Yesus sedang mengajar, beberapa orang Farisi dan guru Taurat duduk di situ. Mereka datang dari Yerusalem, dari semua kota di Galilea dan Yudea. Kuasa Tuhan ada pada Yesus untuk menyembuhkan orang sakit. 18 Pada waktu itu, beberapa orang datang membawa seorang lumpuh yang berbaring di atas tikar. Mereka cuba membawa dia ke dalam rumah supaya dapat meletakkannya di hadapan Yesus. 19 Tetapi kerana orang di situ terlalu banyak, mereka tidak dapat membawa dia masuk. Oleh itu mereka membawa dia ke atas bumbung rumah. Kemudian mereka membuka bumbung rumah itu dan menurunkan dia dengan tikarnya di hadapan Yesus di tengah-tengah orang ramai itu. 20 Apabila Yesus melihat betapa besarnya iman mereka, Dia berkata kepada orang itu, "Hai kawan, dosamu sudah diampunkan.'' 21 Semua guru Taurat dan orang Farisi di situ mula bercakap sesama sendiri, "Siapakah orang ini? Dia mengkufuri Allah! Tidak seorang pun dapat mengampunkan dosa, kecuali Allah!'' 22 Yesus mengetahui apa yang difikirkan mereka, lalu Dia berkata, "Mengapa kamu berfikir demikian? 23 Manakah yang lebih mudah, mengatakan, `Dosamu sudah diampunkan' atau `Bangunlah dan berjalan'? 24 Tetapi kepada kamu Aku akan membuktikan bahawa di atas bumi ini Anak Manusia berkuasa untuk mengampunkan dosa.'' Lalu Yesus berkata kepada orang lumpuh itu, "Aku berkata kepadamu, bangunlah, angkatlah tikarmu, dan pulanglah!'' 25 Dengan segera orang itu bangun di hadapan mereka semua, lalu mengangkat tikarnya dan pulang sambil memuji Allah. 26 Orang ramai kehairanan lalu memuji Allah. Dengan perasaan takut mereka berkata, "Sungguh menghairankan perkara yang kita saksikan hari ini!'' 27 Setelah itu Yesus keluar dan nampak seorang pemungut cukai bernama Lewi sedang duduk di tempat memungut cukai. Yesus berkata kepadanya, "Ikutlah Aku.'' 28 Lewi berdiri, meninggalkan semuanya, lalu mengikut Yesus. 29 Kemudian Lewi mengadakan jamuan besar di rumahnya untuk Yesus. Banyak pemungut cukai dan orang lain makan bersama-sama mereka. 30 Beberapa orang Farisi dan guru Taurat bersungut-sungut kepada pengikut-pengikut Yesus. Mereka bertanya, "Mengapa kamu makan dan minum bersama-sama pemungut cukai dan orang yang dihina masyarakat?'' 31 Yesus menjawab, "Orang sihat tidak memerlukan doktor, hanya orang sakit. 32 Aku datang bukan untuk memanggil orang yang menganggap diri mereka baik, tetapi orang yang berdosa supaya mereka bertaubat daripada dosa.'' 33 Beberapa orang berkata kepada Yesus, "Pengikut Yohanes dan pengikut orang Farisi kerap kali berpuasa dan berdoa. Tetapi pengikut-Mu makan dan minum.'' 34 Yesus menjawab, "Dapatkah kamu menyuruh tetamu di jamuan perkahwinan berpuasa selama pengantin lelaki bersama-sama mereka? Tentu tidak! 35 Tetapi akan tiba masanya pengantin lelaki itu akan diambil daripada mereka. Pada masa itulah mereka akan berpuasa.'' 36 Yesus menceritakan perumpamaan ini kepada mereka, "Tidak ada orang yang menampal pakaian lama dengan secebis kain daripada pakaian baru. Jika dia berbuat demikian, dia akan merosakkan pakaian baru itu; lagi pula kain penampal yang baru itu tidak berpadan dengan pakaian lama. 37 Demikian juga tiada seorang pun menuang wain baru ke dalam kirbat kulit lama. Jika dia berbuat demikian, wain baru itu akan memecahkan kirbat itu. Wain itu terbuang dan kirbat itu pun rosak. 38 Wain baru mesti dituang ke dalam kirbat kulit baru! 39 Tidak seorang pun mahu minum wain baru setelah minum wain tua. `Wain tua lebih baik,' katanya.''

Lukas 6

1 Pada suatu hari Sabat, ketika Yesus sedang melewati ladang gandum, pengikut-pengikut-Nya memetik bulir gandum. Mereka menggosoknya dengan tangan, lalu memakannya. 2 Beberapa orang Farisi berkata, "Mengapa kamu melakukan apa yang dilarang oleh Taurat kita pada hari Sabat?'' 3 Yesus menjawab, "Belum pernahkah kamu baca apa yang dilakukan oleh Daud ketika dia dan anak buahnya lapar? 4 Dia masuk ke dalam Khemah Allah dan mengambil roti yang telah dipersembahkan kepada Allah, lalu memakannya. Kemudian dia juga memberikan roti itu kepada anak buahnya. Tetapi menurut Taurat kita, tidak sesiapa pun boleh makan roti itu kecuali para imam.'' 5 Lalu Yesus berkata, "Anak Manusia berkuasa atas hari Sabat!'' 6 Pada hari Sabat yang lain, Yesus pergi mengajar di rumah ibadat. Di situ ada seorang yang tangannya lumpuh sebelah. 7 Beberapa orang guru Taurat dan orang Farisi sedang mencari kesalahan Yesus supaya mereka dapat mengajukan tuduhan terhadap Dia. Oleh itu mereka mengawasi Dia baik-baik sama ada Dia akan menyembuhkan orang pada hari Sabat. 8 Yesus mengetahui apa yang difikirkan mereka. Dia berkata kepada orang yang tangannya lumpuh sebelah, "Berdirilah dan marilah ke depan.'' Orang itu bangun lalu berdiri di situ. 9 Lalu Yesus berkata kepada mereka, "Aku hendak bertanya: Menurut Taurat apakah yang boleh kita lakukan pada hari Sabat? Berbuat baik atau berbuat jahat? Menyelamatkan orang atau membinasakannya?'' 10 Yesus memandang mereka semua, lalu berkata kepada orang itu, "Hulurkanlah tanganmu.'' Orang itu menghulurkan tangannya, lalu tangannya pun sembuh. 11 Tetapi mereka sangat marah dan mula berunding sesama sendiri tentang apa yang boleh dilakukan oleh mereka terhadap Yesus. 12 Pada masa itu Yesus naik ke sebuah bukit untuk berdoa. Di situ Dia berdoa kepada Allah semalam-malaman. 13 Apabila hari sudah terang, Dia memanggil pengikut-pengikut-Nya lalu memilih dua belas orang daripada mereka. Yesus menamakan dua belas orang itu rasul. Mereka terdiri daripada 14 Simon (yang juga disebut-Nya Petrus) dan adiknya Andreas; Yakobus dan Yohanes, Filipus dan Bartolomeus, 15 Matius dan Tomas, Yakobus anak Alfeus dan Simon (yang disebut Patriot), 16 Yudas anak Yakobus dan Yudas Iskariot yang kelak menjadi pengkhianat. 17 Apabila Yesus turun dari bukit bersama-sama rasul-rasul itu, Dia berdiri di tempat yang rata dengan sebilangan besar pengikut-Nya. Di situ juga ada orang ramai yang datang dari seluruh Yudea, Yerusalem, kota Tirus dan Sidon yang di tepi laut. 18 Mereka datang untuk mendengar Yesus dan untuk disembuhkan daripada penyakit mereka. Orang yang dirasuk roh jahat juga datang dan disembuhkan. 19 Semua orang cuba menyentuh Yesus, kerana kuasa keluar daripada-Nya dan menyembuhkan mereka semua. 20 Yesus memandang semua pengikut-Nya lalu berkata, "Berbahagialah kamu yang miskin; kerana kamu menikmati Pemerintahan Allah! 21 Berbahagialah kamu yang lapar sekarang; kamu akan dikenyangkan! Berbahagialah kamu yang menangis sekarang; kamu akan tertawa! 22 Berbahagialah kamu apabila orang membenci, menolak, dan menghina kamu, serta memburukkan nama kamu kerana Anak Manusia! 23 Demikian jugalah nenek moyang mereka memperlakukan nabi-nabi. Bersukacitalah apabila hal itu berlaku, dan menarilah dengan gembira, kerana pahala yang besar tersedia untuk kamu di syurga. 24 Tetapi malanglah kamu yang kaya sekarang ini, kerana kamu telah mengalami kenikmatan hidup! 25 Malanglah kamu yang kenyang sekarang ini, kerana kamu akan kelaparan! Malanglah kamu yang tertawa sekarang ini, kerana kamu akan berdukacita dan menangis! 26 Malanglah kamu jika semua orang memuji kamu, kerana demikian juga nenek moyang mereka memuji nabi-nabi palsu.'' 27 "Tetapi Aku berkata kepada kamu yang mendengarkan Aku: Kasihilah musuh kamu dan berbuatlah baik kepada mereka yang membenci kamu. 28 Berkatilah mereka yang mengutuk kamu, dan berdoalah untuk mereka yang menganiaya kamu. 29 Jika seseorang menampar pipi kamu yang sebelah, biarkan dia menampar pipi kamu yang sebelah lagi. Jika seseorang merampas jubah kamu, berikanlah baju kamu juga. 30 Jika seseorang meminta sesuatu daripada kamu, berikan apa yang dimintanya; jika seseorang merampas milik kamu, janganlah minta kembali barang itu. 31 Apa yang kamu ingin orang lain lakukan untuk kamu, lakukanlah hal itu untuk mereka. 32 Jika kamu hanya mengasihi orang yang mengasihi kamu, patutkah kamu menerima pujian? Tentu tidak! Orang berdosa pun mengasihi orang yang mengasihi mereka! 33 Jika kamu berbuat baik hanya kepada mereka yang berbuat baik kepada kamu, patutkah kamu menerima pujian? Orang berdosa pun berbuat demikian! 34 Jika kamu memberikan pinjaman kepada orang yang dapat mengembalikannya, patutkah kamu menerima pujian? Orang berdosa pun memberikan pinjaman kepada orang berdosa, lalu memintanya kembali! 35 Bukan demikian! Hendaklah kamu mengasihi musuh kamu dan berbuat baik kepada mereka. Berikan pinjaman dan jangan harap pinjaman itu dikembalikan. Lalu kamu akan mendapat pahala besar dan kamu akan menjadi anak-anak Allah Yang Maha Tinggi. Allah baik kepada orang yang tidak tahu berterima kasih dan orang jahat. 36 Hendaklah kamu berbelas kasihan seperti Bapa kamu berbelas kasihan juga!'' 37 "Janganlah hakimi orang lain, supaya Allah tidak menghakimi kamu juga. Janganlah hukum orang lain, supaya Allah tidak menghukum kamu juga. Ampunilah orang lain, supaya Allah mengampuni kamu juga. 38 Apa yang kamu berikan kepada orang lain, Allah juga akan memberikannya kepada kamu. Allah akan mencurahi kamu pemberian yang berlimpah-limpah. Sukatan yang kamu gunakan untuk orang lain akan digunakan oleh Allah untuk kamu.'' 39 Kemudian Yesus menceritakan perumpamaan ini kepada mereka, "Jika seorang buta memimpin seorang buta yang lain, maka kedua-duanya akan jatuh ke dalam longkang. 40 Tidak ada murid yang lebih besar daripada gurunya. Apabila murid itu selesai belajar, dia menjadi sama seperti gurunya. 41 Mengapakah kamu memperhatikan selumbar di dalam mata saudara kamu, tetapi tidak memperhatikan kayu balak di dalam mata kamu sendiri? 42 Bagaimana mungkin kamu berkata kepada saudara kamu, `Maaf, saudara, biarlah saya keluarkan selumbar dari mata saudara,' sedangkan kayu balak di dalam mata kamu sendiri tidak kamu lihat? Hai munafik! Keluarkanlah dahulu kayu balak dari mata kamu sendiri. Barulah kamu dapat melihat dengan jelas dan mengeluarkan selumbar dari mata saudara kamu.'' 43 "Pokok yang subur tidak menghasilkan buah yang buruk. Demikian juga pokok yang tidak subur tidak akan menghasilkan buah yang baik. 44 Setiap pokok dikenal daripada buahnya. Kamu tidak memetik buah ara dari belukar berduri, ataupun buah anggur dari semak-semak. 45 Orang baik mengeluarkan perkara-perkara baik kerana hati mereka berlimpah-limpah dengan kebaikan. Tetapi orang jahat mengeluarkan perkara-perkara jahat, kerana hati mereka penuh kejahatan. Orang mengucapkan perkara yang terkandung di dalam hati.'' 46 "Mengapa kamu memanggil Aku, `Tuhan, Tuhan,' tetapi tidak menurut kata-kata-Ku? 47 Beginilah keadaan setiap orang yang datang kepada-Ku dan mendengar kata-kata-Ku serta melakukannya. 48 Dia seperti pembina rumah yang menggali lubang dalam-dalam lalu meletakkan asas rumah pada batu. Air sungai melimpah dan melanda rumah itu, tetapi tidak dapat menggoncangkannya, kerana asas rumah itu dibina dengan teguh. 49 Tetapi orang yang mendengar kata-kata-Ku dan tidak melakukannya, seperti orang yang membina rumah tanpa asas. Ketika banjir melanda, rumah itu roboh. Alangkah dahsyatnya kerosakan itu!''

Lukas 7

1 Setelah Yesus mengatakan segala perkara itu kepada orang ramai, Dia pergi ke Kapernaum. 2 Di situ ada seorang ketua askar Roma yang mempunyai seorang hamba yang sangat dikasihinya. Hamba itu sakit dan hampir meninggal. 3 Ketika ketua askar itu mendengar tentang Yesus, dia menyuruh beberapa orang pemimpin masyarakat Yahudi pergi kepada Yesus untuk meminta Dia datang dan menyembuhkan hambanya. 4 Mereka pergi kepada Yesus lalu memohon dengan sungguh-sungguh, "Orang ini layak tuan tolong. 5 Dia mengasihi bangsa kita, dan bahkan membina rumah ibadat untuk kami.'' 6 Yesus pergi bersama-sama mereka. Ketika Dia hampir tiba di rumah itu, ketua askar itu mengutus sahabat-sahabatnya supaya berkata kepada Yesus, "Tuan, janganlah bersusah-susah ke rumah saya. Saya tidak layak menyambut tuan ke rumah saya. 7 Saya sendiri pun tidak layak menghadap tuan. Perintahkanlah sahaja, tentu hamba saya akan sembuh. 8 Saya pun di bawah perintah perwira atasan, dan di bawah saya juga ada askar-askar lain. Apabila saya menyuruh seorang askar, `Pergi!' dia pun pergi; dan apabila saya menyuruh seorang askar lain, `Ke mari!' dia pun datang. Apabila saya menyuruh hamba saya, `Buatlah ini!' dia pun melakukannya.'' 9 Yesus hairan mendengar hal itu. Dia berpaling lalu berkata kepada orang ramai yang sedang mengikuti-Nya, "Belum pernah Aku jumpai orang yang beriman sebesar ini, bahkan di kalangan orang Israel pun tidak!'' 10 Ketika orang yang disuruh itu kembali ke rumah ketua askar, mereka mendapati hamba itu sudah sembuh. 11 Tidak lama kemudian, Yesus pergi ke kota Nain. Pengikut-pengikut-Nya dan orang ramai pergi dengan Dia. 12 Ketika Dia tiba di pintu gerbang kota itu, penduduk kota sedang menghantar jenazah ke luar kota. Yang mati itu anak lelaki tunggal seorang balu. Banyak penduduk kota menyertai ibu itu. 13 Apabila Tuhan melihat wanita itu, Dia kasihan kepadanya lalu berkata, "Janganlah menangis.'' 14 Setelah itu Dia menghampiri dan menyentuh usungan itu, lalu para pengusung pun berhenti. Yesus berkata, "Hai anak muda, Aku menyuruh kamu bangun!'' 15 Pemuda yang dihidupkan semula itu duduk dan mula bercakap. Lalu pemuda itu diserahkan oleh Yesus kepada ibunya. 16 Semua orang takut lalu memuji Allah. Mereka berkata, "Seorang nabi yang besar telah datang di kalangan kita! Allah sudah datang untuk menyelamatkan umat-Nya!'' 17 Berita tentang Yesus tersebar di seluruh negeri dan di daerah sekitarnya. 18 Pengikut Yohanes memberitahu Yohanes segala perkara ini. Yohanes memanggil dua orang pengikutnya 19 lalu menyuruh mereka bertanya kepada Tuhan Yesus, "Adakah tuan orang yang dikatakan akan datang menurut janji Allah atau adakah kami harus menantikan seorang lain?'' 20 Apabila mereka bertemu dengan Yesus, mereka berkata, "Yohanes Pembaptis menyuruh kami bertanya kepada tuan, `Adakah tuan orang yang dikatakan akan datang menurut janji Allah, atau adakah kami harus menantikan seorang lain?' '' 21 Kebetulan pada masa itu, Yesus menyembuhkan banyak orang sakit. Dia mengusir roh-roh jahat dan mencelikkan mata orang buta. 22 Oleh itu Yesus menjawab utusan-utusan Yohanes, "Pulanglah, beritahu Yohanes apa yang telah kamu lihat dan dengar: orang buta melihat, orang lumpuh berjalan, orang berpenyakit kulit yang mengerikan menjadi sembuh, orang tuli mendengar, orang mati dibangkitkan semula, dan Berita Baik daripada Allah dikhabarkan kepada orang miskin. 23 Berbahagialah orang yang tidak mempunyai keraguan terhadap Aku!'' 24 Setelah utusan-utusan Yohanes pergi, Yesus mula bercakap tentang Yohanes kepada orang ramai. Dia berkata, "Apabila kamu pergi kepada Yohanes di padang gurun, apakah yang mahu kamu lihat? Sehelai rumput yang ditiup anginkah? 25 Kamu keluar mahu melihat apa? Seorang yang berpakaian indahkah? Orang yang berpakaian demikian dan yang hidup mewah tinggal di istana! 26 Katakanlah, kamu keluar mahu melihat apa? Seorang nabikah? Betul, bahkan lebih daripada seorang nabi. 27 Yohanes itulah yang dikatakan dalam ayat Alkitab, `Allah berfirman: Inilah utusan-Ku. Aku akan mengutus dia terlebih dahulu daripada-Mu supaya menyediakan jalan bagi-Mu.' '' 28 Yesus berkata pula, "Hendaklah kamu tahu bahawa di dunia ini tidak ada orang yang lebih besar daripada Yohanes Pembaptis. Tetapi orang terkecil antara mereka yang menikmati Pemerintahan Allah, lebih besar daripada Yohanes.'' 29 Orang ramai termasuk para pemungut cukai mendengar Yesus mengatakan hal itu. Merekalah yang mentaati perintah Allah dan mahu dibaptis oleh Yohanes. 30 Tetapi orang Farisi dan guru Taurat tidak mahu menerima apa yang dikehendaki oleh Allah bagi diri mereka, dan tidak mahu dibaptis oleh Yohanes. 31 Yesus berkata, "Dengan apakah dapat Aku bandingkan orang zaman ini? Seperti apakah mereka? 32 Mereka seperti anak-anak yang duduk di pasar. Kumpulan yang satu berseru kepada yang lain, `Kami memainkan lagu perkahwinan untuk kamu, tetapi kamu tidak mahu menari! Kami meratap, tetapi kamu tidak mahu menangis!' 33 Yohanes Pembaptis datang, dia berpuasa dan tidak minum wain; lalu kamu berkata, `Dia dirasuk syaitan!' 34 Anak Manusia datang, Dia makan dan minum, lalu kamu berkata, `Lihatlah orang ini! Dia rakus, pemabuk, sahabat pemungut cukai, dan kawan orang yang dihina masyarakat!' 35 Walaupun demikian, kebijaksanaan Allah dibuktikan benar oleh perbuatan semua orang yang menerima kebijaksanaan itu.'' 36 Seorang Farisi bernama Simon menjemput Yesus makan di rumahnya. Yesus pergi ke rumahnya lalu mulai makan. 37 Di kota itu ada pula seorang wanita yang hidup dalam dosa. Dia mendengar bahawa Yesus sedang makan di rumah orang Farisi itu, lalu dia pergi ke situ sambil membawa sebotol minyak wangi. 38 Dia berdiri di belakang Yesus dekat kaki-Nya; dia menangis dan membasahi kaki Yesus dengan air matanya. Kemudian kaki Yesus dikeringkan oleh wanita itu dengan rambutnya, lalu kaki Yesus diciumnya dan dituangi minyak wangi. 39 Apabila orang Farisi yang menjemput Yesus melihat kejadian ini, dia berkata dalam hati, "Jika dia ini benar-benar seorang nabi, tentu dia tahu bahawa wanita yang menyentuhnya itu hidup dalam dosa!'' 40 Yesus berkata kepadanya, "Simon, ada yang hendak Aku katakan kepadamu.'' Simon menjawab, "Katakanlah guru.'' 41 Yesus berkata, "Ada dua orang lelaki berhutang kepada seorang peminjam wang. Yang seorang berhutang lima ratus keping wang perak dan yang seorang lagi lima puluh keping wang perak. 42 Kedua-duanya tidak dapat membayar hutang. Oleh itu orang yang meminjamkan wang menghapuskan hutang mereka. Yang manakah akan lebih mengasihi dia?'' 43 Simon menjawab, "Pada pendapat saya orang yang berhutang lebih banyak!'' "Pendapatmu benar,'' jawab Yesus. 44 Lalu Yesus berpaling kepada wanita itu dan berkata kepada Simon, "Kamu nampak perempuan ini? Aku datang ke rumahmu dan kamu tidak menyediakan air untuk membersihkan kaki-Ku. Tetapi wanita ini membasuh kaki-Ku dengan air matanya, dan mengeringkannya dengan rambutnya. 45 Kamu tidak menyambut Aku dengan ciuman, tetapi wanita ini tidak henti-henti mencium kaki-Ku sejak Aku tiba. 46 Kamu tidak menyediakan minyak untuk kepala-Ku, tetapi wanita ini telah menuang minyak wangi pada kaki-Ku. 47 Sesungguhnya, kasihnya yang besar itu menunjukkan bahawa dosanya yang banyak sudah diampunkan! Jika seseorang menunjukkan kasih yang sedikit, hal itu bererti dia menerima pengampunan yang sedikit juga.'' 48 Lalu Yesus berkata kepada wanita itu, "Dosamu sudah diampunkan.'' 49 Mereka yang makan bersama-sama Yesus mula bertanya sesama sendiri, "Siapakah dia ini sehingga dapat mengampunkan dosa?'' 50 Tetapi Yesus berkata kepada wanita itu, "Oleh sebab kamu percaya kepada-Ku, kamu diselamatkan. Pergilah dengan sejahtera!''

Lukas 8

1 Tidak berapa lama kemudian, Yesus menjelajah kota dan pekan untuk mengkhabarkan Berita Baik bahawa Allah mula memerintah. Dua belas orang pengikut-Nya menyertai Dia, 2 dan juga beberapa orang wanita yang sudah disembuhkan daripada kerasukan roh jahat dan penyakit. Antara mereka termasuk Maria yang disebut Magdalena (tujuh roh jahat sudah diusir daripada dirinya); 3 Yohana, isteri Khuza, pegawai istana Herodes; Susana dan banyak lagi wanita lain. Mereka menggunakan harta mereka untuk membantu Yesus dan pengikut-pengikut-Nya. 4 Orang terus-menerus datang kepada Yesus dari berbagai-bagai kota. Apabila orang yang berkumpul di situ banyak sekali, Yesus menceritakan perumpamaan ini kepada mereka. 5 Dia berkata, "Seorang peladang pergi menabur benih. Ketika dia menabur benih, ada yang jatuh di jalan. Benih itu dipijak-pijak orang dan dimakan burung. 6 Ada juga yang jatuh di tempat berbatu. Apabila benih bertunas, tanaman itu segera layu kerana tanahnya kering. 7 Ada juga yang jatuh di tengah-tengah semak berduri. Apabila benih bertunas, semak berduri yang tumbuh bersama-samanya membantutkan tumbuhan itu. 8 Tetapi ada juga benih yang jatuh di tanah subur, lalu tumbuh dan menghasilkan buah seratus kali ganda.'' Setelah Yesus menceritakan perumpamaan itu, Dia berkata, "Jika kamu bertelinga, dengarlah baik-baik!'' 9 Pengikut-pengikut Yesus bertanya kepada-Nya makna perumpamaan itu. 10 Yesus menjawab, "Kamu telah diberikan anugerah untuk mengetahui rahsia tentang bagaimana Allah memerintah. Tetapi yang lain diberitahukan hal itu melalui perumpamaan, supaya mereka melihat tetapi tidak nampak dan mereka mendengar tetapi tidak faham.'' 11 "Inilah makna perumpamaan itu: Benih itu firman Allah. 12 Benih yang jatuh di jalan bagaikan orang yang mendengar perkhabaran Allah, tetapi Iblis datang dan mengambil perkhabaran itu dari hati mereka, supaya mereka tidak percaya ataupun diselamatkan. 13 Benih yang jatuh di tempat berbatu bagaikan orang yang mendengar perkhabaran itu dan menerimanya dengan sukacita. Tetapi perkhabaran itu tidak berakar di dalam hati. Mereka percaya sekejap sahaja dan ketika cubaan datang mereka tidak lagi percaya kepada perkhabaran itu. 14 Benih yang jatuh di tengah semak berduri bagaikan orang yang mendengar perkhabaran itu, tetapi kekhuatiran, kekayaan, dan kemewahan hidup membantutkan perkhabaran itu sehingga mereka tidak menghasilkan buah yang matang. 15 Benih yang jatuh di tanah subur bagaikan orang yang mendengar perkhabaran itu serta menyimpannya di dalam hati yang baik dan jujur. Mereka bertekun sehingga menghasilkan buah.'' 16 "Tiada seorang pun memasang pelita lalu menaruhnya di bawah pasu, ataupun meletakkannya di bawah katil. Dia akan meletakkan pelita itu di atas kaki pelita, supaya orang yang masuk ke dalam rumah dapat melihat cahayanya. 17 Apa yang tersembunyi akan dinyatakan, dan apa yang dirahsiakan akan diketahui dan didedahkan. 18 Oleh itu perhatikanlah apa yang kamu dengar. Seseorang yang mempunyai sesuatu akan diberi lebih banyak lagi, tetapi seseorang yang tidak mempunyai apa-apa, sedikit yang disangka ada padanya akan diambil juga.'' 19 Ibu dan saudara-saudara Yesus datang kepada Yesus, tetapi mereka tidak dapat menghampiri Dia kerana orang di situ terlalu banyak. 20 Lalu seorang berkata kepada Yesus, "Tuan, ibu dan saudara-saudara tuan di luar. Mereka hendak berjumpa dengan tuan.'' 21 Tetapi Yesus berkata kepada mereka semua, "Orang yang mendengar firman Allah serta mentaatinya, merekalah ibu dan saudara-saudara-Ku.'' 22 Pada suatu hari Yesus dengan pengikut-pengikut-Nya menaiki sebuah perahu. Dia berkata kepada mereka, "Marilah kita menyeberang tasik.'' Mereka pun bertolak. 23 Sedang mereka belayar, Yesus tidur. Tiba-tiba angin kencang melanda tasik itu. Air mula masuk ke dalam perahu sehingga membahayakan mereka semua. 24 Pengikut-pengikut Yesus pergi kepada Yesus lalu membangunkan Dia. Mereka berkata, "Guru, Guru, kita hampir tenggelam!'' Yesus bangun lalu menengking angin dan ombak yang bergelora. Angin dan ombak pun teduh dan tasik menjadi tenang sekali. 25 Lalu Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, "Mengapa kamu tidak percaya kepada-Ku?'' Tetapi mereka hairan dan takut serta bercakap sesama sendiri, "Siapakah orang ini, sehingga angin dan ombak taat kepada perintahnya?'' 26 Mereka terus belayar ke daerah Gerasa di seberang Tasik Galilea. 27 Sedang Yesus naik ke darat, Dia didatangi seorang lelaki dari bandar. Orang itu dirasuk roh jahat. Sudah lama orang itu tidak berpakaian dan tidak mahu tinggal di rumah. Dia tinggal di gua kubur. 28 Apabila dia melihat Yesus, dia berteriak serta sujud di hadapan Yesus, dan berseru, "Hai Yesus, Anak Allah Yang Maha Tinggi! Apakah yang akan Engkau lakukan terhadap aku? Aku mohon, janganlah seksa aku!'' 29 Orang itu berkata demikian kerana Yesus telah memerintah roh jahat itu keluar daripadanya. Banyak kali roh jahat itu menguasai orang itu. Walaupun dia dijaga dengan ketat dan kaki tangannya dirantai, dia dapat memutuskan rantai itu, lalu roh jahat membawa dia ke padang gurun. 30 Yesus bertanya kepadanya, "Siapa namamu?'' Dia menjawab, " `Legiun' '' -- kerana banyak roh jahat sudah masuk ke dalam dirinya. 31 Roh-roh jahat itu memohon supaya Yesus tidak menghalau roh-roh itu ke Jurang Maut. 32 Dekat tempat itu ada kawanan babi sedang mencari makan di lereng bukit. Roh-roh jahat itu memohon supaya Yesus membenarkan roh-roh itu masuk ke dalam kawanan babi itu. Yesus bersetuju. 33 Begitulah roh-roh jahat itu keluar daripada orang itu lalu masuk ke dalam kawanan babi. Kemudian kawanan babi itu lari ke tepi jurang dan terjun ke dalam tasik lalu tenggelam. 34 Penjaga-penjaga babi itu nampak apa yang sudah berlaku. Mereka lari dari situ lalu menyebarkan berita itu di bandar dan di kampung-kampung sekitarnya. 35 Lalu orang ramai keluar hendak melihat apa yang sudah berlaku. Mereka datang kepada Yesus dan mendapati orang yang telah dibebaskan daripada roh jahat duduk dekat kaki Yesus. Orang itu sudah berpakaian dan waras fikirannya. Mereka semua ketakutan. 36 Semua orang yang telah melihat kejadian itu memberitahu orang ramai bagaimana orang itu disembuhkan. 37 Lalu penduduk daerah Gerasa memohon supaya Yesus meninggalkan tempat itu, kerana mereka semua sangat takut. Oleh itu Yesus menaiki perahu lalu pergi dari situ. 38 Orang yang telah dibebaskan daripada roh jahat memohon kepada Yesus supaya dibenarkan mengikut Yesus. Tetapi Yesus menyuruh dia pergi, 39 "Pulanglah ke rumah, dan ceritakan apa yang telah dilakukan oleh Allah untukmu.'' Orang itu pergi ke seluruh pelosok bandar dan menceritakan apa yang telah dilakukan oleh Yesus untuknya. 40 Apabila Yesus kembali ke seberang tasik, orang ramai menyambut Dia kerana mereka sedang menanti-nantikan Dia. 41 Lalu datanglah seorang bernama Yairus. Dia ketua rumah ibadat tempatan. Dia sujud di hadapan Yesus dan memohon supaya Yesus datang ke rumahnya, 42 kerana anak perempuannya yang tunggal, yang berumur dua belas tahun, hampir meninggal. Sedang Yesus berjalan ke rumah Yairus, orang mengasak Dia dari semua sisi. 43 Di situ ada seorang wanita yang menderita penyakit pendarahan selama dua belas tahun. Dia telah menghabiskan segala miliknya untuk rawatan doktor, tetapi tiada seorang pun dapat menyembuhkan dia. 44 Wanita itu mendekati Yesus dari belakang, lalu menyentuh hujung jubah-Nya, dan dengan segera pendarahannya berhenti. 45 Yesus bertanya, "Siapa menyentuh Aku?'' Tiada orang yang mahu mengaku. Petrus berkata, "Guru, orang di sini banyak sekali; mereka berasak-asakan!'' 46 Tetapi Yesus berkata, "Ada orang yang menyentuh Aku. Aku tahu kerana kuasa telah keluar daripada-Ku.'' 47 Wanita itu sedar bahawa perbuatannya sudah diketahui oleh Yesus. Dia datang dengan gementar lalu sujud pada kaki Yesus. Di hadapan semua orang, dia memberitahu Yesus mengapa dia menyentuh Yesus dan bagaimana penyakitnya sembuh dengan serta-merta. 48 Yesus berkata kepadanya, "Anak-Ku, kerana kamu percaya kepada-Ku, kamu sembuh. Pergilah dengan sejahtera.'' 49 Sedang Yesus berkata demikian, seorang pesuruh datang dari rumah Yairus. Dia berkata kepada Yairus, "Anak perempuan tuan sudah meninggal. Janganlah susahkan guru lagi.'' 50 Yesus mendengar kata-kata itu. Dia berkata kepada Yairus. "Jangan takut. Percayalah sahaja dan anakmu akan sembuh.'' 51 Apabila Yesus tiba di rumah itu, Dia tidak membenarkan sesiapa pun masuk dengan Dia kecuali Petrus, Yohanes, Yakobus, dan ibu bapa anak itu. 52 Semua orang sedang menangisi dan meratapi kematian anak itu. Yesus berkata, "Janganlah menangis. Anak ini tidak meninggal, dia hanya tidur!'' 53 Semua orang mentertawakan Yesus, kerana mereka tahu bahawa anak itu sudah meninggal. 54 Tetapi Yesus memegang tangan anak itu, lalu berkata, "Bangunlah, nak!'' 55 Nyawa anak itu kembali dan seketika itu juga dia bangun. Lalu Yesus menyuruh mereka memberikan makanan kepada anak itu. 56 Ibu bapa anak itu sangat hairan, tetapi Yesus melarang mereka memberitahu sesiapa pun apa yang sudah berlaku.

Lukas 9

1 Yesus memanggil dua belas orang pengikut-Nya, lalu Dia memberi mereka kuasa dan wibawa untuk mengusir roh jahat serta menyembuhkan penyakit. 2 Setelah itu Dia mengutus mereka pergi menyembuhkan orang sakit dan mengkhabarkan berita tentang bagaimana Allah memerintah. 3 Yesus berkata kepada mereka, "Janganlah bawa apa-apa untuk perjalanan kamu, baik tongkat, beg sedekah, makanan, wang, mahupun dua helai pakaian. 4 Di mana sahaja kamu disambut, tinggallah di rumah itu sehingga kamu meninggalkan kota itu. 5 Di tempat kamu tidak disambut orang, tinggalkan kota itu dan kebaskanlah debu daripada telapak kaki kamu sebagai amaran kepada mereka.'' 6 Pengikut-pengikut-Nya berangkat, lalu pergi ke semua pekan untuk mengkhabarkan Berita Baik itu dan menyembuhkan orang sakit di mana-mana. 7 Ketika Herodes yang memerintah Galilea, mendengar segala perkara yang sedang berlaku itu, dia bingung kerana ada yang berkata, "Yohanes Pembaptis hidup semula!'' 8 Yang lain berkata bahawa Elia sudah kembali, sedangkan ada juga yang berkata bahawa seorang daripada nabi-nabi dahulu kala sudah hidup semula. 9 Herodes berkata, "Aku sudah menyuruh orang memancung kepala Yohanes. Tetapi siapakah orang ini? Banyak perkara tentang orang ini sudah aku dengar.'' Herodes tetap berusaha untuk berjumpa dengan Yesus. 10 Rasul-rasul Yesus kembali kepada Yesus dan menceritakan segala yang sudah dilakukan oleh mereka. Lalu Yesus membawa mereka ke kota Betsaida. 11 Apabila orang ramai mengetahui hal itu, mereka mengikut Yesus. Yesus menyambut mereka, lalu mengajar mereka tentang Pemerintahan Allah, dan menyembuhkan orang yang minta disembuhkan. 12 Apabila hari mula senja, dua belas orang pengikut itu datang kepada Yesus dan berkata, "Suruhlah semua orang ini pulang, supaya mereka dapat pergi ke pekan dan kampung di sekitar tempat ini untuk mendapatkan makanan dan mencari tempat bermalam. Tempat ini terpencil.'' 13 Tetapi Yesus berkata kepada mereka, "Sebaiknya kamu beri mereka makanan.'' Mereka menjawab, "Kami hanya mempunyai lima ketul roti dan dua ekor ikan. Adakah Guru mahu kami pergi membeli makanan untuk orang sebanyak ini?'' 14 (Ada kira-kira lima ribu orang lelaki di situ.) Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, "Suruhlah mereka duduk dalam kelompok, kira-kira lima puluh orang sekelompok.'' 15 Pengikut-pengikut Yesus melakukan suruhan Yesus lalu semua orang pun duduk. 16 Yesus mengambil lima ketul roti dan dua ekor ikan itu. Dia menengadah ke langit dan mengucap syukur kepada Allah. Kemudian Dia membahagikan roti dan ikan itu, lalu menyerahkannya kepada para pengikut-Nya supaya diberikan kepada orang ramai itu. 17 Semua orang makan sampai kenyang. Setelah itu pengikut-pengikut Yesus mengumpulkan lebihan makanan sebanyak dua belas buah bakul. 18 Pada suatu hari, ketika Yesus sedang berdoa sendirian, pengikut-pengikut-Nya datang kepada-Nya. Yesus bertanya kepada mereka, "Menurut orang ramai, siapakah Aku ini?'' 19 Mereka menjawab, "Ada yang berkata Yohanes Pembaptis. Ada juga yang berkata Elia. Tetapi yang lain berkata salah seorang nabi dahulu kala yang sudah hidup semula.'' 20 "Tetapi menurut kamu siapakah Aku ini?'' tanya Yesus. Petrus menjawab, "Guru ialah Kristus, Penyelamat yang diutus oleh Allah.'' 21 Dengan tegas Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, "Jangan ceritakan hal itu kepada sesiapa pun.'' 22 Dia berkata juga, "Anak Manusia mesti mengalami banyak penderitaan, serta ditentang oleh para pemimpin masyarakat, ketua imam, dan guru Taurat. Dia akan dibunuh, tetapi pada hari ketiga Dia akan dibangkitkan.'' 23 Setelah itu Dia berkata kepada orang ramai, "Sesiapa yang hendak mengikut Aku mesti melupakan kepentingan sendiri, memikul salib tiap-tiap hari dan mengikut Aku. 24 Sesiapa yang mempertahankan hidupnya akan kehilangan hidup yang sejati, tetapi sesiapa yang mengorbankan hidup untuk-Ku, akan mendapat hidup yang sejati. 25 Apa gunanya jika seorang memiliki seluruh dunia ini, tetapi kehilangan hidup yang sejati ataupun dihukum? 26 Jika seseorang malu mengakui Aku dan ajaran-Ku, maka Anak Manusia juga akan malu mengakui orang itu apabila Dia datang kelak dengan kemuliaan-Nya dan dengan kemuliaan Bapa serta kemuliaan malaikat-malaikat yang suci! 27 Ketahuilah, ada beberapa orang di sini yang tidak akan meninggal, sebelum melihat Allah memerintah.'' 28 Kira-kira seminggu setelah Yesus mengatakan perkara-perkara itu, Dia membawa Petrus, Yohanes, dan Yakobus ke sebuah bukit untuk berdoa. 29 Sedang Yesus berdoa, wajah-Nya berubah dan pakaian-Nya menjadi putih berkilauan. 30 Tiba-tiba dua orang bercakap dengan Dia; mereka Musa dan Elia. 31 Mereka kelihatan bersinar-sinar dengan cahaya dari syurga. Mereka berkata-kata dengan Yesus tentang bagaimana Yesus akan segera memenuhi rancangan Allah dengan kematian-Nya di Yerusalem. 32 Pada waktu itu Petrus dan kawan-kawannya tidur nyenyak. Tetapi mereka terjaga dan nampak kemuliaan Yesus serta dua orang yang berdiri dengan-Nya. 33 Ketika dua orang itu hendak meninggalkan Yesus, Petrus berkata kepada-Nya, "Guru, sungguh baik kami di sini. Kami akan mendirikan tiga buah khemah: satu untuk Guru, satu untuk Musa, dan satu lagi untuk Elia.'' (Sebenarnya Petrus tidak mengetahui apa yang dikatakannya.) 34 Sementara Petrus berkata demikian, awan datang lalu meliputi mereka, sehingga mereka takut. 35 Dari awan itu terdengar suara berkata, "Inilah Anak-Ku yang telah Aku pilih. Dengarkan kata-kata-Nya!'' 36 Apabila suara itu berhenti berkata-kata, mereka melihat Yesus seorang diri di situ. Pengikut-pengikut-Nya tidak berkata apa-apa tentang semuanya itu. Pada waktu itu mereka tidak memberitahu sesiapa pun apa yang telah dilihat oleh mereka. 37 Keesokan harinya Yesus dan ketiga-tiga orang pengikut-Nya turun dari bukit dan orang ramai datang menjumpai Yesus. 38 Seorang lelaki dari tengah-tengah orang ramai itu berseru, "Guru, tolonglah lihat anak saya -- anak tunggal saya! 39 Apabila roh jahat merasuknya, dia tiba-tiba berteriak dan menderita penyakit gila babi sehingga mulutnya berbuih. Roh jahat itu terus-menerus menyakiti dia dan tidak mahu melepaskannya! 40 Saya telah meminta pengikut-pengikut Guru mengusir roh jahat itu, tetapi mereka tidak dapat melakukannya.'' 41 Yesus menjawab, "Hai kamu yang sesat dan tidak percaya! Berapa lamakah harus Aku tinggal bersama-sama kamu dan bersabar terhadap kamu?'' Lalu Yesus berkata kepada orang itu, "Bawalah anakmu ke mari.'' 42 Ketika anak itu menghampiri Yesus, roh jahat membanting anak itu ke tanah lalu tubuhnya berkejang-kejang. Yesus mengusir roh jahat itu dan menyembuhkan anak itu, lalu menyerahkannya kembali kepada bapanya. 43 Semua orang hairan melihat kuasa Allah yang begitu besar! Sementara mereka masih terhairan-hairan tentang segala perkara yang dilakukan-Nya, Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, 44 "Janganlah lupa akan apa yang Aku katakan ini: Anak Manusia akan diserahkan ke dalam kekuasaan manusia.'' 45 Tetapi pengikut-pengikut-Nya tidak memahami maksud kata-kata itu. Allah merahsiakan hal itu daripada mereka sehingga mereka tidak dapat memahaminya. Tetapi mereka takut bertanya kepada Yesus tentang perkara itu. 46 Pertengkaran timbul antara pengikut-pengikut Yesus tentang siapa yang terbesar. 47 Yesus mengetahui apa yang difikirkan mereka. Oleh itu Dia menyuruh seorang kanak-kanak berdiri di sisi-Nya. 48 Lalu Dia berkata kepada mereka, "Sesiapa yang menyambut kanak-kanak ini kerana Aku, menyambut Aku. Dan sesiapa yang menyambut Aku, juga menyambut Dia yang mengutus Aku. Sesiapa yang terkecil antara kamu, dialah yang terbesar!'' 49 Yohanes berkata, "Guru, kami nampak seorang mengusir roh jahat dengan nama Guru. Kami melarang dia, kerana dia tidak termasuk golongan kita.'' 50 Yesus berkata kepada Yohanes dan pengikut-Nya yang lain, "Jangan larang dia, kerana orang yang tidak melawan kamu berpihak kepada kamu.'' 51 Apabila sudah dekat masanya Yesus diangkat ke syurga, Dia mengambil keputusan untuk pergi ke Yerusalem. 52 Dia menyuruh orang pergi terlebih dahulu daripada Dia. Mereka berangkat dan pergi ke sebuah pekan di Samaria untuk menyediakan tempat bermalam bagi Yesus. 53 Tetapi penduduk pekan itu tidak mahu menerima Yesus, kerana nyata sekali bahawa Yesus sedang menuju ke Yerusalem. 54 Ketika Yakobus dan Yohanes, pengikut Yesus mengetahui hal itu, mereka berkata, "Tuhan, adakah Tuhan mahu kami meminta api turun dari syurga untuk membinasakan mereka?'' 55 Yesus berpaling lalu memarahi mereka. 56 Setelah itu Dia dan pengikut-pengikut-Nya pergi ke pekan lain. 57 Sedang mereka meneruskan perjalanan, datanglah seseorang berkata kepada Yesus, "Saya bersedia mengikut tuan ke mana sahaja tuan pergi!'' 58 Yesus menjawab, "Serigala mempunyai lubang dan burung mempunyai sarang, tetapi Anak Manusia tidak mempunyai tempat untuk berbaring dan berehat.'' 59 Lalu Dia berkata pula kepada seorang lain, "Ikutlah Aku.'' Tetapi orang itu berkata, "Tuan, benarkan saya balik untuk mengebumikan jenazah bapa saya dahulu.'' 60 Yesus menjawab, "Biarlah orang mati menguburkan orang mati mereka sendiri. Tetapi kamu, pergilah khabarkan berita bahawa Allah sudah mula memerintah.'' 61 Seorang lain pula berkata, "Tuan, saya mahu mengikut tuan, tetapi benarkan saya balik dahulu untuk mengucapkan selamat tinggal kepada keluarga saya.'' 62 Yesus berkata kepadanya, "Orang yang mula membajak, tetapi selalu menoleh ke belakang, tidak layak menikmati Pemerintahan Allah.''

Lukas 10

1 Kemudian Yesus memilih tujuh puluh dua orang pengikut pula. Dia mengutus mereka berdua-dua, dan pergi mendahului Dia ke tiap-tiap kota dan tempat yang akan dikunjungi-Nya. 2 Yesus berkata kepada mereka, "Tuaian sungguh banyak, tetapi yang menuai hanya sedikit. Berdoalah kepada Pemilik tuaian supaya Dia menghantar orang untuk menuai tuaian-Nya. 3 Pergilah! Aku mengutus kamu seperti domba ke tengah-tengah serigala. 4 Jangan bawa dompet, atau beg sedekah, ataupun kasut. Jangan berhenti di tengah jalan untuk memberikan salam kepada sesiapa pun. 5 Apabila kamu masuk ke dalam sebuah rumah, lebih dahulu katakanlah, `Semoga sejahteralah rumah ini.' 6 Jika orang yang tinggal di situ suka akan kedamaian, salam sejahtera kamu itu tetap padanya. Jika tidak, batallah salam sejahtera itu. 7 Tinggallah di rumah itu dan makan minum apa sahaja yang dihidangkan, kerana seorang pekerja layak menerima upah. Jangan pindah dari satu rumah ke rumah yang lain. 8 Apabila kamu masuk ke dalam sebuah kota lalu kamu disambut, makanlah apa yang dihidangkan. 9 Sembuhkanlah orang sakit di kota itu, dan kepada penduduk di situ katakanlah, `Tidak lama lagi Allah akan memerintah di tengah-tengah kamu.' 10 Tetapi jika kamu masuk ke dalam sebuah kota lalu di situ kamu tidak disambut, pergilah ke jalan raya dan berkata, 11 `Bahkan debu kota kamu yang melekat pada kaki, kami kebaskan sebagai amaran kepada kamu. Tetapi ketahuilah bahawa tidak lama lagi Allah akan memerintah di tengah-tengah kamu!' 12 Ingatlah bahawa pada Hari Pengadilan kelak, Allah akan lebih mengasihani penduduk kota Sodom daripada penduduk kota itu!'' 13 "Malanglah kamu, hai penduduk kota Korazin! Malanglah kamu, hai penduduk kota Betsaida! Jika semua mukjizat yang dilakukan di kalangan kamu itu telah dilakukan di Tirus dan Sidon, pasti penduduk di sana sudah lama mengenakan kain guni dan menaruh abu di atas kepala untuk membuktikan bahawa mereka sudah bertaubat daripada dosa! 14 Pada Hari Pengadilan kelak Allah akan lebih mengasihani penduduk kota Tirus dan Sidon daripada kamu! 15 Dan kamu, hai penduduk kota Kapernaum! Kamu fikir kamu akan ditinggikan sampai ke syurga? Tidak! Kamu akan dibuang ke neraka!'' 16 Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, "Orang yang mendengar kata-kata kamu, mendengar kata-kata-Ku juga. Tetapi orang yang menolak kamu, menolak Aku juga. Orang yang menolak Aku, juga menolak Dia yang mengutus Aku.'' 17 Tujuh puluh dua orang pengikut itu kembali dengan kegembiraan yang besar. "Tuhan,'' kata mereka, "roh-roh jahat pun taat kepada kami apabila kami memberikan perintah dengan nama Tuhan!'' 18 Yesus berkata kepada mereka, "Aku nampak Iblis jatuh dari langit seperti kilat. 19 Dengarlah! Aku sudah memberikan kuasa kepada kamu supaya dapat memijak ular dan kala jengking serta mengalahkan segala kekuatan musuh. Tiada apa-apa pun dapat mencederakan kamu. 20 Tetapi janganlah bersukacita kerana roh-roh jahat taat kepada kamu, sebaliknya bersukacitalah kerana nama kamu tercatat di syurga.'' 21 Pada waktu itu Yesus bersukacita kerana dipenuhi oleh Roh Allah, lalu berkata, "Ya Bapa, Tuhan langit dan bumi! Aku bersyukur kepada-Mu kerana kepada orang yang tidak terpelajar Engkau telah menunjukkan apa yang Engkau rahsiakan daripada orang yang bijak dan pandai. Ya Bapa, perkara itulah yang menyenangkan hati Bapa. 22 Bapa-Ku sudah menyerahkan segala sesuatu kepada-Ku. Tidak seorang pun mengenal Anak kecuali Bapa, dan tidak seorang pun mengenal Bapa kecuali Anak serta mereka yang diberitahukan oleh Anak tentang Bapa.'' 23 Lalu Yesus berpaling kepada pengikut-pengikut-Nya dan berkata kepada mereka, "Alangkah berbahagianya kamu kerana dapat melihat apa yang kamu lihat sekarang ini! 24 Ketahuilah bahawa banyak nabi dan raja mahu melihat apa yang kamu lihat sekarang ini tetapi tidak dapat, dan mahu mendengar apa yang kamu dengar sekarang ini tetapi juga tidak dapat.'' 25 Kemudian seorang guru Taurat datang untuk memerangkap Yesus. Dia bertanya, "Guru, apakah yang harus saya lakukan supaya mendapat hidup sejati dan kekal?'' 26 Yesus menjawab, "Apakah yang tertulis di dalam Alkitab? Bagaimana tafsiranmu?'' 27 Orang itu menjawab, " `Kasihilah Tuhan Allahmu dengan sepenuh hatimu, dengan segenap jiwamu, dengan segala kekuatanmu, dan dengan seluruh akalmu'; dan `Kasihilah sesama manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri.' '' 28 Yesus berkata kepadanya, "Jawapanmu itu benar. Berbuatlah demikian, dan kamu akan mendapat hidup sejati dan kekal.'' 29 Tetapi guru Taurat itu hendak membela diri, lalu bertanya, "Siapakah sesama saya?'' 30 Yesus menjawab, "Seorang lelaki turun dari Yerusalem dan pergi ke Yerikho. Di tengah perjalanan, dia diserang penyamun. Mereka merompak dan memukul dia setengah mati, lalu meninggalkannya di tepi jalan. 31 Kebetulan pada masa itu seorang imam lalu di situ. Apabila dia melihat orang itu, dia menyeberang jalan dan meneruskan perjalanan. 32 Demikian juga seorang Lewi lalu di situ. Dia mendekati orang itu untuk melihatnya, lalu menyeberang jalan dan meneruskan perjalanan. 33 Tetapi seorang Samaria yang sedang lalu di situ, tiba di tempat orang itu terbaring. Ketika dia melihat orang itu, hatinya penuh belas kasihan. 34 Maka dia mendekatinya lalu membersihkan luka-lukanya dengan wain dan mengubatinya dengan minyak. Selepas itu dia membalut luka-lukanya dan menaikkan orang itu ke atas haiwan tunggangannya sendiri. Dia membawa orang itu ke rumah tumpangan dan merawat dia di situ. 35 Keesokan harinya orang Samaria itu memberikan dua keping wang perak kepada tuan rumah tumpangan itu dan berkata kepadanya, `Rawatlah dia, dan sekiranya wang ini tidak cukup, saya akan membayarnya apabila saya kembali ke sini.' '' 36 Lalu Yesus mengakhiri ceritanya dengan bertanya, "Menurut pendapatmu, di antara ketiga-tiga orang itu, siapakah yang menjadi sesama orang yang dirompak itu?'' 37 Guru Taurat itu menjawab, "Orang yang menunjukkan belas kasihan kepadanya.'' Yesus berkata pula, "Pergilah dan berbuatlah demikian!'' 38 Kemudian Yesus dan pengikut-pengikut-Nya meneruskan perjalanan, lalu tiba di sebuah pekan. Di situ seorang wanita bernama Marta menjemput Yesus ke rumahnya. 39 Marta mempunyai seorang saudara perempuan bernama Maria. Maria duduk dekat kaki Tuhan untuk mendengarkan ajaran-Nya. 40 Tetapi Marta gelisah kerana banyak kerja yang harus dilakukannya. Marta menghampiri Yesus dan berkata, "Ya Tuhan, tidakkah Tuhan peduli bahawa Maria membiarkan aku sibuk seorang diri? Suruhlah dia tolong aku!'' 41 Tuhan menjawab, "Marta, Marta! Kamu sibuk serta khuatir akan banyak perkara, 42 tetapi hanya satu yang mustahak! Maria sudah memilih perkara baik, yang tidak akan diambil daripadanya.''

Lukas 11

1 Pada suatu hari, Yesus berdoa di suatu tempat. Setelah Dia berdoa, salah seorang pengikut-Nya berkata kepada-Nya, "Ya Tuhan, ajarlah kami berdoa sebagaimana Yohanes mengajar pengikutnya berdoa.'' 2 Yesus berkata kepada mereka, "Berdoalah demikian, `Ya Bapa, Engkaulah Allah yang Esa. Semoga Engkau disembah dan dihormati. Engkaulah Raja kami. Semoga Engkau memerintah di bumi. 3 Berilah kami makanan yang kami perlukan setiap hari. 4 Ampunkanlah dosa kami, kerana kami pun mengampuni setiap orang yang bersalah terhadap kami. Dan janganlah biarkan kami kehilangan iman ketika dicubai.' '' 5 Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, "Seandainya seorang daripada kamu pergi ke rumah kawannya pada tengah malam, lalu berkata, `Hai kawan, pinjami aku tiga ketul roti, 6 kerana sahabatku yang sedang dalam perjalanan singgah di rumah, dan aku tidak mempunyai makanan untuk dia!' 7 Seandainya kawanmu itu menjawab dari dalam, `Janganlah susahkan aku! Pintu sudah dikunci dan aku dengan anak-anak sudah tidur. Aku tidak dapat bangun dan memberikan apa-apa kepada kamu.' '' 8 Yesus berkata, "Lalu bagaimana? Ketahuilah, meskipun kamu kawannya, dia tidak mahu bangun dan memberikan roti kepada kamu. Tetapi kerana kamu tidak segan untuk terus-menerus meminta, dia akan bangun lalu memberikan apa sahaja yang kamu perlukan. 9 Oleh itu Aku berkata kepada kamu: Mintalah sesuatu daripada Allah, maka kamu akan menerimanya. Carilah sesuatu daripada Allah, maka kamu akan mendapatnya. Ketuklah pintu, maka Allah akan membukanya bagi kamu. 10 Hal itu demikian kerana setiap orang yang meminta sesuatu daripada Allah akan menerimanya; setiap orang yang mencari sesuatu daripada Allah akan mendapatnya, dan Allah akan membuka pintu bagi setiap orang yang mengetuknya. 11 Siapakah antara kamu selaku bapa akan memberikan ular kepada anaknya ketika dia meminta ikan? 12 Atau adakah kamu akan memberikan kala jengking ketika dia meminta telur? 13 Walaupun kamu jahat, kamu tahu memberikan apa yang baik kepada anak-anak kamu, lebih-lebih lagi Bapa yang di syurga! Dia akan memberikan Roh-Nya kepada mereka yang meminta daripada Bapa!'' 14 Pada suatu hari Yesus mengusir roh jahat daripada seorang bisu. Setelah roh jahat itu keluar, orang itu mula bercakap. Orang ramai hairan, 15 tetapi ada beberapa orang yang berkata, "Beelzebul, ketua semua roh jahat telah memberikan kuasa kepada Yesus untuk mengusir roh jahat.'' 16 Ada juga orang lain yang hendak memerangkap Yesus. Mereka meminta Yesus melakukan mukjizat untuk membuktikan bahawa Dia datang daripada Allah. 17 Tetapi Yesus mengetahui apa yang difikirkan mereka. Lalu Dia berkata kepada mereka, "Negeri yang berpecah menjadi beberapa bahagian lalu saling bermusuhan, tidak akan tahan lama. Keluarga yang berpecah belah dan saling berlawanan akan hancur. 18 Jika kerajaan Iblis mempunyai golongan yang saling berlawanan, bagaimanakah kerajaan itu dapat bertahan? Kamu berkata Aku mengusir roh jahat kerana Aku diberi kuasa oleh Beelzebul. 19 Jika demikian, siapakah yang memberikan kuasa kepada pengikut kamu untuk mengusir roh jahat? Pengikut kamu sendiri membuktikan bahawa pendapat kamu itu salah! 20 Aku mengusir roh jahat dengan kuasa Allah dan hal ini membuktikan bahawa Allah sudah mula memerintah di tengah-tengah kamu. 21 Apabila seorang kuat yang bersenjata lengkap, menjaga rumahnya sendiri, semua miliknya akan selamat. 22 Tetapi jika seorang yang lebih kuat menyerang dan mengalahkan dia, orang itu akan merampas semua senjata yang digunakan pemilik itu, lalu membahagi-bahagikan apa yang dicurinya. 23 Orang yang tidak berpihak kepada-Ku sebenarnya melawan Aku, dan orang yang tidak menolong Aku, sebenarnya merosakkan pekerjaan-Ku!'' 24 "Apabila roh jahat meninggalkan seseorang, roh itu menjelajah tempat yang kering untuk mencari tempat tinggal. Jika roh jahat itu tidak dapat menjumpai tempat tinggal, roh itu akan berkata, `Aku akan balik ke rumah yang telah aku tinggalkan.' 25 Ketika roh itu kembali, roh itu mendapati rumah itu bersih dan teratur. 26 Lalu roh itu akan pergi memanggil tujuh roh jahat lain yang lebih jahat daripadanya. Kemudian semua roh itu akan memasuki orang itu lalu tinggal di situ. Akhirnya keadaan orang itu menjadi lebih buruk daripada dahulu.'' 27 Setelah Yesus berkata demikian, seorang wanita antara orang ramai itu berkata kepada Yesus, "Alangkah bahagianya wanita yang melahirkan dan menyusui kamu!'' 28 Tetapi Yesus menjawab, "Lebih bahagia lagi orang yang mendengar firman Allah dan melakukannya!'' 29 Ketika orang ramai mengerumuni Yesus, Dia berkata, "Alangkah jahatnya orang zaman ini! Mereka meminta mukjizat, tetapi tidak satu pun akan diberi kecuali mukjizat Nabi Yunus. 30 Sebagaimana Nabi Yunus menjadi satu tanda bagi penduduk kota Niniwe, demikian juga Anak Manusia akan menjadi satu tanda bagi orang zaman ini. 31 Pada Hari Pengadilan kelak, ratu dari Syeba akan bangkit lalu menuduh orang zaman ini. Ratu itu datang dari hujung bumi untuk mendengar ajaran yang bijak daripada Raja Salomo. Ketahuilah, di sini sekarang ada yang lebih besar daripada Raja Salomo! 32 Pada Hari Pengadilan kelak, penduduk Niniwe akan bangkit lalu menuduh kamu, kerana mereka bertaubat daripada dosa ketika mendengar Yunus menyampaikan perkhabaran. Ketahuilah, di sini sekarang ada yang lebih besar daripada Yunus!'' 33 "Tidak ada orang yang memasang pelita lalu menyembunyikan atau menaruh pelita itu di bawah pasu. Dia akan meletakkannya di atas kaki pelita, supaya orang yang masuk ke rumah dapat melihat cahayanya. 34 Mata bagaikan pelita bagi tubuh. Apabila matamu terang, seluruh tubuhmu penuh dengan cahaya. Tetapi apabila matamu kabur, seluruh tubuhmu menjadi gelap gelita. 35 Oleh itu, berhati-hatilah, supaya cahaya pada dirimu tidak menjadi gelap. 36 Jika seluruh tubuhmu penuh dengan cahaya dan tidak ada bahagian yang gelap, maka seluruh tubuhmu itu terang benderang seperti disinari cahaya.'' 37 Setelah Yesus berkata demikian, seorang Farisi menjemput Yesus makan di rumahnya. Yesus pergi ke situ lalu mulai makan. 38 Orang Farisi itu hairan melihat Yesus makan dengan tidak membasuh tangan terlebih dahulu. 39 Oleh itu Tuhan berkata kepadanya, "Memang kamu orang Farisi biasanya membersihkan bahagian luar cawan dan pinggan, tetapi hati kamu penuh dengan kekerasan dan kejahatan. 40 Kamu bodoh! Bukankah Allah yang menjadikan bahagian luar, juga menjadikan bahagian dalam? 41 Berikan apa yang ada di dalam cawan dan pinggan kamu kepada orang miskin. Jika kamu berbuat demikian, kamu dan milik kamu akan menjadi bersih. 42 Malanglah kamu orang Farisi! Kamu memberikan sepersepuluh daripada selasih, inggu, dan herba lain kepada Allah, tetapi kamu mengabaikan keadilan, dan kasih kepada Allah. Perkara-perkara itulah yang seharusnya kamu lakukan tanpa mengabaikan kewajipan yang lain. 43 Malanglah kamu orang Farisi! Kamu suka akan tempat duduk khas di dalam rumah ibadat dan kamu suka dihormati di pasar. 44 Malanglah kamu! Kamu seperti kubur tidak bernisan, yang dipijak-pijak orang tanpa disedari.'' 45 Salah seorang guru Taurat berkata kepada Yesus, "Guru, apabila guru berkata begitu, guru menghina kami juga!'' 46 Yesus menjawab, "Malanglah kamu guru Taurat! Kamu meletakkan beban yang berat ke atas bahu orang lain, tetapi kamu sendiri tidak mahu menghulurkan satu jari pun untuk menolong mereka memikul beban itu. 47 Malanglah kamu! Kamu membina kubur yang elok-elok untuk para nabi yang dibunuh oleh nenek moyang kamu. 48 Dengan tindakan itu, kamu menyetujui perbuatan nenek moyang kamu. Mereka membunuh nabi-nabi itu dan kamu membuat kubur bagi para nabi itu. 49 Itulah sebabnya Kebijaksanaan Allah berkata, `Aku akan mengutus nabi dan utusan kepada mereka, tetapi ada yang akan dibunuh dan ada yang akan dianiaya!' 50 Demikianlah orang zaman ini akan dihukum kerana pembunuhan semua nabi sejak dunia ini diciptakan, 51 mulai daripada pembunuhan Habel sehingga pembunuhan Zakharia yang berlaku di antara mazbah dan Tempat Suci itu. Percayalah, orang zaman ini akan dihukum kerana pembunuhan semua nabi itu. 52 Malanglah kamu, guru Taurat! Kamu menyimpan kunci yang dapat membuka pintu pengetahuan tentang kehendak Allah, tetapi kamu tidak mahu masuk ke dalam. Sebaliknya kamu menghalangi orang yang mahu masuk!'' 53 Apabila Yesus meninggalkan tempat itu, guru Taurat dan orang Farisi mula mengecam Yesus. Mereka menyoal Yesus tentang banyak hal 54 dengan maksud untuk memerangkap Dia. Mereka berusaha untuk mencari kesalahan Yesus ketika Dia berkata-kata.

Lukas 12

1 Sedang beribu-ribu orang berasak-asak sehingga kaki mereka saling terpijak, mula-mula Yesus berkata kepada para pengikut-Nya, "Berhati-hatilah dengan ragi orang Farisi, maksud-Ku kemunafikan mereka. 2 Apa yang tersembunyi akan dinyatakan dan tiap-tiap rahsia akan didedahkan. 3 Apa yang kamu ucapkan pada waktu malam akan terdengar pada siang hari dan apa yang kamu bisikkan di telinga orang di dalam bilik yang tertutup akan diumumkan dari atas rumah.'' 4 "Ingatlah, sahabat-sahabat-Ku! Janganlah takut akan mereka yang mengambil nyawa, tetapi kemudian tidak berkuasa berbuat apa-apa lagi. 5 Biarlah Aku tunjukkan siapa yang mesti kamu takuti. Takutlah akan Allah, kerana Dia berkuasa mengambil nyawa orang, dan Dia juga berkuasa membuang orang itu ke dalam neraka! Percayalah, Allah yang harus kamu takuti! 6 Bukankah lima ekor burung pipit dijual seharga dua sen? Meskipun demikian tidak seekor pun dilupakan oleh Allah. 7 Sebenarnya rambut di kepala kamu pun telah dihitung semuanya. Oleh itu, janganlah takut kerana bagi Allah kamu lebih berharga daripada burung pipit!'' 8 "Ingatlah bahawa sesiapa yang mengaku dirinya pengikut-Ku di hadapan umum, akan diakui juga oleh Anak Manusia di hadapan malaikat-malaikat Allah. 9 Tetapi sesiapa yang tidak mengaku dirinya pengikut-Ku di hadapan umum, akan tidak diakui juga oleh Anak Manusia di hadapan malaikat-malaikat Allah. 10 Sesiapa yang menentang Anak Manusia dengan kata-katanya, dapat diampuni; tetapi sesiapa yang mengkufuri Roh Allah tidak dapat diampuni. 11 Apabila kamu didakwa di rumah ibadat atau di hadapan gabenor atau penguasa, janganlah khuatir tentang bagaimana kamu harus membela diri atau apa yang harus kamu katakan. 12 Roh Allah akan mengajar kamu apa yang harus kamu katakan pada waktu itu.'' 13 Seorang daripada orang ramai berkata kepada Yesus, "Guru, suruhlah saudara saya berikan sebahagian daripada harta peninggalan bapa kami kepada saya.'' 14 Yesus berkata kepadanya, "Saudara, siapa memberikan kuasa kepada-Ku untuk menjadi hakim, ataupun membahagikan harta antara kamu berdua?'' 15 Seterusnya Yesus berkata kepada mereka semua, "Berjaga-jagalah dan berwaspadalah! Janganlah tamak! Hidup seseorang tidak terdiri daripada kekayaannya, walaupun hartanya banyak sekali.'' 16 Kemudian Yesus menceritakan perumpamaan ini kepada mereka. Dia berkata, "Seorang hartawan mempunyai tanah yang menghasilkan tuaian yang banyak. 17 Dia mula berfikir dalam hati, `Aku tidak mempunyai tempat untuk menyimpan segala hasil tanahku. Apakah yang harus aku lakukan?' 18 `Inilah yang akan aku lakukan,' katanya kepada dirinya sendiri, `Aku akan merombak gudang-gudangku lalu mendirikan yang lebih besar. Dengan demikian aku dapat menyimpan hasil tanahku dan segala hartaku yang lain di situ. 19 Setelah itu barulah aku berkata kepada diriku sendiri, kamu sungguh bertuah! Kamu mempunyai segala yang baik bagi keperluanmu selama bertahun-tahun. Nikmatilah hidup! Makan, minum, dan bersukacitalah!' 20 Tetapi Allah berkata kepadanya, `Hai bodoh! Malam ini juga engkau mesti menyerahkan nyawamu! Lalu siapakah yang akan mendapat segala harta yang telah engkau kumpulkan untuk dirimu sendiri itu?' '' 21 Lalu Yesus mengakhiri cerita-Nya dengan berkata, "Demikianlah halnya dengan orang yang mengumpulkan harta untuk diri sendiri, padahal tidak kaya di sisi Allah.'' 22 Lalu Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, "Itulah sebabnya Aku berkata kepada kamu: Janganlah khuatir tentang hidup kamu, tentang apa yang akan kamu makan, atau apa yang akan kamu pakai. 23 Hidup itu lebih berharga daripada makanan, dan tubuh lebih berharga daripada pakaian. 24 Perhatikanlah burung gagak yang tidak menanam benih, tidak menuai tuaian dan tidak mempunyai gudang atau jelapang, tetapi dipelihara oleh Allah! Kamu jauh lebih berharga daripada burung! 25 Siapakah antara kamu yang dengan kekhuatiran dapat memanjangkan umur walaupun sedikit? 26 Jika kamu tidak dapat menguasai perkara sekecil itu, mengapa kamu khuatir akan perkara-perkara lain? 27 Lihatlah bunga bakung yang tumbuh di padang; bunga itu tidak bekerja dan tidak menenun. Tetapi ketahuilah, Raja Salomo dengan segala kekayaannya tidak berpakaian seindah bunga itu! 28 Jika Allah menghiasi rumput di padang yang ada pada hari ini tetapi keesokan harinya dibakar di dapur, tidakkah Dia akan memastikan kamu berpakaian? Alangkah lemahnya iman kamu! 29 Oleh itu, janganlah khuatir dan janganlah selalu fikirkan apa yang hendak kamu makan dan minum. 30 (Orang yang tidak mengenal Allah selalu memikirkan hal-hal itu.) Bapa kamu tahu bahawa kamu memerlukan semua itu. 31 Sebaliknya, utamakanlah Pemerintahan Allah dengan melakukan apa yang dikehendaki oleh Allah, maka semua itu akan diberikan oleh Allah kepada kamu.'' 32 "Janganlah takut, hai kamu yang kecil bilangan, kerana Bapa kamu berkenan membenarkan kamu menikmati Pemerintahan-Nya. 33 Juallah segala milik kamu, dan berikan wangnya kepada orang miskin. Bagi diri kamu, buatlah dompet yang tidak dapat rosak dan simpanlah harta kamu di syurga. Di situ harta kamu tidak akan berkurang, kerana pencuri tidak dapat masuk dan gegat tidak dapat merosakkannya. 34 Lakukanlah hal itu, kerana perhatian kamu sentiasa tertumpu kepada harta kamu.'' 35 "Bersiap-siaplah untuk menghadapi apa sahaja. Kamu harus sentiasa siap sedia dengan pelita yang menyala. 36 Hendaklah kamu seperti hamba yang sedang menantikan tuan mereka balik daripada jamuan perkahwinan. Apabila tuan itu balik dan mengetuk pintu, dengan segera mereka akan membuka pintu. 37 Alangkah bahagianya hamba-hamba yang didapati berjaga dan siap sedia ketika tuan mereka kembali! Percayalah, tuan itu akan menanggalkan jubah, dan menyuruh hamba-hambanya duduk lalu melayani mereka. 38 Alangkah bahagianya hamba-hamba itu jika didapati bersiap sedia, meskipun tuan mereka balik pada tengah malam atau lebih lambat lagi! 39 Ingatlah! Jika tuan rumah mengetahui saatnya pencuri akan datang, dia tidak akan membiarkan pencuri masuk ke dalam rumahnya. 40 Kamu pun harus sentiasa bersiap sedia, kerana Anak Manusia akan datang pada saat yang tidak kamu sangka.'' 41 Petrus bertanya, "Adakah Tuhan menujukan perumpamaan ini kepada kami atau kepada semua orang?'' 42 Tuhan menjawab, "Siapakah hamba yang setia dan bijak? Dialah orang yang ditunjuk oleh tuannya menjadi pengurus rumah tangganya. Tuannya juga menyuruh dia memberikan makanan kepada hamba-hamba yang lain pada waktu yang ditentukan. 43 Alangkah bahagianya orang yang didapati sedang menjalankan tugas apabila tuannya kembali! 44 Ketahuilah bahawa tuan itu akan mempercayakan segala hartanya kepada hamba itu. 45 Tetapi jika hamba itu berkata dalam hati, `Masih lama lagi tuan saya akan kembali.' Lalu dia mula memukul semua hamba yang lain, baik lelaki mahupun wanita, dan dia makan minum sehingga mabuk. 46 Pada hari dan masa yang tidak diduganya, tuannya kembali. Tuan itu akan mencencang hambanya dan membiarkan dia merasai nasib orang yang tidak taat kepada Allah. 47 Hamba yang mengetahui kehendak tuannya, tetapi tidak bersiap sedia untuk melakukan kehendak tuannya, akan disebat dengan keras. 48 Tetapi hamba yang tidak mengetahui kehendak tuannya, lalu melakukan sesuatu yang salah sehingga dia mesti disebat, akan disebat dengan ringan sahaja. Kepada orang yang telah diberikan banyak, daripadanya akan dituntut banyak juga. Orang yang telah diberikan lebih banyak, daripadanya akan dituntut lebih banyak juga.'' 49 "Aku datang untuk membawa hukuman Allah yang seperti api akan membakar penduduk bumi. Alangkah baiknya jika api itu sudah menyala! 50 Masih ada penderitaan berat yang mesti Aku alami. Alangkah resahnya hati-Ku selagi perkara itu belum berakhir! 51 Adakah kamu menyangka Aku datang ke dunia ini untuk membawa kedamaian? Tidak, bukan kedamaian, tetapi perpecahan. 52 Mulai dari sekarang, keluarga yang terdiri daripada lima orang akan berlawanan: tiga lawan dua dan dua lawan tiga. 53 Bapa akan melawan anak lelaki dan anak lelaki akan melawan bapa. Ibu akan melawan anak perempuan dan anak perempuan akan melawan ibu. Ibu mentua akan melawan menantu perempuan dan menantu perempuan akan melawan ibu mentua.'' 54 Yesus juga berkata kepada orang ramai, "Apabila kamu melihat awan naik di sebelah barat, dengan segera kamu berkata, `Hari akan hujan,' dan benar-benar hari hujan. 55 Apabila kamu berasa angin selatan bertiup, kamu berkata, `Hari akan panas,' dan benar-benar hari panas. 56 Hai orang munafik! Kamu dapat meramal cuaca dengan melihat tanda-tanda di langit dan di bumi, tetapi mengapakah kamu tidak dapat memahami tanda zaman ini?'' 57 "Mengapakah kamu tidak membuat keputusan sendiri tentang apa yang benar? 58 Jika ada orang hendak mendakwa kamu di mahkamah, berusahalah sebaik-baiknya untuk menyelesaikan perkara itu sebelum kamu tiba di mahkamah. Jika tidak, orang itu akan menyeret kamu ke hadapan hakim, lalu hakim akan menyerahkan kamu kepada polis, dan polis akan memasukkan kamu ke dalam penjara. 59 Percayalah, kamu tidak akan keluar dari penjara sebelum kamu membayar denda kamu.''

Lukas 13

1 Pada waktu itu beberapa orang di situ memberitahu Yesus perihal orang Galilea yang dibunuh oleh Pilatus ketika mereka mempersembahkan korban kepada Allah. 2 Yesus berkata kepada mereka, "Kerana beberapa orang Galilea dibunuh secara demikian, adakah hal itu membuktikan bahawa mereka lebih berdosa daripada orang Galilea lain? 3 Tidak! Tetapi ingatlah, kecuali kamu bertaubat daripada dosa, kamu semua akan binasa seperti mereka. 4 Bagaimanakah dengan lapan belas orang yang terbunuh di Siloam, ketika menara di sana menimpa mereka? Adakah hal itu membuktikan bahawa mereka lebih berdosa daripada semua orang lain yang tinggal di Yerusalem? 5 Tidak! Sekali lagi Aku berkata, kecuali kamu bertaubat daripada dosa, kamu semua akan binasa seperti mereka.'' 6 Kemudian Yesus menceritakan perumpamaan ini kepada mereka. Dia berkata, "Seorang mempunyai pokok ara di kebun anggurnya. Pada suatu hari dia mencari buah ara pada pokok itu, tetapi tidak menjumpai apa-apa. 7 Oleh itu dia berkata kepada pekebunnya, `Lihatlah, selama tiga tahun aku datang mencari buah ara pada pokok ini, tetapi tidak mendapat sebiji pun. Tebanglah sahaja, kerana pokok ini hanya menghabiskan kesuburan tanah.' 8 Tetapi pekebun itu menjawab, `Tuan, biarkanlah pokok ini tumbuh selama setahun lagi. Saya akan mencangkul tanah di sekelilingnya dan menaruh baja. 9 Jika pokok ini berbuah pada tahun depan, baiklah. Jika tidak, tuan boleh menyuruh orang menebangnya.' '' 10 Pada suatu hari Sabat Yesus mengajar di rumah ibadat. 11 Di situ ada seorang wanita yang sakit, kerana dirasuk roh jahat selama lapan belas tahun. Dia bongkok dan tidak dapat berdiri tegak. 12 Ketika Yesus melihat dia, Yesus memanggil dia dan berkata kepadanya, "Mulai sekarang kamu sembuh!'' 13 Yesus meletakkan tangan-Nya pada wanita itu dan pada saat itu juga wanita itu berdiri tegak lalu memuji Allah. 14 Ketua rumah ibadat marah kerana Yesus menyembuhkan orang pada hari Sabat. Ketua rumah ibadat berkata kepada semua orang di situ, "Ada enam hari untuk bekerja; datanglah pada masa itu untuk disembuhkan, tetapi jangan pada hari Sabat!'' 15 Tuhan menjawab ketua itu, "Kamu munafik! Pada hari Sabat orang melepaskan lembu atau keldai dari kandang lalu membawa haiwan itu keluar untuk diberikan minuman. 16 Lihatlah, di sini ada seorang wanita keturunan Abraham yang telah diikat oleh Iblis selama lapan belas tahun. Tidak patutkah dia dilepaskan daripada ikatannya pada hari Sabat?'' 17 Jawapan Yesus memalukan semua musuh-Nya, tetapi semua orang lain bersukacita kerana segala perbuatan ajaib yang dilakukan oleh Yesus. 18 Yesus bertanya, "Bagaimanakah keadaannya apabila Allah memerintah? Dengan apakah dapat Aku bandingkan keadaannya? 19 Keadaannya seperti perumpamaan ini: Seorang mengambil sebiji benih sawi, lalu menanamnya di ladang. Benih itu tumbuh dan menjadi pokok, lalu burung membuat sarang pada cabang-cabangnya.'' 20 Sekali lagi Yesus bertanya, "Dengan apakah dapat Aku bandingkan keadaannya apabila Allah memerintah? 21 Keadaannya seperti ini: Seorang wanita mengambil ragi lalu mencampurnya dengan empat puluh liter tepung sehingga adunan itu naik!'' 22 Dalam perjalanan ke Yerusalem, Yesus melalui beberapa buah kota dan pekan sambil mengajar. 23 Seorang bertanya kepada-Nya, "Tuan, sedikit sahajakah orang yang akan diselamatkan?'' Yesus menjawab, 24 "Berusahalah sebaik-baiknya untuk masuk melalui pintu yang sempit, kerana banyak orang yang mencuba masuk, tetapi tidak dapat. 25 Pada waktu tuan rumah bangun dan menutup pintu, kamu yang berdiri di luar mula mengetuk pintu dan berkata, `Tuan, bukalah pintu untuk kami!' Tuan itu akan menjawab, `Aku tidak tahu dari mana kamu datang!' 26 Kamu akan menjawab, `Kami sudah makan dan minum bersama-sama tuan, dan tuan juga mengajar di kota kami!' 27 Tetapi tuan itu akan berkata lagi, `Aku tidak tahu dari mana kamu datang. Pergilah dari sini, kamu semua yang melakukan kejahatan!' 28 Pada waktu kamu melihat Abraham, Ishak, dan Yakub serta semua nabi bersukacita di Dunia Baru Allah, kamu akan menangis dan menderita kerana kamu diusir ke luar! 29 Orang akan datang dari timur dan barat, dari utara dan selatan, untuk menikmati jamuan di Dunia Baru Allah. 30 Sesungguhnya orang yang sekarang terakhir akan menjadi yang pertama dan orang yang sekarang pertama akan menjadi yang terakhir.'' 31 Pada masa itu juga, beberapa orang Farisi datang kepada Yesus dan berkata kepada-Nya, "Tinggalkan tempat ini. Pergilah ke tempat lain, kerana Herodes hendak membunuh kamu.'' 32 Yesus menjawab, "Pergilah beritahu orang licik itu, `Hari ini dan esok Aku mengusir roh jahat dan menyembuhkan orang sakit, lalu pada hari ketiga, Aku akan menyelesaikan pekerjaan-Ku.' 33 Meskipun demikian Aku harus meneruskan perjalanan hari ini, esok, dan lusa, kerana tidak semestinya seorang nabi dibunuh di tempat lain kecuali di Yerusalem. 34 Yerusalem, Yerusalem! Engkau membunuh nabi-nabi dan merejam para utusan Allah. Sudah beberapa kali Aku ingin memeluk semua pendudukmu seperti seekor induk ayam melindungi anak-anaknya di bawah sayapnya, tetapi engkau tidak mahu! 35 Yerusalem, engkau akan ditinggalkan oleh Allah dan engkau tidak akan melihat Aku lagi sehingga tiba masanya engkau berkata, `Diberkatilah Dia yang datang dengan nama Tuhan.' ''

Lukas 14

1 Pada suatu hari Sabat, Yesus pergi makan di rumah seorang Farisi yang terkenal. Orang di situ memerhati Yesus. 2 Lalu seorang lelaki yang bengkak kaki dan lengannya datang kepada Yesus. 3 Yesus bertanya kepada semua guru Taurat dan orang Farisi di situ, "Adakah Taurat membenarkan kita menyembuhkan orang sakit pada hari Sabat?'' 4 Mereka tidak mahu berkata apa-apa. Lalu Yesus memanggil orang itu dan menyembuhkan dia, kemudian menyuruh dia pergi. 5 Setelah itu Yesus berkata kepada mereka, "Jika seorang di antara kamu mempunyai anak lelaki atau lembu yang jatuh ke dalam perigi pada hari Sabat, tidakkah kamu akan menariknya keluar pada hari itu juga?'' 6 Mereka tidak dapat menjawab Yesus tentang hal itu. 7 Yesus memperhatikan beberapa orang tetamu yang memilih tempat terbaik. Oleh itu Dia menceritakan perumpamaan ini kepada mereka semua. 8 Dia berkata, "Jika seseorang menjemput kamu ke majlis perkahwinan, janganlah duduk di tempat yang terbaik. Mungkin ada orang yang lebih penting daripada kamu telah dijemput juga. 9 Lalu tuan rumah yang telah menjemput kamu berdua datang kepadamu dan berkata, `Maaf, tempat ini telah disediakan untuk dia.' Tidakkah kamu akan berasa malu, lalu terpaksa duduk di tempat yang paling belakang? 10 Oleh itu apabila kamu dijemput, pergilah duduk di tempat yang paling belakang, supaya tuan rumah akan datang dan berkata kepadamu, `Marilah saudara, duduklah di tempat yang lebih baik.' Lalu kamu akan dihormati di hadapan semua tetamu lain. 11 Orang yang meninggikan diri akan direndahkan, tetapi orang yang merendahkan diri akan ditinggikan.'' 12 Kemudian Yesus berkata pula kepada tuan rumah, "Apabila kamu menjemput orang makan siang atau makan malam, janganlah jemput sahabat, atau saudara, atau sanak keluarga, ataupun jiranmu yang kaya. Kelak mereka akan menjemput kamu pula dan dengan demikian kamu menerima balasan perbuatanmu. 13 Tetapi apabila kamu menjamu orang, jemputlah orang miskin, orang lumpuh, orang tempang, dan orang buta. 14 Kamu akan diberkati kerana mereka tidak dapat membalas kebaikanmu. Kebaikanmu akan dibalas oleh Allah pada waktu orang baik dibangkitkan daripada kematian.'' 15 Salah seorang yang duduk bersama-sama Yesus mendengar kata-kata-Nya. Dia berkata kepada Yesus, "Alangkah bahagianya mereka yang akan dijamu oleh Allah di Dunia Baru Allah!'' 16 Yesus berkata kepada orang itu, "Ada seorang yang sedang mengadakan jamuan besar. Dia menjemput banyak orang. 17 Apabila tiba masanya perjamuan itu dimulakan, dia mengutus hambanya kepada semua tetamu dengan jemputan, `Marilah, semuanya sudah siap!' 18 Tetapi, seorang demi seorang mula memberikan alasan. Yang pertama berkata kepada hamba itu, `Aku baru membeli sebidang tanah dan perlu memeriksanya. Maafkanlah aku.' 19 Yang lain berkata, `Aku baru membeli lima pasang lembu dan hendak mencuba haiwan itu. Maafkanlah aku.' 20 Yang lain pula berkata, `Aku baru sahaja berkahwin; itulah sebabnya aku tidak dapat datang.' 21 Hamba itu pulang dan memberitahu tuannya segala perkara itu. Tuan itu sangat marah, lalu berkata kepada hambanya, `Cepatlah pergi ke jalan dan lorong di kota. Jemput orang miskin, orang lumpuh, orang buta, dan orang tempang.' 22 Kemudian hamba itu berkata, `Tuan, perintah tuan sudah dijalankan, tetapi masih banyak tempat yang kosong.' 23 Lalu tuan itu berkata kepada hambanya, `Pergilah ke jalan dan lorong di luar kota, dan suruh semua orang datang supaya rumahku penuh. 24 Ketahuilah, tidak seorang pun daripada tetamu yang aku jemput itu akan menikmati perjamuanku!' '' 25 Orang ramai berjalan bersama-sama Yesus; Dia berpaling dan berkata kepada mereka, 26 "Sesiapa yang datang kepada-Ku tetapi tidak dapat mengasihi Aku lebih daripada ibunya, bapanya, isterinya, anak-anaknya, saudara lelakinya, dan saudara perempuannya, bahkan dirinya sendiri, tidak dapat menjadi pengikut-Ku. 27 Sesiapa yang tidak mahu memikul salibnya sendiri dan mengikut Aku, tidak dapat menjadi pengikut-Ku. 28 Jika seorang daripada kamu hendak membina sebuah menara, dia akan duduk dahulu lalu mengira perbelanjaannya, supaya dia tahu sama ada wangnya cukup untuk menyudahkan pekerjaan itu. 29 Jika tidak, setelah meletakkan batu asasnya dia tidak dapat menyudahkan pekerjaan itu. Lalu semua orang yang melihat apa yang telah berlaku akan mentertawakan dia. 30 Mereka akan berkata, `Lihatlah, orang ini memulakan kerja tetapi tidak dapat menyudahkannya!' 31 Jika seorang raja yang mempunyai sepuluh ribu orang askar hendak berperang dengan raja lain yang mempunyai dua puluh ribu orang askar, raja itu akan duduk terlebih dahulu lalu mempertimbangkan sama ada dia cukup kuat untuk melawan musuhnya. 32 Jika dia tahu bahawa dia tidak kuat, dia akan mengirim utusan untuk minta berdamai, semasa musuhnya masih jauh.'' 33 Akhirnya Yesus berkata, "Demikian juga dengan kamu. Tidak seorang pun daripada kamu dapat menjadi pengikut-Ku, kecuali dia meninggalkan segala miliknya.'' 34 "Garam sangat berguna, tetapi jika garam sudah menjadi tawar, garam itu tidak dapat menjadi masin lagi. 35 Garam yang tawar tidak lagi berguna untuk menyuburkan tanah ataupun untuk dijadikan baja; sebaiknya dibuang sahaja. Jika kamu bertelinga, dengarlah baik-baik!''

Lukas 15

1 Pada suatu hari banyak pemungut cukai dan orang yang dihina masyarakat datang mendengar Yesus. 2 Lalu orang Farisi dan guru Taurat mula bersungut-sungut. Mereka berkata, "Lihatlah, orang ini menyambut orang yang dihina masyarakat, bahkan makan bersama-sama mereka!'' 3 Oleh itu Yesus menceritakan perumpamaan ini, 4 "Andaikata seorang daripada kamu mempunyai seratus ekor domba, lalu kehilangan seekor, apakah yang akan dilakukannya? Tentu dia akan meninggalkan domba yang sembilan puluh sembilan ekor di padang rumput, lalu pergi mencari yang hilang itu sehingga dapat. 5 Apabila dia menjumpai domba itu, dia memikulnya pada bahu. 6 Dengan sukacita dia membawa domba itu pulang. Setelah itu dia memanggil kawan dan jirannya, lalu berkata kepada mereka, `Marilah kita bergembira! Dombaku yang hilang sudah aku jumpai semula!' 7 Ketahuilah bahawa demikian juga di syurga ada kegembiraan yang lebih besar kerana seorang berdosa bertaubat, daripada kegembiraan kerana sembilan puluh sembilan orang berhormat yang berpendapat mereka tidak perlu bertaubat.'' 8 "Atau andaikata seorang wanita mempunyai sepuluh keping wang perak, lalu kehilangan sekeping, apakah yang akan dilakukannya? Dia akan memasang pelita, menyapu rumah lalu mencari wang itu dengan teliti sehingga dapat. 9 Apabila dia menjumpai mata wang itu, dia memanggil kawan dan jirannya, lalu berkata kepada mereka, `Mari kita bergembira! Wangku yang hilang sudah aku jumpai semula!' 10 Percayalah, malaikat Allah juga bersukacita apabila seorang berdosa bertaubat.'' 11 Yesus berkata lagi, "Ada seorang bapa mempunyai dua orang anak lelaki. 12 Yang bongsu berkata kepada bapanya, `Ayah, berikanlah harta bahagian saya sekarang juga.' Lalu bapanya membahagi hartanya antara kedua-dua orang anaknya. 13 Beberapa hari kemudian, anak yang bongsu menjual bahagian hartanya, lalu meninggalkan rumah. Dia pergi ke negeri yang jauh, dan di sana dia memboroskan wangnya dengan hidup berfoya-foya. 14 Dengan cepat wangnya habis. Pada masa itu kebuluran yang teruk melanda seluruh negeri itu, lalu hidupnya melarat kerana dia tidak mempunyai apa-apa. 15 Oleh itu dia bekerja bagi seorang penduduk negeri itu, yang menyuruh dia menjaga babi di ladang. 16 Dia begitu lapar sehingga ingin mengisi perut dengan makanan babi, tetapi tidak seorang pun memberikan makanan kepadanya. 17 Akhirnya dia sedar dan berkata, `Semua orang gaji ayahku mendapat makanan yang berlebihan tetapi di sini aku hampir mati kelaparan! 18 Aku akan berangkat dan pergi kepada ayahku lalu berkata begini: Ayah, saya sudah berdosa terhadap Allah dan terhadap ayah. 19 Tidak layak lagi saya disebut anak ayah. Anggaplah saya sebagai orang gaji ayah.' 20 Dia pun pulang kepada bapanya. Dia masih jauh dari rumah apabila bapanya nampak dia. Dengan penuh kasihan, bapanya lari menemui dia, lalu memeluk, dan menciumnya. 21 `Ayah,' kata anak itu, `Saya sudah berdosa terhadap Allah dan terhadap ayah. Tidak layak lagi saya disebut anak ayah.' 22 Tetapi bapanya memanggil hamba-hambanya dan berkata, `Cepat, bawalah jubah yang terbaik dan pakaikan pada dia. Kenakan cincin pada jarinya dan kasut pada kakinya. 23 Pilihlah anak lembu yang gemuk lalu sembelih. Marilah kita rayakan kepulangannya dengan perjamuan. 24 Anakku ini sudah mati, tetapi sekarang hidup pula; dia sesat, tetapi sekarang ditemui semula.' Lalu perjamuan itu dimulakan. 25 Sementara itu anaknya yang sulung di ladang. Dalam perjalanan pulang, apabila dekat rumah, dia mendengar muzik dan tari-tarian. 26 Dia memanggil salah seorang hambanya lalu bertanya, `Apakah yang sedang berlaku?' 27 Hamba itu menjawab, `Adik tuan sudah kembali! Bapa tuan menyembelih anak lembu yang gemuk, kerana bapa tuan sudah mendapat anaknya kembali dalam keadaan selamat.' 28 Anak sulung itu begitu marah sehingga dia tidak mahu masuk ke rumah. Lalu bapanya keluar dan memujuk dia. 29 Tetapi dia berkata kepada bapanya, `Lihatlah, bertahun-tahun saya bekerja seperti seorang hamba untuk ayah. Tidak pernah saya membantah ayah. Tetapi apakah balasan ayah? Tidak seekor kambing pun disembelih, supaya saya boleh bersukaria dengan kawan-kawan saya! 30 Tetapi anak ayah ini telah memboroskan segala harta ayah dengan pelacur, dan apabila dia kembali ayah menyembelih anak lembu yang gemuk untuknya!' 31 Bapanya menjawab, `Anakku, kamu sentiasa di sini dengan ayah. Segala yang ayah miliki juga milikmu. 32 Patutlah kita adakan perjamuan dan bersukacita, kerana adikmu sudah mati, tetapi sekarang hidup pula; dulu dia sesat, tetapi sekarang sudah ditemui semula.' ''

Lukas 16

1 Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, "Ada seorang kaya mempunyai seorang pekerja yang mengurus harta bendanya. Orang kaya itu diberitahu bahawa pengurus itu memboroskan wang majikannya. 2 Lalu orang kaya itu memanggil pengurusnya dan berkata, `Apakah yang aku dengar tentang dirimu? Serahkan kira-kiramu yang lengkap bagi semua hartaku, kerana mulai sekarang kamu berhenti menjadi pengurus.' 3 Pengurus itu berfikir, `Apakah harus aku lakukan? Aku akan diberhentikan kerja. Aku tidak kuat mencangkul dan aku malu meminta sedekah. 4 Aku tahu akan apa yang harus aku lakukan, supaya apabila aku diberhentikan kerja, aku mempunyai banyak kawan yang mahu menyambut aku ke rumah mereka.' 5 Lalu dia memanggil semua orang yang berhutang kepada majikannya. Dia bertanya kepada orang yang pertama, `Berapakah hutangmu kepada majikanku?' 6 Orang itu menjawab, `Seratus buah tempayan minyak zaitun.' Pengurus itu berkata kepadanya, `Inilah kira-kiramu; duduklah dan tulislah lima puluh.' 7 Kemudian dia berkata kepada orang yang kedua, `Berapakah hutangmu?' Orang itu menjawab, `Seribu pikul gandum.' Pengurus itu berkata kepadanya, `Inilah kira-kiramu; tulislah lapan ratus.' 8 Majikan pengurus itu memuji kecerdikan pengurus yang tidak jujur ini, kerana orang dunia ini lebih bijak mengurus urusan mereka daripada orang yang hidup dalam terang.'' 9 Yesus berkata lagi, "Dengarlah! Gunakanlah kekayaan dunia ini untuk mendapat sahabat, supaya apabila kekayaan dunia ini lenyap, kamu akan disambut ke dalam tempat kediaman yang abadi. 10 Sesiapa yang setia dalam perkara kecil, akan setia juga dalam perkara besar. Tetapi sesiapa yang tidak jujur dalam perkara kecil, tidak akan jujur dalam perkara besar. 11 Jika kamu tidak menggunakan kekayaan dunia ini dengan setia, bagaimanakah kamu dapat menggunakan kekayaan sejati dengan baik? 12 Jika kamu tidak setia kepada milik orang lain, siapakah mahu memberi kamu apa yang menjadi milik kamu? 13 Tidak ada seorang hamba dapat melayani dua orang tuan. Dia akan membenci yang seorang dan mengasihi yang lain, atau dia akan setia kepada yang seorang dan menghina yang lain. Demikianlah kamu tidak dapat bekerja untuk Allah dan untuk kekayaan juga.'' 14 Orang Farisi mendengar segala yang dikatakan oleh Yesus. Lalu mereka mencemuh Yesus kerana mereka suka akan wang. 15 Yesus berkata kepada mereka, "Kamulah orang yang berpura-pura benar di hadapan manusia, tetapi Allah mengetahui isi hati kamu. Apa yang dianggap berharga oleh manusia, dibenci oleh Allah. 16 Sebenarnya Taurat Musa dan ajaran nabi-nabi berlaku hanya sehingga masa Yohanes Pembaptis. Selepas itu, Berita Baik tentang bagaimana Allah memerintah diberitakan dan orang berasak-asak hendak menikmatinya. 17 Tetapi lebih mudah bagi langit dan bumi ini lenyap daripada satu titik pun dalam Taurat ditiadakan. 18 Sesiapa yang menceraikan isterinya lalu berkahwin dengan wanita lain, berzina. Demikian juga lelaki yang berkahwin dengan wanita yang telah diceraikan, berzina juga.'' 19 "Ada seorang kaya; pakaiannya mahal-mahal dan hidupnya mewah setiap hari. 20 Ada pula seorang miskin bernama Lazarus. Tubuhnya penuh dengan kudis yang bernanah. Lazarus biasa dibawa ke hadapan pintu rumah orang kaya itu. 21 Dia berharap dapat mengisi perut dengan sisa-sisa yang dibuang dari meja orang kaya itu. Kadang-kadang anjing datang menjilat kudisnya. 22 Orang miskin itu meninggal lalu dibawa oleh malaikat ke sisi Abraham di syurga. Orang kaya itu pun meninggal dan dikebumikan. 23 Di alam maut dia sangat menderita. Apabila dia memandang ke atas, dia nampak Abraham jauh di sana dengan Lazarus di sisinya. 24 `Bapa Abraham,' seru orang kaya itu, `kasihanilah saya. Suruhlah Lazarus mencelupkan jarinya ke dalam air dan membasahkan lidah saya, kerana saya sengsara di dalam api ini!' 25 Tetapi Abraham menjawab, `Ingatlah, anakku, seumur hidupmu kamu sudah mendapat segala yang baik, sedangkan Lazarus mendapat segala yang buruk. Tetapi sekarang Lazarus seronok di sini, sebaliknya kamu menderita sengsara. 26 Selain itu, ada pula jurang yang dalam di antara kamu dan kami, sehingga orang dari sini tidak dapat ke sana dan orang dari sana tidak dapat ke mari!' 27 `Jika demikian, Bapa Abraham,' kata orang kaya itu, `saya memohon supaya bapa menyuruh Lazarus pergi ke rumah ayah saya. 28 Saya mempunyai lima orang saudara. Biarlah Lazarus pergi memberikan amaran kepada mereka, supaya setidak-tidaknya mereka tidak akan datang ke tempat penderitaan ini.' 29 Abraham berkata kepadanya, `Tidakkah mereka mempunyai Kitab Musa dan Kitab Nabi-Nabi yang memberikan amaran kepada mereka? Sepatutnya mereka mendengarkan amaran kitab-kitab itu!' 30 Tetapi orang kaya itu menjawab, `Hal itu tidak cukup, Bapa Abraham. Jika ada seorang bangkit daripada kematian lalu datang kepada mereka, tentu mereka akan bertaubat daripada dosa.' 31 Tetapi Abraham berkata kepadanya, `Jika mereka tidak mendengarkan ajaran Musa dan nabi-nabi, mereka tidak akan percaya juga sekalipun ada orang bangkit daripada kematian.' ''

Lukas 17

1 Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, "Hal-hal yang menyebabkan orang berbuat dosa pasti ada, tetapi malanglah orang yang menyebabkan hal-hal itu berlaku! 2 Lebih baik jika batu kisaran diikat pada lehernya, lalu dia dibuang ke dalam laut, daripada dia menyebabkan salah seorang yang lemah imannya berbuat dosa. 3 Berwaspadalah! Jika saudara kamu berdosa, tegurlah dia. Jika dia bertaubat, ampunilah dia. 4 Jika dia berdosa terhadap kamu tujuh kali dalam sehari dan tiap-tiap kali dia datang kepada kamu serta berkata, `Saya minta ampun,' kamu harus mengampuninya.'' 5 Rasul-rasul Yesus berkata kepada Yesus, "Tuhan, teguhkanlah iman kami.'' 6 Tuhan menjawab, "Jika kamu mempunyai iman sebesar biji sawi, kamu dapat berkata kepada pokok ara ini, `Tercabutlah dan tertanamlah di laut.' Pasti pokok itu akan menurut perintah kamu.'' 7 "Andaikan seorang daripada kamu mempunyai seorang hamba yang sedang membajak atau menggembalakan domba. Apabila hamba itu balik dari ladang, adakah kamu berkata kepadanya, `Marilah dan makanlah'? 8 Tentu tidak! Sebaliknya kamu akan berkata kepadanya, `Siapkanlah makananku. Kenakan pakaian yang bersih dan layanilah aku sementara aku makan dan minum, setelah itu barulah kamu makan.' 9 Seorang hamba tidak perlu dipuji apabila dia menurut perintah tuannya, bukan? 10 Demikian juga kamu. Apabila kamu sudah melakukan segala yang diperintahkan, berkatalah, `Kami hanya hamba biasa; kami hanya melakukan kewajipan.' '' 11 Dalam perjalanan ke Yerusalem, Yesus melalui sempadan Samaria dan Galilea. 12 Apabila Dia memasuki sebuah pekan, sepuluh orang berpenyakit kulit yang mengerikan datang menjumpai Dia. Mereka berdiri dari jauh 13 dan berseru, "Yesus! Tuan! Kasihanilah kami!'' 14 Yesus melihat mereka lalu berkata, "Pergilah dan mintalah imam mengesahkan kesembuhan kamu.'' Dalam perjalanan ke sana mereka sembuh. 15 Ketika seorang daripada mereka sedar bahawa dia sudah sembuh, dia berpatah balik sambil memuji Allah dengan suara yang kuat. 16 Dia sujud di hadapan Yesus dan mengucapkan terima kasih kepada-Nya. Orang itu orang Samaria. 17 Yesus berkata, "Bukankah sepuluh orang yang disembuhkan? Di manakah yang sembilan orang lagi? 18 Mengapakah orang bangsa asing ini sahaja yang kembali untuk bersyukur kepada Allah?'' 19 Lalu Yesus berkata kepada orang itu, "Bangunlah dan pergilah; kamu sembuh kerana kamu percaya kepada-Ku.'' 20 Beberapa orang Farisi bertanya kepada Yesus, "Bilakah Allah akan datang untuk memerintah?'' Yesus menjawab, "Pemerintahan Allah tidak bermula dengan tanda-tanda yang dapat dilihat, 21 sehingga orang dapat berkata, `Lihatlah di sini!' atau `Lihatlah di sana!'; kerana Allah sudah mula memerintah antara kamu.'' 22 Setelah itu Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, "Masanya akan tiba apabila kamu berharap dapat melihat zaman Anak Manusia, tetapi kamu tidak dapat melihatnya. 23 Nanti orang akan berkata kepada kamu, `Lihat, di situ!' atau, `Lihat, di sini!' Jangan kamu keluar mencarinya. 24 Sebagaimana kilat memancar di langit lalu menerangi langit dari hujung ke hujung, demikian juga keadaan Anak Manusia pada masa itu. 25 Tetapi terlebih dahulu Dia mesti mengalami banyak penderitaan dan tidak diterima oleh orang zaman ini. 26 Seperti pada zaman Nabi Nuh dahulu, demikian juga halnya pada masa Anak Manusia kelak. 27 Orang makan dan minum; lelaki dan perempuan berkahwin sehingga pada hari Nabi Nuh masuk ke dalam bahtera. Lalu air bah datang dan membinasakan mereka semua. 28 Juga seperti pada zaman Lot; orang makan minum, berjual beli, bercucuk tanam, dan membina rumah. 29 Tetapi pada hari Lot meninggalkan Sodom, api dan belerang turun dari langit dan membinasakan mereka semua. 30 Demikianlah keadaannya pada hari Anak Manusia menampakkan diri. 31 Pada hari itu, orang yang di bumbung rumah, janganlah turun untuk mengambil barang di dalam rumah. Begitu juga orang yang di ladang, janganlah balik ke rumah. 32 Ingatlah akan apa yang sudah berlaku terhadap isteri Lot! 33 Sesiapa yang berusaha mempertahankan hidupnya akan kehilangan hidup yang sejati, tetapi sesiapa yang mengorbankan hidupnya akan menyelamatkannya. 34 Percayalah, pada malam itu dua orang sedang tidur di atas sebuah katil; seorang akan dibawa dan seorang lagi ditinggalkan. 35 Dua orang wanita sedang menggiling gandum; seorang akan dibawa dan seorang lagi ditinggalkan. 36 Dua orang lelaki sedang di ladang; seorang akan dibawa dan seorang lagi ditinggalkan.'' 37 Pengikut-pengikut Yesus bertanya, "Di mana, ya Tuhan?'' Yesus menjawab, "Di tempat ada bangkai, di situ ada burung pemakan bangkai.''

Lukas 18

1 Kemudian Yesus menceritakan perumpamaan ini untuk mengajar pengikut-pengikut-Nya supaya sentiasa berdoa dan tidak putus asa. 2 Yesus berkata, "Di sebuah kota ada seorang hakim yang tidak takut akan Allah dan tidak peduli akan sesiapa pun. 3 Di kota itu juga ada seorang balu yang selalu datang kepada hakim itu untuk memohon supaya perkaranya dibela. `Tolonglah saya menghadapi lawan saya,' kata balu itu. 4 Sudah lama hakim itu tidak mahu menolong balu itu, tetapi akhirnya hakim itu berkata dalam hati, `Sungguhpun aku tidak takut akan Allah dan tidak peduli akan sesiapa pun, 5 tetapi kerana balu ini terus mengganggu aku, biarlah aku membela perkaranya. Jika tidak, dia akan terus-menerus datang dan menyusahkan aku!' '' 6 Lalu Tuhan berkata, "Dengarlah apa yang dikatakan oleh hakim yang jahat itu! 7 Tidakkah Allah akan membela umat-Nya yang berseru kepada-Nya siang malam? Adakah Dia akan berlambat-lambat untuk menolong mereka? 8 Percayalah, Allah akan membela mereka dengan segera! Tetapi, adakah Anak Manusia akan menjumpai orang yang percaya kepada-Nya di bumi ini, apabila Dia datang?'' 9 Yesus juga menceritakan perumpamaan ini kepada orang yang menghina orang lain, tetapi menganggap diri mereka baik. 10 Yesus berkata, "Dua orang pergi ke Rumah Tuhan untuk berdoa. Yang seorang orang Farisi dan yang seorang lagi pemungut cukai. 11 Orang Farisi itu berdiri sendirian dan berdoa, `Aku bersyukur kepada-Mu, ya Allah, kerana aku tidak seperti orang lain yang tamak, suka menipu atau berzina. Aku bersyukur kerana aku tidak seperti pemungut cukai ini. 12 Aku berpuasa dua kali seminggu dan aku mempersembahkan sepersepuluh daripada segala pendapatanku.' 13 Tetapi pemungut cukai itu berdiri agak jauh dan tidak berani menengadah ke langit. Dia menebah dada kerana menyesal sambil berkata, `Ya Allah, kasihanilah hamba, orang berdosa ini!' '' 14 Yesus berkata kepada mereka, "Percayalah, apabila mereka pulang ke rumah, pemungut cukailah yang diterima oleh Allah dan bukan orang Farisi itu. Setiap orang yang meninggikan diri akan direndahkan dan setiap orang yang merendahkan diri akan ditinggikan.'' 15 Beberapa orang membawa anak-anak kecil kepada Yesus supaya Yesus meletakkan tangan-Nya pada anak-anak itu dan memberkati mereka. Ketika pengikut Yesus nampak hal itu, mereka menegur orang di situ. 16 Tetapi Yesus memanggil anak-anak itu lalu berkata, "Biarlah anak-anak datang kepada-Ku! Jangan larang mereka, kerana orang semacam inilah yang akan menikmati Pemerintahan Allah. 17 Ingatlah! Orang yang tidak menyambut Pemerintahan Allah seperti seorang anak, tidak akan menikmati Pemerintahan-Nya.'' 18 Seorang pemimpin Yahudi bertanya kepada Yesus, "Ya Guru yang baik, apakah yang harus saya lakukan supaya beroleh hidup sejati dan kekal?'' 19 Yesus bertanya kepadanya, "Mengapa kamu mengatakan Aku baik? Tiada seorang pun yang baik kecuali Allah. 20 Kamu mengetahui hukum Allah: `Jangan berzina; jangan membunuh; jangan mencuri; jangan berikan kesaksian palsu dan hormatilah ibu bapamu.' '' 21 Orang itu menjawab, "Sejak muda saya menurut segala hukum itu.'' 22 Apabila Yesus mendengar hal itu, Dia berkata kepadanya, "Masih ada satu perkara yang harus kamu lakukan: Juallah segala hartamu lalu dermakan wangnya kepada orang miskin, maka kamu akan beroleh harta di syurga. Kemudian ikutlah Aku.'' 23 Tetapi apabila orang itu mendengar kata-kata Yesus, dia sedih kerana dia sangat kaya. 24 Yesus melihat bahawa dia sedih. Oleh itu Dia berkata, "Alangkah susahnya bagi seorang kaya menikmati Pemerintahan Allah! 25 Lebih mudah bagi seekor unta memasuki lubang jarum daripada seorang kaya menikmati Pemerintahan Allah.'' 26 Orang yang mendengar kata-kata Yesus bertanya, "Jika demikian, siapa yang dapat diselamatkan?'' 27 Yesus menjawab, "Apa yang mustahil bagi manusia, tidak mustahil bagi Allah!'' 28 Lalu Petrus berkata, "Lihatlah, kami sudah meninggalkan rumah tangga untuk mengikut Guru.'' 29 "Betul!'' kata Yesus. "Percayalah, sesiapa yang meninggalkan rumah, atau isteri, atau saudara, atau ibu bapa, atau anak-anak kerana mengabdikan diri kepada Allah, 30 akan mendapat ganjaran yang berlipat ganda pada masa ini, dan pada zaman yang akan datang dia akan menerima hidup sejati dan kekal.'' 31 Yesus memanggil dua belas orang pengikut-Nya, lalu berkata kepada mereka, "Dengarlah! Kita sekarang menuju ke Yerusalem. Di sana segala yang ditulis oleh nabi-nabi tentang Anak Manusia akan berlaku. 32 Dia akan diserahkan kepada orang bukan Yahudi lalu mereka akan mempermainkan, menghina, dan meludahi Dia. 33 Mereka akan menyesah dan membunuh Dia; tetapi pada hari ketiga, Dia akan bangkit semula.'' 34 Semuanya itu tidak difahami sedikit pun oleh pengikut Yesus. Makna ucapan itu dirahsiakan daripada mereka. Mereka tidak mengetahui apa yang dimaksudkan oleh Yesus. 35 Yesus hampir tiba di Yerikho. Di situ ada seorang buta yang sedang duduk di pinggir jalan meminta sedekah. 36 Apabila orang buta itu mendengar orang ramai lalu di situ, dia bertanya, "Apa sedang berlaku?'' 37 Mereka memberitahu dia, "Yesus, orang Nasaret itu, lalu.'' 38 Segera dia berseru, "Yesus, Anak Daud! Kasihanilah saya!'' 39 Semua orang yang di hadapan memarahi dia dan menyuruh dia diam. Tetapi dia berseru lebih kuat lagi, "Anak Daud, kasihanilah saya!'' 40 Yesus berhenti dan menyuruh orang membawa orang buta itu kepada-Nya. Apabila dia tiba, Yesus bertanya kepadanya, 41 "Apakah yang kamu mahu Aku lakukan untukmu?'' Orang buta itu menjawab, "Tuan, saya ingin melihat semula.'' 42 Yesus berkata kepadanya, "Jika demikian, lihatlah! Kerana kamu percaya kepada-Ku, kamu sembuh.'' 43 Seketika itu juga dia dapat melihat, lalu dia mengikut Yesus, sambil memuliakan Allah. Apabila orang ramai nampak hal itu, mereka memuji Allah.

Lukas 19

1 Yesus meneruskan perjalanan-Nya ke Yerikho dan melalui kota itu. 2 Di situ ada seorang ketua pemungut cukai yang kaya; namanya Zakheus. 3 Dia ingin melihat Yesus, tetapi kerana orang terlalu banyak, lagi pula dia pendek, dia tidak dapat melihat Yesus. 4 Dia lari mendahului orang ramai, lalu memanjat sebatang pokok ara, supaya dia dapat melihat Yesus yang akan lalu di situ. 5 Apabila Yesus tiba di situ, Dia memandang ke atas lalu berkata kepada Zakheus, "Zakheus, turunlah segera! Hari ini Aku mesti menumpang di rumahmu.'' 6 Zakheus turun dengan segera dan menyambut Yesus dengan kegembiraan. 7 Semua orang yang menyaksikan hal itu mula bersungut-sungut. Mereka berkata, "Orang ini menumpang di rumah seorang berdosa!'' 8 Zakheus berdiri dan berkata kepada Yesus, "Guru, saya akan mendermakan separuh daripada harta saya kepada orang miskin. Sesiapa sahaja yang pernah saya tipu, akan saya bayar kembali empat kali ganda!'' 9 Yesus berkata kepadanya, "Pada hari ini Allah telah menyelamatkan kamu dan keluargamu, kerana kamu juga keturunan Abraham. 10 Anak Manusia datang untuk mencari dan menyelamatkan orang yang sesat.'' 11 Sementara orang masih mendengar Yesus berkata-kata, Yesus menceritakan perumpamaan berikut. Pada waktu itu Dia hampir tiba di Yerusalem dan orang ramai menyangka bahawa Allah segera akan memerintah di bumi. 12 Oleh itu Yesus berkata kepada mereka, "Seorang bangsawan pergi ke negeri yang jauh untuk dilantik menjadi raja, dan kemudian dia akan kembali. 13 Tetapi sebelum dia berangkat, dia memanggil sepuluh orang hambanya lalu memberikan sekeping wang emas kepada setiap orang. Dia berkata, `Berniagalah dengan wang ini semasa aku pergi.' 14 Tetapi penduduk negerinya membenci dia. Setelah dia berangkat, mereka mengirim utusan untuk mengatakan, `Kami tidak mahu orang ini menjadi raja kami.' 15 Orang bangsawan itu dilantik menjadi raja, lalu pulang ke negerinya. Dengan segera dia menyuruh semua hambanya yang sudah menerima wang emas supaya datang menghadap. Raja hendak mengetahui keuntungan yang diperoleh mereka. 16 Hamba pertama datang dan berkata, `Tuanku, patik berhasil mendapat sepuluh keping wang emas dengan sekeping wang yang tuanku berikan itu.' 17 `Bagus, kamu hamba yang baik! Oleh sebab kamu dapat dipercayai dalam perkara yang kecil, beta akan menjadikan kamu penguasa sepuluh buah kota.' 18 Hamba kedua datang dan berkata, `Tuanku, dengan sekeping wang emas yang tuanku berikan, patik berhasil mendapat lima keping wang emas.' 19 Kepada hamba itu raja berkata, `Beta akan menjadikan kamu penguasa lima buah kota.' 20 Hamba yang lain datang dan berkata, `Tuanku, inilah wang emas tuanku. Patik telah menyimpannya di dalam sapu tangan. 21 Patik takut akan tuanku, kerana patik tahu bahawa tuanku seorang yang keras. Tuanku mengambil apa yang bukan milik tuanku, dan tuanku menuai di tempat yang tidak tuanku semai.' 22 Raja itu berkata kepadanya, `Hai hamba yang jahat! Beta akan menghukum kamu menurut kata-katamu sendiri. Kamu tahu bahawa beta seorang yang keras; beta mengambil apa yang bukan milik beta, dan menuai di tempat yang tidak beta semai. 23 Oleh itu kamu seharusnya menyimpan wang beta di bank supaya apabila beta kembali beta dapat menerima wang beta dengan faedahnya.' 24 Kemudian raja itu bertitah kepada mereka yang berdiri di situ, `Ambillah wang emas itu daripadanya dan berikan kepada hamba yang mempunyai sepuluh keping.' 25 Mereka berkata kepada raja itu, `Tuanku, dia mempunyai sepuluh keping!' 26 Raja itu menjawab, `Ketahuilah, orang yang sudah mempunyai sesuatu, kepadanya akan diberikan lebih banyak lagi. Tetapi orang yang tidak mempunyai apa-apa, sedikit yang ada padanya akan diambil juga. 27 Sekarang bawa ke mari musuh beta yang tidak mahu beta menjadi raja mereka. Bunuhlah mereka semua di hadapan beta!' '' 28 Setelah Yesus berkata demikian, Dia berjalan di hadapan mereka lalu menuju ke Yerusalem. 29 Apabila Yesus tiba dekat Betfage dan Betania di Bukit Zaitun, Dia menyuruh dua orang pengikut-Nya berjalan terlebih dahulu. 30 Dia berkata kepada mereka, "Pergilah ke pekan yang di hadapan itu. Apabila kamu tiba di situ, kamu akan mendapati seekor anak keldai yang tertambat. Haiwan itu belum pernah ditunggang orang. Lepaskanlah dan bawalah keldai itu ke mari. 31 Jika orang bertanya, `Mengapa kamu melepaskan keldai itu?' beritahu orang itu, `Tuhan memerlukannya.' '' 32 Kedua-dua orang pengikut itu pun pergi dan mendapati semuanya seperti yang dikatakan oleh Yesus. 33 Sedang mereka melepaskan anak keldai itu, pemiliknya berkata kepada mereka, "Mengapa kamu melepaskan keldai itu?'' 34 Mereka menjawab, "Tuhan memerlukannya.'' 35 Lalu mereka membawa anak keldai itu kepada Yesus. Mereka menaruh jubah mereka pada punggung keldai itu lalu menolong Yesus naik ke atasnya. 36 Sementara Yesus lalu dengan menunggang keldai itu, orang ramai membentangkan jubah di jalan. 37 Apabila Yesus hampir sampai di Yerusalem, di jalan yang menurun dari Bukit Zaitun, semua pengikut-Nya mula bersyukur kepada Allah dan memuji Allah dengan suara keras kerana semua mukjizat yang sudah disaksikan oleh mereka. 38 "Diberkatilah Dia yang datang dengan kuasa Tuhan! Sejahtera di syurga dan kemuliaan bagi Allah!'' 39 Lalu beberapa orang Farisi antara orang ramai itu berkata kepada Yesus, "Guru, suruhlah semua pengikut guru diam.'' 40 Yesus menjawab, "Percayalah, jika mereka diam, batu-batu ini akan mula berseru.'' 41 Yesus semakin dekat Yerusalem dan apabila Dia melihat kota itu, Dia menangisinya. 42 Dia berkata, "Alangkah baiknya jika kamu mengetahui apa yang dapat mendatangkan kedamaian! Tetapi sekarang kamu tidak dapat melihatnya. 43 Masanya akan tiba apabila musuh mengelilingimu dengan sekatan. Mereka akan mengepung dan mengasak kamu dari segala arah. 44 Mereka akan memusnahkan kamu dan semua pendudukmu. Tidak seketul batu pun akan tertinggal pada tempatnya, kerana kamu tidak tahu masanya Allah datang menyelamatkan kamu!'' 45 Yesus masuk ke Rumah Tuhan dan mula mengusir semua pedagang di situ. 46 Yesus berkata, "Di dalam Alkitab tertulis bahawa Allah berfirman, `Rumah-Ku akan disebut rumah tempat berdoa.' Tetapi kamu menjadikannya tempat persembunyian perompak!'' 47 Setiap hari Yesus mengajar di dalam Rumah Tuhan. Para ketua imam, guru Taurat, dan pemimpin bangsa Yahudi hendak membunuh dia. 48 Tetapi mereka tidak mendapat peluang, kerana orang ramai sentiasa mendengarkan Dia dan tidak mahu terlepas sepatah kata pun.

Lukas 20

1 Pada suatu hari, Yesus mengajar dan menyampaikan Berita Baik di dalam Rumah Tuhan. Para ketua imam, guru Taurat, dan pemimpin masyarakat Yahudi datang 2 dan berkata kepada Yesus, "Beritahulah kami, dengan hak siapa kamu melakukan perkara-perkara ini? Siapakah yang memberikan hak kepadamu untuk melakukannya?'' 3 Yesus menjawab, "Aku juga ingin bertanya kepada kamu. Katakanlah, 4 dengan hak siapakah Yohanes membaptis orang? Dengan hak Allah atau manusia?'' 5 Mereka mula membincangkan soalan itu, "Apakah yang akan kita katakan? Jika kita menjawab, `Dengan hak Allah,' Dia akan berkata, `Mengapa kamu tidak percaya kepada Yohanes?' 6 Tetapi jika kita berkata, `Dengan hak manusia,' semua orang akan merejam kita, kerana mereka percaya bahawa Yohanes seorang nabi.'' 7 Lalu mereka menjawab, "Kami tidak tahu.'' 8 Yesus berkata kepada mereka, "Jika demikian Aku pun tidak mahu memberitahu kamu dengan hak siapa Aku melakukan perkara-perkara ini.'' 9 Yesus menceritakan perumpamaan ini kepada orang ramai. "Ada seorang yang menanami ladang anggur, lalu menyewakannya kepada beberapa orang. Setelah itu dia pergi ke negeri lain dan tinggal lama di sana. 10 Apabila tiba masanya untuk mengumpulkan buah anggur, pemilik ladang itu mengutus hambanya kepada penyewa-penyewa ladang itu untuk menerima hasil bahagiannya. Tetapi para penyewa ladang memukul hamba itu dan menyuruh dia pulang dengan tangan kosong. 11 Pemilik ladang itu mengutus seorang lagi hambanya. Tetapi para penyewa ladang itu juga memukul hamba ini, mempermalukan dia, lalu menyuruh dia pulang dengan tangan kosong. 12 Kemudian pemilik ladang itu mengutus hamba ketiga. Penyewa-penyewa ladang itu juga mencederakan hamba ini dan membuang dia ke luar ladang itu. 13 Pemilik ladang itu berkata, `Apakah yang harus aku lakukan? Aku akan mengutus anakku yang aku kasihi. Tentu mereka akan menghormati dia!' 14 Tetapi apabila para penyewa ladang itu nampak dia, mereka bercakap sesama sendiri, `Ini dia anak pemilik ladang. Mari kita bunuh dia, supaya kita dapat hartanya.' 15 Oleh itu mereka membuang dia ke luar ladang lalu membunuh dia.'' Lalu Yesus bertanya, "Apakah yang akan dilakukan oleh pemilik ladang itu terhadap para penyewa ladang anggur itu? 16 Dia akan datang dan membunuh semua penyewa ladang itu, lalu menyerahkan ladang itu kepada penyewa-penyewa lain.'' Apabila orang di situ mendengar hal itu, mereka berkata, "Janganlah perkara ini berlaku!'' 17 Yesus memandang mereka lalu bertanya, "Jika demikian, apakah makna ayat Alkitab ini? `Batu yang dibuang oleh pembina bangunan telah menjadi batu yang paling utama.' 18 Semua orang yang jatuh pada batu itu akan hancur; dan sesiapa yang ditimpa batu itu akan tergilas menjadi debu.'' 19 Semua guru Taurat dan ketua imam di situ cuba menangkap Yesus pada saat itu juga, kerana mereka tahu bahawa perumpamaan itu ditujukan kepada mereka. Tetapi mereka takut akan orang ramai. 20 Oleh itu mereka menunggu peluang yang baik. Mereka menyuap beberapa orang supaya berpura-pura, dan mengutus mereka untuk memerangkap Yesus dengan pertanyaan. Dengan demikian mereka dapat menyerahkan Yesus kepada kekuasaan gabenor. 21 Lalu beberapa orang itu berkata kepada Yesus, "Guru, kami tahu bahawa apa yang guru katakan dan ajarkan itu benar. Kami tahu bahawa guru tidak memandang kedudukan orang, tetapi guru mengajar kehendak Allah bagi manusia dengan terus terang. 22 Katakanlah, menurut Taurat bolehkah kita membayar cukai kepada Kaisar Roma?'' 23 Yesus mengetahui muslihat mereka. Dia berkata, 24 "Tunjukkan sekeping mata wang kepada-Ku. Gambar dan nama siapakah ini?'' "Kaisar!'' jawab mereka. 25 Oleh itu Yesus berkata, "Baiklah, jika demikian, berikan apa yang menjadi milik Kaisar kepada Kaisar dan berikan apa yang menjadi milik Allah kepada Allah.'' 26 Mereka tidak dapat mencari kesalahan Yesus di hadapan orang ramai. Mereka diam sahaja kerana hairan mendengar jawapan-Nya. 27 Beberapa orang Saduki datang kepada Yesus. (Mereka berpendapat bahawa orang mati tidak akan bangkit semula.) Mereka bertanya kepada Yesus, 28 "Guru, Musa memberi kita hukum berikut: `Jika seorang lelaki meninggal tanpa mempunyai anak, maka saudara lelakinya mesti berkahwin dengan balunya supaya orang yang sudah meninggal itu mendapat keturunan.' 29 Dahulu ada tujuh orang adik-beradik. Yang sulung berkahwin tetapi meninggal tanpa mempunyai anak. 30 Lalu saudara kedua berkahwin dengan balu itu tetapi dia pun meninggal tanpa mempunyai anak. 31 Hal yang sama berlaku kepada saudara ketiga dan seterusnya sehingga saudara ketujuh. Mereka semua meninggal tanpa mempunyai anak. 32 Akhirnya balu itu meninggal. 33 Pada hari kebangkitan orang mati, isteri siapakah wanita itu? Tujuh orang adik-beradik itu sudah berkahwin dengan dia.'' 34 Yesus menjawab, "Lelaki dan perempuan yang hidup sekarang ini berkahwin. 35 Tetapi lelaki dan perempuan yang layak dibangkitkan daripada kematian dan hidup pada zaman yang akan datang tidak berkahwin. 36 Mereka akan menjadi seperti malaikat; mereka tidak mati lagi. Mereka menjadi anak-anak Allah, kerana mereka sudah dibangkitkan daripada kematian. 37 Musa menjelaskan bahawa orang mati akan dibangkitkan. Tulisannya tentang belukar yang bernyala menyatakan Tuhan sebagai `Allah yang disembah oleh Abraham, Ishak, dan Yakub.' 38 Hal ini bererti bahawa Allah itu Allah orang hidup, bukan Allah orang mati, kerana Allah menganggap mereka semua hidup.'' 39 Beberapa orang guru Taurat berkata, "Sungguh baik jawapan guru.'' 40 Mereka tidak lagi berani menanyakan apa-apa kepada Yesus. 41 Yesus bertanya kepada mereka, "Bagaimanakah orang dapat mengatakan bahawa Penyelamat yang diutus oleh Allah itu keturunan Daud? 42 Daud berkata di dalam Kitab Mazmur, `Tuhan berfirman kepada Tuhanku: Duduklah di sebelah kanan-Ku, 43 sehingga Aku menakluki musuh-Mu ke bawah kaki-Mu.' 44 Jika Daud memanggil Dia `Tuhan', bagaimana mungkin Penyelamat yang diutus oleh Allah itu keturunan Daud?'' 45 Sementara semua orang mendengarkan kata-kata-Nya, Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, 46 "Berhati-hatilah dengan guru Taurat. Mereka suka berjalan-jalan dengan memakai jubah panjang, dan suka dihormati orang di pasar. Mereka memilih tempat terbaik di dalam rumah ibadat dan di majlis jamuan. 47 Mereka memperdaya balu dan merampas rumah mereka, kemudian berpura-pura berdoa dengan berpanjangan! Mereka akan menerima hukuman yang amat berat!''

Lukas 21

1 Yesus melihat di sekeliling-Nya dan nampak orang kaya memasukkan wang ke dalam peti persembahan di Rumah Tuhan. 2 Dia juga melihat seorang balu yang sangat miskin memasukkan dua keping mata wang tembaga. 3 Yesus berkata, "Ketahuilah, balu ini memberikan persembahan yang lebih besar nilainya daripada semua orang lain. 4 Orang lain memberikan persembahan daripada kelebihan kekayaan mereka. Tetapi balu ini, walaupun sangat miskin, mendermakan semua nafkahnya.'' 5 Beberapa orang sedang bercakap tentang Rumah Tuhan. Mereka berkata betapa indahnya Rumah Tuhan yang dihias dengan batu yang indah-indah, serta semua barang yang dipersembahkan kepada Allah. Lalu Yesus berkata kepada mereka, 6 "Akan tiba masanya apabila semua yang kamu lihat ini akan dirobohkan. Tidak ada satu batu pun akan tinggal tersusun pada tempatnya!'' 7 Mereka bertanya kepada Yesus, "Guru, bilakah perkara ini akan berlaku? Apakah tanda-tanda yang menunjukkan bahawa masanya sudah tiba?'' 8 Yesus berkata, "Berjaga-jagalah supaya kamu tidak tertipu. Orang akan datang dengan nama-Ku dan berkata, `Akulah dia!' dan `Masanya sudah tiba!' Jangan ikut mereka. 9 Jangan takut apabila kamu mendengar berita tentang peperangan dan pemberontakan. Semua perkara ini mesti berlaku terlebih dahulu, tetapi hal ini tidak bererti bahawa akhir zaman sudah tiba.'' 10 Yesus berkata lagi, "Bangsa yang satu akan berperang melawan bangsa yang lain dan kerajaan yang satu akan menyerang kerajaan yang lain. 11 Di pelbagai tempat akan berlaku gempa bumi yang dahsyat, kebuluran, dan wabak. Akan berlaku juga pelbagai perkara yang menakutkan dan luar biasa di langit. 12 Tetapi sebelum segala perkara ini berlaku, kamu akan ditangkap dan dianiaya. Kamu akan dibawa ke rumah ibadat untuk diadili, lalu dipenjarakan. Kamu akan dihadapkan kepada raja dan penguasa kerana kamu pengikut-Ku. 13 Inilah peluang kamu untuk mengkhabarkan Berita Baik. 14 Bertekadlah bahawa kamu tidak akan khuatir tentang bagaimana kamu harus membela diri. 15 Aku akan memberikan kata-kata dan kebijaksanaan kepada kamu, sehingga tiada seorang musuh pun dapat melawan atau menafikan kata-kata kamu. 16 Kamu akan dikhianati oleh ibu bapa, saudara, sanak keluarga, dan sahabat kamu. Mereka akan membunuh beberapa orang antara kamu. 17 Semua orang akan membenci kamu kerana Aku, 18 tetapi sehelai rambut pun di kepala kamu tidak akan hilang. 19 Hendaklah kamu teguh hati! Dengan jalan ini kamu akan mendapat hidup sejati.'' 20 "Apabila kamu nampak Yerusalem dikepung tentera, kamu akan tahu bahawa kota itu segera akan dimusnahkan. 21 Pada waktu itu orang di Yudea mesti lari ke pergunungan; orang yang di dalam kota mesti meninggalkan kota, dan orang yang di luar kota jangan masuk ke dalam kota. 22 Itulah yang harus kamu lakukan kerana masa itu `Hari Hukuman', apabila semua yang telah tertulis di dalam Alkitab berlaku. 23 Alangkah dahsyatnya masa itu bagi wanita yang mengandung dan ibu yang menyusui bayi! Negeri ini akan mengalami kesusahan yang besar dan Tuhan akan menghukum bangsa ini. 24 Ada orang yang akan dibunuh dengan pedang, ada lagi orang yang akan dibawa sebagai tawanan ke negeri orang, dan bangsa yang tidak mengenal Allah akan menginjak-injak Yerusalem sehingga habis masa yang ditetapkan oleh Tuhan untuk mereka.'' 25 "Kelak tanda-tanda yang luar biasa akan kelihatan pada matahari, bulan, dan bintang. Semua negeri di seluruh bumi akan putus asa dan takut menghadapi deru dan gelora laut. 26 Orang akan pengsan kerana ketakutan sementara menantikan apa yang akan berlaku di seluruh bumi, kerana kuasa di angkasa lepas ditarik daripada peredarannya. 27 Barulah Anak Manusia akan kelihatan datang dikelilingi awan dengan kekuasaan dan kemuliaan yang besar. 28 Apabila perkara-perkara itu mula berlaku, bangkitlah dan dongaklah ke langit, kerana sekejap lagi kamu akan diselamatkan.'' 29 Lalu Yesus menceritakan perumpamaan ini kepada mereka. Dia berkata, "Lihatlah pokok ara dan semua pokok yang lain. 30 Apabila kamu nampak pokok mula berdaun, kamu tahu bahawa musim panas sudah dekat. 31 Demikian juga apabila kamu nampak perkara-perkara ini berlaku, kamu tahu bahawa Allah akan segera memerintah. 32 Ingatlah! Segala perkara ini akan berlaku sebelum orang yang hidup sekarang ini mati semuanya. 33 Langit dan bumi akan lenyap, tetapi firman-Ku kekal selama-lamanya.'' 34 "Berjaga-jagalah! Janganlah kamu asyik berpesta dan minum minuman keras atau khuatir akan kehidupan kamu, sehingga kamu tidak bersedia apabila Hari itu datang dengan tiba-tiba. 35 Hari itu akan datang seperti perangkap bagi semua orang di bumi. 36 Berjaga-jagalah dan berdoalah sentiasa supaya kamu mempunyai kekuatan untuk mengatasi semua perkara yang akan berlaku, lalu kamu dapat menghadap Anak Manusia.'' 37 Setiap hari Yesus mengajar di Rumah Tuhan dan pada petang hari Dia pergi bermalam di Bukit Zaitun. 38 Tiap-tiap pagi semua orang datang ke Rumah Tuhan untuk mendengar ajaran Yesus.

Lukas 22

1 Perayaan Roti Tidak Beragi yang disebut Paska sudah dekat. 2 Para ketua imam dan guru Taurat sedang mencari jalan untuk membunuh Yesus dengan diam-diam, kerana mereka takut akan orang ramai. 3 Kemudian Iblis memasuki Yudas yang disebut Iskariot, seorang daripada dua belas orang pengikut Yesus. 4 Lalu Yudas pergi berunding dengan para ketua imam dan ketua pengawal Rumah Tuhan tentang bagaimana dia boleh menyerahkan Yesus kepada mereka. 5 Mereka gembira dan bersetuju memberikan wang kepadanya. 6 Yudas pun bersetuju dan mula mencari peluang untuk menyerahkan Yesus kepada mereka tanpa diketahui oleh orang ramai. 7 Semasa Perayaan Roti Tidak Beragi, tibalah harinya domba disembelih untuk jamuan Paska. 8 Yesus menyuruh Petrus dan Yohanes, "Pergilah sediakan jamuan Paska untuk kita.'' 9 Mereka bertanya, "Di manakah Guru mahu kami menyiapkannya?'' 10 Yesus berkata, "Apabila kamu masuk ke bandar, kamu akan berjumpa dengan seorang lelaki yang menjunjung buyung air. Ikutilah dia ke rumah yang dimasukinya, 11 lalu berkatalah kepada pemilik rumah itu, `Guru bertanya, di manakah bilik tempat Dia dan pengikut-pengikut-Nya akan makan jamuan Paska?' 12 Tuan rumah itu akan menunjukkan sebuah bilik besar di tingkat atas yang lengkap dengan segala perabotnya. Siapkanlah segala-galanya di situ.'' 13 Mereka pergi dan mendapati semuanya seperti yang dikatakan oleh Yesus, lalu mereka menyediakan jamuan Paska. 14 Apabila tiba waktunya untuk makan jamuan Paska, Yesus makan bersama dengan rasul-rasul itu. 15 Dia berkata kepada mereka, "Aku ingin sekali makan jamuan Paska ini bersama-sama kamu sebelum kematian-Ku! 16 Percayalah, Aku tidak akan memakannya lagi sehingga makna perjamuan ini dinyatakan di Dunia Baru Allah.'' 17 Setelah itu Yesus mengambil sebuah cawan berisi wain. Dia mengucap syukur kepada Allah, lalu berkata, "Ambillah cawan ini, dan bahagikanlah antara kamu sendiri. 18 Ketahuilah, mulai sekarang Aku tidak akan minum wain ini lagi sehingga Allah memerintah dengan sepenuhnya.'' 19 Kemudian Yesus mengambil roti. Setelah Dia mengucap syukur kepada Allah, Dia membahagi roti itu lalu memberikannya kepada mereka sambil berkata, "Inilah tubuh-Ku, yang diberikan untuk kamu. Berbuatlah demikian untuk mengenang Aku.'' 20 Begitu juga setelah makan, Dia memberikan cawan itu kepada mereka sambil berkata, "Cawan wain ini perjanjian Allah yang baru, yang disahkan dengan darah-Ku, darah yang dicurahkan untuk kamu. 21 Tetapi lihatlah! Orang yang mengkhianati Aku ada di sini bersama-sama Aku! 22 Anak Manusia akan mati sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Allah; tetapi malanglah orang yang mengkhianati Dia!'' 23 Lalu mereka mula bertanya sesama sendiri, siapa antara mereka yang akan melakukan perkara itu. 24 Pengikut-pengikut Yesus bertengkar tentang siapa antara mereka yang harus dianggap terbesar. 25 Yesus berkata kepada mereka, "Raja bangsa yang tidak mengenal Allah menindas rakyat; para penguasanya disebut `Pelindung Rakyat'. 26 Tetapi tidak demikian halnya dengan kamu. Sebaliknya, orang yang terbesar antara kamu mesti menjadi seperti yang terkecil dan pemimpin mesti menjadi seperti hamba. 27 Siapakah yang lebih mulia, orang yang duduk makan atau orang yang melayani dia? Tentu orang yang duduk makan. Tetapi Aku ada antara kamu sebagai orang yang melayan. 28 Kamu telah bersama-sama Aku dalam segala kesusahan-Ku. 29 Sebagaimana Bapa-Ku telah memberikan hak kepada-Ku untuk memerintah, Aku juga akan memberikan hak itu kepada kamu. 30 Kamu akan makan minum dengan Aku dan memerintah bersama-sama Aku pada waktu Aku menjadi raja. Kamu akan duduk di atas takhta untuk memerintah dua belas suku Israel.'' 31 "Simon, Simon, dengarlah! Iblis telah mendapat kebenaran untuk menguji kamu semua, seperti peladang memisahkan gandum daripada sekam. 32 Tetapi Aku telah berdoa untukmu supaya imanmu tidak goyah. Apabila engkau balik kepada-Ku, engkau mesti menguatkan saudara-saudaramu.'' 33 Petrus menjawab, "Ya Tuhan, aku bersedia dipenjarakan dan mati bersama-sama Tuhan!'' 34 Yesus berkata, "Ketahuilah, Petrus, sebelum ayam berkokok hari ini, tiga kali engkau akan berkata engkau tidak mengenal Aku.'' 35 Kemudian Yesus bertanya kepada pengikut-pengikut-Nya, "Apabila Aku mengutus kamu dahulu dengan tidak membawa dompet, beg, atau kasut, adakah kamu kekurangan apa-apa?'' "Tidak!'' jawab mereka. 36 "Tetapi sekarang,'' kata Yesus, "orang yang mempunyai dompet atau beg, mesti membawanya; dan orang yang tidak mempunyai pedang, mesti menjual jubah untuk membeli pedang. 37 Ketahuilah, ayat Alkitab ini mesti berlaku kepada diri-Ku: `Dia dianggap sebagai penjahat'. Apa yang tertulis tentang diri-Ku sedang berlaku sekarang ini.'' 38 Semua pengikut-Nya berkata, "Tuhan, lihatlah, di sini ada dua bilah pedang.'' Yesus menjawab, "Cukuplah!'' 39 Yesus meninggalkan kota itu. Seperti biasa Dia pergi ke Bukit Zaitun dan pengikut-pengikut-Nya menyertai Dia. 40 Apabila Yesus tiba di situ, Dia berkata kepada mereka, "Berdoalah agar kamu tidak berdosa ketika menghadapi cubaan.'' 41 Kemudian Dia pergi lebih jauh dari tempat mereka, kira-kira sejauh lemparan batu. 42 Dia berlutut dan berdoa, "Ya Bapa, jika boleh jauhkanlah cawan penderitaan ini daripada-Ku. Tetapi janganlah turut kehendak-Ku, melainkan kehendak-Mu berlakulah.'' 43 Malaikat dari syurga datang kepada-Nya dan menguatkan Dia. 44 Kerana berat penderitaan-Nya, Yesus semakin tekun berdoa, sehingga peluh-Nya seperti darah menitik ke tanah. 45 Selepas berdoa, Yesus balik kepada pengikut-pengikut-Nya. Dia mendapati mereka tidur kerana penat dan terlalu sedih. 46 Yesus berkata kepada mereka, "Mengapa kamu tidur? Bangunlah! Berdoalah supaya kamu tidak berdosa ketika menghadapi cubaan.'' 47 Sementara Yesus masih berkata-kata, datanglah sekumpulan orang. Mereka dipimpin oleh Yudas, seorang daripada dua belas orang pengikut Yesus. Yudas mendekati Yesus untuk mencium Dia. 48 Tetapi Yesus berkata kepadanya, "Yudas, adakah dengan ciuman, kamu mengkhianati Anak Manusia?'' 49 Apabila pengikut Yesus yang di situ nampak apa yang akan berlaku, mereka berkata, "Tuhan, biarlah kami menyerang dengan pedang!'' 50 Seorang antara mereka memukul hamba Imam Agung serta mengerat telinga kanannya. 51 Yesus berkata, "Sudahlah!'' Lalu Dia menjamah telinga orang itu dan menyembuhkannya. 52 Setelah itu Yesus berkata kepada semua ketua imam, ketua pengawal Rumah Tuhan, dan pemimpin masyarakat Yahudi yang datang ke situ untuk menangkap Dia, "Adakah Aku ini penjahat, sehingga kamu mesti datang dengan membawa pedang dan belantan untuk menangkap Aku? 53 Tiap-tiap hari Aku bersama-sama kamu di Rumah Tuhan, tetapi kamu tidak menangkap Aku. Tetapi inilah masanya kamu bertindak, kerana kuasa kegelapan sedang memerintah.'' 54 Mereka menangkap Yesus dan membawa Dia ke rumah Imam Agung. Petrus mengikut dari jauh. 55 Api unggun telah dinyalakan di tengah-tengah halaman rumah itu dan Petrus pergi duduk dengan orang lain yang duduk di sekelilingnya. 56 Apabila salah seorang hamba wanita nampak Petrus duduk dekat api unggun, dia mengamati Petrus lalu berkata, "Orang ini juga bersama-sama Yesus!'' 57 Tetapi Petrus menafikannya, "Aku tidak mengenal orang itu!'' 58 Sejurus kemudian, seorang lagi nampak Petrus dan berkata, "Kamu juga seorang daripada mereka!'' Tetapi Petrus menjawab, "Bukan!'' 59 Kira-kira sejam kemudian, seorang lain berulang kali berkata, "Pasti orang ini pengikut Yesus, kerana dia juga orang Galilea!'' 60 Tetapi Petrus menjawab, "Aku tidak faham apa yang kamu katakan!'' Seketika itu juga, sedang Petrus berkata-kata, ayam berkokok. 61 Tuhan pun berpaling dan memandang Petrus. Petrus teringat akan apa yang dikatakan oleh Tuhan kepadanya, "Sebelum ayam berkokok hari ini, tiga kali engkau akan berkata engkau tidak mengenal Aku.'' 62 Petrus keluar dari situ lalu menangis tersedu-sedu. 63 Semua orang yang mengawal Yesus mempermainkan dan memukul Dia. 64 Mereka menutupi mata-Nya lalu bertanya kepada-Nya, "Tekalah, siapakah yang memukul kamu?'' 65 Banyak lagi hinaan lain yang dilemparkan oleh mereka kepada Yesus. 66 Pada pagi hari, para pemimpin masyarakat Yahudi, ketua imam, dan guru Taurat bermesyuarat, lalu Yesus dibawa ke hadapan Majlis Agama. 67 Mereka berkata, "Katakanlah, benarkah kamu ini Penyelamat yang diutus oleh Allah?'' Yesus menjawab, "Jika Aku memberitahu kamu, kamu pun tidak mahu percaya. 68 Jika Aku bertanya apa-apa, kamu tidak mahu menjawab. 69 Tetapi mulai sekarang, Anak Manusia akan duduk di sebelah kanan Allah Yang Maha Kuasa.'' 70 Mereka semua bertanya, "Adakah kamu ini Anak Allah?'' Yesus menjawab, "Begitulah yang kamu katakan.'' 71 Mereka berkata, "Kita tidak perlu saksi lagi! Kita telah mendengar apa yang dikatakannya!''

Lukas 23

1 Semua anggota majlis bangkit, lalu membawa Yesus ke hadapan Pilatus. 2 Di situ mereka mula menuduh Dia dan berkata, "Kami dapati orang ini menyesatkan rakyat. Dia menghasut orang ramai supaya tidak membayar cukai kepada Kaisar dan dia mengaku diri sebagai Kristus, seorang raja.'' 3 Pilatus bertanya kepada Yesus, "Betulkah kamu raja orang Yahudi?'' Yesus menjawab, "Begitulah yang tuan katakan.'' 4 Kemudian Pilatus berkata kepada para ketua imam dan orang ramai, "Aku tidak mendapati kesalahan apa-apa pun sehingga orang ini patut dihukum.'' 5 Tetapi mereka berulang kali berkata, "Dengan ajarannya, orang ini menghasut orang di seluruh Yudea supaya memberontak; dia memulakannya di Galilea dan sekarang sudah sampai di sini pula.'' 6 Ketika mendengar hal itu, Pilatus bertanya, "Adakah orang ini orang Galilea?'' 7 Apabila Pilatus mengetahui bahawa Yesus berasal dari daerah yang diperintah oleh Herodes, dia menyuruh orang menghantar Yesus kepada Herodes. Ketika itu, Herodes juga di Yerusalem. 8 Herodes sangat gembira ketika nampak Yesus, kerana sudah lama dia mendengar perihal Yesus dan ingin melihat dia. Herodes berharap dapat menyaksikan Yesus melakukan mukjizat. 9 Oleh itu Herodes mengajukan banyak pertanyaan kepada Yesus, tetapi Yesus tidak menjawab sepatah pun. 10 Semua ketua imam dan guru Taurat yang di situ maju ke hadapan dan mendakwa Yesus dengan berbagai-bagai tuduhan yang berat. 11 Herodes dan askar-askarnya mempermainkan serta menghina Yesus. Mereka mengenakan jubah yang indah pada Yesus, lalu mengembalikan Yesus kepada Pilatus. 12 Mulai hari itu Herodes dan Pilatus bersahabat; dahulunya mereka bermusuhan. 13 Pilatus mengumpulkan para ketua imam, pemimpin, dan orang ramai. 14 Dia berkata kepada mereka, "Kamu membawa orang ini kepadaku dan berkata bahawa dia menyesatkan rakyat. Aku sudah menyoal dia di sini di hadapan kamu, dan tidak mendapati kesalahan apa-apa pun sebagaimana yang kamu tuduhkan kepadanya. 15 Herodes pun berpendapat demikian, kerana dia menghantar Yesus kembali kepada kami. Orang ini tidak melakukan sesuatu pun sehingga dia patut dijatuhi hukuman mati. 16 Oleh itu aku menyuruh orang mencambuk dia, lalu membebaskannya.'' 17 Pada tiap-tiap perayaan Paska, Pilatus harus membebaskan seorang tahanan untuk rakyat. 18 Semua orang di situ berseru, "Bunuhlah dia! Bebaskan Barabas untuk kami!'' ( 19 Barabas dipenjarakan kerana terbabit dalam pemberontakan yang berlaku di kota dan kerana pembunuhan.) 20 Pilatus hendak membebaskan Yesus. Oleh itu Pilatus berseru lagi kepada orang ramai. 21 Tetapi mereka berseru, "Salibkan dia! Salibkan dia!'' 22 Lalu untuk kali ketiga Pilatus berkata kepada mereka, "Tetapi apakah kesalahannya? Aku tidak mendapati kesalahan apa-apa pun pada orang ini sehingga dia patut dijatuhi hukuman mati! Aku akan menyuruh orang mencambuk dia, kemudian membebaskannya.'' 23 Tetapi mereka terus-menerus berseru dengan sekuat tenaga bahawa Yesus harus disalibkan, dan akhirnya mereka berjaya. 24 Pilatus menjatuhkan hukuman mati kepada Yesus sesuai dengan kehendak orang ramai. 25 Kemudian Pilatus membebaskan orang yang dikehendaki mereka, orang yang dipenjarakan kerana terbabit dalam pemberontakan dan pembunuhan. Setelah itu Pilatus menyerahkan Yesus kepada mereka untuk diperlakukan dengan sesuka hati. 26 Askar-askar itu membawa Yesus pergi, lalu di tengah jalan mereka berjumpa dengan seorang bernama Simon, yang berasal dari Kirene. Dia sedang memasuki kota. Askar-askar itu menangkap dia, lalu memaksa dia memikul salib Yesus dan berjalan di belakang Yesus. 27 Banyak orang mengikut Yesus dan antara mereka ada beberapa orang wanita yang menangisi dan meratapi Yesus. 28 Yesus berpaling kepada mereka dan berkata, "Wanita-wanita Yerusalem, janganlah tangisi Aku. Tangisilah diri kamu sendiri dan anak-anak kamu. 29 Masanya akan tiba apabila orang berkata, `Alangkah bertuahnya wanita yang tidak pernah mengandung, yang tidak pernah melahirkan dan menyusukan bayi!' 30 Itulah masanya apabila orang akan berkata kepada gunung, `Timpalah kami!' dan kepada bukit, `Sembunyikanlah kami!' 31 Jika demikian yang dilakukan mereka terhadap kayu yang masih hijau, apa pula yang akan dilakukan mereka terhadap kayu yang kering?'' 32 Ada pula dua orang penjahat yang akan disalibkan bersama-sama Yesus. 33 Apabila tiba di tempat yang disebut "Tengkorak,'' mereka menyalibkan Yesus dan kedua-dua orang penjahat itu -- seorang di sebelah kanan Yesus dan seorang lagi di sebelah kiri-Nya. 34 Yesus berkata, "Ya Bapa, ampunilah mereka! Mereka tidak mengetahui apa yang dilakukan oleh mereka.'' Pakaian Yesus dibahagi-bahagikan antara mereka sendiri dengan membuang undi. 35 Semua orang yang berdiri di situ memandang sahaja, tetapi para pemimpin orang Yahudi mengejek Dia dengan berkata, "Dia telah menyelamatkan orang lain. Jika dia benar-benar Penyelamat yang dipilih oleh Allah, biarlah dia menyelamatkan dirinya sendiri!'' 36 Askar-askar juga mengejek dia. Mereka mendekati Yesus lalu memberikan wain masam kepada-Nya. 37 Mereka berkata, "Jika kamu raja orang Yahudi, selamatkanlah dirimu sendiri!'' 38 Pada sebelah atas kayu salib Yesus, tertulis kata-kata: "Inilah Raja Orang Yahudi.'' 39 Salah seorang penjahat yang disalibkan di situ menghina Yesus. Dia berkata, "Bukankah kamu Penyelamat yang diutus oleh Allah? Selamatkanlah dirimu sendiri dan juga kami!'' 40 Tetapi penjahat yang seorang lagi menegur dia dan berkata, "Tidakkah kamu takut akan Allah? Kita semua sudah dihukum mati. 41 Hukuman kita berdua memang setimpal dengan perbuatan kita, tetapi orang ini tidak bersalah!'' 42 Lalu dia berkata kepada Yesus, "Ya Yesus, ingatlah akan saya, apabila Tuan menjadi Raja!'' 43 Yesus berkata kepadanya, "Percayalah, pada hari ini kamu akan bersama-sama Aku di Firdaus.'' 44 Kira-kira pukul dua belas tengah hari, matahari tidak bersinar dan seluruh negeri itu diliputi kegelapan sehingga pukul tiga petang. 45 Pada waktu itu tirai yang tergantung di dalam Rumah Tuhan koyak menjadi dua helai. 46 Lalu Yesus berseru dengan suara lantang, "Ya Bapa, Aku serahkan diri-Ku ke dalam tangan-Mu!'' Setelah berkata demikian, Dia pun meninggal. 47 Ketua askar nampak apa yang telah berlaku. Dia memuji Allah dan berkata, "Memang Dia tidak bersalah!'' 48 Apabila semua orang yang berkumpul di situ melihat apa yang telah berlaku, mereka semua pulang ke rumah sambil menebah dada kerana menyesal. 49 Semua sahabat Yesus, termasuk wanita-wanita yang telah mengikut Yesus dari Galilea, berdiri dari jauh dan menyaksikan semua perkara itu. 50 Ada seorang bernama Yusuf; dia berasal dari kota Arimatea di negeri Yudea. Dia seorang baik yang dihormati orang. Dia sedang menantikan masanya Allah mula memerintah. Meskipun dia anggota Majlis Agama, dia tidak bersetuju dengan keputusan dan tindakan Majlis itu. 52 Dia menghadap Pilatus dan meminta jenazah Yesus. 53 Dia menurunkan jenazah Yesus dari salib, lalu membalutnya dengan kain linen. Setelah itu dia meletakkan jenazah Yesus di dalam kubur yang dipahat pada sebuah bukit batu. Kubur itu belum pernah digunakan. 54 Hari itu hari Jumaat dan hari Sabat hampir bermula. 55 Wanita-wanita dari Galilea yang datang dengan Yesus, mengikuti Yusuf. Mereka nampak kubur itu dan melihat bagaimana jenazah Yesus diletakkan di dalamnya. 56 Setelah itu mereka pulang, lalu menyediakan ramuan dan minyak wangi untuk jenazah Yesus. Pada hari Sabat mereka berhenti bekerja untuk mentaati perintah Taurat.

Lukas 24

1 Pada hari Ahad, ketika hari masih subuh, wanita-wanita itu pergi ke kubur dan membawa ramuan yang sudah disediakan oleh mereka. 2 Mereka mendapati batu penutup pintu kubur sudah digulingkan. 3 Lalu mereka masuk ke dalam kubur itu, tetapi tidak mendapati jenazah Tuhan Yesus. 4 Sementara mereka berdiri di situ dan kehairanan memikirkan hal ini, tiba-tiba dua orang lelaki yang mengenakan pakaian yang berkilau-kilauan berdiri di sisi mereka. 5 Kerana ketakutan, wanita-wanita itu bersujud. Lalu kedua-dua orang itu berkata kepada mereka, "Mengapakah kamu mencari orang hidup antara orang mati? 6 Dia tidak ada di sini; Dia sudah bangkit! Ingatlah akan apa yang telah dikatakan-Nya kepada kamu sewaktu Dia di Galilea: 7 Anak Manusia mesti diserahkan kepada orang berdosa, lalu disalibkan, dan bangkit pada hari ketiga.' '' 8 Barulah semua wanita itu ingat akan kata-kata Yesus. 9 Setelah mereka balik dari kubur itu, mereka memberitahukan segala perkara itu kepada sebelas orang rasul dan semua pengikut yang lain. 10 Kumpulan wanita itu terdiri daripada Maria Magdalena, Yohana, dan Maria ibu Yakobus. Bersama dengan wanita-wanita lain, mereka memberitahukan perkara itu kepada rasul-rasul. 11 Tetapi rasul-rasul itu menyangka wanita-wanita itu mengatakan yang bukan-bukan. Mereka tidak percaya akan cerita itu. 12 Tetapi Petrus bangun lalu lari ke kubur. Dia membongkok, lalu menengok ke dalam dan nampak hanya kain kafan di situ. Dia pulang ke rumah dengan kehairanan kerana memikirkan apa yang telah berlaku. 13 Pada hari itu juga, dua orang daripada pengikut Yesus sedang pergi ke pekan bernama Emaus, kira-kira sebelas kilometer jauhnya dari Yerusalem. 14 Mereka berbincang tentang peristiwa yang sudah berlaku. 15 Sedang mereka bercakap dan bertukar pendapat, Yesus datang menghampiri mereka dan berjalan bersama-sama mereka. 16 Mereka nampak Yesus, tetapi entah bagaimana mereka tidak mengenal Dia. 17 Yesus berkata kepada mereka, "Apakah yang kamu percakapkan dalam perjalanan kamu ini?'' Mereka berhenti dengan muka yang sedih. 18 Lalu seorang daripada mereka yang bernama Kleopas bertanya kepada Yesus, "Adakah tuan satu-satunya orang di Yerusalem yang tidak mengetahui apa yang telah berlaku akhir-akhir ini?'' 19 "Apakah yang telah berlaku?'' tanya Yesus. "Perkara-perkara yang berlaku kepada Yesus, orang Nasaret itu,'' jawab mereka. "Dia seorang nabi. Di sisi Allah dan pada pandangan semua orang, Dia berkuasa kerana kata-kata-Nya mahupun perbuatan-Nya. 20 Para ketua imam dan penguasa bangsa kita menyerahkan Dia supaya dihukum mati, lalu mereka menyalibkan Dia! 21 Kami berharap bahawa Dialah yang akan membebaskan Israel! Lagi pula hari ini hari ketiga sejak kejadian itu. 22 Beberapa orang wanita daripada golongan kami memeranjatkan kami. Pada waktu fajar mereka pergi ke kubur, 23 tetapi tidak mendapati jenazah Yesus. Lalu mereka kembali dan berkata bahawa mereka nampak malaikat-malaikat yang memberitahukan bahawa Yesus hidup. 24 Beberapa orang di kalangan kami pergi ke kubur dan mendapati keadaannya seperti apa yang dikatakan oleh wanita-wanita itu, tetapi mereka tidak nampak Yesus.'' 25 Lalu Yesus berkata kepada mereka, "Alangkah bodohnya kamu! Alangkah lambatnya kamu mempercayai semua yang dikatakan oleh nabi-nabi! 26 Bukankah Penyelamat yang diutus oleh Allah harus mengalami penderitaan itu bagi mencapai kemuliaan-Nya?'' 27 Kemudian Yesus menerangkan apa yang tertulis tentang diri-Nya di dalam seluruh Alkitab kepada mereka, mulai dari Kitab-Kitab Musa dan tulisan para nabi. 28 Mereka hampir tiba di pekan yang ditujui. Yesus kelihatannya seolah-olah hendak meneruskan perjalanan. 29 Tetapi mereka menjemput Dia bermalam. Mereka berkata, "Tinggallah dengan kami. Hari hampir malam, lagi pun sudah mulai gelap.'' Oleh itu Yesus masuk ke rumah untuk bermalam dengan mereka. 30 Dia makan bersama-sama mereka. Kemudian Dia mengambil roti, mengucap syukur kepada Allah, lalu membahagi roti itu, dan memberikannya kepada mereka. 31 Maka sedarlah mereka bahawa orang itu Yesus. Tetapi Yesus lenyap daripada pandangan mereka. 32 Mereka bercakap sesama sendiri, "Tidakkah hati kita berasa seperti meluap, ketika Dia berkata-kata kepada kita di tengah jalan dan menerangkan isi Alkitab kepada kita?'' 33 Mereka terus bangkit lalu balik ke Yerusalem. Di situ mereka mendapati sebelas orang rasul sedang berkumpul dengan pengikut yang lain. 34 Mereka berkata, "Memang benar Tuhan sudah bangkit! Dia sudah menampakkan diri kepada Simon!'' 35 Lalu kedua-dua orang pengikut itu menerangkan apa yang berlaku di tengah jalan dan bagaimana mereka mengenali Tuhan pada masa Dia membahagi roti. 36 Sedang mereka bercerita tentang perkara itu, tiba-tiba Yesus berdiri di tengah-tengah mereka dan berkata, "Sejahteralah kamu!'' 37 Mereka terkejut dan ketakutan, kerana menyangka mereka nampak hantu. 38 Tetapi Yesus berkata kepada mereka, "Mengapa kamu takut? Mengapa hati kamu ragu-ragu? 39 Lihatlah tangan-Ku dan kaki-Ku. Inilah Aku! Jamahlah Aku, maka kamu akan tahu bahawa Aku bukan hantu kerana hantu tidak mempunyai daging atau tulang, sedangkan Aku mempunyainya.'' 40 Yesus berkata demikian sambil menunjukkan tangan dan kaki-Nya kepada mereka. 41 Mereka masih tidak dapat percaya, kerana terlalu gembira dan hairan. Yesus bertanya kepada mereka, "Adakah kamu mempunyai makanan di sini?'' 42 Mereka memberikan sepotong ikan yang sudah dimasak kepada-Nya. 43 Yesus mengambil ikan itu dan makan di hadapan mereka. 44 Kemudian Dia berkata kepada mereka, "Inilah perkara-perkara yang telah Aku beritahu kamu tatkala Aku masih bersama-sama kamu: Setiap perkara yang tertulis tentang diri-Ku di dalam Taurat Musa, Kitab Nabi-Nabi dan Mazmur mesti berlaku.'' 45 Kemudian Yesus membuka fikiran mereka supaya memahami maksud Alkitab. 46 Yesus berkata kepada mereka, "Sudah tertulis bahawa Penyelamat yang diutus oleh Allah mesti mengalami penderitaan dan mesti bangkit daripada kematian pada hari ketiga. 47 Demi nama-Nya, perkhabaran bahawa manusia mesti bertaubat daripada dosa dan bahawa Allah akan mengampunkan dosa, mesti diisytiharkan kepada semua bangsa mulai dari Yerusalem. 48 Kamulah saksi semua perkara ini. 49 Aku akan mengirim apa yang telah dijanjikan oleh Bapa kepada kamu. Tetapi kamu mesti menunggu di kota ini sehingga kuasa daripada Allah turun kepada kamu.'' 50 Kemudian Yesus membawa mereka ke luar kota sehingga ke Betania. Di situ Dia mengangkat tangan-Nya lalu memberkati mereka. 51 Sementara Yesus memberkati mereka, Dia terangkat ke syurga, lalu meninggalkan mereka. 52 Mereka sujud menyembah Dia, lalu balik ke Yerusalem dengan penuh kegembiraan. 53 Mereka sentiasa di Rumah Tuhan dan memuji Allah.

Yohanes 1

1 Sebelum dunia ini diciptakan, Firman sudah ada. Firman itu bersama-sama Allah, dan Firman itu sama dengan Allah. 2 Sejak permulaan, Firman itu bersama-sama Allah. 3 Allah menjadikan segala sesuatu melalui Dia. Tiada sesuatu pun di alam semesta ini yang dijadikan tanpa Dia. 4 Firman itu sumber hidup, dan hidup itu memberikan cahaya kepada manusia. 5 Cahaya ini bersinar dalam kegelapan, dan kegelapan tidak dapat memadamkannya. 6 Seorang bernama Yohanes diutus oleh Allah. 7 Yohanes datang untuk memberitahu orang tentang cahaya itu, supaya semua orang mendengar dan percaya kepada perkhabarannya. 8 Dia sendiri bukan cahaya itu; dia datang untuk mengkhabarkan cahaya itu. 9 Inilah cahaya sejati, yang datang ke dunia untuk menerangi umat manusia. 10 Firman itu ada di dunia. Walaupun Allah menjadikan dunia ini melalui Dia, orang di dunia ini tidak mengenal Dia. 11 Dia datang ke negeri-Nya sendiri, tetapi bangsa-Nya tidak menyambut Dia. 12 Tetapi kepada mereka yang menyambut Dia dan percaya kepada-Nya, mereka diberikan-Nya hak menjadi anak Allah. 13 Mereka menjadi anak Allah bukan dengan jalan dilahirkan oleh manusia, tetapi Allah sendiri menjadikan mereka anak-anak-Nya. 14 Firman itu sudah menjadi manusia dan tinggal antara kita. Kita nampak kemuliaan-Nya, kemuliaan yang diterima-Nya sebagai anak tunggal Bapa. Melalui Dia, kasih Allah dan Allah sendiri ditunjukkan kepada kita. 15 Yohanes memberikan kesaksian tentang Dia. Yohanes berseru, "Inilah Dia yang aku katakan akan datang kemudian daripadaku, tetapi Dia lebih besar daripadaku, kerana Dia sudah ada sebelum aku dilahirkan.'' 16 Dia penuh kasih; Dia terus-menerus memberkati kita semua. 17 Allah memberikan Taurat melalui Musa, tetapi melalui Yesus Kristus, Allah menyatakan kasih-Nya dan kesetiaan-Nya kepada kita. 18 Tidak seorang pun pernah melihat Allah. Anak tunggal Bapa yang sama dengan Bapa dan di sisi Bapa, sudah menunjukkan Allah kepada kita. 19 Para penguasa orang Yahudi di Yerusalem mengutus imam-imam dan beberapa orang Lewi kepada Yohanes untuk bertanya kepadanya, "Siapakah kamu?'' 20 Yohanes mengaku dengan terus terang, "Aku bukan Penyelamat yang diutus oleh Allah.'' 21 "Jika demikian, siapakah kamu?'' tanya mereka. "Adakah kamu Elia?'' "Bukan,'' jawab Yohanes. "Adakah kamu Nabi itu?'' tanya mereka lagi. "Bukan,'' jawabnya. 22 "Katakanlah siapa kamu ini,'' kata mereka, "kerana kami mesti memberikan jawapan kepada mereka yang mengutus kami. Apa katamu tentang dirimu sendiri?'' 23 Yohanes menjawab dengan memetik ayat daripada Kitab Nabi Yesaya, "Aku ini: `Seorang yang berseru di padang gurun: Luruskanlah jalan bagi Tuhan!' '' 24 Mereka yang diutus oleh orang Farisi, 25 kemudian bertanya kepada Yohanes, "Jika kamu bukan Penyelamat yang diutus oleh Allah, atau Elia, atau Nabi itu, mengapa kamu membaptis orang?'' 26 Yohanes menjawab, "Aku membaptis dengan air. Tetapi Dia yang tidak kamu kenal ada di kalangan kamu. 27 Dia datang kemudian daripadaku, tetapi aku tidak layak mengurai tali kasut-Nya pun.'' 28 Semua ini berlaku di Betania, di sebelah timur Sungai Yordan tempat Yohanes membaptis orang. 29 Keesokan harinya Yohanes nampak Yesus datang kepadanya. Lalu Yohanes berkata, "Lihatlah Anak Domba Allah yang menghapus dosa dunia! 30 Dialah yang aku katakan akan datang kemudian daripada aku, tetapi yang lebih besar daripadaku kerana Dia sudah ada sebelum aku dilahirkan. 31 Dahulu aku tidak tahu siapa Dia itu. Tetapi aku datang membaptis orang dengan air supaya bangsa Israel mengenal Dia.'' 32 Yohanes memberikan kesaksian ini, "Dahulu aku belum mengetahui siapa Dia itu. Tetapi Allah yang menyuruh aku membaptis orang dengan air berfirman kepadaku, `Engkau akan nampak Roh Allah turun lalu tinggal di atas seseorang. Dialah yang akan membaptis orang dengan Roh Allah.' Aku nampak Roh Allah turun seperti burung merpati dari langit lalu tinggal di atas-Nya. 34 Aku sudah nampak kejadian ini,'' kata Yohanes, "dan aku memberitahu kamu bahawa Dialah Anak Allah.'' 35 Keesokan harinya Yohanes di tempat itu lagi dengan dua orang pengikutnya. 36 Ketika dia nampak Yesus lalu di situ, dia berkata, "Lihatlah Anak Domba Allah!'' 37 Kedua-dua orang pengikut itu mendengar kata-kata Yohanes lalu mengikuti Yesus. 38 Yesus berpaling dan nampak mereka sedang mengikuti Dia. Lalu Yesus bertanya, "Apa yang kamu cari?'' Mereka menjawab, "Rabbi, di manakah rabbi tinggal?'' (Dalam bahasa Ibrani `rabbi' bermakna `guru.') 39 "Marilah lihat,'' kata Yesus. (Masa itu kira-kira pukul empat petang.) Mereka pun mengikut Dia dan melihat tempat Yesus tinggal. Lalu mereka tinggal bersama-sama Dia pada hari itu. 40 Seorang daripada dua orang yang mendengar kata-kata Yohanes lalu pergi mengikut Yesus, ialah Andreas saudara Simon Petrus. 41 Dengan segera Andreas mencari Simon, saudaranya dan berkata kepadanya, "Kami sudah berjumpa dengan Mesias!'' ('Mesias' sama dengan `Kristus'). 42 Kemudian Andreas membawa Simon kepada Yesus. Yesus memandang dia lalu berkata, "Kamu Simon anak Yohanes, tetapi kamu akan disebut Kefas.'' (Kefas sama dengan Petrus dan bermakna: bukit batu.) 43 Keesokan harinya Yesus mengambil keputusan untuk pergi ke Galilea. Dia berjumpa dengan Filipus, lalu berkata kepadanya, "Ikutlah Aku!'' ( 44 Filipus berasal dari Betsaida, kota tempat Andreas dan Petrus tinggal.) 45 Kemudian Filipus mencari Natanael dan berkata kepadanya, "Kami sudah berjumpa dengan orang yang disebut oleh Musa di dalam Taurat, dan yang dituliskan oleh nabi-nabi. Dia Yesus anak Yusuf dari Nasaret.'' 46 Tetapi Natanael berkata, "Bolehkah sesuatu yang baik datang dari Nasaret?'' "Marilah lihat,'' jawab Filipus. 47 Apabila Yesus nampak Natanael datang kepada-Nya, Dia berkata tentang Natanael, "Inilah orang Israel sejati; tiada kepalsuan padanya!'' 48 Natanael bertanya kepada Yesus, "Bagaimana tuan mengenal saya?'' Yesus menjawab, "Sebelum Filipus memanggil kamu, Aku telah nampak kamu di bawah pokok ara itu.'' 49 Natanael berkata, "Guru, Guru Anak Allah! Guru Raja bangsa Israel!'' 50 Yesus berkata pula, "Adakah kamu percaya kerana Aku berkata Aku nampak kamu di bawah pokok ara itu? Kamu akan melihat perkara-perkara yang jauh lebih besar daripada hal ini!'' 51 Lalu Yesus berkata kepada mereka, "Percayalah, kamu akan melihat langit terbuka, dan malaikat-malaikat Allah naik turun pada Anak Manusia.''

Yohanes 2

1 Dua hari kemudian, ada majlis perkahwinan di kota Kana di negeri Galilea. Ibu Yesus di sana. 2 Yesus dan pengikut-pengikut-Nya juga dijemput ke majlis tersebut. 3 Apabila wain sudah habis, ibu Yesus berkata kepada Yesus, "Mereka kehabisan wain.'' 4 Yesus menjawab, "Puan, janganlah suruh Aku. Saat-Ku belum tiba.'' 5 Kemudian ibu Yesus berkata kepada pelayan-pelayan di situ, "Lakukan apa sahaja yang dikatakan-Nya kepada kamu.'' 6 Orang Yahudi mempunyai adat pembasuhan. Di situ ada enam buah tempayan untuk keperluan itu dan setiap tempayan isinya kira-kira seratus liter air. 7 Yesus berkata kepada pelayan-pelayan itu, "Isilah tempayan-tempayan ini dengan air.'' Mereka mengisi semua tempayan itu sehingga penuh. 8 Lalu Yesus berkata kepada mereka, "Sekarang ambillah sedikit air itu dan hidangkannya kepada ketua majlis.'' Mereka membawa air itu kepada ketua majlis. 9 Ketua majlis itu mengecap air yang sudah berubah menjadi wain. Dia tidak tahu dari mana datangnya wain itu. (Hanya pelayan-pelayan yang menuang air itu yang mengetahuinya.) Oleh itu ketua majlis memanggil pengantin lelaki, 10 lalu berkata kepadanya, "Biasanya orang menghidangkan wain terbaik terlebih dahulu, lalu apabila para tetamu sudah puas minum barulah wain biasa dihidangkan. Tetapi kamu menyimpan wain terbaik sehingga sekarang!'' 11 Itulah mukjizat pertama yang dilakukan oleh Yesus di Kana di negeri Galilea. Dia menyatakan kemuliaan-Nya dan pengikut-pengikut-Nya percaya kepada-Nya. 12 Selepas itu Yesus, ibu-Nya, saudara-saudara-Nya, dan pengikut-pengikut-Nya pergi ke Kapernaum. Mereka tinggal di sana selama beberapa hari. 13 Apabila sudah hampir Perayaan Paska orang Yahudi, Yesus pergi ke Yerusalem. 14 Di dalam Rumah Tuhan, Dia menjumpai orang menjual lembu, domba, dan burung merpati; penukar wang pun berniaga di situ. 15 Yesus membuat cemeti daripada tali, lalu mengusir semua orang dan binatang itu keluar dari Rumah Tuhan, baik domba mahupun lembu. Dia menunggangbalikkan meja penukar wang sehingga wang mereka berhamburan. 16 Dia berkata kepada penjual burung merpati, "Angkat semuanya dari sini. Jangan jadikan rumah Bapa-Ku tempat berniaga!'' 17 Pengikut-pengikut-Nya lalu teringat akan ayat Alkitab yang mengatakan, "Kasih-Ku terhadap rumah-Mu, ya Allah, berkobar-kobar seperti api!'' 18 Para penguasa Yahudi bertanya kepada Yesus, "Mukjizat apakah yang dapat kamu lakukan untuk membuktikan bahawa kamu berhak bertindak seperti ini?'' 19 Yesus menjawab, "Runtuhkanlah Rumah Tuhan ini, lalu dalam tiga hari Aku akan membinanya lagi.'' 20 "Engkau mahu membinanya lagi dalam tiga hari?'' tanya mereka. "Empat puluh enam tahun sudah diperlukan untuk membina Rumah Tuhan ini!'' 21 Sebenarnya Rumah Tuhan yang dimaksudkan oleh Yesus itu tubuh-Nya sendiri. 22 Oleh itu ketika Yesus dibangkitkan daripada kematian, pengikut-pengikut-Nya teringat bahawa Dia pernah mengatakan demikian. Lalu percayalah mereka kepada apa yang tertulis di dalam Alkitab dan kepada apa yang dikatakan oleh Yesus. 23 Sementara Yesus di Yerusalem pada masa Perayaan Paska, banyak orang percaya kepada-Nya kerana mukjizat-mukjizat yang dilakukan-Nya. 24 Tetapi Yesus tidak mempercayakan diri-Nya kepada mereka, kerana Dia mengetahui hati manusia. 25 Tidak perlu orang memberitahu Dia tentang sesiapa pun, kerana Dia mengetahui isi hati manusia.

Yohanes 3

1 Ada seorang pemimpin Yahudi bernama Nikodemus; dia daripada golongan Farisi. 2 Pada suatu malam dia datang kepada Yesus lalu berkata kepada-Nya, "Guru, kami tahu bahawa guru diutus oleh Allah untuk mengajar kami. Tidak seorang pun dapat melakukan mukjizat seperti yang guru lakukan, kecuali Allah menyertai dia.'' 3 Yesus menjawab, "Percayalah, tidak seorang pun dapat menikmati Pemerintahan Allah kecuali dia dilahirkan semula.'' 4 Nikodemus bertanya, "Bagaimanakah seorang dewasa dapat dilahirkan semula? Tidak mungkin dia masuk semula ke rahim ibunya lalu dilahirkan untuk kali kedua!'' 5 Yesus menjawab, "Apa yang Aku katakan ini benar: Tidak mungkin seorang pun menikmati Pemerintahan Allah, kecuali dia dilahirkan daripada air dan daripada Roh Allah. 6 Secara jasmani manusia dilahirkan oleh manusia, tetapi secara rohani manusia dilahirkan oleh Roh Allah. 7 Janganlah hairan kerana Aku berkata kepadamu bahawa kamu semua mesti dilahirkan semula! 8 Angin bertiup ke mana sahaja angin mahu; kita mendengar bunyinya, tetapi tidak tahu dari mana datangnya dan ke mana perginya angin itu. Begitu juga halnya dengan setiap orang yang dilahirkan oleh Roh Allah.'' 9 Nikodemus bertanya, "Bagaimanakah perkara ini boleh berlaku?'' 10 Yesus menjawab, "Kamu guru terkenal di Israel. Adakah kamu tidak mengetahui perkara ini? 11 Apa yang Aku katakan kepadamu benar: Kami mengatakan apa yang kami ketahui dan memberitahukan apa yang kami lihat, tetapi kamu tidak mahu menerimanya. 12 Aku memberitahu kamu perkara-perkara dunia ini, tetapi kamu tidak percaya; bagaimana kamu boleh percaya apabila Aku memberitahu kamu perkara-perkara syurga? 13 Tidak seorang pun pernah naik ke syurga, kecuali Anak Manusia yang turun dari syurga. 14 Sebagaimana ular gangsa ditinggikan oleh Musa pada sebatang kayu di padang gurun, begitu jugalah Anak Manusia harus ditinggikan, 15 supaya semua orang yang percaya kepada Anak Manusia beroleh hidup sejati dan kekal. 16 Allah sangat mengasihi orang di dunia ini sehingga Dia memberikan Anak-Nya yang tunggal, supaya setiap orang yang percaya kepada Anak itu tidak binasa tetapi beroleh hidup sejati dan kekal. 17 Allah mengutus Anak-Nya ke dunia ini bukan untuk menghakimi dunia, tetapi untuk menyelamatkannya. 18 Sesiapa yang percaya kepada Anak itu tidak dihukum, tetapi sesiapa yang tidak percaya sudah dihukum kerana dia tidak percaya kepada Anak Allah yang tunggal. 19 Penghakiman itu berdasarkan hal ini: Cahaya itu sudah datang ke dunia, tetapi manusia lebih menyukai kegelapan daripada cahaya kerana perbuatan mereka jahat. 20 Sesiapa yang melakukan kejahatan membenci cahaya, dan tidak mahu datang kepada cahaya, supaya perbuatannya yang jahat tidak kelihatan. 21 Tetapi sesiapa yang melakukan kehendak Allah datang kepada cahaya, supaya nyata bahawa perbuatan yang dilakukannya menurut kehendak Allah.'' 22 Setelah itu Yesus dan pengikut-pengikut-Nya pergi ke wilayah Yudea. Dia tinggal di situ dengan mereka untuk sementara waktu, dan Dia membaptis orang. 23 Pada masa itu Yohanes belum dipenjarakan. Di Ainon, tempat yang tidak berapa jauh dari Salim, Yohanes membaptis orang kerana di situ terdapat banyak air. Orang datang kepadanya dan dia membaptis mereka. 25 Beberapa orang pengikut Yohanes mula bertengkar dengan seorang Yahudi tentang adat pembasuhan. 26 Kemudian mereka pergi kepada Yohanes dan berkata, "Adakah guru masih ingat akan orang yang bersama-sama guru di seberang Sungai Yordan itu, orang yang guru tunjukkan kepada kami dahulu? Lihatlah, sekarang dia membaptis orang dan semua orang pergi kepadanya!'' 27 Yohanes menjawab, "Seseorang tidak dapat menerima sesuatu, jika Allah tidak memberikannya. 28 Kamu sendiri menjadi saksiku bahawa aku pernah berkata, `Aku bukan Penyelamat yang diutus oleh Allah, tetapi aku diutus terlebih dahulu daripada-Nya.' 29 Pengantin perempuan kepunyaan pengantin lelaki. Sahabat pengantin lelaki hanya menunggu dan mendengar, serta bersukacita apabila dia mendengar suara pengantin lelaki. Begitulah halnya dengan aku. Sekarang kegembiraanku sempurna. 30 Dia mesti menjadi semakin penting dan aku semakin kurang penting.'' 31 Dia yang datang dari syurga paling utama daripada semua orang. Orang yang datang dari dunia tergolong orang dunia, dan dia bercakap tentang perkara-perkara dunia ini. Tetapi Dia yang datang dari syurga, Dialah yang paling utama! 32 Dia memberitahukan apa yang dilihat-Nya dan didengar-Nya, tetapi tidak seorang pun menerima kesaksian-Nya. 33 Tetapi orang yang menerima kesaksian-Nya mengakui bahawa apa yang difirmankan oleh Allah benar. 34 Orang yang diutus oleh Allah menyampaikan firman Allah, kerana Allah mengurniakan Roh-Nya kepada Dia dengan sepenuhnya. 35 Bapa mengasihi Anak-Nya dan sudah menyerahkan segala sesuatu di bawah kuasa-Nya. 36 Sesiapa yang percaya kepada Anak itu beroleh hidup sejati dan kekal, tetapi sesiapa yang tidak taat kepada Anak itu tidak akan beroleh hidup itu. Dia akan dihukum oleh Allah selama-lamanya.

Yohanes 4

1 Orang Farisi mendengar bahawa Yesus mendapat dan membaptis lebih ramai pengikut daripada Yohanes. ( 2 Sebenarnya Yesus tidak membaptis sesiapa pun melainkan para pengikut-Nya yang melakukan hal itu.) 3 Apabila Yesus tahu bahawa orang Farisi sudah mendengar hal itu, Dia meninggalkan Yudea lalu kembali ke Galilea. 4 Dalam perjalanan-Nya ke sana Yesus harus melalui Samaria. 5 Di Samaria Yesus tiba di sebuah bandar bernama Sikhar, yang tidak jauh dari sebidang tanah yang dahulu diberikan oleh Yakub kepada Yusuf anaknya. 6 Di situ ada sebuah perigi yang dahulunya milik Yakub. Yesus yang penat kerana perjalanan-Nya, duduk di pinggir perigi itu. Masa itu kira-kira pukul dua belas tengah hari dan pengikut-pengikut Yesus telah pergi ke bandar untuk membeli makanan. Kemudian seorang wanita Samaria datang untuk menimba air. Yesus berkata kepadanya, "Berilah Aku minum.'' 9 Wanita Samaria itu menjawab, "Tuan orang Yahudi sedangkan saya orang Samaria. Mengapa tuan meminta minum daripada saya?'' (Orang Yahudi tidak mahu menggunakan cawan dan mangkuk yang pernah digunakan oleh orang Samaria.) 10 Yesus menjawab, "Jika kamu tahu akan pemberian Allah, dan siapa yang meminta minum daripadamu, tentu kamu akan meminta minum daripada-Nya, lalu Dia akan mengurniakan air yang memberikan hidup kepadamu.'' 11 "Tuan,'' kata wanita itu, "tuan tidak mempunyai timba, lagi pun perigi ini sangat dalam. Dari mana tuan boleh mendapat air yang memberikan hidup? 12 Nenek moyang kami, Yakub, memberikan perigi ini kepada kami. Dia, anak-anaknya, dan ternakannya minum dari perigi ini. Adakah tuan menyangka bahawa tuan lebih besar daripada Yakub?'' 13 Yesus berkata, "Sesiapa yang minum air ini akan dahaga lagi; 14 tetapi sesiapa minum air yang akan Aku berikan kepadanya, dia tidak akan dahaga selama-lamanya. Air yang akan Aku berikan itu menjadi suatu mata air yang memancar di dalam dirinya, dan memberi dia hidup sejati dan kekal.'' 15 Wanita itu berkata, "Tuan, berilah saya air itu, supaya saya tidak dahaga lagi dan tidak usah kembali ke sini untuk menimba air.'' 16 Yesus menjawab, "Pergilah panggil suamimu lalu kembalilah ke sini.'' 17 Wanita itu menjawab, "Saya tidak bersuami.'' Lalu Yesus berkata, "Betul katamu bahawa kamu tidak bersuami. 18 Kamu sudah berkahwin lima kali, dan lelaki yang tinggal denganmu sekarang ini bukan suamimu. Memang benar katamu.'' 19 Wanita itu berkata, "Sekarang saya tahu bahawa tuan seorang nabi. 20 Nenek moyang kami menyembah Allah di gunung ini, tetapi bangsa tuan berkata bahawa hanya di Yerusalem orang dapat menyembah Allah.'' 21 Yesus berkata kepadanya, "Percayalah, akan tiba masanya orang tidak lagi menyembah Bapa di gunung ini ataupun di Yerusalem. 22 Kamu orang Samaria sebenarnya tidak mengenal yang kamu sembah; tetapi kami orang Yahudi mengenal yang kami sembah, kerana penyelamatan datang daripada orang Yahudi. 23 Masanya akan tiba, malahan sudah tiba, apabila dengan kuasa Roh Allah orang akan menyembah Bapa sebagai Allah yang benar seperti yang dikehendaki oleh Bapa. 24 Allah itu Roh, dan hanya dengan kuasa Roh Allah orang dapat menyembah Bapa sebagai Allah yang benar.'' 25 Wanita itu berkata kepada Yesus, "Saya tahu Penyelamat yang diutus oleh Allah, yang disebut Kristus, akan datang. Apabila Dia datang Dia akan memberitahu kita segala-galanya.'' 26 Yesus menjawab, "Akulah Dia; Aku yang sekarang sedang bercakap dengan kamu.'' 27 Pada waktu itu, pengikut-pengikut Yesus kembali. Mereka hairan melihat Yesus bercakap dengan seorang wanita. Tetapi tidak seorang pun daripada mereka bertanya kepada wanita itu, "Mahu apa?'' atau bertanya kepada Yesus, "Mengapa Guru bercakap dengan wanita ini?'' 28 Kemudian wanita itu meninggalkan buyung airnya lalu balik ke bandar dan memberitahu orang di bandar. 29 Dia berkata, "Marilah lihat orang yang memberitahu saya segala sesuatu yang pernah saya lakukan. Mungkinkah dia Penyelamat yang diutus oleh Allah?'' 30 Oleh itu penduduk di situ meninggalkan bandar lalu pergi kepada Yesus. 31 Sementara itu pengikut-pengikut-Nya mengajak Yesus makan, "Guru, silalah makan!'' 32 Tetapi Yesus menjawab, "Aku mempunyai makanan yang tidak kamu ketahui.'' 33 Pengikut-pengikut-Nya mula bertanya sesama sendiri, "Adakah orang sudah membawa makanan untuk-Nya?'' 34 Yesus berkata, "Makanan-Ku itu melakukan kehendak Dia yang mengutus Aku, dan menyelesaikan pekerjaan yang diserahkan-Nya kepada-Ku. 35 Kamu berkata, `Masih empat bulan lagi sebelum musim menuai.' Tetapi Aku berkata kepada kamu, pandanglah ladang yang sudah menguning, siap untuk dituai! 36 Orang yang menuai tuaian menerima upah serta mengumpulkan hasil untuk hidup sejati dan kekal. Oleh itu orang yang menabur benih dan orang yang menuai tuaian boleh bergembira bersama-sama. 37 Benarlah pepatah ini: `Yang seorang menanam, yang lain menuai.' 38 Aku menyuruh kamu menuai tuaian di ladang yang tidak kamu usahakan; orang lain sudah bekerja di sana, dan sekarang kamu mendapat hasil pekerjaan mereka.'' 39 Banyak orang Samaria di bandar itu percaya kepada Yesus kerana wanita itu berkata, "Dia memberitahu saya segala sesuatu yang pernah saya lakukan.'' 40 Oleh itu, apabila semua orang Samaria ini berjumpa dengan Yesus, mereka memohon supaya Yesus tinggal bersama-sama mereka. Lalu Yesus tinggal di situ selama dua hari. 41 Lebih banyak lagi orang percaya kepada Yesus kerana ajaran-Nya. 42 Mereka berkata kepada wanita itu, "Kami sekarang percaya, bukan kerana apa yang kamu katakan kepada kami, tetapi kerana kami sendiri sudah mendengar Dia dan kami tahu bahawa Dia Penyelamat dunia.'' 43 Setelah Yesus tinggal di sana selama dua hari, Dia pergi ke Galilea. 44 Yesus berkata, "Seorang nabi tidak dihormati di negerinya sendiri.'' 45 Apabila Dia tiba di Galilea, orang di sana menyambut Dia. Mereka telah melihat segala yang dilakukan-Nya di Yerusalem pada Perayaan Paska. 46 Kemudian Yesus kembali ke Kana di Galilea, tempat Dia pernah mengubah air menjadi wain. Di situ ada seorang pegawai kerajaan; anak lelakinya sedang sakit di Kapernaum. 47 Apabila dia mendengar bahawa Yesus telah datang ke Galilea dari Yudea, dia pergi menjumpai Yesus. Dia meminta Yesus pergi ke Kapernaum dan menyembuhkan anaknya yang hampir meninggal. 48 Tetapi Yesus berkata kepadanya, "Jika kamu semua tidak melihat mukjizat dan perkara yang luar biasa, kamu tidak percaya.'' 49 Pegawai itu menjawab, "Tuan, marilah pergi dengan saya sekarang, sebelum anak saya meninggal.'' 50 Lalu Yesus berkata, "Pergilah, anakmu akan sembuh.'' Orang itu percaya kepada kata-kata Yesus lalu pergi. 51 Dalam perjalanannya ke rumah, hamba-hamba orang itu menjumpai dia, dan berkata bahawa anak lelakinya sudah sembuh. 52 Lalu pegawai itu bertanya pukul berapa anaknya mula sembuh. Mereka menjawab, "Kelmarin pada pukul satu petang demamnya hilang.'' 53 Bapa anak itu teringat bahawa pada masa itu Yesus berkata kepadanya, "Anakmu akan sembuh.'' Lalu dia dan keluarganya percaya kepada Yesus. 54 Inilah mukjizat kedua yang dilakukan oleh Yesus di Galilea setelah Dia datang dari Yudea.

Yohanes 5

1 Selepas itu ada satu perayaan Yahudi dan Yesus pergi ke Yerusalem. 2 Di Yerusalem dekat Pintu Domba ada sebuah kolam Kolam ini dikelilingi lima buah serambi. 3 Banyak orang sakit berbaring di serambi-serambi itu -- yang buta, yang tempang, dan yang lumpuh. Mereka semua menunggu air di kolam itu berkocak, 4 kerana ada kalanya malaikat Tuhan turun ke dalam kolam itu dan mengocakkan airnya, lalu orang sakit yang pertama masuk ke dalam kolam itu semasa air berkocak akan sembuh daripada penyakit apa pun yang dihidapnya. 5 Di situ terdapat seorang lelaki yang sudah sakit selama tiga puluh lapan tahun. 6 Yesus nampak dia terbaring di situ, dan Dia tahu bahawa orang itu sudah lama sekali sakit. Oleh itu Yesus bertanya kepadanya, "Mahukah kamu sembuh?'' 7 Orang sakit itu menjawab, "Tuan, tiada sesiapa pun di sini yang dapat memasukkan saya ke dalam kolam apabila air berkocak. Sementara saya mencuba masuk ke dalam kolam, orang lain telah mendahului saya.'' 8 Yesus berkata kepadanya, "Bangunlah, angkatlah tikarmu, dan berjalanlah.'' 9 Pada saat itu juga orang itu sembuh. Dia mengangkat tikarnya lalu berjalan. Hal ini berlaku pada hari Sabat. 10 Oleh itu para penguasa Yahudi berkata kepada orang yang baru disembuhkan itu, "Hari ini hari Sabat; kamu melanggar Taurat kita kerana mengangkat tikar.'' 11 Tetapi orang itu menjawab, "Orang yang menyembuhkan saya tadi menyuruh saya mengangkat tikar dan berjalan.'' 12 Mereka bertanya, "Siapakah orang yang menyuruh kamu mengangkat tikar dan berjalan?'' 13 Orang yang baru disembuhkan itu tidak tahu siapa orang itu, kerana Yesus sudah menghilang antara orang ramai di tempat itu. 14 Tidak lama kemudian, Yesus berjumpa dengan dia di dalam Rumah Tuhan dan berkata kepadanya, "Sekarang kamu sudah sembuh. Janganlah berdosa lagi, supaya kamu tidak ditimpa perkara yang lebih dahsyat.'' 15 Kemudian orang itu pergi dan memberitahu para penguasa Yahudi bahawa Yesuslah yang menyembuhkan dia. 16 Oleh itu, mereka mula memusuhi Yesus, kerana Dia menyembuhkan orang pada hari Sabat. 17 Tetapi Yesus berkata kepada mereka, "Bapa-Ku sentiasa bekerja; Aku pun harus bekerja.'' 18 Kata-kata-Nya ini membuat para penguasa Yahudi semakin bertekad untuk membunuh Dia. Bukan sahaja Dia telah melanggar hukum hari Sabat, tetapi Dia berkata bahawa Allah itu Bapa-Nya. Hal ini bererti Dia menyamakan diri dengan Allah. 19 Yesus menjawab mereka, "Percayalah, Anak tidak dapat melakukan apa-apa menurut kehendak-Nya sendiri. Dia hanya melakukan apa yang dilihat-Nya dilakukan oleh Bapa-Nya. Apa yang dilakukan oleh Bapa, perkara itu juga yang dilakukan oleh Anak. 20 Bapa mengasihi Anak dan menunjukkan segala yang dilakukan-Nya kepada-Nya. Dia akan menyatakan perkara-perkara yang lebih besar lagi kepada Anak sehingga kamu semua hairan. 21 Sebagaimana Bapa membangkitkan orang mati dan menyebabkan mereka hidup, begitu juga Anak memberikan hidup kepada orang yang dikehendaki-Nya. 22 Bapa tidak menghakimi sesiapa pun. Dia sudah menyerahkan segala kekuasaan untuk menghakimi orang kepada Anak-Nya. 23 Oleh itu semua orang menghormati Anak sebagaimana mereka menghormati Bapa. Orang yang tidak menghormati Anak, juga tidak menghormati Bapa yang mengutus Anak. 24 Sungguh benar kata-kata-Ku ini: Sesiapa yang mendengar kata-kata-Ku dan percaya kepada Dia yang mengutus Aku, beroleh hidup sejati dan kekal. Dia tidak akan dihukum, melainkan sudah terlepas daripada kematian dan mulai benar-benar hidup. 25 Percayalah: Akan tiba masanya, malah sudah tiba, apabila orang mati akan mendengar suara Anak Allah, dan orang yang mendengarkan apa yang dikatakan-Nya akan hidup. 26 Sebagaimana Bapa sendiri sumber hidup, Dia menjadikan Anak-Nya sumber hidup juga. 27 Dia sudah memberikan kuasa kepada Anak untuk menghakimi, kerana Anak itu Anak Manusia. 28 Janganlah kamu hairan mendengar hal ini, kerana akan tiba masanya apabila semua orang mati akan mendengar suara-Nya, 29 lalu keluar dari kubur. Orang yang berbuat baik akan bangkit dan hidup, tetapi orang yang berbuat jahat akan bangkit dan dihukum.'' 30 "Aku tidak dapat melakukan apa-apa menurut kehendak-Ku sendiri. Aku menghakimi orang menurut apa yang diperintahkan oleh Allah. Oleh itu keputusan-Ku adil, kerana Aku tidak mengikut kehendak-Ku sendiri, melainkan kehendak Dia yang mengutus Aku. 31 Jika Aku memberikan kesaksian tentang diri-Ku sendiri, kesaksian itu tidak dapat diterima sebagai bukti yang benar. 32 Tetapi Bapa memberikan kesaksian tentang diri-Ku, dan Aku tahu kesaksian-Nya benar. 33 Kamu mengirim utusan kepada Yohanes, dan Yohanes sudah memberikan kesaksian yang benar tentang diri-Ku. 34 Sebenarnya Aku tidak memerlukan kesaksian daripada manusia, tetapi Aku berkata demikian supaya kamu boleh diselamatkan. 35 Yohanes bagaikan pelita yang menyala dan bersinar. Untuk sementara waktu kamu menikmati cahayanya dan kamu bersukacita. 36 Tetapi kesaksian daripada perbuatan-Ku lebih penting daripada kesaksian Yohanes. Aku melakukan apa yang ditugaskan oleh Bapa-Ku, dan semua itu membuktikan bahawa Bapa sudah mengutus Aku. 37 Bapa yang mengutus Aku pun memberikan kesaksian tentang diri-Ku. Kamu belum pernah mendengar suara-Nya atau melihat muka-Nya. 38 Kamu tidak percaya kepada firman-Nya, kerana kamu tidak percaya kepada Dia yang diutus-Nya. 39 Kamu menyelidiki Alkitab kerana menyangka bahawa dengan cara itu kamu akan beroleh hidup sejati dan kekal. Sebenarnya Alkitab memberikan kesaksian tentang Aku. 40 Tetapi kamu tidak mahu datang kepada-Ku supaya beroleh hidup sejati. 41 Aku tidak mengharapkan pujian daripada manusia. 42 Aku kenal akan kamu. Aku tahu bahawa kamu sebenarnya tidak mengasihi Allah. 43 Aku datang dengan kuasa Bapa-Ku, tetapi kamu tidak menyambut Aku. Tetapi manakala seorang lain datang dengan kuasanya sendiri, kamu menyambut dia. 44 Bagaimanakah kamu boleh percaya kepada-Ku, jika kamu mencari pujian daripada sesama kamu sendiri? Kamu tidak berusaha untuk mencari pujian daripada Allah yang Esa. 45 Janganlah sangka bahawa Aku akan menuduh kamu di hadapan Bapa. Musa yang kamu harapkan itu, yang akan menuduh kamu. 46 Jika kamu benar-benar percaya kepada Musa, tentu kamu akan percaya kepada-Ku, kerana Musa menulis tentang Aku. 47 Kamu tidak percaya kepada apa yang ditulis oleh Musa, bagaimanakah kamu dapat percaya kepada apa yang Aku katakan?''

Yohanes 6

1 Selepas itu Yesus pergi ke seberang Tasik Galilea, yang juga disebut Tasik Tiberias. 2 Banyak orang mengikuti-Nya, kerana mereka telah melihat mukjizat yang dilakukan-Nya ketika Dia menyembuhkan orang sakit. 3 Kemudian Yesus naik ke atas bukit lalu duduk di situ dengan pengikut-pengikut-Nya. 4 Pada waktu itu sudah hampir Perayaan Paska orang Yahudi. 5 Yesus melihat di sekeliling-Nya dan Dia nampak orang berduyun-duyun datang kepada-Nya. Oleh itu Yesus berkata kepada Filipus, "Di manakah kita boleh membeli makanan yang cukup untuk semua orang ini?'' ( 6 Yesus mengetahui apa yang akan dilakukan-Nya, tetapi Dia berkata demikian kerana Dia hendak menguji Filipus.) 7 Filipus menjawab, "Roti seharga dua ratus keping wang perak pun tidak cukup untuk semua orang ini, meskipun setiap orang mendapat sedikit sahaja.'' 8 Pengikut-Nya yang lain, iaitu Andreas, saudara Simon Petrus berkata, 9 "Seorang anak lelaki di sini mempunyai lima ketul roti barli dan dua ekor ikan. Tetapi apa gunanya untuk orang sebanyak ini?'' 10 Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, "Suruhlah mereka duduk.'' (Di situ terdapat banyak rumput.) Orang ramai pun duduk; semuanya berjumlah kira-kira lima ribu orang lelaki. 11 Yesus mengambil roti itu, lalu Dia mengucap syukur kepada Allah. Kemudian Dia membahagi-bahagikan roti itu kepada orang ramai yang duduk di situ. Selepas itu Dia membahagi-bahagikan ikan itu, lalu semua orang makan sepuas-puasnya. 12 Setelah semua orang makan sampai kenyang, Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, "Kumpulkanlah lebihan makanan, jangan sampai ada yang terbuang.'' 13 Mereka mengumpulkan dua belas buah bakul lebihan makanan daripada lima ketul roti barli yang dimakan oleh orang ramai. 14 Apabila orang ramai melihat mukjizat yang dilakukan oleh Yesus, mereka berkata, "Sesungguhnya Dia Nabi yang diharapkan datang ke dunia!'' 15 Yesus tahu bahawa mereka akan datang dan memaksa Dia menjadi raja. Oleh itu Yesus pergi seorang diri ke daerah berbukit. 16 Apabila hari sudah senja, pengikut-pengikut Yesus turun ke tasik, 17 lalu menyeberangi tasik itu dengan perahu ke Kapernaum. Hari sudah gelap tetapi Yesus masih belum datang kepada mereka. 18 Sementara itu angin kencang bertiup dan air tasik mula bergelora. 19 Pengikut-pengikut-Nya sudah berkayuh kira-kira lima atau enam kilometer, ketika mereka nampak Yesus menghampiri perahu dengan berjalan di atas air. Mereka sangat takut. 20 Tetapi Yesus berkata kepada mereka, "Janganlah takut, Aku Yesus!'' 21 Lalu dengan senang hati mereka menyambut Dia naik ke perahu dan pada ketika itu juga sampailah perahu itu di tempat yang ditujui. 22 Keesokan harinya orang ramai yang bermalam di seberang tasik, sedar bahawa hanya ada sebuah perahu di sana. Mereka tahu bahawa para pengikut Yesus telah bertolak dengan perahu itu tanpa Dia. 23 Kemudian beberapa buah perahu yang datang dari Tiberias berlabuh dekat tempat orang ramai makan roti setelah Tuhan mengucap syukur. 24 Tetapi apabila mereka tidak nampak Yesus mahupun pengikut-pengikut-Nya di situ, mereka pun menaiki perahu-perahu itu lalu pergi ke Kapernaum untuk mencari Yesus. 25 Apabila mereka berjumpa dengan Yesus di seberang tasik, mereka bertanya kepada-Nya, "Guru, bilakah guru sampai di sini?'' 26 Yesus menjawab, "Apa yang Aku katakan ini benar: Kamu mencari Aku bukan kerana kamu memahami maksud mukjizat yang Aku lakukan, tetapi kerana kamu sudah makan sehingga kenyang. 27 Janganlah berusaha untuk mendapat makanan yang boleh menjadi basi, tetapi berusahalah untuk mendapat makanan yang boleh memberikan hidup sejati dan kekal. Itulah makanan yang akan diberikan oleh Anak Manusia kepada kamu, kerana Dia sudah dilantik oleh Allah Bapa.'' 28 Mereka bertanya kepada-Nya, "Apakah yang harus kami lakukan untuk melakukan kehendak Allah?'' 29 Yesus berkata, "Inilah perkara yang dikehendaki oleh Allah: Percayalah kepada Dia yang diutus oleh Allah.'' 30 Mereka bertanya kepada-Nya, "Mukjizat apakah yang dapat guru lakukan supaya kami boleh melihat dan percaya kepada guru? Apakah yang akan guru lakukan? 31 Nenek moyang kami makan manna di padang gurun, seperti yang tertulis di dalam Alkitab: `Dia memberikan roti dari syurga sebagai makanan mereka.' '' 32 Yesus berkata, "Apa yang Aku katakan ini benar: Apa yang diberikan oleh Musa kepada kamu bukan roti dari syurga; Bapa-Ku itulah yang memberi kamu roti sebenar dari syurga. 33 Roti yang diberikan oleh Allah adalah Dia yang turun dari syurga dan yang memberikan hidup sejati kepada orang di dunia.'' 34 "Guru,'' kata mereka, "berilah kami roti itu selalu.'' 35 "Akulah roti yang memberikan hidup,'' kata Yesus kepada mereka. "Orang yang datang kepada-Ku tidak akan lapar dan orang yang percaya kepada-Ku tidak akan dahaga selama-lamanya. 36 Aku telah memberitahu kamu bahawa kamu sudah melihat Aku, namun kamu tidak percaya kepada-Ku. 37 Semua orang yang diserahkan oleh Bapa kepada-Ku akan datang kepada-Ku. Aku tidak akan menolak sesiapa pun yang datang kepada-Ku, 38 kerana Aku sudah turun dari syurga bukan untuk melakukan kehendak-Ku sendiri, tetapi kehendak Dia yang mengutus Aku. 39 Inilah kehendak Dia yang mengutus Aku: Daripada semua orang yang diserahkan kepada-Ku, tidak seorang pun hilang, tetapi Aku harus membangkitkan mereka semua pada Hari Kiamat. 40 Memang inilah kehendak Bapa-Ku: Semua orang yang melihat Anak lalu percaya kepada-Nya akan beroleh hidup sejati dan kekal, dan Aku akan membangkitkan mereka pada Hari Kiamat.'' 41 Orang Yahudi di situ mula bersungut-sungut terhadap Yesus, kerana Dia berkata, "Aku roti yang turun dari syurga.'' 42 Mereka berkata, "Bukankah dia ini Yesus, anak Yusuf? Kami mengenal ibu bapanya. Bagaimanakah dia dapat berkata bahawa dia turun dari syurga?'' 43 Yesus berkata kepada mereka, "Janganlah bersungut-sungut sesama sendiri. 44 Tidak seorang pun dapat datang kepada-Ku, kecuali Bapa yang mengutus Aku, memimpin dia datang kepada-Ku lalu Aku akan membangkitkan dia pada Hari Kiamat. 45 Di dalam Kitab Nabi-Nabi tertulis, `Semua orang akan diajar oleh Allah.' Oleh itu sesiapa yang mendengar Bapa dan belajar daripada-Nya, datang kepada-Ku. 46 Hal ini tidak bererti bahawa orang sudah melihat Bapa. Hanya Dia yang datang daripada Allah sudah melihat Bapa. 47 Apa yang Aku katakan ini benar: Orang yang percaya kepada-Ku mempunyai hidup sejati dan kekal. 48 Akulah roti yang memberikan hidup. 49 Nenek moyang kamu makan manna di padang gurun, dan mereka mati juga. 50 Tetapi tidak demikian halnya dengan roti yang turun dari syurga; orang yang makan roti itu tidak akan mati. 51 Akulah roti yang memberikan hidup, roti yang turun dari syurga. Orang yang makan roti ini akan hidup selama-lamanya. Roti yang akan Aku berikan itu tubuh-Ku. Aku memberikannya supaya orang di dunia ini boleh hidup.'' 52 Mendengar kata-kata ini, orang Yahudi mula bertengkar sesama sendiri. "Bagaimanakah orang ini boleh memberikan tubuhnya kepada kita untuk dimakan?'' kata mereka. 53 Yesus berkata kepada mereka, "Apa yang Aku katakan ini benar: Jika kamu tidak makan tubuh Anak Manusia dan minum darah-Nya, kamu tidak akan benar-benar hidup. 54 Sesiapa yang makan tubuh-Ku dan minum darah-Ku mempunyai hidup sejati dan kekal, lalu Aku akan membangkitkan dia pada Hari Kiamat. 55 Tubuh-Ku ini makanan sebenar dan darah-Ku ini minuman sebenar. 56 Sesiapa yang makan tubuh-Ku dan minum darah-Ku, hidup bersatu dengan Aku dan Aku dengan dia. 57 Bapa yang hidup mengutus Aku; dan Aku hidup, kerana Dia hidup. Begitu juga orang yang makan tubuh-Ku akan hidup kerana Aku. 58 Inilah roti yang turun dari syurga; roti ini bukan seperti roti yang dimakan nenek moyang kamu, kerana setelah memakannya mereka mati juga. Tetapi orang yang makan roti ini akan hidup selama-lamanya.'' 59 Semuanya ini dikatakan oleh Yesus semasa Dia mengajar di rumah ibadat di Kapernaum. 60 Banyak pengikut-Nya mendengar kata-kata-Nya lalu berkata, "Ajaran ini terlalu sukar. Siapakah dapat menerimanya?'' 61 Tanpa diberitahu, Yesus tahu bahawa pengikut-pengikut-Nya bersungut-sungut tentang hal itu. Oleh itu Dia berkata kepada mereka, "Adakah hal itu menyebabkan kamu tidak mahu percaya lagi? 62 Bagaimanakah jika kamu melihat Anak Manusia naik semula ke tempat asal-Nya? 63 Yang menyebabkan manusia hidup ialah Roh Allah. Dengan kekuatan sendiri, manusia tidak dapat melakukannya. Kata-kata yang Aku katakan kepada kamu datangnya daripada Roh Allah yang memberikan hidup. 64 Namun ada beberapa orang antara kamu yang tidak percaya.'' (Yesus tahu dari mulanya siapa-siapa yang tidak mahu percaya, dan orang yang akan mengkhianati Dia.) 65 Dia berkata lagi, "Itulah sebabnya Aku berkata kepada kamu bahawa tidak seorang pun boleh datang kepada-Ku, kecuali Bapa memperkenankannya.'' 66 Sejak itu banyak pengikut Yesus meninggalkan Dia dan tidak mahu mengikut Dia lagi. 67 Oleh itu Yesus bertanya kepada dua belas orang pengikut-Nya, "Adakah kamu pun akan meninggalkan Aku?'' 68 Simon Petrus berkata kepada-Nya, "Ya Tuhan, kepada siapakah kami akan pergi? Kata-kata Tuhan memberikan hidup sejati dan kekal. 69 Sekarang kami percaya dan yakin bahawa Tuhan utusan suci daripada Allah.'' 70 Yesus menjawab, "Bukankah Aku memilih kamu dua belas orang ini, namun seorang daripada kamu ini syaitan?'' 71 Yesus berkata-kata tentang Yudas anak Simon Iskariot. Walaupun Yudas seorang daripada dua belas orang pengikut Yesus, dia akan mengkhianati Yesus.

Yohanes 7

1 Setelah itu Yesus pergi dari satu tempat ke tempat lain di Galilea. Dia tidak mahu pergi ke daerah Yudea kerana para penguasa Yahudi di sana hendak membunuh Dia. 2 Pada masa itu hampir Perayaan Pondok Daun. 3 Oleh itu, saudara-saudara Yesus berkata kepada-Nya, "Tinggalkanlah tempat ini dan pergilah ke Yudea, supaya pengikut-pengikutmu dapat melihat perbuatanmu. 4 Tidak seorang pun menyembunyikan perbuatannya, jika dia ingin menjadi terkenal. Kamu sudah melakukan perkara-perkara seperti itu, biarlah seluruh dunia tahu akan kamu!'' ( 5 Saudara-saudara-Nya sendiri pun tidak percaya kepada-Nya.) 6 Yesus berkata kepada mereka, "Saat-Ku belum tiba. Saat kamu bila-bila sahaja. 7 Dunia ini tidak mempunyai alasan untuk membenci kamu. Tetapi dunia ini membenci Aku, kerana Aku sentiasa berkata kepada dunia bahawa perbuatannya jahat. 8 Pergilah ke perayaan itu. Aku tidak pergi kerana saat-Ku belum tiba.'' 9 Demikianlah kata Yesus, lalu Dia tinggal di Galilea. 10 Setelah saudara-saudara-Nya pergi ke perayaan itu, Yesus pun pergi. Tetapi Dia tidak pergi secara terang-terangan, melainkan secara diam-diam. 11 Para penguasa Yahudi mencari Dia semasa perayaan itu. "Di manakah dia?'' tanya mereka. 12 Orang ramai berbisik-bisik tentang Dia. Beberapa orang berkata, "Dia orang baik.'' Yang lain berkata, "Tidak! Dia menyesatkan orang!'' 13 Tetapi tidak seorang pun berani bercakap secara terang-terangan tentang Yesus, kerana mereka takut akan para penguasa Yahudi. 14 Pada pertengahan masa perayaan itu, Yesus masuk ke dalam Rumah Tuhan, lalu mula mengajar. 15 Para penguasa Yahudi hairan sekali lalu berkata, "Bagaimanakah orang ini dapat mengetahui sebanyak ini, padahal dia tidak pernah dilatih untuk menjadi guru Taurat?'' 16 Yesus menjawab, "Yang Aku ajarkan ini bukan ajaran-Ku, melainkan ajaran Dia yang mengutus Aku. 17 Orang yang mahu melakukan kehendak Allah akan tahu sama ada ajaran-Ku datangnya daripada Allah atau daripada Aku sendiri. 18 Seorang yang mengajarkan ajarannya sendiri, mencari kehormatan bagi dirinya sendiri. Tetapi seorang yang menghendaki kehormatan untuk orang yang mengutusnya, orang itu jujur dan tidak ada kepalsuan padanya. 19 Bukankah Musa yang memberikan Taurat kepada kamu? Tetapi tidak seorang pun antara kamu yang mentaati Taurat itu. Mengapakah kamu mahu membunuh Aku?'' 20 Orang ramai itu menjawab, "Kamu dirasuk syaitan! Siapa mahu membunuh kamu?'' 21 Yesus berkata kepada mereka, "Aku melakukan suatu mukjizat, lalu kamu semua hairan. 22 Musa memberikan peraturan bersunat. Oleh itu pada hari Sabat pun kamu mahu menyunat anak lelaki kamu. (Sebenarnya peraturan bersunat bukan berasal daripada Musa tetapi daripada nenek moyang kamu sebelum Musa.) 23 Jika seorang anak lelaki boleh disunat pada hari Sabat supaya tidak melanggar Taurat Musa, mengapakah kamu marah terhadap Aku kerana Aku menyembuhkan seseorang dengan sepenuhnya pada hari Sabat? 24 Janganlah hakimi orang berdasarkan apa yang kelihatan, tetapi berdasarkan keadilan.'' 25 Beberapa orang penduduk Yerusalem berkata, "Bukankah dia ini yang dicari-cari oleh penguasa kita untuk dibunuh? 26 Lihatlah, dia berkata-kata di hadapan umum, tetapi penguasa kita tidak berkata apa-apa kepadanya. Mungkinkah mereka sudah tahu bahawa dia Penyelamat yang diutus oleh Allah? 27 Tetapi apabila Penyelamat yang diutus oleh Allah itu datang, tidak seorang pun akan mengetahui tempat asal-Nya. Tetapi kita mengetahui tempat asal orang ini.'' 28 Sementara Yesus mengajar di Rumah Tuhan, Dia bertanya dengan suara lantang, "Benar-benarkah kamu mengetahui siapa Aku ini dan tempat asal-Ku? Aku tidak datang dengan kehendak-Ku sendiri. Dia yang mengutus Aku dapat dipercaya, tetapi kamu tidak mengenal Dia. 29 Aku mengenal Dia, kerana Dialah yang mengutus Aku dan Aku datang daripada-Nya.'' 30 Kemudian para penguasa Yahudi cuba menangkap Dia, tetapi tiada seorang pun berani memegang Yesus kerana saat-Nya belum tiba. 31 Tetapi banyak antara orang ramai percaya kepada-Nya. Mereka berkata, "Apabila Penyelamat yang diutus oleh Allah datang, dapatkah Dia melakukan lebih banyak mukjizat daripada orang ini?'' 32 Orang Farisi mendengar orang ramai berbisik-bisik tentang Yesus. Oleh itu, mereka dan ketua-ketua imam menyuruh beberapa orang pengawal Rumah Tuhan menangkap Yesus. 33 Tetapi Yesus berkata, "Aku akan bersama-sama kamu sebentar sahaja. Kemudian Aku akan kembali kepada Dia yang mengutus Aku. 34 Kamu akan mencari Aku, tetapi tidak dapat menjumpai Aku, kerana kamu tidak boleh pergi ke tempat Aku berada.'' 35 Para penguasa Yahudi berkata sesama sendiri, "Ke manakah dia mahu pergi sehingga kita tidak dapat menjumpai dia? Adakah dia mahu pergi kepada orang Yahudi yang tinggal di luar negeri antara orang bukan Yahudi, lalu mengajar mereka? 36 Apakah yang dimaksudkan-Nya apabila Dia berkata bahawa kita akan mencari dia, tetapi tidak dapat menjumpainya, dan bahawa kita tidak boleh pergi ke tempat dia berada?'' 37 Pada hari terakhir perayaan itu, dan juga hari yang paling penting, Yesus berdiri lalu berkata dengan suara lantang, "Sesiapa yang dahaga hendaklah datang kepada-Ku untuk minum. 38 Seperti yang tertulis di dalam Alkitab, `Sesiapa yang percaya kepada-Ku, dari dalam hatinya akan memancar mata air yang memberikan hidup.' '' ( 39 Yesus berkata-kata tentang Roh Allah, yang akan diterima oleh orang yang percaya kepada-Nya. Pada masa itu, Roh Allah belum diberikan, kerana Yesus belum dipermuliakan melalui kematian dan kebangkitan-Nya.) 40 Beberapa orang yang mendengar kata-kata Yesus berkata, "Orang ini pasti Nabi itu!'' 41 Yang lain berkata, "Dia Penyelamat yang diutus oleh Allah!'' Tetapi yang lain pula berkata, "Penyelamat yang diutus oleh Allah tidak datang dari Galilea! 42 Di dalam Alkitab tertulis bahawa Penyelamat yang diutus oleh Allah itu keturunan Raja Daud dan akan dilahirkan di kota Betlehem tempat asal Raja Daud.'' 43 Akhirnya orang berpihak-pihak kerana Yesus. 44 Beberapa orang hendak menangkap Dia, tetapi tidak seorang pun memegang-Nya. 45 Apabila pengawal-pengawal Rumah Tuhan yang disuruh pergi untuk menangkap Yesus datang kembali, ketua-ketua imam dan orang Farisi bertanya, "Mengapakah kamu tidak membawa dia ke mari?'' 46 Para pengawal itu menjawab, "Belum pernah seseorang berkata-kata seperti dia!'' 47 Orang Farisi di situ berkata, "Adakah dia menyesatkan kamu pula? 48 Pernahkah kamu dengar seorang daripada penguasa kita atau orang Farisi yang percaya kepadanya? 49 Orang ramai ini tidak mengenal Taurat Musa. Oleh itu terkutuklah mereka!'' 50 Salah seorang Farisi di situ ialah Nikodemus. Dia pernah datang kepada Yesus. Nikodemus berkata kepada mereka, 51 "Menurut Taurat, kita tidak boleh menghukum seseorang sebelum perkaranya didengar dan perbuatannya disiasat.'' 52 Mereka berkata, "Adakah kamu juga berasal dari Galilea? Kajilah Alkitab dan kamu akan tahu bahawa tidak ada nabi yang berasal dari Galilea?''

Yohanes 8

1 Kemudian semua orang pulang ke rumah, tetapi Yesus pergi ke Bukit Zaitun. 2 Keesokan harinya, pagi-pagi sekali Dia pergi ke Rumah Tuhan dan semua orang di situ datang kepada-Nya. Dia duduk lalu mula mengajar mereka. 3 Sementara itu guru Taurat dan orang Farisi membawa seorang wanita kepada Yesus. Wanita itu didapati berzina. Mereka menyuruh wanita itu berdiri di hadapan semua orang, 4 lalu berkata kepada Yesus, "Guru, wanita ini tertangkap basah ketika berzina. 5 Di dalam kitab Taurat, Musa memerintahkan agar wanita seperti ini direjam sehingga mati. Tetapi apakah pendapat guru?'' 6 Mereka bertanya demikian kerana hendak memerangkap Yesus, supaya mereka boleh menuduh Dia. Tetapi Yesus menunduk dan menulis di tanah dengan jari-Nya. 7 Mereka terus-menerus bertanya kepadanya. Oleh itu Yesus meluruskan badan-Nya dan berkata kepada mereka, "Sesiapa di kalangan kamu yang tidak berdosa boleh melemparkan batu pertama untuk merejam dia.'' 8 Setelah itu Yesus menunduk semula dan menulis lagi di atas tanah. 9 Apabila mereka mendengar Yesus berkata demikian, seorang demi seorang, mulai daripada yang tertua, meninggalkan tempat itu. Akhirnya hanya Yesus dan wanita yang masih berdiri itu ada di sana. 10 Yesus meluruskan badan-Nya lalu berkata kepada wanita itu, "Di manakah mereka? Tidak adakah orang yang menghukum kamu?'' 11 "Tidak ada, tuan,'' jawabnya. "Baiklah,'' kata Yesus, "Aku pun tidak menghukum kamu. Pergilah dan janganlah berdosa lagi.'' 12 Yesus berkata lagi kepada orang Farisi, "Akulah cahaya bagi dunia. Orang yang mengikut Aku tidak akan berjalan dalam kegelapan, tetapi beroleh cahaya yang memberikan hidup.'' 13 Orang Farisi di situ berkata kepada-Nya, "Sekarang kamu memberikan kesaksian tentang dirimu sendiri, tetapi kesaksian kamu tidak dapat meyakinkan orang.'' 14 Yesus menjawab, "Meskipun Aku memberikan kesaksian tentang diri-Ku sendiri, kesaksian-Ku benar, kerana Aku tahu dari mana Aku datang dan ke mana Aku pergi. Kamu tidak tahu dari mana Aku datang atau ke mana Aku pergi. 15 Kamu menghakimi orang menurut cara manusia; Aku tidak menghakimi sesiapa pun. 16 Tetapi seandainya Aku menghakimi orang, keputusan-Ku adil, kerana Aku tidak melakukannya seorang diri; Bapa yang mengutus Aku bersama-sama Aku. 17 Di dalam Taurat kamu tertulis: Apabila dua orang saksi memberikan kesaksian yang sama, maka kesaksian mereka benar. 18 Aku memberikan kesaksian tentang diri-Ku sendiri, dan Bapa yang mengutus Aku pun memberikan kesaksian tentang diri-Ku.'' 19 "Bapamu itu di mana?'' tanya mereka. Yesus menjawab, "Kamu tidak mengenal Aku ataupun Bapa-Ku. Jika kamu mengenal Aku, kamu pasti mengenal Bapa-Ku juga.'' 20 Yesus mengatakan semua ini semasa Dia mengajar di Rumah Tuhan, dekat peti wang persembahan. Tetapi tidak seorang pun menangkap Dia, kerana saat-Nya belum tiba. 21 Yesus berkata lagi kepada mereka, "Aku akan pergi dan kamu akan mencari Aku, tetapi kamu akan mati dalam dosa kamu. Kamu tidak boleh pergi ke tempat Aku pergi.'' 22 Para penguasa Yahudi berkata, "Barangkali dia mahu membunuh diri, kerana dia berkata, `Kamu tidak boleh pergi ke tempat Aku pergi.' '' 23 Yesus berkata, "Kamu datang dari bawah, tetapi Aku datang dari atas. Kamu berasal dari dunia; Aku tidak berasal dari dunia. 24 Itulah sebabnya Aku berkata kepada kamu, bahawa kamu akan mati dalam dosa kamu. Memang kamu akan mati dalam dosa kamu, jika kamu tidak percaya bahawa `Akulah Dia yang menyebut diri-Nya AKU.' '' 25 "Kamu siapa sebenarnya?'' tanya mereka. Yesus menjawab, "Untuk apa berkata-kata lagi dengan kamu. 26 Masih banyak perkara tentang kamu yang perlu Aku katakan dan adili. Tetapi Dia yang mengutus Aku dapat dipercayai. Lagi pun Aku memberitahu dunia apa yang Aku dengar daripada Dia.'' 27 Mereka tidak mengerti bahawa Yesus sedang berkata-kata kepada mereka tentang Bapa. 28 Oleh itu Yesus berkata kepada mereka, "Apabila kamu meninggikan Anak Manusia pada kayu salib, barulah kamu tahu bahawa `Akulah Dia yang menyebut diri-Nya AKU'. Kemudian kamu akan tahu bahawa tiada sesuatu pun yang Aku lakukan menurut kehendak-Ku sendiri. Aku hanya mengatakan apa yang diarahkan oleh Bapa kepada-Ku. 29 Dia yang mengutus Aku ada bersama-sama Aku. Dia tidak pernah membiarkan Aku sendirian, kerana Aku sentiasa melakukan apa yang menyenangkan hati-Nya.'' 30 Pada masa Yesus berkata-kata demikian, banyak orang percaya kepada-Nya. 31 Kemudian Yesus berkata kepada orang Yahudi yang percaya kepada-Nya, "Jika kamu taat kepada ajaran-Ku, kamu benar-benar pengikut-Ku. 32 Kamu akan mengenal Allah. Oleh itu kamu akan dibebaskan.'' 33 Mereka berkata, "Kami keturunan Abraham. Kami belum pernah menjadi hamba sesiapa pun. Apakah maksud guru berkata, `Kamu akan bebas?' '' 34 Yesus berkata kepada mereka, "Apa yang Aku katakan ini benar: Setiap orang yang berbuat dosa adalah hamba dosa. 35 Seorang hamba tidak selalunya menjadi anggota tetap sebuah keluarga, tetapi seorang anak selama-lamanya menjadi anggota sebuah keluarga. 36 Oleh itu, jika Anak membebaskan kamu, kamu benar-benar bebas. 37 Aku tahu kamu keturunan Abraham. Namun kamu berusaha untuk membunuh Aku, kerana kamu tidak mahu menerima ajaran-Ku. 38 Aku mengatakan apa yang ditunjukkan oleh Bapa-Ku kepada-Ku, sedangkan kamu melakukan apa yang diajarkan oleh bapa kamu.'' 39 Mereka menjawab, "Bapa kami Abraham.'' Tetapi Yesus berkata, "Jika kamu benar-benar anak-anak Abraham, tentu kamu akan melakukan apa yang dilakukan oleh Abraham. 40 Yang Aku lakukan hanyalah memberitahu kamu kata-kata benar yang diberitahukan oleh Allah kepada-Ku. Namun kamu mahu membunuh Aku. Abraham tidak pernah berbuat demikian! 41 Kamu melakukan apa yang dilakukan oleh bapa kamu.'' Mereka menjawab, "Kami bukan anak haram. Bapa kami hanya satu, iaitu Allah sendiri.'' 42 Yesus berkata kepada mereka, "Seandainya Allah benar-benar Bapa kamu, tentu kamu akan mengasihi Aku, kerana Aku datang daripada Allah. Aku tidak datang dengan kehendak-Ku sendiri, tetapi Dialah yang mengutus Aku. 43 Mengapa kamu tidak memahami apa yang Aku katakan? Hal itu demikian kerana kamu tidak tahan mendengar ajaran-Ku. 44 Bapa kamu Iblis dan kamu anak-anaknya. Kamu lebih suka menurut kehendak bapa kamu. Sejak permulaan, Iblis itu pembunuh. Dia tidak pernah memihak kebenaran, kerana tidak ada kebenaran padanya. Apabila Iblis berdusta, hal itu memang sudah sewajarnya, kerana dia pendusta dan asal segala dusta. 45 Tetapi Aku mengatakan apa yang benar. Itulah sebabnya kamu tidak percaya kepada-Ku. 46 Siapakah antara kamu dapat membuktikan bahawa Aku berdosa? Jika Aku mengatakan apa yang benar, mengapa kamu tidak percaya kepada-Ku? 47 Orang yang berasal daripada Allah mendengar firman Allah. Tetapi kamu bukan daripada Allah, itulah sebabnya kamu tidak mahu mendengar firman-Nya.'' 48 Orang Yahudi di situ berkata, "Memang betul apa yang kami katakan; kamu orang Samaria yang dirasuk syaitan.'' 49 Yesus berkata, "Aku tidak dirasuk syaitan. Aku menghormati Bapa-Ku, tetapi kamu menghina Aku. 50 Aku tidak mencari kehormatan bagi diri-Ku sendiri. Tetapi ada satu yang menghendaki supaya Aku dihormati dan Dia akan menghakimi dengan adil. 51 Apa yang Aku katakan ini benar: Orang yang taat kepada ajaran-Ku tidak akan mati.'' 52 Orang Yahudi di situ berkata kepada Yesus, "Sekarang kami tahu bahawa kamu benar-benar dirasuk syaitan! Abraham sudah mati; begitu juga semua nabi. Tetapi kamu berkata, `Orang yang taat kepada ajaran-Ku tidak akan mati.' 53 Abraham bapa kami sudah mati. Adakah kamu lebih besar daripada Abraham? Begitu juga semua nabi sudah mati. Pada sangkamu siapakah kamu ini?'' 54 Yesus menjawab, "Jika Aku mencari kehormatan untuk diri-Ku sendiri, kehormatan itu tidak berguna. Yang menghormati Aku ialah Bapa-Ku yang kamu anggap sebagai Allah kamu. 55 Kamu tidak mengenal Dia, tetapi Aku mengenal Dia. Jika Aku berkata Aku tidak mengenal Dia, Aku pendusta seperti kamu. Aku mengenal Dia dan Aku mentaati firman-Nya. 56 Bapa kamu Abraham bersukacita kerana akan melihat masa kedatangan-Ku. Dia sudah melihatnya dan dia bergembira.'' 57 Mereka berkata kepada Yesus, "Umurmu belum lagi lima puluh tahun dan kamu sudah melihat Abraham?'' 58 Yesus menjawab, "Apa yang Aku katakan ini benar: Sebelum Abraham dilahirkan, Aku sudah ada.'' 59 Kemudian semua orang Yahudi di situ memungut batu untuk merejam Yesus, tetapi Yesus menyembunyikan diri lalu meninggalkan Rumah Tuhan.

Yohanes 9

1 Semasa Yesus berjalan, Dia melihat seorang yang buta sejak lahir. 2 Pengikut-pengikut Yesus bertanya kepada-Nya, "Guru, siapakah yang berdosa sehingga orang ini dilahirkan buta? Diakah atau ibu bapanya?'' 3 Yesus menjawab, "Orang ini buta bukan kerana dosanya sendiri ataupun dosa ibu bapanya, tetapi supaya kuasa Allah boleh dinyatakan dalam hidupnya. 4 Selama hari masih terang, kita harus melakukan tugas yang diberikan oleh Dia yang mengutus Aku. Malam akan tiba dan tidak seorang pun dapat melakukan apa-apa. 5 Selama Aku di dunia ini, Akulah cahaya bagi dunia.'' 6 Setelah Yesus berkata demikian, Dia meludah ke tanah dan meliat tanah dengan ludah-Nya. Kemudian Dia menyapukan tanah itu pada mata orang itu. 7 Lalu Yesus berkata kepadanya, "Pergilah basuh mukamu di Kolam Siloam.'' (Dalam bahasa Ibrani kata "Siloam'' bererti "Diutus''.) Oleh itu, orang itu pergi membasuh muka dan ketika dia kembali, dia dapat melihat. 8 Jiran-jirannya dan semua orang yang selalu melihat dia meminta sedekah, bertanya, "Bukankah orang ini yang selalu duduk meminta sedekah?'' 9 Beberapa orang berkata, "Memang dia,'' tetapi yang lain berkata, "Bukan, orang ini hanya mirip dengan dia.'' Tetapi orang itu sendiri berkata, "Sayalah dia.'' 10 Mereka bertanya kepadanya, "Bagaimanakah kamu dapat melihat sekarang?'' 11 Dia menjawab, "Orang yang bernama Yesus meliat sedikit tanah, lalu menyapukannya pada mata saya dan berkata, `Pergilah basuh mukamu di Kolam Siloam.' Saya pun pergi, lalu sebaik sahaja saya membasuh muka, saya dapat melihat.'' 12 Mereka bertanya, "Di manakah orang itu?'' Dia menjawab, "Saya tidak tahu.'' 13 Yesus meliat tanah dan mencelikkan mata seorang buta pada hari Sabat. Oleh itu, orang yang tadinya buta dibawa kepada beberapa orang Farisi. 15 Kemudian mereka bertanya kepadanya bagaimana dia dapat melihat. Dia berkata, "Orang itu menyapukan tanah liat pada mata saya, lalu saya membasuh muka dan saya dapat melihat.'' 16 Beberapa orang Farisi itu berkata, "Orang yang melakukan hal ini tidak mungkin berasal daripada Allah, kerana Dia tidak mentaati peraturan hari Sabat.'' Yang lain berkata, "Bagaimanakah seorang berdosa dapat melakukan mukjizat-mukjizat seperti ini?'' Lalu timbullah pertentangan pendapat di kalangan mereka. 17 Oleh itu orang Farisi di situ bertanya lagi kepadanya, "Kamu berkata dia mencelikkan matamu. Baiklah, apakah pendapatmu tentang dia?'' "Dia nabi,'' jawabnya. 18 Para penguasa Yahudi tidak mahu percaya bahawa dahulu dia buta tetapi sekarang dapat melihat. Oleh itu mereka memanggil ibu bapanya, 19 lalu bertanya kepada mereka, "Benarkah dia ini anak kamu yang menurut kata kamu dilahirkan buta? Bagaimanakah sekarang dia dapat melihat?'' 20 Ibu bapanya menjawab, "Memang dia anak kami dan dia memang buta sejak lahir. 21 Tetapi kami tidak tahu bagaimana sekarang dia dapat melihat, dan siapa yang mencelikkan matanya. Dia sudah dewasa. Tanyalah dia, dia dapat menjawab sendiri.'' 22 Ibu bapanya berkata demikian kerana mereka takut akan para penguasa Yahudi. Para penguasa itu sudah bersepakat bahawa sesiapa mengakui Yesus sebagai Penyelamat yang diutus oleh Allah, akan tidak dibenarkan masuk ke rumah ibadat. 23 Itulah sebabnya ibu bapanya berkata, "Dia sudah dewasa; tanyalah dia.'' 24 Sekali lagi mereka memanggil orang yang dahulunya buta dan berkata kepadanya, "Mengakulah di hadapan Allah! Kami tahu bahawa orang yang menyembuhkan kamu itu orang berdosa.'' 25 Orang itu menjawab, "Sama ada dia berdosa atau tidak, saya tidak tahu. Tetapi satu perkara saya tahu; dahulu saya buta, sekarang saya dapat melihat.'' 26 Mereka bertanya lagi, "Apa yang dilakukannya kepadamu? Bagaimanakah dia mencelikkan matamu?'' 27 Orang itu menjawab, "Hal itu sudah saya jelaskan kepada tuan-tuan, tetapi tuan-tuan tidak mahu mendengarnya. Mengapakah tuan-tuan mahu mendengarnya lagi? Adakah tuan-tuan pun mahu menjadi pengikutnya?'' 28 Mereka mencaci dia dan berkata, "Kamu pengikut dia; kami pengikut Musa. 29 Kami tahu bahawa Allah berfirman kepada Musa, tetapi tentang orang itu kami tidak tahu dari mana asalnya.'' 30 Orang itu berkata, "Sungguh menghairankan! Tuan-tuan tidak mengetahui asalnya, namun dia sudah mencelikkan mata saya! 31 Kita tahu bahawa Allah tidak mendengarkan permintaan orang berdosa. Allah hanya mendengarkan permintaan orang yang menghormati Dia dan melakukan kehendak-Nya. 32 Sejak permulaan dunia, orang belum pernah mendengar berita tentang seorang yang dapat mencelikkan mata orang yang buta sejak lahir. 33 Jika orang ini tidak berasal daripada Allah, dia tidak akan dapat melakukan apa-apa.'' 34 Mereka berkata kepadanya, "Kamu orang berdosa sejak kamu dilahirkan. Adakah kamu cuba mengajar kami?'' Lalu mereka melarang dia masuk ke rumah ibadat. 35 Yesus mendengar bahawa mereka telah melarang orang itu masuk ke rumah ibadat. Apabila Yesus menjumpai dia, Yesus berkata kepadanya, "Adakah kamu percaya kepada Anak Manusia?'' 36 Orang itu menjawab, "Tuan, siapakah Dia? Tolong beritahu supaya saya boleh percaya kepada-Nya.'' 37 Yesus berkata kepadanya, "Kamu sudah melihat Dia. Dialah yang bercakap dengan kamu sekarang ini.'' 38 Orang itu menjawab, "Ya Tuhan, saya percaya.'' Lalu dia sujud di hadapan Yesus. 39 Yesus berkata, "Aku datang ke dunia ini untuk menghakimi orang supaya orang yang buta dapat melihat, tetapi orang yang dapat melihat menjadi buta.'' 40 Beberapa orang Farisi di situ mendengar kata-kata Yesus, lalu bertanya kepada-Nya, "Maksudmu kami ini buta juga?'' 41 Yesus menjawab, "Jika kamu buta, kamu tidak berdosa. Tetapi kerana kamu berkata bahawa kamu melihat, maka kamu masih berdosa.''

Yohanes 10

1 Yesus berkata, "Apa yang Aku katakan ini benar: Seorang yang masuk ke kandang domba dengan memanjat tembok dan tidak melalui pintu, orang itu pencuri dan perompak. 2 Seorang yang masuk melalui pintu, dialah gembala kawanan domba. 3 Penjaga kandang membuka pintu baginya, dan kawanan domba mendengar suara gembala yang memanggil nama setiap ekor domba. Lalu gembala itu memimpin kawanan domba ke luar. 4 Setelah dia membawa kawanan domba itu ke luar, dia berjalan di hadapan dan domba-domba itu mengikuti dia kerana mengenal suaranya. 5 Kawanan domba itu tidak akan mengikuti orang lain, bahkan akan lari daripadanya kerana tidak mengenal suara orang itu.'' 6 Yesus menceritakan perumpamaan ini, tetapi mereka tidak memahami apa yang dimaksudkan-Nya. 7 Oleh itu, Yesus berkata lagi, "Apa yang Aku katakan ini benar: Akulah pintu bagi kawanan domba. 8 Semua yang datang sebelum Aku adalah pencuri dan perompak, tetapi kawanan domba tidak mendengarkan suara mereka. 9 Akulah pintu. Sesiapa yang masuk melalui Aku akan diselamatkan. Dia boleh keluar masuk dan menjumpai padang rumput. 10 Pencuri datang hanya untuk mencuri, membunuh, dan merosak. Tetapi Aku datang supaya manusia mendapat hidup, iaitu hidup yang kelimpahan. 11 Akulah gembala yang baik. Gembala yang baik mengorbankan nyawa untuk kawanan dombanya. 12 Seorang upahan yang bukan gembala dan bukan pemilik domba, akan lari meninggalkan kawanan domba manakala dia melihat serigala datang. Oleh itu kawanan domba akan diterkam dan dicerai-beraikan oleh serigala. 13 Orang upahan itu lari kerana dia bekerja untuk mendapat upah. Dia tidak mempedulikan domba-domba itu. 14 Akulah gembala yang baik. Sebagaimana Bapa mengenal Aku dan Aku mengenal Bapa, begitu juga Aku mengenal domba-domba-Ku dan mereka pun mengenal Aku. Aku mengorbankan nyawa untuk mereka. 16 Masih ada domba-domba lain yang juga milik-Ku, tetapi tidak termasuk dalam kawanan ini. Aku juga harus memimpin mereka dan mereka akan mendengarkan suara-Ku. Mereka semuanya akan menjadi satu kawanan dengan satu gembala. 17 Bapa mengasihi Aku kerana Aku bersedia menyerahkan nyawa-Ku, supaya Aku boleh menerimanya kembali. 18 Tidak seorang pun dapat mengambil nyawa-Ku daripada-Ku. Aku menyerahkannya dengan rela. Aku berhak menyerahkannya dan Aku berhak mendapatnya kembali. Inilah tugas yang Aku terima daripada Bapa-Ku.'' 19 Kata-kata Yesus menyebabkan orang Yahudi mula bertengkar lagi. 20 Ramai di kalangan mereka yang berkata, "Dia dirasuk syaitan! Dia gila! Mengapakah kamu mendengarkan dia?'' 21 Tetapi yang lain berkata, "Seorang yang dirasuk syaitan tidak mungkin berkata-kata demikian! Bagaimanakah syaitan dapat mencelikkan mata orang buta?'' 22 Di Yerusalem orang sedang merayakan Perayaan Pentahbisan Rumah Tuhan. Masa itu musim sejuk. 23 Yesus sedang berjalan di Serambi Salomo di dalam Rumah Tuhan. 24 Oleh itu orang Yahudi datang berkumpul di sekeliling Yesus. Mereka bertanya, "Berapa lamakah guru mahu membiarkan kami ragu-ragu? Katakanlah dengan terus terang. Adakah guru Penyelamat yang diutus oleh Allah?'' 25 Yesus menjawab, "Aku sudah memberitahu kamu, tetapi kamu tidak mahu percaya. Perbuatan yang Aku lakukan dengan kuasa Bapa-Ku memberikan kesaksian tentang Aku. 26 Kamu tidak mahu percaya kerana kamu bukan domba-domba-Ku. 27 Domba-domba-Ku mendengarkan suara-Ku. Aku mengenal mereka dan mereka mengikut Aku. 28 Aku memberi mereka hidup sejati dan kekal, dan mereka tidak akan binasa. Tidak seorang pun dapat merampas mereka dari tangan-Ku. 29 Apa yang diberikan oleh Bapa-Ku kepada-Ku lebih besar daripada segala-galanya. Tidak seorang pun dapat merampas mereka daripada tangan Bapa. 30 Bapa dan Aku satu.'' 31 Kemudian orang Yahudi di situ memungut batu lagi untuk merejam Yesus. 32 Tetapi Yesus berkata kepada mereka, "Banyak perbuatan baik sudah Aku lakukan untuk kamu dengan kuasa Bapa-Ku. Perbuatan manakah yang menyebabkan kamu mahu merejam Aku?'' 33 Orang Yahudi di situ menjawab, "Kami mahu merejam kamu bukan kerana perbuatanmu yang baik, tetapi kerana kamu mengkufuri Allah! Kamu hanya manusia, tetapi kamu mahu menjadikan dirimu Allah!'' 34 Yesus berkata kepada mereka, "Tidakkah tertulis di dalam Taurat kamu: Allah berfirman, `Kamu ilahi'? 35 Kita tahu bahawa apa yang tertulis di dalam Alkitab berlaku untuk selama-lamanya. Allah menyebut orang yang menerima firman-Nya sebagai ilahi. 36 Aku ini dipilih dan diutus oleh Bapa ke dunia. Dapatkah kamu katakan Aku mengkufuri Allah kerana Aku mengaku sebagai Anak Allah? 37 Jika Aku tidak melakukan apa yang dikehendaki oleh Bapa, janganlah percaya kepada-Ku. 38 Tetapi jika Aku melakukannya, percayalah kepada apa yang Aku lakukan itu, meskipun kamu tidak percaya kepada-Ku. Dengan demikian kamu tahu dan mengerti bahawa Bapa bersatu dengan Aku, dan Aku bersatu dengan Bapa.'' 39 Sekali lagi mereka berusaha menangkap Yesus, tetapi Yesus dapat melepaskan diri. 40 Yesus kembali ke seberang Sungai Yordan lalu tinggal di sana. Dahulu Yohanes membaptis orang di situ. 41 Banyak orang datang kepada-Nya. Mereka berkata, "Yohanes tidak melakukan mukjizat, tetapi segala yang dikatakannya tentang orang ini benar.'' 42 Banyak orang di situ percaya kepada Yesus.

Yohanes 11

1 Seorang lelaki bernama Lazarus sakit. Dia tinggal di Betania bersama-sama dua orang saudaranya yang bernama Maria dan Marta. ( 2 Marialah yang menuangi kaki Tuhan dengan minyak wangi, lalu menyapunya dengan rambutnya. Lazarus yang sakit itu saudaranya.) 3 Kedua-dua orang saudara ini mengirim khabar kepada Yesus, "Tuhan, sahabat yang Tuhan kasihi itu sakit.'' 4 Apabila Yesus mendengar khabar itu, Dia berkata, "Penyakit ini tidak akan menyebabkan kematian Lazarus; hal ini berlaku untuk memuliakan Allah. Melalui hal ini Anak Allah akan dimuliakan.'' 5 Yesus mengasihi Marta, Maria, dan Lazarus. 6 Tetapi ketika Yesus menerima khabar bahawa Lazarus sakit, Dia sengaja tinggal di tempat itu dua hari lagi. 7 Kemudian Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, "Marilah kita balik ke Yudea.'' 8 Pengikut-pengikut-Nya menjawab, "Guru, baru sahaja orang Yahudi di situ hendak merejam Guru, dan sekarang Guru mahu balik lagi ke sana?'' 9 Yesus berkata, "Bukankah siang hari lamanya dua belas jam? Sesiapa yang berjalan pada siang hari, tidak akan tersandung, kerana dia melihat cahaya bagi dunia ini. 10 Tetapi jika orang itu berjalan pada malam hari, dia tersandung kerana tiada cahaya padanya.'' 11 Setelah berkata demikian, Yesus melanjutkan pula, "Sahabat kita Lazarus sudah tidur, tetapi Aku akan pergi membangunkan dia.'' 12 Pengikut-pengikut Yesus berkata, "Guru, jika Lazarus tidur, dia akan sembuh.'' 13 Sebenarnya inilah yang dimaksudkan Yesus: Lazarus sudah meninggal. Tetapi mereka menyangka bahawa Yesus berkata Lazarus benar-benar tidur. 14 Oleh itu Yesus berkata kepada mereka dengan terus terang, "Lazarus sudah meninggal. 15 Tetapi demi kebaikan kamu, Aku bersyukur kerana Aku tidak bersama-sama dia, supaya kamu boleh percaya kepada-Ku. Marilah kita pergi kepada Lazarus.'' 16 Tomas yang disebut Si Kembar berkata kepada sesama pengikut Yesus, "Marilah kita pergi dengan Guru, supaya kita mati bersama-sama-Nya!'' 17 Apabila Yesus tiba di tempat itu, Dia mendapati Lazarus sudah dikubur selama empat hari. 18 Betania letaknya kira-kira tiga kilometer dari Yerusalem. 19 Oleh itu banyak orang Yahudi datang melawat Maria dan Marta untuk menghibur mereka kerana kematian Lazarus. 20 Apabila Marta mendengar seseorang berkata bahawa Yesus datang, dia pun keluar untuk menjumpai Yesus, tetapi Maria tinggal di rumah. 21 Marta berkata kepada Yesus, "Ya Tuhan, jika Tuhan di sini pada masa itu, tentu saudaraku masih hidup! 22 Sungguhpun demikian, aku tahu bahawa Allah akan mengabulkan apa sahaja yang Tuhan minta.'' 23 Yesus berkata kepada Marta, "Saudaramu akan hidup kembali.'' 24 Marta menjawab, "Aku tahu bahawa Lazarus akan hidup semula apabila orang mati dibangkitkan pada Hari Kiamat.'' 25 Yesus berkata kepada Marta, "Akulah yang membangkitkan orang mati dan yang memberikan hidup. Sesiapa yang percaya kepada-Ku akan hidup, meskipun dia sudah mati. 26 Orang yang hidup dan percaya kepada-Ku, tidak akan mati selama-lamanya. Adakah kamu percaya akan hal ini?'' 27 "Ya Tuhan,'' jawab Marta, "aku percaya bahawa Tuhan Anak Allah, Penyelamat yang diutus oleh Allah, dan yang dijanjikan untuk datang ke dunia ini.'' 28 Setelah Marta berkata demikian dia pun pergi memanggil Maria, saudaranya lalu berbisik kepadanya, "Guru di sini dan Dia memanggil kamu.'' 29 Mendengar hal itu, Maria cepat-cepat bangun lalu pergi menjumpai Yesus. ( 30 Ketika itu, Yesus belum masuk ke kampung itu. Dia masih di tempat Marta menjumpai-Nya.) 31 Orang Yahudi yang sedang menghibur Maria di rumah, mengikuti Maria ketika mereka melihat Maria bangun dengan cepat lalu keluar. Mereka menyangka dia hendak pergi ke kubur Lazarus untuk menangis di sana. 32 Apabila Maria sampai ke tempat Yesus dan melihat Dia, Maria berlutut pada kaki Yesus dan berkata, "Tuhan, jika Tuhan di sini pada masa itu, tentu saudaraku masih hidup!'' 33 Apabila Yesus melihat Maria menangis dan semua orang Yahudi yang datang bersama-sama Maria juga menangis, Yesus sedih hati dan terharu. 34 Dia bertanya kepada mereka, "Di manakah kamu mengubur dia?'' Mereka menjawab, "Mari lihat, Tuhan.'' 35 Yesus menangis. 36 Semua orang Yahudi di situ berkata, "Lihatlah! Dia sangat mengasihi Lazarus.'' 37 Tetapi beberapa orang antara mereka berkata, "Dia dapat membuat orang buta melihat. Mengapa dia tidak dapat mencegah kematian Lazarus?'' 38 Yesus sangat terharu lagi, lalu Dia pergi ke kubur. Kubur itu sebuah gua yang ditutup dengan sebuah batu besar. 39 Lalu Yesus berkata, "Tepikan batu ini.'' Tetapi Marta, saudara orang yang meninggal itu menjawab, "Tuhan, sudah empat hari dia dikuburkan. Tentu busuk baunya!'' 40 Yesus berkata kepada Marta, "Tidakkah Aku berkata kepadamu: Jika kamu percaya, kamu boleh melihat betapa besarnya kuasa Allah?'' 41 Mereka mengetepikan batu itu, lalu Yesus menengadah ke langit dan berkata, "Aku bersyukur kepada-Mu, ya Bapa, kerana Engkau mendengar permintaan-Ku. 42 Aku tahu bahawa Engkau sentiasa mendengar permintaan-Ku. Aku berkata demikian untuk kebaikan semua orang di sini, supaya mereka percaya bahawa Engkaulah yang mengutus Aku.'' 43 Setelah Yesus berkata demikian, Dia berseru dengan suara kuat, "Lazarus, keluar!'' 44 Lazarus pun keluar. Tangan dan kakinya masih terbalut dengan kain kafan dan mukanya tertutup dengan kain penutup muka. Yesus berkata kepada orang ramai di situ, "Tanggalkan kain yang membalutnya dan biarlah dia pergi.'' 45 Banyak orang Yahudi yang datang melawat Maria, melihat apa yang dilakukan oleh Yesus, lalu mereka percaya kepada Yesus. 46 Tetapi beberapa orang antara mereka balik kepada orang Farisi, lalu melaporkan apa yang telah dilakukan oleh Yesus. 47 Oleh itu, orang Farisi dan ketua-ketua imam mengadakan mesyuarat dengan Majlis Agama. Mereka berkata, "Apakah yang harus kita lakukan? Lihatlah, orang ini melakukan banyak mukjizat! 48 Jika kita biarkan Dia terus berbuat demikian, semua orang akan percaya kepada-Nya. Akhirnya penguasa Roma akan datang lalu menghancurkan Rumah Tuhan dan bangsa kita!'' 49 Seorang daripada mereka bernama Kayafas, Imam Agung pada tahun itu. Dia berkata, "Kamu tidak tahu apa-apa. 50 Tidakkah kamu sedar bahawa lebih baik satu orang mati bagi umat kita daripada seluruh bangsa kita dibinasakan?'' 51 Sebenarnya dia tidak mengatakan hal ini menurut fikirannya sendiri. Tetapi sebagai Imam Agung tahun itu, dia bernubuat bahawa Yesus akan mati untuk orang Yahudi. 52 Yesus mati bukan untuk orang Yahudi sahaja, tetapi juga untuk mengumpulkan dan menyatukan umat Allah yang tercerai-cerai. 53 Sejak hari itu para penguasa Yahudi berkomplot untuk membunuh Yesus. 54 Yesus tidak lagi berpergian secara terang-terangan di Yudea, tetapi Dia pergi ke bandar bernama Efraim dekat padang gurun. Dia dan pengikut-pengikut-Nya tinggal di sana. 55 Pada masa itu sudah hampir Perayaan Paska orang Yahudi. Banyak orang dari kampung pergi ke Yerusalem untuk menjalankan upacara penyucian diri sebelum perayaan itu. 56 Mereka mencari Yesus dan semasa di Rumah Tuhan, mereka bertanya sesama sendiri, "Apa pendapatmu? Dia barangkali tidak akan menghadiri perayaan ini.'' 57 Ketua-ketua imam dan orang Farisi sudah mengeluarkan perintah bahawa orang yang mengetahui tempat Yesus berada harus melaporkannya, supaya Dia dapat ditangkap.

Yohanes 12

1 Enam hari sebelum Perayaan Paska, Yesus pergi ke Betania, tempat tinggal Lazarus yang sudah dibangkitkan-Nya daripada kematian. 2 Di sana Dia dijamu oleh mereka. Marta menghidangkan makanan, sementara Lazarus dan tetamu lain makan bersama-sama Yesus. 3 Kemudian Maria datang dan membawa kira-kira setengah liter minyak wangi yang mahal harganya. Minyak itu dibuat daripada akar wangi. Dia menuang minyak itu pada kaki Yesus, lalu menyapu kaki Yesus dengan rambutnya. Oleh itu keharuman minyak itu memenuhi seluruh rumah. 4 Yudas Iskariot, salah seorang pengikut Yesus, yang kelak mengkhianati Dia, berkata, 5 "Mengapakah minyak wangi ini tidak dijual dengan harga tiga ratus keping wang perak, lalu wangnya diberikan kepada orang miskin?'' 6 Yudas berkata demikian bukan kerana dia mengambil berat terhadap orang miskin, tetapi kerana dia pencuri. Dia menyimpan beg wang bagi mereka dan dia biasa mengambil sedikit wang untuk keperluannya sendiri. 7 Tetapi Yesus berkata, "Janganlah ganggu wanita ini! Biarlah dia lakukan perkara ini untuk hari penguburan-Ku! 8 Orang miskin sentiasa ada antara kamu, tetapi Aku tidak selalu bersama-sama kamu.'' 9 Banyak orang Yahudi mendengar bahawa Yesus di Betania. Mereka pergi ke sana, bukan sahaja kerana apa yang sudah dilakukan oleh Yesus, tetapi juga kerana mereka mahu melihat Lazarus yang sudah dibangkitkan oleh Yesus daripada kematian. 10 Oleh itu ketua-ketua imam bercadang hendak membunuh Lazarus juga, 11 kerana banyak orang Yahudi meninggalkan mereka, lalu percaya kepada Yesus. 12 Keesokan harinya orang ramai yang sudah datang untuk merayakan Paska, mendengar khabar bahawa Yesus sedang dalam perjalanan ke Yerusalem. 13 Mereka mengambil dahan-dahan pokok palma lalu pergi mengalu-alukan Yesus sambil berseru, "Pujilah Allah! Diberkatilah Dia yang datang dengan nama Tuhan! Diberkatilah Raja Israel!'' 14 Yesus mendapati seekor keldai muda lalu menungganginya. Dengan demikian berlakulah yang tertulis di dalam Alkitab, 15 "Janganlah takut, hai penduduk Sion! Lihatlah Raja kamu datang menunggang seekor keldai muda!'' 16 Pada masa itu pengikut-pengikut Yesus tidak memahami semuanya. Tetapi setelah Yesus dimuliakan melalui kematian dan kebangkitan-Nya, barulah mereka teringat bahawa apa yang dilakukan oleh orang ramai bagi-Nya sudah tertulis di dalam Alkitab. 17 Orang ramai yang hadir ketika Yesus memanggil Lazarus keluar dari kubur dan membangkitkannya daripada kematian, sudah memberitahukan kejadian itu. 18 Itulah sebabnya orang ramai menjumpai Yesus, kerana mereka mendengar bahawa Dia sudah melakukan mukjizat itu. 19 Orang Farisi berkata sesama sendiri, "Lihatlah, seluruh dunia sudah mengikut dia. Usaha kita sia-sia belaka!'' 20 Beberapa orang Yunani ada antara orang ramai yang pergi ke Yerusalem untuk beribadat pada masa perayaan itu. 21 Mereka datang kepada Filipus, lalu berkata, "Tuan, kami hendak berjumpa dengan Yesus.'' (Filipus berasal dari Betsaida di Galilea.) Dia memberitahu Andreas, lalu kedua-duanya pergi memberitahu Yesus. 23 Yesus berkata kepada mereka, "Sudah tiba masanya Anak Manusia dimuliakan. 24 Sungguh benar apa yang Aku katakan ini: Jika sebiji benih gandum tidak ditanam di tanah lalu mati, benih gandum itu tetap sebiji benih sahaja. Tetapi jika benih itu ditanam lalu mati, maka benih itu akan tumbuh dan menghasilkan banyak gandum. 25 Sesiapa yang mengasihi hidupnya sendiri akan kehilangan hidup itu. Tetapi sesiapa yang tidak mengasihi hidupnya di dunia ini akan memilikinya untuk hidup sejati dan kekal. 26 Sesiapa yang mahu mengabdikan diri kepada-Ku harus mengikut Aku, supaya dia boleh bersama-sama Aku di tempat Aku berada. Bapa-Ku akan menghormati orang yang mengabdikan diri kepada-Ku.'' 27 "Hati-Ku gelisah. Apa yang akan Aku katakan? Haruskah Aku berkata, `Bapa, jauhkanlah Aku daripada saat penderitaan ini'? Tidak. Aku datang justeru untuk mengalami saat penderitaan ini. 28 Ya Bapa, tunjukkanlah kemuliaan-Mu!'' Kemudian terdengar suara dari langit berkata, "Aku sudah menunjukkan kemuliaan-Ku dan Aku akan menunjukkannya lagi.'' 29 Orang ramai di situ mendengar suara itu. Mereka berkata, "Guruh!'' Tetapi ada juga yang berkata, "Bukan! Malaikat berkata-kata kepada-Nya!'' 30 Tetapi Yesus berkata kepada mereka, "Suara itu terdengar bukan untuk kepentingan-Ku, tetapi untuk kepentingan kamu. 31 Tibalah saatnya dunia dihakimi; sekarang penguasa dunia ini akan digulingkan. 32 Apabila Aku ditinggikan di atas bumi, Aku akan memimpin semua orang kepada-Ku.'' 33 Dengan kata-kata-Nya ini, Yesus menunjukkan cara Dia akan mati. 34 Orang ramai berkata kepada-Nya, "Taurat kami mengatakan bahawa Penyelamat yang diutus oleh Allah akan hidup selama-lamanya. Bagaimana kamu dapat berkata bahawa Anak Manusia harus ditinggikan di atas bumi? Siapakah Anak Manusia itu?'' 35 Yesus menjawab, "Cahaya itu akan bersama-sama kamu sebentar sahaja. Teruskanlah perjalanan selama cahaya itu masih ada, supaya kamu tidak ditimpa kegelapan. Seorang yang berjalan dalam kegelapan, tidak tahu ke mana dia pergi. 36 Percayalah kepada cahaya itu selama cahaya itu bersama-sama kamu, supaya kamu menjadi anak-anak cahaya itu.'' Setelah Yesus berkata demikian, Dia pergi dari sana lalu menyembunyikan diri daripada mereka. 37 Meskipun Dia sudah melakukan semua mukjizat itu di hadapan mereka, mereka tidak percaya kepada-Nya. 38 Oleh itu berlakulah nubuat Nabi Yesaya, "Ya Tuhan, siapakah yang percaya akan perkhabaran kami? Kepada siapakah kuasa Tuhan ditunjukkan?'' 39 Itulah sebabnya mereka tidak dapat percaya, kerana Yesaya juga berkata, 40 "Allah berfirman, `Aku sudah membutakan mata mereka, dan menjadikan mereka keras kepala, supaya mata mereka tidak dapat melihat, dan fikiran mereka tidak dapat mengerti, sehingga mereka tidak kembali kepada-Ku untuk Aku sembuhkan.' '' 41 Yesaya berkata demikian kerana dia sudah melihat kemuliaan Yesus lalu berkata-kata tentang Dia. 42 Walaupun demikian, banyak juga penguasa Yahudi yang percaya kepada Yesus. Tetapi kerana mereka takut dilarang masuk ke rumah ibadat oleh orang Farisi, mereka tidak berani mengakui Yesus secara terang-terangan. 43 Mereka lebih suka dipuji oleh manusia daripada dipuji oleh Allah. 44 Lalu Yesus berseru, "Sesiapa yang percaya kepada-Ku, bukan sahaja percaya kepada-Ku, tetapi juga kepada Dia yang mengutus Aku. 45 Sesiapa yang melihat Aku, juga melihat Dia yang mengutus Aku. 46 Aku datang ke dunia ini sebagai cahaya, supaya tiap-tiap orang yang percaya kepada-Ku tidak tinggal dalam kegelapan. 47 Jika seseorang mendengar ajaran-Ku tetapi tidak mentaatinya, Aku tidak akan menghukum dia. Aku datang, bukan untuk menghukum dunia ini tetapi untuk menyelamatkannya. 48 Sesiapa yang menolak Aku dan tidak menerima perkhabaran-Ku, sudah ada yang akan menghakiminya. Perkhabaran yang Aku sampaikan ini akan menghakiminya pada Hari Kiamat! 49 Aku tidak berkata-kata menurut kemahuan-Ku sendiri, kerana Bapa yang mengutus Aku memerintahkan Aku mengatakan apa yang harus disampaikan. 50 Aku tahu bahawa perintah-Nya itu memberikan hidup sejati dan kekal. Oleh itu Aku menyampaikan perkhabaran seperti yang diberitahukan oleh Bapa kepada-Ku.''

Yohanes 13

1 Sehari sebelum Perayaan Paska, Yesus tahu bahawa tiba masanya Dia meninggalkan dunia ini dan kembali kepada Bapa. Yesus mengasihi semua pengikut-Nya di dunia, dan Dia tetap mengasihi mereka sampai akhir. 2 Yesus dan pengikut-pengikut-Nya sedang makan malam. Iblis sudah menimbulkan hasrat dalam hati Yudas anak Simon Iskariot untuk mengkhianati Yesus. 3 Yesus tahu bahawa Bapa sudah menyerahkan segala kekuasaan kepada-Nya. Yesus juga tahu bahawa Dia datang daripada Allah dan akan kembali kepada Allah. 4 Oleh itu Yesus berdiri, menanggalkan jubah-Nya lalu mengikat sehelai tuala pada pinggang-Nya. 5 Dia menuang air ke dalam sebuah besen lalu mula membasuh kaki pengikut-pengikut-Nya dan mengeringkannya dengan tuala yang terikat pada pinggang-Nya. 6 Apabila Yesus sampai kepada Simon Petrus, Petrus berkata, "Adakah Tuhan akan membasuh kakiku?'' 7 Yesus menjawab, "Sekarang kamu tidak memahami apa yang sedang Aku lakukan, tetapi pada kemudian hari kamu akan faham.'' 8 Petrus berkata kepada Yesus, "Jangan Tuhan! Tuhan tidak boleh membasuh kakiku!'' Tetapi Yesus menjawab, "Jika Aku tidak membasuh kakimu, kamu bukan lagi pengikut-Ku.'' 9 Simon Petrus berkata, "Ya Tuhan, jika demikian jangan basuh kakiku sahaja, basuhlah tangan dan kepalaku juga!'' 10 Yesus berkata kepadanya, "Sesiapa sudah mandi, seluruh badannya bersih; dia perlu membasuh kaki sahaja. Kamu semuanya bersih, kecuali seorang.'' ( 11 Yesus mengetahui siapa yang akan mengkhianati Dia. Itulah sebabnya Yesus berkata, "Kamu semuanya bersih, kecuali seorang.'') 12 Setelah Yesus membasuh kaki mereka, Dia mengenakan jubah-Nya kembali lalu duduk semula. Dia berkata kepada mereka, "Adakah kamu memahami apa yang baru sahaja Aku lakukan untuk kamu? 13 Kamu memanggil Aku Guru dan Tuhan. Benarlah panggilan kamu itu, kerana Aku memang Guru dan Tuhan. 14 Jika Aku sebagai Tuhan dan Guru kamu, sudah membasuh kaki kamu, maka kamu wajib saling membasuh kaki. 15 Aku sudah memberikan teladan kepada kamu semua, supaya kamu juga melakukan apa yang sudah Aku lakukan untuk kamu. 16 Sungguh benar kata-kata-Ku ini: Seorang hamba tidak lebih penting daripada tuannya. Seorang utusan tidak lebih penting daripada orang yang mengutusnya. 17 Jika kamu mengetahui hal ini, berbahagialah kamu jika kamu melakukannya. 18 Apa yang Aku katakan itu bukanlah tentang kamu semua. Aku mengenal siapa-siapa yang sudah Aku pilih. Tetapi apa yang tertulis di dalam Alkitab harus berlaku, `Orang yang makan dengan Aku akan melawan Aku.' 19 Aku memberitahu kamu perkara ini sekarang, sebelum semuanya berlaku. Apabila perkara itu berlaku kelak, kamu akan percaya bahawa Akulah Dia yang menyebut diri-Nya AKU. 20 Sungguh benar kata-kata-Ku ini: Sesiapa yang menyambut orang yang Aku utus, menyambut Aku; sesiapa yang menyambut Aku, juga menyambut Dia yang mengutus Aku.'' 21 Setelah Yesus berkata demikian, hati-Nya gelisah. Lalu Dia berkata dengan terus terang, "Sungguh benar kata-kata-Ku ini: Salah seorang daripada kamu akan mengkhianati Aku.'' 22 Pengikut-pengikut Yesus saling memandang, kerana mereka tidak mengetahui orang yang dimaksudkan oleh-Nya. 23 Pengikut yang dikasihi oleh Yesus duduk di sebelah Yesus. 24 Oleh itu Simon Petrus memberikan isyarat kepadanya, "Tanyalah Guru, siapa yang dimaksudkan-Nya itu.'' 25 Pengikut itu mendekati Yesus lalu bertanya, "Siapakah dia, ya Tuhan?'' 26 Yesus menjawab, "Orang yang Aku berikan roti yang Aku celup ke dalam mangkuk, dialah orang itu.'' Oleh itu Yesus mengambil sedikit roti, mencelupnya ke dalam mangkuk, lalu memberikan roti itu kepada Yudas anak Simon Iskariot. 27 Sebaik sahaja Yudas menerima roti itu, Iblis masuk ke dalam hatinya. Lalu Yesus berkata kepadanya, "Segeralah lakukan apa yang mahu kamu lakukan!'' 28 Tidak seorang pun yang makan di situ memahami kata-kata Yesus kepada Yudas. 29 Kerana Yudas memegang beg wang mereka, beberapa orang pengikut menyangka Yesus menyuruh dia membeli bekalan yang diperlukan bagi perayaan itu, atau memberikan sedekah kepada orang miskin. 30 Yudas menerima roti itu, lalu segera keluar. Hari sudah malam. 31 Setelah Yudas meninggalkan tempat itu, Yesus berkata, "Sekarang Anak Manusia dimuliakan, dan Allah pun dimuliakan melalui Dia. 32 Jika Allah dimuliakan melalui Anak Manusia, Dia pun dimuliakan oleh Allah sendiri, dan Allah akan segera memuliakan Dia. 33 Anak-anak-Ku, Aku tidak akan tinggal lama lagi dengan kamu. Kamu akan mencari Aku, tetapi seperti yang sudah Aku katakan kepada para penguasa Yahudi, Aku katakan juga kepada kamu, `Kamu tidak dapat pergi ke tempat Aku pergi.' 34 Sekarang Aku memberikan perintah baru kepada kamu: Hendaklah kamu saling mengasihi. Sebagaimana Aku sudah mengasihi kamu, hendaklah kamu saling mengasihi. 35 Jika kamu saling mengasihi, semua orang akan tahu bahawa kamu pengikut-pengikut-Ku.'' 36 Simon Petrus bertanya kepada Yesus, "Ke manakah Tuhan mahu pergi?'' Yesus menjawab, "Ke tempat Aku pergi, engkau tidak dapat ikut sekarang, tetapi engkau akan mengikut Aku kelak.'' 37 Petrus bertanya lagi, "Tuhan, mengapa aku tidak dapat mengikut Tuhan sekarang? Aku sanggup mati untuk Tuhan!'' 38 Yesus menjawab, "Betulkah engkau sanggup mati untuk-Ku? Ketahuilah, sebelum ayam berkokok, tiga kali engkau akan berkata engkau tidak mengenal Aku!''

Yohanes 14

1 Yesus berkata kepada mereka, "Janganlah kamu risau. Percayalah kepada Allah dan percayalah kepada-Ku juga. 2 Di dalam rumah Bapa-Ku terdapat banyak tempat kediaman, dan Aku akan pergi menyediakan tempat untuk kamu. Aku tidak akan berkata demikian kepada kamu, sekiranya hal itu tidak begitu. 3 Setelah Aku pergi menyediakan tempat untuk kamu, Aku akan kembali lalu membawa kamu ke tempat-Ku, supaya kamu tinggal di tempat Aku tinggal. 4 Kamu mengetahui jalan ke tempat Aku pergi itu.'' 5 Tomas berkata kepada-Nya, "Tuhan, kami tidak tahu ke mana Tuhan pergi, bagaimanakah kami dapat mengetahui jalan itu?'' 6 Yesus menjawab, "Akulah jalan untuk mengenal Allah dan untuk mendapat hidup. Tidak seorang pun dapat datang kepada Bapa kecuali melalui Aku. 7 Kerana kamu mengenal Aku, kamu akan mengenal Bapa-Ku juga. Mulai sekarang kamu mengenal Dia dan sudah melihat Dia.'' 8 Filipus berkata kepada Yesus, "Ya Tuhan, tunjukkanlah Bapa kepada kami, supaya kami puas.'' 9 Tetapi Yesus menjawab, "Sudah lama Aku bersama-sama kamu semua, dan kamu belum mengenal Aku juga, Filipus? Orang yang sudah melihat Aku, sudah melihat Bapa. Mengapa kamu berkata, `Tunjukkanlah Bapa kepada kami'? 10 Filipus, tidakkah kamu percaya bahawa Aku bersatu dengan Bapa, dan Bapa bersatu dengan Aku? Apa yang Aku katakan kepada kamu semua, tidak datang daripada Aku sendiri. Bapa, yang tetap bersatu dengan Aku melakukan semua itu. 11 Percayalah kepada-Ku, bahawa Aku bersatu dengan Bapa, dan Bapa bersatu dengan Aku. Jika kamu tidak percaya kepada apa yang Aku katakan, percayalah kepada-Ku kerana perkara-perkara yang sudah Aku lakukan. 12 Sungguh benar kata-kata-Ku ini: Sesiapa yang percaya kepada-Ku akan melakukan apa yang Aku lakukan, bahkan dia akan melakukan hal-hal yang lebih besar lagi, kerana Aku pergi kepada Bapa. 13 Aku akan melakukan apa sahaja yang kamu minta demi nama-Ku, supaya kemuliaan Bapa akan dinyatakan melalui Anak-Nya. 14 Apa sahaja yang kamu minta daripada-Ku demi nama-Ku, Aku akan melakukannya.'' 15 "Jika kamu mengasihi Aku, kamu akan mentaati perintah-perintah-Ku. 16 Aku akan memohon kepada Bapa dan Bapa akan memberi kamu Penolong lain, yang akan bersama-sama kamu selama-lamanya. 17 Dia Roh Allah, yang menunjukkan apa yang benar tentang Allah. Dunia tidak dapat menerima Dia, kerana dunia tidak dapat melihat Dia ataupun mengenal Dia. Tetapi kamu mengenal Dia, kerana Dia tinggal dengan kamu dan bersatu dengan kamu. 18 Aku tidak akan meninggalkan kamu sendirian seperti yatim piatu; Aku akan kembali kepada kamu. 19 Tidak lama lagi, dunia tidak akan melihat Aku lagi, tetapi kamu akan melihat Aku. Kerana Aku hidup, kamu pun akan hidup. 20 Apabila hari itu tiba, barulah kamu tahu bahawa Aku bersatu dengan Bapa, kamu bersatu dengan Aku, dan Aku pun bersatu dengan kamu. 21 Sesiapa yang menerima dan melakukan perintah-perintah-Ku, mengasihi Aku. Bapa-Ku akan mengasihi sesiapa yang mengasihi Aku. Aku pun akan mengasihi orang itu dan menunjukkan diri kepadanya.'' 22 Yudas (bukan Yudas Iskariot) berkata kepada Yesus, "Tuhan, mengapa Tuhan menunjukkan diri kepada kami dan bukan kepada dunia?'' 23 Yesus menjawab, "Sesiapa mengasihi Aku akan mentaati ajaran-Ku. Bapa-Ku akan mengasihi dia. Bapa-Ku dan Aku akan datang kepada orang itu dan tinggal dengan dia. 24 Sesiapa yang tidak mengasihi Aku, tidak mentaati ajaran-Ku. Ajaran yang kamu dengar ini bukan daripada Aku, tetapi daripada Bapa yang mengutus Aku. 25 Aku memberitahu kamu semua ini semasa Aku masih bersama-sama kamu. 26 Tetapi Roh Allah, Penolong yang akan diutus oleh Bapa demi nama-Ku, akan mengajar kamu segala-galanya dan akan mengingatkan kamu segala yang telah Aku katakan kepada kamu. 27 Kesejahteraan Aku tinggalkan dengan kamu; kesejahteraan-Ku sendiri yang Aku berikan kepada kamu. Kesejahteraan yang Aku berikan kepada kamu bukan seperti yang diberikan oleh dunia. Janganlah kamu risau dan janganlah takut. 28 Kamu sudah mendengar Aku berkata, `Aku akan pergi, tetapi Aku akan kembali kepada kamu.' Jika kamu mengasihi Aku, kamu akan bersukacita kerana Aku pergi kepada Bapa, oleh sebab Bapa lebih besar daripada Aku. 29 Demikianlah Aku memberitahukan semua ini kepada kamu sekarang, sebelum semuanya berlaku, supaya apabila berlaku kelak, kamu akan percaya kepada-Ku. 30 Aku tidak boleh berkata-kata lebih lama lagi dengan kamu, kerana sudah tiba masanya penguasa dunia ini datang. Dia tidak berkuasa atas diri-Ku. 31 Tetapi Aku melakukan segala yang diperintahkan oleh Bapa, supaya dunia tahu bahawa Aku mengasihi Bapa. Marilah kita pergi dari sini.''

Yohanes 15

1 Yesus berkata lagi, "Aku pokok anggur yang sejati, dan Bapa-Ku peladang anggur. 2 Setiap carang-Ku yang tidak berbuah dikerat oleh-Nya, dan setiap carang yang berbuah dipangkas oleh-Nya supaya bersih dan berbuah lebih lebat. 3 Kamu sudah dibersihkan oleh ajaran yang Aku ajarkan kepada kamu. 4 Tetaplah bersatu dengan Aku dan Aku pun akan tetap bersatu dengan kamu. Carang sendiri tidak dapat berbuah, kecuali tetap pada pokoknya. Demikian juga kamu; kamu hanya dapat berbuah, jika kamu tetap bersatu dengan Aku. 5 Akulah pokok anggur dan kamu carang-carangnya. Sesiapa yang tetap bersatu dengan Aku, dan Aku dengan dia, akan berbuah lebat; kerana tanpa Aku, kamu tidak dapat berbuat apa-apa. 6 Sesiapa yang tidak tetap bersatu dengan Aku, akan dikerat seperti carang lalu menjadi kering. Carang-carang seperti itu akan dikumpulkan lalu dibuang ke dalam api dan dibakar. 7 Jika kamu tetap bersatu dengan Aku, dan ajaran-Ku kamu simpan di dalam hati, mintalah apa sahaja yang kamu kehendaki daripada Bapa, dan permintaan kamu itu akan dipenuhi. 8 Kemuliaan Bapa-Ku dinyatakan apabila kamu berbuah lebat, dan dengan demikian kamu betul-betul pengikut-Ku. 9 Aku mengasihi kamu seperti Bapa mengasihi Aku. Hendaklah kamu tetap hidup sebagai orang yang Aku kasihi. 10 Jika kamu mentaati perintah-Ku, Aku akan tetap mengasihi kamu, seperti Bapa tetap mengasihi Aku kerana Aku mentaati perintah-Nya. 11 Semua ini Aku katakan kepada kamu supaya kegembiraan-Ku ada di dalam hati kamu dan kegembiraan kamu menjadi sempurna. 12 Inilah perintah-Ku: Hendaklah kamu saling mengasihi, seperti Aku mengasihi kamu. 13 Jika seseorang mati bagi sahabat-sahabatnya, hal itu menunjukkan bahawa dia orang yang paling mengasihi mereka. 14 Kamu sahabat-sahabat-Ku, jika kamu melakukan apa yang Aku perintahkan. 15 Aku tidak lagi memanggil kamu hamba, kerana hamba tidak mengetahui apa yang sedang dilakukan oleh tuannya. Aku memanggil kamu sahabat-sahabat-Ku, kerana Aku sudah memberitahu kamu segala yang telah Aku dengar daripada Bapa-Ku. 16 Kamu tidak memilih Aku. Akulah yang memilih kamu dan menugaskan kamu supaya pergi dan berbuah lebat, buah yang akan tahan. Dengan demikian Bapa akan mengabulkan apa sahaja yang kamu minta daripada-Nya demi nama-Ku. 17 Inilah perintah-Ku kepada kamu: Hendaklah kamu saling mengasihi.'' 18 "Jika dunia membenci kamu, ingatlah bahawa dunia sudah membenci Aku lebih dahulu. 19 Jika kamu milik dunia, dunia akan mengasihi kamu seolah-olah kamu anak-anaknya sendiri. Tetapi Aku sudah memilih kamu supaya tidak menjadi milik dunia, dan kamu sekarang bukan lagi milik dunia. Itulah sebabnya dunia membenci kamu. 20 Ingatlah akan apa yang sudah Aku katakan kepada kamu, `Seorang hamba tidak lebih penting daripada tuannya.' Jika mereka menganiaya Aku, mereka akan menganiaya kamu juga. Jika mereka mentaati ajaran-Ku, mereka akan mentaati ajaran kamu juga. 21 Mereka akan menganiaya kamu, kerana kamu pengikut-pengikut-Ku dan kerana mereka tidak mengenal Dia yang mengutus Aku. 22 Mereka tidak berdosa jika Aku tidak datang dan mengatakan semua itu kepada mereka. Tetapi sekarang mereka tidak dapat berkata, `Kami tidak tahu bahawa perbuatan kami jahat.' 23 Sesiapa yang membenci Aku, membenci Bapa-Ku juga. 24 Mereka tidak berdosa jika Aku tidak melakukan perkara-perkara yang belum pernah dilakukan orang di kalangan mereka. Tetapi sekarang mereka sudah melihat apa yang Aku lakukan, lalu mereka membenci Aku mahupun Bapa-Ku. 25 Memang sudah seharusnya demikian, supaya berlakulah apa yang tertulis di dalam Taurat mereka, `Mereka membenci Aku tanpa alasan.' 26 Aku akan mengutus Penolong yang berasal daripada Bapa kepada kamu. Dia Roh yang akan menunjukkan apa yang benar tentang Allah. Apabila Dia datang, Dia akan memberikan kesaksian tentang Aku. 27 Kamu pun akan memberikan kesaksian tentang Aku, kerana kamu semua bersama-sama Aku sejak permulaan.

Yohanes 16

1 Aku sudah memberitahu kamu semua ini supaya kamu tidak kecewa sehingga tidak lagi percaya kepada-Ku. 2 Mereka akan melarang kamu masuk ke rumah ibadat. Akan tiba masanya sesiapa yang membunuh kamu menyangka bahawa dengan perbuatan itu dia mengabdi kepada Allah. 3 Mereka akan melakukan perkara-perkara ini terhadap kamu, kerana mereka belum mengenal Bapa ataupun Aku. 4 Tetapi sekarang Aku sudah mengatakan semua ini kepada kamu, supaya apabila hal itu berlaku kelak, kamu akan ingat bahawa Aku sudah memberitahu kamu.'' "Aku tidak memberitahu kamu hal ini dari permulaan, kerana Aku masih bersama-sama kamu. 5 Tetapi sekarang Aku akan pergi kepada Dia yang mengutus Aku, tetapi tidak seorang pun daripada kamu bertanya, `Ke mana Guru mahu pergi?' 6 Sekarang kamu sedih, kerana Aku sudah memberitahu kamu hal ini. 7 Tetapi apa yang Aku katakan kepada kamu benar: Untuk kebaikan kamu, lebih baik Aku pergi. Jika Aku tidak pergi, Penolong itu tidak akan datang kepada kamu. Tetapi jika Aku pergi, Aku akan mengutus Dia kepada kamu. 8 Apabila Dia datang kelak, Dia akan membuktikan kepada orang dunia bahawa pendapat mereka tentang dosa, tentang apa yang benar, dan tentang hukuman Allah, semuanya salah. 9 Pendapat mereka tentang dosa salah, kerana mereka tidak percaya kepada-Ku. 10 Pendapat mereka tentang apa yang benar itu salah, kerana Aku pergi kepada Bapa dan kamu tidak akan melihat Aku lagi. 11 Pendapat mereka tentang hukuman Allah pun salah, kerana penguasa dunia ini sudah dihukum. 12 Banyak lagi yang hendak Aku katakan kepada kamu, tetapi sekarang ini kamu belum sanggup menerimanya. 13 Tetapi apabila Roh yang menunjukkan apa yang benar tentang Allah itu datang, Roh akan membimbing kamu supaya mengetahui segala kebenaran itu. Roh tidak akan mengatakan apa-apa menurut kehendak-Nya sendiri. Dia akan mengatakan apa yang didengar-Nya dan memberitahu kamu perkara-perkara yang akan berlaku. 14 Roh akan memuliakan Aku, kerana apa yang dinyatakan oleh Roh kepada kamu, diterima daripada Aku. 15 Semua milik Bapa-Ku milik-Ku juga. Itulah sebabnya Aku berkata bahawa apa yang disampaikan oleh Roh kepada kamu, diterima daripada Aku.'' 16 Yesus berkata, "Tidak lama lagi kamu tidak akan melihat Aku, lalu tidak lama kemudian kamu akan melihat Aku.'' 17 Beberapa orang pengikut Yesus bertanya sesama sendiri, "Apakah maksud Dia berkata, `Tidak lama lagi kamu tidak akan melihat Aku, lalu tidak lama kemudian kamu akan melihat Aku'? Dia juga berkata, `Aku akan pergi kepada Bapa.' 18 Apakah erti `tidak lama lagi' itu? Kita tidak memahami apa yang dikatakan-Nya!'' 19 Yesus tahu bahawa mereka hendak bertanya kepada-Nya. Oleh itu Dia berkata kepada mereka, "Tadi Aku berkata, `Tidak lama lagi kamu tidak akan melihat Aku, lalu tidak lama kemudian kamu akan melihat Aku.' Adakah kamu mempersoalkan hal itu? 20 Percayalah, kamu akan menangis dan meratap, tetapi dunia akan bersukacita. Kamu akan bersedih hati, tetapi kesedihan kamu itu akan berubah menjadi kegembiraan. 21 Apabila seorang perempuan hendak melahirkan anak, hatinya susah kerana masa penderitaannya sudah tiba. Tetapi ketika anak itu lahir, dia lupa akan penderitaannya. Dia bersukacita, kerana seorang anak sudah dilahirkan ke dunia. 22 Demikianlah halnya dengan kamu: Sekarang kamu susah hati, tetapi Aku akan berjumpa lagi dengan kamu. Hati kamu akan dipenuhi kegembiraan yang tidak dapat diambil oleh sesiapa pun. 23 Pada hari itu, kamu tidak akan bertanya apa-apa lagi kepada-Ku. Percayalah, Bapa akan mengurniai kamu apa sahaja yang kamu minta daripada Bapa demi nama-Ku. 24 Hingga saat ini kamu belum pernah minta apa-apa demi nama-Ku. Mintalah, lalu kamu akan menerimanya, supaya kegembiraan kamu sempurna.'' 25 "Aku sudah mengatakan segala perkara ini kepada kamu dengan perumpamaan. Tetapi akan tiba masanya Aku tidak lagi berkata-kata kepada kamu dengan perumpamaan, melainkan Aku akan berkata-kata dengan terus terang kepada kamu tentang Bapa. 26 Pada masa itu, kamu akan meminta kepada Bapa demi nama-Ku. Aku tidak berkata bahawa Aku akan meminta kepada-Nya bagi pihak kamu, 27 kerana Bapa sendiri mengasihi kamu. Dia mengasihi kamu kerana kamu mengasihi Aku dan percaya bahawa Aku datang daripada Allah. 28 Aku memang berasal daripada Bapa, dan Aku sudah datang ke dunia. Tetapi sekarang Aku meninggalkan dunia ini lalu kembali kepada Bapa.'' 29 Lalu pengikut-pengikut-Nya berkata kepada Dia, "Sekarang barulah Guru berkata dengan terus terang, tanpa menggunakan perumpamaan. 30 Sekarang kami tahu bahawa Guru mengetahui semuanya. Tidak perlu sesiapa pun bertanya apa-apa kepada Guru. Oleh itu kami percaya bahawa Guru berasal daripada Allah.'' 31 Yesus berkata kepada mereka, "Adakah kamu percaya sekarang? 32 Saatnya akan datang, malah sudah tiba, apabila kamu akan dicerai-beraikan. Kamu akan pulang ke rumah masing-masing dan meninggalkan Aku seorang diri. Meskipun demikian, Aku tidak sendirian, kerana Bapa bersama-sama Aku. 33 Aku mengatakan semua ini supaya kamu beroleh kesejahteraan kerana bersatu dengan Aku. Di dunia kamu akan menderita, tetapi tabahkanlah hati kamu, kerana Aku sudah mengalahkan dunia!''

Yohanes 17

1 Setelah berkata demikian, Yesus menengadah ke langit lalu berkata, "Ya Bapa, sekarang tibalah saatnya. Muliakanlah Anak-Mu, supaya Anak pun boleh memuliakan Bapa. 2 Engkau sudah memberikan kuasa atas umat manusia kepada Anak-Mu, supaya Anak-Mu memberikan hidup sejati dan kekal kepada semua orang yang Engkau serahkan kepada-Nya. 3 Jika orang mengenal Engkau, satu-satunya Allah yang benar, dan mengenal Yesus Kristus yang sudah Engkau utus, maka mereka mendapat hidup sejati dan kekal. 4 Aku sudah memuliakan Engkau di atas bumi dengan menyelesaikan tugas yang Engkau berikan kepada-Ku. 5 Ya Bapa, muliakanlah Aku sekarang dengan kemuliaan yang Aku miliki bersama-sama-Mu sebelum dunia ini dijadikan. 6 Aku sudah menunjukkan Engkau kepada semua orang dari dunia ini yang Engkau serahkan kepada-Ku. Mereka milik-Mu, dan Engkau menyerahkan mereka kepada-Ku. Mereka mentaati firman-Mu, 7 dan sekarang mereka tahu bahawa semua yang Engkau berikan kepada-Ku datangnya daripada-Mu. 8 Perkhabaran yang Engkau berikan kepada-Ku sudah Aku sampaikan kepada mereka, dan mereka menerimanya. Mereka tahu bahawa Aku betul-betul datang daripada Engkau dan mereka percaya bahawa Engkau mengutus Aku. 9 Aku berdoa untuk mereka. Aku tidak berdoa untuk dunia, melainkan untuk semua orang yang sudah Engkau serahkan kepada-Ku, kerana mereka milik-Mu. 10 Semua milik-Ku, milik-Mu juga; dan semua milik-Mu, milik-Ku juga. Kemuliaan-Ku dinyatakan melalui mereka. 11 Sekarang Aku datang kepada-Mu. Aku tidak tinggal lagi di dunia, tetapi mereka masih di dunia. Ya Bapa yang suci, jagalah mereka dengan kekuasaan nama-Mu, nama yang sudah Engkau berikan kepada-Ku, supaya mereka menjadi satu, seperti Engkau dan Aku juga satu. 12 Semasa Aku bersama-sama mereka, Aku menjaga mereka dengan kekuasaan nama-Mu; nama yang Engkau berikan kepada-Ku. Aku melindungi mereka dan tidak seorang pun daripada mereka sesat, kecuali orang yang memang seharusnya sesat, supaya apa yang tertulis di dalam Alkitab berlaku. 13 Sekarang Aku datang kepada-Mu. Perkara-perkara ini Aku katakan sementara Aku masih di dunia, supaya mereka boleh merasakan kegembiraan-Ku dengan sepenuhnya. 14 Aku menyampaikan firman-Mu kepada mereka, lalu dunia membenci mereka kerana mereka bukan milik dunia, sebagaimana Aku pun bukan milik dunia. 15 Aku tidak meminta Engkau mengeluarkan mereka dari dunia, tetapi Aku meminta Engkau menjaga mereka daripada Si Jahat. 16 Sebagaimana Aku bukan milik dunia, mereka pun bukan milik dunia. 17 Jadikanlah mereka milik-Mu yang khas melalui firman-Mu yang benar; firman-Mu selalu benar. 18 Aku mengutus mereka ke dunia sebagaimana Engkau mengutus Aku ke dunia. 19 Bagi kepentingan mereka, Aku mengabdikan diri kepada-Mu, supaya mereka pun mengabdikan diri kepada-Mu. 20 Aku berdoa bukan untuk mereka sahaja, tetapi juga untuk semua orang yang percaya kepada-Ku melalui perkhabaran mereka. 21 Ya Bapa, Aku berdoa supaya mereka semua menjadi satu, sebagaimana Engkau bersatu dengan-Ku, dan Aku dengan-Mu. Semoga mereka menjadi satu dengan Kita supaya dunia percaya bahawa Engkau mengutus Aku. 22 Aku memberi mereka kemuliaan yang Engkau berikan kepada-Ku, supaya mereka menjadi satu, seperti Engkau dan Aku satu juga; 23 Aku bersatu dengan mereka dan Engkau bersatu dengan Aku, supaya mereka benar-benar menjadi satu. Lalu dunia akan tahu bahawa Engkau mengutus Aku dan bahawa Engkau mengasihi mereka sebagaimana Engkau mengasihi Aku. 24 Ya Bapa, Aku ingin supaya mereka yang sudah Engkau serahkan kepada-Ku bersama-sama Aku di tempat Aku ada, supaya mereka boleh melihat kemuliaan yang Engkau berikan kepada-Ku, kerana Engkau mengasihi Aku sebelum dunia ini dijadikan. 25 Ya Bapa yang adil! Dunia tidak mengenal Engkau, tetapi Aku mengenal Engkau, dan semua orang ini tahu bahawa Engkau mengutus Aku. 26 Aku sudah menunjukkan Engkau kepada mereka; Aku akan terus berbuat demikian, supaya kasih-Mu kepada-Ku tetap di dalam hati mereka dan supaya Aku bersatu dengan mereka.''

Yohanes 18

1 Setelah Yesus berdoa demikian, Dia pergi dengan pengikut-pengikut-Nya ke seberang Sungai Kidron. Di situ Yesus dan pengikut-pengikut-Nya masuk ke sebuah taman. 2 Yudas, pengkhianat itu, mengetahui tempat itu, kerana telah banyak kali Yesus berkumpul dengan pengikut-pengikut-Nya di situ. 3 Oleh itu Yudas pergi ke tempat itu sambil membawa sepasukan askar Roma dan beberapa orang pengawal Rumah Tuhan yang disuruh oleh ketua-ketua imam dan orang Farisi. Mereka membawa senjata, lentera, dan suluh. 4 Yesus mengetahui semua yang akan berlaku terhadap diri-Nya. Oleh itu Dia menghampiri mereka lalu bertanya, "Siapakah yang kamu cari?'' 5 Mereka menjawab, "Yesus, orang dari Nasaret.'' Yesus berkata kepada mereka, "Akulah Dia.'' Yudas, pengkhianat itu, berdiri dengan mereka di situ. 6 Apabila Yesus berkata kepada mereka, "Akulah Dia,'' mereka semua undur lalu rebah ke tanah. 7 Sekali lagi Yesus bertanya kepada mereka, "Siapakah yang kamu cari?'' Mereka menjawab, "Yesus, orang dari Nasaret.'' 8 Yesus berkata, "Bukankah sudah Aku katakan bahawa Akulah Dia? Jika Aku yang kamu cari, biarkan pengikut-pengikut-Ku ini pergi.'' ( 9 Dia berkata demikian, supaya berlakulah apa yang dikatakan-Nya dahulu, "Ya Bapa, tidak seorang pun yang Engkau serahkan kepada-Ku akan sesat.'') 10 Simon Petrus yang mempunyai sebilah pedang, menghunusnya lalu mengerat telinga kanan hamba Imam Agung. Nama hamba itu Malkhus. 11 Lalu Yesus berkata kepada Petrus, "Sarungkanlah pedangmu kembali! Aku harus minum cawan penderitaan yang diberikan oleh Bapa kepada-Ku.'' 12 Kemudian askar-askar Roma dengan komandan mereka dan pengawal-pengawal Yahudi menangkap dan mengikat Yesus. 13 Mula-mula mereka membawa Yesus menghadap Hanas, bapa mentua Kayafas. Kayafas bertugas sebagai Imam Agung pada tahun itu. 14 Dialah yang menasihati para penguasa Yahudi bahawa lebih baik satu orang mati untuk seluruh umat. 15 Simon Petrus dan seorang pengikut lain mengikuti Yesus. Pengikut lain ini dikenal oleh Imam Agung. Oleh itu pengikut itu masuk bersama-sama Yesus ke halaman rumah Imam Agung, 16 sedangkan Petrus menunggu di luar, di hadapan pintu. Kemudian pengikut lain itu, keluar lagi. Dia bercakap dengan hamba perempuan yang menjaga pintu, lalu membawa Petrus masuk ke dalam. 17 Hamba perempuan yang menjaga pintu itu berkata kepada Petrus, "Bukankah kamu salah seorang pengikut orang itu?'' Petrus menjawab, "Bukan.'' 18 Pada waktu itu udara sejuk. Para hamba dan pengawal di situ sudah menyalakan api arang dan sedang berdiang. Petrus menghampiri mereka dan berdiri berdiang dengan mereka. 19 Imam Agung itu menyoal Yesus tentang pengikut-pengikut-Nya dan ajaran-Nya. 20 Yesus menjawab, "Aku sentiasa berkata-kata dengan terus terang di hadapan umum. Aku selalu mengajar di rumah ibadat dan di Rumah Tuhan, tempat semua orang Yahudi berkumpul. Tidak pernah Aku berkata apa-apa dengan sembunyi-sembunyi. 21 Mengapakah kamu menyoal Aku? Tanyalah mereka yang pernah mendengar Aku mengajar. Mereka mengetahui apa yang Aku katakan.'' 22 Ketika Yesus berkata demikian, salah seorang pengawal di situ menampar Dia sambil berkata, "Berani sungguh kamu berkata demikian kepada Imam Agung!'' 23 Yesus berkata kepadanya, "Jika Aku sudah berkata apa-apa yang salah, katakanlah kepada semua orang di sini apa kesalahan itu. Tetapi jika kata-kata-Ku benar, mengapa kamu menampar Aku?'' 24 Kemudian Hanas menyuruh orang membawa Yesus, yang masih terikat itu, kepada Imam Agung Kayafas. 25 Simon Petrus masih juga berdiri berdiang di situ. Semua orang lain di situ bertanya kepadanya, "Bukankah kamu salah seorang pengikut orang itu?'' Petrus menjawab, "Bukan!'' 26 Seorang daripada hamba-hamba Imam Agung ada di situ. Dia saudara kepada orang yang telinganya dikerat oleh Petrus. Dia berkata kepada Petrus, "Bukankah kamu yang aku lihat di taman itu bersama-sama dia?'' 27 Petrus berkata lagi, "Bukan.'' Tepat pada waktu itu ayam berkokok. 28 Pagi-pagi sekali, mereka membawa Yesus dari rumah Kayafas ke istana gabenor. Para penguasa Yahudi tidak masuk ke dalam istana, supaya mereka tidak menjadi najis dari segi agama, kerana mereka mahu makan Perjamuan Paska. 29 Oleh itu Pilatus keluar untuk menjumpai mereka. Dia bertanya, "Apakah tuduhan kamu terhadap orang ini?'' 30 Mereka menjawab, "Kami tidak akan membawa dia menghadap tuan jika dia tidak bersalah.'' 31 Pilatus berkata kepada mereka, "Ambillah dia dan adililah dia menurut hukum kamu sendiri.'' Tetapi mereka menjawab, "Kami tidak dibenarkan menghukum mati sesiapa pun.'' ( 32 Hal ini berlaku supaya terjadilah apa yang dikatakan oleh Yesus tentang cara Dia akan mati.) 33 Pilatus masuk kembali ke istana lalu memanggil Yesus. Dia bertanya kepada-Nya, "Adakah kamu raja orang Yahudi?'' 34 Yesus menjawab, "Adakah pertanyaan ini daripadamu atau orang lain sudah memberitahu kamu tentang diri-Ku?'' 35 Pilatus menjawab, "Adakah aku ini orang Yahudi? Bangsamu sendiri dan ketua-ketua imam sudah menyerahkan kamu kepadaku. Apakah yang sudah kamu lakukan?'' 36 Yesus berkata, "Pemerintahan-Ku bukan dari dunia ini. Jika pemerintahan-Ku dari dunia ini, semua orang-Ku akan melawan supaya Aku tidak diserahkan kepada para penguasa Yahudi. Tidak, pemerintahan-Ku bukan dari dunia ini!'' 37 Oleh itu Pilatus bertanya kepada-Nya, "Jika demikian, adakah kamu ini raja?'' Yesus menjawab, "Kamu yang berkata bahawa Aku raja. Aku dilahirkan dan datang ke dunia untuk satu maksud sahaja; Aku datang untuk berkata tentang apa yang benar. Sesiapa yang menerima apa yang benar, mendengarkan Aku.'' 38 Pilatus bertanya kepada-Nya, "Apakah yang benar itu?'' Kemudian Pilatus keluar lagi dari istana dan berkata kepada semua orang Yahudi di situ, "Aku tidak mendapat alasan apa pun untuk menghukum dia. 39 Tetapi menurut kebiasaan kamu, aku selalu membebaskan seorang tahanan pada Perayaan Paska. Adakah kamu mahu aku melepaskan raja orang Yahudi ini?'' 40 Mereka menjawab sambil berseru, "Tidak! Bukan dia! Bebaskan Barabas!'' (Barabas seorang perompak.)

Yohanes 19

1 Kemudian Pilatus menyuruh orang mencambuk Yesus. 2 Askar-askar membuat sebuah mahkota daripada ranting-ranting berduri, lalu mengenakannya pada kepala Yesus. Mereka mengenakan jubah ungu pada-Nya, 3 lalu berulang kali datang kepada-Nya sambil berkata, "Daulat, raja orang Yahudi!'' Setelah itu mereka menampar Dia. 4 Pilatus keluar sekali lagi dan berkata kepada orang ramai di situ, "Lihatlah, aku membawa dia ke luar, supaya kamu tahu bahawa aku tidak mendapat alasan apa pun untuk menghukum dia.'' 5 Demikianlah Yesus keluar dengan memakai mahkota duri dan jubah ungu. Pilatus berkata kepada mereka, "Lihatlah orang ini!'' 6 Ketika ketua-ketua imam dan para pengawal Rumah Tuhan melihat Yesus, mereka berseru, "Salibkan dia! Salibkan dia!'' Pilatus berkata kepada mereka, "Ambillah dia! Kamu sendiri salibkan dia, kerana aku tidak mendapat alasan apa pun untuk menghukum dia.'' 7 Semua orang Yahudi di situ menjawab, "Menurut hukum kami dia harus dihukum mati kerana dia mengaku dirinya Anak Allah.'' 8 Apabila Pilatus mendengar kata-kata mereka, dia lebih takut lagi. 9 Lalu dia masuk kembali ke istana dan bertanya kepada Yesus, "Kamu berasal dari mana?'' Tetapi Yesus tidak menjawab. 10 Pilatus berkata kepada-Nya, "Tidakkah kamu mahu berkata apa-apa kepadaku? Ketahuilah bahawa aku berkuasa membebaskan kamu ataupun menyalibkan kamu!'' 11 Yesus menjawab, "Kamu sama sekali tidak berkuasa atas diri-Ku kecuali Allah memberikan kuasa itu kepadamu. Oleh itu orang yang menyerahkan Aku kepadamu, dosanya lebih besar daripada dosamu.'' 12 Apabila Pilatus mendengar kata-kata ini, dia berusaha untuk membebaskan Yesus. Tetapi semua orang Yahudi di situ berseru, "Jika tuan membebaskan dia, tuan bukan sahabat Kaisar. Sesiapa yang mengaku dirinya raja, melawan Kaisar!'' 13 Apabila Pilatus mendengar kata-kata itu, dia membawa Yesus ke luar lalu duduk di kerusi pengadilan di tempat yang bernama "Lantai Batu.'' (Dalam bahasa Ibrani namanya "Gabata''.) 14 Masa itu hampir pukul dua belas tengah hari, dan esok Perayaan Paska. Pilatus berkata kepada semua orang di situ, "Inilah raja kamu!'' 15 Mereka berseru, "Bunuh dia! Bunuh dia! Salibkan dia!'' "Kamu mahu aku menyalib raja kamu?'' tanya Pilatus. Ketua-ketua imam menjawab, "Kaisar satu-satunya raja kami!'' 16 Kemudian Pilatus menyerahkan Yesus kepada mereka untuk disalibkan. Mereka mengambil Yesus dan membawa Dia pergi. 17 Sambil memikul salib-Nya, Yesus pergi ke luar bandar ke tempat yang bernama "Tempat Tengkorak.'' (Dalam bahasa Ibrani tempat itu disebut "Golgota''.) 18 Di situ Dia disalibkan. Dua orang lain juga disalibkan bersama-sama Yesus, seorang di sebelah kiri, seorang di sebelah kanan dan Yesus di tengah. 19 Pilatus menyuruh orang memasang papan kenyataan pada kayu salib Yesus. Papan kenyataan itu bertulis: "Yesus dari Nasaret, Raja Orang Yahudi''. 20 Banyak orang Yahudi membacanya kerana tempat Yesus disalibkan itu tidak jauh dari bandar. Tulisan itu dalam bahasa Ibrani, Latin, dan Yunani. 21 Ketua-ketua imam berkata kepada Pilatus, "Janganlah tulis, `Raja Orang Yahudi', melainkan tulislah: `Orang ini berkata, Aku Raja Orang Yahudi.' '' 22 Tetapi Pilatus menjawab, "Apa yang sudah aku tulis tidak boleh diubah!'' 23 Setelah askar-askar itu menyalibkan Yesus, mereka mengambil pakaian-Nya lalu membahaginya menjadi empat bahagian; dan masing-masing mendapat sebahagian. Mereka juga mengambil jubah-Nya yang dibuat daripada sehelai kain yang ditenun dari atas sampai ke bawah tanpa jahitan. 24 Askar-askar bercakap sesama sendiri, "Janganlah koyak jubah ini. Marilah kita buang undi untuk menentukan orang yang boleh mendapatnya.'' Hal ini berlaku supaya apa yang tertulis di dalam Alkitab terjadi, "Mereka membahagi-bahagi pakaian-Ku, dan membuang undi bagi jubah-Ku.'' Demikianlah yang dilakukan oleh askar-askar itu. 25 Ibu Yesus, saudara perempuan ibunya, Maria isteri Klopas, dan Maria Magdalena berdiri dekat salib itu. 26 Yesus nampak ibu-Nya dan pengikut yang dikasihi-Nya berdiri di situ. Oleh itu Yesus berkata kepada ibu-Nya, "Puan, dia anak puan.'' 27 Kemudian Yesus berkata kepada pengikut itu, "Dia ibumu.'' Sejak itu, ibu Yesus tinggal di rumah pengikut itu. 28 Yesus tahu bahawa sekarang semuanya sudah selesai, dan supaya apa yang tertulis di dalam Alkitab berlaku, Dia berkata, "Aku dahaga.'' 29 Di situ ada sebuah mangkuk yang penuh dengan wain murah. Sebuah bunga karang dicelupkan ke dalam wain itu, lalu dicucukkan pada hujung batang hisop, dan kemudian dihulurkan ke mulut Yesus. 30 Yesus mengecapnya lalu berkata, "Sudah selesai!'' Setelah itu Dia menundukkan kepala dan meninggal. 31 Hari itu sehari sebelum hari Sabat. Para penguasa Yahudi tidak mahu mayat orang yang disalibkan masih di kayu salib pada hari Sabat, apalagi hari Sabat kali ini hari perayaan yang khas. Oleh itu mereka meminta kebenaran Pilatus untuk mematahkan kaki orang yang disalibkan dan menurunkan mayat-mayat itu dari kayu salib. 32 Oleh itu askar-askar pergi mematahkan kaki kedua-dua orang yang disalibkan bersama-sama Yesus. 33 Tetapi apabila mereka sampai kepada Yesus, mereka melihat bahawa Dia sudah meninggal. Oleh itu mereka tidak mematahkan kaki-Nya. 34 Tetapi salah seorang askar menusuk rusuk Yesus dengan tombak, dan pada ketika itu juga keluarlah darah dan air. ( 35 Demikianlah orang yang telah melihat kejadian ini memberikan kesaksiannya, supaya kamu pun percaya. Kesaksiannya benar dan dia tahu bahawa apa yang dikatakannya benar.) 36 Hal ini berlaku supaya apa yang tertulis di dalam Alkitab terjadi, "Tidak satu pun daripada tulang-Nya akan dipatahkan.'' 37 Di dalam Alkitab juga tertulis, "Orang akan memandang Dia yang telah ditikam oleh mereka.'' 38 Setelah itu Yusuf yang berasal dari bandar Arimatea, meminta kebenaran Pilatus untuk mengambil jenazah Yesus. (Yusuf pengikut Yesus tetapi Yusuf tidak memberitahu orang hal itu, kerana dia takut akan penguasa Yahudi.) Pilatus meluluskan permintaannya, lalu Yusuf pergi mengambil jenazah Yesus. 39 Nikodemus yang dahulu pernah datang kepada Yesus pada waktu malam pun pergi dengan Yusuf. Nikodemus membawa ramuan mur dan gaharu sebanyak kira-kira tiga puluh kilogram. 40 Kedua-dua orang ini mengambil jenazah Yesus lalu membalutnya dengan kain linen dan ramuan menurut adat penguburan orang Yahudi. 41 Di tempat Yesus disalibkan ada sebuah taman. Di dalam taman itu terdapat sebuah kubur baru yang belum pernah digunakan. 42 Kerana kubur ini dekat dan hari Sabat sudah hampir bermula, mereka meletakkan jenazah Yesus di situ.

Yohanes 20

1 Pada pagi hari Minggu, semasa masih gelap, Maria Magdalena pergi ke kubur. Dia melihat batu penutup sudah digulingkan dari lubang kubur itu. 2 Oleh itu, dia lari mencari Simon Petrus dan pengikut lain yang dikasihi oleh Yesus, lalu berkata kepada mereka, "Jenazah Tuhan telah diambil dari kubur dan kami tidak mengetahui tempat Dia diletakkan!'' 3 Lalu Petrus dan pengikut lain itu pergi ke kubur. 4 Kedua-duanya berlari, tetapi pengikut lain itu mendahului Petrus dan tiba lebih awal di kubur. 5 Dia menjenguk ke dalam dan nampak kain linen di situ, tetapi dia tidak masuk ke dalam kubur. 6 Simon Petrus menyusul dari belakang; dia terus masuk ke dalam kubur itu. Dia nampak kain linen terletak di situ, 7 dan juga kain yang diikatkan pada kepala Yesus. Tetapi kain pengikat kepala itu tergulung tersendiri. 8 Kemudian pengikut lain itu yang lebih dahulu tiba di kubur, juga masuk. Dia melihat semuanya dan percaya. ( 9 Meskipun demikian mereka masih belum memahami apa yang tertulis di dalam Alkitab bahawa Dia harus bangkit daripada kematian.) 10 Kemudian pengikut-pengikut Yesus itu pulang. 11 Maria berdiri sambil menangis di hadapan kubur. Sambil menangis dia menjenguk ke dalam kubur itu. 12 Dia melihat dua malaikat berpakaian putih, duduk di tempat jenazah Yesus dibaringkan dahulu, satu malaikat pada sebelah kepala dan satu lagi pada sebelah kaki. 13 Malaikat-malaikat ini bertanya kepadanya, "Puan, mengapa menangis?'' Maria menjawab, "Jenazah Tuhan saya telah diambil dan saya tidak mengetahui tempat Dia diletakkan!'' 14 Setelah berkata demikian, Maria berpaling dan nampak Yesus berdiri di situ. Tetapi Maria tidak tahu bahawa Dia Yesus. 15 Yesus bertanya kepadanya, "Puan, mengapa menangis? Siapakah yang puan cari?'' Maria menyangka Dia itu tukang kebun. Oleh itu Maria berkata, "Tuan, jika tuan sudah memindahkan jenazah Yesus, beritahulah saya tempat tuan meletakkan jenazah-Nya, supaya saya boleh pergi mengambil jenazah-Nya.'' 16 Yesus berkata kepadanya, "Maria!'' Maria berpaling kepada Yesus lalu berkata dalam bahasa Ibrani, "Rabbuni!'' (yang bererti "guru''). 17 Tetapi Yesus berkata kepadanya, "Jangan pegang Aku, kerana Aku belum lagi kembali kepada Bapa. Pergilah kepada pengikut-pengikut-Ku dan beritahu mereka bahawa sekarang Aku sedang kembali kepada Bapa-Ku dan Bapamu, kepada Allah-Ku dan Allahmu.'' 18 Oleh itu, Maria pergi memberitahu pengikut-pengikut Yesus bahawa dia sudah melihat Tuhan dan bahawa Tuhan berkata demikian kepadanya. 19 Pada hari Minggu itu juga, apabila hari sudah petang, pengikut-pengikut Yesus berkumpul di sebuah rumah dengan pintu yang terkunci, kerana mereka takut akan para penguasa Yahudi. Kemudian Yesus datang berdiri di tengah-tengah mereka dan berkata, "Salam sejahtera!'' 20 Setelah berkata demikian, Dia menunjukkan tangan dan rusuk-Nya kepada mereka. Barulah mereka bersukacita melihat Tuhan. 21 Yesus berkata kepada mereka lagi, "Salam sejahtera! Sebagaimana Bapa mengutus Aku, demikian juga Aku mengutus kamu.'' 22 Kemudian Yesus menghembuskan nafas-Nya kepada mereka dan berkata, "Terimalah Roh Allah. 23 Sesiapa yang dosanya kamu ampunkan, orang itu diampuni oleh Allah. Sesiapa yang dosanya tidak kamu ampunkan, orang itu tidak diampuni oleh Allah.'' 24 Tomas (yang disebut Si Kembar), seorang daripada dua belas orang pengikut Yesus, tidak bersama-sama mereka ketika Yesus datang. 25 Oleh itu, pengikut-pengikut lain memberitahu Tomas, "Kami sudah melihat Tuhan!'' Tetapi Tomas menjawab, "Kecuali aku melihat bekas paku pada tangan-Nya dan meletakkan jariku pada bekas luka itu, serta meletakkan tanganku pada rusuk-Nya, aku tidak mahu percaya.'' 26 Seminggu kemudian, pengikut-pengikut Yesus berkumpul lagi di tempat itu dan Tomas hadir juga. Semua pintu terkunci, tetapi Yesus datang dan berdiri di tengah-tengah mereka lalu berkata, "Salam sejahtera!'' 27 Kemudian Yesus berkata kepada Tomas, "Letakkanlah jarimu di sini, dan lihatlah tangan-Ku. Hulurkanlah tanganmu dan letakkanlah pada rusuk-Ku. Janganlah ragu-ragu lagi, tetapi percayalah!'' 28 Tomas berkata kepada Yesus, "Ya Tuhanku! Ya Allahku!'' 29 Yesus berkata kepadanya, "Adakah kamu percaya kerana kamu sudah melihat Aku? Berbahagialah orang yang percaya meskipun tidak melihat Aku!'' 30 Banyak lagi mukjizat lain yang dilakukan oleh Yesus di hadapan pengikut-pengikut-Nya, tetapi tidak ditulis di dalam kitab ini. 31 Tetapi semua ini ditulis supaya kamu percaya bahawa Yesus Anak Allah, Penyelamat yang diutus oleh Allah, dan kerana kamu percaya kepada-Nya, kamu beroleh hidup sejati.

Yohanes 21

1 Setelah itu Yesus menampakkan diri sekali lagi kepada pengikut-pengikut-Nya di Tasik Tiberias. Beginilah peristiwa itu berlaku: 2 Simon Petrus, Tomas (yang disebut Si Kembar), Natanael (yang berasal dari Kana di Galilea), anak-anak Zebedeus, dan dua orang pengikut Yesus yang lain, sedang berkumpul. 3 Simon Petrus berkata kepada mereka, "Aku hendak pergi menjala ikan.'' Mereka berkata kepadanya "Kami ikut.'' Oleh itu mereka menaiki perahu lalu bertolak. Tetapi sepanjang malam itu mereka tidak mendapat seekor ikan pun. 4 Apabila matahari terbit, Yesus berdiri di pantai, tetapi mereka tidak tahu bahawa Dia Yesus. 5 Kemudian Yesus bertanya kepada mereka, "Hai kawan-kawan, adakah kamu mendapat ikan?'' "Tidak! Seekor pun tidak,'' jawab mereka. 6 Yesus berkata kepada mereka, "Labuhkanlah jala ke sebelah kanan perahu, lalu kamu akan mendapat ikan.'' Mereka melabuhkan jala, tetapi mereka tidak terdaya menariknya kembali kerana terlalu banyak ikan yang tertangkap. 7 Pengikut yang dikasihi oleh Yesus berkata kepada Petrus, "Dia Tuhan!'' Apabila Simon Petrus mendengar bahawa Dia itu Tuhan, Petrus memakai bajunya (yang ditanggalkannya semasa bekerja) lalu terjun ke dalam air. 8 Pengikut-pengikut lain mendarat dengan perahu itu, sambil menarik jala yang penuh dengan ikan. Mereka tidak berapa jauh dari darat, kira-kira seratus meter sahaja. 9 Apabila mereka tiba di pantai, mereka melihat ikan dibakar di atas bara api dan roti pun ada di situ. 10 Kemudian Yesus berkata kepada mereka, "Bawalah beberapa ekor ikan yang baru kamu tangkap ke mari.'' 11 Simon Petrus pergi ke perahu lalu menyeret jala ke darat. Jala itu sarat dengan ikan yang besar-besar; semuanya berjumlah 153 ekor. Meskipun ikan sebanyak itu tertangkap, jala itu tidak koyak. 12 Yesus berkata kepada mereka, "Marilah makan.'' Tidak seorang pun daripada pengikut-Nya berani bertanya, "Siapakah tuan?'' kerana mereka tahu bahawa Dia Tuhan. 13 Oleh itu, Yesus menghampiri mereka, mengambil roti, lalu memberikan roti itu kepada mereka. Dia berbuat demikian juga dengan ikan itu. 14 Inilah kali ketiga Yesus menampakkan diri kepada pengikut-pengikut-Nya setelah Dia dibangkitkan daripada kematian. 15 Setelah mereka makan, Yesus bertanya kepada Simon Petrus, "Simon anak Yohanes, adakah kamu lebih mengasihi Aku daripada semua orang ini mengasihi Aku?'' Petrus menjawab, "Ya Tuhan, Tuhan tahu bahawa aku mengasihi Tuhan.'' Yesus berkata kepadanya, "Peliharalah anak-anak domba-Ku.'' 16 Untuk kali kedua Yesus bertanya kepadanya, "Simon anak Yohanes, adakah kamu mengasihi Aku?'' Petrus menjawab, "Ya Tuhan, Tuhan tahu bahawa aku mengasihi Tuhan.'' Yesus berkata kepadanya, "Peliharalah domba-domba-Ku.'' 17 Untuk kali ketiga Yesus bertanya kepadanya, "Simon anak Yohanes, adakah kamu mengasihi Aku?'' Petrus sedih kerana Yesus bertanya tiga kali kepadanya, "Adakah kamu mengasihi Aku?'' Oleh itu Petrus menjawab, "Ya Tuhan, Tuhan mengetahui semuanya. Tuhan tahu bahawa aku mengasihi Tuhan!'' Yesus berkata kepadanya, "Peliharalah domba-domba-Ku. 18 Apa yang Aku katakan ini benar: Semasa kamu masih muda, kamu mengikat tali pinggang lalu pergi ke mana sahaja kamu mahu. Tetapi semasa kamu tua, kamu akan menghulurkan tangan lalu seorang lain akan mengikat kamu dan membawa kamu ke tempat yang kamu tidak mahu pergi.'' 19 (Dengan kata-kata ini Yesus menunjukkan bagaimana Petrus akan mati kelak untuk memuliakan Allah.) Lalu Yesus berkata kepada Petrus, "Ikutlah Aku!'' 20 Petrus berpaling dan melihat pengikut yang dikasihi oleh Yesus sedang mengikuti mereka. Dialah pengikut yang duduk dekat Yesus pada waktu makan dan bertanya kepada-Nya, "Ya Tuhan, siapakah yang akan mengkhianati Tuhan?'' 21 Ketika Petrus melihat dia, Petrus bertanya kepada Yesus, "Tuhan, bagaimana dengan orang ini?'' 22 Yesus menjawab, "Jika Aku mahu dia hidup sehingga Aku kembali, apa kena-mengenanya dengan kamu? Tetapi kamu, ikutlah Aku!'' 23 Oleh itu tersebarlah berita di kalangan pengikut Yesus bahawa pengikut itu tidak akan mati. Tetapi Yesus tidak berkata bahawa pengikut itu tidak akan mati, melainkan Yesus berkata, "Jika Aku mahu dia hidup sehingga Aku kembali, apa kena-mengenanya dengan kamu?'' 24 Dialah pengikut yang memberikan kesaksian tentang perkara-perkara ini. Dia juga sudah menulis semua itu. Kita tahu bahawa apa yang dikatakannya benar. 25 Masih banyak lagi perkara lain yang dilakukan oleh Yesus. Jika semuanya ditulis satu per satu, pada hematku seluruh dunia ini pun tidak cukup untuk memuat semua kitab yang akan ditulis itu.

Kisah Rasul-Rasul 1

1 Saudara Teofilus yang terhormat. Di dalam kitab saya yang pertama, saya telah menerangkan segala perkara yang dilakukan dan diajarkan oleh Yesus, sejak Dia memulakan pekerjaan-Nya, 2 sehingga pada hari Dia diangkat ke syurga. Sebelum Yesus diangkat ke syurga, Dia dengan kuasa Roh Allah memberikan petunjuk kepada rasul-rasul yang telah dipilih-Nya. 3 Selama empat puluh hari setelah kematian-Nya, banyak kali Yesus menunjukkan diri dengan nyata sekali kepada rasul-rasul itu, sehingga tidak dapat diragukan lagi bahawa Dia benar-benar hidup. Mereka melihat Dia, dan Dia berkata-kata dengan mereka tentang Pemerintahan Allah. 4 Apabila mereka berkumpul, Yesus memberikan arahan ini kepada mereka, "Janganlah tinggalkan Yerusalem, tetapi tunggulah pemberian yang sudah dijanjikan oleh Bapa-Ku, dan yang sudah Aku beritahukan kamu dahulu. 5 Yohanes membaptis kamu dengan air, tetapi beberapa hari lagi kamu akan dibaptis dengan Roh Allah.'' 6 Apabila rasul-rasul itu berkumpul dengan Yesus, mereka bertanya kepada-Nya, "Tuhan, adakah sekarang Tuhan mahu memulihkan Pemerintahan bangsa Israel?'' 7 Yesus menjawab, "Kamu tidak perlu mengetahui masa dan waktu yang sudah ditetapkan oleh Bapa-Ku, kerana hal itu hak-Nya. 8 Tetapi kamu akan menerima kuasa, apabila Roh Allah datang kepada kamu. Lalu kamu akan menjadi saksi-saksi-Ku di Yerusalem, di seluruh Yudea, dan Samaria, serta sampai ke hujung bumi.'' 9 Setelah Yesus berkata demikian, Dia diangkat ke syurga, sementara mereka memandang Dia. Lalu awan menutupi Dia daripada pandangan mereka. 10 Mereka masih memandang ke langit sementara Yesus diangkat, apabila dengan tiba-tiba dua orang berpakaian putih berdiri di sisi mereka. 11 "Hai orang Galilea,'' kata kedua-dua orang itu, "mengapa kamu berdiri menengadah ke langit? Yesus, yang kamu lihat diangkat ke syurga, akan kembali lagi dengan cara yang sama seperti yang kamu lihat tadi.'' 12 Kemudian rasul-rasul itu kembali ke Yerusalem dari Bukit Zaitun, yang kira-kira satu kilometer jauhnya dari bandar. 13 Setibanya di Yerusalem, mereka pergi ke rumah tempat mereka menumpang, lalu naik ke bilik di tingkat atas. Rasul-rasul itu Petrus, Yohanes, Yakobus dan Andreas, Filipus dan Tomas, Bartolomeus dan Matius, Yakobus anak Alfeus, Simon Patriot dan Yudas anak Yakobus. 14 Dengan sehati mereka sering berkumpul dan berdoa bersama-sama wanita-wanita, termasuk Maria ibu Yesus, dan saudara-saudara Yesus. 15 Beberapa hari kemudian, pengikut-pengikut Kristus berkumpul. Kira-kira seratus dua puluh orang pengikut hadir dan Petrus berdiri untuk berkata-kata. 16 Dia berkata, "Saudara-saudara! Apa yang tertulis di dalam Alkitab harus berlaku. Dahulu Roh Allah melalui Daud bernubuat tentang Yudas, yang memimpin kumpulan orang yang menangkap Yesus. 17 Yudas salah seorang daripada kita, kerana dia pun dipilih supaya bekerja bersama-sama kita.'' ( 18 Yudas membeli sebidang tanah dengan upah yang diterimanya kerana melakukan perbuatan jahat. Di situ dia jatuh lalu mati; perutnya terbelah dan isi perutnya terburai. 19 Semua orang yang tinggal di Yerusalem mendengar kejadian itu. Itulah sebabnya dalam bahasa mereka sendiri, mereka menamakan tanah itu Akeldama, yang bererti "Tanah Darah.'') 20 Petrus berkata lagi, "Hal itu berlaku, kerana di dalam kitab Mazmur tertulis, `Biarlah rumahnya menjadi kosong, janganlah tempat itu didiami orang.' Ada tertulis juga, `Hendaklah orang lain mengambil alih tugasnya.' 21 Oleh itu seseorang harus menyertai kita untuk menjadi saksi bahawa Tuhan Yesus sudah bangkit daripada kematian. Orang itu haruslah salah seorang daripada orang yang sentiasa bersama-sama kita, pada masa kita mengikut Tuhan Yesus ke serata tempat. 22 Dia harus sudah menyertai kita sejak Yohanes membaptis orang sehingga pada hari Yesus diangkat ke syurga.'' 23 Orang yang hadir di situ mencadangkan dua orang: Yusuf yang disebut Barsabas (dia juga dipanggil Yustus), dan Matias. 24 Lalu mereka berdoa, "Ya Tuhan, Engkau mengetahui hati semua orang. Yudas sudah meninggalkan tugasnya sebagai rasul dan sudah menerima ganjarannya. Tunjukkanlah yang mana antara dua orang ini yang akan Engkau pilih untuk menjalankan tugas itu bagi menggantikan Yudas.'' 26 Kemudian mereka menentukan pilihan dengan undi dan Matias terpilih menjadi rasul untuk menyertai sebelas orang rasul yang lain.

Kisah Rasul-Rasul 2

1 Apabila hari Pentakosta tiba, semua orang yang percaya kepada Kristus berkumpul di satu tempat. 2 Tiba-tiba terdengar bunyi dari langit seperti tiupan angin yang kuat. Bunyi itu memenuhi rumah tempat mereka sedang duduk. 3 Lalu mereka nampak sesuatu yang menyerupai lidah api yang menjalar dan menghinggapi setiap orang di situ. 4 Mereka semua dikuasai oleh Roh Allah. Mereka mula berkata-kata dalam pelbagai bahasa lain, menurut apa yang diberikan oleh Roh Allah kepada mereka. 5 Pada waktu itu banyak orang Yahudi dari pelbagai negeri di seluruh dunia, tinggal di Yerusalem. Mereka orang yang menyembah Allah. 6 Apabila mendengar suara itu, banyak orang datang berkumpul di situ. Mereka terkejut mendengar pengikut-pengikut Kristus itu berkata-kata dalam bahasa yang digunakan oleh mereka masing-masing. 7 Orang ramai itu tercengang dan hairan lalu berkata, "Orang yang bertutur ini semuanya orang Galilea! 8 Tetapi mengapa kita mendengar mereka berkata-kata dalam bahasa negeri kita masing-masing? 9 Kita orang dari Partia, Media, Elam; dari Mesopotamia, Yudea, dan Kapadokia; dari Pontus dan Asia, 10 dari Frigia dan Pamfilia, dari Mesir dan daerah-daerah Libia dekat Kirene. Ada antara kita yang datang dari Roma, 11 baik orang Yahudi mahupun orang bangsa lain yang menganut agama Yahudi; ada juga yang datang dari Kreta dan Arab. Tetapi kita semua mendengar mereka berkata-kata dalam bahasa kita masing-masing tentang hal-hal luar biasa yang dilakukan oleh Allah!'' 12 Mereka semua hairan dan bingung, lalu bertanya sesama sendiri, "Apakah maknanya semua ini?'' 13 Tetapi ada juga orang yang mengolok-olokkan para pengikut Kristus dan berkata, "Semua orang ini mabuk!'' 14 Lalu Petrus berdiri bersama-sama sebelas orang rasul yang lain. Dengan suara lantang dia mula berkata kepada mereka, "Saudara-saudara orang Yahudi dan semua yang tinggal di Yerusalem! Dengarlah baik-baik dan benarkan saya menjelaskan hal ini. 15 Semua orang ini tidak mabuk seperti yang saudara-saudara sangka, kerana kini baru pukul sembilan pagi. 16 Tetapi hal ini sudah diberitahukan oleh Allah melalui Nabi Yoel: 17 Allah berfirman, `Inilah yang akan berlaku pada akhir zaman, Aku akan mencurahkan Roh-Ku ke atas semua orang. Anak-anak lelaki dan perempuan kamu akan memberitakan hal-hal yang Aku beritahukan mereka; orang muda kamu akan melihat hal-hal yang Aku perlihatkan kepada mereka, orang tua kamu akan mendapat mimpi yang Aku berikan kepada mereka. 18 Bahkan ke atas hamba-hamba-Ku baik lelaki mahupun perempuan, akan Aku curahkan Roh-Ku pada masa itu, dan mereka akan memberitakan hal-hal yang Aku beritahukan mereka. 19 Aku akan melakukan mukjizat di atas sana, di langit, dan keajaiban di bawah sini, di bumi. Kelak akan ada darah, api, dan asap tebal; 20 matahari akan menjadi gelap, dan bulan menjadi merah seperti darah, sebelum Hari Tuhan, hari yang besar dan mulia itu datang. 21 Pada masa itu, sesiapa yang berseru kepada Tuhan akan diselamatkan.' 22 Saudara-saudara orang Israel! Dengarlah kata-kata saya ini: Yesus orang Nasaret itu sudah diberikan tugas oleh Allah. Hal ini dinyatakan kepada saudara semua dengan mukjizat dan keajaiban yang dilakukan oleh Allah melalui Dia. Saudara-saudara mengetahui hal itu, kerana semua peristiwa itu berlaku di kalangan saudara. 23 Sesuai dengan rancangan-Nya sendiri, Allah sudah menentukan bahawa Yesus akan diserahkan kepada saudara-saudara. Saudara semua membunuh Dia ketika menyebabkan orang berdosa menyalibkan Dia. 24 Tetapi Allah sudah membangkitkan Dia daripada kematian. Allah membebaskan Dia daripada derita kematian, kerana tidak mungkin Dia dikuasai terus oleh kematian. 25 Daud pernah berkata tentang Yesus, `Aku sentiasa melihat Engkau Tuhan di hadapanku; Engkau mendampingi aku, sehingga tiada apa pun dapat menyusahkan aku. 26 Oleh itu aku bersukacita dan bergembira ketika berkata-kata; walaupun aku hanya manusia, tetapi aku tetap berharap kepada-Mu, 27 kerana Engkau tidak akan meninggalkan aku di dunia orang mati. Engkau tidak akan membiarkan tubuh hamba-Mu yang setia itu hancur. 28 Engkau sudah menunjukkan jalan yang menuju ke hidup sejati, dan aku bersukacita kerana Engkau menyertai aku.' 29 Saudara-saudara, saya harus berkata dengan jelas tentang nenek moyang kita Daud. Dia sudah meninggal dan dikuburkan, dan kuburnya masih ada antara kita sehingga sekarang. 30 Allah bersumpah bahawa Dia akan melantik salah seorang keturunan Daud menjadi raja, seperti Daud sendiri. Daud tahu akan janji Allah itu, kerana Daud pun seorang nabi. 31 Daud mengetahui apa yang akan dilakukan oleh Allah. Oleh itu Daud bernubuat tentang kebangkitan Penyelamat yang diutus oleh Allah. Daud berkata, `Dia tidak akan ditinggalkan di dunia orang mati; tubuh-Nya tidak akan hancur di kubur.' 32 Yesus inilah yang dibangkitkan oleh Allah daripada kematian. Kami semua sudah menyaksikan hal itu. 33 Allah mengangkat Yesus ke tempat yang berkuasa di sebelah kanan Allah, dan Yesus menerima Roh Allah yang sudah dijanjikan oleh Bapa. Apa yang kamu lihat dan dengar sekarang ini adalah Roh itu yang sudah dicurahkan oleh Yesus ke atas kami. 34 Daud sendiri tidak naik ke syurga, tetapi dia berkata, `Tuhan berfirman kepada Tuhanku: Duduklah di sebelah kanan-Ku, 35 sehingga Aku menaklukkan musuh-Mu ke bawah kaki-Mu.' 36 Oleh itu semua orang Israel harus tahu bahawa Yesus yang saudara-saudara salibkan itu, ialah Dia yang sudah diangkat oleh Allah menjadi Tuhan dan Penyelamat!'' 37 Apabila orang ramai mendengar hal itu, mereka sangat gelisah. Lalu mereka bertanya kepada Petrus dan rasul-rasul yang lain, "Saudara-saudara, apakah yang harus kami lakukan?'' 38 Petrus menjawab, "Hendaklah setiap orang di kalangan saudara bertaubat daripada dosa, lalu dibaptis demi nama Yesus Kristus, supaya dosa saudara-saudara diampunkan lalu saudara semua akan menerima pemberian Allah, iaitu Roh Allah. 39 Allah menjanjikan hal itu untuk saudara-saudara dan keturunan saudara semua, serta untuk semua orang di tempat-tempat yang jauh -- iaitu sesiapa sahaja yang dipanggil oleh Tuhan Allah kita supaya datang kepada-Nya.'' 40 Demikianlah Petrus memberikan penjelasan kepada mereka. Dengan kata-kata lain, dia juga mendesak mereka supaya menyelamatkan diri daripada hukuman yang akan datang kepada orang jahat di negeri ini. 41 Banyak orang percaya kepada apa yang dikatakan oleh Petrus, lalu mereka dibaptis. Jumlah orang yang percaya kepada Kristus pada hari itu bertambah lagi dengan tiga ribu orang. 42 Dengan tekun mereka menerima ajaran daripada rasul-rasul. Mereka hidup bersaudara, makan bersama-sama, dan berdoa bersama-sama. 43 Banyak mukjizat dan keajaiban yang dilakukan oleh rasul-rasul itu, sehingga semua orang kagum dan takut. 44 Semua pengikut Kristus berkumpul dengan penuh keakraban, dan mereka berkongsi milik. 45 Mereka menjual harta milik dan membahagi-bahagikan wang itu di kalangan mereka menurut keperluan masing-masing. 46 Tiap-tiap hari mereka berkumpul di Rumah Tuhan, dan mereka makan bersama di rumah mereka dengan sukacita dan rendah hati. 47 Mereka memuji Allah dan mereka dihormati oleh semua orang. Tiap-tiap hari Tuhan menambah bilangan mereka dengan orang yang diselamatkan oleh Allah.

Kisah Rasul-Rasul 3

1 Pada suatu hari, Petrus dan Yohanes pergi ke Rumah Tuhan pada pukul tiga petang, iaitu masa berdoa. 2 Di situ, di pintu yang disebut Pintu Indah, ada seorang lelaki yang kakinya lumpuh sejak dia dilahirkan. Tiap-tiap hari dia dibawa ke situ untuk meminta sedekah daripada orang yang masuk ke Rumah Tuhan. 3 Apabila dia nampak Petrus dan Yohanes sedang masuk ke Rumah Tuhan, dia meminta sedekah daripada mereka. 4 Mereka memandang dia, lalu Petrus berkata, "Pandanglah kami!'' 5 Kemudian orang itu memandang mereka dan berharap akan mendapat sesuatu daripada mereka. 6 Tetapi Petrus berkata kepadanya, "Aku sama sekali tidak mempunyai wang, tetapi apa yang ada padaku akan aku berikan kepadamu: dengan kuasa Yesus Kristus orang Nasaret itu, berjalanlah!'' 7 Lalu Petrus memegang tangan kanan orang lumpuh itu dan menolong dia bangun. Seketika itu juga kaki dan pergelangan kaki orang lumpuh itu menjadi kuat. 8 Lalu dia melompat bangun, dan mula berjalan ke sana ke mari. Kemudian dia masuk ke Rumah Tuhan bersama-sama Petrus dan Yohanes, sambil berjalan dan melompat-lompat serta memuji Allah. 9 Semua orang melihat dia berjalan dan memuji Allah. 10 Apabila mereka mengenali dia sebagai peminta sedekah yang biasa duduk di hadapan Pintu Indah di Rumah Tuhan, mereka hairan dan kagum melihat apa yang berlaku kepadanya. 11 Orang itu masih mengikuti Petrus dan Yohanes. Apabila mereka tiba di serambi yang disebut Serambi Salomo, semua orang berlari mengerumuni mereka kerana kagum. 12 Apabila Petrus melihat orang ramai itu, dia berkata kepada mereka, "Saudara-saudara orang Israel, mengapa saudara semua hairan akan perkara ini? Mengapa saudara-saudara merenung kami? Adakah saudara-saudara menyangka bahawa orang ini boleh berjalan kerana kuasa kami atau kerana kami taat kepada Allah? 13 Allah yang disembah oleh Abraham, Ishak, Yakub, dan nenek moyang kita, sudah mempermuliakan Hamba-Nya, Yesus. Yesus itulah yang saudara-saudara serahkan kepada pihak berkuasa, dan yang saudara-saudara tolak di hadapan Pilatus, meskipun Pilatus hendak membebaskan Dia. 14 Dia suci dan baik, tetapi saudara-saudara menolak Dia dan meminta Pilatus melepaskan seorang pembunuh. 15 Saudara-saudara membunuh Dia yang memberikan hidup sejati kepada semua orang! Tetapi Allah sudah membangkitkan Dia daripada kematian, dan kami menyaksikan perkara itu. 16 Dengan kuasa Yesus orang lumpuh ini dikuatkan. Apa yang saudara-saudara lihat dan saksikan ini berlaku kerana dia percaya kepada Yesus dan kuasa-Nya. Kerana orang itu percaya kepada Yesus, dia sembuh, seperti yang sudah saudara-saudara lihat sendiri. 17 Saudara-saudara, sekarang saya tahu, bahawa apa yang saudara-saudara dan para pemimpin saudara lakukan terhadap Yesus, tidak saudara-saudara fahami maknanya. 18 Dahulu kala melalui nabi-nabi, Allah memberitahu bahawa Penyelamat yang diutus-Nya harus menderita. Demikianlah perkara itu berlaku seperti yang dikehendaki-Nya. 19 Oleh itu, bertaubatlah daripada dosa dan kembalilah kepada Allah, supaya Dia menghapus dosa saudara-saudara. 20 Jika saudara-saudara bertaubat, saudara sekalian akan mengalami kesegaran rohani. Tuhan akan menyuruh Yesus datang kepada saudara-saudara, kerana Dia sudah ditetapkan oleh Tuhan untuk menjadi Penyelamat saudara-saudara. 21 Dia harus tinggal di syurga sehingga tiba masanya bagi Allah menjadikan semuanya baru, seperti yang difirmankan oleh Allah melalui nabi-nabi-Nya yang suci pada zaman dahulu. 22 Musa pernah berkata, `Tuhan, Allah kamu akan mengutus seorang nabi kepada kamu seperti Dia mengutus aku. Nabi itu akan datang daripada bangsa kamu sendiri. Kamu harus mendengar semua yang dikatakan-Nya. 23 Sesiapa yang tidak mahu mentaati kata-kata nabi itu, akan disingkirkan daripada umat Allah dan dibinasakan.' 24 Semua nabi yang menyampaikan berita daripada Allah, termasuk Nabi Samuel dan nabi-nabi yang kemudian daripadanya, memberitakan apa yang berlaku pada zaman ini. 25 Janji-janji Allah yang disampaikan oleh nabi-nabi itu untuk saudara-saudara juga. Dalam perjanjian yang dibuat oleh Allah dengan nenek moyang saudara-saudara, Allah berfirman kepada Abraham, `Melalui keturunanmu Aku akan memberkati semua bangsa di bumi.' Perjanjian itu untuk saudara-saudara juga. 26 Demikianlah Allah memilih dan mengutus Hamba-Nya kepada saudara-saudara terlebih dahulu untuk memberkati saudara sekalian. Dia berbuat demikian dengan menyebabkan saudara sekalian bertaubat daripada cara hidup yang jahat.''

Kisah Rasul-Rasul 4

1 Petrus dan Yohanes masih berkata-kata kepada orang ramai, apabila imam-imam, ketua pengawal Rumah Tuhan, dan beberapa orang Saduki datang. 2 Mereka marah kerana Petrus dan Yohanes mengajar orang ramai bahawa Yesus sudah dibangkitkan daripada kematian. Hal itu membuktikan bahawa orang mati akan dibangkitkan. 3 Oleh itu mereka menangkap kedua-dua orang rasul itu. Mereka ditahan di dalam penjara sehingga esok, kerana hari sudah petang. 4 Tetapi banyak orang yang mendengar perkhabaran itu percaya kepada Yesus. Bilangan mereka bertambah sehingga kira-kira lima ribu orang. 5 Pada hari berikutnya, para pemimpin bangsa Yahudi, pemimpin masyarakat Yahudi, dan guru Taurat berkumpul di Yerusalem. 6 Mereka menjumpai Imam Agung Hanas dan Kayafas, Yohanes, Aleksander, dan semua orang lain yang tergolong dalam keluarga Imam Agung itu. 7 Mereka menyuruh rasul-rasul itu berdiri di hadapan mereka, lalu bertanya, "Bagaimanakah kamu menyembuhkan orang lumpuh itu? Dengan kuasa apa atau dengan kuasa siapa kamu melakukan hal itu?'' 8 Petrus, yang dikuasai oleh Roh Allah, menjawab, "Tuan-tuan pemimpin bangsa Yahudi dan pemimpin masyarakat Yahudi! 9 Agaknya hari ini kami disoal kerana kami telah berbuat baik kepada orang lumpuh itu dan kerana tuan-tuan mahu tahu bagaimana dia disembuhkan. 10 Tuan-tuan dan semua orang Israel harus tahu bahawa orang ini yang berdiri di hadapan tuan-tuan sudah sembuh kerana kuasa Yesus Kristus orang Nasaret itu. Tuan-tuan sudah menyalibkan Dia, tetapi Allah sudah membangkitkan Dia daripada kematian. 11 Yesuslah yang dimaksudkan oleh ayat ini di dalam Alkitab, `Batu yang kamu, pembina bangunan buang, ternyata menjadi batu yang paling utama.' 12 Hanya melalui Yesus orang diselamatkan, kerana di seluruh dunia tiada orang lain yang mendapat kekuasaan daripada Allah untuk menyelamatkan kita.'' 13 Anggota-anggota Majlis Agama hairan melihat keberanian Petrus dan Yohanes, apabila mereka tahu bahawa kedua-dua orang rasul itu orang biasa yang tidak berpendidikan. Lalu mereka sedar bahawa kedua-dua orang itu sahabat karib Yesus. 14 Tetapi mereka tidak dapat berkata apa-apa, kerana mereka melihat orang yang disembuhkan itu, berdiri di situ bersama-sama Petrus dan Yohanes. 15 Oleh itu mereka menyuruh kedua-dua orang rasul itu keluar dari bilik Majlis Agama, lalu mula berunding. 16 Mereka bertanya, "Apa yang harus kita lakukan terhadap kedua-dua orang ini? Semua orang yang tinggal di Yerusalem tahu bahawa mukjizat yang luar biasa itu dilakukan oleh mereka. Kita tidak dapat menafikannya. 17 Tetapi supaya perkara ini tidak tersebar lebih luas lagi di kalangan orang ramai, baiklah kita berikan amaran kepada mereka supaya jangan berkata-kata lagi kepada sesiapa pun dengan nama Yesus.'' 18 Lalu mereka memanggil kedua-dua orang rasul itu masuk kembali, dan melarang mereka menyebut nama Yesus atau mengajar dengan nama-Nya. 19 Tetapi Petrus dan Yohanes menjawab, "Pertimbangkan sendiri mana yang benar di sisi Allah: Taat kepada tuan-tuan atau taat kepada Allah? 20 Kami tidak dapat berhenti berkata-kata tentang apa yang sudah kami lihat dan dengar.'' 21 Anggota-anggota Majlis Agama memberikan amaran yang lebih keras lagi, lalu membebaskan kedua-duanya. Mereka tidak dapat mencari alasan untuk menghukum Petrus dan Yohanes, kerana semua orang memuji-muji Allah bagi peristiwa itu. 22 Orang yang mengalami kesembuhan yang menghairankan itu berumur lebih daripada empat puluh tahun. 23 Setelah Petrus dan Yohanes dibebaskan, mereka kembali kepada sahabat-sahabat mereka dan menceritakan segala yang dikatakan oleh ketua-ketua imam dan para pemimpin masyarakat Yahudi. 24 Apabila pengikut-pengikut Yesus mendengar hal itu, dengan sehati mereka berdoa kepada Allah, "Ya Tuhan, Engkau sudah menjadikan langit, bumi, dan laut dengan segala isinya. 25 Dengan Roh-Mu, Engkau pernah berfirman melalui nenek moyang kami, Daud hamba-Mu, `Mengapa orang bukan Yahudi marah? Mengapa bangsa-bangsa lain membuat pakatan yang sia-sia? 26 Raja-raja dunia bersiap sedia untuk berperang, dan para penguasa berkumpul untuk melawan Tuhan dan Penyelamat yang diutus oleh Allah.' 27 Memang benar Herodes dan Pontius Pilatus mengadakan pertemuan dengan orang bukan Yahudi dan orang Israel di kota ini untuk melawan Yesus Hamba-Mu yang suci, yang Engkau jadikan Penyelamat. 28 Mereka bersatu untuk melakukan segala yang telah Engkau tetapkan terlebih dahulu akan berlaku. Engkau dapat menetapkan demikian kerana kekuasaan dan kehendak-Mu. 29 Tetapi sekarang, ya Tuhan, lihatlah bagaimana mereka mengancam kami. Tolonglah kami, hamba-hamba-Mu, memberitakan perkhabaran-Mu dengan penuh keberanian. 30 Tunjukkanlah kuasa-Mu supaya orang sakit disembuhkan. Hendaklah mukjizat dan keajaiban berlaku dengan kuasa Yesus, Hamba-Mu yang suci.'' 31 Setelah mereka selesai berdoa, tempat mereka berkumpul itu bergoncang. Mereka semua dikuasai oleh Roh Allah, dan mula menyampaikan perkhabaran daripada Allah dengan penuh keberanian. 32 Semua pengikut Kristus hidup sehati dan sefikiran. Tidak seorang pun menganggap apa yang dimilikinya kepunyaannya sendiri. Mereka saling berkongsi milik. 33 Dengan kuasa yang besar, rasul-rasul itu memberikan kesaksian tentang kebangkitan Tuhan Yesus. Oleh itu Allah sangat memberkati mereka. 34 Tidak seorang pun di kalangan mereka kekurangan apa-apa. Mereka yang memiliki tanah atau rumah, menjual harta mereka. Lalu mereka menyerahkan hasil penjualan itu kepada rasul-rasul. 35 Kemudian wang itu dibahagi-bahagikan kepada setiap orang yang memerlukannya. 36 Begitu juga halnya dengan Yusuf. Dia seorang keturunan Lewi yang lahir di Siprus. Rasul-rasul juga menyebut dia Barnabas (yang bererti Penggalak.) 37 Dia menjual sebidang tanah yang dimilikinya, lalu membawa dan menyerahkan wangnya kepada rasul-rasul itu.

Kisah Rasul-Rasul 5

1 Ada seorang lelaki bernama Ananias. Dia dengan isterinya, Safira menjual sebidang tanah yang dimiliki oleh mereka. 2 Dengan persetujuan isterinya, Ananias menyimpan sebahagian wang itu untuk dirinya sendiri. Yang selebihnya diserahkannya kepada rasul-rasul. 3 Oleh itu Petrus berkata kepadanya, "Ananias, mengapa kamu membiarkan Iblis menguasai hatimu, sehingga kamu berdusta terhadap Roh Allah dengan menyimpan sebahagian daripada wang penjualan tanahmu itu? 4 Bukankah tanah itu milikmu, sebelum kamu menjualnya? Setelah kamu menjualnya, wangnya milikmu juga. Mengapa kamu berniat berbuat demikian? Kamu tidak berdusta terhadap manusia, tetapi terhadap Allah!'' 5 Sebaik sahaja Ananias mendengar kata-kata itu, dia jatuh lalu mati. Semua orang yang mendengar peristiwa itu menjadi takut. 6 Kemudian beberapa orang muda datang membalut mayat Ananias, lalu membawanya ke luar dan menguburkannya. 7 Kira-kira tiga jam kemudian isteri Ananias masuk. Dia tidak mengetahui apa yang telah berlaku. 8 Petrus berkata kepadanya, "Katakanlah, adakah wang ini seluruh hasil penjualan tanah yang kamu terima bersama-sama suamimu?'' "Ya,'' jawabnya, "memang itu semuanya.'' 9 Lalu Petrus berkata kepadanya, "Mengapa kamu dan suamimu berpakat untuk mencubai Roh Tuhan? Lihatlah, beberapa orang muda yang menguburkan suamimu ada di depan pintu. Mereka pun akan mengusungmu ke luar.'' 10 Seketika itu juga isteri Ananias jatuh dan mati di hadapan Petrus. Orang muda di situ masuk dan mendapati Safira sudah mati. Oleh itu mereka membawa mayatnya ke luar dan menguburnya di sebelah suaminya. 11 Dengan demikian jemaah dan semua orang lain yang mendengar peristiwa itu menjadi sangat takut. 12 Banyak mukjizat dan keajaiban dilakukan oleh rasul-rasul di kalangan orang ramai. Semua pengikut Yesus berkumpul di Serambi Salomo. 13 Tidak ada orang di luar kelompok itu berani berkumpul dengan pengikut-pengikut Yesus, walaupun masyarakat sangat menghormati mereka. 14 Tetapi bilangan mereka semakin bertambah, kerana banyak orang lelaki dan perempuan percaya kepada Tuhan. 15 Oleh sebab mukjizat yang dilakukan oleh para rasul, orang sakit dibaringkan di atas tilam atau tikar, lalu dibawa ke jalan supaya setidak-tidaknya mereka terkena bayang Petrus, apabila dia lalu di situ. 16 Banyak orang datang dari bandar-bandar di sekitar Yerusalem. Mereka membawa orang sakit dan orang yang dirasuk roh jahat, dan semua orang itu disembuhkan. 17 Kemudian Imam Agung dan semua pengikutnya, yang termasuk golongan orang Saduki tempatan mula bertindak terhadap para rasul, kerana iri hati. 18 Mereka menangkap rasul-rasul itu lalu memasukkan mereka ke dalam penjara awam. 19 Tetapi pada malam itu, malaikat Tuhan membuka pintu-pintu penjara itu lalu memimpin rasul-rasul itu ke luar. Malaikat itu berkata kepada mereka, 20 "Pergilah berdiri di Rumah Tuhan dan beritahu orang ramai tentang hidup yang baru ini.'' 21 Rasul-rasul itu menurut perintah malaikat itu. Pada waktu fajar mereka pergi ke Rumah Tuhan dan mula mengajar. Imam Agung dan para pengikutnya memanggil semua pemimpin masyarakat Yahudi untuk mengadakan mesyuarat Majlis Agama. Kemudian mereka memberikan perintah supaya rasul-rasul itu diambil dari penjara untuk dibawa menghadap mereka. 22 Tetapi apabila pegawai-pegawai itu tiba di penjara, mereka tidak mendapati rasul-rasul itu. Lalu mereka kembali dan melaporkan hal itu kepada Majlis Agama. 23 Mereka berkata, "Apabila kami tiba di penjara, kami mendapati pintu penjara masih terkunci baik-baik, dan pengawal-pengawal sedang berjaga di pintu. Tetapi apabila kami membuka pintu itu, kami tidak mendapati seorang pun di dalamnya.'' 24 Apabila ketua-ketua imam dan ketua pengawal Rumah Tuhan mendengar laporan itu, mereka bingung tentang apa yang mungkin berlaku terhadap rasul-rasul itu. 25 Kemudian seorang lelaki masuk dan memberitahu mereka, "Beberapa orang yang tuan-tuan tahan di penjara sedang mengajar orang ramai di Rumah Tuhan!'' 26 Oleh itu ketua pengawal Rumah Tuhan pergi dengan anak buahnya dan membawa rasul-rasul itu kembali. Tetapi mereka tidak menggunakan kekerasan, kerana mereka takut kalau-kalau orang ramai merejam mereka. 27 Mereka membawa rasul-rasul itu ke hadapan Majlis Agama. Lalu Imam Agung berkata, 28 "Dengan tegas kami melarang kamu mengajar berdasarkan ajaran orang itu. Tetapi sekarang lihatlah apa yang sudah kamu lakukan! Kamu menyebarkan ajaran kamu ke seluruh Yerusalem, dan kamu mahu mendakwa kami bertanggungjawab atas kematiannya.'' 29 Petrus dan rasul-rasul yang lain menjawab, "Kami harus taat kepada Allah dan bukan kepada manusia. 30 Yesus yang tuan-tuan salibkan, sudah dibangkitkan daripada kematian oleh Allah yang disembah nenek moyang kita. 31 Allah mengangkat Dia ke tempat yang berkuasa di sebelah kanan-Nya, untuk menjadi Pemimpin dan Penyelamat, supaya umat Israel mendapat peluang untuk bertaubat dan beroleh pengampunan dosa. 32 Kami menjadi saksi dalam semua perkara ini -- kami dan juga Roh Allah, yang dikurniakan oleh Allah kepada orang yang mentaati perintah-Nya.'' 33 Apabila anggota-anggota Majlis Agama mendengar kata-kata itu, mereka marah sekali sehingga mereka mahu menghukum mati rasul-rasul itu. 34 Tetapi di kalangan anggota Majlis Agama itu ada seorang Farisi bernama Gamaliel. Dia seorang guru Taurat yang sangat dihormati oleh semua orang. Dia berdiri lalu menyuruh orang membawa rasul-rasul itu ke luar sebentar. 35 Lalu dia berkata kepada Majlis Agama itu, "Saudara-saudara orang Israel! Fikirkan baik-baik apa yang hendak saudara-saudara lakukan terhadap semua orang itu. 36 Beberapa waktu dahulu, Teudas muncul dan menganggap dirinya seorang pemimpin yang besar. Kira-kira empat ratus orang mengikut dia. Tetapi dia terbunuh, lalu semua pengikutnya tercerai-cerai, dan pergerakannya lenyap. 37 Setelah itu Yudas, orang dari Galilea pun muncul pada masa pembancian. Dia mempengaruhi banyak orang, tetapi dia juga terbunuh, lalu semua pengikutnya tercerai-cerai. 38 Oleh itu tentang perkara ini sekarang, saya cadangkan supaya jangan ambil tindakan apa-apa terhadap semua orang itu. Biarkan mereka pergi. Jika apa yang dicadangkan dan dilakukan mereka itu daripada manusia, maka semuanya akan lenyap. 39 Tetapi jika semua itu datang daripada Allah, saudara-saudara tidak akan dapat mengalahkan mereka. Malah mungkin akan ternyata bahawa saudara-saudara melawan Allah.'' Nasihat Gamaliel diterima oleh Majlis Agama. 40 Rasul-rasul itu dipanggil, lalu dicambuk, kemudian dilarang mengajar lagi berdasarkan ajaran Yesus. Setelah itu mereka dibebaskan. 41 Apabila rasul-rasul itu meninggalkan Majlis Agama, mereka bersukacita kerana Allah menganggap mereka layak menanggung hukuman bagi Yesus. 42 Setiap hari, baik di Rumah Tuhan mahupun di rumah orang, mereka tidak berhenti-henti mengajarkan dan mengkhabarkan Berita Baik bahawa Yesus itulah Penyelamat yang diutus oleh Allah.

Kisah Rasul-Rasul 6

1 Tidak berapa lama kemudian, apabila bilangan pengikut Yesus semakin bertambah, berlakulah pertengkaran antara orang Yahudi yang berbahasa Yunani dengan orang Yahudi yang berbahasa Ibrani. Orang Yahudi yang berbahasa Yunani berkata bahawa balu di kalangan mereka tidak menerima bantuan wang sehari-hari. 2 Oleh itu, dua belas orang rasul itu mengumpulkan semua pengikut Yesus dan berkata kepada mereka, "Tidak patut kami abaikan tugas mengkhabarkan firman Allah untuk mengurus masalah kewangan. 3 Oleh itu, pilihlah tujuh orang di kalangan saudara yang dikuasai oleh Roh Allah dan juga bijaksana. Lalu kami akan menugaskan mereka mengurus hal itu. 4 Kami sendiri akan menggunakan masa kami untuk berdoa dan memberitakan perkhabaran daripada Allah.'' 5 Semua orang itu bersetuju dengan cadangan rasul-rasul. Oleh itu mereka memilih Stefanus, seorang yang sangat percaya kepada Yesus dan dikuasai oleh Roh Allah. Mereka juga memilih Filipus, Prokhorus, Nikanor, Timon, Parmenas, dan Nikolaus dari Antiokhia. Nikolaus seorang bukan Yahudi yang sudah memeluk agama Yahudi. 6 Tujuh orang itu dihadapkan kepada rasul-rasul. Lalu rasul-rasul berdoa dan meletakkan tangan ke atas kepala mereka untuk melantik mereka melakukan tugas itu. 7 Dengan demikian perkhabaran daripada Allah semakin tersebar luas dan bilangan pengikut Yesus di Yerusalem pun bertambah-tambah. Banyak imam juga percaya kepada Yesus. 8 Stefanus sangat diberkati oleh Allah dan diberikan-Nya kuasa untuk melakukan mukjizat. Banyak mukjizat dan keajaiban yang dilakukannya di kalangan orang ramai. 9 Tetapi beberapa orang menentang dia. Mereka anggota rumah ibadat yang disebut Rumah Ibadat Orang Bebas. Anggota rumah ibadat itu terdiri daripada orang Yahudi dari Kirene dan Aleksandria. Mereka dengan beberapa orang Yahudi dari Kilikia dan Asia berdebat dengan Stefanus. 10 Tetapi Roh Allah memberi Stefanus kebijaksanaan untuk berkata-kata, sehingga mereka tidak dapat menyangkal kata-katanya. 11 Oleh itu mereka memberikan rasuah kepada beberapa orang supaya berkata, "Kami mendengar dia menghina Musa dan mengkufuri Allah!'' 12 Demikianlah mereka menghasut orang ramai, para pemimpin masyarakat Yahudi, dan guru-guru Taurat. Lalu mereka pergi menangkap Stefanus, dan membawa dia menghadap Majlis Agama. 13 Kemudian mereka menghadapkan beberapa orang yang memberikan kesaksian palsu tentang Stefanus. Mereka berkata, "Orang ini sentiasa menghina Rumah Tuhan yang suci dan Taurat Musa. 14 Kami mendengar dia berkata bahawa Yesus dari Nasaret itu akan meruntuhkan Rumah Tuhan dan mengubah semua adat istiadat yang sudah kita terima daripada Musa!'' 15 Mata semua orang yang duduk di Majlis Agama menumpu kepada Stefanus dan mereka nampak muka Stefanus kelihatan seperti muka malaikat.

Kisah Rasul-Rasul 7

1 Kemudian Imam Agung bertanya kepada Stefanus, "Betulkah semua tuduhan itu?'' 2 Stefanus menjawab, "Saudara-saudara dan bapa-bapa! Dengarkan saya! Sebelum nenek moyang kita Abraham berpindah ke Haran, Allah yang mulia menampakkan diri kepada dia di Mesopotamia. 3 Allah berfirman kepadanya, `Tinggalkanlah negerimu dan keluargamu. Pergilah ke negeri yang akan Aku tunjukkan kepadamu.' 4 Oleh itu Abraham meninggalkan negeri Kasdim lalu pergi tinggal di Haran. Setelah bapa Abraham meninggal, Allah memimpin Abraham berpindah ke negeri yang sekarang saudara-saudara dan bapa-bapa diami. 5 Pada masa itu Allah tidak memberikan sedikit bahagian pun daripada negeri ini kepada Abraham untuk menjadi miliknya. Tetapi Allah berjanji bahawa Dia akan memberikan tanah itu kepada Abraham untuk menjadi miliknya dan milik keturunannya. Pada masa itu, Abraham tidak mempunyai anak. 6 Tetapi Allah berfirman kepadanya, `Keturunanmu akan tinggal di negeri orang, dan mereka akan diperhamba serta ditindas selama empat ratus tahun. 7 Tetapi Aku akan menghukum bangsa yang memperhamba mereka. Mereka akan keluar dari negeri itu dan akan menyembah Aku di tempat ini.' 8 Allah membuat perjanjian itu dengan Abraham. Lalu Allah menyuruh Abraham bersunat sebagai tanda dia menerima perjanjian itu. Demikianlah Abraham menyunat Ishak, seminggu setelah Ishak dilahirkan; Ishak menyunat Yakub, anaknya dan Yakub menyunat dua belas orang anak lelakinya. Anak-anak Yakub menjadi bapa-bapa bangsa kita. 9 Bapa-bapa bangsa kita iri hati terhadap Yusuf. Mereka menjual dia sebagai hamba di Mesir. Tetapi Allah menyertai dia, 10 dan menyelamatkan dia daripada segala kesusahan. Apabila Yusuf menghadap Firaun raja Mesir, Allah mengurniai dia budi dan kebijaksanaan, sehingga raja Mesir menjadikan dia gabenor negeri itu dan penguasa istananya. 11 Lalu berlakulah kebuluran di seluruh negeri Mesir dan Kanaan, sehingga mengakibatkan penderitaan yang berat. Nenek moyang kita tidak dapat memperolehi makanan. 12 Apabila Yakub mendengar berita bahawa ada gandum di Mesir, dia menyuruh anak-anaknya, nenek moyang kita, pergi ke sana untuk kali pertama. 13 Pada lawatan mereka yang kedua, Yusuf memberitahu saudara-saudaranya bahawa dia Yusuf. Barulah raja Mesir tahu akan keluarga Yusuf. 14 Yusuf mengirim berita kepada Yakub, dan meminta bapanya bersama dengan semua anggota keluarganya berpindah ke Mesir. Semuanya berjumlah tujuh puluh lima orang. 15 Yakub berpindah ke Mesir dan di situ dia serta nenek moyang kita meninggal. 16 Jenazah mereka dibawa ke Sikhem dan dikuburkan di kuburan yang dibeli oleh Abraham dengan sejumlah wang daripada suku Hamor. 17 Apabila sudah dekat masanya Allah memenuhi janji-Nya kepada Abraham, bilangan bangsa kita di Mesir semakin besar. 18 Akhirnya seorang raja lain yang tidak mengenal Yusuf mula memerintah di Mesir. 19 Raja itu memperdaya bangsa kita dan berlaku kejam terhadap nenek moyang kita. Raja itu memaksa mereka membuang bayi yang baru lahir supaya terlantar dan mati. 20 Pada masa itulah Musa lahir; dia bayi yang sangat comel. Dia dipelihara di rumah bapanya selama tiga bulan. 21 Apabila dia terpaksa dibuang, puteri raja Mesir mengambil dia dan memelihara dia sebagai anaknya sendiri. 22 Segala ilmu bangsa Mesir diajarkan kepada Musa dan dia menjadi seorang yang sangat berkuasa, baik dengan kata-kata mahupun perbuatannya. 23 Apabila Musa berumur empat puluh tahun, hatinya tergerak untuk pergi melawat bangsanya orang Israel. 24 Dia melihat seorang antara mereka sedang dianiaya oleh seorang Mesir. Dia menolong orang yang dianiaya itu dengan membunuh orang Mesir itu. ( 25 Musa menyangka bangsanya faham bahawa Allah akan menggunakan dia untuk membebaskan mereka, tetapi mereka tidak faham.) 26 Keesokan harinya dia melihat dua orang Israel berkelahi, dan dia cuba mendamaikan mereka. Dia berkata, `Kamu bersaudara. Mengapa kamu berkelahi?' 27 Tetapi orang yang memukul sahabatnya menolak Musa ke tepi, lalu bertanya, `Siapa yang menjadikan kamu pemimpin dan hakim kami? 28 Adakah kamu mahu membunuh aku seperti kamu membunuh orang Mesir itu kelmarin?' 29 Apabila Musa mendengar kata-kata itu, dia lari dari Mesir lalu tinggal di negeri Midian. Di sana dia beroleh dua orang anak lelaki. 30 Empat puluh tahun kemudian, satu malaikat menampakkan diri kepada Musa di dalam belukar yang bernyala, di padang gurun dekat Gunung Sinai. 31 Musa hairan melihat hal itu. Lalu dia menghampiri belukar itu supaya dapat melihat dengan lebih jelas. Tetapi dia mendengar suara Tuhan berfirman, 32 `Akulah Allah yang disembah nenek moyangmu; Akulah Allah Abraham, Ishak, dan Yakub.' Musa gementar kerana takut dan tidak berani melihat belukar itu lagi. 33 Lalu Tuhan berfirman pula, `Tanggalkan kasutmu, kerana tanah tempat engkau berdiri itu suci. 34 Aku sudah melihat dan memperhatikan betapa pahitnya penderitaan umat-Ku di Mesir. Aku sudah mendengar keluhan mereka, dan Aku sudah turun untuk membebaskan mereka. Sekarang marilah, Aku akan mengutus engkau ke Mesir.' 35 Musa inilah yang tidak diterima oleh kaum Israel. Mereka bertanya, `Siapa yang menjadikan kamu pemimpin dan hakim kami?' Tetapi dialah yang diutus oleh Allah untuk menjadi pemimpin dan pembebas, dengan pertolongan malaikat yang datang kepadanya di belukar yang bernyala itu. 36 Musa memimpin bangsa Israel keluar dari Mesir dengan melakukan berbagai-bagai mukjizat dan keajaiban di Mesir, di Laut Merah, dan kemudian di padang gurun selama empat puluh tahun. 37 Musa inilah yang berkata kepada bangsa Israel, `Allah akan mengutus seorang nabi kepada kamu, seperti Dia sudah mengutus aku. Nabi itu dipilih-Nya daripada bangsa kamu sendiri.' 38 Musa inilah yang menyertai bangsa Israel berhimpun di padang gurun. Dia di situ dengan nenek moyang kita dan dengan malaikat yang berkata-kata kepadanya di Gunung Sinai. Di situlah Allah mengurniai dia perkhabaran yang memberikan hidup, untuk disampaikan kepada kita. 39 Tetapi nenek moyang kita tidak mahu taat kepadanya. Mereka menolak dia dan ingin kembali ke Mesir. 40 Oleh itu mereka berkata kepada Harun, `Buatkan kita patung dewa yang boleh memimpin kita. Kita tidak tahu apa yang sudah berlaku terhadap Si Musa yang membawa kita keluar dari Mesir.' 41 Lalu mereka membuat berhala yang berupa lembu jantan, dan mereka mempersembahkan korban kepada berhala itu. Mereka mengadakan perjamuan bagi menghormati buatan mereka sendiri. 42 Oleh itu Allah meninggalkan mereka, dan sengaja membiarkan mereka menyembah bintang-bintang di langit. Hal itu seperti yang tertulis di dalam Kitab Nabi-Nabi, `Hai orang Israel! Bukannya untuk Aku kamu menyembelih dan mengorbankan binatang selama empat puluh tahun di padang gurun. 43 Khemah berhala Molokh itulah yang kamu usung, dengan patung Refan, bintang berhala kamu; itulah berhala yang kamu buat untuk disembah. Oleh itu Aku akan membuang kamu jauh ke seberang Babel.' 44 Nenek moyang kita mempunyai Khemah Tuhan yang bersama-sama mereka di padang gurun. Khemah itu dibuat seperti yang diperintahkan oleh Allah kepada Musa, dan menurut contoh yang ditunjukkan oleh Allah kepada Musa. 45 Kemudian, nenek moyang kita menerima khemah itu daripada bapa mereka. Khemah itu dibawa oleh mereka ketika mengikut Yosua merebut negeri kita ini daripada kekuasaan bangsa-bangsa yang diusir oleh Allah di hadapan mereka. Khemah itu di situ sehingga zaman Daud. 46 Daud menyenangkan hati Allah dan memohon izin daripada Allah untuk membina sebuah rumah bagi Allah yang disembah oleh Yakub. 47 Tetapi Salomo itulah yang membina rumah itu untuk Allah. 48 Tetapi Allah Yang Maha Tinggi tidak tinggal di dalam rumah buatan manusia, kerana di dalam kitab nabi tertulis, 49 `Langit takhta-Ku, dan bumi alas kaki-Ku. Rumah apakah yang mahu kamu bina untuk-Ku? Di manakah tempat kediaman-Ku? 50 Bukankah Aku sendiri yang menjadikan segala sesuatu?' begitulah firman Allah. 51 Alangkah kerasnya kepala saudara-saudara! Alangkah degilnya saudara semua, sehingga tidak mahu taat kepada Allah dan tidak mahu mendengar firman Allah! Saudara-saudara seperti nenek moyang saudara semua; saudara semua selalu melawan Roh Allah! 52 Adakah seorang nabi yang tidak dianiaya oleh nenek moyang saudara semua? Mereka membunuh pesuruh-pesuruh Allah yang dahulu kala mengumumkan kedatangan Hamba Allah yang melakukan kehendak-Nya. Sekarang saudara-saudara sudah mengkhianati dan membunuh Dia. 53 Saudara-saudara sudah menerima Taurat Allah yang disampaikan oleh malaikat-malaikat, tetapi saudara-saudara tidak mentaati Taurat itu!'' 54 Sementara anggota-anggota Majlis Agama mendengar semua yang dikatakan oleh Stefanus, mereka meradang dan marah sekali terhadapnya. 55 Tetapi Stefanus yang dikuasai oleh Roh Allah, menengadah ke langit. Dia melihat kemuliaan Allah, serta Yesus yang berdiri di tempat berkuasa di sebelah kanan Allah. 56 "Lihatlah,'' katanya, "saya melihat syurga terbuka dan Anak Manusia berdiri di sebelah kanan Allah!'' 57 Lalu anggota-anggota Majlis Agama berteriak-teriak sambil menutup telinga. Dengan serentak mereka menyerang Stefanus. 58 Mereka mengheret dia ke luar bandar lalu merejam dia. Orang yang menyaksikan peristiwa itu meletakkan pakaian mereka dekat kaki seorang muda bernama Saulus. 59 Sementara mereka melempari Stefanus dengan batu, Stefanus berseru kepada Tuhan, "Tuhan Yesus, terimalah diriku!'' 60 Lalu dia berlutut dan berseru dengan suara keras, "Ya Tuhan, ampunkanlah dosa mereka!'' Setelah berkata demikian, dia pun meninggal.

Kisah Rasul-Rasul 8

1 Saulus menyetujui pembunuhan itu. Pada hari itu juga, jemaah di Yerusalem mula menderita penganiayaan yang kejam. Semua pengikut Yesus, kecuali rasul-rasul, terpaksa melarikan diri ke seluruh daerah Yudea dan Samaria. 2 Beberapa orang yang takut akan Allah mengebumikan Stefanus. Mereka menangisi dia dengan sangat sedih. 3 Tetapi Saulus berusaha untuk membinasakan jemaah itu. Dia pergi dari rumah ke rumah, dan mengheret pengikut Yesus ke luar, baik lelaki mahupun perempuan, lalu memasukkan mereka ke dalam penjara. 4 Pengikut Yesus yang tercerai-cerai itu mengkhabarkan Berita Baik daripada Allah ke serata tempat. 5 Filipus pergi ke kota yang terpenting di Samaria dan memberitahu orang di sana tentang Penyelamat yang diutus oleh Allah. 6 Apabila orang di situ mendengar Filipus berkata-kata dan melihat mukjizat yang dilakukannya, mereka memperhatikan baik-baik apa yang dikatakan oleh Filipus. 7 Sambil menjerit-jerit roh jahat keluar daripada banyak orang yang kerasukan. Banyak orang lumpuh dan tempang pun disembuhkan. 8 Oleh itu orang di Samaria sangat bersukacita. 9 Seorang lelaki bernama Simon tinggal di kota itu. Sudah beberapa lama dia mempesonakan orang Samaria dengan ilmu sihirnya. Dia mengaku dirinya seorang yang luar biasa. 10 Semua lapisan masyarakat di kota itu mendengarkan dia dengan penuh minat. Mereka berkata, "Tuhan yang disebut `Kekuasaan Besar' sudah menjelma dalam orang ini.'' 11 Mereka mendengarkan dia dengan penuh minat, kerana sudah lama sekali dia mempesonakan mereka dengan ilmu sihirnya. 12 Tetapi apabila mereka percaya kepada perkhabaran Filipus, iaitu Berita Baik tentang Pemerintahan Allah dan tentang Yesus Kristus, mereka dibaptis -- baik lelaki mahupun perempuan. 13 Simon sendiri pun percaya kepada perkhabaran Filipus, dan setelah dia dibaptis, dia mengikuti Filipus. Simon hairan melihat keajaiban dan mukjizat yang dilakukan oleh Filipus. 14 Rasul-rasul di Yerusalem mendengar berita bahawa orang Samaria sudah menerima firman Allah. Oleh itu mereka mengutus Petrus dan Yohanes ke sana. 15 Apabila Petrus dan Yohanes tiba, mereka berdoa bagi pengikut Yesus di situ supaya menerima Roh Allah, 16 kerana tidak seorang pun di kalangan mereka dikuasai oleh Roh Allah. Mereka baru dibaptis demi nama Tuhan Yesus sahaja. 17 Lalu Petrus dan Yohanes meletakkan tangan mereka ke atas kepala orang Samaria di situ, dan mereka pun menerima Roh Allah. 18 Simon melihat bahawa Roh Allah diberikan kepada orang apabila rasul-rasul meletakkan tangan ke atas kepala orang. Oleh itu, Simon menawarkan wang kepada Petrus dan Yohanes, 19 dan berkata, "Berikan kuasa itu kepada saya supaya orang menerima Roh Allah apabila saya meletakkan tangan saya ke atas kepala mereka.'' 20 Tetapi Petrus menjawab, "Terkutuklah kamu dan wangmu, kerana menyangka kurnia Allah dapat dibeli dengan wang! 21 Kamu tidak mempunyai bahagian dalam pekerjaan kami, kerana hatimu tidak tulus di sisi Allah. 22 Bertaubatlah daripada niatmu yang jahat itu, dan berdoalah supaya Tuhan mengampuni kamu daripada fikiran yang sesat itu! 23 Aku tahu bahawa kamu sungguh iri hati dan diperhamba oleh dosa.'' 24 Lalu Simon berkata kepada Petrus dan Yohanes, "Berdoalah kepada Tuhan bagi saya, supaya saya tidak ditimpa perkara-perkara yang saudara-saudara katakan itu.'' 25 Setelah Petrus dan Yohanes memberikan kesaksian tentang Yesus serta menyampaikan perkhabaran Tuhan, mereka kembali ke Yerusalem. Dalam perjalanan, mereka mengkhabarkan Berita Baik itu di banyak pekan di daerah Samaria. 26 Malaikat Tuhan berkata kepada Filipus, "Bersiap-siaplah dan pergilah ke arah selatan, 27 Lalu Filipus pun berangkat. Seorang sida-sida dari Etiopia sedang dalam perjalanan pulang ke negerinya. Dia seorang pegawai tinggi yang bertanggungjawab atas kekayaan Kandake, ratu negeri Etiopia. Pegawai itu pergi ke Yerusalem untuk menyembah Allah dan sekarang dia dalam perjalanan pulang. Dia duduk di dalam kereta kudanya, sambil membaca kitab Nabi Yesaya. 29 Roh Allah berkata kepada Filipus, "Pergi dekati kereta kuda itu.'' 30 Filipus segera pergi menghampiri kereta kuda itu, lalu mendengar pegawai tinggi itu sedang membaca kitab Nabi Yesaya. Filipus bertanya kepadanya, "Adakah tuan memahami apa yang tuan baca?'' 31 Pegawai tinggi itu menjawab, "Bagaimana saya boleh faham jika tidak ada orang yang menerangkannya?'' Lalu dia mengajak Filipus menaiki kereta kudanya dan duduk dengan dia. 32 Inilah ayat-ayat yang dibacanya, "Dia seperti domba yang digiring untuk disembelih; seperti anak domba yang tidak mengembik ketika bulunya digunting; demikianlah Dia tidak berkata sepatah pun. 33 Dia dihina dan diperlakukan dengan tidak adil. Nyawanya dicabut dari muka bumi, sehingga tiada seorang pun dapat menceritakan keturunannya.'' 34 Pegawai tinggi itu berkata kepada Filipus, "Tolong beritahu, siapakah yang dimaksudkan oleh nabi itu? Dirinya sendiri atau orang lain?'' 35 Lalu Filipus mula berkata-kata. Melalui ayat-ayat itu Filipus memberitahu dia Berita Baik tentang Yesus. 36 Dalam perjalanan, mereka sampai ke suatu tempat yang berair. Pegawai itu berkata, "Lihatlah, di sini ada air. Adakah sebab yang menghalang saya dibaptis?'' 37 Filipus berkata, "Tuan boleh dibaptis, asal sahaja tuan percaya kepada Yesus dengan sepenuh hati.'' Pegawai tinggi itu menjawab, "Saya percaya bahawa Yesus Kristus Anak Allah.'' 38 Lalu pegawai itu memberikan perintah supaya kereta kudanya dihentikan. Kemudian Filipus dan pegawai itu turun ke dalam air dan Filipus membaptis dia. 39 Apabila mereka keluar dari air, Roh Tuhan mengambil Filipus dari situ. Pegawai tinggi itu tidak nampak dia lagi, lalu meneruskan perjalanan dengan sukacita. 40 Filipus mendapati dirinya di Asdod. Dia meneruskan perjalanan sambil mengkhabarkan Berita Baik tentang Yesus di semua bandar sehingga dia tiba di Kaisarea.

Kisah Rasul-Rasul 9

1 Sementara itu Saulus meneruskan ancamannya untuk membunuh pengikut-pengikut Tuhan. Saulus pergi kepada Imam Agung, 2 dan meminta surat kuasa untuk ditunjukkan kepada pemimpin rumah-rumah ibadat orang Yahudi di Damsyik. Dengan demikian, jika di situ dia menjumpai pengikut-pengikut Yesus, dia boleh menangkap mereka, baik lelaki mahupun perempuan, dan membawa mereka ke Yerusalem. 3 Dalam perjalanannya ke Damsyik, apabila dia sudah dekat kota itu, tiba-tiba cahaya dari langit memancar di sekeliling Saulus. 4 Dia jatuh ke tanah lalu mendengar suara berkata kepadanya, "Saulus, Saulus! Mengapa engkau menganiaya Aku?'' 5 Saulus bertanya, "Siapakah tuan?'' Suara itu menjawab, "Aku Yesus, yang engkau aniaya. 6 Bangunlah dan masuklah ke bandar. Di situ engkau akan diberitahu apa yang harus engkau lakukan.'' 7 Orang yang seperjalanan dengan Saulus berhenti dan terdiam. Mereka mendengar suara itu tetapi tidak melihat sesiapa pun. 8 Saulus berdiri lalu membuka matanya, tetapi dia tidak dapat melihat apa-apa. Oleh itu mereka memegang tangannya dan memimpin dia masuk ke Damsyik. 9 Tiga hari lamanya dia tidak dapat melihat, dan selama itu dia tidak makan atau minum. 10 Seorang pengikut Yesus bernama Ananias tinggal di Damsyik. Dalam penglihatan, dia melihat Tuhan berkata kepadanya, "Ananias!'' "Ya Tuhan,'' jawab Ananias. 11 Tuhan berkata kepadanya, "Bersiap-siaplah dan pergilah ke rumah Yudas di Jalan Lurus. Bertanyalah tentang seorang bernama Saulus dari kota Tarsus. Dia sedang berdoa, 12 dan dalam penglihatan, dia melihat seorang lelaki bernama Ananias datang meletakkan tangan padanya supaya dia boleh melihat semula.'' 13 Ananias menjawab, "Ya Tuhan, banyak orang sudah memberitahu aku tentang orang ini. Dia sudah melakukan banyak perkara yang kejam terhadap umat-Mu di Yerusalem. 14 Sekarang dia datang ke Damsyik dengan kuasa daripada ketua-ketua imam untuk menangkap semua orang yang menyembah Engkau.'' 15 Tetapi Tuhan berkata kepadanya, "Pergilah, kerana Aku sudah memilih dia untuk mengabdikan diri kepada-Ku, supaya dia memberitakan nama-Ku kepada bangsa-bangsa bukan Yahudi, raja-raja, dan umat Israel. 16 Semua penderitaan yang harus dialaminya kerana Aku, akan Aku tunjukkan kepadanya.'' 17 Oleh itu Ananias pergi dan masuk ke rumah itu lalu meletakkan tangannya pada Saulus. "Saudara Saulus,'' katanya, "Tuhan sudah mengutus saya -- Yesus yang menampakkan diri kepada saudara dalam perjalanan ke mari, sudah mengutus saya ke sini supaya saudara boleh melihat semula dan dikuasai oleh Roh Allah.'' 18 Pada saat itu juga sesuatu seperti sisik ikan jatuh daripada mata Saulus dan dia dapat melihat semula. Lalu dia bangkit dan dibaptis. 19 Setelah dia makan, pulihlah kekuatannya. Saulus tinggal beberapa hari dengan pengikut-pengikut Yesus di Damsyik. 20 Dia terus pergi ke rumah-rumah ibadat dan mula mengisytiharkan berita bahawa Yesus Anak Allah. 21 Semua orang yang mendengar kata-kata Saulus menjadi hairan. Mereka berkata sesama sendiri, "Dialah orang di Yerusalem yang membunuh semua orang yang menyembah Yesus. Dia datang ke sini untuk menangkap dan membawa pengikut Yesus kepada ketua-ketua imam.'' 22 Tetapi Saulus semakin kuat pengaruhnya. Bukti-bukti yang dikemukakannya bahawa Yesus Penyelamat yang diutus oleh Allah begitu meyakinkan, sehingga orang Yahudi yang tinggal di Damsyik tidak dapat membantah lagi. 23 Beberapa hari kemudian, orang Yahudi bersepakat hendak membunuh Saulus. 24 Tetapi rancangan mereka diketahui oleh Saulus. Siang malam mereka menunggu di pintu gerbang kota untuk membunuh dia. 25 Tetapi pada suatu malam, pengikut-pengikut Saulus menurunkan dia dengan sebuah keranjang ke kaki tembok kota melalui tingkap. 26 Saulus pergi ke Yerusalem dan berusaha bergabung dengan pengikut-pengikut Yesus di situ. Tetapi mereka takut akan dia, kerana mereka tidak percaya bahawa dia benar-benar sudah menjadi pengikut Yesus. 27 Kemudian Barnabas menyambut dia dan membawa dia kepada rasul-rasul. Barnabas memberitahu mereka bahawa Saulus sudah melihat Tuhan dalam perjalanan ke Damsyik, dan bahawa Tuhan sudah berkata-kata kepadanya. Dia juga memberitahu mereka bahawa dengan berani Saulus mengajar di Damsyik demi nama Yesus. 28 Oleh itu Saulus tinggal bersama-sama mereka, dan mengajar dengan berani di seluruh Yerusalem dengan nama Tuhan. 29 Dia juga berbincang dan berdebat dengan orang Yahudi yang berbahasa Yunani, dan mereka cuba membunuh dia. 30 Apabila saudara-saudara seiman mengetahui hal itu, mereka membawa Saulus ke Kaisarea dan kemudian menghantar dia ke Tarsus. 31 Dengan demikian tenteramlah jemaah di seluruh Yudea, Galilea, dan Samaria. Jemaah itu menghormati Allah dan dengan pertolongan Roh Allah, jemaah itu bertambah kuat dan bertambah banyak. 32 Petrus berkunjung ke serata tempat. Pada suatu hari dia melawat umat Tuhan yang tinggal di Lida. 33 Di situ dia berjumpa dengan seorang lelaki bernama Eneas, yang lumpuh dan tidak dapat bangun dari katilnya selama lapan tahun. 34 Petrus berkata kepadanya, "Hai Eneas, Yesus Kristus menyembuhkan kamu. Bangunlah dan kemaskan katilmu.'' Pada saat itu juga Eneas bangun. 35 Semua penduduk di Lida dan Dataran Saron melihat Eneas, lalu mereka semua percaya kepada Tuhan. 36 Di Yope ada seorang wanita bernama Tabita. Dia percaya kepada Yesus. (Dalam bahasa Yunani namanya Dorkas, yang bererti `rusa.') Dia menggunakan masanya untuk melakukan hal-hal baik dan menolong orang miskin. 37 Pada waktu itu dia jatuh sakit lalu meninggal dunia. Setelah dimandikan, jenazahnya diletakkan di bilik di tingkat atas. 38 Yope tidak berapa jauh dari Lida. Apabila pengikut-pengikut Yesus di Yope mendengar bahawa Petrus di Lida, mereka mengutus dua orang kepadanya dengan berita, "Cepatlah datang ke mari.'' 39 Petrus bersiap lalu mengikut mereka. Apabila dia tiba di situ, dia dibawa ke bilik di tingkat atas. Sambil menangis semua balu di situ mengerumuni Petrus dan menunjukkan pakaian dan jubah yang telah dijahit oleh Dorkas bagi mereka, semasa dia masih hidup. 40 Petrus menyuruh mereka semua keluar. Lalu dia berlutut dan berdoa. Kemudian dia menghampiri jenazah itu dan berkata, "Tabita, bangunlah!'' Tabita membuka matanya dan apabila dia nampak Petrus, dia pun duduk. 41 Petrus memegang tangannya dan menolong dia berdiri. Kemudian Petrus memanggil semua pengikut Yesus di situ termasuk balu-balu, lalu menyerahkan Tabita yang sudah hidup itu kepada mereka. 42 Berita itu tersebar ke seluruh Yope, dan banyak orang percaya kepada Tuhan. 43 Petrus tinggal di Yope dengan seorang penyamak kulit bernama Simon untuk beberapa hari lamanya.

Kisah Rasul-Rasul 10

1 Seorang lelaki bernama Kornelius tinggal di Kaisarea. Dia kapten pasukan tentera Roma yang disebut Pasukan Italia. 2 Dia takut akan Allah; dia dan keluarganya menyembah Allah. Dia sering menolong orang Yahudi yang miskin, dan dia sentiasa berdoa kepada Allah. 3 Pada suatu hari kira-kira pukul tiga petang, dalam suatu penglihatan, dengan jelas dia melihat malaikat Tuhan datang kepadanya dan berkata, "Kornelius!'' 4 Kornelius memandang malaikat itu dengan ketakutan lalu bertanya, "Ada apa, tuan?'' Malaikat itu menjawab, "Doamu dan kemurahan hatimu sudah diterima oleh Allah dan Allah mengabulkan doamu. 5 Sekarang suruhlah beberapa orang ke Yope untuk memanggil seorang bernama Simon Petrus. 6 Dia sedang menumpang di rumah seorang penyamak kulit bernama Simon, yang tinggal di tepi pantai.'' 7 Setelah malaikat itu pergi, Kornelius memanggil dua orang hamba yang bekerja di rumahnya dan salah seorang pengawal peribadinya, yang juga takut akan Allah. 8 Dia memberitahu mereka apa yang sudah berlaku, lalu menyuruh mereka pergi ke Yope. 9 Keesokan harinya, semasa mereka masih dalam perjalanan dan hampir tiba di Yope, Petrus naik ke atas bumbung rumah pada tengah hari untuk berdoa. 10 Dia lapar dan hendak makan. Sementara makanan disediakan, dia mendapat suatu penglihatan. 11 Dia melihat langit terbuka dan sesuatu seperti kain lebar diturunkan ke bumi, tergantung pada keempat-empat sudutnya. 12 Di dalamnya terdapat segala macam binatang berkaki empat, binatang menjalar dan burung-burung liar. 13 Lalu ada suara berkata kepadanya, "Petrus, bangunlah! Sembelihlah binatang itu dan makanlah!'' 14 Petrus menjawab, "Tidak, Tuhan! Aku belum pernah makan apa-apa yang haram atau najis.'' 15 Tetapi suara itu berkata lagi, "Jangan anggap haram apa yang sudah dinyatakan halal oleh Allah.'' 16 Perkara itu berulang sehingga tiga kali, lalu kain itu terangkat kembali ke langit. 17 Petrus termenung memikirkan makna penglihatan itu. Pada masa itu orang yang disuruh oleh Kornelius sudah menjumpai rumah Simon, dan mereka sedang berdiri di muka pintu. 18 Mereka memanggil dan bertanya sama ada seorang tamu bernama Simon Petrus menumpang di situ. 19 Petrus masih berusaha untuk memahami makna penglihatan itu, apabila Roh Allah berkata kepadanya, "Dengarlah! Tiga orang sedang mencari kamu. 20 Cepatlah turun ke bawah dan jangan ragu-ragu mengikut mereka, kerana Aku yang menyuruh mereka datang.'' 21 Petrus turun ke bawah dan berkata kepada mereka, "Sayalah yang saudara-saudara cari. Mengapa saudara-saudara datang?'' 22 Mereka menjawab, "Kapten Kornelius menyuruh kami ke mari. Dia orang baik dan dia takut akan Allah. Dia sangat dihormati oleh semua orang Yahudi. Malaikat Allah menyuruh dia menjemput tuan ke rumahnya supaya dia boleh mendengar apa yang akan tuan katakan.'' 23 Lalu Petrus menjemput mereka menginap di situ. Keesokan harinya Petrus bersiap-siap dan pergi dengan mereka. Beberapa orang pengikut Yesus dari Yope pun pergi dengan dia. 24 Sehari sesudah itu, mereka tiba di Kaisarea. Kornelius bersama-sama sanak saudara dan sahabat-sahabat karib yang telah dijemputnya, sedang menunggu mereka. 25 Apabila Petrus tiba, Kornelius menyambut dia dan sujud di hadapannya. 26 Tetapi Petrus menyuruh dia bangun, "Bangunlah,'' katanya, "saya sendiri pun manusia.'' 27 Sementara bercakap dengan Kornelius, Petrus masuk ke dalam rumah dan mendapati banyak orang sudah berkumpul di situ. 28 Petrus berkata kepada mereka, "Saudara-saudara sendiri tahu bahawa orang Yahudi dilarang oleh agama mereka untuk melawat atau berhubungan dengan orang bukan Yahudi. Tetapi Allah sudah menunjukkan bahawa saya tidak boleh menganggap seseorang pun najis atau haram. 29 Itulah sebabnya apabila saya dijemput, saya tidak berkeberatan datang. Katakanlah, mengapa tuan meminta saya datang?'' 30 Kornelius menjawab, "Tiga hari yang lalu, kira-kira pada pukul tiga petang saya sedang berdoa di rumah. Tiba-tiba seorang lelaki yang pakaiannya bersinar-sinar berdiri di hadapan saya. 31 Dia berkata, `Kornelius! Allah sudah mendengar doamu, dan ingat akan kemurahan hatimu. 32 Suruhlah orang pergi ke Yope untuk memanggil seorang bernama Simon Petrus. Dia menumpang di rumah seorang penyamak kulit bernama Simon, yang tinggal di tepi pantai.' 33 Itulah sebabnya saya segera menyuruh orang memanggil tuan, dan tuan sungguh baik hati kerana sudi ke mari. Sekarang kami berkumpul di sini di hadapan Allah, untuk mendengar apa sahaja yang akan tuan katakan seperti yang diperintahkan oleh Tuhan.'' 34 Lalu Petrus berkata, "Sekarang barulah saya sedar bahawa Allah memperlakukan semua orang dengan sama rata. 35 Sesiapa yang menghormati Allah dan berbuat apa yang benar, diterima oleh Allah, walau apa pun bangsanya. 36 Saudara-saudara tahu akan perkhabaran yang disampaikan oleh Allah kepada bangsa Israel. Khabar itu Berita Baik tentang kedamaian melalui Yesus Kristus, Tuhan semua orang. 37 Saudara-saudara mengetahui apa yang telah berlaku di seluruh Yudea, mulai dari Galilea, setelah baptisan yang diberitakan oleh Yohanes. 38 Saudara-saudara tahu bahawa Allah telah memilih Yesus orang Nasaret itu dan memberi Dia Roh Allah dan kekuasaan. Yesus pergi ke serata tempat untuk berbuat baik dan menyembuhkan semua orang yang dikuasai oleh Iblis, kerana Allah menyertai Yesus. 39 Kami saksi yang sudah melihat segala sesuatu yang dilakukan-Nya di negeri Yudea mahupun di Yerusalem. Kemudian mereka menyalibkan Dia dan membunuh Dia. 40 Tetapi pada hari ketiga Allah membangkitkan Dia daripada kematian, dan memperlihatkan Dia. 41 Dia tidak dilihat oleh semua orang; tetapi hanya oleh kami yang sudah dipilih oleh Allah untuk menjadi saksi-saksi-Nya. Kami makan dan minum dengan Dia, sesudah Dia bangkit daripada kematian. 42 Dia menyuruh kami mengkhabarkan Berita Baik itu kepada semua orang, dan memberikan kesaksian bahawa Dialah yang diutus oleh Allah untuk menjadi hakim orang yang masih hidup dan yang sudah mati. 43 Semua nabi berkata-kata tentang Dia. Mereka berkata bahawa setiap orang yang percaya kepada Yesus, dosanya akan diampunkan dengan kekuasaan Yesus.'' 44 Sementara Petrus berkata-kata, Roh Allah turun dan menguasai semua orang yang mendengar perkhabaran itu. 45 Beberapa orang Yahudi yang percaya kepada Yesus dan menyertai Petrus dari Yope, hairan melihat Allah mengurniakan Roh-Nya kepada orang bukan Yahudi juga. 46 Mereka mendengar semua orang itu bertutur dalam bahasa-bahasa yang ajaib serta memuji-muji kebesaran Allah. Lalu Petrus berkata, 47 "Lihatlah, semua orang ini sudah menerima Roh Allah seperti kita. Bolehkah sesiapa menghalangi mereka dibaptis dengan air?'' 48 Oleh itu Petrus menyuruh mereka dibaptis demi nama Yesus Kristus. Kemudian mereka meminta supaya Petrus tinggal dengan mereka untuk beberapa hari.

Kisah Rasul-Rasul 11

1 Rasul-rasul dan pengikut-pengikut Yesus di seluruh Yudea mendengar bahawa orang bukan Yahudi pun sudah menerima firman Allah. 2 Apabila Petrus pergi ke Yerusalem, orang Yahudi yang percaya kepada Yesus dan masih berpegang kepada upacara bersunat, mencela Petrus. Mereka berkata, 3 "Kamu menumpang di rumah orang bukan Yahudi yang tidak bersunat. Bahkan kamu makan bersama-sama mereka!'' 4 Oleh itu Petrus memberikan laporan lengkap tentang apa yang sudah berlaku. Dia melaporkan hal itu mulai dari permulaan, 5 "Aku sedang berdoa di kota Yope, lalu melihat suatu penglihatan. Aku melihat sesuatu seperti kain lebar diturunkan dari langit, tergantung pada keempat-empat sudutnya, lalu berhenti di sisiku. 6 Semasa aku memperhatikan bahagian dalamnya, aku nampak binatang berkaki empat, binatang liar, binatang menjalar, dan burung-burung liar. 7 Lalu aku mendengar suara berkata kepadaku, `Bangunlah Petrus! Sembelihlah binatang itu dan makanlah!' 8 Tetapi aku menjawab, `Tidak, Tuhan! Aku belum pernah makan apa-apa yang haram atau najis.' 9 Suara itu berkata lagi dari langit, `Janganlah anggap haram apa yang sudah dinyatakan halal oleh Allah!' 10 Peristiwa itu berulang tiga kali dan akhirnya semuanya terangkat kembali ke langit. 11 Pada saat itu juga, tiga orang dari Kaisarea yang diutus kepadaku, tiba di rumah tempat aku menginap. 12 Roh Allah menyuruh aku mengikut mereka dengan tidak ragu-ragu. Enam orang saudara seiman dari Yope, menyertai aku ke Kaisarea, dan kami semua masuk ke rumah Kornelius. 13 Kornelius memberitahu kami bahawa dia melihat satu malaikat berdiri di rumahnya dan berkata, `Suruhlah orang pergi ke Yope untuk memanggil seorang lelaki bernama Simon Petrus. 14 Dia akan menyampaikan berita yang boleh menyelamatkan engkau dan keluargamu.' 15 Apabila aku mula bercakap, Roh Allah datang kepada mereka, seperti yang berlaku kepada kita pada mulanya. 16 Kemudian aku teringat bahawa Tuhan pernah berkata, `Yohanes membaptis dengan air, tetapi kamu akan dibaptis dengan Roh Allah.' 17 Nyatalah bahawa Allah mengurniai orang bukan Yahudi itu, pemberian yang seperti kita terima pada masa kita percaya kepada Tuhan Yesus Kristus. Siapakah aku ini sehingga cuba menghalang Allah?'' 18 Apabila mereka mendengar hal itu, mereka tidak mencela Petrus lagi. Lalu mereka memuji Allah dan berkata, "Jika demikian, Allah juga memberikan peluang kepada orang bukan Yahudi untuk bertaubat dan beroleh hidup sejati!'' 19 Pada masa Stefanus dibunuh, orang yang percaya kepada Yesus tercerai-cerai kerana dianiaya. Ada yang lari sampai ke Fenisia, Siprus, dan Antiokhia. Mereka memberitakan perkhabaran daripada Allah kepada orang Yahudi sahaja. 20 Tetapi beberapa orang pengikut Yesus yang berasal dari Siprus dan Kirene, pergi ke Antiokhia. Mereka mengkhabarkan Berita Baik tentang Tuhan Yesus kepada orang bukan Yahudi. 21 Kuasa Tuhan menyertai mereka sehingga banyak orang percaya kepada Tuhan dan mengikut Dia. 22 Jemaah di Yerusalem mendengar peristiwa itu. Oleh itu mereka mengutus Barnabas ke Antiokhia. 23 Apabila dia tiba di Antiokhia dan melihat Allah memberkati orang di situ, dia bersukacita. Lalu dia menggalakkan mereka semua supaya tetap setia kepada Tuhan dengan sepenuh hati. 24 Barnabas seorang yang baik, dikuasai oleh Roh Allah dan sangat percaya kepada Tuhan, dan banyak orang mengikut Tuhan. 25 Kemudian Barnabas pergi ke Tarsus untuk mencari Saulus. 26 Apabila dia menjumpai Saulus, Barnabas membawa Saulus ke Antiokhia, dan selama setahun mereka berkumpul dengan jemaah di situ sambil mengajar banyak orang. Di Antiokhia, untuk kali pertama pengikut-pengikut Yesus disebut orang Kristian. 27 Pada waktu itu, beberapa orang nabi dari Yerusalem datang ke Antiokhia. 28 Seorang daripada mereka bernama Agabus. Dia berdiri dan dengan kuasa Roh Allah, Agabus bernubuat bahawa kebuluran yang teruk akan berlaku di seluruh dunia. (Kebuluran itu berlaku pada masa pemerintahan Kaisar Klaudius.) 29 Semua pengikut Yesus di situ bersetuju untuk mengirim bantuan kepada saudara-saudara seiman yang tinggal di Yudea; masing-masing akan memberikan bantuan menurut kemampuannya. 30 Mereka melakukan hal itu, lalu mengutus Barnabas dan Saulus untuk membawa wang itu kepada pemimpin-pemimpin jemaah.

Kisah Rasul-Rasul 12

1 Pada masa itu Raja Herodes mula menganiaya beberapa orang daripada jemaah. 2 Dengan perintah Raja Herodes, Yakobus, saudara Yohanes dipenggal kepalanya. 3 Apabila Raja Herodes melihat bahawa perkara itu menyenangkan hati orang Yahudi, Raja Herodes melanjutkan perbuatannya yang jahat dengan menangkap Petrus. (Hal ini berlaku pada waktu Perayaan Roti Tidak Beragi.) 4 Setelah Petrus ditangkap, dia dimasukkan ke dalam penjara. Di situ dia dijaga oleh empat kumpulan askar, dan setiap kumpulan terdiri daripada empat orang askar. Raja Herodes bercadang mengadili Petrus di hadapan umum apabila perayaan Paska berakhir. 5 Oleh itu Petrus ditahan di penjara, tetapi jemaah tekun berdoa kepada Allah bagi Petrus. 6 Pada malam sebelum Raja Herodes menghadapkan Petrus kepada orang ramai, Petrus tidur terbelenggu dengan dua rantai yang diikatkan kepada dua orang askar; seorang askar pada setiap sisinya. Di pintu penjara, askar-askar pengawal juga sedang bertugas. 7 Tiba-tiba malaikat Tuhan berdiri di situ dan cahaya bersinar di dalam bilik penjara itu. Malaikat itu menggoyang-goyang Petrus dan membangunkan dia, lalu berkata, "Cepat bangun!'' Pada saat itu juga jatuhlah rantai dari tangan Petrus. 8 Malaikat itu berkata lagi, "Ikat tali pinggangmu dan pakailah kasut.'' Petrus pun berbuat demikian. Kemudian malaikat itu berkata pula, "Pakailah jubahmu dan ikutlah aku.'' 9 Petrus mengikut malaikat itu keluar dari penjara. Tetapi Petrus tidak tahu sama ada perbuatan malaikat itu benar-benar berlaku atau tidak. Petrus menyangka semua itu hanya suatu penglihatan. 10 Mereka melalui tempat penjagaan yang pertama, kemudian yang kedua dan akhirnya tiba di pintu besi yang menuju ke bandar. Pintu itu terbuka dengan sendirinya, lalu mereka keluar. Mereka berjalan melalui suatu lorong, lalu tiba-tiba malaikat itu meninggalkan Petrus. 11 Barulah Petrus menyedari apa yang sudah berlaku kepada dirinya. Dia berkata, "Sekarang aku tahu bahawa semuanya benar-benar berlaku. Tuhan telah mengirim malaikat-Nya untuk melepaskan aku daripada kuasa Raja Herodes dan daripada segala sesuatu yang akan dilakukan orang Yahudi kepadaku.'' 12 Apabila Petrus menyedari keadaannya, dia pergi ke rumah Maria, ibu Yohanes Markus. Banyak orang berkumpul di situ dan sedang berdoa. 13 Petrus mengetuk pintu luar, dan seorang hamba perempuan bernama Rode datang untuk membuka pintu. 14 Dia mengenali suara Petrus, tetapi kerana terlalu gembira dia cepat-cepat masuk kembali tanpa membuka pintu. Dia memberitahu bahawa Petrus berdiri di luar. 15 "Kamu gila!'' kata mereka. Tetapi Rode berkeras mengatakan orang itu Petrus. Oleh itu mereka berkata, "Dia itu malaikatnya!'' 16 Sementara itu Petrus terus-menerus mengetuk pintu. Akhirnya mereka membuka pintu, dan apabila mereka melihat Petrus, mereka hairan sekali. 17 Petrus memberikan isyarat dengan tangan supaya mereka tenang. Lalu dia menceritakan bagaimana Tuhan sudah membawa dia keluar dari penjara. Kemudian Petrus berkata, "Beritahukan hal ini kepada Yakobus dan saudara-saudara yang lain.'' Kemudian dia meninggalkan tempat itu dan pergi ke tempat lain. 18 Pagi berikutnya berlakulah kegemparan di kalangan askar-askar itu. Apakah yang sudah berlaku terhadap Petrus? 19 Raja Herodes menyuruh orang mencari Petrus, tetapi mereka tidak dapat menjumpai dia. Lalu Raja Herodes memberikan perintah supaya askar-askar pengawal itu disoal siasat lalu dihukum mati. Setelah itu Raja Herodes meninggalkan Yudea lalu tinggal di Kaisarea untuk beberapa waktu. 20 Raja Herodes sangat murka terhadap orang Tirus dan Sidon. Oleh itu mereka datang bersama untuk menghadap Raja Herodes. Mula-mula mereka meyakinkan Blastus, orang yang mengepalai istana Raja Herodes, supaya memihak mereka. Kemudian mereka pergi menghadap Raja Herodes dan minta berdamai, kerana bekalan makanan negeri mereka bergantung kepada negeri Raja Herodes. 21 Pada hari yang sudah ditetapkan, Raja Herodes mengenakan pakaian kebesaran lalu bersemayam di takhta dan menyampaikan ucapan kepada rakyat. 22 Orang ramai yang mendengar ucapan Raja Herodes berseru, "Dewalah yang berkata-kata, bukan manusia.'' 23 Pada saat itu juga malaikat Tuhan memukul Raja Herodes, kerana raja tidak menghormati Allah. Raja Herodes dimakan cacing lalu mangkat. 24 Sementara itu firman Allah semakin tersebar luas dan banyak orang percaya kepada Yesus. 25 Setelah Barnabas dan Saulus menyelesaikan tugas, mereka kembali dari Yerusalem dan membawa serta Yohanes Markus.

Kisah Rasul-Rasul 13

1 Di kalangan jemaah di Antiokhia terdapat beberapa orang nabi dan guru: Barnabas, Simeon yang digelar Si Hitam, Lukius dari Kirene, Menahem yang dibesarkan bersama-sama Gabenor Herodes, dan Saulus. 2 Sementara mereka beribadat kepada Tuhan dan berpuasa, Roh Allah berkata kepada mereka, "Pilihlah Barnabas dan Saulus khas untuk-Ku, supaya mereka menjalankan tugas yang sudah Aku tetapkan bagi mereka.'' 3 Setelah berpuasa dan berdoa, mereka meletakkan tangan ke atas kepala Barnabas dan Saulus, lalu mengutus mereka berdua. 4 Barnabas dan Saulus pergi ke Seleukia, kerana diutus oleh Roh Allah. Dari sana mereka belayar ke pulau Siprus. 5 Apabila mereka tiba di Salamis, mereka menyampaikan firman Allah di rumah ibadat orang Yahudi. Yohanes Markus menolong mereka dalam tugas itu. 6 Mereka menjelajah seluruh pulau itu, sehingga tiba di Pafos. Di situ mereka berjumpa dengan seorang ahli sihir bernama Bar-Yesus, seorang Yahudi yang menganggap dirinya sebagai nabi. 7 Dia sahabat Sergius Paulus, gabenor pulau itu, seorang yang cerdik dan bijaksana. Gabenor itu menjemput Barnabas dan Saulus, kerana dia ingin mendengar firman Allah. 8 Tetapi Barnabas dan Saulus ditentang oleh Elimas ahli sihir itu (itulah namanya dalam bahasa Yunani), kerana Elimas cuba menghalang gabenor itu percaya kepada Yesus. 9 Tetapi Saulus -- yang juga disebut Paulus -- dikuasai oleh Roh Allah, dan menatap ahli sihir itu. 10 Lalu Paulus berkata, "Kamu anak Iblis! Kamu musuh segala apa yang baik. Kamu penuh dengan tipu muslihat. Kamu berdusta mengenai ajaran tentang Tuhan! 11 Tuhan akan menghukum kamu sekarang juga. Kamu akan menjadi buta, dan tidak dapat melihat cahaya matahari untuk sementara waktu.'' Pada saat itu juga Elimas merasa kabus gelap menutupi matanya, sehingga dia berjalan sambil meraba-raba mencari orang yang dapat menuntunnya. 12 Apabila gabenor itu melihat apa yang sudah berlaku, dia percaya kepada Yesus, kerana sangat mengagumi ajaran Tuhan. 13 Paulus dan rakan-rakannya belayar dari Pafos ke kota Perga di daerah Pamfilia. Di situ Yohanes Markus meninggalkan mereka lalu kembali ke Yerusalem. 14 Mereka melanjutkan perjalanan dari Perga ke kota Antiokhia di Pisidia. Pada hari Sabat mereka masuk ke rumah ibadat lalu duduk di situ. 15 Setelah Taurat Musa dan Kitab Nabi-Nabi dibacakan, para pemimpin rumah ibadat itu menyuruh orang berkata kepada Paulus dan rakannya, "Saudara-saudara, jika ada nasihat untuk menggalakkan orang di sini, silalah katakan.'' 16 Paulus berdiri lalu memberikan isyarat dengan tangan, dan mula berkata, "Saudara-saudara bangsa Israel dan semua saudara lain di sini yang taat kepada Allah, dengarlah! 17 Allah orang Israel telah memilih nenek moyang kita dan menjadikan mereka bangsa yang besar, semasa mereka tinggal di Mesir sebagai orang asing. Allah membawa mereka keluar dari Mesir dengan kuasa-Nya yang besar. 18 Dia bersabar terhadap mereka selama empat puluh tahun di padang gurun. 19 Dia memusnahkan tujuh bangsa di tanah Kanaan dan menjadikan negeri itu milik umat-Nya. 20 Semua itu berlangsung selama 450 tahun. Setelah itu Allah mengurniai mereka hakim-hakim sehingga masa Nabi Samuel. 21 Apabila mereka meminta seorang raja, Allah memberi mereka Saul anak Kis daripada suku Benyamin untuk menjadi raja selama empat puluh tahun. 22 Setelah Allah menyingkirkan dia daripada kedudukannya, Allah menjadikan Daud raja mereka. Inilah yang dikatakan oleh Allah tentang Daud, `Aku mendapati Daud anak Isai seorang yang menyenangkan hati-Ku. Dia orang yang akan melakukan segala kehendak-Ku.' 23 Yesuslah keturunan Daud, dan Allah menjadikan Dia Penyelamat bangsa Israel, seperti yang dijanjikan-Nya. 24 Sebelum Yesus memulakan tugas-Nya, Yohanes menyeru supaya semua orang Israel bertaubat daripada dosa lalu dibaptis. 25 Apabila Yohanes hampir menyelesaikan tugasnya, dia berkata kepada orang ramai, `Siapakah aku ini menurut pendapat kamu? Aku bukan orang yang kamu tunggu-tunggu. Dengarlah baik-baik! Dia akan datang kemudian, dan aku tidak layak membuka kasut-Nya.' 26 Saudara-saudara keturunan Abraham, dan semua saudara lain di sini yang taat kepada Allah! Allah sudah mengirim berita penyelamatan itu kepada kita. 27 Orang yang tinggal di Yerusalem dan pemimpin-pemimpin mereka tidak sedar bahawa Dialah Penyelamat itu. Mereka tidak memahami ajaran nabi-nabi yang dibacakan setiap hari Sabat, sehingga mereka menghukum Yesus. Tetapi melalui perbuatan mereka itu berlakulah apa yang sudah dikatakan oleh nabi-nabi. 28 Meskipun mereka tidak mempunyai alasan apa-apa untuk menjatuhkan hukuman mati kepada Yesus, namun mereka meminta Pilatus menjatuhkan hukuman mati kepada-Nya. 29 Setelah mereka melakukan semua yang tertulis di dalam Alkitab tentang Dia, mereka menurunkan jenazah-Nya dari salib dan meletakkannya di dalam kubur. 30 Tetapi Allah membangkitkan Dia daripada kematian. 31 Kemudian selama beberapa hari Dia menampakkan diri kepada mereka yang dahulu berjalan bersama-sama Dia dari Galilea ke Yerusalem. Sekarang mereka menjadi saksi bagi-Nya kepada bangsa Israel. 32 Oleh itu kami di sini untuk menyampaikan Berita Baik ini kepada kamu. Apa yang dijanjikan oleh Allah kepada nenek moyang kita, 33 sudah dilakukan-Nya bagi kita, iaitu keturunan mereka, dengan membangkitkan Yesus daripada kematian. Seperti yang tertulis di dalam Kitab Mazmur fasal dua, `Engkaulah Anak-Ku, pada hari ini Aku menjadi Bapa-Mu.' 34 Allah sudah membangkitkan Dia daripada kematian; Dia tidak akan mengalami kematian lagi. Tentang hal ini Allah berfirman, `Aku akan memberkati kamu dengan berkat yang suci, seperti yang Aku janjikan kepada Daud.' 35 Begitu juga dalam ayat lain Dia berfirman, `Engkau tidak akan membiarkan Hamba-Mu yang setia itu reput di dalam kubur.' 36 Pada masa hidupnya, Daud melakukan kehendak Allah, lalu Daud meninggal, dikuburkan dengan nenek moyangnya dan jenazahnya reput. 37 Tetapi hal ini tidak berlaku terhadap Dia yang dibangkitkan oleh Allah daripada kematian. 38 Oleh itu, saudara-saudara, ketahuilah bahawa melalui Yesus berita tentang pengampunan dosa sudah disampaikan kepada saudara semua. Setiap orang yang percaya kepada-Nya dibebaskan daripada segala dosa yang tidak dapat dihapus oleh Taurat Musa. 40 Berwaspadalah supaya apa yang dikatakan nabi-nabi ini tidak berlaku kepada saudara semua, 41 `Dengarlah hai orang yang menghina Allah! Kamu akan kehairanan lalu binasa! Apa yang Aku lakukan pada masa ini tidak akan kamu percayai, meskipun orang menerangkannya kepada kamu!' '' 42 Apabila Paulus dan Barnabas meninggalkan rumah ibadat itu, orang Yahudi meminta mereka datang kembali pada hari Sabat yang berikutnya, untuk memberitahu mereka perkara-perkara itu lagi. 43 Apabila perhimpunan di rumah ibadat berakhir, banyak orang Yahudi dan orang bangsa lain yang menganut agama Yahudi, mengikut Paulus dan Barnabas. Rasul-rasul itu menasihati mereka supaya terus-menerus hidup bersandar kepada rahmat Allah. 44 Pada hari Sabat berikutnya, hampir semua orang di bandar itu datang mendengar firman Tuhan. 45 Apabila orang Yahudi melihat orang ramai itu, mereka iri hati. Mereka menentang kata-kata Paulus dan menghina dia. 46 Tetapi Paulus dan Barnabas berkata-kata dengan lebih berani lagi. Mereka berkata, "Firman Allah memang harus disampaikan kepada kamu terlebih dahulu. Tetapi kerana kamu menolak firman-Nya, dan menganggap diri kamu tidak layak menerima hidup sejati dan kekal, kami akan meninggalkan kamu lalu pergi kepada bangsa lain. 47 Hal itu demikian kerana inilah perintah yang diberikan oleh Tuhan kepada kami, `Aku sudah menetapkan supaya kamu menjadi cahaya bagi bangsa bukan Yahudi, dan melalui kamu, Allah akan menyelamatkan seluruh dunia.' '' 48 Apabila orang bukan Yahudi mendengar kata-kata itu, mereka bersukacita dan memuji firman Tuhan. Mereka yang sudah dipilih oleh Allah untuk menerima hidup sejati dan kekal, pun percaya kepada Yesus. 49 Firman Tuhan tersebar ke serata tempat di daerah itu. 50 Tetapi orang Yahudi menghasut pembesar-pembesar kota itu dan wanita-wanita terkemuka bangsa asing yang takut akan Allah. Mereka mula menganiaya Paulus dan Barnabas, dan menghalau mereka berdua dari daerah itu. 51 Rasul-rasul itu mengebaskan debu pada kaki mereka di hadapan orang di situ sebagai amaran, lalu pergi ke Ikonium. 52 Tetapi pengikut-pengikut Yesus di Antiokhia sangat bersukacita dan mereka dikuasai oleh Roh Allah.

Kisah Rasul-Rasul 14

1 Hal yang sama juga berlaku di Ikonium. Paulus dan Barnabas masuk ke rumah ibadat orang Yahudi dan berkata-kata sedemikian rupa sehingga banyak orang Yahudi dan orang bangsa lain percaya kepada Yesus. 2 Tetapi orang Yahudi yang tidak mahu percaya kepada Yesus, menghasut orang bangsa lain sehingga mereka membenci orang yang percaya kepada Yesus. 3 Rasul-rasul tinggal lama di situ dan berkata-kata dengan berani tentang Tuhan. Tuhan pun membuktikan bahawa perkhabaran mereka tentang kasih-Nya itu benar dengan memberi mereka kuasa melakukan mukjizat dan perkara-perkara yang luar biasa. 4 Penduduk di bandar itu terbahagi menjadi dua golongan: ada yang berpihak kepada orang Yahudi dan ada yang berpihak kepada rasul-rasul itu. 5 Lalu orang Yahudi dan orang bukan Yahudi bersama-sama para pemimpin mereka bersepakat untuk menganiaya dan merejam rasul-rasul itu. 6 Apabila rasul-rasul mengetahui hal itu, mereka lari ke Listra dan Derbe, bandar-bandar di Likaonia dan ke daerah di sekitarnya. 7 Di situ mereka mengkhabarkan Berita Baik itu. 8 Di Listra ada seorang lelaki yang kakinya lumpuh sejak lahir dan dia tidak pernah berjalan. 9 Dia duduk di situ dan mendengarkan kata-kata Paulus. Paulus melihat bahawa orang itu dapat disembuhkan kerana dia percaya. Oleh itu Paulus menatap dia 10 dan berkata dengan suara lantang, "Berdirilah tegak!'' Orang itu melompat berdiri dan mula berjalan. 11 Apabila orang ramai melihat apa yang telah dilakukan oleh Paulus, mereka mula berseru dalam bahasa Likaonia, "Lihatlah, dewa-dewa sudah menjadi seperti manusia dan turun ke dunia.'' 12 Barnabas dinamakan Zeus, dan Paulus dinamakan Hermes kerana dia yang berkata-kata. 13 Imam dewa Zeus, yang kuilnya terletak di luar bandar, datang membawa lembu jantan dan bunga ke pintu gerbang. Dia dan orang ramai hendak mempersembahkan korban kepada rasul-rasul itu. 14 Apabila Barnabas dan Paulus mendengar apa yang akan dilakukan oleh orang di situ, mereka mengoyak-ngoyak pakaian lalu berlari ke tengah-tengah orang ramai sambil berseru, 15 "Mengapa kamu melakukan hal ini? Kami pun manusia seperti kamu semua! Kami datang di sini untuk mengkhabarkan Berita Baik supaya kamu meninggalkan berhala-berhala yang tidak berguna itu, lalu datang kepada Allah yang hidup, Pencipta langit, bumi, dan laut serta semua yang ada di dalamnya. 16 Pada masa yang lampau Allah membiarkan semua orang mengikut kemahuan masing-masing. 17 Tetapi Allah sentiasa memberikan bukti-bukti tentang diri-Nya dengan perkara-perkara baik yang dilakukan-Nya. Dia mengurniai kamu hujan dari langit serta hasil bumi pada musimnya. Dia mengurniai kamu makanan serta menyenangkan hati kamu.'' 18 Walaupun rasul-rasul berkata demikian, masih sukar juga mereka mencegah orang ramai mempersembahkan korban kepada mereka. 19 Beberapa orang Yahudi yang datang dari Antiokhia di Pisidia dan juga dari Ikonium mempengaruhi orang ramai sehingga berpihak kepada mereka. Mereka merejam Paulus, lalu menyeret dia ke luar bandar. Mereka menyangka Paulus sudah mati. 20 Tetapi apabila pengikut Yesus di situ berkumpul di sekeliling Paulus, dia bangun lalu masuk kembali ke bandar. Keesokan harinya dia dan Barnabas berangkat ke Derbe. 21 Di Derbe, Paulus dan Barnabas mengkhabarkan Berita Baik dan banyak orang menjadi pengikut Yesus. Kemudian mereka kembali ke Listra, lalu pergi ke Ikonium dan kemudian ke Antiokhia di Pisidia. 22 Mereka menguatkan hati pengikut-pengikut di situ dan menggalakkan mereka supaya tetap percaya kepada Yesus. Rasul-rasul itu berkata, "Kita harus mengalami banyak penderitaan supaya kita dapat menikmati Pemerintahan Allah.'' 23 Paulus dan Barnabas melantik pemimpin-pemimpin bagi setiap jemaah, lalu dengan berdoa dan berpuasa mereka menyerahkan jemaah kepada pemeliharaan Tuhan yang dipercayai oleh mereka. 24 Setelah Paulus dan Barnabas menjelajah daerah Pisidia, mereka sampai ke Pamfilia. 25 Mereka mengkhabarkan Berita Baik di Perga, lalu mereka pergi ke Atalia. 26 Dari situ mereka belayar kembali ke Antiokhia. Dahulu di kota itu mereka diserahkan kepada Allah yang akan memelihara mereka dengan penuh kasih, supaya dapat menjalankan tugas yang sekarang sudah diselesaikan. 27 Apabila mereka tiba di Antiokhia, mereka mengumpulkan jemaah di situ dan menceritakan segala yang sudah dilakukan oleh Allah melalui mereka. Mereka memberitahu bahawa Allah sudah membuka jalan supaya orang bukan Yahudi percaya kepada Yesus. 28 Paulus dan Barnabas tinggal lama dengan pengikut-pengikut Yesus di situ.

Kisah Rasul-Rasul 15

1 Beberapa orang dari Yudea datang ke Antiokhia dan mula mengajar pengikut Yesus di situ, "Kamu tidak dapat diselamatkan jika kamu tidak disunat menurut Taurat Musa.'' 2 Tetapi Paulus dan Barnabas menentang keras ajaran mereka itu. Akhirnya Paulus dan Barnabas dipilih supaya pergi ke Yerusalem dengan beberapa orang lain dari Antiokhia untuk membincangkan masalah itu dengan rasul-rasul dan para pemimpin jemaah di situ. 3 Lalu jemaah di Antiokhia menghantar mereka sampai ke luar bandar. Sementara mereka melalui daerah Fenisia dan Samaria, mereka memberitahu bahawa orang bukan Yahudi sudah percaya kepada Allah. Berita ini menggembirakan semua pengikut Yesus di situ. 4 Apabila Paulus dan Barnabas tiba di Yerusalem, mereka disambut oleh jemaah, para rasul, dan pemimpin jemaah. Lalu Paulus dan Barnabas menceritakan segala yang sudah dilakukan oleh Allah melalui mereka. 5 Tetapi beberapa orang Farisi yang percaya kepada Yesus, berdiri dan berkata, "Orang bukan Yahudi yang percaya kepada Yesus harus disunat dan diwajibkan menurut Taurat Musa.'' 6 Lalu para rasul dan pemimpin jemaah berkumpul untuk membincangkan masalah itu. 7 Setelah berbincang lama sekali, akhirnya Petrus berdiri dan berkata, "Saudara-saudara tentu tahu bahawa beberapa waktu yang lalu Allah memilih saya daripada kalangan saudara untuk mengkhabarkan Berita Baik itu kepada orang bukan Yahudi, supaya mereka pun boleh mendengar dan percaya. 8 Allah yang mengenal hati manusia sudah menunjukkan bahawa Dia berkenan kepada orang bukan Yahudi dengan mengurniakan Roh Allah kepada mereka seperti yang sudah dikurniakan-Nya kepada kita. 9 Allah tidak membeza-bezakan orang Yahudi dengan orang bukan Yahudi. Dia mengampunkan dosa mereka kerana mereka percaya. 10 Oleh itu, mengapakah saudara-saudara mahu mencubai Allah dengan membebani pengikut-pengikut ini dengan kewajipan berat yang baik nenek moyang kita mahupun kita sendiri tidak sanggup melakukannya? 11 Janganlah berbuat demikian! Kita percaya dan diselamatkan kerana rahmat Tuhan Yesus; demikianlah Allah menyelamatkan mereka juga.'' 12 Semua orang yang berkumpul di situ diam, sementara mendengarkan laporan Barnabas dan Paulus tentang segala mukjizat dan keajaiban yang dilakukan oleh Allah di kalangan orang bukan Yahudi melalui mereka. 13 Setelah mereka selesai memberikan laporan, Yakobus berkata, "Saudara-saudara, dengarlah! 14 Simon baru sahaja menerangkan bagaimana Allah pada mulanya menunjukkan kasih-Nya kepada orang bukan Yahudi dengan memilih suatu kelompok di kalangan mereka untuk menjadi umat-Nya. 15 Hal ini sesuai dengan nubuat nabi-nabi, kerana di dalam Alkitab tertulis, 16 `Setelah itu Aku akan kembali, firman Tuhan, Aku akan membina semula rumah Daud yang sudah roboh, dan memperbaiki runtuhannya. Aku akan menegakkannya semula, 17 supaya semua orang yang lain akan mencari Aku, semua bangsa lain yang bukan Yahudi sudah Aku panggil untuk menjadi umat-Ku. 18 Demikianlah firman Tuhan yang telah menyatakan hal ini sejak dahulu.' '' 19 Yakobus melanjutkan kata-katanya, "Menurut pendapat saya, kita tidak boleh menyusahkan orang bukan Yahudi yang percaya kepada Allah. 20 Sebaliknya, kita harus menulis sepucuk surat untuk menasihati mereka supaya tidak makan makanan yang najis di sisi agama kerana sudah dipersembahkan kepada berhala, atau makan daging binatang yang mati dicekik, atau makan darah. Mereka harus menjauhkan diri juga daripada perbuatan cabul. 21 Hal itu demikian, kerana sejak dahulu Taurat Musa telah dibacakan di rumah-rumah ibadat pada setiap hari Sabat, dan diberitakan di setiap kota.'' 22 Kemudian para rasul dan pemimpin jemaah bersama-sama jemaah itu membuat keputusan untuk memilih beberapa orang di kalangan mereka dan mengutus mereka ke Antiokhia bersama-sama Paulus dan Barnabas. Lalu mereka memilih Silas dan Yudas yang juga disebut Barsabas. Kedua-dua orang itu sangat dihormati oleh pengikut Yesus di Yerusalem. 23 Sepucuk surat yang berbunyi sebagai berikut dikirim melalui mereka, "Kepada semua saudara yang berasal daripada bangsa bukan Yahudi, yang tinggal di Antiokhia, Siria, dan Kilikia. Salam daripada kami, rasul-rasul, pemimpin-pemimpin jemaah, dan jemaah di sini. 24 Kami mendengar bahawa beberapa orang daripada kalangan kami sudah menyusahkan dan membingungkan saudara semua dengan ajaran mereka. Padahal kami tidak menyuruh mereka melakukan hal itu. 25 Oleh itu kami bermesyuarat dan bersetuju memilih beberapa orang lalu mengutus mereka kepada saudara semua. Mereka akan pergi dengan Barnabas dan Paulus. 26 Kedua-dua orang saudara yang kami kasihi itu sudah mempertaruhkan nyawa kerana mengabdikan diri kepada Tuhan kita Yesus Kristus. 27 Kami mengutus Yudas dan Silas, lalu mereka akan memberitahukan hal yang sama, seperti yang kami tuliskan dalam surat ini. 28 Roh Allah dan kami bersetuju bahawa kami tidak perlu membebani saudara semua dengan kewajipan lain, kecuali yang mustahak sahaja: 29 Janganlah makan makanan yang sudah dipersembahkan kepada berhala; jangan makan darah; jangan makan daging binatang yang mati dicekik, dan jauhkan diri daripada perbuatan cabul. Jika saudara semua tidak melakukan perkara-perkara itu, saudara-saudara berbuat yang betul. Sekian sahaja dan salam bahagia.'' 30 Mereka yang diutus itu berangkat ke Antiokhia. Di situ mereka mengumpulkan semua pengikut Yesus lalu menyampaikan surat itu. 31 Apabila jemaah membaca surat itu, mereka bersukacita kerana surat itu menggalakkan mereka. 32 Yudas dan Silas, yang kedua-duanya nabi, bercakap lama sekali dengan mereka untuk memberikan semangat dan keberanian. 33 Setelah Yudas dan Silas tinggal di situ beberapa lama, jemaah di Antiokhia menyuruh mereka kembali dengan sejahtera kepada orang yang mengutus mereka. 34 Tetapi Silas mengambil keputusan untuk tetap tinggal di situ. 35 Paulus dan Barnabas pun tinggal di Antiokhia beberapa lama. Di situ mereka mengajar dan menyampaikan firman Tuhan bersama-sama banyak orang lain. 36 Beberapa lama kemudian Paulus berkata kepada Barnabas, "Marilah kita lawat semula saudara-saudara yang percaya kepada Yesus di semua kota yang sudah kita sampaikan firman Tuhan. Marilah kita lihat sama ada mereka tetap percaya kepada Tuhan.'' 37 Barnabas hendak membawa Yohanes Markus, 38 tetapi Paulus tidak bersetuju untuk membawanya, kerana Markus meninggalkan mereka di Pamfilia, dan tidak menyertai mereka menyelesaikan tugas. 39 Oleh itu Paulus dan Barnabas bertengkar dengan sengit sehingga akhirnya mereka berpisah. Barnabas membawa Markus bersama-samanya lalu belayar ke Siprus. 40 Paulus memilih Silas, lalu berangkat dengan dia setelah jemaah di Antiokhia menyerahkan mereka kepada rahmat Tuhan. 41 Mereka menjelajahi daerah Siria dan Kilikia, serta menguatkan jemaah di situ.

Kisah Rasul-Rasul 16

1 Paulus meneruskan perjalanan ke Derbe dan kemudian ke Listra. Seorang pengikut Yesus bernama Timotius tinggal di situ. Ibunya, orang Yahudi yang sudah percaya kepada Yesus; tetapi bapanya orang Yunani. 2 Semua pengikut Yesus yang tinggal di Listra dan Ikonium memuji Timotius. 3 Paulus hendak membawa Timotius dengannya. Oleh itu Paulus menyunat Timotius, kerana semua orang Yahudi di daerah itu tahu bahawa bapa Timotius orang Yunani. 4 Di setiap kota yang dikunjungi, mereka menyampaikan peraturan yang sudah ditetapkan oleh para rasul dan pemimpin jemaah di Yerusalem. Jemaah dinasihati supaya menurut peraturan itu. 5 Oleh itu iman jemaah semakin teguh dan setiap hari bilangan mereka semakin bertambah. 6 Kerana Roh Allah tidak membenarkan mereka memberitakan firman Allah di wilayah Asia, mereka menjelajah daerah Frigia dan Galatia. 7 Apabila mereka tiba di perbatasan Misia, mereka mencuba masuk ke wilayah Bitinia, tetapi Roh Yesus tidak membenarkan mereka. 8 Oleh itu mereka terus pergi ke Troas melalui Misia. 9 Pada malam itu dalam suatu penglihatan Paulus melihat seorang Makedonia berdiri di hadapannya dan memohon, "Marilah datang ke Makedonia dan tolonglah kami!'' 10 Setelah Paulus melihat penglihatan itu, kami bersependapat bahawa Allah telah menyuruh kami mengkhabarkan Berita Baik kepada orang di situ. Oleh itu kami segera bersiap-siap untuk berangkat ke Makedonia. 11 Kami meninggalkan Troas lalu langsung belayar ke Samotrake, dan hari berikutnya ke Neapolis. 12 Dari situ kami menuju ke Filipi, sebuah kota di daerah pertama negeri Makedonia. Filipi juga jajahan Empayar Roma. Di situ kami tinggal beberapa hari. 13 Pada hari Sabat kami ke luar bandar dan pergi ke tepi sungai, kerana kami berfikir di situ terdapat tempat orang Yahudi berdoa. Kami duduk dan bercakap dengan wanita-wanita yang berkumpul di situ. 14 Salah seorang pendengar kami bernama Lidia, pedagang kain ungu yang mahal. Dia berasal dari Tiatira dan dia mengasihi Allah. Oleh itu Tuhan membuka fikirannya sehingga dia menyambut ajaran Paulus. 15 Lidia dan seisi rumahnya dibaptis. Setelah itu dia menjemput kami ke rumahnya. Dia berkata, "Jika saudara-saudara yakin bahawa saya benar-benar percaya kepada Tuhan, marilah menumpang di rumah saya.'' Dia mendesak supaya kami pergi ke rumahnya. 16 Pada suatu hari, kami sedang pergi ke tempat orang berdoa, apabila kami berjumpa dengan seorang hamba wanita. Dia dirasuk oleh roh jahat yang membolehkan dia meramalkan peristiwa yang akan datang. Dengan meramalkan nasib orang, dia mendatangkan keuntungan yang besar bagi pemilik-pemiliknya. 17 Wanita itu mengikuti Paulus dan kami sambil berseru, "Mereka hamba Allah Yang Maha Tinggi! Mereka datang untuk memberitahu bagaimana Allah dapat menyelamatkan kamu!'' 18 Selama beberapa hari wanita itu terus-menerus berseru demikian, sehingga Paulus menjadi marah, lalu berpaling dan berkata kepada roh itu, "Demi nama Yesus Kristus aku memerintah engkau keluar daripada wanita ini!'' Pada saat itu juga roh itu meninggalkan wanita itu. 19 Apabila pemilik-pemiliknya sedar bahawa kesempatan untuk mendapat wang sudah lenyap, mereka menangkap Paulus dan Silas lalu menyeret kedua-dua mereka menghadap pihak berkuasa di padang kota. 20 Mereka menghadapkan Paulus dan Silas kepada pegawai-pegawai kerajaan Roma dan berkata, "Kedua-dua orang ini orang Yahudi. Mereka menyebabkan kekacauan di kota kita. 21 Mereka mengajarkan adat resam yang bertentangan dengan hukum kita. Kita orang Roma dan tidak dapat menerima atau menurut adat resam itu!'' 22 Orang ramai pun turut menyerang Paulus dan Silas. Pegawai-pegawai kerajaan mengoyak pakaian Paulus dan Silas lalu menyuruh orang mencambuk mereka. 23 Setelah mereka dicambuk dengan teruk, mereka dimasukkan ke dalam penjara. Ketua penjara disuruh menjaga mereka dengan ketat. 24 Setelah menerima perintah itu, ketua penjara itu menahan mereka di bilik penjara yang paling dalam, dan mengenakan pasung pada kaki mereka. 25 Kira-kira tengah malam Paulus dan Silas berdoa dan menyanyikan puji-pujian kepada Allah. Orang tahanan yang lain mendengar mereka. 26 Tiba-tiba berlaku gempa bumi yang kuat sekali, sehingga asas penjara itu bergoncang. Semua pintu penjara terbuka dan rantai yang membelenggu semua orang tahanan pun terlepas. 27 Ketua penjara itu terjaga, dan apabila dia nampak pintu-pintu penjara terbuka, dia menyangka semua orang tahanan sudah lari. Oleh itu dia menghunus pedang untuk membunuh diri. 28 Tetapi Paulus berseru dengan kuat sekali, "Jangan bunuh diri! Kami semua masih di sini!'' 29 Ketua penjara itu meminta suluh lalu lari ke dalam, dan dengan gementar dia menjatuhkan diri pada kaki Paulus dan Silas. 30 Kemudian ketua penjara itu membawa mereka keluar dan berkata, "Tuan-tuan, apakah yang harus saya lakukan supaya diselamatkan?'' 31 Paulus dan Silas menjawab, "Percayalah kepada Tuhan Yesus, lalu kamu akan diselamatkan -- kamu dan keluargamu!'' 32 Lalu Paulus dan Silas menerangkan firman Tuhan kepada ketua penjara itu dan kepada semua orang di rumahnya. 33 Pada malam itu juga, ketua penjara itu membawa mereka ke suatu tempat dan membasuh luka-luka mereka. Lalu dia dan keluarganya dibaptis. 34 Kemudian dia membawa Paulus dan Silas ke rumahnya lalu memberi mereka makanan. Ketua penjara itu dan keluarganya bersukacita kerana mereka sekarang percaya kepada Allah. 35 Keesokan paginya, pegawai-pegawai kerajaan Roma menyuruh pegawai-pegawai polis ke penjara untuk menyampaikan perintah supaya Paulus dan Silas dibebaskan. 36 Ketua penjara itu memberitahu Paulus, "Pergilah dengan sejahtera, kerana pegawai-pegawai kerajaan sudah memberikan perintah supaya tuan berdua dibebaskan.'' 37 Tetapi Paulus berkata kepada pegawai-pegawai polis itu, "Kami warganegara Roma! Kami tidak didapati bersalah, tetapi kami sudah dicambuk di hadapan orang ramai, lalu dimasukkan ke dalam penjara. Sekarang mereka mahu menyuruh kami pergi dengan diam-diam! Kami tidak mahu! Pegawai-pegawai kerajaan Roma itu sendiri harus ke mari dan membebaskan kami.'' 38 Pegawai-pegawai polis itu melaporkan hal itu kepada pegawai-pegawai kerajaan Roma. Apabila mereka mendengar bahawa Paulus dan Silas warganegara Roma, mereka takut. 39 Oleh itu mereka datang meminta maaf. Kemudian mereka memimpin Paulus dan Silas keluar dari penjara, dan meminta supaya mereka meninggalkan kota itu. 40 Paulus dan Silas meninggalkan penjara itu lalu pergi ke rumah Lidia. Di situ mereka berjumpa dengan pengikut-pengikut Yesus, dan setelah menggalakkan orang di situ, Paulus dan Silas berangkat.

Kisah Rasul-Rasul 17

1 Paulus dan Silas meneruskan perjalanan melalui Amfipolis dan Apolonia, lalu tiba di Tesalonika. Di situ terdapat rumah ibadat orang Yahudi. 2 Seperti yang biasa dilakukan oleh Paulus, dia pergi ke rumah ibadat, dan berbincang dengan orang di situ tentang ayat-ayat Alkitab. Dia melakukan hal itu selama tiga hari Sabat berturut-turut. 3 Dia menjelaskan ayat-ayat Alkitab itu dan membuktikan bahawa Penyelamat yang diutus oleh Allah harus mengalami penderitaan dan bangkit daripada kematian. Paulus berkata bahawa Yesus yang diberitakannya kepada mereka itu Penyelamat yang diutus oleh Allah. 4 Beberapa orang antara mereka percaya kepada kata-kata Paulus lalu mengikut Paulus dan Silas; begitu juga sebilangan besar orang Yunani yang takut akan Allah, dan banyak lagi wanita terkemuka. 5 Tetapi orang Yahudi iri hati, lalu mengumpulkan pengacau di jalan-jalan dan membentuk kumpulan perusuh. Lalu mereka menimbulkan kekacauan di seluruh kota itu dan menyerbu rumah Yason untuk mencari Paulus dan Silas. Mereka hendak membawa Paulus dan Silas menghadap orang ramai. 6 Tetapi apabila mereka tidak dapat menjumpai Paulus dan Silas, mereka menyeret Yason dan beberapa orang pengikut Yesus lainnya ke hadapan pihak berkuasa di kota itu dan berseru, "Semua orang ini sudah menimbulkan kekacauan di serata tempat. Sekarang mereka datang ke kota kita, 7 dan Yason menyambut mereka di rumahnya. Mereka semua melanggar hukum Kaisar Roma, kerana mereka berkata bahawa ada raja lain yang bernama Yesus.'' 8 Dengan kata-kata itu mereka menimbulkan kegemparan di kalangan orang ramai dan pihak berkuasa kota itu. 9 Lalu pihak berkuasa menyuruh Yason dan pengikut Yesus lainnya membayar ikat jamin. Setelah itu mereka dibenarkan pergi. 10 Pada malam itu pengikut Yesus di kota itu menyuruh Paulus dan Silas pergi ke Berea. Sebaik sahaja tiba di situ, mereka pergi ke rumah ibadat orang Yahudi. 11 Fikiran orang di situ lebih terbuka daripada fikiran orang di Tesalonika. Mereka suka sekali mendengar perkhabaran tentang Yesus, dan tiap-tiap hari mereka mengkaji Alkitab untuk mengetahui sama ada ajaran Paulus itu benar. 12 Banyak antara mereka percaya kepada Yesus. Banyak wanita Yunani yang terkemuka, dan orang lelaki Yunani yang percaya kepada Yesus. 13 Apabila orang Yahudi di Tesalonika mendengar bahawa Paulus mengkhabarkan firman Allah di Berea juga, mereka pun datang dan mula menghasut orang ramai supaya merusuh. 14 Dengan segera pengikut Yesus di situ menghantar Paulus ke pantai, tetapi Silas dan Timotius tetap tinggal di Berea. 15 Setelah menghantar Paulus sampai ke Atena, pengikut Yesus dari Berea kembali dengan membawa arahan daripada Paulus supaya Silas dan Timotius menyusul dia secepat mungkin. 16 Sementara Paulus menantikan Silas dan Timotius di Atena, hatinya sedih melihat kota itu penuh dengan berhala. 17 Oleh itu dia berbincang dengan orang Yahudi di rumah ibadat dan dengan orang bukan Yahudi yang menyembah Allah. Setiap hari Paulus berbincang dengan sesiapa sahaja yang lalu di padang kota dan mahu mendengarkan dia. 18 Beberapa orang guru yang mengikut faham Epikuros dan faham Stoa, berdebat dengan Paulus. Beberapa orang antara mereka bertanya, "Orang ini tahu apa? Pengetahuannya cetek, tetapi berlagak pandai!'' Yang lain menjawab, "Nampaknya dia bercakap tentang dewa bangsa asing.'' Mereka berkata demikian kerana Paulus berkata-kata tentang Yesus dan tentang kebangkitan daripada kematian. 19 Oleh itu mereka membawa Paulus ke mesyuarat Areopagus. Di situ mereka berkata, "Kami ingin mendengar ajaran baru yang kamu beritakan itu. 20 Beberapa perkara yang kamu kemukakan itu aneh pada pendengaran kami. Oleh itu kami ingin mengetahui maknanya.'' ( 21 Mereka berkata demikian, kerana semua orang Atena dan orang bangsa asing yang tinggal di situ suka sekali menghabiskan masa dengan mendengar dan menceritakan hal-hal yang paling mutakhir.) 22 Lalu Paulus berdiri di hadapan orang yang berkumpul di Areopagus dan berkata, "Saudara-saudara orang Atena! Saya melihat bahawa dalam segala hal, saudara-saudara sangat menghormati dewa-dewa. 23 Pada masa saya menjelajahi bandar dan melihat tempat ibadat saudara semua, saya menjumpai sebuah mazbah yang bertuliskan, `Kepada Allah Yang Tidak Dikenal'. Sebenarnya, Allah yang saudara-saudara sembah tetapi tidak saudara-saudara kenal, Dialah yang sekarang saya beritakan kepada saudara semua. 24 Allah yang menjadikan dunia ini dengan segala isinya, Dialah Tuhan langit dan bumi. Dia tidak tinggal di dalam kuil-kuil yang dibuat oleh manusia. 25 Dia juga tidak memerlukan pertolongan manusia, kerana Dialah yang memberikan hidup dan nafas serta segala sesuatu kepada manusia. 26 Daripada seorang manusia, Dia menjadikan semua bangsa dan menyuruh mereka mendiami seluruh bumi. Sejak permulaan Dia juga menetapkan masa dan tempat mereka boleh hidup. 27 Allah berbuat demikian supaya mereka mencari Dia, dan mudah-mudahan mereka menjumpai Dia semasa mereka mencari-cari Dia. Tetapi sebenarnya Allah tidak jauh daripada kita masing-masing, 28 dan kerana Dia, kita hidup dan bergerak dan ada di dunia ini. Beberapa orang penyair saudara semua juga berkata, `Kita semua anak-Nya.' 29 Kerana kita anak Allah, kita tidak boleh menganggap Allah seperti patung yang dibuat daripada emas atau perak atau batu, yang direka bentuk menurut kemahiran manusia. 30 Allah tidak mahu mengingat masa kita tidak mengenal Dia dahulu, tetapi sekarang Dia menyuruh semua orang di seluruh dunia bertaubat daripada cara hidup yang jahat. 31 Hal itu demikian kerana Dia sudah menetapkan suatu hari untuk mengadili seluruh dunia ini dengan adil. Tugas itu akan dilakukan oleh satu orang yang sudah dipilih-Nya. Supaya semua orang yakin akan hal itu, Allah sudah membangkitkan orang itu daripada kematian!'' 32 Apabila orang di situ mendengar Paulus berkata tentang kebangkitan daripada kematian, beberapa orang antara mereka mengolok-olokkan dia. Tetapi yang lain berkata, "Kami ingin mendengar saudara bercakap tentang hal ini lagi.'' 33 Lalu Paulus meninggalkan mesyuarat itu. 34 Beberapa orang mengikut Paulus dan percaya kepada Yesus. Antara mereka termasuk Dionisius, anggota mesyuarat Areopagus dan seorang wanita bernama Damaris serta beberapa orang lain.

Kisah Rasul-Rasul 18

1 Setelah itu Paulus meninggalkan Atena dan pergi ke Korintus. 2 Di situ dia berjumpa dengan seorang Yahudi bernama Akwila, yang dilahirkan di negeri Pontus. Akwila baru sahaja datang dari Italia dengan isterinya, Priskila. Mereka datang ke Korintus kerana Kaisar Klaudius mengusir semua orang Yahudi dari Roma. Paulus pergi menjumpai Akwila dan Priskila, 3 lalu tinggal dan bekerja bersama-sama mereka, kerana mereka dan Paulus sama-sama menyara hidup dengan membuat khemah. 4 Setiap hari Sabat, Paulus mengadakan perbincangan dengan orang yang berkumpul di rumah ibadat untuk meyakinkan orang Yahudi mahupun orang Yunani tentang Yesus. 5 Setelah Silas dan Timotius tiba dari Makedonia, Paulus menggunakan seluruh masanya untuk memberitakan perkhabaran daripada Allah. Dia memberikan kesaksian kepada orang Yahudi bahawa Yesus Penyelamat yang diutus oleh Allah. 6 Tetapi mereka menentang dan menghina Paulus. Oleh itu Paulus mengebaskan debu daripada pakaiannya sebagai amaran kepada mereka dan berkata, "Jika kamu binasa, kamu sendiri yang bertanggungjawab. Aku tidak bertanggungjawab terhadap hal itu. Mulai sekarang aku akan pergi kepada orang bukan Yahudi.'' 7 Lalu Paulus meninggalkan mereka dan pergi tinggal di rumah seorang bukan Yahudi yang bernama Titius Yustus. Dia menyembah Allah, dan rumahnya di sebelah rumah ibadat itu. 8 Krispus, ketua rumah ibadat itu dengan semua anggota keluarganya percaya kepada Tuhan Yesus. Banyak orang lain di Korintus juga mendengar berita daripada Allah, dan mereka percaya kepada Yesus lalu dibaptis. 9 Pada suatu malam dalam suatu penglihatan, Tuhan berfirman kepada Paulus, "Janganlah takut! Berkata-katalah terus dan jangan berhenti, 10 kerana Aku menyertai engkau. Tidak seorang pun dapat mencederakan engkau, kerana banyak orang di kota ini umat-Ku.'' 11 Oleh itu Paulus tinggal di Korintus selama setahun setengah, dan mengajarkan perkhabaran daripada Allah kepada orang di situ. 12 Semasa Galio menjadi gabenor negeri Akhaya, orang Yahudi bersatu padu untuk menangkap Paulus dan membawa dia ke hadapan gabenor untuk diadili. 13 Mereka mengajukan tuduhan ini, "Orang ini berusaha mempengaruhi orang ramai supaya menyembah Allah dengan cara yang bertentangan dengan hukum kami!'' 14 Apabila Paulus hendak menjawab, Galio berkata kepada orang Yahudi di situ, "Jika perkara ini tentang kesalahan atau perbuatan jenayah, bolehlah aku bersabar dan mendengarkan aduan kamu. 15 Tetapi kamu bertengkar tentang kata dan nama serta hukum kamu sendiri. Oleh itu kamu harus menyelesaikan masalah itu sendiri. Aku tidak mahu mengadili perkara semacam ini!'' 16 Lalu Galio mengusir mereka ke luar. 17 Kemudian mereka menangkap Sostenes, ketua rumah ibadat itu lalu memukul dia di hadapan mahkamah. Tetapi Galio sama sekali tidak mempedulikan hal itu. 18 Paulus tinggal dengan pengikut Yesus di Korintus selama beberapa hari lagi. Kemudian dia meninggalkan mereka lalu belayar dengan Priskila dan Akwila ke Siria. Sebelum bertolak, Paulus mencukur rambutnya di Kengkrea kerana telah bernazar. 19 Apabila mereka tiba di Efesus, Paulus meninggalkan Priskila dan Akwila. Kemudian dia masuk ke rumah ibadat dan mengadakan perbincangan dengan orang Yahudi. 20 Mereka meminta supaya Paulus tinggal lebih lama di situ, tetapi Paulus tidak mahu. 21 Pada waktu berangkat, Paulus berkata kepada mereka, "Jika diperkenankan oleh Allah, aku akan kembali.'' Setelah itu dia belayar dari Efesus. 22 Apabila dia tiba di Kaisarea, dia melanjutkan perjalanan ke Yerusalem untuk memberikan salam kepada jemaah di situ, lalu dia pergi ke Antiokhia. 23 Setelah tinggal beberapa lama di Antiokhia dia mengunjungi daerah Galatia dan Frigia untuk meneguhkan iman semua pengikut Yesus di situ. 24 Pada waktu itu seorang Yahudi bernama Apolos, yang lahir di Aleksandria, datang ke Efesus. Dia pandai berpidato dan sangat memahami isi Alkitab. 25 Dia telah mendalami ajaran tentang Yesus. Dengan penuh kesungguhan, dia mengisytiharkan dan mengajarkan ajaran tentang Yesus dengan betul. Tetapi dia hanya mengetahui baptisan yang diajarkan oleh Yohanes. 26 Dengan berani Apolos mula berkata-kata di rumah ibadat. Apabila Priskila dan Akwila mendengar dia, mereka membawa dia ke rumah. Mereka menerangkan penyelamatan Allah melalui Yesus dengan lebih tepat lagi. 27 Kemudian Apolos mahu pergi ke Akhaya. Oleh itu pengikut Yesus di Efesus menolong dia dengan menulis sepucuk surat kepada pengikut Yesus di Akhaya, supaya mereka menyambut Apolos. Apabila Apolos tiba di situ, dia sangat menolong orang yang dengan rahmat Allah, percaya kepada Yesus. 28 Dengan penuh wibawa Apolos mengalahkan orang Yahudi dalam perdebatan di hadapan umum. Dengan mengutip ayat-ayat Alkitab, dia membuktikan bahawa Yesus Penyelamat yang diutus oleh Allah.

Kisah Rasul-Rasul 19

1 Sementara Apolos tinggal di Korintus, Paulus menjelajah kawasan pedalaman daerah itu lalu tiba di Efesus. Di situ dia berjumpa dengan beberapa orang yang percaya kepada Yesus. 2 Dia bertanya kepada mereka, "Sudahkah kamu menerima Roh Allah pada waktu kamu percaya kepada Yesus?'' Mereka menjawab, "Kami belum pernah mendengar bahawa ada Roh Allah.'' 3 "Jika demikian, dengan baptisan apakah kamu dibaptis?'' tanya Paulus. "Dengan baptisan seperti yang diajarkan oleh Yohanes,'' jawab mereka. 4 Lalu Paulus berkata, "Yohanes membaptis orang untuk menyatakan mereka sudah bertaubat daripada dosa. Dia memberitahu orang Israel supaya percaya kepada Orang yang akan datang kemudian daripadanya; Orang itu Yesus.'' 5 Apabila mereka mendengar hal itu, mereka dibaptis demi nama Tuhan Yesus. 6 Ketika Paulus meletakkan tangannya ke atas kepala mereka, Roh Allah menguasai mereka, lalu mereka bertutur dalam bahasa-bahasa yang ajaib, serta menyampaikan perkhabaran Allah. 7 Mereka semuanya kira-kira dua belas orang. 8 Selama tiga bulan, dengan berani Paulus terus-menerus berkata-kata kepada orang di rumah ibadat. Dia berbincang dengan mereka dan berusaha untuk meyakinkan mereka tentang Pemerintahan Allah. 9 Tetapi beberapa orang antara mereka degil dan tidak mahu percaya. Di hadapan semua orang mereka mencerca rancangan Allah untuk menyelamatkan manusia melalui Yesus. Oleh itu Paulus meninggalkan mereka, lalu pergi dengan beberapa orang pengikut Yesus lainnya ke dewan syarahan Tiranus. Setiap hari Paulus mengadakan perbincangan di situ. 10 Perkara ini berlaku selama dua tahun sehingga semua orang yang tinggal di wilayah Asia, baik orang Yahudi mahupun orang bukan Yahudi mendengar firman Tuhan. 11 Allah melakukan mukjizat yang luar biasa melalui Paulus. 12 Bahkan sapu tangan dan kain yang pernah dipakai oleh Paulus pun dibawa kepada orang sakit, lalu mereka sembuh dan roh jahat keluar daripada mereka. 13 Beberapa orang Yahudi yang pergi ke serata tempat dan mengusir roh jahat, cuba menggunakan nama Tuhan Yesus untuk mengusir roh jahat. Mereka berkata kepada roh-roh jahat, "Aku mengusir kamu demi nama Yesus yang diberitakan oleh Paulus.'' 14 Tujuh orang lelaki, iaitu anak-anak ketua imam Yahudi bernama Skewa berbuat demikian. 15 Tetapi roh jahat berkata kepada mereka, "Yesus aku kenal, Paulus pun aku kenal, tetapi siapakah kamu?'' 16 Lalu orang yang dirasuk roh jahat itu menyerang mereka dengan ganas dan mengalahkan mereka. Dia mencederakan mereka dan mengoyak-ngoyak pakaian mereka, sehingga mereka lari dari rumahnya. 17 Semua orang Yahudi dan orang bukan Yahudi yang tinggal di Efesus mendengar peristiwa itu, lalu mereka menjadi takut. Oleh itu nama Tuhan Yesus semakin dipuji-puji. 18 Banyak orang yang sudah percaya kepada Yesus, datang ke hadapan umum untuk mengakui perbuatan jahat mereka pada masa lampau. 19 Mereka yang biasa mengamalkan ilmu sihir mengumpulkan buku-buku mereka dan membakar semua itu di hadapan orang ramai. Apabila dijumlahkan, harga semua buku itu kira-kira lima puluh ribu keping wang perak. 20 Melalui semua peristiwa yang luar biasa itu firman Tuhan semakin tersebar luas dan semakin banyak orang percaya kepada Yesus. 21 Setelah semua peristiwa itu berlaku, Paulus mengambil keputusan untuk pergi ke Makedonia dan Akhaya lalu terus ke Yerusalem. "Setelah aku pergi ke sana,'' katanya, "aku harus pergi ke Roma juga.'' 22 Oleh itu Paulus mengutus Timotius dan Erastus, dua orang daripada pembantunya, pergi ke Makedonia terlebih dahulu. Sementara itu Paulus tinggal lebih lama di wilayah Asia. 23 Pada masa itulah berlaku rusuhan yang besar di Efesus kerana ajaran tentang Yesus. 24 Di kota itu ada seorang tukang perak bernama Demetrius, yang biasa membuat model kuil Dewi Artemis. Usahanya mendatangkan penghasilan yang besar bagi pekerja-pekerjanya. 25 Oleh itu dia mengumpulkan semua pekerjanya dan pekerja tukang perak yang lain, lalu berkata, "Saudara-saudara tahu bahawa kekayaan kita datangnya daripada pekerjaan ini. 26 Sekarang saudara sekalian sudah melihat dan mendengar apa yang dilakukan oleh Si Paulus itu. Dia berkata bahawa berhala yang dibuat oleh manusia sama sekali bukan dewa. Dia berjaya meyakinkan banyak orang, bukan sahaja di Efesus, bahkan hampir di seluruh wilayah Asia. 27 Hal itu membahayakan kerana perniagaan kita akan mendapat nama buruk. Bukan itu sahaja, bahkan orang tidak akan menghormati kuil Dewi Artemis lagi dan kebesarannya pun akan lenyap. Padahal Dewi Artemis disembah oleh semua orang di Asia dan di seluruh dunia!'' 28 Apabila mereka mendengar hal itu, mereka sangat marah dan mula berseru, "Hidup Artemis, dewi orang Efesus!'' 29 Rusuhan itu meluas ke seluruh kota. Kumpulan perusuh itu menangkap Gayus dan Aristarkhus, orang Makedonia yang menemani Paulus dalam perjalanannya, lalu menyeret mereka ke stadium kota itu. 30 Paulus sendiri mahu menghadap orang ramai untuk berkata-kata kepada mereka, tetapi pengikut Yesus di situ tidak membenarkan dia. 31 Beberapa orang pegawai kerajaan di daerah itu, yang bersahabat dengan Paulus, menyuruh orang memberitahu Paulus supaya tidak masuk ke stadium itu. 32 Sementara itu, orang yang berkumpul di stadium menjadi kacau-bilau. Ada yang berteriak begini dan ada yang berteriak begitu, kerana kebanyakan orang tidak tahu mengapa mereka datang di situ. 33 Beberapa orang menyangka bahawa Aleksander yang bertanggungjawab, kerana orang Yahudi menyuruh dia tampil ke muka. Aleksander memberikan isyarat dengan tangan supaya diberikan peluang untuk membela diri di hadapan orang ramai. 34 Tetapi apabila mereka melihat bahawa dia orang Yahudi, selama dua jam mereka berseru dengan serentak, "Hidup Artemis, dewi orang Efesus!'' 35 Akhirnya setiausaha kota berjaya menenteramkan orang ramai. Dia berkata, "Hai penduduk Efesus! Semua orang tahu bahawa Efesuslah kota yang memelihara kuil Dewi Artemis dan batu suci yang jatuh dari langit. 36 Tidak seorang pun dapat menafikan hal itu. Oleh itu bertenanglah dan jangan buat apa-apa dengan terburu-buru. 37 Saudara-saudara membawa kedua-dua orang ini ke mari, walaupun mereka tidak merompak kuil, ataupun menghina dewi kita. 38 Jika Demetrius dan pekerja-pekerjanya mahu mendakwa sesiapa, biarlah mereka membawa perkara itu ke mahkamah. Pada hari-hari tertentu orang boleh datang ke mahkamah dan para pegawai pun ada di situ. 39 Tetapi jika ada apa-apa lagi yang saudara-saudara kehendaki, hal itu harus diselesaikan dalam mesyuarat umum yang sah. 40 Oleh sebab apa yang berlaku hari ini, kita akan dituduh mengadakan rusuhan. Kita tidak mempunyai alasan untuk membenarkan rusuhan ini.'' 41 Setelah berkata demikian, setiausaha kota itu menyuruh mereka pulang.

Kisah Rasul-Rasul 20

1 Setelah keadaan di Efesus tenteram semula, Paulus mengumpulkan pengikut Yesus di situ lalu menggalakkan mereka. Kemudian dia mengucapkan selamat tinggal dan meneruskan perjalanan ke Makedonia. 2 Dia mengunjungi daerah Makedonia dan dengan banyak ajaran Paulus menggalakkan pengikut Yesus di situ. Kemudian dia pergi ke Akhaya. 3 Di situ dia tinggal selama tiga bulan. Dia sedang bersiap-siap untuk pergi ke Siria, apabila dia mendengar bahawa orang Yahudi berkomplot untuk membunuh dia. Oleh itu, Paulus mengambil keputusan untuk kembali melalui Makedonia. 4 Sopater anak Pirus yang berasal dari Berea pergi bersama-sama dia, begitu juga Aristarkhus dan Sekundus dari Tesalonika, Gayus dari Derbe, Tikhikus dan Trofimus dari daerah Asia, dan Timotius. 5 Mereka pergi terlebih dahulu lalu menunggu kami di Troas. 6 Setelah Perayaan Roti Tidak Beragi, kami belayar meninggalkan Filipi. Lima hari kemudian kami berjumpa dengan mereka di Troas. Di situ kami tinggal selama seminggu. 7 Pada petang Sabtu kami berkumpul untuk makan bersama-sama saudara seiman. Kerana Paulus akan berangkat esoknya, dia mengajar orang di situ. Dia berkata-kata terus sehingga tengah malam. 8 Banyak pelita dinyalakan di dalam bilik di tingkat atas, tempat kami berhimpun. 9 Seorang pemuda bernama Eutikhus duduk di jendela. Kerana Paulus tidak berhenti-henti berkata-kata, pemuda itu mengantuk lalu tertidur di jendela itu dan akhirnya jatuh ke tanah dari tingkat ketiga. Apabila mereka mengangkatnya, dia sudah mati. 10 Tetapi Paulus turun, lalu merebahkan diri ke atas pemuda itu dan memeluk dia. Paulus berkata, "Janganlah khuatir, dia masih hidup!'' 11 Kemudian Paulus naik kembali, lalu membahagikan roti dan makan bersama. Setelah lama bercakap dengan mereka, sehingga matahari terbit, Paulus berangkat. 12 Mereka membawa pemuda yang hidup itu pulang ke rumah dan mereka sangat terhibur. 13 Kami pergi ke kapal lalu belayar terlebih dahulu ke Asos. Di situ kami akan menyambut Paulus naik ke kapal. Dia menyuruh kami belayar terlebih dahulu kerana dia mahu ke Asos melalui jalan darat. 14 Setelah Paulus tiba di Asos, kami membawa dia naik ke kapal lalu bertolak ke Metilene. 15 Dari sana kami belayar pula, dan esoknya tiba di pulau Khios. Lusanya kami tiba di Samos dan sehari kemudian di Miletus. 16 Paulus mengambil keputusan supaya tidak singgah di Efesus, agar tidak membuang masa di daerah Asia. Dia ingin cepat-cepat tiba di Yerusalem, jika boleh sebelum hari Pentakosta. 17 Dari Miletus, Paulus mengirim berita ke Efesus, meminta supaya pemimpin-pemimpin jemaah di situ datang menjumpai dia. 18 Apabila mereka tiba, Paulus berkata kepada mereka, "Kamu mengetahui cara hidupku selama aku bersama-sama kamu, sejak hari pertama aku tiba di daerah Asia. 19 Dengan rendah hati dan dengan mencucurkan air mata, aku mengabdikan diri sebagai hamba Tuhan, di tengah-tengah penderitaan yang aku alami kerana rancangan jahat orang Yahudi. 20 Kamu tahu bahawa aku tidak pernah merahsiakan apa-apa yang berguna bagi kamu, semasa aku berkhutbah dan mengajar di tempat-tempat awam dan di rumah-rumah. 21 Baik kepada orang Yahudi mahupun bukan Yahudi, aku memberikan amaran supaya mereka bertaubat daripada dosa lalu datang kepada Allah serta percaya kepada Yesus, Tuhan kita. 22 Sekarang untuk mentaati perintah Roh Allah, aku akan pergi ke Yerusalem tanpa mengetahui apa yang akan berlaku kepadaku di situ. 23 Aku hanya tahu bahawa di setiap kota, Roh Allah telah memberitahu aku bahawa aku akan mengalami penderitaan dan akan dipenjarakan. 24 Tetapi aku tidak mengambil berat sama ada aku hidup atau mati. Aku hanya ingin menyelesaikan tugas yang aku terima daripada Tuhan Yesus. Aku diberikan tugas untuk mengkhabarkan Berita Baik tentang rahmat Allah. 25 Aku sudah mengunjungi kamu semua dan memberitakan Pemerintahan Allah. Sekarang aku tahu bahawa tidak seorang pun daripada kamu akan berjumpa dengan aku lagi. 26 Oleh itu dengan sungguh-sungguh aku berkata kepada kamu pada hari ini: Jika sesiapa antara kamu binasa kelak, hal itu bukan tanggungjawabku. 27 Aku tidak pernah melalaikan tugas untuk menjelaskan segala kehendak Allah kepada kamu. 28 Hendaklah kamu menjaga diri serta menjaga jemaah yang sudah diserahkan kepada pemeliharaan kamu oleh Roh Allah. Jagalah jemaah Allah 29 Aku tahu bahawa setelah aku pergi, serigala buas akan datang ke tengah-tengah kamu. Jemaah yang kamu jaga akan menjadi mangsa serigala. 30 Bahkan akan tiba masanya apabila beberapa orang di kalangan kamu sendiri akan memberitakan berita yang tidak betul untuk menyesatkan pengikut Yesus sehingga mengikut mereka. 31 Berwaspadalah! Ingatlah bahawa selama tiga tahun, siang malam dengan mencucurkan air mata, aku telah mengajar setiap orang di kalangan kamu. 32 Sekarang aku menyerahkan kamu kepada pemeliharaan Allah. Perkhabaran tentang rahmat Allah juga akan memelihara kamu. Allah dapat menguatkan kamu dan mengurniai kamu berkat yang telah disediakan-Nya untuk semua umat-Nya. 33 Aku tidak pernah mengingini wang atau pakaian sesiapa pun. 34 Kamu sendiri tahu bahawa dengan tangan sendiri, aku bekerja untuk mencukupi keperluanku dan rakan-rakanku. 35 Dalam segala perkara aku sudah memberikan teladan kepada kamu bahawa dengan bekerja keras seperti ini, kita harus menolong orang yang lemah. Ingatlah akan kata-kata Tuhan Yesus, `Lebih berbahagia memberi daripada menerima.' '' 36 Apabila Paulus selesai berkata-kata, dia berlutut dengan mereka semua lalu berdoa. 37 Sambil menangis mereka memeluk Paulus dan mengucapkan selamat tinggal. 38 Mereka amat sedih kerana Paulus berkata bahawa mereka tidak akan berjumpa dengan dia lagi. Kemudian mereka menghantar dia sampai ke kapal.

Kisah Rasul-Rasul 21

1 Setelah kami mengucapkan selamat tinggal kepada pemimpin-pemimpin jemaah dari Efesus itu, kami berangkat. Kami terus belayar ke Kos; esoknya kami tiba di Rodes. Dari situ kami belayar ke Patara. 2 Di Patara kami menjumpai kapal yang akan bertolak ke Fenisia. Kami menaiki kapal itu lalu belayar 3 sampai ke tempat kami dapat melihat pulau Siprus. Kapal itu belayar terus menuju ke arah selatan sehingga sampai di Siria. Kami mendarat di Tirus, kerana di situ kapal akan memunggah muatan. 4 Di situ kami berjumpa dengan beberapa orang yang percaya kepada Yesus dan kami tinggal dengan mereka selama seminggu. Dengan pimpinan Roh Allah mereka memberitahu Paulus supaya jangan pergi ke Yerusalem. 5 Tetapi apabila tiba masanya kami melanjutkan perjalanan, kami pun berangkat. Semua pengikut Yesus itu bersama-sama anak dan isteri mereka menghantar kami sampai ke luar kota. Di tepi pantai kami semua berlutut lalu berdoa. 6 Setelah bersalam-salaman kami menaiki kapal dan mereka pulang ke rumah. 7 Kami melanjutkan perjalanan dan belayar dari Tirus ke Ptolemais. Di situ kami memberikan salam kepada saudara-saudara yang percaya kepada Yesus, dan tinggal dengan mereka selama sehari. 8 Keesokan harinya kami berangkat pula, lalu tiba di Kaisarea. Di situ kami menumpang di rumah seorang penginjil bernama Filipus. Dia salah seorang daripada tujuh orang yang dipilih untuk menolong para rasul di Yerusalem. 9 Dia mempunyai empat orang anak perempuan yang belum berkahwin dan mereka memberitakan perkhabaran daripada Allah. 10 Setelah beberapa hari kami di situ, seorang nabi bernama Agabus datang dari Yudea. 11 Dia datang kepada kami lalu mengambil tali pinggang Paulus. Dengan tali pinggang itu Agabus mengikat kaki dan tangannya sendiri lalu berkata, "Inilah yang dikatakan oleh Roh Allah: Pemilik tali pinggang ini akan diikat seperti ini oleh orang Yahudi di Yerusalem dan mereka akan menyerahkan dia kepada orang bukan Yahudi.'' 12 Apabila kami mendengar kata-kata itu, kami dan semua saudara lain memohon Paulus supaya jangan pergi ke Yerusalem. 13 Tetapi dia menjawab, "Mengapa kamu menangis seperti ini sehingga menyebabkan aku bersedih hati? Aku sudah bersedia bukan sahaja untuk diikat di Yerusalem, tetapi juga untuk mati di situ kerana Tuhan Yesus.'' 14 Kerana Paulus tidak mahu mendengarkan kami, kami pun berhenti melarang dia. Kami berkata, "Biarlah kehendak Tuhan berlaku.'' 15 Setelah kami tinggal di situ beberapa lama, kami mengemaskan barang lalu berangkat ke Yerusalem. 16 Beberapa orang pengikut Yesus dari Kaisarea mengikut kami dan menghantar kami ke rumah Manason, kerana di rumah dialah kami akan menginap. Manason berasal dari Siprus dan sudah lama menjadi pengikut Yesus. 17 Apabila kami tiba di Yerusalem, pengikut-pengikut Yesus di situ menyambut kami dengan sukacita. 18 Keesokan harinya Paulus pergi bersama-sama kami menjumpai Yakobus; semua pemimpin jemaah pun hadir. 19 Paulus memberikan salam kepada mereka, lalu memberitahukan segala sesuatu yang sudah dilakukan oleh Allah melalui dia di kalangan orang bukan Yahudi. 20 Setelah mendengar laporan Paulus, mereka semua memuji Allah. Kemudian mereka berkata kepada Paulus, "Saudara Paulus, dengarlah! Di sini ada beribu-ribu orang Yahudi yang sudah percaya kepada Yesus, dan mereka mentaati Taurat Musa dengan setia. 21 Tetapi mereka sudah diberitahu bahawa saudara mengajar semua orang Yahudi yang tinggal di kalangan orang bukan Yahudi supaya tidak menurut Taurat Musa, tidak menyunat anak-anak mereka ataupun menurut adat istiadat orang Yahudi. 22 Mereka tentu sudah mendengar bahawa saudara sudah tiba di sini. Apakah yang harus kita lakukan sekarang? 23 Kami mahu saudara melakukan hal ini. Di sini ada empat orang yang sudah bernazar. 24 Pergilah dengan mereka dan lakukanlah upacara penyucian diri, dan bayarlah biaya mereka juga. Kemudian mereka boleh mencukur rambut. Dengan cara demikian semua orang akan tahu bahawa apa yang didengar oleh mereka tentang saudara tidak benar, kerana saudara pun taat kepada Taurat Musa. 25 Tetapi bagi orang bukan Yahudi yang percaya kepada Yesus, kami telah mengirim sepucuk surat kepada mereka tentang keputusan kami. Mereka tidak boleh makan makanan yang sudah dipersembahkan kepada berhala, atau makan darah, atau makan daging binatang yang mati dicekik, dan mereka juga harus menjauhkan diri daripada perbuatan cabul.'' 26 Oleh itu, Paulus pergi dengan empat orang itu dan esoknya dia menjalankan upacara penyucian diri bersama-sama mereka. Kemudian Paulus masuk ke Rumah Tuhan dan mengumumkan bilangan hari apabila upacara penyucian itu akan selesai dan korban akan dipersembahkan bagi masing-masing. 27 Apabila jangka waktu tujuh hari hampir berakhir, beberapa orang Yahudi dari daerah Asia melihat Paulus di dalam Rumah Tuhan. Mereka menghasut orang ramai lalu menangkap Paulus. 28 Mereka berseru, "Hai orang Israel, tolong! Inilah orang yang pergi ke serata tempat dan mengajar semua orang menentang bangsa Israel, Taurat Musa, dan Rumah Tuhan ini. Malahan sekarang dia membawa orang bukan Yahudi ke dalam Rumah Tuhan. Dia telah menajiskan tempat yang suci ini!'' ( 29 Mereka berkata demikian, kerana mereka nampak Trofimus orang Efesus itu bersama-sama Paulus di kota. Mereka menyangka Paulus telah membawa dia ke dalam Rumah Tuhan.) 30 Seluruh kota itu menjadi kacau-bilau; semua orang berlari bersama-sama dan menangkap Paulus lalu menyeret dia keluar dari Rumah Tuhan. Dengan segera pintu Rumah Tuhan ditutup. 31 Sementara perusuh-perusuh itu cuba membunuh Paulus, komandan pasukan Roma diberitahu bahawa seluruh Yerusalem sedang merusuh. 32 Dengan segera komandan membawa beberapa orang pegawai tentera serta askar, lalu cepat-cepat pergi ke tempat huru-hara itu. Semasa orang ramai itu melihat komandan dengan askarnya, mereka berhenti memukul Paulus. 33 Komandan itu menghampiri Paulus lalu menangkap dia, dan menyuruh orang membelenggu dia dengan dua rantai. Lalu komandan itu bertanya, "Siapakah orang ini, dan apa yang sudah dilakukannya?'' 34 Sesetengah orang ramai menjawab begini dan sesetengah yang lain menjawab begitu. Keadaan begitu kacau sehingga komandan itu tidak dapat mengetahui apa yang sebenarnya sudah berlaku. Oleh itu dia menyuruh askarnya membawa Paulus ke dalam kubu. 35 Mereka membawa dia sampai ke tangga, lalu askar-askar itu harus menggotong Paulus kerana orang ramai yang merusuh itu mengamuk. 36 Perusuh-perusuh itu mengikuti Paulus sambil berseru, "Bunuh dia!'' 37 Apabila askar-askar hampir sampai ke kubu, Paulus berkata kepada komandan itu, "Bolehkah saya bercakap sebentar dengan tuan?'' Komandan itu berkata, "Kamu dapat berbahasa Yunani! 38 Jika demikian kamu bukan orang Mesir yang tempoh hari memulakan pemberontakan dan memimpin empat ribu orang pengganas bersenjata pergi ke padang gurun.'' 39 Paulus berkata, "Saya orang Yahudi yang dilahirkan di Tarsus di negeri Kilikia. Saya warga kota yang penting itu. Tolong izinkan saya berucap kepada orang ramai ini.'' 40 Komandan itu mengizinkan dia berbuat demikian. Oleh itu Paulus berdiri di tangga dan memberikan isyarat dengan tangan supaya orang ramai diam. Apabila mereka tenang, Paulus berkata-kata kepada mereka dalam bahasa Ibrani.

Kisah Rasul-Rasul 22

1 Paulus berkata, "Bapa-bapa dan saudara sekalian, dengarkanlah apa yang akan saya katakan untuk membela diri.'' 2 Apabila mereka mendengar Paulus berkata-kata dalam bahasa Ibrani, mereka lebih tenang lagi. Paulus melanjutkan kata-katanya, 3 "Saya orang Yahudi; saya dilahirkan di Tarsus di negeri Kilikia, dan dibesarkan di Yerusalem sebagai murid Gamaliel. Saya diajar dengan teliti tentang Taurat nenek moyang kita, dan saya mengabdikan diri kepada Allah seperti saudara sekalian pada hari ini. 4 Saya menganiaya pengikut ajaran baru itu sehingga mereka mati. Saya menangkap orang lelaki dan perempuan, lalu memasukkan mereka ke dalam penjara. 5 Imam Agung dan semua anggota Majlis Agama dapat memberikan kesaksian bahawa saya tidak berdusta. Saya diberikan mereka surat-surat yang ditujukan kepada orang Yahudi di Damsyik. Dengan surat itu saya dibenarkan menangkap pengikut ajaran baru itu lalu membawa mereka ke Yerusalem untuk dihukum.'' 6 "Semasa saya dalam perjalanan dan hampir tiba di Damsyik, pada kira-kira tengah hari, tiba-tiba cahaya terang dari langit memancar di sekeliling saya. 7 Saya rebah ke tanah lalu mendengar suara berkata kepada saya, `Saulus, Saulus! Mengapa engkau menganiaya Aku?' 8 Lalu saya bertanya, `Siapakah tuan?' `Aku Yesus orang Nasaret yang engkau aniaya,' jawab-Nya. 9 Semua orang yang bersama-sama saya nampak cahaya itu, tetapi mereka tidak mendengar suara yang berkata-kata kepada saya. 10 Saya bertanya pula, `Apakah yang harus saya lakukan, tuan?' Tuhan menjawab, `Bangunlah dan masuklah ke Damsyik. Di situ engkau akan diberitahu semuanya yang sudah ditetapkan oleh Allah yang harus engkau lakukan.' 11 Saya menjadi buta kerana cahaya terang itu. Oleh itu teman seperjalanan saya memegang tangan saya dan memimpin saya masuk ke Damsyik. 12 Di situ ada seorang bernama Ananias. Dia seorang yang takut akan Allah dan mentaati Taurat kita. Dia sangat dihormati oleh semua orang Yahudi yang tinggal di Damsyik. 13 Dia datang dan berdiri di sisi saya, lalu berkata, `Saudara Saulus, saudara dapat melihat lagi!' Pada saat itu juga saya dapat melihat semula, lalu saya memandang dia. 14 Dia berkata, `Allah yang disembah nenek moyang kita sudah memilih saudara supaya mengetahui kehendak Allah, dan melihat Yesus, Hamba Allah yang melakukan kehendak Allah, serta mendengar suara Yesus sendiri. 15 Saudara akan menjadi saksi untuk mengkhabarkan apa yang sudah saudara lihat dan dengar kepada setiap orang. 16 Sekarang janganlah tunggu lebih lama lagi. Bangunlah dan mintalah orang membaptis saudara. Berserulah kepada Tuhan supaya dosa saudara dihapuskan.' '' 17 "Saya kembali ke Yerusalem dan sementara saya berdoa di Rumah Tuhan, saya melihat suatu penglihatan. 18 Dalam penglihatan itu saya melihat Tuhan berkata kepada saya, `Cepat tinggalkan Yerusalem, kerana orang di sini tidak mahu menerima kesaksianmu tentang Aku.' 19 Saya berkata, `Ya Tuhan, mereka tahu bahawa aku sudah masuk ke rumah ibadat untuk menangkap dan memukul orang yang percaya kepada-Mu. 20 Apabila saksi-Mu Stefanus direjam, aku sendiri ada di situ dan menyetujui pembunuhan itu. Bahkan aku menjaga pakaian semua orang yang membunuh dia.' 21 Tetapi Tuhan berkata lagi, `Pergilah, kerana Aku akan menyuruh engkau ke tempat yang jauh, kepada orang bukan Yahudi.' '' 22 Sehingga saat itu, orang ramai mendengarkan kata-kata Paulus. Tetapi kemudian mereka mula berseru dengan kuat, "Hapuskan dia! Bunuh dia! Dia tidak layak hidup!'' 23 Mereka berteriak-teriak sambil mengebaskan pakaian sehingga debu berterbangan di udara. 24 Komandan pasukan Roma memerintahkan askar-askarnya membawa Paulus ke dalam kubu. Dia menyuruh mereka mencambuk Paulus untuk mengetahui alasan orang Yahudi berteriak sedemikian rupa terhadap dia. 25 Tetapi waktu Paulus telah diikat untuk dicambuk, Paulus berkata kepada pegawai tentera yang berdiri di situ, "Bolehkah seorang warganegara Roma dicambuk sebelum dia diadili?'' 26 Apabila pegawai tentera itu mendengar hal ini, dia pergi kepada komandan itu dan berkata, "Apa yang sudah tuan lakukan? Orang ini warganegara Roma!'' 27 Oleh itu komandan itu pergi kepada Paulus dan bertanya, "Katakanlah, adakah kamu warganegara Roma?'' "Ya,'' kata Paulus. 28 Komandan itu berkata pula, "Saya menjadi warganegara Roma dengan membayar wang yang banyak.'' Paulus menjawab, "Tetapi saya dilahirkan sebagai warganegara Roma.'' 29 Dengan segera askar-askar yang hendak menyoal Paulus berundur. Komandan itu pun takut apabila dia tahu bahawa Paulus warganegara Roma, dan kerana dia sudah merantai Paulus. 30 Tetapi komandan itu hendak mengetahui alasan sebenar yang menyebabkan orang Yahudi menuduh Paulus. Oleh itu, keesokan harinya komandan itu memanggil ketua-ketua imam dan semua anggota Majlis Agama supaya berkumpul. Kemudian dia membuka rantai yang mengikat Paulus lalu menghadapkan Paulus kepada mereka semua.

Kisah Rasul-Rasul 23

1 Paulus menatap anggota-anggota Majlis Agama lalu berkata, "Saudara-saudara! Sehingga hari ini, hati nurani saya tidak menyalahkan saya tentang kehidupan saya di sisi Allah.'' 2 Imam Agung Ananias menyuruh orang yang berdiri dekat Paulus menampar mulut Paulus. 3 Paulus berkata kepadanya, "Allah pasti akan menampar tuan, yang seperti tembok berkapur putih. Tuan duduk di situ menghakimi saya menurut Taurat, tetapi tuan sendiri melanggar Taurat apabila menyuruh orang menampar saya!'' 4 Beberapa orang yang di sebelah Paulus berkata kepadanya, "Kamu menghina Imam Agung Allah!'' 5 Paulus menjawab, "Saudara-saudara, saya tidak tahu bahawa dia Imam Agung. Memang di dalam Alkitab ada tertulis, `Janganlah hina pemimpin bangsa kamu.' '' 6 Paulus melihat bahawa sebahagian daripada Majlis Agama itu terdiri daripada orang Saduki dan sebahagian lagi orang Farisi. Oleh itu dia berseru kepada Majlis Agama, "Saudara-saudara, saya orang Farisi, bapa saya pun orang Farisi. Saya diadili di sini kerana saya percaya bahawa orang mati akan dibangkitkan daripada kematian.'' 7 Sebaik sahaja Paulus berkata demikian, orang Farisi dan orang Saduki mula bertengkar, lalu perhimpunan itu berpecah menjadi dua kelompok. ( 8 Hal itu berlaku kerana orang Saduki tidak percaya akan kebangkitan orang mati, dan tidak percaya akan adanya malaikat atau roh. Tetapi orang Farisi percaya akan ketiga-tiganya.) 9 Lalu berlakulah pertengkaran yang sengit. Beberapa orang Farisi yang menjadi guru Taurat berdiri dan membantah dengan keras, "Orang ini tidak bersalah sedikit pun! Barangkali memang ada roh atau malaikat yang berkata-kata kepadanya!'' 10 Pertengkaran itu menjadi begitu sengit sehingga komandan itu takut kalau-kalau Paulus akan diserbu oleh mereka. Dia menyuruh askar-askarnya mengambil Paulus dari tengah-tengah mereka dan membawa dia ke kubu. 11 Pada malam itu, Tuhan berdiri di sisi Paulus dan berkata, "Tabahkanlah hatimu! Engkau sudah memberikan kesaksianmu tentang Aku di Yerusalem. Engkau harus memberikan kesaksian di Roma juga.'' 12 Pagi-pagi keesokan harinya, beberapa orang Yahudi berkumpul untuk merancangkan suatu pakatan. Mereka bersumpah tidak akan makan atau minum sehingga mereka membunuh Paulus. 13 Lebih daripada empat puluh orang termasuk dalam pakatan itu. 14 Mereka pergi kepada ketua-ketua imam dan para pemimpin masyarakat Yahudi, lalu berkata, "Kami sudah bersumpah tidak akan makan atau minum sehingga kami membunuh Paulus. 15 Oleh itu saudara-saudara dan anggota-anggota Majlis Agama hendaklah mengirim sepucuk surat kepada komandan Roma, untuk meminta dia membawa Paulus datang menghadap saudara semua, seolah-olah hendak memeriksa perkaranya lagi dengan lebih teliti. Kami akan bersiap-siap untuk membunuh dia sebelum dia sampai ke sini.'' 16 Tetapi anak lelaki saudara perempuan Paulus mendengar berita tentang pakatan itu. Oleh itu dia masuk ke kubu dan memberitahu Paulus hal itu. 17 Kemudian Paulus memanggil seorang pegawai tentera dan berkata kepadanya, "Bawalah pemuda ini kepada komandan; dia mahu memberitahukan sesuatu kepadanya.'' 18 Pegawai tentera itu membawa pemuda itu kepada komandan dan berkata, "Paulus, orang tahanan itu, memanggil saya. Dia menyuruh saya membawa pemuda ini kepada tuan, kerana dia mahu memberitahukan sesuatu kepada tuan.'' 19 Komandan itu memegang tangan pemuda itu, lalu membawa dia ke samping dan bertanya, "Apa yang hendak kamu beritahu saya?'' 20 Pemuda itu menjawab, "Orang Yahudi telah bersepakat meminta tuan membawa Paulus menghadap Majlis Agama esok, seolah-olah Majlis Agama hendak memeriksa perkaranya lagi dengan lebih teliti. 21 Janganlah percaya kepada mereka, kerana lebih daripada empat puluh orang akan bersembunyi untuk menunggu dia. Mereka sudah bersumpah tidak akan makan atau minum sehingga mereka membunuh Paulus. Sekarang mereka sudah siap dan sedang menunggu jawapan tuan.'' 22 Komandan itu berkata, "Jangan beritahu sesiapa pun bahawa kamu sudah melaporkan hal ini kepada saya.'' Lalu dia menyuruh pemuda itu pulang. 23 Kemudian komandan itu memanggil dua orang pegawai tenteranya dan berkata, "Siapkan dua ratus orang askar, tujuh puluh orang askar berkuda, dan dua ratus orang askar bertombak. Mereka harus berangkat ke Kaisarea pada pukul sembilan malam ini juga. 24 Juga siapkan beberapa ekor kuda untuk Paulus, dan jagalah keselamatannya sehingga dia sampai kepada Gabenor Feliks.'' 25 Lalu komandan itu menulis sepucuk surat yang berbunyi seperti berikut: 26 "Yang Terutama Gabenor Feliks. Salam daripada Klaudius Lisias. 27 Orang Yahudi sudah menangkap orang ini dan hendak membunuh dia. Tetapi saya mendapati dia warganegara Roma. Oleh itu, saya dengan pasukan saya pergi menyelamatkan dia. 28 Saya mahu mengetahui alasan mereka menuduh dia, maka saya membawa dia kepada Majlis Agama mereka. 29 Saya mendapati tuduhan mereka bersangkutan dengan hukum mereka sendiri. Dia tidak melakukan apa-apa yang patut dihukum dengan hukuman mati ataupun hukuman penjara. 30 Apabila saya diberitahu bahawa orang Yahudi sudah berkomplot untuk membunuh dia, dengan segera saya menghantar dia kepada Tuan Gabenor. Saya menyuruh para pendakwanya mengemukakan tuduhan mereka terhadap dia kepada Tuan Gabenor.'' 31 Askar-askar itu menjalankan tugas mereka dan membawa Paulus ke Antipatris pada malam itu juga. 32 Keesokan harinya askar yang berjalan kaki kembali ke kubu, tetapi askar yang berkuda meneruskan perjalanan dengan Paulus. 33 Apabila mereka tiba di Kaisarea, mereka menyampaikan surat itu kepada gabenor dan menyerahkan Paulus kepadanya. 34 Gabenor membaca surat itu lalu bertanya kepada Paulus dari mana asalnya. Apabila gabenor mengetahui bahawa Paulus berasal dari Kilikia, 35 gabenor berkata, "Baiklah! Saya akan memeriksa perkara kamu apabila pendakwa-pendakwa kamu tiba.'' Lalu gabenor memberikan perintah supaya Paulus ditahan di dalam istana yang dahulu dibina oleh Raja Herodes.

Kisah Rasul-Rasul 24

1 Lima hari kemudian, Imam Agung Ananias dan beberapa orang pemimpin masyarakat Yahudi serta seorang peguam bernama Tertulus pergi ke Kaisarea. Mereka menghadap Gabenor Feliks dan mengemukakan tuduhan terhadap Paulus. 2 Apabila Paulus dipanggil menghadap, Tertulus menuduh Paulus seperti berikut, "Tuan Yang Terutama! Oleh sebab pimpinan tuan yang bijaksana, kami terus-menerus mengalami kesejahteraan di negeri ini. Banyak pembaharuan pun sudah dilaksanakan untuk kebaikan negeri kami. 3 Kami menghargai semuanya itu dan kami sangat berterima kasih kepada tuan. 4 Supaya tidak membuang banyak masa tuan, saya memohon supaya tuan sudi mendengarkan pengaduan kami yang ringkas ini. 5 Kami dapati orang ini pengacau yang berbahaya. Dia menimbulkan kekacauan di kalangan orang Yahudi di seluruh dunia dan dia pemimpin kumpulan orang Nasaret. 6 Dia cuba menajiskan Rumah Tuhan, lalu kami menangkap dia. Kami bercadang menghakimi dia menurut Taurat kami sendiri. 7 Tetapi Komandan Lisias merampas dia daripada kami. 8 Dia memberikan perintah supaya pendakwa-pendakwanya menghadap tuan. Jika tuan menyoal orang ini, tuan sendiri dapat mengetahui kebenaran segala tuduhan kami.'' 9 Orang Yahudi di situ juga turut menuduh Paulus dan mengatakan bahawa semua yang dikatakan oleh Tertulus itu benar. 10 Gabenor itu memberikan isyarat kepada Paulus bahawa dia boleh bercakap. Oleh itu Paulus berkata, "Saya tahu bahawa tuan telah menjadi hakim negeri ini selama bertahun-tahun. Oleh itu saya bersukacita kerana dapat membela diri di hadapan tuan. 11 Tuan dapat mengetahui hal itu sendiri, bahawa tidak lebih daripada dua belas hari yang lalu, saya pergi ke Yerusalem untuk beribadat. 12 Orang Yahudi tidak mendapati saya bertengkar dengan sesiapa pun ataupun menimbulkan rusuhan, baik di dalam Rumah Tuhan mahupun di rumah ibadat ataupun di tempat lain di kota. 13 Mereka pun tidak dapat membuktikan tuduhan yang dikemukakan kepada tuan terhadap saya. 14 Saya mengaku di hadapan tuan bahawa saya menyembah Allah yang disembah oleh nenek moyang kami menurut ajaran Yesus, yang dianggap salah oleh mereka. Tetapi saya percaya juga kepada segala yang tertulis di dalam Taurat Musa dan Kitab Nabi-Nabi. 15 Seperti mereka, saya berharap kepada Allah bahawa semua orang akan dibangkitkan daripada kematian -- orang baik, mahupun orang jahat! 16 Oleh itu saya berusaha sebaik-baiknya supaya hati nurani saya sentiasa bersih di sisi Allah dan di hadapan manusia. 17 Setelah beberapa tahun meninggalkan Yerusalem, saya kembali ke situ untuk membawa wang sumbangan bagi bangsa saya dan untuk mempersembahkan korban kepada Allah. 18 Apabila saya sedang melakukan perkara itu, mereka melihat saya di Rumah Tuhan setelah saya selesai melakukan upacara penyucian diri. Tidak ada orang ramai menyertai saya, dan tidak ada kekacauan berlaku di situ pada waktu itu. 19 Tetapi beberapa orang Yahudi dari daerah Asia ada di situ. Sebenarnya mereka yang harus menghadap tuan dan mengajukan tuduhan mereka, jika ada tuduhan terhadap saya. 20 Atau biarlah semua orang ini memberitahukan kesalahan saya yang didapati oleh mereka pada masa saya dibawa menghadap Majlis Agama. 21 Mereka mendapati satu perkara sahaja: Saya mengatakan hal ini di hadapan mereka, `Hari ini saya diadili kerana saya percaya bahawa orang mati akan dibangkitkan daripada kematian.' '' 22 Kemudian Feliks, yang banyak pengetahuannya tentang ajaran Yesus, mengakhiri pembicaraan itu. Feliks berkata, "Apabila Komandan Lisias datang, saya akan memutuskan perkara ini.'' 23 Lalu gabenor memerintahkan pegawai tentera yang menjaga Paulus supaya mengawal dia tetapi memberi dia kebebasan yang terhad, serta membenarkan sahabat-sahabat Paulus memberikan apa yang diperlukannya. 24 Beberapa hari kemudian, Gabenor Feliks datang dengan isterinya Drusila, seorang Yahudi. Feliks menyuruh orang memanggil Paulus, kemudian Feliks mendengarkan Paulus berkata-kata tentang kepercayaan kepada Kristus Yesus. 25 Tetapi apabila Paulus melanjutkan ucapannya tentang apa yang baik, tentang hal mengawal diri, dan tentang hukuman pada Hari Kiamat, Feliks menjadi takut lalu berkata, "Kamu boleh pergi sekarang. Saya akan memanggil kamu lagi jika ada kesempatan.'' 26 Sementara itu Feliks juga berharap Paulus akan memberi dia wang. Oleh itu dia seringkali memanggil Paulus dan bercakap dengan dia. 27 Setelah dua tahun, Perkius Festus menggantikan Feliks sebagai gabenor. Kerana Feliks ingin mengambil hati orang Yahudi, dia membiarkan Paulus tinggal di dalam penjara.

Kisah Rasul-Rasul 25

1 Tiga hari setelah Gabenor Festus tiba di daerah itu, dia pergi dari Kaisarea ke Yerusalem. 2 Di situ ketua-ketua imam dan pemimpin orang Yahudi mengemukakan tuduhan mereka terhadap Paulus. Mereka memohon pertolongan Festus supaya 3 menghantar Paulus ke Yerusalem, kerana mereka sudah berkomplot untuk membunuh dia di perjalanan. 4 Tetapi Festus menjawab, "Paulus ditahan di Kaisarea dan saya sendiri pun akan segera kembali ke sana. 5 Biarlah pemimpin-pemimpin kamu pergi dengan saya ke Kaisarea, lalu mendakwa dia jika dia memang bersalah.'' 6 Festus tinggal di Yerusalem kira-kira lapan atau sepuluh hari lagi, lalu dia kembali ke Kaisarea. Keesokan harinya dia duduk sebagai hakim di mahkamah dan memberikan perintah supaya Paulus dibawa menghadap. 7 Apabila Paulus tiba, orang Yahudi yang datang dari Yerusalem berdiri di sekelilingnya dan mula mengemukakan tuduhan-tuduhan berat, yang tidak dapat dibuktikan oleh mereka. 8 Tetapi Paulus membela diri dengan berkata, "Saya tidak bersalah terhadap Taurat Musa, atau terhadap Rumah Tuhan, ataupun terhadap Kaisar Roma.'' 9 Tetapi Festus hendak mengambil hati orang Yahudi. Oleh itu dia bertanya kepada Paulus, "Mahukah kamu pergi ke Yerusalem supaya saya boleh mengadili kamu di sana?'' 10 Paulus menjawab, "Saya berdiri di hadapan mahkamah Kaisar Roma, dan di sinilah saya harus diadili. Tuan sendiri tahu bahawa saya tidak bersalah terhadap orang Yahudi. 11 Jika saya sudah melanggar hukum dan melakukan sesuatu yang patut dijatuhi hukuman mati, saya rela mati. Tetapi jika tuduhan mereka tidak benar, tidak seorang pun boleh menyerahkan saya kepada mereka. Saya minta diadili oleh Kaisar Roma!'' 12 Setelah berunding dengan para penasihatnya, Festus menjawab, "Kerana kamu minta diadili oleh Kaisar Roma, kamu harus pergi menghadap Kaisar.'' 13 Beberapa lama kemudian, Raja Agripa dan Puteri Bernike datang ke Kaisarea untuk menyambut kedatangan Gabenor Festus. 14 Setelah beberapa hari mereka di situ, Festus menerangkan perkara Paulus kepada Raja Agripa. Festus berkata, "Di sini ada seorang tahanan yang ditinggalkan oleh Feliks. 15 Semasa patik di Yerusalem, ketua-ketua imam dan para pemimpin masyarakat Yahudi mengemukakan tuduhan terhadap dia dan memohon patik menjatuhkan hukuman kepadanya. 16 Tetapi patik memberitahu mereka bahawa bukan kebiasaan orang Roma menyerahkan seseorang, sebelum orang itu berhadapan dengan para pendakwanya dan berpeluang membela diri. 17 Apabila mereka datang ke mari, pada keesokan harinya dengan tidak membuang masa lagi patik duduk sebagai hakim di mahkamah. Lalu patik memberikan perintah supaya orang itu dibawa menghadap. 18 Apabila para pendakwanya berdiri untuk mengemukakan tuduhan, mereka tidak mengajukan suatu kejahatan pun seperti yang patik sangka akan dilakukan mereka. 19 Mereka hanya berdebat dengan dia tentang agama mereka sendiri dan tentang seorang bernama Yesus. Orang itu sudah mati, tetapi Paulus berkeras mengatakan bahawa Dia hidup. 20 Patik tidak dapat mengambil keputusan tentang bagaimana patik boleh mendapatkan keterangan selanjutnya tentang perkara itu. Oleh itu patik bertanya kepada Paulus sama ada dia mahu pergi ke Yerusalem untuk diadili di sana kerana tuduhan-tuduhan itu. 21 Tetapi Paulus mengajukan rayuan supaya dia diadili oleh Kaisar dan supaya tetap ditahan sehingga perkaranya diputuskan. Oleh itu patik memberikan perintah supaya dia ditahan terus, sehingga patik mendapat peluang untuk menghantar dia kepada Kaisar.'' 22 Agripa bertitah kepada Festus, "Beta pun ingin mendengar orang itu.'' "Esok tuanku akan mendengar dia,'' jawab Festus. 23 Esoknya Raja Agripa dan Puteri Bernike datang lalu disambut dengan upacara kebesaran. Baginda berdua memasuki balai mahkamah bersama-sama para panglima angkatan perang dan orang terkemuka di kota itu. Dengan perintah Festus, Paulus dibawa menghadap. 24 Lalu Festus berkata, "Tuanku Raja Agripa dan para hadirin! Orang di hadapan patik ini didakwa oleh semua orang Yahudi, baik yang di Yerusalem mahupun yang di sini. Mereka berteriak-teriak bahawa dia tidak layak hidup lebih lama lagi. 25 Tetapi patik tidak mendapatkan kesalahan apa pun yang dilakukannya, yang layak dihukum dengan hukuman mati. Kerana dia sudah mengajukan rayuan supaya diadili oleh Kaisar, patik sudah mengambil keputusan untuk menghantar dia kepada Kaisar. 26 Tetapi patik belum mempunyai keterangan yang pasti tentang dirinya, yang dapat patik tuliskan dalam surat kepada Kaisar. Itulah sebabnya patik menghadapkan dia kepada semua yang hadir, terutama sekali kepada Tuanku Raja Agripa! Dengan demikian, setelah pemeriksaan ini, ada sesuatu yang dapat patik tuliskan di dalam surat itu. 27 Menurut pendapat patik, tidaklah patut menghantar seorang tahanan tanpa menyatakan tuduhan yang jelas terhadap dia.''

Kisah Rasul-Rasul 26

1 Raja Agripa bertitah kepada Paulus, "Kamu dibenarkan bercakap untuk membela diri.'' Paulus memberikan isyarat dengan mengangkat tangan lalu menyampaikan pembelaannya seperti berikut, 2 "Tuanku Raja Agripa! Hamba berasa bertuah kerana dibenarkan membela diri di hadapan tuanku daripada segala tuduhan orang Yahudi, 3 terutama sekali kerana tuanku sangat memahami adat istiadat dan masalah orang Yahudi. Oleh itu, hamba memohon sudilah tuanku mendengarkan keterangan hamba dengan sabar. 4 Semua orang Yahudi mengetahui cara hidup hamba sejak hamba masih muda. Mereka tahu bahawa sejak permulaan, hamba hidup di negeri hamba sendiri dan kemudian di Yerusalem. 5 Sudah lama mereka mengenal hamba. Jika mereka mahu, mereka dapat memberikan kesaksian bahawa sejak permulaan hamba hidup sebagai orang Farisi, dan menuruti semua peraturan agama kami dengan teliti. 6 Sekarang hamba berdiri di hadapan tuanku kerana hamba berharap akan janji yang dibuat oleh Allah kepada nenek moyang kami. 7 Janji itu juga diharap-harapkan oleh dua belas suku Israel, sehingga mereka beribadat kepada Allah siang dan malam. Tuanku, justeru kerana harapan itulah hamba dituduh oleh orang Yahudi. 8 Mengapa saudara-saudara orang Yahudi, tidak dapat percaya bahawa Allah membangkitkan orang mati? 9 Dahulu hamba sendiri pun berpendapat bahawa hamba harus melakukan semua yang terdaya untuk menentang Yesus orang Nasaret itu. 10 Itulah yang hamba lakukan di Yerusalem. Dengan surat kuasa daripada ketua-ketua imam, hamba memenjarakan banyak orang di kalangan umat Allah. Hamba pun memberikan persetujuan apabila mereka dijatuhi hukuman mati. 11 Sering kali hamba menyeksa mereka di rumah ibadat, dan memaksa mereka supaya tidak lagi percaya kepada Yesus. Hamba sangat marah terhadap mereka, sehingga hamba pergi ke kota-kota lain untuk menganiaya mereka.'' 12 "Itulah matlamat hamba ketika pergi ke Damsyik dengan membawa surat kuasa daripada ketua-ketua imam. 13 Tuanku, pada masa hamba di tengah perjalanan, kira-kira pada tengah hari, hamba melihat cahaya yang lebih terang daripada matahari. Cahaya itu datang dari langit dan menyinari sekeliling hamba dan semua orang yang berjalan bersama dengan hamba. 14 Kami semua jatuh ke tanah. Lalu hamba mendengar suara berkata kepada hamba dalam bahasa Ibrani, `Saulus, Saulus! Mengapa engkau menganiaya Aku? Jika engkau terus melawan, engkau hanya menyakiti dirimu sendiri; engkau seperti seekor lembu yang menendang kayu penggiring yang tajam hujungnya.' 15 Lalu hamba bertanya, `Siapakah tuan?' Tuhan menjawab, `Aku Yesus yang engkau aniaya. 16 Bangunlah dan berdirilah! Aku sudah menampakkan diri kepadamu dengan tujuan melantik engkau menjadi hamba-Ku. Engkau harus memberitahu orang lain apa yang engkau lihat hari ini tentang Aku dan tentang apa yang akan Aku tunjukkan kepadamu pada masa akan datang. 17 Aku akan menyelamatkan engkau daripada bangsa Israel dan daripada bangsa lain yang bukan Yahudi. Aku mengutus engkau kepada mereka, 18 untuk membuka mata mereka, supaya mereka keluar dari kegelapan dan memasuki cahaya yang terang; supaya mereka dilepaskan daripada kuasa Iblis lalu dikuasai oleh Allah. Oleh itu, dengan kepercayaan mereka kepada-Ku, dosa mereka akan diampunkan dan mereka akan menjadi umat yang dipilih oleh Allah.' '' 19 "Tuanku Raja Agripa! Itulah sebabnya hamba sentiasa berusaha untuk mentaati penglihatan yang hamba terima dari syurga. 20 Hamba memberitahu orang bahawa mereka harus bertaubat daripada dosa lalu datang kepada Allah, serta melakukan perkara-perkara yang membuktikan bahawa mereka sudah bertaubat. Hamba mengajarkan hal itu mula-mula di Damsyik dan di Yerusalem, kemudian di seluruh negeri orang Yahudi dan orang bukan Yahudi. 21 Kerana hal inilah orang Yahudi menangkap hamba sementara hamba di dalam Rumah Tuhan dan mereka cuba membunuh hamba. 22 Tetapi sehingga saat ini Allah telah menolong hamba, dan sekarang hamba berdiri di sini untuk memberikan kesaksian kepada semua orang, baik orang besar mahupun orang biasa. Apa yang hamba katakan sama dengan apa yang dikatakan oleh nabi-nabi dan Musa. 23 Mereka mengatakan bahawa Penyelamat yang diutus oleh Allah harus mengalami penderitaan, dan menjadi orang pertama yang bangkit daripada kematian. Dengan demikian Dia mengisytiharkan penyelamatan kepada orang Yahudi dan bukan Yahudi. Penyelamatan itu seperti cahaya bagi mereka.'' 24 Sementara Paulus membela diri, Festus berseru, "Paulus, kamu gila! Ilmu kamu yang banyak itu sudah menyebabkan kamu gila!'' 25 Tetapi Paulus menjawab, "Hamba tidak gila, Tuan Yang Terutama. Kata-kata yang hamba ucapkan itu benar dan keluar daripada fikiran yang waras. 26 Tuanku Raja Agripa, hamba berani berkata-kata di hadapan tuanku dengan terus terang, kerana tuanku faham akan perkara-perkara itu. Hamba yakin bahawa tuanku mengetahui semuanya, kerana hal-hal itu tidak berlaku di tempat yang tersembunyi. 27 Tuanku Raja Agripa, hamba tahu bahawa tuanku percaya kepada apa yang dikatakan oleh nabi-nabi itu!'' 28 Raja Agripa bertitah kepada Paulus, "Kamu fikir kamu boleh menjadikan beta seorang Kristian, dalam tempoh yang singkat ini?'' 29 Paulus menjawab, "Dalam tempoh yang singkat ataupun dalam tempoh yang panjang, hamba berdoa kepada Allah supaya tuanku dan para hadirin yang mendengarkan hamba hari ini boleh menjadi seperti hamba -- tetapi tidak dirantai seperti hamba.'' 30 Kemudian raja, gabenor, Puteri Bernike, dan semua orang yang lain berdiri. 31 Setelah mereka ke luar, mereka bercakap sesama sendiri, "Orang ini tidak melakukan apa-apa, sehingga dia patut dihukum mati atau dipenjarakan.'' 32 Lalu Raja Agripa berkata kepada Festus, "Sebenarnya orang ini dapat dibebaskan, jika dia tidak mengajukan rayuan supaya perkaranya diadili oleh Kaisar.''

Kisah Rasul-Rasul 27

1 Setelah diputuskan bahawa kami harus belayar ke Italia, Paulus dan beberapa orang tahanan lain diserahkan kepada Yulius, pegawai tentera daripada rejimen Roma yang disebut "Rejimen Kaisar''. 2 Kami menaiki kapal yang datang dari Adramitium, yang sudah siap untuk belayar ke pelabuhan-pelabuhan di daerah Asia. Aristarkhus, seorang Makedonia yang datang dari Tesalonika, juga bersama-sama kami. 3 Keesokan harinya kami tiba di Sidon. Yulius memperlakukan Paulus dengan baik. Dia membenarkan Paulus melawat sahabat-sahabatnya, supaya mereka dapat memberikan apa yang diperlukan oleh Paulus. 4 Dari situ kami meneruskan pelayaran. Kerana angin berlawanan dengan arah kapal, kami belayar menyusur pulau Siprus yang agak terlindung daripada angin. 5 Kami menyeberangi lautan yang berhadapan dengan Kilikia dan Pamfilia lalu tiba di Mira di negeri Likia. 6 Di situ pegawai tentera itu mendapatkan kapal yang datang dari Aleksandria dan akan belayar ke Italia. Oleh itu dia memindahkan kami ke kapal itu. 7 Selama beberapa hari kami belayar dengan lambat sekali, dan dengan susah payah akhirnya kami tiba di kota Knidus. Kerana angin terlalu kuat, kami tidak dapat meneruskan pelayaran ke jurusan itu. Oleh itu kami belayar ke selatan pulau Kreta melalui Tanjung Salmone supaya terlindung daripada angin. 8 Dengan susah payah kami belayar menyusur pantai pulau itu, dan akhirnya kami tiba di suatu tempat bernama Pelabuhan Indah, tidak berapa jauh dari kota Lasea. 9 Pada waktu itu Hari Pengampunan Dosa orang Yahudi sudah lalu. Kami tinggal lama di situ sehingga bukan masanya lagi untuk belayar dengan aman. Oleh itu Paulus menasihatkan mereka begini, 10 "Saudara-saudara, menurut pendapat saya, mulai sekarang perjalanan kita sangat berbahaya. Bukan sahaja muatan dan kapal kita akan mengalami kerosakan besar, bahkan nyawa pun akan hilang.'' 11 Tetapi pegawai tentera itu lebih percaya kepada kapten kapal dan pemilik kapal daripada kata-kata Paulus. 12 Pelabuhan di situ memang tidak baik bagi kapal untuk tinggal pada musim sejuk. Oleh itu kebanyakan anak kapal ingin belayar dan meninggalkan pelabuhan itu, serta berharap dapat sampai ke Feniks, lalu tinggal di situ sepanjang musim sejuk. Feniks itu pelabuhan di Kreta yang menghadap barat daya dan barat laut. 13 Pada waktu itu angin selatan mula bertiup dengan lembut, dan anak kapal menyangka mereka boleh belayar lagi. Oleh itu mereka membongkar sauh lalu belayar menyusur pantai pulau Kreta. 14 Tetapi tidak lama kemudian angin yang sangat kuat, yang disebut angin Timur Laut, membadai dari darat, 15 dan memukul kapal kami. Kerana kapal tidak dapat belayar melawan angin, kami membiarkan kapal mengikut angin. 16 Kami terlindung sedikit apabila kami melalui sebelah selatan pulau Kauda yang kecil. Di situ dengan susah payah kami berjaya menyelamatkan sekoci kapal. 17 Setelah mereka menaikkan sekoci itu ke kapal, mereka memperkuat kapal dengan menggunakan tali yang diikatkan melingkari kapal itu. Kerana mereka takut terdampar di tebing pasir Sirtis, mereka menurunkan layar dan membiarkan kapal mengikut angin. 18 Angin terus-menerus membadai, sehingga keesokan harinya muatan kapal mula dibuang ke dalam laut. 19 Hari berikutnya anak kapal juga membuang sebahagian daripada alat-alat kapal. 20 Berhari-hari kami tidak dapat melihat matahari dan bintang, dan angin pun terus-menerus membadai. Akhirnya lenyaplah segala harapan kami untuk selamat. 21 Setelah beberapa lama mereka tidak makan, Paulus berdiri di tengah-tengah mereka dan berkata, "Saudara-saudara sepatutnya menurut nasihat saya dan tidak belayar dari Kreta, maka kita tidak akan mengalami kerosakan dan kerugian ini. 22 Tetapi sekarang janganlah khuatir, kerana tidak seorang pun akan mati, hanya kapal ini tidak dapat diselamatkan. 23 Saya berkata demikian kerana semalam Allah yang memiliki saya dan yang saya sembah, menyuruh malaikat-Nya datang kepada saya. 24 Malaikat itu berkata, `Janganlah takut, Paulus! Engkau akan menghadap Kaisar. Oleh sebab kebaikan hati Allah kepadamu, semua orang yang belayar denganmu akan selamat.' 25 Oleh itu tabahkanlah hati saudara-saudara. Saya percaya kepada Allah, bahawa segala-galanya akan berlaku seperti yang dikatakan-Nya kepada saya. 26 Tetapi kita akan terdampar di pantai suatu pulau.'' 27 Pada malam yang keempat belas, kami terapung-apung di Laut Tengah. Kira-kira tengah malam, anak kapal mengagak kapal sedang mendekati darat. 28 Oleh itu mereka melempar batu duga untuk mengukur dalamnya laut. Ternyata tempat itu sedalam kira-kira empat puluh meter. Tidak lama kemudian mereka mengukur lagi dan mendapati laut di tempat itu sedalam tiga puluh meter. 29 Mereka takut kapal akan terkandas pada batu karang. Oleh itu mereka menurunkan empat buah sauh dari buritan kapal, lalu berdoa agar fajar segera menyingsing. 30 Anak kapal cuba melarikan diri dari kapal. Mereka menurunkan sekoci ke laut lalu berpura-pura hendak menurunkan sauh dari bahagian depan kapal. 31 Tetapi Paulus berkata kepada pegawai tentera dan askar-askar di kapal itu, "Jika anak kapal tidak tinggal di kapal, saudara semua tidak boleh selamat.'' 32 Oleh itu askar-askar mengerat tali yang mengikat sekoci lalu membiarkan sekoci itu hanyut. 33 Sebelum fajar menyingsing, Paulus memohon supaya mereka semua makan. Paulus berkata, "Sudah empat belas hari saudara-saudara menunggu-nunggu dalam keadaan tegang, dan selama itu tidak makan apa-apa. 34 Oleh itu saya menggesa saudara-saudara supaya makan. Saudara semua memerlukan tenaga untuk menyelamatkan diri; saudara semua akan selamat dan tidak cedera.'' 35 Setelah itu Paulus mengambil roti, lalu mengucap syukur kepada Allah di hadapan mereka semua. Kemudian Paulus membahagi roti itu dan mula makan. 36 Semangat mereka pulih, lalu mereka pun makan. 37 Bilangan orang di kapal itu 276 orang. 38 Setelah semua orang makan dengan secukupnya, mereka membuang muatan gandum ke laut, supaya kapal menjadi ringan. 39 Apabila hari sudah siang, anak kapal melihat pantai, tetapi mereka tidak mengenal teluk itu. Jika dapat mereka bercadang hendak mendarat di situ. 40 Oleh itu mereka memotong tali sauh dan membiarkan semua sauh tenggelam di laut. Mereka juga membuka tali yang mengikat kemudi. Kemudian mereka menaikkan layar di haluan kapal supaya angin meniup kapal itu ke hadapan dan menuju ke pantai. 41 Tetapi kapal itu melanggar tebing pasir. Bahagian depan kapal itu terkandas lalu tidak dapat bergerak, sedangkan bahagian belakang kapal hancur dipukul ombak yang kuat. 42 Askar-askar di kapal bercadang membunuh semua orang tahanan, supaya orang tahanan tidak dapat berenang ke darat lalu melarikan diri. 43 Tetapi pegawai tentera itu mahu menyelamatkan Paulus, maka dia melarang mereka melakukan hal itu. Sebaliknya dia memerintahkan semua orang yang dapat berenang supaya terjun terlebih dahulu dan berenang ke pantai. 44 Yang lain menyusul dengan bergayut pada papan atau pecahan kapal itu. Dengan cara demikian kami semua selamat sampai ke darat.

Kisah Rasul-Rasul 28

1 Setelah kami mendarat dengan selamat, baru kami tahu bahawa pulau itu bernama Malta. 2 Penduduk pulau itu sangat mesra dengan kami. Hujan mula turun dan udara pun sejuk. Oleh itu mereka menyalakan api dan menyambut kami semua. 3 Paulus mengumpulkan kayu dan ketika dia meletakkan kayu di atas api, seekor ular keluar kerana bahang api itu lalu memagut tangan Paulus. 4 Apabila penduduk pulau itu melihat ular terjuntai pada tangan Paulus, mereka bercakap sesama sendiri, "Orang ini tentu pembunuh, tetapi dewi yang bernama Keadilan tidak membenarkan dia hidup, meskipun dia selamat daripada bahaya di laut.'' 5 Tetapi Paulus mengibaskan ular daripada tangannya sehingga ular itu jatuh ke dalam api, dan Paulus tidak cedera. 6 Mereka menjangka tangan Paulus akan bengkak, atau tiba-tiba dia akan rebah mati. Tetapi setelah menunggu beberapa lama dan tidak ada sesuatu yang luar biasa berlaku kepadanya, mereka berubah fikiran lalu berkata bahawa Paulus itu dewa. 7 Tidak jauh dari tempat itu terdapat tanah yang dimiliki oleh Publius, gabenor pulau itu. Dia menyambut kami dengan baik dan selama tiga hari kami menjadi tetamunya. 8 Pada masa itu bapanya sedang demam dan menderita cirit-birit. Paulus masuk ke biliknya, lalu berdoa sambil meletakkan tangannya pada bapa yang sakit itu dan sembuhlah dia. 9 Kerana peristiwa itu, semua orang sakit di pulau itu datang kepada Paulus, dan mereka semua disembuhkan. 10 Mereka memberi kami banyak hadiah, dan apabila kami hendak belayar, mereka membawa bekalan ke kapal bagi perjalanan kami. 11 Tiga bulan kemudian kami belayar dari pulau itu dengan kapal dari Aleksandria yang menggunakan lambang "Dewa Kembar''. Kapal itu sudah berlabuh di pulau itu sepanjang musim sejuk. 12 Kami tiba di kota Sirakusa dan tinggal di situ selama tiga hari. 13 Dari situ kami belayar lagi dan tiba di kota Regium. Keesokan harinya angin mula bertiup dari selatan dan dalam dua hari kami tiba di kota Putioli. 14 Di situ kami berjumpa dengan beberapa orang yang percaya kepada Yesus, dan dengan jemputan mereka kami tinggal dengan mereka selama seminggu. Lalu tibalah kami di Roma. 15 Pengikut Yesus di Roma mendengar khabar tentang kami. Mereka datang sampai ke Pasar Apius dan ke Penginapan Tiga untuk menyambut kami. Apabila Paulus berjumpa dengan mereka, dia bersyukur kepada Allah kerana hal itu menggalakkan dia. 16 Apabila kami tiba di Roma, Paulus dibenarkan tinggal seorang diri dengan dikawal oleh seorang askar. 17 Selepas tiga hari, Paulus memanggil pemimpin-pemimpin orang Yahudi tempatan. Sesudah mereka berkumpul, dia berkata kepada mereka, "Saudara-saudara orang Yahudi, saya tidak bersalah apa-apa terhadap bangsa kita atau melanggar adat resam yang kita terima daripada nenek moyang kita. Meskipun demikian saya ditangkap di Yerusalem dan diserahkan kepada bangsa Roma. 18 Setelah memeriksa perkara saya, orang Roma hendak membebaskan saya kerana mereka tidak mendapati saya melakukan kesalahan yang patut dihukum dengan hukuman mati. 19 Tetapi orang Yahudi menentang keputusan itu, dan saya terpaksa mengajukan rayuan supaya diadili oleh Kaisar Roma, meskipun saya tidak mempunyai tuduhan terhadap bangsa saya sendiri. 20 Itulah sebabnya saya minta berjumpa dengan saudara-saudara supaya boleh bercakap dengan saudara semua. Sebenarnya saya dibelenggu seperti ini, kerana Dia yang diharapkan oleh bangsa Israel.'' 21 Lalu mereka berkata kepadanya, "Kami belum menerima sepucuk surat pun dari Yudea tentang perkara saudara. Tiada seorang pun daripada mereka yang datang membawa khabar tentang saudara, atau bercakap buruk tentang saudara. 22 Tetapi kami ingin mendengar pendapat saudara, kerana kami tahu bahawa orang di serata tempat mencela kumpulan yang saudara anggotai.'' 23 Oleh itu mereka dan Paulus menetapkan satu hari untuk bertemu. Pada hari itu banyak orang datang ke tempat tinggal Paulus. Dari pagi hingga petang Paulus menjelaskan ajarannya tentang Pemerintahan Allah. Dia berusaha untuk meyakinkan mereka tentang Yesus dengan menggunakan ayat-ayat dari Taurat Musa dan Kitab Nabi-Nabi. 24 Ada orang yang percaya kepada apa yang dikatakan oleh Paulus, tetapi ada juga yang tidak percaya. 25 Dengan pendirian yang berlainan mereka meninggalkan tempat itu, kerana Paulus mengatakan hal ini kepada mereka, "Memang benar apa yang dikatakan oleh Roh Allah melalui Nabi Yesaya kepada nenek moyang saudara-saudara! 26 Allah berfirman, `Pergilah dan katakan hal ini kepada bangsa ini: Kamu akan mendengar dan mendengar, tetapi tidak faham; kamu akan melihat dan melihat, tetapi tidak nampak, 27 kerana seolah-olah fikiran bangsa ini tumpul, telinga pekak, dan mata buta. Jika mereka tidak demikian, tentu mata mereka akan melihat, telinga akan mendengar, dan fikiran boleh mengerti, sehingga mereka akan kembali kepada-Ku, dan Aku pun akan menyembuhkan mereka.' '' 28 Akhirnya Paulus berkata, "Saudara-saudara harus tahu bahawa perkhabaran tentang penyelamatan yang dikurniakan oleh Allah, sekarang sudah dikhabarkan kepada orang bukan Yahudi. Mereka akan menerimanya!'' 29 Setelah Paulus berkata demikian, orang Yahudi meninggalkan tempat itu sambil bertengkar sesama sendiri dengan sengit. 30 Selama dua tahun Paulus tinggal di Roma, di rumah yang disewanya sendiri. Dia menyambut sesiapa sahaja yang datang melawatnya. 31 Dengan kebebasan dan keberanian, Paulus mengkhabarkan ajaran tentang Pemerintahan Allah, dan memberikan ajaran tentang Tuhan Yesus Kristus.

Roma 1

1 Surat ini daripada Paulus, hamba Kristus Yesus, dan rasul yang dipilih serta dipanggil oleh Allah, untuk mengisytiharkan Berita Baik daripada Allah. 2 Berita Baik itu telah dijanjikan oleh Allah sejak dahulu kala melalui nabi-nabi-Nya, dan janji itu tertulis di dalam Alkitab. 3 Berita Baik itu tentang Anak Allah, Tuhan kita Yesus Kristus. Sebagai manusia, Dia keturunan Daud, 4 tetapi sebagai ilahi, Dia ternyata Anak Allah, kerana dengan kuasa yang besar Allah membangkitkan-Nya daripada kematian. 5 Melalui Dia, Allah sudah menganugerahi aku tugas istimewa untuk menjadi seorang rasul, supaya aku dapat mengabdikan diri kepada Kristus dengan memimpin orang daripada semua bangsa agar percaya dan taat kepada-Nya. 6 Kamu yang tinggal di Roma juga termasuk dalam golongan mereka, kerana kamu pun sudah dipanggil oleh Allah untuk menjadi milik Yesus Kristus. 7 Oleh itu aku menulis surat ini kepada kamu semua di Roma yang dikasihi oleh Allah, dan yang sudah dipanggil oleh-Nya untuk menjadi umat-Nya. Semoga Allah Bapa kita dan Tuhan Yesus Kristus mengurniai kamu berkat dan kesejahteraan. 8 Mula-mula sekali, aku bersyukur kepada Allah melalui Yesus Kristus bagi kamu semua, kerana seluruh dunia mendengar bahawa kamu percaya kepada Yesus. 9 Aku sentiasa mengingat kamu, setiap kali aku berdoa. Allah saksiku bahawa apa yang aku katakan itu benar. Dialah Allah yang aku taati dengan sepenuh hati dalam hal mengisytiharkan Berita Baik tentang Anak-Nya. Aku berdoa supaya Allah mengizinkan aku melawat kamu. 11 Aku sangat ingin berjumpa dengan kamu, supaya aku dapat berkongsi berkat daripada Roh Allah dengan kamu, untuk menguatkan kamu. 12 Maksudku adalah supaya kepercayaanku kepada Yesus boleh menguatkan kamu, dan kepercayaan kamu kepada Yesus boleh menguatkan aku. 13 Saudara-saudaraku, ketahuilah bahawa sudah banyak kali aku bercadang hendak melawat kamu, tetapi selalu ada sahaja halangannya. Aku ingin supaya pelayananku di kalangan kamu berhasil, seperti pelayananku di kalangan orang bukan Yahudi di tempat lain. 14 Aku mempunyai kewajipan terhadap semua bangsa: yang beradab dan yang tidak beradab, yang berpendidikan dan yang tidak berpendidikan. 15 Itulah sebabnya aku ingin sekali mengisytiharkan Berita Baik itu kepada kamu juga, yang tinggal di Roma. 16 Aku yakin dengan sepenuhnya bahawa Berita Baik itu kuasa Allah yang menyelamatkan semua orang yang percaya kepada Yesus, mula-mula orang Yahudi, dan juga orang bukan Yahudi. 17 Berita Baik itu menunjukkan cara bagaimana hubungan manusia dengan Allah menjadi baik semula, 18 Dari syurga Allah menunjukkan kemurkaan-Nya terhadap segala dosa dan kejahatan manusia, kerana kejahatan menghalangi manusia untuk mengetahui ajaran benar tentang Allah. 19 Allah menghukum manusia, kerana apa yang dapat diketahui orang tentang Allah sudah jelas, oleh sebab Allah sendiri sudah menyatakannya. 20 Sejak Allah menciptakan dunia, sifat-sifat Allah yang tidak kelihatan, baik kuasa-Nya yang kekal mahupun keadaan-Nya sebagai Allah, dapat difahami oleh manusia melalui segala yang sudah diciptakan-Nya. Oleh itu manusia sama sekali tidak mempunyai dalih untuk membela diri. 21 Mereka mengenal Allah, tetapi mereka tidak menghormati Dia sebagai Allah. Mereka tidak bersyukur kepada-Nya. Sebaliknya mereka memikirkan perkara yang bukan-bukan, dan fikiran mereka dipenuhi kegelapan. 22 Mereka mengaku bijak, padahal mereka bodoh. 23 Mereka tidak menyembah Allah yang abadi, melainkan menyembah patung yang dibuat menurut rupa manusia yang fana, atau burung, atau binatang berkaki empat, ataupun binatang yang menjalar. 24 Itulah sebabnya Allah membiarkan mereka dikuasai oleh keinginan hati untuk melakukan perkara yang hina dan keji. Mereka melakukan hal-hal yang memalukan terhadap satu sama lain. 25 Mereka menukar ajaran benar daripada Allah dengan dusta. Mereka lebih suka menyembah dan mentaati apa yang diciptakan oleh Allah, daripada menyembah dan mentaati Allah yang menciptakan semuanya. Dialah yang seharusnya dipuji selama-lamanya! Amin. 26 Kerana manusia berbuat demikian, Allah menyerahkan mereka kepada hawa nafsu yang keji. Wanita melakukan hubungan jenis dengan sesama wanita, dan hal itu tidak sepatutnya dilakukan. 27 Begitu juga halnya dengan lelaki; mereka tidak lagi melakukan hubungan jenis dengan wanita, melainkan berahi terhadap sesama lelaki. Lelaki melakukan hubungan jenis dengan sesama lelaki, dan hal itu memalukan. Oleh itu mereka menerima hukuman yang setimpal dengan dosa mereka. 28 Kerana manusia tidak mahu mengakui Allah, Allah membiarkan fikiran mereka menjadi rosak, sehingga mereka melakukan hal-hal yang tidak senonoh. 29 Hati mereka penuh dengan kejahatan, kekejaman, ketamakan, kebusukan dan kedengkian, keinginan untuk membunuh, berkelahi, menipu, dan mendendam. Mereka suka mengumpat, 30 memburukkan nama orang lain; mereka sombong dan biadab, yang membenci Allah dan bercakap besar. Mereka memikirkan cara-cara baru untuk melakukan kejahatan. Mereka melawan ibu bapa, 31 tidak berakhlak, memungkiri janji, dan tidak berperikemanusiaan. 32 Mereka tahu bahawa menurut hukum Allah, orang yang berbuat semua itu harus dihukum mati. Namun demikian mereka terus-menerus melakukan hal-hal itu; bahkan mereka menyetujui orang lain yang berbuat demikian.

Roma 2

1 Oleh itu, sahabatku, siapakah kamu sehingga mahu menyalahkan orang lain? Kamu sama sekali tidak mempunyai dalih untuk membela diri. Hal itu demikian, kerana apabila kamu menyalahkan orang lain, lalu kamu sendiri melakukan perbuatan yang sama, kamu menjatuhkan hukuman kepada diri kamu sendiri. 2 Kita tahu bahawa keputusan Allah memang benar, apabila Dia menghukum orang yang berbuat demikian. 3 Tetapi sahabatku, kamu pun melakukan perkara-perkara yang kamu tuduhkan kepada orang lain. Kamu pasti tidak dapat melepaskan diri daripada hukuman Allah. 4 Kamu mungkin meremehkan kebaikan hati Allah, kemurahan hati-Nya, dan kesabaran-Nya yang tidak terhingga. Kamu tentu tahu bahawa Allah menunjukkan kebaikan hati-Nya kerana Dia mahu kamu bertaubat daripada dosa. 5 Kamu degil dan keras kepala. Oleh itu, kamu sendiri yang menjadikan hukuman kamu semakin berat pada Hari Kiamat apabila Allah menyatakan kemurkaan-Nya dan menjatuhkan hukuman yang adil. 6 Hal itu demikian, kerana Allah akan membalas setiap orang setimpal dengan perbuatannya. 7 Allah akan memberikan hidup sejati dan kekal kepada mereka yang sentiasa berbuat baik, dan mengharapkan kemuliaan, penghormatan, dan hidup yang kekal. 8 Tetapi mereka yang mementingkan diri sendiri dan menolak Allah supaya dapat melakukan kejahatan, akan ditimpa kemurkaan dan kemarahan Allah. 9 Setiap orang yang berbuat jahat akan menanggung kesengsaraan dan penderitaan: mula-mula orang Yahudi, dan juga orang bukan Yahudi. 10 Tetapi Allah akan memberikan kemuliaan, penghormatan, dan kesejahteraan kepada semua orang yang berbuat baik: mula-mula kepada orang Yahudi, dan juga kepada orang bukan Yahudi. 11 Hal itu demikian, kerana Allah menghakimi semua orang dengan adil. 12 Orang bukan Yahudi tidak mempunyai Taurat Musa. Mereka berdosa dan binasa, tetapi mereka tidak dihukum menurut Taurat. Orang Yahudi mempunyai Taurat Musa. Mereka berdosa dan dihukum berdasarkan Taurat. 13 Hal itu demikian, kerana orang berbaik semula dengan Allah, bukan dengan mendengar Taurat, tetapi dengan melakukan apa yang diperintahkan oleh Taurat. 14 Orang bukan Yahudi tidak mempunyai Taurat, tetapi apabila mereka dengan kemahuan sendiri melakukan apa yang diperintahkan oleh Taurat, hal itu menunjukkan bahawa mereka mengetahui apa yang patut dan yang tidak patut dilakukan, walaupun mereka tidak mempunyai Taurat. 15 Kelakuan mereka menunjukkan bahawa apa yang diperintahkan oleh Taurat tertulis di dalam hati mereka. Hati nurani mereka pun membuktikan hal itu, kerana fikiran mereka kadangkala menyalahkan dan kadangkala membenarkan perbuatan mereka. 16 Oleh itu, menurut Berita Baik yang aku khabarkan, hal itu akan berlaku pada Hari Kiamat apabila melalui Yesus Kristus, Allah akan menghakimi segala rahsia hati dan fikiran manusia. 17 Bagaimana dengan kamu sendiri? Kamu mengaku kamu orang Yahudi. Kamu bergantung kepada Taurat Musa dan membanggakan hubungan kamu dengan Allah. 18 Kamu mengetahui kehendak Allah, dan dengan mempelajari Taurat kamu sepatutnya tahu memilih apa yang baik. 19 Kamu yakin bahawa kamulah pemimpin orang buta dan kamu cahaya kepada mereka yang dalam kegelapan. 20 Kamu pendidik kepada orang yang bodoh, dan guru kepada orang yang belum matang. Kamu yakin bahawa di dalam Taurat, kamu mempunyai segala pengetahuan dan ajaran yang benar. 21 Kamu mengajar orang lain, tetapi mengapa kamu tidak mengajar diri sendiri? Kamu berkata, "Jangan mencuri'' -- tetapi mengapa kamu sendiri mencuri? 22 Kamu berkata, "Jangan berzina'' -- tetapi mengapa kamu sendiri berzina? Kamu membenci berhala, tetapi mengapa kamu merompak rumah berhala? 23 Kamu bangga kerana memiliki Taurat, tetapi mengapa kamu mempermalukan Allah dengan tidak mentaati perintah-Nya? 24 Di dalam Alkitab tertulis, "Kerana kamu, orang Yahudi, Allah dikufuri oleh orang bukan Yahudi.'' 25 Jika kamu taat kepada Taurat, sunat kamu itu berfaedah. Tetapi jika kamu tidak mematuhi Taurat, sunat kamu itu sia-sia. 26 Jika orang bukan Yahudi yang tidak bersunat, mematuhi Taurat, tidakkah Allah akan menganggap mereka sebagai orang yang bersunat? 27 Oleh itu kamu orang Yahudi akan disalahkan oleh orang bukan Yahudi, kerana kamu yang mempunyai kitab Taurat dan yang bersunat, melanggar Taurat. Sedangkan mereka yang tidak bersunat, taat kepada Taurat. 28 Siapakah orang Yahudi sejati yang betul-betul bersunat? Mereka bukanlah orang yang pada nama sahaja orang Yahudi dan yang bersunat secara lahir sahaja. 29 Sebaliknya orang Yahudi sejati adalah orang yang berjiwa Yahudi dan hati mereka bersunat. Semua itu dilakukan oleh Roh Allah dan bukan oleh apa yang tertulis di dalam Taurat. Orang seperti itu menerima pujian daripada Allah, bukan daripada manusia.

Roma 3

1 Jika demikian, adakah keuntungannya menjadi orang Yahudi? Adakah faedahnya bersunat? 2 Tentu banyak faedahnya! Pada mulanya Allah mengamanahkan firman-Nya kepada orang Yahudi. 3 Tetapi bagaimana halnya jika sebahagian daripada orang Yahudi tidak setia? Adakah kerana hal itu Allah menjadi tidak setia? 4 Tentu tidak! Allah sentiasa benar, walaupun setiap orang berdusta. Sebagaimana yang tertulis di dalam Alkitab, "Apabila Engkau berfirman, setiap orang pasti tahu bahawa Engkau benar; apabila Engkau dituduh, Engkau sentiasa menang.'' 5 Tetapi jika kejahatan kita menjadikan keadilan Allah semakin nyata, apakah yang akan kita katakan? Adakah Allah tidak adil apabila Dia menghukum kita? (Di sini aku bercakap secara manusia.) 6 Sekali-kali tidak! Jika Allah tidak adil, bagaimanakah Dia dapat menghakimi dunia ini? 7 Jika perbuatanku yang tidak benar, menyebabkan apa yang benar tentang Allah semakin nyata, sehingga Dia dipermuliakan, mengapa aku disalahkan sebagai orang berdosa? 8 Mengapa kita tidak berkata, "Marilah kita lakukan kejahatan supaya timbul kebaikan''? Sebenarnya ada beberapa orang yang menghina aku dengan tuduhan bahawa aku mengatakan demikian. Allah akan menghukum mereka dengan sepatutnya. 9 Baiklah, adakah kedudukan kita sebagai orang Yahudi lebih baik daripada kedudukan orang bukan Yahudi? Sekali-kali tidak! Sudah aku jelaskan bahawa semua orang dikuasai dosa, baik orang Yahudi mahupun orang bukan Yahudi. 10 Seperti yang tertulis di dalam Alkitab, "Tidak seorang pun yang benar di sisi Allah, 11 tidak seorang pun yang memahami apa yang benar, dan tidak seorang pun menyembah Allah. 12 Semua orang sudah menjauhkan diri daripada Allah; semuanya sudah sesat. Tidak seorang pun berbuat benar; seorang pun tidak! 13 Kata-kata dari mulut mereka menyebabkan kematian, tipu muslihat mengalir dari lidah mereka, dan fitnah seperti bisa ular tersembur dari bibir mereka; 14 mulut mereka penuh dengan kutuk dan cerca. 15 Mereka cepat mencederakan dan membunuh orang; 16 mereka menyebabkan kebinasaan dan kehancuran di mana-mana. 17 Mereka tidak mengikut jalan kedamaian, 18 dan mereka pun tidak menghormati Allah.'' 19 Sekarang kita tahu bahawa semua yang tertulis di dalam Taurat adalah bagi mereka yang hidup di bawah Taurat. Dengan demikian tidak seorang pun dapat berdalih, dan semua orang di dunia akan diadili oleh Allah. 20 Jika seseorang melakukan apa yang diwajibkan oleh Taurat, hal itu tidak bererti dia berbaik semula dengan Allah. Sebaliknya Taurat hanya menunjukkan manusia bahawa mereka berdosa. 21 Tetapi sekarang Allah sudah menunjukkan jalan bagaimana manusia dapat berbaik semula dengan-Nya. Hal itu tidak ada kaitannya dengan hukum, walaupun Taurat dan Kitab Nabi-Nabi menyatakan hal itu. 22 Allah memungkinkan orang berbaik semula dengan Dia, hanya melalui kepercayaan mereka kepada Yesus Kristus. Allah melakukan hal itu untuk semua orang yang percaya kepada Kristus, kerana tidak ada perbezaan antara orang Yahudi dengan orang bukan Yahudi: 23 Semua orang sudah berdosa dan jauh daripada Allah yang menyelamatkan mereka. 24 Tetapi oleh rahmat Allah yang dikurniakan dengan percuma, hubungan manusia dengan Allah menjadi baik semula, melalui Yesus Kristus yang membebaskan mereka. 25 Allah mempersembahkan Yesus Kristus sebagai korban supaya dengan kematian Yesus, dosa orang diampunkan apabila mereka percaya kepada-Nya. Allah berbuat demikian untuk menunjukkan keadilan-Nya. Pada masa lampau, Allah bersabar terhadap dosa manusia, sehingga tidak menghukum orang. 26 Tetapi sekarang Dia bertindak terhadap dosa untuk menyatakan keadilan-Nya. Dengan cara itu Allah menunjukkan bahawa Dia adil, dan bahawa Dia menyatakan semua orang yang percaya kepada Yesus sebagai orang yang sudah berbaik semula dengan Allah. 27 Oleh itu kita tidak mempunyai apa pun yang dapat kita banggakan! Mengapa demikian? Adakah kerana kita mentaati Taurat? Tidak, tetapi kerana kita percaya. 28 Kesimpulannya begini: seseorang berbaik semula dengan Allah, kerana dia percaya kepada Yesus Kristus, dan bukan kerana dia melakukan apa yang diwajibkan oleh Taurat. 29 Adakah Allah itu Allah orang Yahudi sahaja? Tentu tidak. Dia Allah orang bukan Yahudi juga! 30 Allah hanya satu. Dia memungkinkan orang Yahudi berbaik semula dengan Allah, kerana mereka percaya kepada Yesus Kristus. Dia juga yang memungkinkan orang bukan Yahudi berbaik semula dengan Allah, kerana mereka percaya kepada Yesus Kristus. 31 Adakah hal ini bererti bahawa kerana kita percaya kepada Yesus Kristus, kita boleh memansuhkan Taurat? Tentu tidak! Sebaliknya kita mendukung Taurat.

Roma 4

1 Jika demikian apakah yang dapat kita katakan tentang Abraham, nenek moyang bangsa kita? Bagaimanakah pengalamannya? 2 Jika Abraham diterima oleh Allah sebagai orang yang sudah berbaik semula dengan-Nya kerana hal-hal yang dilakukan oleh Abraham, maka Abraham boleh berbangga. Tetapi dia tidak dapat berbangga di sisi Allah. 3 Di dalam Alkitab tertulis, "Abraham percaya kepada Allah, dan kerana kepercayaannya dia diterima oleh Allah sebagai orang yang sudah berbaik semula dengan Allah.'' 4 Seorang yang bekerja, biasanya menerima gaji, dan gajinya itu tidak dianggap sebagai suatu pemberian, kerana gaji itu haknya. 5 Tetapi seseorang yang percaya kepada Allah tidak bergantung kepada usahanya sendiri. Orang itu percaya kepada Allah yang menyatakan orang berdosa bebas daripada dosa. Kepercayaan orang itu menyebabkan dia diterima oleh Allah sebagai orang yang sudah berbaik semula dengan-Nya. 6 Itulah yang dimaksudkan oleh Daud apabila dia berkata tentang kebahagiaan orang yang diterima oleh Allah sebagai orang yang sudah berbaik semula dengan Allah, walaupun mereka tidak melakukan apa-apa supaya diterima oleh Allah. Daud berkata, 7 "Berbahagialah orang yang kesalahan mereka diampuni oleh Allah, dan dosa mereka dihapuskan oleh Allah! 8 Berbahagialah dia yang dosanya tidak diperhitungkan oleh Allah!'' 9 Adakah kebahagiaan yang dimaksudkan Daud itu hanya dikhaskan untuk orang yang bersunat? Tentu tidak. Kebahagiaan itu juga untuk orang yang tidak bersunat. Hal ini demikian, kerana sudah kami katakan sebelumnya bahawa, "Abraham percaya kepada Allah, dan kerana kepercayaannya dia diterima oleh Allah sebagai orang yang sudah berbaik semula dengan Allah.'' 10 Bilakah perkara itu berlaku? Sebelum atau sesudah Abraham bersunat? Sebelum Abraham bersunat. 11 Abraham bersunat kemudian, dan sunatnya itu satu tanda untuk membuktikan bahawa Allah sudah menerima dia sebagai orang yang sudah berbaik semula dengan Allah, kerana Abraham percaya kepada-Nya. Demikianlah Abraham menjadi seperti bapa kepada semua orang yang percaya kepada Allah dan yang diterima oleh Allah sebagai orang yang sudah berbaik semula dengan-Nya, walaupun mereka tidak bersunat. 12 Abraham juga menjadi seperti bapa kepada orang yang bersunat dan yang hidup dengan kepercayaan kepada Allah, seperti bapa kita Abraham sebelum dia bersunat. 13 Allah berjanji kepada Abraham dan keturunannya bahawa dunia ini akan menjadi milik mereka. Allah berjanji demikian bukan kerana Abraham taat kepada Taurat, tetapi kerana dia percaya kepada Allah sehingga dia diterima oleh Allah sebagai orang yang sudah berbaik semula dengan-Nya. 14 Jika apa yang dijanjikan oleh Allah hanya diberikan kepada orang yang taat kepada Taurat, maka tidak ada gunanya orang percaya kepada Allah, dan janji Allah pun sia-sia. 15 Taurat mendatangkan kemurkaan Allah. Tetapi jika tidak ada hukum, maka pelanggaran pun tidak ada. 16 Janji Allah itu berdasarkan kepercayaan orang kepada Allah. Dengan demikian, janji itu dijamin sebagai kurnia Allah yang diberikan dengan percuma kepada semua keturunan Abraham, baik orang yang taat kepada Taurat, mahupun orang yang percaya kepada Allah seperti Abraham percaya kepada-Nya. Hal ini demikian kerana Abraham menjadi seperti bapa kepada kita semua. 17 Di dalam Alkitab tertulis bahawa Allah berfirman kepada Abraham, "Aku sudah menjadikan engkau bapa kepada banyak bangsa.'' Demikianlah Allah memberikan janji itu kepada Abraham dan Abraham percaya kepada-Nya. Dialah Allah yang menghidupkan orang mati, dan juga Allah yang dengan firman-Nya mewujudkan apa yang tidak wujud. 18 Abraham tetap percaya dan berharap bahkan pada masa tidak ada harapan lagi baginya. Itulah sebabnya Allah menjadikan dia bapa kepada banyak bangsa. Seperti yang tertulis di dalam Alkitab, "Keturunanmu akan menjadi banyak sekali.'' 19 Pada waktu itu umur Abraham sudah hampir seratus tahun. Dia tahu bahawa dia tidak mungkin mendapat keturunan, kerana badannya sudah sangat tua dan Sara, isterinya mandul. Tetapi walaupun demikian, dia tidak ragu akan janji Allah, dan imannya pun tidak menjadi lemah. Sebaliknya imannya menjadikan dia bertambah kuat, dan dia memuji-muji Allah. 21 Abraham betul-betul yakin bahawa Allah sanggup melakukan apa yang sudah dijanjikan-Nya. 22 Itulah sebabnya Abraham "diterima sebagai orang yang sudah berbaik semula dengan Allah'', kerana dia percaya kepada Allah. 23 Kata-kata -- "diterima sebagai orang yang sudah berbaik semula dengan Allah'' -- tertulis bukan hanya untuk Abraham, 24 tetapi untuk kita juga. Kita pun akan diterima sebagai orang yang sudah berbaik semula dengan Allah, apabila kita percaya kepada Allah yang membangkitkan Yesus, Tuhan kita daripada kematian. 25 Yesus diserahkan untuk dibunuh kerana dosa kita; Dia dibangkitkan supaya kita boleh berbaik semula dengan Allah.

Roma 5

1 Sekarang kita sudah berbaik semula dengan Allah kerana kita percaya kepada-Nya. Oleh itu kita hidup dalam kedamaian dengan Allah melalui Yesus Kristus, Tuhan kita. 2 Yesus membolehkan kita mengalami rahmat Allah, kerana kita percaya kepada Yesus dan sekarang kita menghayati rahmat itu. Oleh itu, kita membanggakan harapan untuk beroleh bahagian dalam kemuliaan Allah. 3 Kita juga membanggakan penderitaan kita, kerana kita tahu bahawa penderitaan menghasilkan ketekunan. 4 Ketekunan menyebabkan kita diperkenankan oleh Allah. Oleh itu kita mempunyai harapan. 5 Harapan itu tidak akan mengecewakan kita, kerana Allah sudah mencurahkan kasih-Nya ke dalam hati kita. Allah melakukan hal itu dengan perantaraan Roh-Nya, yang sudah dikurniakan-Nya kepada kita. 6 Semasa kita dalam keadaan tidak berdaya, Kristus mati pada masa yang ditetapkan oleh Allah untuk menyelamatkan kita, orang yang jahat. 7 Susahlah orang mahu mati bagi orang yang mentaati hukum agama. Mungkin ada orang yang bersedia mati bagi orang yang baik hati. 8 Tetapi Allah telah menunjukkan betapa besarnya kasih-Nya kepada kita, kerana Kristus mati bagi kita semasa kita masih berdosa. 9 Melalui kematian Kristus, kita sekarang berbaik semula dengan Allah. Oleh itu kita pasti akan diselamatkan oleh Kristus daripada kemurkaan Allah kelak. 10 Dahulu kita bermusuhan dengan Allah, tetapi Allah menjadikan kita sahabat-sahabat-Nya melalui kematian Anak-Nya. Sekarang sebagai sahabat-sahabat Allah, kita pasti akan diselamatkan kerana Kristus hidup. 11 Bukan itu sahaja; kita pun bersukacita kerana apa yang sudah dilakukan oleh Allah melalui Tuhan kita Yesus Kristus. Melalui Kristus, kita sekarang dijadikan sahabat-sahabat Allah. 12 Dosa masuk ke dalam dunia melalui satu orang, dan dosa orang itu membawa kematian. Akibatnya maut menjangkiti segenap umat manusia, kerana semua orang berdosa. 13 Dosa sudah ada di dalam dunia sebelum Taurat diberikan. Tetapi jika tidak ada hukum, dosa tidak diperhitungkan. 14 Sungguhpun demikian, dari zaman Adam sampai kepada zaman Musa, maut menguasai segenap umat manusia, termasuk orang yang tidak berbuat dosa seperti yang dilakukan oleh Adam ketika dia melanggar perintah Allah. Adam itu gambaran daripada Dia yang akan datang kemudian. 15 Tetapi kedua-dua mereka tidak sama, kerana anugerah Allah sangat berbeza dengan dosa Adam. Memang betul bahawa banyak orang mati akibat dosa satu orang itu. Tetapi jauh lebih besar lagi akibat daripada rahmat Allah dan anugerah penyelamatan-Nya yang diberikan kepada banyak orang melalui rahmat satu orang, iaitu Yesus Kristus. 16 Anugerah Allah juga jauh lebih besar daripada dosa satu orang itu. Setelah satu orang itu berdosa, Allah memberikan keputusan "Bersalah''. Tetapi setelah banyak orang berbuat dosa, Allah mengurniakan anugerah-Nya dengan menyatakan mereka, "Tidak bersalah!'' 17 Memang betul bahawa melalui satu orang itu, maut mula berkuasa kerana dosa satu orang itu. Tetapi lebih besar lagi hal yang dicapai oleh satu orang lain, iaitu Yesus Kristus. Melalui Dia, Allah melimpahkan rahmat-Nya kepada banyak orang, dan dengan anugerah-Nya mereka dapat berbaik semula dengan Allah, serta akan hidup dan berkuasa melalui Kristus. 18 Oleh itu sebagaimana umat manusia dihukum kerana dosa satu orang; dengan cara yang sama semua orang dibebaskan daripada kesalahan dan diberikan hidup, kerana perbuatan satu orang yang melakukan kehendak Allah. 19 Sebagaimana semua orang menjadi orang berdosa kerana satu orang tidak taat, demikian juga orang dapat berbaik semula dengan Allah, kerana satu orang taat kepada Allah. 20 Taurat diberikan oleh Allah. Tetapi apabila manusia semakin berusaha untuk mentaati Taurat, mereka semakin melanggarnya dan berdosa terhadap Allah. Tetapi apabila dosa bertambah, rahmat Allah pun semakin bertambah. 21 Oleh itu sebagaimana orang harus mati kerana berbuat dosa, demikian juga rahmat Allah berkuasa untuk membolehkan kita berbaik semula dengan Allah, sehingga kita beroleh hidup sejati dan kekal melalui Yesus Kristus, Tuhan kita.

Roma 6

1 Jika demikian, apakah yang harus kita katakan? Haruskah kita terus-menerus berbuat dosa supaya rahmat Allah semakin bertambah? 2 Tentu tidak! Dosa tidak lagi berkuasa atas kita. Oleh itu bagaimanakah kita dapat terus-menerus melakukan dosa dalam hidup kita? 3 Tidakkah kamu tahu bahawa pada masa kita dibaptis, kita dipersatukan dengan Kristus Yesus? Hal ini bererti kita dipersatukan dengan kematian-Nya. 4 Dengan baptisan itu, kita dikubur dengan Kristus dan ikut mati bersama-sama Dia, supaya sebagaimana Kristus dibangkitkan daripada kematian oleh kuasa Bapa yang mulia, kita pun dapat mengamalkan hidup yang baru. 5 Jika kita sudah dipersatukan dengan Kristus kerana kita ikut mati dengan Dia, maka kita akan dipersatukan dengan Dia juga kerana kita ikut dihidupkan semula seperti Dia. 6 Kita tahu bahawa tabiat kita yang lama sudah disalibkan bersama-sama Kristus, supaya kuasa tabiat kita yang berdosa itu dimusnahkan, dan kita tidak akan diperhamba oleh dosa lagi. 7 Hal itu demikian, kerana apabila seseorang mati, dia dibebaskan daripada kuasa dosa. 8 Jika kita sudah mati bersama-sama Kristus, kita percaya bahawa kita pun akan hidup bersama-sama Dia. 9 Hal itu demikian, kerana kita tahu bahawa Kristus sudah dibangkitkan daripada kematian. Dia tidak akan mati lagi; kematian tidak berkuasa atas-Nya lagi. 10 Kematian Kristus itu kematian terhadap dosa. Perkara itu berlaku satu kali sahaja untuk selama-lamanya. Tetapi hidup-Nya sekarang adalah hidup bagi Allah. 11 Kamu juga harus menganggap diri kamu mati terhadap dosa, tetapi hidup erat dengan Allah melalui Kristus Yesus. 12 Janganlah biarkan dosa menguasai hidup kamu yang fana, supaya kamu tidak mengikut keinginan hati yang jahat. 13 Janganlah serahkan sebarang anggota tubuh kamu kepada kuasa dosa untuk digunakan bagi tujuan yang jahat. Sebaliknya, serahkanlah diri kamu kepada Allah sebagai orang yang dahulunya mati, tetapi sekarang telah dihidupkan oleh Allah. Serahkanlah segenap diri kamu kepada Allah supaya Allah boleh menggunakan kamu untuk melakukan kehendak-Nya. 14 Dosa tidak boleh menguasai kamu, kerana kamu tidak lagi hidup di bawah Taurat, tetapi hidup di bawah rahmat Allah. 15 Apakah kesimpulannya sekarang? Bolehkah kita berdosa, kerana kita sekarang hidup di bawah rahmat Allah dan tidak di bawah kuasa Taurat? Tentu tidak! 16 Tentu kamu tahu bahawa jika kamu menghambakan diri kepada seseorang untuk melakukan kehendaknya, maka kamu menjadi hamba orang yang kamu taati: sama ada hamba kepada dosa yang mengakibatkan kematian, atau hamba kepada Allah yang dapat menjadikan kamu berbaik semula dengan Allah. 17 Tetapi bersyukurlah kepada Allah! Dahulu kamu diperhamba oleh dosa, tetapi sekarang dengan sepenuh hati kamu mentaati ajaran benar yang sudah diberikan kepada kamu. 18 Kamu sudah dibebaskan daripada dosa, lalu menjadi hamba kepada kehendak Allah. 19 Kerana kamu susah memahami sesuatu, aku menggunakan contoh perhambaan. Dahulu kamu menyerahkan segenap diri kamu sebagai hamba kepada hal-hal keji dan jahat untuk tujuan yang jahat. Demikian juga sekarang kamu harus menyerahkan segenap diri sebagai hamba kepada kehendak Allah untuk tujuan-tujuan-Nya yang khas. 20 Pada waktu kamu diperhamba oleh dosa, kamu tidak dikuasai oleh kehendak Allah. 21 Tetapi apakah faedah yang kamu terima daripada perbuatan yang sekarang menyebabkan kamu berasa malu? Perbuatan-perbuatan itu hanya mengakibatkan kematian! 22 Tetapi sekarang kamu sudah dibebaskan daripada dosa, dan menjadi hamba Allah. Faedahnya berupa kehidupan yang diabdikan kepada Allah dan hal ini menghasilkan hidup sejati dan kekal. 23 Kematian adalah upah dosa, tetapi hidup sejati dan kekal bersama-sama Kristus Yesus Tuhan kita adalah anugerah Allah.

Roma 7

1 Saudara-saudaraku, tentu kamu faham akan apa yang hendak aku katakan, kerana kamu semua memahami hukum. Seseorang berada di bawah kekuasaan hukum, hanya selama dia masih hidup. 2 Seorang wanita yang bersuami, umpamanya, terikat oleh hukum kepada suaminya hanya selama suaminya masih hidup. Tetapi jika suaminya meninggal, wanita itu bebas daripada hukum yang mengikatnya kepada suaminya. 3 Jika wanita itu hidup dengan lelaki lain semasa suaminya masih hidup, wanita itu dikatakan berzina. Tetapi jika suaminya meninggal, dari segi hukum, wanita itu sudah bebas. Jika dia berkahwin dengan lelaki lain, dia tidak berzina. 4 Saudara-saudaraku, begitu juga halnya dengan kamu. Dari segi Taurat, kamu sudah mati, kerana kamu sebahagian daripada tubuh Kristus. Kamu sekarang menjadi milik Dia yang sudah dibangkitkan daripada kematian, supaya kita menjadi berguna bagi Allah dalam kehidupan kita. 5 Dahulu kita hidup menurut tabiat manusia, dan pelbagai keinginan yang berdosa timbul dalam diri kita kerana adanya Taurat. Hal itu menyebabkan kita melakukan perkara-perkara yang mengakibatkan kematian. 6 Tetapi sekarang kita bebas daripada kuasa Taurat, kerana kita sudah mati terhadap Taurat yang dahulu menguasai kita. Kita tidak lagi mengabdikan diri dengan cara lama menurut hukum yang tertulis. Tetapi sekarang kita mengabdikan diri menurut cara baru yang ditunjukkan oleh Roh Allah. 7 Jika demikian, apakah yang dapat kita katakan? Adakah Taurat itu jahat? Tentu tidak! Tetapi Tauratlah yang menyebabkan aku tahu akan dosa. Jika Taurat tidak mengatakan, "Jangan tamak akan harta orang,'' aku tidak tahu akan ketamakan. 8 Melalui hukum itu, dosa mendapat peluang untuk membangkitkan pelbagai ketamakan dalam diriku. Jika tidak ada hukum agama, dosa tidak berkuasa. 9 Dahulu aku hidup tanpa hukum agama. Tetapi apabila aku mengetahui hukum itu, dosa mula berkuasa 10 dan aku pun mati. Hukum yang seharusnya menyebabkan aku hidup, malahan mendatangkan kematian. 11 Melalui hukum, dosa mendapat peluang untuk menipu dan membunuh aku. 12 Taurat berasal daripada Allah, dan setiap hukum berasal daripada Allah, maka setiap hukum adil dan baik. 13 Adakah hal ini bererti bahawa apa yang baik menyebabkan kematianku? Tentu tidak! Dosalah yang menyebabkan kematianku. Dengan menggunakan yang baik, dosa menyebabkan kematianku, supaya nyatalah sifat-sifat dosa. Melalui hukum, terbuktilah betapa jahatnya dosa. 14 Kita tahu bahawa Taurat berasal daripada Roh Allah; tetapi aku ini hanya manusia yang dijual sebagai hamba kepada dosa. 15 Aku tidak memahami perbuatanku sendiri. Perkara-perkara yang ingin aku lakukan, tidak aku lakukan; tetapi perkara-perkara yang aku benci, itulah yang aku lakukan. 16 Apabila aku melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan keinginanku, hal itu bererti aku mengakui bahawa Taurat itu baik. 17 Oleh itu sebenarnya bukan aku yang melakukan perkara-perkara itu, tetapi dosa yang menguasai diriku. 18 Aku tahu bahawa tidak ada sesuatu pun yang baik dalam diriku, ataupun dalam tabiatku sebagai manusia. Hal itu demikian kerana walaupun ada padaku keinginan untuk berbuat baik, tetapi aku tidak dapat melakukannya. 19 Aku tidak melakukan perkara baik yang ingin aku lakukan, sebaliknya aku melakukan perkara jahat yang tidak ingin aku lakukan. 20 Jika aku melakukan perkara-perkara yang tidak ingin aku lakukan, hal ini bererti bukan aku yang melakukannya, melainkan dosa yang menguasai diriku. 21 Oleh itu aku mendapati hukum ini berlaku: Apabila aku mahu melakukan yang baik, yang jahat sahaja menjadi pilihanku. 22 Batinku suka akan hukum daripada Allah. 23 Tetapi aku sedar bahawa dalam diriku ada hukum lain yang bertentangan dengan hukum yang diakui oleh akal budiku. Itulah sebabnya aku ditawan oleh hukum dosa yang menguasai diriku. 24 Beginilah keadaanku: aku mentaati hukum Allah dengan akal budi sahaja, sedangkan tabiatku sebagai manusia mengikut hukum dosa. Alangkah malangnya aku ini! Siapakah yang dapat menyelamatkan aku daripada tubuh ini yang membawa aku kepada kematian? Aku bersyukur kepada Allah; Dia menyelamatkan aku melalui Yesus Kristus!

Roma 8

1 Sekarang tidak ada lagi hukuman bagi mereka yang hidup bersatu dengan Kristus Yesus. 2 Hal itu demikian kerana hukum Roh Allah yang menyebabkan kita hidup bersatu dengan Kristus Yesus, sudah membebaskan aku daripada hukum dosa dan kematian. 3 Perkara yang gagal dilakukan oleh Taurat kerana tabiat manusia lemah, sudah dilakukan oleh Allah. Allah mengalahkan kuasa dosa yang ada dalam tabiat manusia dengan mengutus Anak-Nya sendiri, yang datang dalam keadaan manusia yang cenderung berbuat dosa, untuk menghapuskan dosa. 4 Allah berbuat demikian supaya kehendak-Nya yang dinyatakan di dalam Taurat dapat kita lakukan dengan sepenuhnya dalam hidup kita yang menurut kehendak Roh Allah, dan bukan menurut kehendak tabiat manusia. 5 Orang yang hidup menurut kehendak tabiat manusia, fikiran mereka dikuasai oleh tabiat manusia. Orang yang hidup menurut kehendak Roh Allah, fikiran mereka dikuasai oleh Roh Allah. 6 Jika fikiran kamu dikuasai oleh tabiat manusia, hal itu mengakibatkan kematian. Tetapi jika fikiran kamu dikuasai oleh Roh Allah, Allah akan mengurniai kamu hidup dan kedamaian. 7 Seseorang yang fikirannya dikuasai oleh tabiat manusia, menjadi musuh Allah. Orang itu tidak mentaati hukum Allah, dan sebenarnya dia tidak dapat mentaati hukum Allah. 8 Orang yang hidup menurut tabiat manusia, tidak dapat menyenangkan hati Allah. 9 Tetapi kamu tidak lagi hidup menurut tabiat manusia. Kamu hidup menurut kehendak Roh Allah -- jika Roh Allah menguasai hidup kamu. Sesiapa tidak mempunyai Roh Kristus, orang itu bukan milik Kristus. 10 Tetapi jika Kristus hidup dalam diri kamu, Roh Allah mengurniakan hidup kepada kamu, 11 Jika Roh Allah yang membangkitkan Kristus daripada kematian, hidup dalam diri kamu, Dia yang membangkitkan Kristus daripada kematian itu, juga akan menghidupkan badan kamu yang fana. Dia melakukannya dengan Roh-Nya yang hidup dalam diri kamu. 12 Oleh itu saudara-saudaraku, inilah kewajipan kita: Kita tidak boleh hidup menurut kehendak tabiat manusia. 13 Jika kamu hidup menurut tabiat manusia, kamu akan mati; tetapi jika dengan kuasa Roh Allah kamu mematikan semua perbuatan kamu yang berdosa, kamu akan hidup. 14 Orang yang dipimpin oleh Roh Allah ialah anak-anak Allah. 15 Roh yang dikurniakan oleh Allah kepada kamu tidak memperhamba kamu, sehingga kamu hidup dalam ketakutan. Sebaliknya Roh Allah menjadikan kamu anak-anak Allah, dan dengan kuasa Roh Allah kita memanggil Allah "Bapa, ya Bapaku!'' 16 Roh Allah bersama dengan roh kita menyatakan bahawa kita anak-anak Allah. 17 Kerana kita anak-anak Allah, kita akan menerima berkat-berkat yang disediakan oleh Allah untuk umat-Nya. Bersama dengan Kristus, kita juga akan menerima segala yang sudah disediakan oleh Allah untuk Dia, kerana jika kita menderita bersama-sama Kristus, kita juga akan mendapat kemuliaan-Nya. 18 Pada pendapatku, segala penderitaan yang kita alami sekarang tidak dapat dibandingkan dengan kemuliaan yang akan ditunjukkan kepada kita. 19 Dengan penuh kerinduan, alam semesta menanti-nantikan masanya Allah menunjukkan anak-anak-Nya. 20 Alam semesta sudah dibiarkan menjadi sia-sia, bukan kerana kehendak sendiri, tetapi kerana Allah menetapkannya demikian. Meskipun demikian ada juga harapan 21 bahawa pada suatu hari alam semesta akan dibebaskan daripada kuasa yang menghancurkannya, lalu menikmati kebebasan dan kemuliaan dengan anak-anak Allah. 22 Kita tahu bahawa sehingga saat ini alam semesta merintih kesakitan seperti kesakitan yang dialami wanita yang bersalin. 23 Bukan sahaja alam semesta yang merintih, tetapi kita juga merintih dalam batin. Kita yang sudah menerima Roh Allah sebagai kurnia Allah yang pertama, pun masih menunggu masanya Allah menjadikan kita anak-anak-Nya dan membebaskan diri kita seluruhnya. 24 Kerana dengan berharap, kita diselamatkan. Tetapi jika kita boleh melihat apa yang kita harapkan, maka hal itu bukan lagi harapan. Siapakah mengharapkan sesuatu yang sudah dilihatnya? 25 Tetapi jika kita mengharapkan sesuatu yang belum kita lihat, kita menunggu dengan sabar. 26 Begitu juga Roh Allah datang menolong kita yang lemah ini. Kita tidak tahu bagaimana kita patut berdoa; Roh itu sendiri bermohon kepada Allah dengan erangan yang tidak dapat diutarakan dengan kata-kata. 27 Allah yang mengetahui isi hati manusia, mengerti apa yang dimaksudkan oleh Roh itu, kerana Roh itu bermohon kepada Allah bagi umat-Nya, sesuai dengan kehendak Allah. 28 Kita tahu bahawa Allah mengendalikan segala hal sehingga menghasilkan yang baik bagi orang yang mengasihi Dia dan yang sudah dipanggil-Nya sesuai dengan rancangan-Nya. 29 Mereka yang sudah dipilih oleh Allah, juga telah ditetapkan-Nya dari dahulu supaya menjadi seperti Anak-Nya, Yesus Kristus. Dengan demikian Anak itu menjadi yang pertama antara banyak saudara. 30 Begitulah Allah memanggil mereka yang telah ditetapkan-Nya dari dahulu; Allah membolehkan mereka yang dipanggil-Nya itu berbaik semula dengan Dia, dan Allah memberikan sebahagian daripada kemuliaan-Nya kepada mereka yang dibolehkan-Nya berbaik semula dengan Dia. 31 Oleh itu, apakah yang boleh kita katakan sekarang tentang semua itu? Jika Allah berpihak kepada kita, siapakah dapat melawan kita? 32 Allah tidak menghalang Anak-Nya mengalami penderitaan, tetapi mempersembahkan Anak-Nya sebagai korban untuk kita semua. Jika Allah mengurniai kita Anak-Nya sendiri, tidakkah Dia akan memberikan segala sesuatu yang lain? 33 Siapakah berani menuduh kita, umat yang sudah dipilih oleh Allah? Tiada seorang pun, kerana Allah sendiri menyatakan kita tidak bersalah. 34 Siapakah dapat menyalahkan kita? Tiada seorang pun, kerana Kristus Yesus membela kita! Dialah yang sudah mati, bahkan sudah dibangkitkan daripada kematian dan berada di sebelah kanan Allah. 35 Apakah yang dapat menghalang Kristus mengasihi kita? Tiada sesuatu pun dapat menghalang Kristus mengasihi kita: baik kesusahan, kesukaran, penganiayaan, kelaparan, kemiskinan, bahaya mahupun kematian. 36 Seperti yang tertulis di dalam Alkitab, "Sepanjang masa kami menghadapi bahaya maut kerana Engkau. Kami diperlakukan seperti domba yang akan disembelih.'' 37 Tidak! Dalam semuanya kita mendapat kemenangan yang sempurna daripada Dia yang mengasihi kita! 38 Aku yakin bahawa tiada sesuatu pun dapat menghalang Kristus mengasihi kita: baik kematian mahupun kehidupan, baik malaikat mahupun penguasa lain di angkasa, baik hal-hal yang berlaku sekarang mahupun pada masa yang akan datang; 39 baik hal-hal yang di langit mahupun yang di bumi -- tidak ada sesuatu pun di alam semesta yang dapat menghalang Allah mengasihi kita, seperti yang sudah ditunjukkan-Nya melalui Kristus Yesus, Tuhan kita!

Roma 9

1 Apa yang aku katakan ini benar; aku milik Kristus dan aku tidak berdusta. Hati nuraniku yang dikuasai oleh Roh Allah, juga meyakinkan aku bahawa aku tidak berdusta. 2 Aku sangat sedih dan menderita, 3 kerana saudara-saudaraku, orang yang sebangsa denganku. Bagi kepentingan mereka, aku rela dikutuk oleh Allah dan dipisahkan daripada Kristus. 4 Merekalah umat yang dipilih oleh Allah; Allah menjadikan mereka anak-Nya sendiri dan menunjukkan kemuliaan-Nya kepada mereka. Dia mengadakan perjanjian-perjanjian dengan mereka dan memberi mereka Taurat. Mereka diberitahu oleh Allah cara menyembah Dia dengan betul, dan mereka menerima janji-janji Allah. 5 Mereka keturunan nenek moyang kita yang terkemuka. Kristus, sebagai manusia, berasal daripada bangsa mereka. Hendaklah Allah yang menguasai segala sesuatu, dipuji selama-lamanya! Amin. 6 Aku tidak mengatakan bahawa apa yang dijanjikan oleh Allah tidak berlaku. Apa yang dijanjikan-Nya sudah berlaku, kerana bukan semua orang Israel umat yang dipilih-Nya. 7 Bukan semua keturunan Abraham anak-anak Allah. Allah berfirman kepada Abraham, "Hanya keturunan Ishak yang akan disebut keturunanmu.'' 8 Hal ini bererti bahawa tidak semua keturunan Abraham menjadi anak-anak Allah, tetapi hanya keturunan yang dilahirkan menurut janji Allah. 9 Hal itu demikian, kerana inilah yang difirmankan oleh Allah ketika Dia berjanji kepada Abraham, "Pada waktu yang ditetapkan, Aku akan kembali, dan Sara akan melahirkan seorang anak lelaki.'' 10 Bukan demikian sahaja. Kedua-dua anak lelaki Ribkah mempunyai bapa yang sama, iaitu Ishak, nenek moyang kita. 11 Untuk menunjukkan bahawa salah seorang anak itu anak pilihan Allah, Allah berfirman kepada Ribkah, "Yang sulung akan melayani yang bongsu.'' Allah berfirman demikian sebelum kedua-dua anak itu lahir dan sebelum mereka tahu berbuat apa yang baik atau yang jahat. Dengan demikian nyatalah bahawa pilihan Allah itu tidak berdasarkan perbuatan mereka, tetapi berdasarkan panggilan Allah sendiri. 13 Di dalam Alkitab tertulis bahawa Allah berfirman, "Yakub Aku kasihi, tetapi Esau Aku benci.'' 14 Jika demikian, bolehkah kita katakan bahawa Allah tidak adil? Tentu tidak boleh! 15 Allah berfirman kepada Musa, "Aku akan merahmati orang yang hendak Aku rahmati, dan Aku akan mengasihani orang yang hendak Aku kasihani.'' 16 Oleh itu, keputusan Allah tidak bergantung kepada kehendak atau perbuatan manusia, tetapi hanya kepada belas kasihan Allah. 17 Hal itu demikian, kerana di dalam Alkitab tertulis, "Allah berfirman kepada raja Mesir, `Untuk maksud ini Aku melantik engkau menjadi raja, supaya melalui engkau, Aku menyatakan kekuasaan-Ku dan memasyhurkan nama-Ku di seluruh dunia.' '' 18 Oleh itu, Allah berbelas kasihan kepada orang yang dikehendaki-Nya, dan Allah menjadikan orang berkeras kepala jika Dia berkehendak demikian. 19 Lalu kamu akan bertanya kepadaku, "Jika demikian mengapa Allah mahu menyalahkan manusia? Siapa dapat melawan kehendak Allah?'' 20 Tetapi saudaraku, siapakah kamu sehingga berani menyoal Allah? Bolehkah periuk tanah bertanya kepada yang membuatnya, "Mengapa aku dibuat begini?'' 21 Bukankah orang yang membuat periuk berhak menggunakan tanah liat itu sekehendak hatinya? Dengan segumpal tanah liat, dia boleh membuat dua buah periuk: yang satu untuk kegunaan khas dan yang satu lagi untuk kegunaan sehari-hari. 22 Begitu juga halnya dengan apa yang dilakukan oleh Allah. Dia ingin menunjukkan kemurkaan-Nya dan menyatakan kekuasaan-Nya. Tetapi Allah sangat sabar terhadap mereka yang menjadi sasaran kemurkaan-Nya, iaitu mereka yang akan dimusnahkan. 23 Allah juga ingin menyatakan kebahagiaan berlimpah-limpah, yang dicurahkan-Nya kepada kita yang menjadi tumpuan belas kasihan-Nya. Kita sudah disiapkan oleh-Nya untuk menerima kebahagiaan itu. 24 Kita ini orang yang sudah dipanggil-Nya, dan kita terdiri daripada orang Yahudi dan bukan Yahudi. 25 Di dalam kitab Nabi Hosea, Allah berfirman, "Orang yang bukan umat-Ku, akan Aku sebut `Umat-Ku.' Bangsa yang tidak Aku kasihi, akan Aku sebut `Kekasih-Ku.' 26 Di tempat Allah berfirman, `Kamu bukan umat-Ku,' di situ juga mereka akan disebut anak-anak Allah yang hidup.'' 27 Nabi Yesaya berseru tentang orang Israel, "Sungguhpun bilangan orang Israel sebanyak pasir di laut, hanya sedikit sahaja yang akan diselamatkan; 28 kerana Tuhan akan segera menjatuhkan hukuman kepada semua orang di bumi.'' 29 Seperti yang dikatakan Yesaya dahulu, "Seandainya Tuhan Yang Maha Kuasa tidak memberi kita keturunan, pastilah kita semua sudah menjadi seperti Sodom dan Gomora.'' 30 Oleh itu, inilah kesimpulannya: Orang bukan Yahudi yang tidak berusaha untuk berbaik semula dengan Allah, sekarang dapat berbaik semula dengan Allah, kerana mereka percaya kepada-Nya. 31 Sebaliknya orang Israel yang selalu mencari hukum yang membolehkan mereka berbaik semula dengan Allah, tidak menjumpainya. 32 Mereka tidak menjumpai hukum itu kerana mereka bergantung kepada usaha mereka sendiri, dan tidak percaya kepada Allah. Oleh itu mereka tersandung pada `batu sandungan'. 33 Di dalam Alkitab ada tertulis tentang batu itu, "Lihatlah, Aku meletakkan satu batu di Sion yang akan menyebabkan orang tersandung, satu batu besar yang akan menyebabkan orang jatuh. Tetapi orang yang percaya kepada Dia, tidak akan dikecewakan.''

Roma 10

1 Saudara-saudaraku! Dengan sepenuh hati aku berharap supaya bangsaku diselamatkan! Dengan tekun aku berdoa kepada Allah bagi mereka. 2 Aku boleh memberikan kesaksian bahawa mereka sungguh-sungguh mengabdikan diri kepada Allah. Tetapi pengabdian mereka tidak berdasarkan pengetahuan daripada Allah. 3 Mereka tidak mengetahui cara Allah membolehkan manusia berbaik semula dengan Dia. Sebaliknya mereka berusaha untuk mengikut cara mereka sendiri. Oleh itu mereka tidak mahu menerima cara Allah membolehkan manusia berbaik semula dengan Dia. 4 Kristus sudah menyebabkan Taurat tidak lagi berkuatkuasa. Oleh itu orang yang percaya kepada Kristus dapat berbaik semula dengan Allah. 5 Inilah yang ditulis oleh Musa tentang cara berbaik semula dengan Allah melalui ketaatan kepada Taurat, "Orang yang mentaati Taurat akan hidup.'' 6 Tetapi tentang cara berbaik semula dengan Allah melalui kepercayaan kepada-Nya, Alkitab mengatakan demikian, "Janganlah bertanya dalam hati, `Siapakah yang akan naik ke syurga?' (maknanya membawa Kristus turun), 7 atau `Siapakah yang akan turun ke alam maut?' (maknanya membawa Kristus naik daripada kematian).'' 8 Beginilah maksudnya, "Perkhabaran daripada Allah sangat dekat pada kamu, pada bibir kamu, dan di dalam hati kamu.'' Itulah perkhabaran yang kami isytiharkan; perkhabaran bahawa orang harus percaya kepada Allah. 9 Jika kamu mengaku di hadapan orang bahawa "Yesus itu Tuhan,'' dan kamu sungguh-sungguh percaya bahawa Allah sudah membangkitkan Yesus daripada kematian, kamu akan diselamatkan. 10 Kerana kita sungguh-sungguh percaya, kita diterima oleh Allah sebagai orang yang sudah berbaik semula dengan-Nya. Kerana kita mengakui Yesus di hadapan orang, kita diselamatkan. 11 Di dalam Alkitab tertulis, "Orang yang percaya kepada Dia tidak akan dikecewakan.'' 12 Hal itu berlaku bagi semua orang, kerana tidak ada perbezaan antara orang Yahudi dengan orang bukan Yahudi. Allah yang satu itu Tuhan semua orang. Dia melimpahkan berkat-Nya kepada semua orang yang meminta pertolongan-Nya. 13 Di dalam Alkitab juga tertulis, "Setiap orang yang berseru kepada Tuhan akan diselamatkan.'' 14 Tetapi bagaimanakah mereka dapat berseru kepada Tuhan jika mereka belum percaya kepada-Nya? Bagaimanakah mereka dapat percaya kepada-Nya jika mereka belum mendengar perkhabaran tentang Dia? Bagaimanakah mereka dapat mendengar perkhabaran itu, jika tidak ada yang mengisytiharkannya? 15 Bagaimanakah perkhabaran itu dapat diisytiharkan jika tidak ada orang yang diutus untuk mengisytiharkannya? Di dalam Alkitab tertulis begini, "Alangkah baiknya ketibaan orang yang membawa Berita Baik daripada Allah!'' 16 Tetapi tidak semua orang menyambut Berita Baik itu. Nabi Yesaya berkata, "Ya Tuhan, siapakah yang percaya akan perkhabaran kami?'' 17 Oleh itu orang dapat percaya kerana mendengar perkhabaran itu, dan orang dapat mendengar perkhabaran itu kerana ada orang yang memberitakan Kristus. 18 Tetapi aku bertanya: Betulkah mereka belum mendengar perkhabaran itu? Tentu mereka sudah mendengarnya, kerana di dalam Alkitab tertulis, "Suara mereka terdengar di seluruh dunia; dan kata-kata mereka sampai ke hujung bumi.'' 19 Aku bertanya pula: Tidakkah orang Israel memahaminya? Musa ialah orang pertama yang menjawab soalan itu. Dia berkata, "Allah berfirman, `Aku akan menjadikan kamu iri hati terhadap mereka yang bukan bangsa; Aku akan menjadikan kamu marah terhadap bangsa yang bodoh.' '' 20 Yesaya lebih berani lagi ketika dia berkata, "Allah berfirman, `Aku dijumpai oleh mereka yang tidak mencari Aku, Aku menampakkan diri kepada mereka yang tidak bertanya tentang Aku.' '' 21 Tetapi tentang orang Israel Yesaya berkata, "Allah berfirman, `Sepanjang hari Aku menghulurkan tangan-Ku kepada bangsa yang tidak taat kepada-Ku dan yang melawan Aku.' ''

Roma 11

1 Kemudian aku bertanya: Adakah Allah menolak umat-Nya sendiri? Tentu tidak! Aku sendiri orang Israel keturunan Abraham, dan daripada suku Benyamin. 2 Allah tidak menolak umat-Nya yang dipilih-Nya dari mula-mula. Kamu mengetahui apa yang tertulis di dalam Alkitab tentang Elia semasa dia mengadukan perbuatan Israel kepada Allah. Elia berkata, 3 "Ya Tuhan, mereka sudah membunuh nabi-nabi-Mu dan memusnahkan mazbah-mazbah-Mu. Hanya aku seorang yang tertinggal, dan mereka hendak membunuh aku.'' 4 Apakah jawapan Allah kepada Elia? Allah berfirman, "Aku sudah menyisihkan tujuh ribu orang bagi diri-Ku dan mereka belum pernah menyembah Dewa Baal.'' 5 Demikian juga halnya sekarang: Ada sebilangan kecil orang yang sudah dipilih oleh Allah kerana rahmat-Nya. 6 Pilihan Allah itu tidak berdasarkan perbuatan mereka, tetapi berdasarkan rahmat Allah. Jika pilihan Allah itu berdasarkan perbuatan manusia, maka rahmat Allah itu bukanlah rahmat yang sejati. 7 Lalu bagaimana? Umat Israel tidak mendapat apa yang dicari oleh mereka. Yang mendapatnya hanyalah sebilangan kecil orang yang sudah dipilih oleh Allah. Yang lainnya menjadi keras kepala sehingga tidak mendengar panggilan Allah. 8 Di dalam Alkitab tertulis, "Allah menjadikan hati dan fikiran mereka lembap; sampai hari ini mata mereka tidak dapat melihat dan telinga mereka tidak dapat mendengar.'' 9 Daud juga berkata, "Biarlah pesta jamuan mereka menjadi perangkap, biarlah mereka jatuh, dan biarlah mereka dihukum! 10 Biarlah mata mereka menjadi buta sehingga tidak dapat melihat; dan biarlah mereka sentiasa menderita kerana kesusahan.'' 11 Aku bertanya lagi: Ketika orang Yahudi tersandung, adakah hal ini berlaku supaya mereka jatuh dan tidak bangkit lagi? Sekali-kali tidak! Kerana mereka berdosa, orang bukan Yahudi diselamatkan, supaya orang Yahudi iri hati terhadap mereka. 12 Kerana orang Yahudi berdosa, dunia mendapat berkat yang berlimpah-limpah, dan kerana kemiskinan rohani orang Yahudi, orang bukan Yahudi mendapat berkat yang berlimpah-limpah. Jika demikian halnya, lebih besar lagi berkat yang akan dikurniakan oleh Allah, apabila semua orang Yahudi diselamatkan! 13 Sekarang aku berkata-kata kepada kamu, orang bukan Yahudi. Selama aku menjadi rasul kepada orang bukan Yahudi, aku bangga dengan tugasku itu. 14 Aku berharap dapat membuat bangsaku iri hati, dan kerana apa yang aku lakukan, Allah akan menyelamatkan sebahagian daripada mereka. 15 Kerana semasa mereka ditolak oleh Allah, orang bangsa lain di dunia dijadikan sahabat Allah. Apakah yang akan berlaku, apabila mereka diterima oleh Allah? Keadaannya tentu seperti orang mati hidup semula! 16 Jika kepingan pertama daripada sebuku roti diberikan kepada Allah, seluruh roti itu menjadi milik Allah. Jika akar pokok dipersembahkan kepada Allah, cabang-cabang pokok itu pun milik-Nya. 17 Beberapa cabang pokok zaitun yang dipelihara sudah dikerat, lalu di situ dicantum sebatang cabang pokok zaitun liar untuk menikmati segala yang baik daripada pokok zaitun itu. Kamu orang bukan Yahudi seperti cabang pokok zaitun liar itu. Kamu dicantum di situ untuk menikmati berkat-berkat daripada orang Yahudi. 18 Oleh itu janganlah kamu hina mereka yang sudah dikerat seperti cabang-cabang itu. Janganlah menjadi sombong! Kamu hanya cabang; cabang tidak memberikan khasiat kepada akar, sebaliknya akar yang memberikan khasiat kepada cabang. 19 Tetapi kamu akan berkata, "Tidakkah cabang-cabang itu dikerat supaya kami dapat dicantum?'' 20 Memang betul. Mereka dikerat kerana mereka tidak beriman, tetapi kamu tetap di situ kerana kamu beriman. Janganlah hal itu menyebabkan kamu sombong, tetapi takutlah. 21 Jika orang Yahudi yang seperti cabang-cabang asli, dibenarkan oleh Allah untuk tumbuh terus pada pokok itu, tentu hal yang sama boleh dilakukan-Nya kepada kamu. 22 Di sini kita melihat bahawa Allah baik, tetapi Dia juga mengadili dengan keras. Dia bertindak keras terhadap mereka yang berdosa, tetapi Dia baik hati terhadap kamu asalkan kehidupan kamu layak menerima kebaikan-Nya. Jika tidak, kamu juga akan dikerat. 23 Jika orang Yahudi kembali dan percaya, mereka akan dicantum semula ke tempat asal, kerana Allah berkuasa melakukan hal itu. 24 Kamu yang bukan orang Yahudi seperti cabang yang dikerat daripada pokok zaitun liar. Walaupun bertentangan dengan alam semula jadi, kamu dicantum pada pokok zaitun yang dipelihara. Orang Yahudi seperti pokok zaitun yang dipelihara. Oleh itu lebih mudah bagi Allah mengembalikan cabang-cabangnya yang sudah dikerat kepada pokok asal. 25 Saudara-saudaraku! Aku ingin kamu mengetahui suatu kebenaran yang belum diketahui orang. Jika kamu mengetahui perkara itu, kamu tidak akan menganggap diri kamu sangat bijak. Ketahuilah bahawa kedegilan umat Israel itu untuk sementara sahaja; sikap itu berlaku sehingga lengkap bilangan orang bukan Yahudi yang datang kepada Allah. 26 Beginilah semua orang Israel akan diselamatkan. Di dalam Alkitab tertulis, "Penyelamat akan datang dari Sion, Dia akan menghapuskan segala kejahatan keturunan Yakub. 27 Aku akan membuat perjanjian ini dengan mereka, pada waktu Aku mengampunkan dosa mereka.'' 28 Kerana orang Yahudi tidak mahu menerima Berita Baik daripada Allah, mereka menjadi musuh Allah. Tetapi hal itu membawa faedah bagi kamu, orang bukan Yahudi. Tetapi kerana pilihan Allah, orang Yahudi tetap dikasihi oleh Allah, kerana janji Allah kepada nenek moyang mereka. 29 Hal itu demikian kerana Allah tidak mengubah pendirian-Nya tentang orang yang dipilih-Nya dan diberkati-Nya. 30 Dahulu kamu, orang bukan Yahudi tidak taat kepada Allah. Tetapi sekarang kamu menerima belas kasihan Allah, kerana orang Yahudi tidak taat kepada Allah. 31 Demikian juga halnya dengan orang Yahudi. Kerana kamu sudah menerima belas kasihan Allah, sekarang orang Yahudi tidak taat kepada Allah, supaya mereka pun boleh menerima belas kasihan Allah. 32 Hal itu demikian, kerana Allah sudah membiarkan umat manusia menjadi seperti orang tahanan, kerana mereka tidak mentaati Dia. Allah berbuat demikian supaya Dia dapat menunjukkan belas kasihan-Nya kepada mereka semua. 33 Alangkah hebatnya kekayaan, kebijaksanaan, dan pengetahuan Allah! Siapakah dapat menjelaskan keputusan-Nya? Siapakah dapat memahami cara Dia melakukan sesuatu? 34 Di dalam Alkitab tertulis, "Siapakah yang dapat mengetahui fikiran Tuhan? Siapakah yang dapat memberikan nasihat kepada-Nya? 35 Siapakah yang pernah memberikan sesuatu kepada Tuhan, sehingga Dia harus memberikan balasan?'' 36 Segala sesuatu diciptakan oleh Allah, dan segala sesuatu berasal daripada Dia, dan untuk Dia. Terpujilah Allah selama-lamanya! Amin.

Roma 12

1 Saudara-saudaraku! Kerana Allah sangat baik kepada kita, aku menggesa kamu supaya mempersembahkan diri sebagai suatu korban yang hidup, yang khas untuk Allah, dan yang menyenangkan hati-Nya. Demikianlah seharusnya kamu beribadat kepada Allah. 2 Janganlah ikut kebiasaan dunia, tetapi biarlah Allah membaharui cara kamu berfikir, sehingga kamu dapat mengetahui kehendak Allah -- iaitu apa yang baik dan yang menyenangkan hati-Nya, serta yang sempurna. 3 Kerana kurnia Allah yang sudah dianugerahkan-Nya kepadaku, aku menasihati kamu semua: Janganlah anggap diri kamu lebih daripada yang sepatutnya, tetapi nilailah diri masing-masing dengan rendah hati menurut kebolehan yang dikurniakan oleh Allah, kerana kamu percaya kepada Yesus. 4 Tubuh kita mempunyai banyak anggota, dan setiap anggota tubuh mempunyai tugas yang berlainan. 5 Begitu juga halnya dengan kita. Sungguhpun bilangan kita banyak, tetapi kita satu tubuh kerana kita bersatu dengan Kristus. Kita semua dihubungkan satu dengan yang lain sebagai anggota-anggota daripada satu tubuh. 6 Oleh itu kita harus menggunakan kurnia-kurnia yang berlainan, menurut rahmat-Nya yang dianugerahkan oleh Allah kepada kita. Jika kita mempunyai kurnia untuk mengkhabarkan berita daripada Allah, kita harus melakukannya menurut kebolehan yang dikurniakan oleh Allah kepada kita. 7 Jika kita mempunyai kurnia untuk menolong orang lain, kita harus menolong mereka. Jika kita mempunyai kurnia untuk mengajar, kita harus mengajar. 8 Jika kita mempunyai kurnia untuk menggalakkan orang lain, kita harus melakukannya. Sesiapa yang mempunyai kurnia untuk berkongsi milik dengan orang lain, harus melakukannya dengan murah hati. Sesiapa yang mempunyai kurnia untuk menjadi pemimpin, harus memimpin dengan tekun. Sesiapa yang mempunyai kurnia untuk menunjukkan belas kasihan kepada orang lain, harus melakukannya dengan sukacita. 9 Kamu harus mengasihi orang lain dengan ikhlas. Kamu harus membenci apa yang jahat, tetapi berpegang kepada apa yang baik. 10 Kamu harus saling mengasihi dengan mesra sebagai saudara dalam keluarga Kristus. Hendaklah kamu saling mendahului untuk memberikan hormat. 11 Jangan malas, tetapi bekerjalah dengan rajin. Abdikanlah diri kepada Tuhan dengan semangat daripada Roh Allah. 12 Kerana kamu berharap kepada Tuhan, bersukacitalah. Bersabarlah semasa mengalami kesusahan dan berdoalah sentiasa. 13 Hendaklah kamu berkongsi milik dengan saudara seiman yang memerlukan bantuan, dan sambutlah saudara seiman yang tidak kamu kenal ke rumah. 14 Berdoalah kepada Allah supaya Dia memberkati orang yang menganiaya kamu. Mintalah Allah memberkati mereka, dan janganlah minta Allah mengutuk mereka. 15 Bersukacitalah dengan mereka yang bersukacita, dan menangislah dengan mereka yang menangis. 16 Hendaklah kamu semua hidup rukun. Janganlah bersikap sombong, janganlah tolak tugas yang dipandang rendah. Janganlah anggap diri kamu lebih bijak daripada yang sebenarnya. 17 Jika seseorang berbuat jahat terhadap kamu, janganlah balas dia dengan kejahatan. Berusahalah untuk melakukan apa yang dianggap baik oleh semua orang. 18 Dengan sedaya upaya, berusahalah untuk hidup damai dengan semua orang. 19 Saudara-saudaraku! Jangan sekali-kali balas dendam; biarlah Allah yang membalas dendam. Di dalam Alkitab tertulis, "Aku akan membalas kejahatan mereka. Aku akan menghukum mereka, firman Tuhan.'' 20 Janganlah balas dendam, tetapi lakukanlah apa yang tertulis di dalam Alkitab, "Jika musuhmu lapar, berilah dia makan; jika dia dahaga, berilah dia minuman. Kerana dengan berbuat demikian, kamu akan membuat dia malu.'' 21 Janganlah biarkan diri kamu dikalahkan oleh kejahatan, tetapi kalahkanlah kejahatan dengan kebaikan.

Roma 13

1 Setiap orang harus taat kepada pemerintah, kerana pemerintah mendapat kekuasaan daripada Allah. Pemerintah yang ada sekarang pun ditetapkan oleh Allah. 2 Oleh itu orang yang menentang pemerintah, menentang apa yang sudah ditetapkan oleh Allah. Sesiapa yang berbuat demikian akan mendatangkan hukuman kepada dirinya sendiri. 3 Mereka yang berbuat baik tidak perlu takut kepada pemerintah. Hanya mereka yang berbuat jahat harus takut. Jika kamu tidak mahu berasa takut kepada pemerintah, berbuatlah baik, lalu kamu akan dipuji. 4 Hal itu demikian, kerana pemerintah itu hamba Allah, yang berkhidmat bagi kebaikan kamu. Tetapi jika kamu berbuat jahat, takutlah kepadanya, kerana pemerintah berkuasa untuk menjatuhkan hukuman. Pemerintah itu hamba Allah, yang menjatuhkan hukuman Allah kepada orang yang berbuat jahat. 5 Itulah sebabnya kamu harus taat kepada pemerintah -- bukan sahaja kerana takut kepada hukuman Allah, tetapi kerana hati nurani kamu menyuruh kamu berbuat demikian. 6 Itulah sebabnya pula kamu membayar cukai, kerana pemerintah berkhidmat kepada Allah apabila menjalankan tugas. 7 Bayarlah apa yang harus kamu bayar kepada pemerintah. Bayarlah cukai pendapatan, jika kamu harus membayarnya. Bayarlah cukai tanah, jika kamu harus membayarnya. Hormatilah mereka yang harus dihormati, dan hargailah mereka yang harus dihargai. 8 Janganlah berhutang kepada sesiapa pun, kecuali berhutang kasih terhadap satu sama lain. Sesiapa yang mengasihi sesama manusia, mentaati Taurat. 9 Hukum yang mengatakan, "Jangan berzina; jangan membunuh; jangan mencuri; jangan tamak'' -- semua ini dan hukum yang lain, sudah disimpulkan menjadi satu hukum sahaja, "Kasihilah sesama manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri.'' 10 Orang yang mengasihi orang lain, tidak akan berbuat jahat kepada orang itu. Oleh itu orang yang mengasihi sesama manusia, mentaati keseluruhan Taurat. 11 Kamu harus melakukan semuanya, kerana kamu tahu bahawa inilah masanya kamu bangun daripada tidur. Hal itu demikian kerana masa kita diselamatkan lebih dekat sekarang ini daripada masa kita mula percaya. 12 Malam hampir berlalu, dan fajar akan menyingsing. Marilah kita berhenti melakukan perkara-perkara yang dilakukan dalam kegelapan. Marilah kita lengkapi diri seolah-olah dengan senjata yang digunakan dalam terang. 13 Kita harus berkelakuan baik seperti orang yang hidup dalam terang dan bukan dalam kegelapan. Janganlah ikut pesta liar atau mabuk. Janganlah berkelakuan lucah atau tidak senonoh. Janganlah berkelahi ataupun iri hati. 14 Tetapi biarlah Tuhan Yesus Kristus menjadi pelindung kamu. Janganlah turuti tabiat manusia berdosa untuk memuaskan hawa nafsu.

Roma 14

1 Orang yang tidak yakin akan kepercayaan mereka harus disambut dengan baik di kalangan kamu. Janganlah bertengkar dengan mereka tentang pendirian peribadi. 2 Ada orang yang berpendirian bahawa mereka boleh makan apa sahaja, tetapi orang yang lemah keyakinannya hanya makan sayur-sayuran. 3 Orang yang makan apa sahaja tidak boleh menghina orang yang makan makanan tertentu, dan orang yang hanya makan makanan tertentu tidak boleh menyalahkan orang yang makan apa sahaja, kerana Allah sudah menerima dia. 4 Siapakah kamu sehingga kamu mahu menyalahkan hamba orang lain? Hanya tuannya yang berhak menentukan baik tidaknya kerja hamba itu. Sesungguhnya hamba itu akan berjaya melakukan kerjanya, kerana Tuhan menolong dia. 5 Ada orang yang berpendapat bahawa suatu hari tertentu lebih mustahak daripada hari yang lain, sedangkan orang lain berpendapat bahawa semua hari sama sahaja. Hendaklah setiap orang yakin akan pendiriannya. 6 Sesiapa yang mengutamakan hari-hari tertentu, berbuat demikian untuk menghormati Tuhan. Sesiapa yang makan apa sahaja, berbuat demikian untuk menghormati Tuhan, kerana dia bersyukur kepada Allah bagi makanan itu. Sesiapa yang hanya makan makanan tertentu, juga menghormati Tuhan dan bersyukur kepada Allah. 7 Tidak seorang pun di kalangan kita yang hidup atau mati bagi dirinya sendiri. 8 Jika kita hidup, kita hidup untuk Tuhan. Jika kita mati, kita pun mati untuk Tuhan. Sama ada kita hidup atau mati, kita milik Tuhan. 9 Kristus mati dan hidup semula supaya Dia menjadi Tuhan kepada orang hidup dan orang mati juga. 10 Oleh itu, mengapa kamu menyalahkan saudara kamu? Mengapa kamu yang lain menghina saudara kamu? Kita semua akan menghadap Allah untuk diadili. 11 Di dalam Alkitab tertulis, "Sesungguhnya,'' firman Tuhan, "tiap-tiap orang akan sujud di hadapan-Ku, dan tiap-tiap orang akan mengaku bahawa Aku Allah.'' 12 Oleh itu, kita masing-masing harus mempertanggungjawabkan segala perbuatan kita kepada Allah. 13 Oleh itu janganlah kita salahkan satu sama lain. Sebaliknya kamu harus mengambil keputusan untuk tidak berbuat apa-apa yang menyebabkan saudara kamu tergoda dan berdosa. 14 Kerana aku bersatu dengan Tuhan Yesus, aku yakin bahawa tidak ada sesuatu pun yang pada dasarnya najis, tetapi jika seseorang menganggap sesuatu hal najis, maka najislah hal itu bagi dia. 15 Jika apa yang kamu makan, menyakiti hati seorang saudara seiman, tindakan kamu itu tidak berdasarkan kasih. Janganlah hancurkan seseorang dengan apa yang kamu makan, kerana Kristus sudah mati baginya. 16 Janganlah sebabkan apa yang kamu anggap baik, dianggap jahat oleh orang lain. 17 Hal itu demikian kerana Pemerintahan Allah ketenangan hati, dan kegembiraan, yang semuanya dikurniakan oleh Roh Allah. 18 Orang yang mengabdikan diri kepada Kristus dengan cara demikian, menyenangkan hati Allah dan dihargai orang lain. 19 Itulah sebabnya kita harus sentiasa bertujuan untuk melakukan hal-hal yang membawa kerukunan, dan yang saling menguatkan iman. 20 Janganlah rosakkan apa yang sudah dilakukan oleh Allah, hanya kerana soal makanan. Semua makanan boleh dimakan, tetapi jika apa yang kamu makan menyebabkan orang lain berdosa, maka perbuatan itu salah. 21 Lebih baik tidak makan daging, atau minum wain, atau melakukan apa sahaja yang akan menyebabkan seorang saudara seiman berdosa. 22 Apa yang kamu percayai tentang perkara-perkara itu, biarlah hal itu diketahui oleh Allah dan kamu sahaja. Berbahagialah orang yang tidak berasa bersalah, apabila dia melakukan apa yang dianggapnya benar. 23 Tetapi jika seseorang meragui apa yang dimakannya, Allah menyalahkan dia, kerana perbuatan orang itu tidak berdasarkan keyakinan bahawa apa yang dilakukannya itu benar. Perbuatan seperti itu dosa.

Roma 15

1 Kita yang mempunyai iman teguh harus menolong orang yang lemah keyakinan untuk memikul beban mereka. Janganlah kita lakukan hal-hal yang menyenangkan hati kita sahaja. 2 Sebaliknya setiap orang daripada kita harus menyenangkan hati saudaranya bagi kebaikannya, supaya imannya menjadi semakin teguh. 3 Kita berbuat demikian, kerana Kristus pun tidak memikirkan kesenangan diri-Nya sendiri. Di dalam Alkitab tertulis, "Segala cercaan yang ditujukan kepada-Mu kena padaku.'' 4 Segala yang tertulis di dalam Alkitab adalah untuk mengajar kita, supaya kita mempunyai harapan kerana ajaran daripada Alkitab menyebabkan kita bersabar dan berteguh hati. 5 Semoga Allah yang menyebabkan kamu bersabar dan berteguh hati, membolehkan kamu hidup seia sekata menurut teladan Kristus Yesus. 6 Dengan demikian kamu semua sama-sama dapat memuji Allah, Bapa Tuhan kita Yesus Kristus. 7 Sebagaimana Kristus sudah menyambut kamu, sambutlah satu sama lain untuk memuliakan Allah. 8 Ketahuilah bahawa Kristus menjadi hamba kepada orang Yahudi untuk menunjukkan bahawa Allah setia. Dia menepati semua janji yang dibuat-Nya dengan nenek moyang mereka. 9 Dia bahkan membolehkan orang bukan Yahudi memuliakan Allah kerana Allah mengasihani mereka. Di dalam Alkitab tertulis, "Oleh itu, apabila aku di kalangan orang bukan Yahudi, aku akan memuji Engkau, aku akan menyanyikan pujian untuk-Mu.'' 10 Ada tertulis begini pula, "Bersukacitalah bersama-sama umat Allah, hai orang bukan Yahudi!'' 11 Ada tertulis begini pula, "Pujilah Tuhan, hai semua orang bukan Yahudi; pujilah Dia, hai semua orang!'' 12 Nabi Yesaya juga berkata, "Seorang daripada keturunan Isai akan datang; Dia akan memerintah orang bukan Yahudi, dan mereka akan berharap kepada-Nya.'' 13 Semoga Allah yang memberi kamu harapan, memenuhkan hati kamu dengan kegembiraan dan kedamaian kerana kamu percaya kepada-Nya, supaya dengan kuasa Roh Allah kamu semakin berharap kepada Allah. 14 Saudara-saudaraku! Aku yakin bahawa kamu sangat baik, dan kamu mengetahui segala sesuatu yang patut kamu lakukan. Kamu juga dapat saling menasihati. 15 Tetapi dalam suratku ini aku menulis dengan terus terang untuk mengingatkan kamu tentang beberapa buah perkara. Aku menulis dengan tegas, kerana Allah sudah mengurniai aku tugas khas. 16 Aku dijadikan hamba Kristus Yesus untuk menolong orang bukan Yahudi. Aku melakukan tugas seorang imam sewaktu aku mengkhabarkan Berita Baik daripada Allah, supaya orang bukan Yahudi menjadi sebagai suatu persembahan yang menyenangkan hati Allah, dan yang ditahbiskan kepada-Nya oleh Roh Allah. 17 Kerana aku bersatu dengan Kristus Yesus, aku berbangga dengan kerjaku untuk Allah. 18 Aku akan berani berkata-kata dan hanya tentang apa yang sudah dilakukan oleh Kristus melalui aku, supaya orang bukan Yahudi taat kepada Allah. Hal itu dilakukan dengan kata-kata dan perbuatan, 19 dengan keajaiban dan mukjizat, serta dengan kuasa Roh Allah. Aku sudah mengisytiharkan keseluruhan Berita Baik tentang Kristus, dalam perjalananku dari Yerusalem sampai ke Ilirikum. 20 Aku berazam mengisytiharkan Berita Baik di tempat orang yang belum pernah mendengar tentang Kristus, supaya aku tidak membina kerja di atas asas yang diletakkan oleh orang lain. 21 Di dalam Alkitab tertulis, "Mereka yang belum pernah menerima berita tentang Dia akan melihat, dan mereka yang belum pernah mendengar akan mengerti.'' 22 Itulah sebabnya banyak kali aku terhalang melawat kamu. 23 Tetapi sekarang kerjaku di daerah-daerah ini sudah selesai. Sudah bertahun-tahun lamanya aku ingin berjumpa dengan kamu. 24 Dalam perjalananku ke negeri Sepanyol, aku akan singgah di kota kamu. Selepas beberapa lama bergembira dengan kamu, aku berharap kamu dapat menolong aku meneruskan perjalanan ke Sepanyol. 25 Tetapi sekarang ini aku akan pergi ke Yerusalem untuk membawa bantuan bagi umat Allah di situ. 26 Jemaah di Makedonia dan Akhaya dengan sukacita membuat keputusan untuk memberikan derma kepada saudara-saudara yang miskin di kalangan umat Allah di Yerusalem. 27 Mereka sendiri membuat keputusan itu. Memang sebenarnya mereka patut menolong saudara-saudara yang miskin itu, kerana orang bukan Yahudi sudah menerima berkat rohani daripada orang Yahudi. Dengan demikian orang bukan Yahudi patut menolong orang Yahudi dengan berkat kebendaan. 28 Apabila aku menyelesaikan tugas itu, dan menyerahkan semua wang derma itu kepada mereka, aku akan berangkat ke negeri Sepanyol dan akan melawat kamu dalam perjalanan ke sana. 29 Apabila aku datang kepada kamu, aku akan berkongsi berkat yang berlimpah-limpah daripada Kristus dengan kamu. 30 Demi Tuhan kita Yesus Kristus, dan demi kasih yang dikurniakan oleh Roh Allah, aku menggesa kamu supaya berdoa dengan tekun kepada Allah bersama-sama aku untukku. 31 Berdoalah supaya orang di Yudea yang tidak percaya kepada Yesus Kristus tidak mencederakan aku, dan supaya umat Allah di Yerusalem senang hati dengan apa yang aku lakukan untuk menolong mereka. 32 Kemudian jika diperkenankan Allah, aku akan datang kepada kamu dengan penuh kegembiraan, dan lawatan itu akan menggembirakan dan menyegarkan aku. 33 Semoga Allah, sumber kedamaian kita, menyertai kamu semua. Amin.

Roma 16

1 Aku ingin memperkenalkan saudari kita, Febe, yang membantu jemaah di Kengkrea. 2 Sambutlah dia sebagai salah seorang umat Tuhan, sebagaimana umat Allah menyambut satu sama lain. Bantulah dia, jika dia memerlukan bantuan daripada kamu, kerana dia sudah membantu banyak orang termasuk aku sendiri. 3 Sampaikan salamku kepada Priskila dan Akwila, rakan-rakanku yang sama-sama bekerja untuk Kristus Yesus. 4 Mereka menyabung nyawa untukku. Aku berterima kasih kepada mereka -- dan bukan aku sahaja, tetapi jemaah orang bukan Yahudi juga berterima kasih kepada mereka. 5 Sampaikan salamku kepada jemaah yang berkumpul di rumah mereka. Sampaikan salamku kepada Epenetus yang aku kasihi. Dia orang pertama di daerah Asia yang percaya kepada Kristus. 6 Sampaikan salamku kepada Maria yang sudah bekerja begitu keras bagi kamu. 7 Sampaikan salamku kepada Andronikus dan Yunias, yang sebangsa dengan aku dan yang dipenjarakan bersama-sama aku. Mereka terkenal antara rasul-rasul dan mereka lebih awal percaya kepada Kristus daripada aku. 8 Sampaikan salamku kepada Ampliatus, sahabat yang aku kasihi dan yang bersatu dengan Tuhan. 9 Sampaikan salam kepada Urbanus, rakan sekerja kita untuk Kristus, dan kepada Stakhis sahabat yang aku kasihi. 10 Sampaikan salam kepada Apeles yang kesetiaannya kepada Kristus sudah terbukti. Sampaikan salam kepada keluarga Aristobulus, 11 dan kepada Herodion, yang sebangsa dengan aku. Sampaikan salam kepada saudara-saudara seiman dalam keluarga Narkisus. 12 Sampaikan salamku kepada Trifena dan Trifosa yang bekerja untuk Tuhan, dan kepada Persis sahabat yang aku kasihi. Dia sudah bekerja keras untuk Tuhan. 13 Aku mengirim salam kepada Rufus, hamba terpuji yang dipilih oleh Tuhan, dan kepada ibunya yang sentiasa memperlakukan aku sebagai anak sendiri. 14 Aku mengirim salam kepada Asinkritus, Flegon, Hermes, Patrobas, Hermas, dan semua saudara seiman yang bersama-sama mereka. 15 Sampaikan salam kepada Filologus dan Yulia, kepada Nereus dan saudara perempuannya, kepada Olimpas dan kepada semua umat Allah yang bersama-sama mereka. 16 Bersalam-salamanlah dengan mesra sebagai saudara Kristian. Semua jemaah Kristus menyampaikan salam mereka kepada kamu. 17 Saudara-saudaraku! Aku menggesa kamu supaya berwaspada terhadap mereka yang menimbulkan perpecahan dan yang mengelirukan kepercayaan orang kepada Tuhan. Mereka mengajarkan perkara yang bertentangan dengan ajaran yang telah kamu terima. Jauhkan diri daripada mereka. 18 Orang yang berbuat demikian tidak melakukan kerja untuk Kristus Tuhan kita, tetapi untuk memuaskan keinginan hati sendiri. Dengan pujukan dan kata-kata yang elok-elok, mereka menipu orang yang tidak tahu apa-apa. 19 Semua orang sudah mengetahui betapa setianya kamu berpegang kepada ajaran Berita Baik itu. Oleh itu kamu menyebabkan aku amat gembira. Aku berharap supaya kamu bijak tentang perkara yang baik, dan tidak tahu apa-apa tentang perkara yang jahat. 20 Allah, sumber kedamaian kita akan segera menaruh Iblis di bawah kekuasaan kamu dan menghancurkannya. Semoga Yesus Kristus Tuhan kita memberkati kamu! 21 Timotius, rakan sekerjaku menyampaikan salamnya kepada kamu, demikian juga Lukius, Yason, dan Sosipater, sahabat-sahabat yang sebangsa dengan aku. 22 Aku, Tertius yang menulis surat ini menyampaikan salam sebagai sesama saudara Kristian. 23 Gayus mengirim salam kepada kamu. Aku menumpang di rumahnya dan jemaah juga mengadakan perjumpaan di sini. Erastus, bendahari kota dan saudara kita Kuartus, mengirim salam kepada kamu semua. 24 Semoga Yesus Kristus Tuhan kita memberkati kamu semua. Amin. 25 Marilah kita muliakan Allah! Dia berkuasa meneguhkan iman kamu sesuai dengan Berita Baik tentang Yesus Kristus, yang aku isytiharkan itu. Aku mengisytiharkannya sesuai dengan apa yang dinyatakan oleh Allah, iaitu rancangan Allah yang selama berabad-abad tidak diketahui orang. 26 Tetapi sekarang rancangan itu sudah dinyatakan melalui tulisan nabi-nabi, dan diberitakan kepada semua bangsa atas perintah Allah yang kekal, supaya mereka semua percaya dan taat kepada Allah. 27 Muliakanlah Allah yang esa dan yang maha bijak. Muliakanlah Dia selama-lamanya kerana apa yang sudah dilakukan oleh Yesus Kristus! Amin.

1 Korintus 1

1 Surat ini daripada Paulus yang dengan kehendak Allah sudah dilantik menjadi rasul Kristus Yesus, dan juga daripada saudara kita Sostenes. 2 Surat ini ditujukan kepada jemaah di Korintus, iaitu semua orang yang sudah dipanggil oleh Allah untuk menjadi umat-Nya kerana hidup bersatu dengan Kristus Yesus. Surat ini juga ditujukan kepada semua orang di mana sahaja yang menyembah Tuhan kita Yesus Kristus, iaitu Tuhan mereka dan Tuhan kita juga. 3 Semoga Allah Bapa kita dan Tuhan Yesus Kristus mengurniai kamu berkat dan kesejahteraan. 4 Aku sentiasa bersyukur kepada Allahku bagi kamu, kerana berkat yang sudah dikurniakan-Nya kepada kamu melalui Kristus Yesus. 5 Kerana kamu hidup bersatu dengan Kristus, kamu menjadi kaya dalam segala hal. Pengetahuan kamu tentang segala sesuatu sangat dalam dan kamu pandai memberitakannya. 6 Perkhabaran tentang Kristus sudah meresap ke dalam jiwa kamu, 7 sehingga kamu tidak kekurangan satu berkat pun, sementara kamu menantikan Tuhan kita Yesus Kristus datang kembali. 8 Kristus sendiri akan meneguhkan kamu sampai pada akhirnya, supaya pada hari Tuhan kita Yesus Kristus datang kembali, kamu didapati tidak bercela. 9 Allah dapat dipercayai. Dialah Allah yang sudah memanggil kamu supaya menjadi satu dengan Anak-Nya, Yesus Kristus, Tuhan kita. 10 Saudara-saudaraku! Dengan kekuasaan Tuhan kita Yesus Kristus, aku menggesa kamu semua supaya seia sekata sehingga tidak ada perpecahan di kalangan kamu. Hendaklah kamu bersatu, sehati dan sejiwa. 11 Aku berkata demikian, kerana beberapa orang daripada keluarga Kloe memberitahu aku bahawa pertengkaran berlaku di kalangan kamu. 12 Inilah yang aku maksudkan: Kamu semua mengatakan hal-hal yang berlainan. Ada yang berkata, "Aku mengikut Paulus''; ada juga yang berkata, "Aku mengikut Apolos''; ada pula yang berkata, "Aku mengikut Petrus''; dan yang lain pula berkata, "Aku mengikut Kristus.'' 13 Adakah Kristus terbahagi? Paulus tidak mati pada kayu salib untuk kamu! Kamu pun tidak dibaptis untuk menjadi pengikut Paulus! 14 Aku bersyukur kepada Allah kerana aku tidak membaptis sesiapa pun di kalangan kamu, kecuali Krispus dan Gayus. 15 Dengan demikian tidak seorang pun dapat berkata bahawa kamu dibaptis untuk menjadi pengikutku. ( 16 Oh ya, aku juga membaptis Stefanus dan keluarganya. Tetapi selain daripada mereka, seingatku aku tidak membaptis orang lain.) 17 Kristus mengutus aku bukan untuk membaptis orang, tetapi untuk mengisytiharkan Berita Baik. Aku mengisytiharkannya tanpa menggunakan kata-kata yang berdasarkan kebijaksanaan manusia, supaya kuasa daripada kematian Kristus pada kayu salib tidak sia-sia. 18 Bagi orang yang menuju kebinasaan, berita tentang kematian Kristus pada kayu salib itu tidak bererti apa-apa. Tetapi bagi kita yang diselamatkan oleh Allah, berita itu menunjukkan kekuasaan Allah. 19 Di dalam Alkitab tertulis, "Allah berfirman, `Kebijaksanaan orang bijak akan Aku musnahkan, dan pengertian orang berilmu akan Aku lenyapkan.' '' 20 Oleh itu, apakah gunanya orang bijak? Apakah gunanya ahli Taurat? Apakah gunanya orang berilmu? Allah sudah menunjukkan bahawa kebijaksanaan dunia ini kebodohan belaka! 21 Kerana Allah bijaksana, Dia menentukan supaya manusia tidak dapat mengenal-Nya melalui kebijaksanaan mereka sendiri. Sebaliknya Allah menetapkan bahawa Dia menyelamatkan orang yang percaya kepada-Nya melalui perkhabaran kami yang dianggap suatu kebodohan. 22 Orang Yahudi menuntut mukjizat sebagai bukti dan orang Yunani mementingkan kebijaksanaan. 23 Tetapi kami mengisytiharkan Kristus yang disalibkan. Berita itu menyinggung perasaan orang Yahudi, dan dianggap suatu kebodohan oleh orang bukan Yahudi. 24 Tetapi bagi mereka yang sudah dipanggil oleh Allah, baik orang Yahudi mahupun orang bukan Yahudi, berita itu Kristus, yang menunjukkan kekuasaan dan kebijaksanaan Allah. 25 Hal itu demikian kerana apa yang nampaknya seperti kebodohan Allah, sebenarnya lebih bijak daripada kebijaksanaan manusia; apa yang nampaknya seperti kelemahan Allah, sebenarnya lebih kuat daripada kekuatan manusia. 26 Saudara-saudaraku! Ingatlah akan keadaan kamu semasa Allah memanggil kamu. Menurut pandangan manusia hanya sedikit antara kamu yang bijak, atau berkuasa ataupun berkedudukan tinggi. 27 Allah sengaja memilih orang yang dianggap bodoh oleh dunia ini, untuk mempermalukan orang yang bijak. Allah juga memilih orang yang dianggap lemah oleh dunia ini untuk mempermalukan orang yang berkuasa. 28 Allah memilih orang yang dianggap rendah, hina dan tidak berguna oleh dunia ini, untuk menghancurkan orang yang dianggap penting oleh dunia ini. 29 Hal ini bererti tidak seorang pun dapat memegahkan diri di hadapan Allah. 30 Tetapi Allah sudah menjadikan kamu hidup bersatu dengan Kristus Yesus. Melalui Kristus, Allah menjadikan kita bijak. Melalui Kristus juga Allah memungkinkan kita berbaik semula dengan Allah, menjadikan kita umat-Nya yang khas dan membebaskan kita. 31 Oleh itu, seperti yang tertulis di dalam Alkitab, "Sesiapa mahu berbangga, dia harus berbangga dengan apa yang sudah dilakukan oleh Tuhan.''

1 Korintus 2

1 Saudara-saudaraku! Semasa aku datang kepada kamu untuk memberitakan rancangan Allah yang belum diketahui oleh dunia, aku tidak menggunakan kebijaksanaan dunia ini ataupun kata-kata yang susah difahami. 2 Aku berbuat demikian kerana ketika aku bersama-sama kamu, aku mengambil keputusan untuk memberitakan Yesus Kristus sahaja, terutama kematian-Nya pada kayu salib. 3 Oleh itu, ketika aku datang kepada kamu, aku lemah dan gementar kerana ketakutan. 4 Aku tidak mengajarkan dan mengkhabarkan Berita Baik itu dengan kata-kata menurut kebijaksanaan manusia. Tetapi aku menyampaikannya dengan cara yang membuktikan bahawa Roh Allah berkuasa. 5 Oleh itu, kepercayaan kamu kepada Kristus tidak berdasarkan kebijaksanaan manusia, tetapi berdasarkan kuasa Allah. 6 Walaupun demikian, aku juga berkata-kata tentang kebijaksanaan kepada mereka yang mempunyai kehidupan rohani yang matang. Tetapi kebijaksanaan itu bukanlah kebijaksanaan dunia ini, ataupun kebijaksanaan roh-roh yang berkuasa dan yang memerintah dunia ini. Kekuasaan roh-roh itu akan lenyap. 7 Kebijaksanaan yang aku sampaikan itu kebijaksanaan daripada Allah. Kebijaksanaan itu tidak diketahui oleh umat manusia, tetapi Allah sudah menyediakannya untuk kebahagiaan kita, sebelum Dia menjadikan dunia ini. 8 Semua roh yang berkuasa dan yang memerintah dunia ini tidak mengetahui kebijaksanaan itu. Seandainya roh-roh itu mengetahuinya, tentu roh-roh itu tidak akan menyalibkan Tuhan yang mulia. 9 Tetapi seperti yang tertulis di dalam Alkitab, "Apa yang belum pernah dilihat atau didengar, atau terlintas dalam fikiran manusia, itulah yang disediakan oleh Allah untuk orang yang mengasihi Dia.'' 10 Tetapi melalui Roh-Nya, Allah menyatakan rancangan-Nya kepada kita. Roh Allah menyelidiki segala sesuatu, bahkan rancangan Allah yang paling tersembunyi sekalipun. 11 Sebagaimana roh seseorang mengetahui isi hati orang itu, begitu juga hanya Roh Allah mengetahui segala sesuatu tentang Allah. 12 Kita tidak menerima roh dunia ini, tetapi kita menerima Roh Allah, supaya kita mengetahui semua yang telah dikurniakan Allah kepada kita. 13 Oleh itu, ketika kami menjelaskan hal-hal tentang Allah kepada orang yang mempunyai Roh Allah, kami tidak berkata-kata menurut kebijaksanaan manusia, tetapi menurut ajaran Roh Allah. 14 Sesiapa yang tidak mempunyai Roh Allah, tidak dapat menerima kurnia daripada Roh Allah, kerana orang seperti itu tidak dapat memahaminya dan menganggapnya suatu kebodohan sahaja. Kurnia daripada Roh Allah hanya dapat dinilai secara rohani. 15 Sesiapa yang mempunyai Roh Allah dapat menilai segala sesuatu, tetapi tiada seorang pun dapat menilai orang itu. 16 Di dalam Alkitab tertulis, "Siapakah yang mengetahui fikiran Tuhan? Siapakah yang dapat menasihati Dia?'' Tetapi kita mempunyai fikiran Kristus!

1 Korintus 3

1 Saudara-saudaraku! Sebenarnya aku tidak dapat bercakap dengan kamu seperti bercakap dengan orang yang mempunyai Roh Allah. Aku terpaksa bercakap dengan kamu seperti bercakap dengan orang yang masih dikuasai keinginan duniawi, atau seperti bercakap dengan orang yang masih kanak-kanak dalam kepercayaan mereka kepada Kristus. 2 Dahulu aku memberi kamu susu, bukan makanan orang dewasa kerana kamu belum sedia menerimanya. Tetapi sekarang pun kamu masih belum dapat menerima ajaran yang lebih dalam, 3 kerana kamu masih hidup menurut tabiat manusia. Apabila kamu iri hati dan saling bertengkar, bukankah hal itu membuktikan bahawa kamu hidup menurut tabiat manusia, seperti orang yang tidak mengenal Allah? 4 Apabila seseorang berkata, "Aku mengikut Paulus,'' dan yang lain berkata, "Aku mengikut Apolos,'' bukankah kelakuan kamu seperti kelakuan orang dunia ini? 5 Sebenarnya siapakah Apolos itu? Siapakah Paulus? Kami hanya hamba Allah, yang memimpin kamu percaya kepada Kristus. Kami hanya menjalankan tugas masing-masing yang diberikan oleh Tuhan. 6 Aku menanam benih dan Apolos menyiramnya, tetapi Allah sendiri yang menyebabkan tanaman itu tumbuh. 7 Orang yang menanam benih dan orang yang menyiramnya tidaklah penting. Allah sahaja yang penting, kerana Dia yang menyebabkan tanaman itu tumbuh. 8 Orang yang menanam benih setaraf dengan orang yang menyiramnya; Allah akan mengurniakan pahala menurut kerja masing-masing. 9 Kami orang yang bekerja bersama-sama untuk Allah, dan kamu bagaikan ladang Allah. Kamu juga bagaikan bangunan Allah. 10 Dengan kurnia yang dianugerahkan Allah, aku sebagai pembina yang mahir sudah meletakkan asas bangunan tersebut, dan orang lain membina bangunan di atas asas itu. Tetapi setiap orang haruslah membinanya dengan cermat, 11 kerana Allah sendiri sudah menempatkan Yesus Kristus sebagai satu-satunya asas bagi bangunan itu, dan tidak ada asas yang lain. 12 Ada orang yang menggunakan emas, perak, atau batu permata untuk mendirikan bangunan di atas asas itu. Ada juga orang yang menggunakan kayu, rumput kering ataupun jerami. 13 Tetapi mutu kerja setiap orang akan kelihatan pada hari Kristus datang kembali, kerana pada hari itu api akan menyatakan kerja setiap orang. Api akan menguji dan menentukan mutu kerja setiap orang. 14 Jika apa yang didirikan di atas asas itu tahan api, pembinanya akan menerima pahala. 15 Tetapi jika kerja seseorang terbakar, dia akan rugi. Dia sendiri akan selamat, seperti orang yang melepaskan diri daripada api. 16 Tentu kamu tahu bahawa kamu tempat kediaman Allah, kerana Roh Allah tinggal di dalam kamu! 17 Oleh itu, jika seseorang memusnahkan tempat kediaman Allah, Allah pun akan memusnahkan orang itu, kerana tempat kediaman Allah itu khas untuk Allah dan kamulah tempat kediaman-Nya. 18 Janganlah sesiapa pun menipu diri sendiri. Jika sesiapa antara kamu menganggap dirinya bijak menurut penilaian dunia ini, biarlah dia menjadi bodoh supaya dia menjadi benar-benar bijaksana. 19 Hal itu demikian kerana apa yang dianggap oleh dunia sebagai kebijaksanaan, sebenarnya suatu kebodohan di sisi Allah. Di dalam Alkitab tertulis, "Allah memerangkap orang bijak dengan kepintaran mereka sendiri.'' 20 Ada tertulis juga, "Tuhan tahu bahawa fikiran orang bijak itu sia-sia.'' 21 Oleh itu, janganlah seorang pun membanggakan perbuatan manusia. Sebenarnya semuanya sudah diberikan kepada kamu: 22 Paulus, Apolos, Petrus, dunia ini, kehidupan dan kematian, zaman ini ataupun zaman akan datang. Semuanya milik kamu, 23 dan kamu milik Kristus, dan Kristus milik Allah.

1 Korintus 4

1 Kamu harus menganggap kami sebagai hamba Kristus, yang bertanggungjawab untuk mengisytiharkan rancangan Allah yang belum diketahui oleh dunia. 2 Inilah sifat utama yang harus dimiliki oleh seorang hamba seperti itu: Dia harus setia kepada tuannya. 3 Aku tidak menghiraukan apa yang kamu fikirkan tentang diriku ataupun apa yang difikirkan oleh sesiapa pun tentang diriku. Apa yang aku fikirkan tentang diriku sendiri pun tidak penting. 4 Aku tidak berasa bersalah, tetapi hal itu tidak membuktikan bahawa aku tidak bersalah. Tuhan sahaja yang berhak menentukan sama ada aku bersalah atau tidak. 5 Oleh itu, janganlah kamu buat keputusan bahawa seseorang bersalah atau tidak, sebelum waktunya. Tunggulah sehingga Tuhan datang kelak; Dia akan mendedahkan segala rahsia yang tersembunyi dalam kegelapan. Dia juga akan membongkar segala niat yang terpendam di dalam hati manusia. Barulah setiap orang akan mendapat pujian yang layak diterimanya daripada Allah. 6 Saudara-saudaraku! Demi kepentingan kamu, semua itu sudah aku kenakan kepada Apolos dan diriku sendiri. Dengan menggunakan diri kami sebagai contoh, kamu dapat memahami erti pepatah ini, "Patuhlah kepada peraturan yang ada.'' Oleh itu tidak seorang pun antara kamu dapat membanggakan seseorang, dan menghina yang lain. 7 Siapakah yang menjadikan dirimu lebih baik daripada orang lain? Bukankah Allah yang mengurniai kamu segala yang kamu miliki? Oleh itu, bagaimanakah kamu dapat membanggakan diri, seolah-olah apa yang kamu miliki itu bukan suatu kurnia? 8 Memang kamu tidak memerlukan apa-apa lagi! Memang kamu sudah kaya! Kamu sudah menjadi raja, tetapi kami tidak. Alangkah baiknya jika kamu benar-benar raja, supaya kami dapat memerintah bersama-sama kamu. 9 Hal itu demikian, kerana pada pendapatku, Allah memberikan kedudukan yang paling hina kepada kami rasul-rasul. Kami seperti orang yang dijatuhi hukuman mati di hadapan umum, dan dijadikan tontonan untuk semua malaikat dan umat manusia. 10 Kerana Kristus, kami menjadi orang bodoh, tetapi kerana Kristus kamu menjadi bijak. Kami lemah, tetapi kamu kuat! Kami dihina, tetapi kamu dihormati! 11 Sampai saat ini kami lapar dan haus; baju kami buruk; kami dipukul; kami tidak mempunyai tempat tinggal yang tetap; 12 kami membanting tulang untuk mencari nafkah; kami membalas kutukan dengan berkat, dan bersabar apabila dianiaya. 13 Kami membalas cacian dengan kata-kata manis. Kami dianggap seperti sampah masyarakat; hingga saat ini kami masih dianggap sebagai sampah dunia. 14 Aku menulis hal ini kepada kamu bukanlah untuk mempermalukan kamu, tetapi untuk menasihati kamu seperti anak-anak sendiri yang aku kasihi. 15 Aku berkata demikian kerana sungguhpun sebagai orang Kristian kamu mungkin mempunyai sepuluh ribu orang pengasuh, tetapi kamu hanya mempunyai seorang bapa. Dalam hidup kamu sebagai orang yang bersatu dengan Kristus Yesus, aku menjadi seperti bapa kepada kamu, kerana aku yang membawa Berita Baik kepada kamu. 16 Oleh itu aku menggesa kamu supaya mengikut teladanku. 17 Bagi tujuan itu aku mengutus Timotius kepada kamu. Sebagai pengikut Kristus, dia seperti anakku sendiri yang aku kasihi, dan dia dapat dipercayai. Dia akan mengingatkan kamu cara hidup yang aku ikuti setelah aku percaya kepada Kristus Yesus, iaitu cara hidup yang aku ajarkan kepada jemaah di mana-mana. 18 Beberapa orang di kalangan kamu menjadi sombong, kerana mereka menyangka aku tidak akan melawat kamu. 19 Jika diperkenankan Tuhan, aku akan melawat kamu tidak lama lagi. Lalu aku akan melihat apa yang dapat dilakukan oleh mereka yang sombong itu, bukan hanya apa yang dikatakan oleh mereka. 20 Aku berkata demikian kerana Pemerintahan Allah dalam kehidupan seseorang dinyatakan oleh kekuatan hidupnya dan bukan oleh kata-katanya. 21 Yang manakah pilihan kamu? Haruskah aku datang kepada kamu untuk mengajar dengan keras, atau datang untuk mengajar dengan kasih sayang dan kelembutan?

1 Korintus 5

1 Sebenarnya aku menerima laporan bahawa perbuatan cabul yang keterlaluan berlaku di kalangan kamu. Orang yang tidak mengenal Tuhan pun tidak melakukannya. Aku diberitahu bahawa seorang lelaki berzina dengan ibu tirinya! 2 Meskipun demikian, kamu masih membanggakan diri! Sebaliknya kamu seharusnya berdukacita, dan kamu harus memastikan bahawa orang yang sudah melakukan perbuatan itu dibuang daripada kalangan kamu. 3 Meskipun aku jauh daripada kamu secara lahir, tetapi secara batin aku bersama-sama kamu. Oleh itu dengan kekuasaan Tuhan Yesus, aku menjatuhkan hukuman kepada orang yang melakukan perbuatan sekeji itu. Pada waktu kamu berkumpul, anggaplah aku hadir antara kamu secara batin, dan dengan kuasa Tuhan kita Yesus, 5 kamu harus menyerahkan orang itu kepada Iblis supaya tubuhnya dibinasakan. Dengan demikian rohnya boleh diselamatkan pada hari Tuhan datang kembali. 6 Kamu tidak patut sombong! Tentu kamu tahu akan pepatah ini, "Ragi yang sedikit membuat seluruh adunan naik!'' 7 Buanglah ragi yang lama, iaitu ragi dosa, supaya kamu menjadi seperti adunan baru yang tidak beragi. Sebenarnya aku tahu bahawa kamu memang demikian. Perayaan Paska kita sudah tersedia, kerana Kristus, domba Paska kita sudah dikorbankan. 8 Marilah kita rayakan Perayaan Paska kita dengan roti yang tidak beragi, iaitu roti yang melambangkan kemurnian dan kejujuran. Janganlah kita rayakan Perayaan Paska dengan roti yang beragi lama, iaitu ragi dosa dan kejahatan. 9 Di dalam suratku yang lepas, aku memberitahu kamu supaya jangan bergaul dengan orang cabul. 10 Yang aku maksudkan bukanlah orang cabul atau tamak, atau penipu, atau penyembah berhala yang sama sekali tidak mengenal Allah. Bukan! Jika kamu harus menjauhkan diri daripada mereka, kamu terpaksa keluar dari dunia ini sama sekali. 11 Tetapi inilah maksudku: Kamu tidak patut bergaul dengan orang yang mengaku dirinya orang Kristian, tetapi sebenarnya cabul atau tamak, atau menyembah berhala, atau mengumpat orang, pemabuk ataupun penipu. Janganlah makan dengan orang seperti itu! 12 Bukanlah urusanku untuk mengadili orang bukan Kristian. Allah sendiri akan mengadili mereka. Tetapi kamu harus mengadili anggota jemaah kamu sendiri. Di dalam Alkitab tertulis, "Usirlah orang jahat dari kalangan kamu.''

1 Korintus 6

1 Jika seseorang di kalangan kamu bersengketa dengan saudara seiman, dia seharusnya tidak membawa perkara itu ke hadapan hakim yang tidak mengenal Allah. Dia harus meminta umat Allah menyelesaikan perkara itu. 2 Kamu tentu tahu bahawa umat Allah akan mengadili dunia ini! Jika kamu akan mengadili dunia ini, kamu tentu dapat mengadili perkara yang kecil. 3 Kamu tentu tahu bahawa kita akan mengadili malaikat-malaikat! Oleh itu kita harus dapat mengadili perkara kehidupan sehari-hari! 4 Jika timbul perkara seperti itu, adakah kamu akan mengemukakannya kepada orang yang sama sekali tidak mempunyai kedudukan di kalangan jemaah? 5 Sungguh memalukan! Setidak-tidaknya tentu ada seorang di kalangan kamu yang cukup bijaksana untuk menyelesaikan persengketaan antara sesama orang Kristian. 6 Tetapi sebaliknya, seorang Kristian membawa seorang saudara seiman ke mahkamah, dan meminta orang bukan Kristian menyelesaikan perkara mereka. 7 Sebenarnya persengketaan di kalangan kamu yang memerlukan penyelesaian mahkamah, menunjukkan bahawa kamu tidak hidup berdasarkan ajaran Kristus. Lebih baiklah kamu diperlakukan dengan tidak adil atau dirugikan. 8 Tetapi kamu sendiri yang memperlakukan orang lain dengan tidak adil, dan kamu sendiri yang merugikan orang lain. Bahkan kamu melakukannya terhadap saudara seiman! 9 Kamu tentu tahu bahawa orang yang tidak melakukan kehendak Allah tidak akan menikmati Pemerintahan Allah. Janganlah tipu diri kamu sendiri. Orang yang berbuat cabul, atau yang menyembah berhala, atau yang berzina, atau yang bersemburit, 10 atau yang mencuri, atau yang tamak, atau yang selalu mabuk, atau yang mengumpat orang, atau yang merompak -- semua orang seperti itu tidak akan menikmati Pemerintahan Allah. 11 Demikianlah keadaan beberapa orang antara kamu dahulu. Tetapi Tuhan Yesus Kristus dan kuasa Roh daripada Allah kita membersihkan kamu daripada dosa, menjadikan kamu umat Allah, dan membolehkan kamu berbaik semula dengan Allah. 12 Mungkin seseorang berkata, "Aku dibenarkan melakukan segala sesuatu.'' Betul, tetapi tidak semuanya berfaedah bagi kita. Aku pun dapat berkata bahawa aku dibenarkan melakukan segala sesuatu, tetapi aku tidak akan membiarkan sesuatu pun memperhamba diriku. 13 Seorang lain berkata, "Makanan untuk perut dan perut untuk makanan.'' Betul, tetapi Allah akan meniadakan kedua-duanya. Tubuh kita tidak boleh digunakan untuk melakukan perbuatan cabul, tetapi untuk mengabdikan diri kepada Tuhan, dan Tuhan akan memelihara tubuh kita. 14 Allah sudah membangkitkan Tuhan Yesus daripada kematian, demikian juga Allah akan membangkitkan kita daripada kematian dengan kuasa-Nya. 15 Kamu tahu bahawa tubuh kamu itu anggota tubuh Kristus. Oleh itu, bolehkah aku mengambil anggota tubuh Kristus lalu menjadikannya anggota tubuh seorang pelacur? Sekali-kali tidak! 16 Atau mungkinkah kamu tidak tahu bahawa seseorang yang bersetubuh dengan seorang pelacur, menjadi satu dengan pelacur itu? Di dalam Alkitab tertulis dengan jelas, "Kedua-duanya menjadi satu.'' 17 Tetapi seseorang yang menyatukan diri dengan Tuhan, roh orang itu menjadi satu dengan Roh Tuhan. 18 Jauhkanlah diri kamu daripada perbuatan cabul. Semua dosa lain yang dilakukan orang, tidak dilakukan terhadap tubuh mereka. Tetapi seseorang yang melakukan perbuatan cabul, berdosa terhadap tubuhnya sendiri! 19 Kamu tentu tahu bahawa tubuh kamu itu tempat kediaman Roh Allah. Roh itu tinggal di dalam kamu, dan Allah sendiri yang mengurniakan Roh itu kepada kamu. Diri kamu bukanlah milik kamu, tetapi milik Allah. 20 Kamu sudah dibeli oleh Allah dan harganya sudah dibayar lunas. Oleh itu, gunakanlah tubuh kamu untuk memuliakan Allah.

1 Korintus 7

1 Sekarang aku akan membincangkan masalah yang kamu tulis kepadaku. Jika seorang lelaki tidak berkahwin, hal itu baik. 2 Tetapi supaya tidak tergoda untuk melakukan perbuatan yang cabul, lebih baik setiap lelaki mempunyai isteri masing-masing dan setiap wanita mempunyai suami masing-masing. 3 Seorang suami harus memenuhi kewajipannya sebagai suami kepada isterinya, dan seorang isteri harus memenuhi kewajipannya sebagai isteri kepada suaminya. Masing-masing harus memenuhi kewajipannya kepada yang lain. 4 Seorang isteri tidak berkuasa atas tubuhnya sendiri, tetapi suaminya yang berkuasa atas tubuhnya. Begitu juga seorang suami tidak berkuasa atas tubuhnya sendiri, tetapi isterinya yang berkuasa atas tubuhnya. 5 Janganlah saling jauhkan diri dalam hubungan sebagai suami isteri, kecuali kedua-dua belah pihak bersetuju, dan hanya untuk sementara waktu, supaya masing-masing dapat berdoa dengan tekun. Tetapi setelah itu kamu harus melanjutkan hubungan sebagai suami isteri. Dengan demikian Iblis tidak dapat menyebabkan kamu berdosa kerana kamu tidak dapat menahan nafsu. 6 Aku mengatakan hal ini bukan sebagai perintah, melainkan sebagai nasihat. 7 Sebenarnya aku lebih suka jika kamu semua menjadi seperti aku. Tetapi setiap orang sudah menerima kurnia yang khas daripada Allah. Seorang mempunyai kurnia ini, dan yang lain mempunyai kurnia itu. 8 Kepada mereka yang belum berkahwin dan kepada wanita yang sudah menjadi balu, inilah nasihatku: Lebih baik kamu tetap hidup sendirian seperti aku. 9 Tetapi jika kamu tidak dapat menahan nafsu, maka berkahwinlah. Lebih baik kamu berkahwin daripada nafsu berahi kamu berkobar-kobar. 10 Kepada mereka yang sudah berkahwin, beginilah perintahku. Sebenarnya bukan aku yang memberikan perintah ini, tetapi Tuhan. Seorang isteri tidak boleh meninggalkan suaminya. 11 Tetapi jika seorang isteri meninggalkan suaminya, dia harus tetap tidak bersuami, atau dia kembali kepada suaminya. Seorang suami tidak boleh menceraikan isterinya. 12 Kepada yang lain aku berkata begini (ini nasihatku sendiri, bukan nasihat Tuhan): Jika seorang lelaki Kristian mempunyai isteri yang bukan Kristian, dan isterinya itu bersetuju hidup bersama-sama dia, orang itu tidak boleh menceraikan isterinya. 13 Jika seorang wanita Kristian mempunyai suami yang bukan Kristian, dan suaminya bersetuju hidup bersama-sama dia, maka isteri itu tidak boleh menceraikan suaminya. 14 Seorang suami yang tidak percaya kepada Kristus diterima oleh Allah, kerana perkahwinannya dengan isteri yang percaya kepada Kristus. Begitu juga seorang isteri yang tidak percaya kepada Kristus diterima oleh Allah, kerana perkahwinannya dengan suami yang percaya kepada Kristus. Jika tidak demikian halnya, anak-anak mereka akan menjadi seperti anak-anak orang yang tidak mengenal Allah. Sebenarnya anak-anak itu diterima oleh Allah. 15 Tetapi jika seorang yang bukan Kristian ingin meninggalkan isteri atau suaminya yang Kristian, biarlah dia berbuat demikian. Dalam hal yang demikian, suami atau isteri yang Kristian itu bebas membuat pilihan, tetapi Allah mahu kamu hidup damai. 16 Hai isteri yang sudah percaya kepada Kristus, bagaimana kamu boleh tahu dengan pasti bahawa kamu tidak akan menyelamatkan suami kamu? Begitu juga, hai suami yang sudah percaya kepada Kristus, bagaimana kamu boleh tahu dengan pasti bahawa kamu tidak akan menyelamatkan isteri kamu? 17 Hendaklah masing-masing hidup menurut pimpinan Tuhan seperti yang sudah ditentukan Tuhan baginya, semasa Allah memanggil dia. Inilah peraturan yang aku ajarkan kepada jemaah. 18 Umpamanya, jika seseorang sudah bersunat semasa Allah memanggilnya, maka orang itu tidak boleh mencuba menghapuskan tanda sunat itu. Begitu juga jika seseorang tidak bersunat semasa Allah memanggilnya, orang itu tidak usah minta disunat. 19 Tidaklah penting sama ada orang bersunat atau tidak. Yang penting adalah mentaati perintah Allah. 20 Hendaklah tiap-tiap orang tetap hidup dalam keadaan seperti pada masa Allah memanggilnya dahulu. 21 Jika kamu hamba, semasa dipanggil oleh Allah, janganlah hal ini menyusahkan hati kamu. Tetapi jika kamu mendapat peluang untuk menjadi orang bebas, gunakanlah peluang itu. 22 Hamba yang percaya kepada Tuhan, menjadi orang bebas di sisi Tuhan. Demikian juga orang bebas yang percaya kepada Kristus, menjadi hamba Kristus. 23 Allah sudah membeli kamu dan membayar harganya dengan lunas. Oleh itu, janganlah jadi hamba manusia. 24 Saudara-saudaraku, hendaklah setiap orang hidup bersama-sama Allah seperti dalam keadaan pada waktu dipanggil oleh Allah. 25 Aku tidak menerima perintah daripada Tuhan tentang orang yang belum berkahwin. Tetapi biarlah aku menasihati kamu, kerana oleh belas kasihan Tuhan, aku patut dipercayai. 26 Memandangkan segala kesusahan yang mengancam sekarang ini, aku berpendapat lebih baik seorang lelaki hidup dalam keadaannya seperti sekarang. 27 Jika kamu sudah beristeri, janganlah cuba ceraikan isterimu. Jika kamu belum beristeri, janganlah berkahwin. 28 Tetapi jika kamu berkahwin, kamu tidak berdosa. Begitu juga jika seorang gadis berkahwin, dia tidak berdosa. Tetapi orang yang berkahwin menghadapi banyak kesusahan, dan aku ingin kamu terhindar daripada kesusahan itu. 29 Saudara-saudaraku, maksudku begini: Kita tidak mempunyai banyak masa. Mulai sekarang, setiap lelaki yang beristeri hendaklah hidup seolah-olah dia tidak beristeri; 30 orang yang menangis hendaklah hidup seolah-olah tidak berdukacita; orang yang tertawa hendaklah hidup seolah-olah tidak gembira; orang yang membeli barang hendaklah bersikap seolah-olah tidak memiliki barang yang dibeli; 31 orang yang berurusan dengan hal-hal dunia, hendaklah hidup seolah-olah tidak sibuk dengan hal-hal itu. Kamu harus berbuat demikian kerana dunia dalam keadaan yang sekarang, akan segera lenyap. 32 Aku mahu kamu bebas daripada kekhuatiran. Seorang yang tidak beristeri akan menumpukan perhatian kepada hal-hal Tuhan, kerana dia ingin menyenangkan hati Tuhan. 33 Tetapi seorang yang beristeri menumpukan perhatian kepada hal-hal dunia ini, kerana dia ingin menyenangkan hati isterinya. 34 Akibatnya, hatinya berbelah bagi. Seorang wanita yang tidak bersuami, atau seorang gadis yang tidak berkahwin menumpukan perhatian kepada hal-hal Tuhan, kerana dia ingin mengabdikan seluruh jiwa raga kepada Tuhan. Tetapi seorang wanita yang sudah bersuami menumpukan perhatian kepada hal-hal dunia ini, kerana dia ingin menyenangkan hati suaminya. 35 Aku memberikan nasihat demikian kerana aku ingin menolong kamu. Aku tidak mahu mengadakan larangan ini itu bagi kamu. Sebaliknya aku ingin kamu melakukan apa yang benar dan patut, serta mengabdikan diri kepada Tuhan dengan sepenuh hati. 36 Inilah nasihat untuk pasangan yang sudah bertunang, tetapi mengambil keputusan untuk tidak berkahwin. Jika lelaki itu merasa tidak bertindak dengan sepatutnya terhadap tunangnya dan jika dia tidak dapat menahan nafsunya, serta merasa harus berkahwin dengan gadis itu, hendaklah dia melakukan apa yang dikehendakinya. Dia tidak berdosa, jika mereka berkahwin. 37 Tetapi jika seorang lelaki, tanpa paksaan sesiapa pun, mengambil keputusan untuk tidak berkahwin dengan tunangnya, 38 Dengan demikian orang yang berkahwin, melakukan perbuatan yang lebih baik. 39 Seorang wanita yang sudah berkahwin, terikat kepada suaminya hanya selama suaminya hidup. Setelah suaminya meninggal, wanita itu bebas berkahwin lagi dengan orang yang disukainya; tetapi lelaki itu haruslah seorang Kristian. 40 Tetapi wanita itu akan lebih berbahagia jika dia tidak berkahwin lagi. Hal ini pendapatku sendiri, tetapi aku berpendapat bahawa aku dipimpin oleh Roh Allah.

1 Korintus 8

1 Sekarang aku membincangkan hal makanan yang dipersembahkan kepada berhala. Memang benar seperti kata orang, "Kita semua mempunyai pengetahuan.'' Tetapi pengetahuan menjadikan orang sombong, sedangkan kasih membina kehidupan orang. 2 Sesiapa yang menyangka dirinya mengetahui segala-galanya, sebenarnya tidak mengetahui apa yang seharusnya diketahui. 3 Tetapi orang yang mengasihi Allah, dikenal oleh Allah. 4 Sekarang tentang persoalan makan makanan yang sudah dipersembahkan kepada berhala: Kita tahu bahawa berhala menggambarkan sesuatu yang tidak wujud. Kita juga tahu bahawa Allah hanya satu; tidak ada yang lain. 5 Sekalipun banyak yang disebut dewa dan tuhan, baik yang di syurga mahupun yang di bumi, 6 tetapi bagi kita Allah hanya satu. Dia Bapa yang menciptakan segala sesuatu, dan untuk Dialah kita hidup. Tuhan hanya satu juga, iaitu Yesus Kristus. Melalui Dia segala sesuatu diciptakan, dan kerana Dialah kita hidup. 7 Tetapi tidak semua orang mengetahui hal itu. Ada orang yang dahulu biasa menyembah berhala, sehingga apabila sekarang mereka makan makanan yang sudah dipersembahkan kepada berhala, mereka masih berfikir bahawa makanan itu makanan berhala. Mereka merasa berdosa ketika makan makanan itu, kerana keyakinan mereka tidak teguh. 8 Sebenarnya makanan tidak dapat membuat hubungan kita dengan Allah menjadi lebih baik. Kita tidak akan rugi apa-apa jika kita tidak makan makanan itu dan kita pun tidak akan untung apa-apa jika kita memakannya. 9 Tetapi berwaspadalah! Janganlah biarkan kebebasan kamu untuk melakukan apa sahaja, menyebabkan orang yang tidak yakin akan kepercayaan mereka, berdosa. 10 Andaikata seseorang yang keyakinannya tidak teguh melihat kamu yang dikatakan `berpengetahuan' makan di kuil berhala, bukankah hal itu akan mendorong dia makan makanan yang dipersembahkan kepada berhala? 11 Dengan demikian `pengetahuan' kamu itu menyebabkan saudara kamu binasa, kerana keyakinannya tidak teguh. Padahal Kristus mati bagi dia juga. 12 Oleh itu kamu berdosa terhadap Kristus, kerana kamu berdosa terhadap saudara-saudara Kristian dan melukai keyakinan mereka yang tidak teguh itu. 13 Oleh itu, jika makanan menyebabkan saudaraku berdosa, aku tidak akan makan daging lagi. Dengan demikian aku tidak akan menyebabkan saudaraku berdosa.

1 Korintus 9

1 Bukankah aku orang bebas? Bukankah aku rasul? Tidakkah aku pernah melihat Yesus Tuhan kita? Bukankah kamu hasil kerjaku untuk Tuhan? 2 Meskipun orang lain tidak mahu mengakui aku sebagai rasul, tentu kamu mahu mengakuinya! Kerana kamu hidup bersatu dengan Tuhan, hal ini membuktikan bahawa aku seorang rasul. 3 Apabila orang mencela aku, inilah jawapanku: 4 Adakah kami tidak berhak menerima makanan dan minuman bagi kerja kami? 5 Adakah kami tidak berhak membawa isteri Kristian dalam perjalanan, seperti yang dilakukan oleh saudara-saudara Tuhan Yesus dan oleh rasul-rasul lain, termasuk Petrus? 6 Adakah hanya Barnabas dan aku yang harus mencari nafkah sendiri? 7 Tidak ada askar yang membiayai diri sendiri dalam angkatan perang. Tidak ada peladang yang tidak makan buah anggur dari kebun sendiri. Tidak ada gembala yang tidak minum susu daripada domba mereka. 8 Semua contoh yang aku gunakan, diambil daripada pengalaman sehari-hari, tetapi Taurat pun mengemukakan hal yang sama. 9 Di dalam Taurat Musa tertulis, "Janganlah berangus mulut lembu yang sedang mengirik biji-bijian.'' Tentunya Allah tidak memberikan perhatian kepada lembu sahaja. 10 Bukankah kita yang dimaksudkan oleh Allah, ketika Dia berfirman demikian? Memang perintah itu tertulis untuk kita. Orang yang membajak tanah dan orang yang menuai tuaian sudah selayaknya bekerja dengan harapan menerima sebahagian daripada tuaian itu. 11 Kami sudah menabur benih rohani dalam hidup kamu. Oleh itu sudah sewajarnya jika kami menuai sedikit berkat kebendaan daripada kamu. 12 Jika orang lain berhak mengharapkannya daripada kamu, bukankah kami lebih berhak daripada mereka? Tetapi kami belum menggunakan hak itu. Sebaliknya kami lebih suka menanggung segala sesuatu, supaya kami tidak menghalangi penyebaran Berita Baik tentang Kristus. 13 Tentu kamu tahu bahawa orang yang bekerja di dalam Rumah Tuhan menerima makanan mereka dari Rumah Tuhan. Orang yang bertugas mempersembahkan korban di atas mazbah, menerima sebahagian daripada korban itu. 14 Demikian juga Tuhan sudah menentukan bahawa orang yang mengkhabarkan Berita Baik menerima nafkah daripada kerja mengkhabarkan Berita Baik. 15 Tetapi aku belum pernah menggunakan satu pun daripada hak-hak itu. Aku pun menulis surat ini bukan untuk menuntut hak-hak itu bagi diriku sendiri. Lebih baik aku mati daripada kehilangan apa yang aku banggakan. 16 Aku tidak berhak membanggakan diri, kerana aku mengkhabarkan Berita Baik. Kerja mengkhabarkan Berita Baik adalah perintah Allah bagiku. Malanglah aku, jika aku tidak mengkhabarkan Berita Baik itu. 17 Jika aku melakukan kerja itu menurut kehendakku sendiri, maka aku boleh mengharapkan upah. Tetapi aku mengkhabarkan Berita Baik sebagai suatu kewajipan, kerana Allah sudah menugaskan aku melakukan kerja itu. 18 Maka apakah upahku? Inilah upahku: Aku mendapat hak istimewa untuk mengkhabarkan Berita Baik tanpa meminta bayaran, dan tanpa menuntut hakku sebagai orang yang mengkhabarkan Berita Baik. 19 Aku orang bebas dan aku bukan hamba sesiapa pun. Tetapi aku menjadikan diriku hamba kepada semua orang, supaya aku dapat memimpin banyak orang menjadi pengikut Kristus. 20 Ketika aku mengkhabarkan Berita Baik kepada orang Yahudi, aku berlaku seperti orang Yahudi supaya dapat memimpin mereka menjadi pengikut Kristus. Ketika aku mengkhabarkan Berita Baik kepada orang yang mentaati Taurat Musa, aku berlaku seperti orang yang terikat kepada Taurat, walaupun sebenarnya aku tidak terikat kepada Taurat. Aku melakukannya supaya aku dapat memimpin mereka menjadi pengikut Kristus. 21 Ketika aku mengkhabarkan Berita Baik kepada orang bukan Yahudi, aku berlaku seperti orang bukan Yahudi, yang tidak terikat kepada Taurat orang Yahudi. Aku melakukannya supaya aku dapat memimpin mereka menjadi pengikut Kristus. Tetapi hal ini tidak bererti bahawa aku tidak taat kepada hukum Allah; sebenarnya aku dikuasai oleh hukum Kristus. 22 Di kalangan orang yang tidak yakin akan kepercayaan mereka, aku pun berlaku seperti mereka, supaya aku dapat memimpin mereka menjadi pengikut Kristus. Oleh itu aku menyesuaikan diri dengan keadaan semua orang, supaya dengan segala cara aku dapat menyelamatkan beberapa orang daripada mereka. 23 Semua itu aku lakukan untuk Berita Baik, supaya aku dapat menerima berkatnya juga. 24 Kamu tentu tahu bahawa dalam lumba lari, semua peserta mengambil bahagian dalam perlumbaan, tetapi hanya seorang yang menerima hadiah. Oleh itu larilah sedemikian rupa sehingga kamu mendapat hadiah itu. 25 Setiap ahli sukan yang sedang menjalani latihan harus mematuhi disiplin yang ketat. Dia melakukannya kerana dia ingin mendapat hadiah kejuaraan, walaupun hadiah itu akan rosak. Kita pun seperti ahli sukan yang mematuhi disiplin yang ketat supaya mendapat hadiah kejuaraan yang tidak akan rosak. 26 Itulah sebabnya aku lari terus ke garis penamat. Seperti petinju, aku tidak mahu mensia-siakan tumbukanku. 27 Aku melatih diri dengan giat supaya aku dapat menguasai diri. Aku berbuat demikian, supaya aku tidak ditolak, setelah aku mengkhabarkan Berita Baik kepada orang lain.

1 Korintus 10

1 Saudara-saudaraku, ingatlah akan peristiwa yang berlaku kepada nenek moyang kita yang mengikut Musa. Mereka semua dilindungi oleh tiang awan, dan mereka menyeberangi Laut Merah dengan selamat. 2 Untuk menjadi pengikut Musa, mereka dibaptis di dalam awan dan di dalam laut itu. 3 Mereka semua makan makanan rohani yang sama, 4 dan minum minuman rohani yang sama. Mereka semua minum dari batu rohani yang menyertai mereka; batu itu Kristus sendiri. 5 Meskipun demikian, Allah tidak berkenan kepada kebanyakan daripada mereka. Itulah sebabnya mayat mereka berselerakan di padang gurun. 6 Semua perkara itu menjadi contoh bagi kita untuk mengingatkan kita supaya tidak menginginkan perkara yang jahat, seperti yang dilakukan oleh mereka dahulu; 7 juga supaya kita tidak menyembah berhala seperti yang dilakukan oleh sebahagian daripada mereka. Di dalam Alkitab tertulis, "Umat itu mula makan minum dan menari untuk menyembah berhala.'' 8 Janganlah kita lakukan hal-hal cabul seperti yang dilakukan oleh sebahagian daripada mereka. Dalam sehari dua puluh tiga ribu orang mati akibat perbuatan itu. 9 Janganlah kita cubai Tuhan seperti yang dilakukan oleh sebahagian daripada mereka, sehingga mereka mati dipatuk ular berbisa. 10 Janganlah kita bersungut-sungut seperti yang dilakukan oleh sebahagian daripada mereka, sehingga mereka dibunuh oleh Malaikat Maut. 11 Semua perkara itu berlaku kepada mereka untuk menjadi contoh bagi orang lain. Semua itu ditulis untuk menjadi amaran bagi kita, kerana kita sekarang hidup pada akhir zaman. 12 Sesiapa yang menyangka dirinya berdiri teguh, hendaklah berwaspada supaya tidak jatuh. 13 Tiap-tiap cubaan yang kamu alami itu cubaan yang biasa dialami orang. Tetapi Allah setia kepada janji-Nya. Dia tidak akan membiarkan kamu dicubai lebih daripada yang dapat kamu tanggung. Pada waktu kamu ditimpa cubaan, Dia akan memberikan jalan keluar supaya kamu mendapat kekuatan untuk menanggungnya. 14 Oleh itu, saudara-saudara yang aku kasihi, jauhkanlah diri daripada penyembahan berhala. 15 Aku berkata-kata kepada kamu seperti kepada orang yang bijaksana. Pertimbangkanlah sendiri kata-kataku ini. 16 Semasa Perjamuan Tuhan, kita minum wain dengan mengucap syukur kepada Allah. Hal ini menunjukkan bahawa kita bersatu dengan Kristus dalam kematian-Nya. Semasa roti dibahagi-bahagikan untuk dimakan bersama-sama, hal ini menunjukkan bahawa kita bersatu dalam tubuh Kristus. 17 Kita yang banyak ini satu tubuh, kerana hanya ada satu roti dan kita semua makan daripada roti yang satu itu juga. 18 Perhatikanlah orang Yahudi: Mereka yang makan makanan yang dipersembahkan di atas mazbah, sama-sama beribadat kepada Allah. 19 Adakah aku memaksudkan bahawa berhala ataupun makanan yang dipersembahkan kepada berhala itu tidak mempunyai erti sama sekali? 20 Tidak! Apa yang dipersembahkan di atas mazbah berhala, tidak dipersembahkan kepada Allah melainkan kepada roh-roh jahat. Aku tidak mahu kamu menjadi satu dengan roh-roh jahat. 21 Kamu tidak boleh minum daripada cawan Tuhan, lalu minum pula daripada cawan roh jahat. Kamu tidak boleh makan di meja Tuhan, kemudian makan pula di meja roh jahat. 22 Jika kita cuba melakukannya maka kita akan menyebabkan Tuhan cemburu, dan kita tahu bahawa Dia lebih kuat daripada kita. 23 Orang berkata, "Kita dibenarkan melakukan segala sesuatu.'' Betul, tetapi tidak semuanya berfaedah. "Kita dibenarkan melakukan segala sesuatu'' -- tetapi tidak semua perkara yang kita lakukan membina kehidupan kita. 24 Janganlah seorang pun lakukan sesuatu untuk kepentingan diri sendiri sahaja, tetapi lakukanlah sesuatu untuk kepentingan orang lain. 25 Kamu boleh makan apa sahaja yang dijual di pasar daging. Janganlah bertanya apa-apa, supaya tidak mengganggu hati nurani kamu. 26 Hal itu demikian, kerana di dalam Alkitab tertulis, "Bumi ini dan segala isinya milik Tuhan.'' 27 Jika kamu dijemput makan oleh seorang yang bukan Kristian, dan kamu menerima jemputan itu, maka makanlah makanan yang dihidangkan. Janganlah bertanya apa-apa, supaya tidak mengganggu hati nurani kamu. 28 Tetapi jika seseorang berkata kepada kamu, "Makanan ini sudah dipersembahkan kepada berhala,'' janganlah makan makanan itu, demi kebaikan orang itu dan demi hati nurani. ( 29 Maksudku bukan hati nurani kamu, tetapi hati nurani orang itu.) Mungkin orang bertanya, "Mengapa kebebasanku harus dibatasi oleh hati nurani orang lain? 30 Jika aku bersyukur kepada Allah bagi makananku, mengapa orang harus mencela aku, padahal aku sudah bersyukur kepada Allah bagi makanan itu?'' 31 Apa sahaja yang kamu lakukan, sama ada makan ataupun minum, lakukanlah semuanya untuk memuliakan Allah. 32 Jagalah tingkah laku kamu agar kamu tidak menyebabkan orang lain berdosa, baik orang Yahudi mahupun orang bukan Yahudi, ataupun jemaah Allah. 33 Ikutlah teladanku. Aku berusaha menyenangkan hati semua orang dalam segala sesuatu yang aku lakukan. Aku tidak mengutamakan kepentingan diri sendiri, tetapi kepentingan orang lain, supaya mereka boleh diselamatkan.

1 Korintus 11

1 Ikutlah teladanku, sebagaimana aku pun mengikut teladan Kristus. 2 Aku memuji kamu kerana kamu sentiasa mengingat aku dan mengikut ajaran yang aku berikan kepada kamu. 3 Aku mahu kamu memahami hal ini: Kristus ialah kepala setiap orang lelaki; suami ialah kepala isteri dan Allah ialah kepala Kristus. 4 Oleh itu seorang lelaki yang menudung kepala ketika berdoa atau menyampaikan perkhabaran daripada Allah di hadapan orang ramai, mempermalukan Kristus. 5 Jika seorang wanita tidak menudung kepala ketika berdoa atau menyampaikan perkhabaran daripada Allah di hadapan orang ramai, dia mempermalukan suaminya. Wanita itu seperti wanita yang kepalanya dicukur. 6 Jika seorang wanita tidak mahu menudung kepalanya, lebih baik dia menggunting rambut. Tetapi amat memalukan jika seorang wanita dicukur kepalanya ataupun digunting rambutnya. Oleh itu lebih baik dia menudung kepalanya. 7 Seorang lelaki tidak perlu menudung kepala, kerana dia mencerminkan rupa dan kemuliaan Allah. Tetapi wanita mencerminkan kemuliaan lelaki, 8 kerana lelaki tidak dijadikan daripada wanita, melainkan wanita dijadikan daripada lelaki. 9 Begitu juga lelaki tidak dijadikan untuk kepentingan wanita, tetapi wanita dijadikan untuk kepentingan lelaki. 10 Oleh itu, kerana malaikat-malaikat, seorang wanita harus menudung kepala sebagai tanda bahawa dia dibenarkan berdoa. 11 Meskipun demikian, dalam kehidupan kita sebagai orang Kristian, wanita bergantung kepada lelaki, dan lelaki pun bergantung kepada wanita. 12 Hal itu demikian kerana meskipun wanita dijadikan daripada lelaki, tetapi selepas itu lelaki dilahirkan oleh wanita; dan segala sesuatu berasal daripada Allah. 13 Baiklah kamu pertimbangkan sendiri: Patutkah seorang wanita berdoa kepada Allah di hadapan orang ramai dengan tidak menudung kepala? 14 Menurut kebiasaan, kamu diajar bahawa lelaki yang berambut panjang bukanlah suatu hal yang patut. 15 Tetapi bagi seorang wanita, rambut panjang yang diberikan kepadanya adalah untuk menutupi kepalanya dan menjadi kebanggaannya. 16 Tetapi jika sesiapa mahu bertengkar tentang masalah itu, inilah satu-satunya jawapan yang dapat aku berikan: Baik kita mahupun jemaah Allah lainnya, tidak mempunyai peraturan lain. 17 Tetapi tentang hal yang berikut ini, aku tidak memuji kamu. Pertemuan ibadat kamu sebenarnya tidak membawa kebaikan, melainkan keburukan. 18 Pertama sekali aku diberitahu bahawa dalam pertemuan kamu terdapat golongan yang berlawanan. Aku percaya bahawa sedikit sebanyak laporan itu benar. ( 19 Sebenarnya tidak menghairankan jika timbul perpecahan antara kamu, supaya nyata siapa-siapa orang Kristian yang sejati.) 20 Pada waktu kamu berhimpun, sebenarnya yang kamu makan bukannya Perjamuan Tuhan. 21 Hal itu demikian kerana pada waktu makan, setiap orang berebut makanan, sehingga ada yang tidak mendapat makanan dan ada pula yang menjadi mabuk. 22 Tidakkah kamu mempunyai rumah sendiri, tempat kamu boleh makan minum? Ataukah kamu mahu menghina jemaah Allah dan mempermalukan orang miskin? Apakah yang harus aku katakan kepada kamu? Haruskah aku memuji kamu? Tentu tidak! Aku tidak memuji kamu. 23 Aku berkata demikian kerana ajaran yang aku berikan kepada kamu, aku terima daripada Tuhan: Pada malam itu ketika Tuhan Yesus dikhianati, Dia mengambil roti, 24 mengucap syukur kepada Allah, dan membahagi roti itu lalu berkata, "Inilah tubuh-Ku yang diberikan untuk kamu. Lakukanlah hal ini untuk mengenang Aku.'' 25 Begitu juga setelah habis makan, Dia mengambil cawan itu lalu berkata, "Cawan ini perjanjian Allah yang baru, yang disahkan dengan darah-Ku. Setiap kali kamu meminumnya, lakukanlah hal ini untuk mengenang Aku.'' 26 Oleh itu setiap kali kamu makan roti ini dan minum dari cawan ini, kamu memberitakan kematian Tuhan, sehingga Dia datang. 27 Dengan demikian sesiapa makan roti Tuhan atau minum dari cawan-Nya dengan cara yang tidak menghormati Dia, orang itu berdosa terhadap tubuh dan darah Tuhan. 28 Oleh itu setiap orang harus memeriksa diri lebih dahulu, barulah dia boleh makan roti itu dan minum dari cawan itu. 29 Hal itu demikian, kerana sesiapa makan roti dan minum dari cawan itu dengan tidak mengerti bahawa perjamuan itu berkenaan dengan tubuh Tuhan, orang itu akan mendatangkan hukuman kepada dirinya sendiri. 30 Itulah sebabnya banyak antara kamu yang sakit dan lemah, dan ada juga yang mati. 31 Jika kita memeriksa diri kita lebih dahulu, kita tidak akan dihukum oleh Allah. 32 Tetapi jika kita diadili dan dihukum oleh Tuhan, Dia melakukannya supaya kita tidak dihukum bersama-sama dunia ini. 33 Oleh itu, saudara-saudaraku, jika kamu berhimpun untuk makan Perjamuan Tuhan, kamu harus saling menunggu. 34 Jika sesiapa lapar, dia harus makan di rumah. Dengan demikian pada waktu kamu berhimpun, kamu tidak akan dihukum oleh Allah. Tentang masalah-masalah lain, aku akan menyelesaikannya apabila aku datang kelak.

1 Korintus 12

1 Sekarang aku hendak membincangkan kurnia-kurnia yang diberikan oleh Roh Allah. Aku mahu kamu mengetahui yang sebenarnya tentang hal itu. 2 Pada waktu kamu belum mengenal Tuhan, kamu disesatkan untuk menyembah berhala yang tidak bernyawa. 3 Kamu harus tahu bahawa orang yang dipimpin oleh Roh Allah tidak dapat berkata, "Terkutuklah Yesus!'' Begitu juga tidak seorang pun dapat mengatakan, "Yesuslah Tuhan!'' kecuali orang itu dipimpin oleh Roh Allah. 4 Ada berbagai-bagai kurnia daripada Roh Allah, tetapi semuanya diberikan oleh Roh yang sama. 5 Begitu juga ada berbagai-bagai cara untuk mengabdikan diri kepada Tuhan, tetapi kita mengabdi kepada Tuhan yang sama. 6 Ada berbagai-bagai cara untuk melakukan kerja bagi Tuhan, tetapi Allah yang sama memberikan kebolehan kepada setiap orang untuk melakukan kerja masing-masing. 7 Bagi kebaikan kita semua, Allah memberikan bukti bahawa Roh-Nya ada pada setiap orang. 8 Ada orang yang dapat menyampaikan perkhabaran yang penuh dengan kebijaksanaan. Ada orang lain yang dapat menyampaikan pengetahuan tentang Allah. Tetapi kebolehan-kebolehan itu diberikan oleh Roh yang sama. 9 Kepada yang lain, Roh yang sama mengurniakan kepercayaan yang luar biasa kepada Kristus, sedangkan kepada yang lain pula Roh Allah mengurniakan kuasa untuk menyembuhkan orang sakit. 10 Kepada yang lain, Roh Allah mengurniakan kuasa untuk melakukan mukjizat, dan kepada yang lain pula, Roh itu memberikan kurnia untuk menyampaikan perkhabaran daripada Allah. Kepada yang lain pula, Roh Allah mengurniakan kebolehan untuk membeza-bezakan kurnia yang daripada Roh Allah dan yang bukan daripada Roh Allah. Ada pula yang dapat bertutur dalam pelbagai bahasa yang ajaib, dan ada juga yang dapat menerangkan erti bahasa-bahasa itu. 11 Tetapi semuanya dilakukan oleh Roh yang sama juga. Dia memberi setiap orang kurnia yang berlainan menurut kehendak-Nya sendiri. 12 Kristus bagaikan tubuh manusia, yang mempunyai banyak anggota. Tubuh itu satu tetapi terdiri daripada banyak anggota. 13 Demikian juga kita semua, baik orang Yahudi mahupun orang bukan Yahudi, baik hamba mahupun orang bebas; kita semua sudah dibaptis oleh Roh yang sama, supaya kita menjadi satu tubuh. Allah sudah mencurahkan Roh yang sama itu kepada kita. 14 Aku berkata demikian kerana tubuh tidak terdiri daripada satu anggota sahaja, melainkan banyak anggotanya. 15 Kaki masih sebahagian daripada tubuh, walaupun kaki mungkin berkata, "Kerana aku bukan tangan, aku bukan bahagian daripada tubuh.'' 16 Telinga masih sebahagian daripada tubuh, walaupun telinga mungkin berkata, "Kerana aku bukan mata, aku bukan bahagian daripada tubuh.'' 17 Bagaimanakah tubuh boleh mendengar, jika seandainya seluruh tubuh itu mata sahaja? Bagaimanakah tubuh boleh menghidu, jika seandainya seluruh tubuh itu telinga sahaja? 18 Tetapi seperti yang kita ketahui, Allah meletakkan tiap-tiap anggota tubuh yang berlainan itu di tempat yang dikehendaki-Nya. 19 Tidak mungkin ada tubuh, jika semuanya hanya satu anggota. 20 Oleh itu memang ada banyak anggota, tetapi hanya satu tubuh. 21 Dengan demikian mata tidak boleh berkata kepada tangan, "Aku tidak memerlukan kamu!'' Kepala pun tidak boleh berkata kepada kaki, "Aku tidak memerlukan kamu!'' 22 Sebaliknya kita amat memerlukan anggota-anggota tubuh yang dianggap lemah. 23 Anggota tubuh yang kita anggap tidak begitu dihargai, kita berikan lebih banyak penghargaan. Anggota tubuh yang tidak selayaknya dipercakapkan, kita perlakukan dengan penuh kesopanan. 24 Anggota-anggota tubuh yang sudah kelihatan cantik tidak memerlukan perhatian. Allah sudah mengatur tubuh kita sedemikian rupa sehingga anggota tubuh yang kita anggap kurang dihargai mendapat lebih banyak penghargaan. 25 Dengan demikian tubuh itu tidak terbahagi-bahagi, dan setiap anggota saling memperhatikan. 26 Jika satu anggota tubuh menanggung penderitaan, semua anggota lain menanggung penderitaan juga. Jika satu anggota tubuh dipuji, semua anggota lain turut bersukacita. 27 Kamu semua tubuh Kristus, dan setiap orang sebahagian daripada tubuh itu. 28 Di kalangan jemaah, Allah sudah memberi semua orang kedudukan masing-masing. Pertama rasul-rasul, kedua nabi-nabi, dan ketiga guru-guru, kemudian mereka yang melakukan mukjizat, lalu mereka yang diberikan kurnia untuk menyembuhkan orang sakit, atau untuk menolong orang lain, atau untuk menjadi pemimpin, ataupun untuk bertutur dalam pelbagai bahasa yang ajaib. 29 Mereka bukan semuanya rasul, atau nabi, ataupun guru. Bukan semuanya mempunyai kuasa untuk melakukan mukjizat, 30 atau untuk menyembuhkan orang, atau untuk bertutur dalam pelbagai bahasa yang ajaib, ataupun untuk menerangkan erti apa yang dikatakan dalam bahasa-bahasa itu. 31 Oleh itu, hendaklah kamu berhasrat untuk memperoleh kurnia-kurnia yang lebih utama. Tetapi aku akan menunjukkan kamu jalan yang terbaik.

1 Korintus 13

1 Meskipun aku dapat bercakap dalam pelbagai bahasa manusia, bahkan dalam bahasa malaikat sekalipun, tetapi jika aku tidak mengasihi orang lain, maka kata-kataku hanya seperti bunyi bising yang tidak bermakna. 2 Meskipun aku mempunyai kurnia untuk menyampaikan perkhabaran daripada Allah, dan memahami hal-hal yang dalam, serta hal-hal yang tersembunyi, dan aku juga sangat percaya kepada Allah sehingga dapat mengalihkan gunung, tetapi jika aku tidak mengasihi orang lain, maka aku tidak berguna. 3 Meskipun aku mendermakan semua milikku kepada orang miskin, dan menyerahkan diriku untuk dibakar, tetapi jika aku tidak mengasihi orang lain, maka semua itu tidak berfaedah bagiku. 4 Sesiapa yang mengasihi orang lain, sabar dan baik hati; dia tidak iri hati, tidak bercakap besar, dan tidak sombong. 5 Dia tidak berkasar, tidak mementingkan diri sendiri, tidak cepat tersinggung, dan tidak mendendam. 6 Sesiapa yang mengasihi orang lain, tidak gembira dengan kejahatan. Tetapi dia gembira dengan kebaikan. 7 Dia tahan menghadapi segala sesuatu; dia mempercayai orang lain, tidak hilang harapan, dan sentiasa bersabar. 8 Orang perlu sentiasa mengasihi orang lain. Sekarang ada orang yang dapat menyampaikan perkhabaran daripada Allah, tetapi hal itu hanya untuk sementara. Sekarang ada yang mempunyai kurnia untuk bercakap dalam pelbagai bahasa yang ajaib, tetapi hal itu akan berakhir juga. Sekarang ada orang yang mengetahui banyak hal yang dalam, tetapi semua itu pun akan dilupakan. 9 Hal itu demikian kerana pengetahuan kita dan kebolehan kita untuk menyampaikan perkhabaran daripada Allah, kurang sempurna. 10 Tetapi apabila Allah membuat semuanya sempurna, maka yang tidak sempurna akan lenyap. 11 Semasa aku masih kanak-kanak, aku bercakap, bersikap, dan berfikir seperti kanak-kanak. Tetapi sekarang setelah dewasa, aku tidak lagi berkelakuan seperti kanak-kanak. 12 Allah yang kita lihat sekarang ini hanya seperti bayangan kabur pada cermin muka. Tetapi kelak kita akan melihat-Nya dengan jelas. Sekarang apa yang aku ketahui belum lengkap, tetapi kelak aku akan mengetahui semuanya, seperti Allah mengetahui segala sesuatu tentang diriku. 13 Sementara ini ada tiga perkara yang harus tetap dilakukan: percaya, berharap, dan mengasihi orang lain. Tetapi yang paling penting daripada ketiga-tiganya adalah mengasihi orang lain.

1 Korintus 14

1 Oleh itu, kamu harus berusaha untuk mengasihi orang lain. Berusahalah juga untuk menerima kurnia-kurnia daripada Roh Allah, terutama sekali kurnia untuk menyampaikan perkhabaran daripada Allah. 2 Orang yang bercakap dalam bahasa yang ajaib, tidak bercakap dengan manusia, tetapi mereka bercakap dengan Allah. Tidak seorang pun dapat memahami apa yang dikatakan oleh mereka, kerana Roh Allah menyebabkan mereka berkata-kata tentang hal-hal yang hanya diketahui oleh Allah. 3 Tetapi orang yang menyampaikan perkhabaran daripada Allah, berkata-kata kepada manusia. Dengan demikian mereka menguatkan, menggalakkan dan menghibur orang lain. 4 Orang yang bercakap dalam bahasa yang ajaib hanya menguatkan diri sendiri, sedangkan orang yang menyampaikan perkhabaran daripada Allah meneguhkan jemaah. 5 Alangkah baiknya jika kamu semua dapat bercakap dalam bahasa-bahasa yang ajaib. Tetapi lebih baik lagi jika kamu semua dapat menyampaikan perkhabaran daripada Allah. Orang yang dapat mengkhabarkan berita daripada Allah, lebih berguna daripada orang yang bercakap dalam bahasa-bahasa yang ajaib, kecuali ada antara jemaah yang dapat menjelaskannya supaya jemaah dapat dikuatkan. 6 Saudara-saudaraku, seandainya aku datang kepada kamu dan berkata-kata dalam bahasa-bahasa yang ajaib, apakah faedahnya bagi kamu? Tentu tidak ada faedahnya sama sekali! Lain halnya jika aku menyampaikan suatu kenyataan daripada Allah, atau menjelaskan sesuatu tentang Allah, atau menyampaikan berita daripada Allah, ataupun mengajar. 7 Marilah kita ambil contoh alat-alat muzik yang tidak bernyawa, seperti seruling dan kecapi. Jika not-notnya tidak dimainkan dengan jelas, bagaimanakah orang dapat mengetahui lagu yang dimainkan? 8 Jika trompet ditiup dengan tidak menentu, siapakah yang akan bersiap untuk berperang? 9 Demikian juga, siapakah yang akan memahami apa yang kamu katakan, jika perkhabaran yang kamu sampaikan dalam bahasa yang ajaib itu tidak jelas? Kata-kata kamu itu sia-sia. 10 Banyak bahasa di dunia ini, tetapi semuanya bermakna. 11 Jika aku tidak memahami bahasa yang digunakan seseorang, maka orang itu menjadi seperti orang asing kepadaku; begitu juga aku kepada dia. 12 Aku tahu bahawa kamu ingin sekali menerima kurnia-kurnia daripada Roh Allah. Tetapi yang terutama, kamu harus berusaha untuk menggunakan kurnia-kurnia yang dapat meneguhkan jemaah. 13 Seseorang yang bercakap dalam bahasa yang ajaib, harus berdoa supaya Allah juga menganugerahi dia kurnia untuk menerangkan apa yang dikatakannya itu. 14 Jika aku berdoa dalam bahasa yang ajaib, rohku memang berdoa, tetapi fikiranku tidak terlibat. 15 Jika demikian, apakah yang harus aku lakukan? Aku akan berdoa dengan rohku, tetapi aku akan berdoa dengan fikiranku juga. Aku akan menyanyi dengan rohku, tetapi aku akan menyanyi dengan fikiranku juga. 16 Jika kamu mengucap syukur kepada Allah dengan rohmu sahaja, orang lain dalam pertemuan itu tidak dapat berkata `Amin' atau `Aku bersetuju', apabila kamu selesai berdoa. Dia tidak memahami apa yang kamu katakan. 17 Meskipun doa kesyukuranmu itu baik, tetapi kamu tidak meneguhkan orang lain. 18 Aku bersyukur kepada Allah kerana aku lebih sering bercakap dalam pelbagai bahasa yang ajaib daripada kamu semua. 19 Tetapi ketika jemaah berkumpul untuk beribadat, aku lebih suka menggunakan lima patah kata yang dapat difahami orang daripada menggunakan beribu-ribu patah kata dalam bahasa yang ajaib. Dengan demikian aku dapat mengajar orang lain dengan jelas. 20 Saudara-saudaraku, janganlah berfikir seperti kanak-kanak. Kamu haruslah seperti kanak-kanak yang tidak mengetahui apa-apa tentang kejahatan, tetapi kamu harus matang dalam pemikiran kamu. 21 Di dalam Alkitab tertulis, "Tuhan berfirman, `Melalui orang yang berkata-kata dalam bahasa yang ajaib, Aku akan berfirman kepada umat-Ku. Bahkan melalui orang asing, Aku akan berfirman kepada umat-Ku, namun demikian umat-Ku tidak mahu mendengar firman-Ku.' '' 22 Oleh itu, kurnia untuk bercakap dalam bahasa-bahasa yang ajaib adalah tanda untuk orang yang tidak percaya kepada Kristus, dan bukan untuk orang yang percaya kepada Kristus. Tetapi kurnia untuk menyampaikan perkhabaran daripada Allah adalah tanda untuk orang yang percaya kepada Kristus, bukan untuk orang yang tidak percaya kepada-Nya. 23 Andaikata jemaah berkumpul lalu semua orang mula bercakap dalam bahasa-bahasa yang ajaib, dan andaikata beberapa orang luar atau orang bukan Kristian datang, tentu mereka akan menyangka kamu semua gila. 24 Tetapi jika kamu semua menyampaikan perkhabaran daripada Allah, lalu datanglah orang bukan Kristian atau orang luar, orang itu akan mendengar apa yang kamu katakan dan menyedari dosa-dosanya. Dia akan disalahkan oleh apa yang didengarnya. 25 Semua hal yang tersembunyi di dalam hatinya akan terdedah. Lalu dia akan merendahkan diri dan menyembah Allah serta mengaku, "Allah benar-benar hadir di kalangan kamu!'' 26 Saudara-saudaraku, beginilah maksudku. Pada waktu kamu berhimpun untuk menyembah Tuhan, hendaklah seorang menyanyi, seorang lagi mengajar, seorang lagi menyampaikan perkhabaran daripada Allah, seorang lagi menyampaikan perkhabaran dalam bahasa yang ajaib, dan seorang lagi menjelaskan apa yang dikatakan orang itu. Semuanya harus dilakukan untuk menolong dan membina jemaah. 27 Jika ada yang hendak bercakap dalam bahasa yang ajaib, paling banyak haruslah dua atau tiga orang sahaja bergilir bercakap. Seseorang haruslah menjelaskan apa yang dikatakan itu. 28 Tetapi jika di situ tidak ada orang yang dapat menjelaskannya, maka orang yang bercakap dalam bahasa yang ajaib harus diam. Biarlah mereka berkata-kata dalam hati sahaja kepada Allah. 29 Dua atau tiga orang yang menerima perkhabaran daripada Allah harus menyampaikannya, sementara yang lain mempertimbangkan apa yang dikatakan itu. 30 Tetapi jika seorang yang hadir dalam perjumpaan itu menerima perkhabaran daripada Allah, maka orang yang sedang berkata-kata harus berhenti. 31 Kamu semua boleh menyampaikan perkhabaran daripada Allah, seorang demi seorang. Dengan demikian semua orang akan menerima ajaran dan galakan. 32 Kurnia daripada Roh Allah untuk menyampaikan perkhabaran daripada Allah harus dikendalikan oleh orang yang menyampaikannya. 33 Allah ialah Allah yang suka akan ketertiban, bukan kekacauan. Seperti yang berlaku di semua perjumpaan jemaah Allah, 34 kaum wanita haruslah berdiam diri. Mereka tidak dibenarkan berkata-kata; mereka harus patuh kerana demikianlah ajaran Taurat. 35 Jika mereka hendak mengetahui sesuatu, mereka harus bertanya kepada suami mereka di rumah. Amatlah memalukan jika seorang wanita berkata-kata di perjumpaan jemaah. 36 Perkhabaran Allah tidak datang daripada kamu, dan bukan kamu sahaja yang menerimanya. 37 Jika seseorang menganggap dirinya mempunyai kurnia untuk menyampaikan perkhabaran daripada Allah, atau mempunyai kurnia lain daripada Roh Allah, orang itu harus sedar bahawa apa yang aku tuliskan ini perintah daripada Tuhan. 38 Jika dia tidak mahu menerima perintah itu, janganlah pedulikan dia. 39 Oleh itu, saudara-saudaraku, berusahalah untuk menyampaikan perkhabaran daripada Allah, tetapi janganlah larang orang bercakap dalam bahasa-bahasa yang ajaib. 40 Semuanya harus dilakukan dengan baik dan teratur.

1 Korintus 15

1 Saudara-saudaraku, sekarang aku hendak mengingatkan kamu tentang Berita Baik yang aku khabarkan dahulu. Kamu menerimanya, dan kepercayaan kamu kepada Kristus berdasarkan Berita Baik itu. 2 Itulah Berita Baik, perkhabaran yang aku beritakan kepada kamu. Berita Baik itu akan menyelamatkan kamu jika kamu berpegang kepadanya dengan teguh. Tetapi jika kamu tidak berpegang kepadanya dengan teguh, maka kepercayaan kamu sia-sia. 3 Apa yang aku sampaikan kepada kamu adalah apa yang sudah aku terima. Inilah perkara terpenting: Kristus mati kerana dosa kita, sesuai dengan yang tertulis di dalam Alkitab. 4 Hal ini juga tertulis di dalam Alkitab: Dia dikuburkan dan pada hari ketiga Dia dihidupkan semula. 5 Setelah itu Dia menampakkan diri kepada Petrus, dan kemudian kepada dua belas orang rasul. 6 Sesudah itu Dia menampakkan diri kepada lebih daripada lima ratus orang pengikut-Nya sekaligus. Kebanyakan daripada mereka masih hidup, meskipun beberapa orang sudah meninggal. 7 Sesudah itu Dia menampakkan diri juga kepada Yakobus dan kemudian kepada semua rasul. 8 Terakhir sekali Dia juga menampakkan diri kepadaku, yang lahir bukan pada waktunya. 9 Aku ini rasul yang paling tidak penting. Sebenarnya aku tidak layak disebut rasul, kerana aku sudah menganiaya jemaah Allah. 10 Tetapi kerana rahmat Allah, aku menjadi seperti sekarang ini dan berkat-Nya kepadaku tidak sia-sia. Sebaliknya aku bekerja lebih keras daripada semua rasul yang lain. Sebenarnya hal itu bukan usahaku sendiri, tetapi usaha Allah yang mengasihi aku dan yang bekerja bersama-samaku. 11 Oleh itu, sama ada aku yang mengkhabarkan Berita Baik kepada kamu ataupun rasul-rasul lain yang melakukannya, hal itu tidak penting. Kami semua mengisytiharkan perkhabaran yang sama dan kamu semua percaya kepadanya. 12 Kami mengisytiharkan bahawa Kristus sudah dibangkitkan daripada kematian. Mengapa beberapa orang di kalangan kamu berkata bahawa orang mati tidak akan dibangkitkan? 13 Jika orang mati tidak dibangkitkan, hal itu bererti Kristus pun tidak dibangkitkan. 14 Jika Kristus tidak dibangkitkan daripada kematian, maka berita yang kami khabarkan dan kepercayaan kamu kepada Kristus sia-sia belaka. 15 Hal itu juga bererti kami berdusta tentang Allah, kerana kami berkata bahawa Allah sudah membangkitkan Kristus daripada kematian. Jika memang benar orang mati tidak dibangkitkan, maka Allah tidak membangkitkan Kristus daripada kematian. 16 Jika orang mati tidak dibangkitkan, maka Kristus pun tidak dibangkitkan. 17 Jika Kristus tidak dibangkitkan daripada kematian, maka kepercayaan kamu itu khayalan belaka dan kamu masih dikuasai dosa. 18 Hal itu juga bererti orang yang percaya kepada Kristus dan yang sudah mati, semuanya tidak mempunyai harapan. 19 Jika harapan kita kepada Kristus terbatas kepada hidup kita di dunia ini sahaja, maka kitalah yang paling malang antara semua orang di dunia ini! 20 Tetapi sebenarnya Kristus sudah dibangkitkan daripada kematian. Itulah jaminan bahawa mereka yang sudah mati akan dibangkitkan juga. 21 Hal itu demikian kerana sebagaimana kematian datang ke dunia melalui satu orang, begitu juga kebangkitan daripada kematian diberikan melalui satu orang. 22 Sebagaimana semua orang mati kerana tergolong satu dengan Adam, begitu juga semua orang akan dihidupkan semula kerana tergolong satu dengan Kristus. 23 Masing-masing akan dihidupkan semula menurut gilirannya: mula-mula Kristus; kemudian mereka yang menjadi milik-Nya akan dihidupkan semula ketika Kristus datang lagi. 24 Kemudian tibalah akhir zaman. Pada waktu itu Kristus akan menaklukkan semua pemerintah, penguasa dan pemimpin, lalu Kristus akan menyerahkan kekuasaan-Nya sebagai raja kepada Allah, Bapa kita. 25 Kristus harus terus memerintah sehingga Allah menaklukkan semua musuh Kristus di bawah kekuasaan Kristus. 26 Musuh yang terakhir yang akan ditaklukkan ialah kematian. 27 Di dalam Alkitab tertulis, "Allah sudah menaklukkan segala sesuatu di bawah kekuasaan-Nya.'' Jelaslah bahawa kata "segala sesuatu'' itu tidak termasuk Allah sendiri, yang menaklukkan segala sesuatu di bawah kekuasaan Kristus. 28 Tetapi setelah segala sesuatu ditaklukkan di bawah pemerintahan Kristus, maka Dia sendiri sebagai Anak Allah akan meletakkan diri-Nya di bawah kekuasaan Allah, yang menyerahkan segala-galanya kepada-Nya. Demikianlah pada akhirnya Allah sendiri akan memerintah semuanya. 29 Bagaimana halnya dengan mereka yang dibaptis untuk orang mati? Apakah yang diharapkan oleh mereka? Jika memang benar orang mati tidak akan dihidupkan semula, mengapa mereka mahu dibaptis untuk orang mati? 30 Jika tidak ada kebangkitan daripada kematian, mengapa kami mahu menghadapi bahaya setiap saat? 31 Saudara-saudaraku, setiap hari aku menghadapi maut! Aku berkata demikian kerana aku bangga akan kamu, dan kerana kita hidup bersatu dengan Kristus Yesus, Tuhan kita. 32 Dari segi kemanusiaan, apa gunanya berjuang seolah-olah melawan binatang buas di kota Efesus ini? Jika memang orang mati tidak dihidupkan semula, maka lebih baik kita hidup seperti pepatah ini, "Marilah kita makan minum dan bersuka-suka, kerana esok kita akan mati.'' 33 Janganlah kamu tertipu! "Persahabatan yang buruk merosakkan akhlak baik.'' 34 Hendaklah kamu insaf dan jangan berdosa lagi. Kamu seharusnya malu, kerana beberapa orang antara kamu masih belum mengenal Allah. 35 Mungkin orang bertanya, "Bagaimanakah orang mati dihidupkan semula? Tubuh apakah yang akan dimiliki mereka?'' 36 Kamu sungguh bodoh! Apabila kamu menanam benih di tanah, benih itu tidak akan tumbuh kecuali benih itu mati dahulu. 37 Yang kamu tanam di tanah itu benih semata-mata -- mungkin benih gandum ataupun benih lain -- bukan seluruh pokok yang akan tumbuh kelak. 38 Allah memberikan benih itu bentuk seperti yang dikehendaki-Nya sendiri. Setiap benih diberikan bentuk yang sendiri-sendiri. 39 Tubuh makhluk hidup tidak semuanya sama; tubuh manusia, haiwan, burung, dan ikan semuanya berbeza. 40 Demikian juga dengan benda-benda yang di langit dan benda-benda yang di bumi. Keindahan benda-benda yang di langit berbeza dengan keindahan benda-benda yang di bumi. 41 Keindahan matahari lain daripada keindahan bulan. Bintang-bintang pun mempunyai keindahannya sendiri. Sebenarnya bintang-bintang pun mempunyai keindahan yang berlainan. 42 Demikianlah halnya kelak dengan orang mati yang dihidupkan semula. Pada masa tubuh itu dikuburkan, tubuh itu fana; pada masa tubuh itu dibangkitkan, tubuh itu hidup selama-lamanya. 43 Pada masa tubuh itu dikuburkan, keadaannya buruk dan lemah; pada waktu tubuh itu dibangkitkan, tubuh itu cantik dan kuat. 44 Pada masa dikuburkan, tubuh itu tubuh jasmani; pada masa dibangkitkan, tubuh itu tubuh rohani. Jika ada tubuh jasmani, maka ada tubuh rohani juga. 45 Di dalam Alkitab tertulis, "Adam, manusia pertama itu diciptakan sebagai makhluk hidup,'' tetapi Adam yang terakhir itu Roh yang memberikan hidup. 46 Yang jasmani datang lebih dahulu, kemudian datanglah yang rohani. 47 Adam yang pertama dijadikan daripada tanah di bumi, tetapi Adam yang kedua berasal dari syurga. 48 Orang yang tergolong orang dunia adalah seperti Adam yang dijadikan daripada tanah. Tetapi orang yang tergolong orang syurga adalah seperti Dia yang datang dari syurga. 49 Sebagaimana kita sekarang seperti orang yang dijadikan daripada tanah, maka kelak kita akan menjadi seperti Dia yang dari syurga itu. 50 Saudara-saudaraku, inilah maksudku: Tubuh yang dijadikan daripada daging dan darah, tidak dapat masuk ke Dunia Baru Allah; tubuh yang fana tidak dapat menjadi abadi. 51 Ketahuilah rahsia ini: Tidak semua daripada kita akan mati. Tetapi ketika trompet dibunyikan untuk kali terakhir, dengan tiba-tiba dan dalam sekejap mata kita semua akan diubah. Hal itu berlaku, kerana ketika trompet dibunyikan, orang mati akan dibangkitkan dengan tubuh yang abadi, dan kita semua akan diubah. 53 Tubuh yang fana harus diganti dengan tubuh yang abadi. Tubuh yang akan mati harus diganti dengan tubuh yang tidak dapat mati. 54 Apabila tubuh yang fana sudah diganti dengan tubuh yang abadi, dan tubuh yang akan mati sudah diganti dengan tubuh yang tidak dapat mati, maka berlakulah apa yang tertulis di dalam Alkitab, "Kematian sudah dilenyapkan, dan kemenangan sudah tercapai!'' 55 "Hai maut, di manakah kemenanganmu? Hai maut, di manakah sengatmu?'' 56 Sengat maut itu dosa, dan dosa mendapat kuasa daripada Taurat. 57 Tetapi kita bersyukur kepada Allah yang memberikan kemenangan kepada kita melalui Yesus Kristus Tuhan kita! 58 Oleh itu, saudara-saudara yang aku kasihi, hendaklah kamu teguh dan kukuh. Hendaklah kamu rajin bekerja untuk Tuhan, kerana kamu tahu bahawa semua yang kamu lakukan untuk Tuhan, tidak sia-sia.

1 Korintus 16

1 Sekarang aku hendak membincangkan wang yang hendak kamu kumpulkan untuk membantu umat Allah di Yudea. Kamu harus melakukan apa yang aku beritahukan kepada kumpulan-kumpulan jemaah di Galatia. 2 Pada tiap-tiap hari Ahad, setiap orang daripada kamu haruslah menyimpan sedikit wang sesuai dengan pendapatannya. Simpanlah wang itu sehingga aku datang, supaya pada waktu itu tidak payah lagi mengumpulkannya. 3 Setelah aku datang, aku akan memberikan surat pengenalan kepada beberapa orang yang kamu setujui. Aku akan mengutus mereka untuk membawa wang derma kamu ke Yerusalem. 4 Jika ada manfaatnya aku ikut serta, maka aku akan pergi bersama-sama mereka. 5 Aku akan melawat kamu setelah aku melalui Makedonia, kerana aku bermaksud akan lalu di situ. 6 Barangkali aku akan tinggal dengan kamu untuk beberapa lama, mungkin sepanjang musim sejuk. Setelah itu kamu boleh membantu aku meneruskan perjalanan ke tempat berikutnya. 7 Aku tidak mahu melawat kamu untuk masa yang singkat sahaja. Jika diperkenankan Tuhan, aku ingin tinggal agak lama dengan kamu. 8 Sementara itu aku akan tinggal di sini di Efesus, sehingga hari Pentakosta. 9 Di sini aku mempunyai banyak peluang untuk melakukan kerja yang bermanfaat, meskipun banyak juga orang yang menentang aku. 10 Jika Timotius datang, sambutlah dia dengan baik, kerana dia pun seperti aku yang bekerja untuk Tuhan. 11 Janganlah sesiapa pun memandang rendah kepadanya, tetapi bantulah dia meneruskan perjalanannya untuk kembali kepadaku dengan sejahtera, kerana aku menantikan kedatangannya bersama dengan saudara-saudara yang lain. 12 Sekarang tentang saudara kita, Apolos. Sudah beberapa kali aku menganjurkan dia melawat kamu bersama dengan saudara-saudara yang lain. Tetapi dia tidak yakin bahawa dia harus pergi sekarang. Jika ada peluang kelak, tentu dia akan datang. 13 Hendaklah kamu waspada dan teguh dalam hidup kamu sebagai orang Kristian. Hendaklah kamu tabah hati dan sungguh-sungguh percaya kepada Tuhan. 14 Lakukanlah semua kerja kamu dengan kasih. 15 Tentu kamu mengenal Stefanus dan keluarganya; merekalah yang mula-mula menjadi orang Kristian di negeri Akhaya. Dengan sepenuh hati mereka melayani umat Allah. 16 Aku menganjurkan kamu supaya menurut pimpinan orang seperti itu dan setiap orang yang bekerjasama, dan melayani jemaah dengan mereka. 17 Aku bergembira dengan kedatangan Stefanus, Fortunatus, dan Akhaikus. Ketibaan mereka itu seolah-olah ketibaan kamu sendiri, kerana aku rindu akan kamu. 18 Mereka sungguh menggembirakan aku sebagaimana mereka sudah menggembirakan kamu. Orang seperti itu harus dihargai. 19 Kumpulan-kumpulan jemaah di Asia menyampaikan salam mereka kepada kamu. Akwila dan Priska serta jemaah yang berkumpul di rumah mereka pun mengirim salam Kristian yang mesra. 20 Semua saudara di sini menyampaikan salam mereka. Bersalam-salamanlah dengan mesra sebagai saudara-saudara Kristian. 21 Aku sendiri yang menulis salam ini: Salam daripada Paulus. 22 Terkutuklah orang yang tidak mengasihi Tuhan! Maranatha -- Ya Tuhan kami, datanglah! 23 Semoga Tuhan Yesus memberkati kamu. 24 Kasihku menyertai kamu semua yang hidup bersatu dengan Kristus Yesus.

2 Korintus 1

1 Surat ini daripada Paulus yang dilantik sebagai rasul Yesus Kristus menurut kehendak Allah, dan daripada saudara kita Timotius. Surat ini ditujukan kepada jemaah Allah di Korintus, dan kepada semua umat Allah di seluruh Akhaya. 2 Semoga Allah Bapa kita dan Tuhan Yesus Kristus mengurniai kamu berkat dan kesejahteraan. 3 Marilah kita bersyukur kepada Allah, Bapa Tuhan kita Yesus Kristus. Dia Bapa yang berbelas kasihan dan Dia Allah yang sentiasa menolong kita. 4 Dia menolong kami semasa kami mengalami kesusahan, supaya dengan pertolongan yang kami terima daripada Allah, kami pun dapat menolong semua orang yang mengalami kesusahan. 5 Penderitaan yang dialami oleh Kristus, kami alami juga. Melalui Kristus juga, kami ditolong oleh Allah. 6 Jika kami menderita, hal itu untuk pertolongan dan penyelamatan kamu. Jika kami ditolong oleh Allah, kamu juga mendapat pertolongan sehingga kamu tabah hati dan sabar dalam menghadapi kesusahan yang seperti kami alami. 7 Oleh itu kami selalu yakin akan kamu. Kami tahu bahawa sebagaimana kamu mengalami penderitaan yang kami alami, kamu juga mendapat pertolongan seperti kami. 8 Saudara-saudaraku, kami mahu kamu mengetahui kesusahan yang kami alami di wilayah Asia. Penderitaan yang kami tanggung itu sedemikian berat sehingga kami kehilangan harapan untuk hidup. 9 Kami berasa seolah-olah sudah dijatuhi hukuman mati. Tetapi sebenarnya perkara itu berlaku, supaya kami tidak bergantung kepada diri sendiri, melainkan kepada Allah yang membangkitkan orang mati. 10 Dia sudah menyelamatkan kami daripada bahaya kematian yang besar itu, dan Dia akan menyelamatkan kami. Kepada Dialah kami berharap, kerana Dia akan menyelamatkan kami lagi. 11 Dengan bantuan doa kamu, kami yakin bahawa Allah akan memberkati kami sebagai jawapan kepada doa-doa kamu untuk kami. Lalu banyak orang akan bersyukur kepada Allah kerana kami. 12 Kami merasa bangga kerana hati nurani kami meyakinkan kami bahawa hidup kami di dunia ini, terutama sekali hubungan kami dengan kamu, dikuasai oleh keikhlasan dan ketulusan yang dikurniakan oleh Allah. Kami melakukannya bukan dengan kebijaksanaan manusia, tetapi dengan kebolehan yang diberikan oleh Allah. 13 Kami menulis kepada kamu hanya tentang perkara yang dapat kamu baca dan fahami. Aku berharap kamu akan betul-betul memahami kami kelak, walaupun sekarang kamu kurang memahami kami. Dengan demikian pada hari Tuhan Yesus datang kelak, kamu akan bangga dengan kami, seperti kami pun akan bangga dengan kamu. 15 Aku begitu yakin akan semua itu, sehingga pada mulanya aku bercadang hendak melawat kamu, supaya kamu boleh menerima berkat dua kali ganda. 16 Aku bercadang hendak melawat kamu dalam perjalananku ke Makedonia dan juga dalam perjalanan kembali supaya kamu dapat membantu aku meneruskan perjalanan ke Yudea. 17 Tetapi aku mengubah rancanganku. Adakah hal itu bererti bahawa pendirianku tidak tetap? Semasa aku mencadangkan sesuatu, adakah aku mementingkan diri sendiri sahaja, kerana sebentar berkata "Ya'' dan sebentar "Tidak''? 18 Demi Allah yang dapat dipercayai, janjiku kepada kamu bukanlah "Ya'' dan "Tidak.'' 19 Hal itu demikian kerana Yesus Kristus, Anak Allah yang diisytiharkan kepada kamu oleh Silas, Timotius dan aku sendiri bukanlah "Ya'' dan "Tidak.'' Sebaliknya Dia itu jawapan "Ya'' daripada Allah, 20 kerana melalui Dia, Allah sudah mengatakan "Ya'' kepada semua janji-Nya. Itulah sebabnya melalui Yesus Kristus, kata "Amin'' kita ucapkan untuk memuliakan Allah. 21 Allah sendirilah yang menjadikan kami dan kamu teguh bersatu dengan Kristus. Dia juga sudah memilih kita khas untuk diri-Nya sendiri. 22 Untuk mengesahkan kita sebagai milik Allah, Allah mengurniai kita Roh Allah di dalam hati kita. Roh itu jaminan bahawa Allah akan mengurniakan semua yang sudah dijanjikan-Nya kepada kita. 23 Allah saksiku; Dia tahu akan isi hatiku! Sebenarnya aku membatalkan lawatan ke Korintus, kerana aku tidak mahu menyedihkan hati kamu. 24 Kami tidak mahu memaksa kamu tentang apa yang harus kamu percayai, kerana kamu sungguh-sungguh percaya kepada Kristus. Kami hanya bekerjasama dengan kamu, supaya kamu semakin berbahagia.

2 Korintus 2

1 Oleh itu aku mengambil keputusan untuk tidak melawat kamu lagi supaya tidak menyedihkan kamu. 2 Jika aku menyedihkan kamu, siapa pula yang dapat menggembirakan aku? Tentunya orang yang sudah aku sedihkan. 3 Itulah sebabnya aku menulis surat itu kepada kamu. Dengan demikian apabila aku melawat kamu, aku tidak disedihkan oleh kamu yang seharusnya menggembirakan aku. Kerana aku yakin bahawa apabila aku gembira, kamu semua pun gembira. 4 Aku menulis kepada kamu dengan hati yang sedih dan berat, dan dengan mencucurkan air mata. Aku tidak bermaksud hendak menjadikan kamu sedih, tetapi hendak menyedarkan kamu bahawa aku sangat mengasihi kamu. 5 Jika seseorang sudah menyedihkan orang lain, dia melakukannya bukan terhadap aku, tetapi terhadap kamu semua atau setidak-tidaknya beberapa orang daripada kamu. (Aku berkata demikian kerana aku tidak mahu bersikap terlalu keras terhadap orang itu.) 6 Cukuplah sudah hukuman yang sudah dijatuhkan kepada orang itu oleh kebanyakan daripada kamu. 7 Sekarang kamu harus mengampuni dia dan menggalakkan dia, supaya dia tidak terlalu sedih hati sehingga putus asa. 8 Oleh itu aku meminta supaya kamu meyakinkan dia bahawa kamu benar-benar mengasihi dia. 9 Aku menulis surat itu kepada kamu kerana aku hendak menguji kamu, sama ada kamu sentiasa sedia mentaati aku. 10 Apabila kamu mengampunkan kesalahan seseorang, maka aku pun mengampuni dia. Hal itu demikian kerana pada waktu aku mengampuni dia -- jika memang ada yang perlu diampunkan -- aku mengampuninya di hadapan Kristus untuk kebaikan kamu. 11 Aku berbuat demikian supaya Iblis tidak berpeluang untuk menguasai kita, kerana kita mengetahui rancangannya. 12 Ketika aku tiba di Troas untuk mengkhabarkan Berita Baik tentang Kristus, aku mendapati Tuhan sudah membuka jalan untuk menyampaikan Berita Baik di situ. 13 Tetapi aku gelisah kerana aku tidak dapat menjumpai saudara kita Titus. Oleh itu aku mengucapkan selamat tinggal kepada orang di situ, lalu pergi ke Makedonia. 14 Tetapi syukur kepada Allah! Kerana kami hidup bersatu dengan Kristus, kami sentiasa dipimpin oleh Allah untuk menyertai perarakan kemenangan Kristus. Allah menggunakan kami agar berita tentang Kristus tersebar seperti bau yang harum semerbak ke merata tempat. 15 Kami seperti bau kemenyan yang harum, yang dipersembahkan oleh Kristus kepada Allah. Semerbak baunya merebak kepada orang yang sedang diselamatkan dan kepada orang yang sedang menuju kepada kebinasaan. 16 Bagi orang yang sedang menuju kepada kebinasaan, perkhabaran daripada Allah seperti bau kematian yang membunuh. Tetapi bagi orang yang sedang diselamatkan, perkhabaran itu seperti bau harum yang membawa kehidupan. Siapakah yang layak untuk menjalankan tugas itu? 17 Kami bukan seperti kebanyakan orang lain yang memperlakukan Berita Baik daripada Allah, seperti barang niaga yang murah. Tetapi kerana Allah sudah mengutus kami, kami melakukan tugas itu dengan ketulusan di sisi-Nya, sebagai hamba Kristus.

2 Korintus 3

1 Adakah hal ini kedengarannya seolah-olah kami membanggakan diri lagi? Adakah kami, seperti orang lain, memerlukan surat perakuan untuk kamu, ataupun daripada kamu? Tidak, kami tidak memerlukan surat perakuan. 2 Kamu sendirilah surat perakuan kami, yang tertulis di dalam hati kami dan yang boleh diketahui serta dibaca oleh semua orang. 3 Jelaslah bahawa kamu seperti surat yang ditulis oleh Kristus dan dikirim melalui kami. Surat ini tidak ditulis dengan dakwat, tetapi dengan Roh Allah yang hidup. Surat itu tidak ditulis pada batu tulis, tetapi pada hati manusia. 4 Kami berkata demikian kerana keyakinan kami kepada Allah melalui Kristus. 5 Kami tidak mempunyai suatu alasan pun untuk mendakwa bahawa kami sanggup melakukan kerja itu, tetapi keupayaan itu datangnya daripada Allah. 6 Dialah yang menyebabkan kami sanggup mengabdikan diri kepada perjanjian yang baru. Perjanjian itu tidak terdiri daripada hukum yang tertulis, tetapi daripada Roh Allah. Hukum yang tertulis itu membawa kematian, tetapi Roh Allah memberikan hidup. 7 Taurat itu diukir pada batu tulis dan kemuliaan Allah kelihatan pada masa Taurat itu diberikan. Walaupun cahaya kemuliaan Allah pada wajah Musa mula pudar, cahaya itu masih begitu gemilang sehingga orang Israel tidak dapat memandang muka Musa. Jika Taurat yang membawa kematian itu diberikan dengan kemuliaan seperti itu, 8 tentu lebih gemilang lagi kemuliaan Allah pada waktu perjanjian yang diberikan oleh Roh Allah dimulakan. 9 Jika Taurat yang membawa hukuman kepada manusia sangat gemilang, maka lebih gemilang lagi perjanjian yang membolehkan manusia berbaik semula dengan Allah. 10 Boleh dikatakan bahawa dengan adanya kemuliaan yang sangat gemilang sekarang ini, kemuliaan yang gemilang pada masa lalu itu sudah tiada. 11 Jika sesuatu yang sementara mempunyai kemuliaan, maka sesuatu yang kekal mempunyai kemuliaan yang lebih gemilang lagi. 12 Kerana kami mempunyai harapan seperti itu, kami dapat berkata-kata dengan keyakinan. 13 Kami tidak seperti Musa yang harus menutupi muka dengan selubung, supaya orang Israel tidak dapat melihat cahaya pada mukanya pudar dan lenyap. 14 Fikiran mereka sudah tertutup. Sampai hari ini pun fikiran mereka masih berselubung pada masa mereka membaca kitab-kitab tentang perjanjian yang lama itu. Selubung ini hanya dapat tersingkap apabila orang bersatu dengan Kristus. 15 Sekarang pun apabila mereka membaca Taurat Musa, fikiran mereka masih berselubung. 16 Tetapi selubung itu dapat ditanggalkan, kerana di dalam Alkitab tertulis, "Musa menanggalkan selubung muka, pada masa dia menghadap Tuhan.'' 17 Tuhan yang dimaksudkan di sini ialah Roh. Sesiapa mempunyai Roh Tuhan, orang itu bebas. 18 Sekarang muka kita tidak berselubung dan kita memantulkan kemuliaan Tuhan. Kemuliaan itu berasal daripada Tuhan, dan Tuhan itu Roh yang mengubah kita semua. Kita semakin menjadi seperti Dia dan semakin memiliki kemuliaan-Nya.

2 Korintus 4

1 Kami tahu bahawa kerana belas kasihan Allah, Dia sudah mengurniai kami tugas ini. Oleh itu kami tidak patah semangat. 2 Kami tidak menggunakan cara gelap yang memalukan; kami tidak berusaha untuk menipu orang ataupun memutarbalikkan firman Allah. Allah saksi kami bahawa kami mengisytiharkan ajaran benar daripada Berita Baik secara terang-terang. Dengan perbuatan itu, kami berharap semua orang akan menilai kami dengan baik dalam hati mereka. 3 Jika Berita Baik yang kami khabarkan itu sukar difahami, maka hanya mereka yang sedang menuju kepada kebinasaan tidak memahaminya. 4 Mereka tidak mahu percaya kepada berita yang kami khabarkan, kerana Iblis yang menguasai dunia ini menjadikan fikiran mereka tertutup. Mereka tidak dapat melihat cahaya yang menyinari mereka. Cahaya itu daripada Berita Baik tentang kemuliaan Kristus, yang merupakan gambaran Allah. 5 Kami tidak menyampaikan berita tentang diri kami sendiri. Kami mengisytiharkan Yesus Kristus itu Tuhan, dan kami ini hamba kamu kerana Yesus. 6 Allah yang berfirman, "Daripada kegelapan, cahaya akan bersinar.'' Allah itu juga yang menyebabkan cahaya-Nya bersinar di dalam hati kami, sehingga kita dapat memahami kemuliaan Allah yang bersinar pada wajah Kristus. 7 Tetapi kami yang memiliki harta rohaniah ini, seperti bekas yang dibuat daripada tanah. Dengan demikian nyatalah bahawa kekuasaan tertinggi dimiliki oleh Allah, bukan kami. 8 Kami sering kali dianiaya, tetapi kami tidak menyerah kalah. Kadangkala kami kebingungan, tetapi tidak pernah putus harapan. 9 Banyak orang memusuhi kami, tetapi Allah tidak pernah meninggalkan kami. Meskipun kami sering dianiaya, kami tidak binasa. 10 Kami selalu menghadapi ancaman hukuman mati seperti yang dialami oleh Yesus, supaya kehidupan-Nya pun nyata pada tubuh kami. 11 Sepanjang hidup kami, kami sentiasa diancam oleh kematian kerana Yesus, supaya kehidupan Yesus pun nyata pada tubuh kami yang fana. 12 Hal ini bererti bahawa kami sentiasa menghadapi ancaman kematian, tetapi kamu mendapat hidup. 13 Di dalam Alkitab tertulis, "Aku berkata-kata kerana aku percaya kepada Allah.'' Dengan kepercayaan seperti itu, kami pun berkata-kata kerana kami percaya. 14 Kami tahu bahawa Allah yang sudah membangkitkan Tuhan Yesus daripada kematian, akan membangkitkan kami juga dengan Yesus, dan membawa kamu serta kami ke hadirat Yesus. 15 Semua ini untuk kebaikan kamu. Kerana semakin banyak orang mengalami rahmat Allah, semakin banyak pula doa kesyukuran yang disampaikan kepada Allah. Dengan demikian Allah dimuliakan. 16 Itulah sebabnya kami tidak tawar hati. Meskipun tubuh kami ini menjadi reput, tetapi batin kami dibaharui setiap hari. 17 Kesusahan yang kami alami ini hanya untuk sementara dan tidak seberapa banyak, tetapi akan mendatangkan kemuliaan yang luar biasa dan kekal. Kemuliaan itu jauh lebih besar jika dibandingkan dengan kesusahan itu. 18 Hal itu demikian kerana kami menumpukan perhatian kepada apa yang tidak kelihatan, dan bukan kepada apa yang kelihatan. Apa yang kelihatan hanya tahan sementara, tetapi apa yang tidak kelihatan itu kekal selama-lamanya.

2 Korintus 5

1 Kami berkata demikian kerana kami tahu bahawa apabila khemah -- iaitu tubuh yang kita diami di dunia ini -- dirobohkan, Allah akan menyediakan tempat tinggal di syurga bagi kita. Tempat tinggal itu dibuat oleh Allah sendiri, dan tahan selama-lamanya. 2 Dalam keadaan yang sekarang ini, kita mengeluh kerana sangat rindu untuk tinggal di khemah yang baru, yang dari syurga. 3 Kita ingin dipakaikan tubuh yang baru itu, supaya kita tidak telanjang. 4 Selama kita tinggal di dalam khemah di dunia ini, kita mengeluh kerana beban kita berat. Bukannya kita ingin meninggalkan tubuh kita yang di dunia ini, tetapi kita ingin dipakaikan tubuh yang dari syurga. Dengan demikian tubuh kita yang fana akan diubah oleh tubuh yang abadi. 5 Allah sudah mempersiapkan kita untuk perubahan itu, dan Dia mengurniai kita Roh-Nya sebagai jaminan bagi segala sesuatu yang disediakan-Nya untuk kita. 6 Oleh itu kami sentiasa tabah hati. Kami tahu bahawa selama kami tinggal di dalam tubuh ini, kami jauh dari tempat tinggal yang akan kami diami bersama-sama Tuhan. 7 Hidup kami berdasarkan kepercayaan kepada Kristus, dan bukan berdasarkan apa yang dapat dilihat. 8 Itulah sebabnya kami tabah hati. Kami lebih suka meninggalkan tubuh ini, supaya dapat tinggal bersama-sama Tuhan. 9 Oleh itu kami ingin menyenangkan hati Tuhan, baik selama kami di tubuh ini di sini, ataupun di sana. 10 Hal itu demikian kerana kita semua harus menghadap Kristus, yang akan menghakimi kita semua. Setiap orang akan mendapat balasan yang setimpal dengan perbuatannya di dunia ini -- perbuatan baik ataupun jahat. 11 Kami mengetahui apa ertinya takut akan Tuhan; itulah sebabnya kami berusaha meyakinkan orang lain. Allah mengenal kami dengan sepenuhnya, dan aku juga berharap kamu mengenal kami dengan baik. 12 Kami tidak mahu membanggakan diri di hadapan kamu. Sebaliknya kami hanya mahu memberikan alasan yang baik, supaya kamu boleh bangga dengan kami. Dengan demikian kamu dapat menjawab orang yang mementingkan rupa orang dan bukan sifat mereka. 13 Jika kami nampaknya gila, hal itu untuk kepentingan Allah. Jika kami nampaknya waras, hal itu untuk kepentingan kamu. 14 Kami dikuasai oleh kasih Kristus; kami sedar bahawa satu orang, iaitu Yesus Kristus sudah mati untuk semua orang. Hal ini bererti bahawa semua orang juga sudah mati secara rohani. 15 Kristus mati untuk semua orang, supaya orang yang hidup tidak lagi hidup untuk diri sendiri, melainkan untuk Dia yang sudah mati dan dibangkitkan untuk kebaikan mereka. 16 Oleh itu, kami tidak lagi menilai seseorang menurut penilaian manusia. Dahulu kami memang pernah menilai Kristus menurut penilaian manusia, tetapi sekarang tidak lagi. 17 Apabila seseorang bersatu dengan Kristus, orang itu menjadi manusia baru. Yang lama sudah lenyap dan yang baru bermula. 18 Semua itu dilakukan oleh Allah. Melalui Kristus, Allah sudah mengubah kita daripada musuh menjadi sahabat-Nya. Dia juga menugaskan kita supaya menjadikan orang lain sahabat-Nya juga. 19 Inilah yang kami isytiharkan: Melalui Kristus, Allah menjadikan semua orang sahabat-Nya. Dengan rela hati Allah mengampunkan dosa mereka. Dia sudah menugaskan kami untuk memberitakan hal itu. 20 Demikianlah kami berkata-kata bagi pihak Kristus, seolah-olah Allah sendiri memohon kepada kamu melalui kami. Kami menggesa kamu bagi pihak Kristus, supaya kamu membolehkan Allah mengubah kamu daripada musuh menjadi sahabat-Nya. 21 Kristus tidak berdosa, tetapi demi kebaikan kita, Allah meletakkan dosa kita pada Dia. Dengan demikian kita berbaik semula dengan Allah, apabila kita bersatu dengan Kristus.

2 Korintus 6

1 Kami bekerja bersama-sama Allah. Oleh itu kami menggesa kamu supaya tidak mensia-siakan rahmat Allah yang sudah kamu terima. 2 Di dalam Alkitab, Allah berfirman, "Pada masa yang diperkenankan, Aku sudah mendengarkan engkau, dan pada hari penyelamatan, Aku sudah menolong engkau.'' Ketahuilah bahawa sekaranglah masa yang diperkenankan Allah, dan sekaranglah hari kamu diselamatkan! 3 Kami tidak mahu seorang pun mencela kerja kami. Oleh itu kami berusaha supaya orang tidak mempunyai alasan untuk mencela kami. 4 Sebaliknya, dalam segala hal kami menunjukkan bahawa kami hamba Allah, yang dengan sabar menanggung segala macam kesusahan. 5 Kami telah disesah, dipenjarakan, dan diserang oleh orang ramai; kami bekerja keras, kurang tidur, dan kurang makan. 6 Dengan berlaku tulus, dengan menggunakan pengetahuan tentang Berita Baik, dengan bersabar, dengan kebaikan hati, dengan pertolongan Roh Allah, dengan kasih yang ikhlas, dengan memberitakan khabar daripada Allah, dan dengan kuasa Allah, kami menunjukkan bahawa kami ini hamba Allah. Kami berpegang pada cara hidup yang menurut kehendak Allah, sebagai senjata untuk menyerang mahupun untuk membela diri. 8 Kami dihormati tetapi juga dihina; kami dipuji tetapi juga diumpat. Kami dianggap sebagai pembohong, walaupun kami jujur. 9 Kami dianggap tidak terkenal, tetapi kami dikenal semua orang. Kami disangka mati, tetapi ternyata kami masih hidup. Meskipun kami dianiaya, kami tidak mati. 10 Walaupun kami menanggung sengsara, kami sentiasa bersukacita. Kami nampaknya miskin, tetapi kami sudah mengayakan kehidupan rohani banyak orang. Nampaknya kami tidak memiliki apa-apa, tetapi sebenarnya kami memiliki segala-galanya. 11 Sahabat-sahabatku di Korintus, kami sudah berterus-terang kepada kamu. Kami sudah mengutarakan segala isi hati kami. 12 Kami tidak menahan diri daripada mengasihi kamu; kamulah yang menahan diri daripada mengasihi kami. 13 Sekarang aku berkata-kata seperti kepada anak-anakku sendiri. Tunjukkanlah kasih kamu kepada kami. Bukalah hati kamu untuk kami! 14 Janganlah cuba bekerjasama dengan orang yang tidak percaya kepada Kristus, kerana hal itu tidak sesuai. Kebaikan dan kejahatan tidak dapat bekerjasama. Cahaya dan kegelapan tidak dapat bersama-sama. 15 Kristus tidak dapat bersetuju dengan Iblis. Orang Kristian tidak mempunyai hal yang sama dengan orang bukan Kristian. 16 Tempat kediaman Allah tidak ada hubungannya dengan berhala. Kita ini tempat kediaman Allah yang hidup. Allah sendiri berfirman, "Aku akan tinggal bersama-sama mereka, dan hidup antara mereka; Aku akan menjadi Allah mereka, dan mereka akan menjadi umat-Ku. 17 Oleh itu, tinggalkanlah orang yang tidak mengenal Allah, dan asingkan diri daripada mereka. Janganlah berhubungan dengan sesuatu pun yang najis, maka Aku akan menerima kamu. 18 Aku akan menjadi Bapa kamu, dan kamu akan menjadi anak-anak-Ku lelaki dan perempuan, demikianlah firman Tuhan Yang Maha Kuasa.''

2 Korintus 7

1 Sahabat-sahabat yang aku kasihi, Allah menjanjikan semua itu kepada kita. Oleh itu kita harus menyucikan diri daripada segala yang menajiskan jiwa dan raga kita. Hendaklah kita takut akan Allah, supaya kita dapat mengamalkan hidup yang khas untuk Dia dengan sepenuhnya. 2 Sambutlah kami di hati kamu. Kami tidak bersalah terhadap sesiapa pun, atau merosakkan iman orang, ataupun merugikan orang lain. 3 Aku berkata demikian bukannya untuk menyalahkan kamu, kerana aku pernah berkata bahawa kami sangat mengasihi kamu dan bersedia sehidup semati. 4 Aku mempunyai keyakinan penuh terhadap kamu dan aku bangga sekali dengan kamu. Meskipun kami mengalami banyak kesukaran, aku tetap bersemangat dan penuh kegembiraan. 5 Apabila kami tiba di Makedonia, kami tidak sempat melepaskan lelah. Di mana-mana sahaja kami menemui kesukaran: pertengkaran dengan orang lain, dan kecemasan dalam hati. 6 Tetapi syukurlah, kerana Allah yang sentiasa menggalakkan orang yang lemah semangat, telah membesarkan hati kami dengan kedatangan Titus. 7 Kami terhibur bukan sahaja kerana kedatangannya, tetapi juga kerana laporannya bahawa kamu telah menggalakkan dia. Titus memberitahu kami bahawa kamu ingin berjumpa dengan aku, bahawa kamu menyesali perbuatan kamu dan bahawa sekarang kamu bersedia membela aku. Hal itu menjadikan aku lebih bersukacita lagi. 8 Meskipun suratku telah menyedihkan hati kamu, aku tidak menyesal menulisnya. Memang aku agak menyesal ketika kamu bersedih hati kerana suratku itu, meskipun kesedihan itu hanya untuk sementara. 9 Tetapi sekarang aku bersukacita -- bukan kerana aku telah menyedihkan hati kamu, tetapi kerana kesedihan itu sudah mengubah kelakuan kamu. Kesedihan itu sejalan dengan kehendak Allah. Oleh itu kami tidak merugikan kamu, 10 kerana kesedihan seperti itu menghasilkan perubahan hati yang mendatangkan penyelamatan. Hal itu tidak perlu disesalkan. Sebaliknya, kesedihan yang sejalan dengan kehendak manusia mengakibatkan kematian. 11 Lihatlah hasil daripada kesedihan kamu yang sejalan dengan kehendak Allah: Kamu betul-betul berusaha untuk membuktikan bahawa kamu tidak bersalah. Kamu marah kepada apa yang sudah berlaku dan kamu takut akan apa yang mungkin berlaku. Kamu rindu akan aku, kamu sangat ingin membela aku, dan rela menghukum yang bersalah. Dalam semua hal itu kamu sudah menunjukkan bahawa kamu tidak bersalah. 12 Oleh itu, meskipun aku menulis surat itu, aku menulisnya bukan kerana orang yang bersalah itu, ataupun orang yang menderita kerana kesalahan itu. Aku menulis surat itu supaya di sisi Allah kamu menyedari betapa besarnya perhatian kamu terhadap kami. 13 Itulah sebabnya kami digalakkan. Selain daripada digalakkan, kami juga digembirakan oleh kegembiraan Titus. Dia memberitahu kami bahawa kamu telah menggembirakan hatinya. 14 Dahulu aku membangga-banggakan kamu kepadanya. Syukurlah, kamu tidak mengecewakan aku. Apa yang kami katakan kepada kamu sentiasa benar. Demikian juga apa yang kami bangga-banggakan kepada Titus tentang kamu pun benar. 15 Titus semakin mengasihi kamu, apabila dia teringat bagaimana kamu semua sedia mentaati arahannya, dan menyambut dia dengan hormat dan rendah hati. 16 Aku sungguh bahagia kerana aku mempunyai keyakinan penuh kepada kamu.

2 Korintus 8

1 Saudara-saudaraku, kami hendak kamu tahu bahawa Allah sangat baik kepada jemaah di Makedonia. 2 Mereka sudah diuji dengan kesusahan yang berat, tetapi mereka sentiasa bersukacita. Mereka sangat miskin, tetapi mereka sangat murah hati. 3 Aku dapat memberikan kesaksian bahawa mereka memberi menurut kemampuan mereka, bahkan lebih daripadanya. Dengan kehendak mereka sendiri, 4 mereka meminta dan merayu kepada kami supaya dibenarkan membantu umat Allah di Yudea. 5 Pemberian mereka itu melebihi apa yang kami harapkan! Mula-mula mereka menyerahkan diri kepada Tuhan, kemudian kepada kami juga, sesuai dengan kehendak Allah. 6 Oleh itu kami menggesa Titus yang memulakan usaha mengumpulkan wang derma di kalangan kamu, supaya dia meneruskan usaha itu dan menyelesaikannya. 7 Kamu unggul dalam semuanya: dalam kepercayaan kamu kepada Kristus, usaha kamu untuk mengkhabarkan Berita Baik, pengetahuan kamu tentang yang benar, usaha kamu untuk menolong, dan kasih kamu kepada kami. Oleh itu, kami juga ingin kamu unggul dalam usaha kamu yang baik ini. 8 Apa yang aku katakan itu bukanlah suatu perintah. Tetapi dengan menunjukkan betapa giatnya jemaah di Makedonia menolong orang lain, aku berharap kasih kamu yang sejati pun akan nyata. 9 Kamu tahu bahawa kita sangat dikasihi oleh Yesus Kristus Tuhan kita. Meskipun Dia kaya, Dia menjadikan diri-Nya miskin untuk kebaikan kamu, supaya dengan kemiskinan-Nya itu, kamu menjadi kaya. 10 Menurut pendapatku, lebih baik kamu selesaikan apa yang kamu mulakan pada tahun lalu. Kamulah yang pertama kali merancangkan dan memulakan usaha itu. 11 Teruskanlah dan selesaikanlah usaha itu. Semoga kamu sangat berminat menyelesaikannya sebagaimana kamu sangat berminat mencadangkannya dahulu. Berilah derma menurut kemampuan kamu. 12 Jika kamu sangat berminat memberi derma, Allah akan menerima pemberian kamu berdasarkan apa yang kamu miliki, bukan apa yang tidak kamu miliki. 13 Aku tidak berniat meringankan beban orang lain dengan memberatkan beban kamu. Pada masa ini kamu berkecukupan, maka sepatutnya kamu membantu mereka yang berkekurangan. Begitu juga apabila kamu berkekurangan dan mereka berkecukupan, mereka akan membantu kamu. Dengan demikian kedua-dua belah pihak mendapat layanan yang sama. 15 Di dalam Alkitab tertulis, "Orang yang mengumpulkan banyak makanan, tidak berkelebihan, dan orang yang mengumpulkan sedikit makanan, tidak berkekurangan.'' 16 Kami bersyukur kepada Allah yang sudah menyebabkan Titus sangat ingin menolong kamu, seperti kami juga! 17 Bukan sahaja dia rela memenuhi permintaan kami, tetapi dia juga sangat ingin menolong kamu sehingga dengan kemahuannya sendiri dia membuat keputusan untuk pergi kepada kamu. 18 Bersama dengan dia kami mengutus seorang saudara seiman yang sangat dihormati oleh jemaah di pelbagai tempat kerana pekerjaannya mengkhabarkan Berita Baik. 19 Lagi pula dia sudah dipilih dan dilantik oleh jemaah di wilayah Makedonia untuk menyertai kami dalam perjalanan kami. Dia akan menolong kami mengurus wang derma yang kami kumpulkan untuk memuliakan Tuhan, dan untuk menunjukkan bahawa kami ingin menolong. 20 Kami sangat berhati-hati mengurus wang derma yang besar jumlahnya itu, supaya tidak sesiapa pun dapat mencela kami. 21 Kami bertujuan melakukan apa yang benar bukan sahaja di sisi Tuhan, tetapi juga di hadapan manusia. 22 Bersama dengan Titus dan saudara itu, kami juga mengutus seorang saudara seiman yang lain. Kami sudah menguji dia berkali-kali dan ternyata dia sentiasa ingin menolong. Sekarang dia lebih lagi ingin menolong kamu, kerana dia mempunyai keyakinan terhadap kamu. 23 Titus itu rakanku dan bekerja bersama-sama aku untuk menolong kamu. Kedua-dua orang saudara yang pergi bersama-sama dia mewakili jemaah di sini, dan kerja mereka mendatangkan kemuliaan bagi Kristus. 24 Tunjukkanlah kasih kamu kepada mereka, supaya jemaah yang mengutus mereka akan mengetahui hal itu. Dengan demikian terbuktilah bahawa apa yang kami banggakan tentang kamu itu benar.

2 Korintus 9

1 Sebenarnya tidak perlu lagi aku menulis kepada kamu tentang derma yang sedang dikirim kepada umat Allah di Yudea. 2 Aku tahu bahawa kamu suka menolong, dan aku sudah membanggakan kamu kepada orang di Makedonia. Aku berkata kepada mereka, "Saudara seiman di Akhaya telah bersedia menolong sejak tahun lalu.'' Semangat kamu sudah mengobarkan semangat kebanyakan daripada mereka. 3 Sekarang aku mengutus Titus dan dua orang saudara seiman itu, supaya apa yang telah kami bangga-banggakan tentang kamu bukanlah cakap angin belaka. Oleh itu, hendaklah kamu siap menolong, kerana aku sudah berkata bahawa kamu bersedia menolong. 4 Apabila aku datang bersama-sama beberapa orang Kristian dari Makedonia, aku tidak ingin mereka mendapati kamu belum menyediakan wang derma itu. Jika hal itu berlaku, alangkah malunya kami kerana kami begitu yakin akan kamu. Kamu sendiri pun akan malu. 5 Oleh itu, aku fikir perlu juga menggesa saudara-saudara itu supaya pergi kepada kamu lebih dahulu daripada aku untuk mengurus derma yang kamu janjikan itu. Dengan demikian derma itu telah tersedia apabila aku tiba. Hal itu menunjukkan bahawa derma itu kamu berikan dengan rela hati dan bukan kerana terpaksa. 6 Ingatlah! Orang yang menanam sedikit benih, akan mendapat tuaian yang sedikit. Tetapi orang yang menanam banyak benih, akan mendapat tuaian yang banyak juga. 7 Masing-masing harus memberi sebanyak yang telah ditentukannya. Orang harus memberi dengan rela dan sukacita, kerana Allah mengasihi orang yang memberi dengan senang hati. 8 Allah berkuasa memberkati kamu dengan berlimpah-limpah, sehingga kamu mempunyai apa yang kamu perlukan. Bahkan kamu akan mempunyai lebih daripada cukup untuk mengamalkan perbuatan baik. 9 Di dalam Alkitab tertulis, "Dia bermurah hati kepada orang miskin, kebaikan hatinya kekal selama-lamanya.'' 10 Allah menyediakan benih untuk ditabur dan makanan untuk dimakan. Dia juga akan membekali kamu benih yang dapat kamu tanam, dan akan menyebabkan tanaman kamu tumbuh. Dengan demikian kamu semakin murah hati. 11 Allah akan menjadikan kamu berkecukupan supaya kamu sentiasa dapat bermurah hati. Dengan demikian banyak orang akan bersyukur kepada Allah kerana derma yang kamu kirim melalui kami. 12 Hal itu demikian, kerana perbuatan baik yang kamu lakukan itu bukan sahaja akan mencukupi keperluan umat Allah, tetapi juga menyebabkan banyak orang bersyukur kepada Allah. 13 Dengan perbuatan baik yang kamu tunjukkan itu, banyak orang Kristian di Yudea akan memuliakan Allah kerana kesetiaan dan ketaatan kamu kepada Berita Baik tentang Kristus. Mereka juga akan memuji Allah kerana dengan murah hati kamu berkongsi milik dengan mereka dan semua orang lain. 14 Mereka akan berdoa untuk kamu dengan penuh kasih sayang, kerana Allah sangat mengasihi kamu. 15 Marilah kita bersyukur kepada Allah bagi pemberian-Nya yang tidak terhingga.

2 Korintus 10

1 Aku, Paulus memohon kepada kamu. Orang berkata bahawa aku ini lemah lembut apabila berhadapan dengan kamu, tetapi keras apabila jauh daripada kamu. Dengan kelembutan dan kebaikan hati Kristus, aku memohon 2 supaya kamu tidak memaksa aku bersikap keras terhadap kamu apabila aku datang kelak. Aku tahu bahawa aku boleh bersikap keras terhadap orang yang mengatakan bahawa aku bekerja dengan tujuan duniawi. 3 Memang benar kami ini hidup di dalam dunia, tetapi perjuangan kami tidak berdasarkan tujuan duniawi. 4 Senjata yang kami gunakan dalam perjuangan, bukannya senjata dunia ini, melainkan senjata yang diberikan oleh Allah. Dengan senjata itu kami boleh menghancurkan pertahanan musuh; kami menghapuskan perdebatan 5 dan mengatasi setiap alasan yang diajukan oleh orang sombong untuk menentang pengetahuan tentang Allah. Kami menawan fikiran orang supaya taat kepada Kristus. 6 Setelah kamu membuktikan kesetiaan kamu, kami siap menghukum sesiapa pun yang tidak setia. 7 Kamu melihat hal-hal secara zahir sahaja. Jika sesiapa mengaku dirinya milik Kristus, hendaklah dia berfikir lagi dan sedar bahawa kami juga milik Kristus seperti dia. 8 Aku tidak malu walaupun aku terlalu membanggakan kekuasaan yang sudah diberikan oleh Tuhan kepada kami, kerana kekuasaan itu diberikan untuk membina kamu, bukannya untuk meruntuhkan kamu. 9 Aku tidak mahu kamu berfikir bahawa aku menakutkan kamu dengan surat-suratku. 10 Ada yang berkata, "Surat-surat Paulus itu keras dan tegas, tetapi apabila dia bersama-sama kita, dia lemah perangainya dan kata-katanya tidak bererti apa-apa!'' 11 Biarlah orang seperti itu sedar bahawa apabila kami bersama-sama kamu, kami akan bertindak seperti apa yang kami tulis dalam surat-surat kami. 12 Memang kami tidak berani menyamakan atau membandingkan diri dengan orang yang memuji diri mereka sendiri. Alangkah bodohnya mereka! Mereka membuat penilaian sendiri, dan menilai diri mereka dengan penilaian itu. 13 Kami juga berbangga, tetapi tidak di luar batas yang ditentukan. Kami di dalam batas-batas kawasan pekerjaan yang sudah ditentukan oleh Allah bagi kami, dan kamu termasuk di dalam kawasan itu. 14 Kamu termasuk di dalam kawasan yang sudah ditentukan oleh Allah bagi kami. Oleh itu, kami tidak di luar batas kawasan pekerjaan kami ketika mengunjungi kamu dan membawa Berita Baik tentang Kristus. 15 Dengan demikian kami tidak berbangga dengan kerja orang lain yang di luar batas yang ditentukan oleh Allah bagi kami. Sebaliknya kami berharap agar kamu semakin percaya kepada Kristus, sehingga kami dapat meluaskan kerja kami di kalangan kamu, di dalam batas yang ditentukan oleh Allah. 16 Kemudian barulah kami dapat mengkhabarkan Berita Baik di negeri-negeri lain. Dengan demikian kami tidak mendapat pujian bagi kerja yang sudah dilakukan di kawasan pelayanan orang lain. 17 Di dalam Alkitab tertulis, "Sesiapa mahu berbangga, hendaklah dia berbangga dengan apa yang sudah dilakukan oleh Tuhan.'' 18 Hal itu demikian kerana orang yang terpuji adalah orang yang dipuji oleh Tuhan, bukan orang yang memuji diri sendiri.

2 Korintus 11

1 Benarkanlah aku bersikap agak bodoh sedikit. Boleh, bukan? 2 Aku mengambil berat tentang kamu, seperti Allah pun mengambil berat tentang kamu. Kamu seperti anak dara yang suci yang sudah aku janjikan untuk dikahwinkan dengan seorang sahaja, iaitu Kristus. 3 Aku khuatir fikiran kamu akan dirosakkan sehingga kamu tidak lagi setia kepada Kristus. Hal itu berlaku kepada Hawa yang ditipu oleh kelicikan ular. 4 Aku lihat betapa relanya kamu menyambut sesiapa sahaja yang datang kepada kamu dan mengkhabarkan berita tentang Yesus yang lain, bukan Yesus yang kami perkenalkan itu. Kamu juga menyambut roh dan berita baik yang sama sekali berlainan dengan Roh Allah dan Berita Baik yang kamu terima daripada kami. 5 Aku tahu bahawa aku tidak lebih rendah daripada orang yang kamu anggap sebagai "rasul'' yang istimewa itu! 6 Mungkin aku kurang pandai berkata-kata, tetapi pengetahuanku tentang Berita Baik itu dalam. Hal itu sudah kami buktikan kepada kamu pada setiap masa dan dalam segala hal. 7 Semasa aku mengkhabarkan Berita Baik daripada Allah kepada kamu, aku tidak meminta bayaran apa-apa pun. Aku merendahkan diri supaya kamu ditinggikan. Adakah hal itu suatu kesalahan? 8 Pada masa aku melakukan pelayanan di kalangan kamu, aku dibiayai oleh jemaah lain. Boleh dikatakan aku ini seperti merompak jemaah itu supaya dapat menolong kamu. 9 Pada masa itu aku tidak pernah menyusahkan kamu meskipun aku memerlukan bantuan wang. Segala keperluanku disediakan oleh saudara-saudara yang datang dari Makedonia. Baik dahulu mahupun pada masa yang akan datang, aku tidak akan membebani kamu! 10 Demi ajaran Kristus yang benar dan yang ada padaku, aku berjanji bahawa tidak seorang pun di seluruh negeri Akhaya dapat menghapuskan kebanggaanku. 11 Adakah aku berkata demikian kerana aku tidak mengasihi kamu? Allah tahu bahawa aku mengasihi kamu! 12 Apa yang aku lakukan sekarang akan aku lakukan terus-menerus supaya "rasul-rasul'' yang lain itu tidak mempunyai alasan untuk berbangga dan berkata bahawa mereka bekerja seperti kami. 13 Mereka rasul palsu. Mereka berdusta tentang kerja mereka dan mereka menyamar seperti rasul Kristus. 14 Hal itu tidak menghairankan! Iblis pun dapat menyamar seperti malaikat yang gilang-gemilang. 15 Oleh itu, tidaklah menghairankan jika hamba-hamba Iblis menyamar seperti hamba yang melakukan kehendak Allah. Akhirnya mereka akan menerima balasan yang setimpal dengan semua perbuatan mereka. 16 Biarlah aku ulangi hal ini sekali lagi: Janganlah sesiapa pun menganggap aku bodoh. Tetapi jika kamu tetap menganggap aku ini bodoh, benarkanlah aku yang bodoh ini berbangga sedikit. 17 Aku tidak mengikut perintah Tuhan apabila aku berbangga seperti ini; aku bersikap seperti orang bodoh. 18 Tetapi kerana banyak orang berbangga dengan tujuan duniawi, aku pun mahu berbangga. 19 Kamu menganggap diri kamu bijak. Oleh itu, kamu bersabar terhadap orang bodoh! 20 Kamu membiarkan mereka memperhamba kamu atau merugikan kamu atau memerangkap kamu atau menghina kamu ataupun menampar kamu. 21 Aku malu mengaku bahawa kami tidak berani berbuat demikian. Jika orang berani membanggakan sesuatu, aku pun berani. (Aku ini bercakap seperti orang bodoh.) 22 Adakah mereka orang Ibrani? Aku pun orang Ibrani. Adakah mereka orang Israel? Aku pun orang Israel. Adakah mereka keturunan Abraham? Aku pun keturunan Abraham. 23 Adakah mereka hamba Kristus? Mungkin kedengarannya aku ini gila, tetapi aku ini hamba yang lebih baik daripada mereka. Aku bekerja lebih keras, aku lebih sering dipenjarakan, aku lebih sering disesah dan aku kerap kali menghadapi maut. 24 Lima kali aku disesah orang Yahudi dengan pukulan cambuk tiga puluh sembilan kali. 25 Tiga kali aku disesah orang Roma, dan pernah direjam satu kali. Tiga kali aku mengalami nahas kapal karam dan satu kali aku terapung-apung di laut selama dua puluh empat jam. 26 Aku sering berpergian dan dalam perjalanan, aku pernah menghadapi bahaya banjir dan perompak, bahaya daripada orang Yahudi dan bukan Yahudi, bahaya di dalam bandar mahupun di gurun, bahaya di laut, dan bahaya daripada orang yang berpura-pura menjadi pengikut Kristus. 27 Aku bekerja mati-matian, kerap kali tidak makan, tidak minum dan tidak tidur, lapar, kesejukan kerana kurang pakaian dan tidak mempunyai tempat tinggal. 28 Di samping kesusahan yang lain, setiap hari aku mengkhuatirkan keadaan jemaah di semua tempat. 29 Apabila seseorang lemah, aku berasa lemah juga. Apabila seseorang berdosa, aku juga bersedih hati. 30 Jika aku mesti berbangga, aku akan berbangga dengan hal-hal yang menunjukkan kelemahanku. 31 Allah, Bapa Tuhan Yesus tahu bahawa aku tidak berdusta. Terpujilah nama-Nya selama-lamanya. 32 Ketika aku di Damsyik, gabenor yang dilantik oleh Raja Aretas memerintahkan askar-askarnya menjaga pintu kota untuk menangkap aku. 33 Tetapi dengan sebuah keranjang aku dihulurkan ke bawah melalui suatu lubang pada tembok kota. Demikianlah aku menyelamatkan diri daripadanya.

2 Korintus 12

1 Aku harus berbangga meskipun hal itu tidak berfaedah. Tetapi sekarang aku mahu bercakap tentang penglihatan dan wahyu yang aku terima daripada Tuhan. 2 Aku kenal akan seorang Kristian yang empat belas tahun yang lalu diangkat ke syurga yang tertinggi. (Aku tidak tahu sama ada hal ini benar-benar berlaku atau hanya suatu penglihatan -- Allah sahaja yang tahu.) 3 Aku berkata sekali lagi, aku tahu bahawa orang itu diangkat ke Firdaus. (Aku tidak tahu sama ada hal ini benar-benar berlaku atau hanya suatu penglihatan -- Allah sahaja yang tahu.) 4 Di situ dia mendengar perkara-perkara yang tidak boleh dan tidak dapat diungkapkan. 5 Aku hendak membanggakan orang itu, bukan diriku sendiri. Aku akan membanggakan perkara-perkara yang menunjukkan kelemahanku sahaja. 6 Jika aku hendak berbangga, aku tidak melakukan sesuatu yang bodoh, kerana aku mengatakan yang benar. Aku tidak mahu orang memandang tinggi terhadap aku kerana penglihatan itu, tetapi hanya kerana melihat perbuatanku dan mendengar kata-kataku. 7 Tetapi supaya aku tidak terlalu sombong kerana penglihatan-penglihatan yang luar biasa itu, aku diberikan sejenis penyakit yang sangat menyakitkan. Penyakit itu alat Iblis untuk memukul aku supaya aku tidak terlalu sombong. 8 Tiga kali aku berdoa kepada Tuhan supaya menghilangkan penyakit itu. 9 Tetapi Tuhan menjawab, "Aku mengasihi kamu dan hal itu sudah cukup bagimu, kerana kuasa-Ku nyata sekali pada masa kamu lemah.'' Oleh itu aku lebih suka membanggakan kelemahanku, supaya merasakan kuasa Kristus yang melindungi aku. 10 Aku bersukacita ketika mengalami kelemahan, hinaan, kesukaran, penganiayaan, dan kesusahan, kerana Kristus. Aku bersukacita, kerana ketika aku lemah, pada masa itulah aku mendapat kekuatan daripada Kristus. 11 Kamu sudah memaksa aku bersikap seperti orang bodoh. Kamulah yang seharusnya memuji aku. Meskipun aku ini bukan sesiapa tetapi aku tidak lebih rendah daripada "rasul-rasul'' kamu yang istimewa itu! 12 Melalui aku, Allah melakukan banyak mukjizat dan hal-hal lain yang luar biasa, sementara aku menjalankan tugasku dengan penuh kesabaran untuk membuktikan bahawa aku seorang rasul. 13 Dalam hal apakah kamu kurang diperhatikan apabila dibandingkan dengan jemaah lain? Hanya dalam hal ini: Aku tidak meminta kamu membiayai aku. Maafkanlah aku kerana kesalahan itu! 14 Inilah kali ketiga aku siap melawat kamu. Aku tidak mahu membebani kamu, kerana kamulah yang aku inginkan, bukan wang kamu. Anak-anak tidak perlu menyara ibu bapa. Sebaliknya, ibu bapa yang harus menyara anak-anak. 15 Aku rela menghabiskan segala-galanya, bahkan aku rela mengorbankan diri untuk menolong kamu. Patutkah kamu kurang mengasihi aku, kerana aku sangat mengasihi kamu? 16 Tentu kamu bersetuju bahawa aku tidak pernah membebani kamu. Namun ada yang berkata bahawa aku ini licik dan memperdaya kamu dengan tipu muslihat. 17 Mana mungkin? Pernahkah aku mencari keuntungan daripada kamu melalui utusan-utusan yang aku kirim kepada kamu? 18 Aku mengutus Titus kepada kamu dan aku menyuruh saudara Kristian yang lain menyertai dia. Adakah Titus mengambil keuntungan daripada kamu? Tidakkah dia dan aku bekerja dengan maksud yang sama, dan bertindak dengan cara yang sama? 19 Janganlah kamu menyangka bahawa selama ini kami cuba membela diri. Allah tahu bahawa semua yang kami katakan menurut kehendak Kristus, dan segala yang kami lakukan itu semata-mata untuk membina kehidupan kamu. 20 Aku khuatir apabila aku melawat kamu kelak, aku akan mendapati kamu berlainan daripada apa yang aku harapkan. Kamu pun akan mendapati aku berlainan daripada apa yang kamu harapkan. Aku khuatir aku akan mendapati kamu berkelahi, iri hati, lekas marah, mementingkan diri sendiri, saling menghina dan memfitnah, sombong dan suka mengacau. 21 Aku khuatir apabila aku datang kelak, Allah akan memalukan aku di hadapan kamu. Aku akan menangis kerana banyak antara kamu yang berdosa dahulu, tidak bertaubat daripada perbuatan yang cabul, lucah, dan tidak senonoh.

2 Korintus 13

1 Inilah kali ketiga aku akan datang melawat kamu. Di dalam Alkitab tertulis, "Setiap tuduhan harus didukung oleh kesaksian dua atau tiga orang saksi.'' 2 Ketika aku melawat kamu pada kali kedua, aku sudah memperingatkan mereka yang telah berbuat dosa dan semua orang yang lain. Sekarang sementara aku jauh daripada kamu, aku memperingatkan kamu sekali lagi. Apabila aku datang kelak, tidak seorang pun akan terlepas daripada hukuman. 3 Kamu akan mendapat segala bukti yang kamu inginkan bahawa Kristus benar-benar berfirman melalui aku. Apabila Dia bertindak terhadap kamu, Dia tidak lemah; sebaliknya Dia menunjukkan kuasa-Nya di kalangan kamu. 4 Meskipun Kristus lemah pada masa Dia disalibkan, tetapi sekarang Dia hidup dengan kuasa Allah. Kami pun lemah dalam hidup kami yang bersatu dengan Kristus. Tetapi apabila kami menghadapi kamu, kami akan mendapat kuasa Allah kerana kami bersatu dengan Kristus. 5 Ujilah diri kamu sendiri sama ada kamu betul-betul hidup berdasarkan kepercayaan kepada Kristus. Tentu kamu tahu bahawa Kristus Yesus hidup dalam diri kamu, kecuali kamu tidak lagi percaya kepada-Nya. 6 Aku harap kamu tahu bahawa kami telah diuji dan kami benar-benar rasul yang sejati. 7 Kami berdoa kepada Allah semoga Dia menolong kamu supaya tidak berbuat salah. Yang penting adalah kamu melakukan apa yang dikehendaki oleh Allah, dan bukan supaya nampaknya kami ini berjaya. Tidak mengapalah jika kami nampaknya gagal dalam tugas kami. 8 Kami tidak dapat melakukan hal-hal yang bertentangan dengan yang benar, kami hanya dapat melakukan yang benar. 9 Kami bergembira apabila kami lemah, tetapi kamu kuat. Kami berdoa supaya kamu menjadi sempurna. 10 Itulah sebabnya aku menulis surat ini sementara aku masih jauh daripada kamu. Apabila aku datang kelak, aku tidak perlu bertindak keras terhadap kamu dengan menggunakan kekuasaan yang diberikan oleh Tuhan kepadaku. Kekuasaan itu diberikan untuk membina kamu, bukan untuk meruntuhkan kamu. 11 Akhirnya, saudara-saudaraku, bersukacitalah! Berusahalah untuk menjadi sempurna; terimalah nasihatku. Hendaklah kamu sehati dan hidup rukun. Allah yang mengasihi kita dan mengurniai kita kedamaian akan menyertai kamu. 12 Bersalamanlah dengan mesra sebagai saudara-saudara seiman. Jemaah Allah di sini mengirim salam kepada kamu. 13 Tuhan Yesus Kristus memberkati kamu, Allah mengasihi kamu, dan Roh Allah menyertai kamu semua.

Galatia 1

1 Aku, Paulus, menyampaikan salam kepada jemaah di negeri Galatia. Aku dilantik menjadi rasul oleh Yesus Kristus dan Allah Bapa kita yang telah membangkitkan Yesus daripada kematian. Aku menjadi rasul bukan dengan perantaraan manusia ataupun kerana dilantik oleh manusia. 2 Semua saudara Kristian di sini turut menyampaikan salam kepada jemaah di negeri Galatia. 3 Semoga Allah Bapa kita dan Tuhan Yesus Kristus mengurniai kamu berkat dan kesejahteraan. 4 Untuk menyelamatkan kita daripada zaman yang jahat ini, Kristus telah menyerahkan diri-Nya sebagai korban bagi dosa-dosa kita. Dia melakukannya untuk mentaati kehendak Allah Bapa kita. 5 Terpujilah Allah selama-lamanya! Amin. 6 Aku hairan terhadap tingkah laku kamu. Allah sudah memanggil kamu kerana rahmat Kristus. Tetapi dalam masa yang demikian singkat, kamu telah meninggalkan Dia lalu mengikut berita baik lain yang bukan daripada Allah. 7 Sebenarnya tidak ada berita baik lain. Tetapi aku berkata demikian kerana ada beberapa orang yang mengelirukan kamu dan cuba memutarbalikkan Berita Baik tentang Kristus. 8 Jika kami, ataupun malaikat dari syurga, mengkhabarkan berita baik yang berlainan daripada Berita Baik yang telah kami khabarkan kepada kamu, biarlah orang itu dihukum oleh Allah! 9 Kami telah mengatakannya dahulu, dan sekarang aku mengatakannya sekali lagi: Orang yang mengkhabarkan berita baik yang berlainan daripada Berita Baik yang telah kamu terima daripada kami, biarlah orang itu dihukum Allah! 10 Dengan berkata demikian, adakah aku mengharapkan sokongan manusia? Tentu tidak! Aku hanya menghendaki Allah mengatakan bahawa apa yang aku lakukan itu benar. Adakah aku berusaha untuk mengambil hati orang? Jika aku masih berbuat demikian, aku bukanlah hamba Kristus. 11 Saudara-saudaraku, kamu harus tahu bahawa Berita Baik yang aku khabarkan itu tidak berasal daripada manusia. 12 Aku tidak menerima Berita itu daripada manusia. Tiada seorang pun mengajarkannya kepadaku. Yesus Kristus sendirilah yang menyatakan Berita Baik itu kepadaku. 13 Tentu kamu telah mendengar tentang kehidupanku dahulu sebagai penganut agama Yahudi. Kamu mengetahui betapa kejamnya aku menganiaya jemaah Allah, dan dengan segala upaya aku berusaha untuk membinasakan mereka. 14 Aku lebih maju daripada kebanyakan orang Yahudi yang sebaya dengan aku dalam hal mengamalkan agama Yahudi. Aku sangat taat kepada adat istiadat nenek moyang kita. 15 Tetapi oleh sebab rahmat-Nya, Allah memilih aku sebelum aku dilahirkan dan memanggil aku untuk mengabdikan diri kepada-Nya. 16 Allah menunjukkan Anak-Nya kepadaku supaya aku dapat mengkhabarkan Berita Baik tentang Anak-Nya kepada orang bukan Yahudi. Pada masa itu aku tidak minta nasihat daripada sesiapa pun. 17 Aku tidak pergi ke Yerusalem untuk berjumpa dengan mereka yang telah menjadi rasul terlebih dahulu daripadaku. Sebaliknya aku segera pergi ke negeri Arab dan kemudian kembali ke Damsyik. 18 Hanya selepas tiga tahun barulah aku pergi ke Yerusalem untuk melawat Petrus dan tinggal dengan dia selama dua minggu. 19 Aku tidak berjumpa dengan rasul-rasul lain, kecuali Yakobus, saudara Tuhan. 20 Apa yang aku tulis ini benar. Allah tahu bahawa aku tidak berdusta. 21 Kemudian aku pergi ke kawasan-kawasan di Siria dan Kilikia. 22 Pada masa itu anggota jemaah Kristian di negeri Yudea tidak begitu mengenal aku. 23 Mereka hanya mendengar orang berkata, "Orang yang dahulu menganiaya kami, sekarang mengkhabarkan kepercayaan yang dahulu mahu dimusnahkannya.'' 24 Demikianlah mereka memuji Allah kerana aku.

Galatia 2

1 Empat belas tahun kemudian, aku kembali ke Yerusalem bersama dengan Barnabas, dan Titus turut menyertai kami. 2 Aku pergi ke Yerusalem kerana Allah menyatakan kehendak-Nya bahawa aku harus pergi. Dalam satu perjumpaan khas dengan para pemimpin Kristian di situ, aku menjelaskan Berita Baik yang aku khabarkan kepada orang bukan Yahudi. Aku tidak mahu usahaku, baik yang dahulu mahupun yang sekarang menjadi sia-sia. 3 Sahabatku Titus, meskipun dia seorang Yunani, tidak dipaksa supaya bersunat, 4 walaupun ada orang yang menginginkan hal itu. Mereka itu orang yang menyeludup ke dalam kumpulan kita dan berpura-pura menjadi saudara. Mereka mengintip kita untuk mengetahui kebebasan yang kita alami kerana bersatu dengan Kristus Yesus. Mereka mahu kita diperhamba semula. 5 Tetapi kami sama sekali tidak bersetuju dengan tuntutan mereka, kerana kami hendak menjaga kemurnian Berita Baik itu untuk kamu. 6 Mereka yang dianggap sebagai pemimpin Kristian, tidak menganjurkan apa-apa yang baru. Aku berkata demikian kerana aku tidak memandang kepada kedudukan mereka, kerana Allah pun tidak memandang kepada rupa orang. 7 Sebaliknya mereka mengaku bahawa Allah telah menugaskan aku mengkhabarkan Berita Baik kepada orang bukan Yahudi, sebagaimana Allah telah menugaskan Petrus mengkhabarkan Berita Baik kepada orang Yahudi. 8 Allah menjadikan aku rasul kepada orang bukan Yahudi, sebagaimana Allah menjadikan Petrus rasul kepada orang Yahudi. 9 Yakobus, Petrus, dan Yohanes, yang nampaknya menjadi pemimpin Kristian, mengaku bahawa Allah telah memberi aku tugas yang khas itu. Oleh itu mereka berjabat tangan dengan Barnabas dan aku sebagai tanda bahawa kami ini rakan sekerja. Lalu mereka dan kami bersetuju bahawa Barnabas dan aku akan bekerja di kalangan orang bukan Yahudi, sedangkan mereka di kalangan orang Yahudi. 10 Hanya satu permintaan mereka iaitu supaya kami sentiasa memperhatikan orang miskin di kalangan mereka. Perkara itu memang ingin aku lakukan. 11 Ketika Petrus datang ke Antiokhia, aku menentang dia di hadapan umum, kerana apa yang dilakukannya salah. 12 Pada mulanya Petrus makan dengan saudara-saudara bukan Yahudi. Tetapi setelah beberapa orang yang diutus oleh Yakobus tiba, Petrus menjauhkan diri daripada saudara bukan Yahudi dan tidak mahu duduk makan dengan mereka. Petrus takut akan orang yang berpendapat bahawa orang bukan Yahudi yang percaya kepada Kristus pun harus disunat. 13 Saudara Yahudi yang lain pula bersikap munafik seperti Petrus. Bahkan Barnabas pun terpengaruh untuk bersikap seperti mereka. 14 Ketika aku melihat sikap mereka tidak sesuai dengan ajaran Berita Baik yang benar itu, aku berkata kepada Petrus di hadapan semua orang di situ, "Kamu orang Yahudi, tetapi kamu hidup seperti orang bukan Yahudi. Mengapa kamu sekarang mahu memaksa orang bukan Yahudi hidup seperti orang Yahudi?'' 15 Memang benar kami ini dilahirkan sebagai orang Yahudi, dan bukan "orang bukan Yahudi yang berdosa''. 16 Meskipun demikian kami tahu bahawa orang berbaik semula dengan Allah kerana percaya kepada Yesus Kristus, dan bukan kerana mengikut Taurat. Kami pun percaya kepada Yesus Kristus, supaya kami berbaik semula dengan Allah melalui iman kami, bukan kerana kami mengikut Taurat. Dengan mengikut Taurat, tiada seorang pun dapat berbaik semula dengan Allah. 17 Dalam usaha kami untuk berbaik semula dengan Allah melalui hidup bersatu dengan Kristus, ternyata kami masih orang berdosa juga seperti orang bukan Yahudi. Adakah hal ini bererti bahawa Kristus yang menyebabkan kami berdosa? Tentu tidak! 18 Jika aku mula membina semula sistem Taurat yang telah aku runtuhkan, maka aku menunjukkan bahawa aku sudah melanggar hukum. 19 Terhadap Taurat, aku ini seperti sudah mati. Aku telah dimatikan oleh Taurat itu sendiri, supaya aku dapat hidup untuk Allah. Aku sudah disalibkan bersama-sama Kristus. 20 Yang hidup sekarang ini bukanlah aku, tetapi Kristus yang hidup dalam diriku. Hidup yang aku hayati sekarang ini adalah hidup dengan iman kepada Anak Allah yang mengasihi aku dan yang telah mengorbankan diri-Nya untuk aku. 21 Aku tidak menolak rahmat Allah. Jika hubungan orang dengan Allah menjadi baik semula kerana mengikut Taurat, hal itu bererti kematian Kristus sia-sia sahaja!

Galatia 3

1 Orang Galatia, kamu sungguh bodoh! Siapakah telah memukau kamu? Kematian Kristus pada kayu salib sudah aku jelaskan dengan seterang-terangnya kepada kamu! 2 Beritahulah aku satu hal ini: Adakah kamu menerima Roh Allah oleh sebab kamu mengikut Taurat, atau kerana kamu mendengar Berita Baik, lalu mempercayainya? 3 Mengapa kamu menjadi begitu bodoh? Setelah kamu memulakan hidup baru dengan Roh Allah, adakah kamu mahu menamatkannya dengan kekuatan sendiri? 4 Adakah semua yang sudah kamu alami tidak bererti apa-apa? Tentunya pengalaman itu mempunyai erti! 5 Allah mengurniakan Roh-Nya kepada kamu dan melakukan mukjizat-mukjizat antara kamu. Adakah Allah melakukan hal ini kerana kamu mengikut Taurat, atau kerana kamu mendengar Berita Baik lalu mempercayainya? 6 Apa yang telah berlaku kepada Abraham sangatlah mustahak. Di dalam Alkitab tertulis seperti ini, "Abraham percaya kepada Allah, dan kerana kepercayaannya dia diterima oleh Allah sebagai orang yang sudah berbaik semula dengan Allah.'' 7 Demikianlah kamu harus sedar bahawa orang yang percaya kepada Allah ialah orang yang benar-benar keturunan Abraham. 8 Alkitab telah memberitahu terlebih dahulu bahawa Allah memungkinkan orang bukan Yahudi berbaik semula dengan Allah, jika mereka percaya kepada-Nya. Di dalam Alkitab tertulis bahawa Berita Baik itu diberitahu kepada Abraham sebelum perkara itu berlaku, "Melalui engkau, Allah akan memberkati semua umat manusia di atas bumi.'' 9 Abraham percaya lalu dia diberkati. Demikianlah Allah memberkati semua orang yang percaya kepada-Nya, seperti Dia memberkati Abraham. 10 Mereka yang bergantung kepada Taurat, hidup di bawah kutukan. Di dalam Alkitab tertulis, "Orang yang tidak melakukan semua yang tertulis di dalam kitab Taurat, dikutuk oleh Allah!'' 11 Sekarang nyatalah bahawa tidak seorang pun dapat berbaik semula dengan Allah kerana mengikut Taurat. Hal ini tertulis di dalam Alkitab, "Hanya orang yang percaya kepada Allah sehingga hubungannya dengan Allah menjadi baik semula, akan hidup.'' 12 Tetapi Taurat tidak berdasarkan iman. Di dalam Alkitab tertulis, "Orang yang melakukan semua hukum Taurat akan hidup kerana Taurat itu.'' 13 Tetapi Kristus telah membebaskan kita daripada kutukan yang didatangkan oleh Taurat. Dia melakukan hal ini dengan membiarkan diri-Nya terkutuk kerana kita. Di dalam Alkitab tertulis, "Terkutuklah orang yang mati digantung pada pokok.'' 14 Kristus berbuat demikian supaya berkat yang dijanjikan oleh Allah kepada Abraham, juga boleh diberikan kepada orang bukan Yahudi. Dengan demikian kita yang percaya kepada Allah, dapat menerima Roh yang dijanjikan oleh Allah. 15 Saudara-saudaraku, biarlah aku gunakan contoh daripada pengalaman sehari-hari. Apabila dua orang mengikat janji, lalu menandatangani perjanjian itu, tidak seorang pun dapat membatalkannya ataupun menambahkan apa-apa. 16 Allah telah membuat janji-janji-Nya kepada Abraham dan kepada seorang keturunan Abraham. Di dalam Alkitab tidak tertulis, "dan kepada keturunanmu,'' yang bererti banyak orang. Yang tertulis adalah, "dan kepada seorang keturunanmu,'' yang bererti seorang sahaja, iaitu Kristus. 17 Inilah yang aku maksudkan: Allah telah membuat satu perjanjian dengan Abraham, dan Allah berjanji hendak memenuhinya. Taurat yang diberikan 430 tahun kemudian tidak dapat memansuhkan perjanjian itu ataupun membatalkan janji Allah. 18 Jika pemberian Allah diberi berdasarkan Taurat, maka pemberian itu tidak diberi berdasarkan janji Allah. Tetapi kerana Allah telah berjanji kepada Abraham, maka Allah memberikan pemberian itu kepadanya. 19 Jika demikian, apakah tujuan Taurat? Taurat diberikan untuk menunjukkan pelanggaran manusia. Taurat itu terus berlaku sehingga kedatangan seorang keturunan Abraham, yang disebut dalam janji Allah kepada Abraham. Taurat disampaikan oleh malaikat-malaikat dengan perantaraan seorang manusia. 20 Seorang perantara diperlukan apabila ada dua pihak. Tetapi Allah tidak memerlukan perantara, kerana Dia sendiri bertindak. 21 Adakah hal ini bererti bahawa Taurat berlawanan dengan janji-janji Allah? Tentu tidak! Jika manusia sudah menerima hukum agama yang dapat memberikan hidup, maka manusia dapat berbaik semula dengan Allah, melalui ketaatan kepada hukum agama itu. 22 Tetapi di dalam Alkitab tertulis bahawa semua umat manusia dikuasai oleh dosa. Oleh itu pemberian yang dijanjikan berdasarkan kepercayaan kepada Yesus Kristus, diberikan kepada mereka yang percaya. 23 Sebelum adanya kepercayaan kepada Kristus, Taurat menawan kita seperti orang tawanan, sehingga iman itu dinyatakan. 24 Dengan demikian Taurat itu menjadi seperti pengawas kita sehingga Kristus datang untuk memungkinkan kita berbaik semula dengan Allah, kerana kita percaya kepada Kristus. 25 Sekarang, kerana sudah tiba masanya manusia dapat percaya kepada Kristus, Taurat tidak perlu mengawasi kita. 26 Kerana kamu percaya kepada Kristus Yesus, maka kamu menjadi anak-anak Allah dan bersatu dengan Kristus Yesus. 27 Kamu semua telah dibaptis dan disatukan dengan Kristus. Oleh itu, sekarang kamu sudah menerima sifat-sifat Kristus sendiri. 28 Dalam hal ini tidak ada lagi perbezaan antara orang Yahudi dengan orang bukan Yahudi, antara abdi dengan orang bebas, antara lelaki dengan perempuan. Kamu semuanya menjadi satu kerana Kristus Yesus. 29 Jika kamu milik Kristus, maka kamu keturunan Abraham dan akan menerima apa yang telah dijanjikan oleh Allah.

Galatia 4

1 Tetapi perlu aku lanjutkan: Selama seorang ahli waris masih kanak-kanak, dia tidak berbeza dengan seorang abdi, meskipun sebenarnya anak itu memiliki segala-galanya. 2 Semasa ahli waris itu masih di bawah umur, beberapa orang wali akan menjaga dia dan mewakili dia dalam segala urusannya, sehingga dia mencapai umur yang sudah ditetapkan oleh bapanya. 3 Demikian juga dengan kita: selama kita masih belum dewasa, kita pun diperhamba oleh roh-roh yang menguasai dunia ini. 4 Tetapi pada saat yang tepat, Allah mengutus Anak-Nya sendiri ke dunia. Anak-Nya itu dilahirkan oleh seorang wanita dan hidup di bawah Taurat. 5 Dia diutus untuk membebaskan orang yang hidup di bawah Taurat, supaya kita boleh menjadi anak-anak Allah. 6 Kerana kamu anak-anak Allah, Allah menyuruh Roh Anak-Nya masuk ke dalam hati kita. Roh itulah yang menyebabkan kita berseru, "Bapa, ya Bapaku.'' 7 Dengan demikian kamu bukan lagi abdi, tetapi anak. Kerana kamu anak-Nya, Allah akan mengurniai kamu segala yang telah disediakan untuk anak-anak-Nya. 8 Dahulu kamu tidak mengenal Allah. Oleh itu kamu menjadi abdi kuasa-kuasa yang kamu anggap sebagai tuhan, tetapi sebenarnya sama sekali bukan Tuhan. 9 Tetapi sekarang kamu mengenal Allah, atau, lebih tepat lagi, Allah mengenal kamu. Mengapa kamu mahu kembali kepada roh-roh yang menguasai dunia ini? Roh-roh itu lemah dan tidak berguna. Mengapa kamu mahu diperhamba oleh roh-roh itu lagi? 10 Kamu merayakan hari, bulan, musim, dan tahun tertentu. 11 Aku khuatir akan kamu. Mungkinkah jerih payahku bagi kamu sia-sia sahaja? 12 Saudara-saudaraku, aku memohon supaya kamu menjadi seperti aku, kerana aku pun sudah menjadi seperti kamu. Kamu tidak pernah bersalah terhadap aku. 13 Masih ingatkah kamu, apa sebabnya aku mengkhabarkan Berita Baik kepada kamu pada kali pertama? Sebabnya adalah kerana aku jatuh sakit. 14 Tetapi pada masa itu kamu tidak menghina ataupun menolak aku, meskipun penyakitku merupakan ujian berat bagi kamu. Sebaliknya, kamu menyambut aku seperti kamu menyambut malaikat Allah. Kamu menyambut aku seperti kamu menyambut Kristus Yesus. 15 Pada waktu itu kamu sangat bersukacita dan aku tahu bahawa kamu rela berbuat apa sahaja, bahkan mencungkil mata untuk diberikan kepadaku. Tetapi apa yang telah berlaku sekarang? 16 Adakah sekarang kamu menganggap aku sebagai musuh kerana aku memberitahu kamu apa yang benar itu? 17 Semua orang lain itu berusaha dengan sungguh-sungguh supaya kamu memihak kepada mereka, tetapi tujuan mereka tidak baik. Mereka berniat memisahkan kamu daripada aku supaya kamu menumpukan perhatian kepada mereka sahaja. 18 Memang baik menumpukan perhatian kepada hal-hal yang baik, asalkan jangan hanya semasa aku bersama-sama kamu. 19 Anak-anak yang aku kasihi! Kerana kamu, sekali lagi aku menderita. Aku menderita seperti seorang ibu yang menderita pada masa melahirkan anak. Aku akan terus menderita sehingga kamu memiliki sifat-sifat Kristus. 20 Aku ingin sekali bersama-sama kamu sekarang, supaya aku boleh meluahkan isi hati dengan nada yang lebih lembut. Aku tidak tahu akan berbuat apa lagi dengan kamu. 21 Kepada kamu yang mahu diperhamba oleh Taurat, biarlah aku bertanya: Tidakkah kamu faham akan apa yang dikatakan oleh Taurat Musa? 22 Di dalam Taurat tertulis bahawa Abraham mempunyai dua orang anak lelaki. Yang seorang dilahirkan oleh abdi wanita dan yang seorang lagi oleh wanita bebas. 23 Anak Abraham daripada abdi wanita, dikandung dan dilahirkan seperti anak-anak lain. Tetapi anak Abraham daripada wanita bebas itu, lahir kerana dijanjikan oleh Allah. 24 Peristiwa itu dapat digunakan sebagai kiasan. Kedua-dua orang wanita itu ibarat dua perjanjian. Hagar melambangkan perjanjian yang dibuat di Gunung Sinai, dan anak-anaknya dilahirkan sebagai abdi. 25 Jika orang bercakap tentang Hagar, mereka bercakap tentang Gunung Sinai, di negeri Arab. Hagar juga melambangkan kota Yerusalem dengan semua penduduknya yang sekarang ini sudah menjadi abdi. 26 Tetapi Yerusalem yang di syurga itu bebas. Yerusalem itu seperti ibu kita. 27 Di dalam Alkitab tertulis, "Berbahagialah kamu, hai wanita mandul! Bersorak-sorailah dan bersukacitalah, hai kamu yang tidak pernah merasakan sakit bersalin! Wanita yang ditinggalkan suaminya akan mendapat lebih banyak anak daripada wanita yang hidup dengan suaminya.'' 28 Saudara-saudaraku, kamu anak-anak Allah yang dilahirkan kerana janji-Nya; sama seperti Ishak. 29 Pada masa itu, anak yang dilahirkan oleh Hagar menganiaya anak yang dilahirkan kerana janji yang dibuat oleh Roh Allah. Demikian juga sekarang. 30 Tetapi apakah yang tertulis di dalam Alkitab? Di situ tertulis, "Usirlah abdi wanita itu dengan anak lelakinya, kerana anak daripada abdi wanita itu tidak akan mewarisi harta bapanya bersama-sama anak lelaki daripada wanita bebas itu.'' 31 Demikianlah, saudara-saudaraku, kita ini bukannya anak daripada abdi wanita, melainkan anak daripada wanita bebas.

Galatia 5

1 Kita sekarang bebas, kerana Kristus telah membebaskan kita! Oleh itu pertahankanlah kebebasan kamu dan jangan biarkan diri kamu diperhamba lagi. 2 Dengarlah! Aku, Paulus, berkata kepada kamu: Jika kamu membenarkan orang menyunat kamu, hal ini bererti bahawa apa yang dilakukan oleh Kristus untuk kamu tidak bermakna apa-apa. 3 Sekali lagi aku memberikan peringatan kepada orang yang membiarkan dirinya disunat, bahawa dia wajib mentaati segenap Taurat itu! 4 Jika kamu berusaha untuk berbaik semula dengan Allah melalui ketaatan kepada Taurat, kamu telah memutuskan hubungan dengan Kristus. Dengan demikian kamu hidup di luar naungan rahmat Allah. 5 Tetapi bagi kami, kami berharap bahawa dengan pertolongan Roh Allah dan berdasarkan kepercayaan kami kepada Kristus, Allah memungkinkan kami berbaik semula dengan Dia. 6 Kerana pada masa kita bersatu dengan Kristus Yesus, bersunat atau tidak bersunat tidaklah menjadi soal. Yang penting hanyalah kepercayaan kepada Kristus, dan hal itu nyata dalam kasih kita kepada orang lain. 7 Dahulu kamu berjuang dengan baik. Siapakah yang menyebabkan kamu berhenti mentaati ajaran Tuhan? Siapakah yang sudah memujuk kamu? 8 Tentu bukan Allah, yang telah memanggil kamu. 9 Seperti kata orang, "Ragi yang sedikit boleh menjadikan seluruh adunan naik.'' 10 Meskipun demikian aku masih yakin bahawa kamu tidak akan mengikut pendirian lain, kerana kita semua sudah bersatu dengan Tuhan. Aku pun yakin bahawa orang yang mengacau fikiran kamu pasti akan dihukum oleh Allah. 11 Tetapi tentang aku, saudara-saudaraku, jika aku mengajarkan bahawa orang perlu bersunat, mengapa aku masih dimusuhi? Jika aku masih berbuat demikian, maka perkhabaranku tentang salib Kristus tidak seharusnya menimbulkan persoalan. 12 Aku berharap supaya semua orang yang mengacau fikiran kamu memisahkan diri daripada jemaah Kristian. 13 Saudara-saudaraku, kamu sudah dipanggil untuk menjadi orang bebas. Tetapi janganlah jadikan kebebasan itu alasan untuk membiarkan diri dikuasai oleh hawa nafsu. Sebaliknya, kamu harus saling mengasihi dan saling menolong, 14 kerana segenap Taurat tersimpul dalam satu perintah ini: "Kasihilah sesamamu manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri.'' 15 Tetapi jika kamu berlaku seperti binatang, saling mencedera dan menyakiti, berwaspadalah. Jika tidak, kamu akan membinasakan satu sama lain. 16 Inilah maksudku: Biarlah Roh Allah memimpin hidup kamu dan janganlah hidup menurut keinginan tabiat manusia. 17 Hal itu demikian, kerana keinginan manusia bertentangan dengan keinginan Roh Allah, dan keinginan Roh Allah bertentangan dengan keinginan manusia. Kedua-duanya saling bermusuhan sehingga kamu tidak dapat melakukan apa yang kamu inginkan. 18 Tetapi jika Roh Allah memimpin kamu, kamu tidak dikuasai oleh Taurat. 19 Keinginan tabiat manusia nyata dalam semua perbuatan cabul, lucah, dan tidak senonoh; 20 dalam penyembahan berhala dan penggunaan ilmu sihir. Orang bermusuhan dan berkelahi; mereka cemburu, lekas marah, dan mementingkan diri sendiri. Mereka berpecah dan berpihak-pihak, 21 mereka iri hati, suka mabuk, berpesta liar, dan sebagainya. Aku memperingatkan kamu sekarang sebagaimana aku telah memperingatkan kamu dahulu: Orang yang melakukan perbuatan-perbuatan itu tidak akan menikmati Pemerintahan Allah. 22 Sebaliknya, inilah hasilnya jika orang dipimpin oleh Roh Allah: Mereka saling mengasihi, bersukacita, hidup rukun, sabar, berbudi, baik hati, setia, 23 rendah hati, dan dapat mengawal diri. Tidak ada hukum yang melarang perkara-perkara seperti itu. 24 Demikianlah, orang yang menjadi milik Kristus Yesus sudah mematikan tabiat manusia dengan segala nafsu dan keinginannya. 25 Roh Allah telah memberikan hidup baru kepada kita; oleh itu Dia juga harus menguasai hidup kita. 26 Kita tidak boleh menjadi sombong atau saling menyakiti hati, ataupun iri hati terhadap satu sama lain.

Galatia 6

1 Saudara-saudaraku, jika seseorang didapati melakukan sesuatu yang salah, hendaklah kamu yang hidup menurut pimpinan Roh Allah, membimbing orang itu kembali kepada jalan benar. Tetapi kamu harus melakukannya dengan lemah lembut. Berwaspadalah, supaya kamu sendiri tidak tergoda untuk berbuat hal yang sama. 2 Hendaklah kamu saling menolong memikul beban. Dengan cara demikian kamu akan mentaati perintah Kristus. 3 Jika seseorang menyangka dirinya penting, padahal tidak, orang itu menipu dirinya sendiri. 4 Tiap-tiap orang harus memeriksa kelakuannya sendiri, sama ada baik atau tidak. Jika baik, dia boleh berbangga dengan hal itu. Tetapi dia tidak perlu membandingkan apa yang dilakukannya dengan apa yang dilakukan orang lain, 5 kerana tiap-tiap orang harus memikul tanggungjawab masing-masing. 6 Orang yang sedang menerima ajaran Kristus, harus memberi gurunya bahagian sepatutnya daripada semua yang baik yang dimilikinya. 7 Janganlah tipu diri sendiri. Tidak seorang pun dapat memperbodohkan Allah. Seseorang akan menuai apa yang ditanamnya. 8 Jika seorang menanam menurut tabiat manusianya, dia akan menuai kematian. Tetapi jika dia menanam menurut pimpinan Roh Allah, dia akan menuai hidup sejati dan kekal daripada Roh Allah. 9 Oleh itu, janganlah kita jemu melakukan perkara-perkara baik. Jika kita tidak berhenti-henti berbuat demikian, kelak kita akan menuai hasilnya. 10 Oleh itu, selama kita berpeluang, kita patut berbuat baik kepada semua orang, terutama sekali kepada saudara-saudara kita yang seiman. 11 Perhatikanlah bahagian ini yang aku tulis sendiri dengan huruf yang besar-besar! 12 Mereka yang berusaha untuk memaksa kamu bersunat adalah orang yang mahu membanggakan diri tentang hal-hal zahir. Tetapi mereka berbuat demikian supaya mereka tidak dianiaya oleh orang Yahudi oleh sebab salib Kristus. 13 Tetapi mereka yang membiarkan diri disunat, juga tidak mentaati Taurat. Mereka mahu kamu disunat supaya mereka boleh membanggakan diri bahawa kamu mentaati upacara penyunatan itu. 14 Tetapi aku hanya mahu membanggakan Tuhan kita Yesus Kristus yang sudah mati pada kayu salib. Oleh sebab Kristus sudah mati pada kayu salib, dunia ini tidak bererti apa-apa lagi bagiku. Aku seolah-olah sudah mati terhadap dunia ini. 15 Sama ada orang bersunat atau tidak, hal ini tidak menjadi soal. Yang penting adalah menjadi manusia baru. 16 Bagi mereka yang hidup dengan pendirian itu, dan juga bagi semua umat Allah, aku berdoa agar Allah mengurniai mereka kesejahteraan dan rahmat-Nya. 17 Akhirnya, janganlah seorang pun susahkan aku lagi, kerana bekas-bekas luka pada tubuhku membuktikan bahawa aku hamba Yesus. 18 Semoga Tuhan kita Yesus Kristus memberkati kamu semua. Amin.

Efesus 1

1 Surat ini daripada Paulus, yang menjadi rasul Kristus Yesus kerana kehendak Allah. Surat ini ditujukan kepada umat Allah di Efesus yang setia dalam hidup yang bersatu dengan Kristus Yesus. 2 Semoga Allah Bapa kita dan Tuhan Yesus Kristus mengurniai kamu berkat dan kesejahteraan. 3 Marilah kita bersyukur kepada Allah dan Bapa Tuhan kita Yesus Kristus! Kerana kita hidup bersatu dengan Kristus, Allah sudah memberkati kita dengan segala berkat rohani dari syurga. 4 Sebelum dunia ini diciptakan, Allah telah memilih kita untuk menjadi umat-Nya melalui hidup bersatu dengan Kristus, supaya kita menjadi suci dan tidak bercela di hadirat-Nya. Kerana kasih-Nya, 5 Allah telah membuat keputusan untuk menjadikan kita anak-anak-Nya melalui Yesus Kristus. Itulah keinginan dan kehendak Allah. 6 Marilah kita memuji Allah bagi rahmat-Nya yang mulia, yang dikurniakan-Nya kepada kita melalui Anak yang dikasihi-Nya! 7 Hal itu demikian, kerana dengan kematian Kristus kita dibebaskan; maknanya Allah sudah mengampunkan dosa kita. Alangkah mulianya rahmat Allah, 8 yang sudah dikurniakan-Nya kepada kita dengan berlimpah-limpah! Dengan segala kebijaksanaan dan pengertian, 9 Allah telah melaksanakan tujuan-Nya. Dia memberitahu kita rancangan-Nya yang dirahsiakan, tetapi yang sudah ditentukan-Nya akan disempurnakan melalui Kristus. 10 Rancangan itu akan disempurnakan oleh Allah pada masa yang ditentukan-Nya. Rancangan itu adalah untuk menyatukan segala sesuatu yang telah diciptakan, baik yang di syurga mahupun yang di bumi, dengan Kristus sebagai kepala. 11 Allah melakukan semuanya menurut rancangan dan keputusan-Nya sendiri. Dari mula-mula lagi Dia telah memilih kita, kerana Dia mahu supaya kita menjadi umat-Nya oleh sebab hidup bersatu dengan Kristus. 12 Marilah kita, yang pertama sekali berharap kepada Kristus, memuji kemuliaan Allah! 13 Kamu juga menjadi umat Allah, ketika kamu mendengar berita tentang ajaran benar, yang telah dijanjikan-Nya itu. 14 Roh itu jaminan bahawa kita akan menerima apa yang telah dijanjikan oleh Allah kepada umat-Nya. Hal itu meyakinkan kita bahawa Allah akan membebaskan umat-Nya dengan sepenuhnya. Marilah kita memuji kemuliaan-Nya! 15 Oleh itu, sejak aku mendengar berita bahawa kamu percaya kepada Tuhan Yesus, dan bahawa kamu mengasihi semua umat Allah, 16 aku tidak berhenti-henti bersyukur kepada Allah untuk kamu. Aku mengingat kamu apabila aku berdoa. 17 Aku memohon supaya Allah Tuhan kita Yesus Kristus, Bapa yang mulia, mengurniai kamu Roh-Nya. Roh Allah akan menjadikan kamu bijaksana dan akan menunjukkan Allah kepada kamu sehingga kamu mengenal Dia. 18 Aku memohon agar Allah menjadikan fikiran kamu terbuka untuk memahami ajaran-Nya. Dengan demikian kamu mengetahui apa yang dapat kamu harapkan daripada Allah yang memanggil kamu. Betapa indah dan berlimpah-limpahnya berkat yang dijanjikan oleh Allah kepada umat-Nya, 19 serta betapa besar kuasa-Nya yang menolong kita, orang yang percaya kepada Kristus. Kuasa itu seperti kuasa 20 yang digunakan oleh Allah ketika Dia membangkitkan Kristus daripada kematian, lalu memberi Dia tempat duduk di sebelah kanan-Nya di syurga. 21 Di situ Kristus berkuasa atas semua pemerintah, penguasa, pemimpin, dan raja. Kristus jauh lebih berkuasa daripada sesiapa pun, baik yang hidup pada zaman ini mahupun pada zaman yang akan datang. 22 Allah menaklukkan semuanya ke bawah kekuasaan Kristus, dan memberikan Kristus kepada jemaah sebagai penguasa segala sesuatu. 23 Jemaah itu tubuh Kristus, dan kesempurnaan Kristus, dan Kristus menyempurnakan segala sesuatu di mana-mana sahaja.

Efesus 2

1 Dahulu kamu mati secara rohani, kerana kamu tidak taat kepada perintah Allah dan kamu berdosa. 2 Pada masa itu hidup kamu mengikut cara hidup yang jahat daripada orang di dunia ini. Kamu mentaati penguasa roh-roh jahat di angkasa, iaitu roh yang sekarang menguasai orang yang tidak taat kepada Allah. 3 Sebenarnya dahulu kita semua seperti mereka. Kita hidup mengikut tabiat manusia dan melakukan segala sesuatu yang dikehendaki tubuh dan fikiran kita. Seperti orang lain, kita pun kena kemurkaan Allah. 4 Tetapi Allah sangat berbelas kasihan dan Dia sangat mengasihi kita, 5 sehingga sementara kita mati secara rohani kerana pelanggaran kita, Dia menghidupkan kita semula bersama-sama Kristus. Kamu sudah diselamatkan oleh rahmat Allah. 6 Kerana kita hidup bersatu dengan Kristus Yesus, Allah menghidupkan kita semula bersama-sama Dia supaya kita memerintah dengan Kristus di syurga. 7 Allah melakukan hal itu supaya pada zaman yang akan datang, semua orang akan mengetahui rahmat-Nya yang tidak terhingga itu. Dia menunjukkan kasih-Nya kepada kita melalui Kristus Yesus. 8 Hal itu demikian, kerana dengan rahmat Allah, kamu diselamatkan oleh sebab kamu percaya kepada Yesus. Penyelamatan itu bukan hasil usaha kamu sendiri, melainkan kurnia Allah. Oleh itu kamu tidak mempunyai alasan untuk bercakap besar tentang hal itu. 10 Kita ciptaan Allah dan kerana kita hidup bersatu dengan Kristus Yesus, Allah telah menjadikan kita untuk mengamalkan perbuatan baik, yang sudah disediakan-Nya untuk kita lakukan. 11 Hai kamu yang bukan orang Yahudi! Ingatlah akan keadaan kamu dahulu. Kamu disebut `orang yang tidak bersunat' oleh orang Yahudi yang menyebut diri mereka `orang yang bersunat' (iaitu tanda yang dilakukan oleh manusia pada tubuh mereka). 12 Pada masa itu kamu tidak mengenal Kristus. Kamu orang asing, yang tidak termasuk umat pilihan Allah. Kamu tidak mempunyai bahagian dalam perjanjian yang dibuat oleh Allah dengan umat-Nya berdasarkan janji-janji-Nya kepada mereka. Kamu hidup di dunia ini tanpa harapan dan tanpa Allah. 13 Tetapi sekarang, kerana kamu hidup bersatu dengan Kristus Yesus, kamu yang dahulunya jauh daripada Allah, telah didekatkan kepada Allah oleh kematian Kristus. 14 Hal itu demikian kerana Kristus sendiri telah membawa kedamaian untuk kita dengan menjadikan orang Yahudi dan orang bukan Yahudi satu umat. Dengan kematian-Nya di kayu salib Kristus telah merobohkan tembok permusuhan yang memisahkan mereka. 15 Kristus memansuhkan semua perintah dan peraturan dalam Taurat, supaya daripada dua kaum itu, Dia boleh menjadikan mereka satu umat yang baru, yang hidup bersatu dengan Dia. Dengan cara itu Kristus mendatangkan kedamaian. 16 Dengan kematian-Nya di kayu salib, Kristus telah melenyapkan permusuhan mereka. Dengan salib itu Dia mempersatukan dua kaum itu dan memimpin mereka kembali kepada Allah. 17 Demikianlah Kristus datang dan mengisytiharkan Berita Baik tentang kedamaian itu kepada semua orang: baik kepada orang bukan Yahudi yang dahulu jauh daripada Allah, mahupun kepada orang Yahudi yang dekat dengan Allah. 18 Melalui Kristus, kita semua -- orang Yahudi mahupun bukan Yahudi -- dapat datang ke hadirat Bapa dengan pertolongan Roh Allah yang satu. 19 Oleh itu, kamu orang bukan Yahudi bukan lagi orang asing ataupun pendatang. Sekarang kamu warga umat Allah dan anggota keluarga Allah. 20 Kamu pun dibina di atas asas yang diletakkan oleh para rasul dan nabi, dengan Kristus Yesus sebagai batu asasnya. 21 Dialah yang menjadikan seluruh bangunan itu tersusun rapi dan meluaskannya sehingga menjadi Rumah Allah yang dikhaskan untuk Tuhan. 22 Kerana kamu hidup bersatu dengan Kristus, kamu juga dibina bersama-sama semua orang lain menjadi sebuah tempat kediaman Allah; di situ Roh Allah tinggal.

Efesus 3

1 Itulah sebabnya aku, Paulus, dipenjarakan kerana Kristus Yesus untuk kepentingan kamu orang bukan Yahudi. 2 Tentu kamu sudah mendengar berita bahawa Allah, kerana rahmat-Nya telah memberi aku tugas ini untuk kepentingan kamu. 3 Allah menyatakan rancangan-Nya yang dirahsiakan dan memberitahukannya kepadaku. (Hal itu sudah aku tulis dengan singkat. 4 Jika kamu membacanya, kamu akan memahami pengertianku tentang rahsia Kristus.) 5 Pada masa yang lampau manusia tidak diberitahukan rahsia itu, tetapi sekarang Roh Allah telah menyatakannya kepada para rasul dan nabi yang mengabdikan diri kepada Allah. 6 Inilah rahsia itu: Melalui Berita Baik itu orang bukan Yahudi turut menerima berkat Allah bersama-sama orang Yahudi. Orang bukan Yahudi menjadi anggota daripada tubuh yang sama, dan menerima apa yang dijanjikan oleh Allah melalui Kristus Yesus. 7 Allah merahmati aku dan melalui kuasa-Nya yang bekerja dalam diriku, aku ditugaskan untuk mengisytiharkan Berita Baik itu. 8 Akulah yang paling hina antara umat Allah, namun Allah mengurniai aku tugas istimewa untuk mengisytiharkan Berita Baik kepada orang bukan Yahudi. Berita Baik itu tentang berkat-berkat yang tidak terhingga daripada Kristus. 9 Aku juga harus menjadikan semua orang tahu bagaimana Allah melaksanakan rancangan-Nya yang dirahsiakan itu. Allah, Pencipta semesta alam ini merahsiakan rancangan-Nya sejak dahulu, 10 supaya sekarang melalui jemaah, semua yang memerintah dan yang berkuasa di angkasa dapat mengetahui pelbagai ragam kebijaksanaan Allah. 11 Melalui Kristus Yesus Tuhan kita, Allah melakukan hal itu seperti yang dirancang-Nya sejak permulaan. 12 Kerana kita percaya kepada Kristus dan hidup bersatu dengan Dia, kita berani datang ke hadirat Allah dengan penuh keyakinan. 13 Oleh itu, janganlah tawar hati oleh sebab aku mengalami penderitaan kerana kamu. Semuanya untuk kebaikan kamu. 14 Itulah sebabnya aku bertelut di hadapan Bapa. 15 Dialah yang menyebabkan setiap kaum di dunia dan di syurga menerima sifatnya yang khas. 16 Aku berdoa kepada Allah supaya daripada berkat-Nya yang berlimpah-limpah di syurga, Dia menguatkan batin kamu dengan Roh-Nya. 17 Semoga Kristus tinggal di dalam hati kamu, kerana kamu percaya kepada-Nya. Aku berdoa supaya semua perbuatan kamu berakarkan dan berdasarkan kasih. 18 Dengan demikian kamu bersama-sama umat Allah, dapat sungguh-sungguh memahami betapa luas dan panjangnya serta betapa tinggi dan dalamnya kasih Kristus, 19 yang dengan akal manusia tidak dapat difahami sedalam-dalamnya. Semoga kamu mengenal kasih Kristus, sehingga kamu memperolehi sifat Allah. 20 Dengan kuasa Allah yang bekerja dalam diri kita, Allah dapat melakukan perkara yang jauh lebih banyak daripada yang kita minta atau fikirkan. Hendaklah Allah dimuliakan selama-lamanya di kalangan jemaah, melalui Kristus Yesus! Terpujilah Allah! Amin.

Efesus 4

1 Itulah sebabnya aku -- orang yang dipenjarakan kerana mengabdikan diri kepada Tuhan -- menggesa kamu supaya hidup sesuai dengan cara hidup yang ditetapkan oleh Allah ketika Dia memanggil kamu. 2 Hendaklah kamu sentiasa rendah hati, lemah lembut, dan sabar. Tunjukkanlah kasihmu dengan saling membantu. 3 Berusahalah sebaik-baiknya untuk hidup damai, supaya kesatuan yang diberikan oleh Roh Allah tetap terpelihara. 4 Hanya ada satu tubuh dan satu Roh, begitu juga kamu dipanggil oleh Allah untuk satu harapan. 5 Hanya ada satu Tuhan, satu iman, satu baptisan, 6 dan satu Allah, Bapa semua orang. Dialah Tuhan semua orang, yang bekerja melalui semua orang, dan tinggal di dalam semua orang. 7 Setiap orang daripada kita menerima suatu kurnia menurut apa yang diberikan oleh Kristus. 8 Di dalam Alkitab tertulis, "Ketika Dia naik ke tempat yang tertinggi, Dia membawa banyak tawanan; Dia memberikan kurnia kepada manusia.'' 9 Inilah yang dimaksudkan dengan "Dia naik'': Mula-mula Dia turun ke tempat yang serendah-rendahnya di bumi ini. 10 Dia yang turun itu juga naik ke tempat yang jauh lebih tinggi daripada segala langit, sehingga alam semesta dipenuhi dengan kehadiran-Nya. 11 Dialah yang "memberikan kurnia kepada manusia''. Beberapa orang dilantik-Nya menjadi rasul, yang lain menjadi nabi, yang lain lagi menjadi pembawa Berita Baik, dan yang lain pula menjadi guru dan pemelihara jemaah. 12 Hal itu dilakukan-Nya supaya umat Allah dapat melakukan pelayanan yang sepatutnya dilakukan oleh pengikut Kristus, sehingga tubuh Kristus dikuatkan. 13 Dengan demikian kita menjadi satu oleh iman yang sama dan pengertian yang sama tentang Anak Allah. Kita akan menjadi matang dan sempurna seperti Kristus. 14 Barulah kita tidak menjadi anak-anak lagi, yang diumbang-ambingkan dan ditiup ke sana sini oleh angin ajaran orang licik. Mereka menyesatkan orang dengan tipu muslihat. 15 Sebaliknya, kita harus mengatakan perkara-perkara benar dengan hati yang penuh kasih, sehingga kita menjadi matang dalam segala hal dan menjadi seperti Kristus, iaitu kepala jemaah. 16 Di bawah pimpinan-Nya, semua anggota tubuh yang berlainan itu tersusun rapi, dan seluruh tubuh itu dihubungkan oleh sendi-sendi yang sudah tersedia. Oleh itu, apabila setiap anggota bekerja dengan sepatutnya, seluruh tubuh itu akan membesar dan menjadi kuat, kerana kasih. 17 Oleh itu, demi nama Tuhan aku memberikan amaran ini: Janganlah kamu hidup seperti orang yang tidak mengenal Allah, yang berfikiran sia-sia. 18 Mereka tidak dapat memahami apa-apa. Mereka tidak mengenal kehidupan yang diberikan oleh Allah, kerana mereka jahil dan degil. 19 Mereka tidak mempunyai perasaan malu lagi. Mereka menuruti segala hawa nafsu dan terus-menerus melakukan segala perkara yang tidak senonoh. 20 Bukan itu yang kamu pelajari tentang Kristus! 21 Kamu tentu sudah diberitahukan tentang Dia. Sebagai pengikut-Nya kamu telah menerima ajaran benar tentang Yesus. 22 Oleh itu, buanglah cara hidup yang lama, yang menyebabkan kamu berkelakuan seperti dahulu. Cara hidup itu membinasakan kamu, kerana kamu dikuasai keinginan yang menyesatkan. 23 Hati dan fikiran kamu haruslah dibaharui seluruhnya. 24 Hendaklah kamu hidup seperti manusia baru, yang diciptakan menurut rupa Allah. Dengan demikian orang dapat melihat bahawa kamu mengamalkan hidup yang menyenangkan hati Allah dan yang suci. 25 Oleh itu, kamu tidak boleh berdusta lagi! Kamu harus mengatakan yang benar kepada saudara-saudara seiman, kerana kita semua anggota tubuh Kristus. 26 Jika kamu marah, janganlah biarkan kemarahan itu menyebabkan kamu berdosa. Janganlah marah sepanjang hari. 27 Janganlah berikan peluang kepada Iblis. 28 Orang yang biasa mencuri mesti berhenti mencuri. Mereka harus mula bekerja untuk mencari nafkah dengan jujur sehingga dapat menolong orang miskin. 29 Janganlah gunakan kata-kata kotor dalam percakapan kamu. Gunakanlah kata-kata yang membina dan memberikan pertolongan, supaya apa yang kamu katakan mendatangkan kebaikan kepada mereka yang mendengarnya. 30 Janganlah sedihkan Roh Allah. Jika kamu memiliki Roh Allah, hal itu menunjukkan bahawa kamu milik Allah. Roh itu jaminan bahawa Hari Pembebasan akan tiba bagi kamu. 31 Janganlah berdengki, geram, dan marah. Jangan lagi bertengkar dan memfitnah orang. Jangan lagi benci sesiapa pun. 32 Sebaliknya, hendaklah kamu baik hati, saling berbelas kasihan, dan saling mengampuni sebagaimana Allah telah mengampuni kamu melalui Kristus.

Efesus 5

1 Kerana kamu anak-anak Allah yang dikasihi-Nya, kamu mesti berusaha mengikut teladan-Nya. 2 Hidup kamu harus dijiwai oleh kasih, sebagaimana Kristus mengasihi kita. Dia mengorbankan nyawa-Nya bagi kita, sebagai suatu persembahan yang harum dan korban yang menyenangkan hati Allah. 3 Kerana kamu umat Allah, tidak sepatutnya perbuatan yang cabul atau tidak senonoh, ataupun ketamakan berlaku antara kamu, supaya orang tidak mempunyai alasan untuk mengumpat kamu. 4 Kamu juga tidak patut menggunakan kata-kata yang lucah, cabul, atau tidak senonoh. Sebaliknya kamu harus bersyukur kepada Allah. 5 Kamu tentu tahu bahawa orang yang melakukan perbuatan cabul, atau yang tidak senonoh, ataupun yang tamak (kerana ketamakan seperti penyembahan berhala), tidak akan menikmati Pemerintahan Kristus dan Allah. 6 Janganlah biarkan sesiapa pun menipu kamu dengan kata-kata dusta, kerana hal-hal inilah yang menimbulkan kemurkaan Allah terhadap mereka yang tidak taat kepada-Nya. 7 Oleh itu janganlah sekali-kali berhubungan dengan orang semacam itu. 8 Dahulu kamu hidup dalam kegelapan, tetapi sekarang kamu telah menjadi umat Tuhan, maka kamu hidup dalam cahaya. Itulah sebabnya kamu mesti hidup seperti orang yang hidup dalam cahaya, 9 kerana cahaya 10 Berusahalah untuk melakukan apa yang menyenangkan hati Tuhan. 11 Janganlah lakukan perbuatan tidak berguna, yang biasa dilakukan oleh orang yang hidup dalam kegelapan. Sebaliknya, kamu harus mendedahkan perkara-perkara itu. ( 12 Sebenarnya hal-hal yang dilakukan mereka dengan diam-diam amat memalukan untuk dipercakapkan.) 13 Segala sesuatu akan kelihatan dengan jelas, apabila disinari cahaya, 14 kerana segala sesuatu yang dapat dilihat dengan jelas, adalah cahaya. Itulah sebabnya dikatakan, "Bangunlah, hai kamu yang tidur, dan bangkitlah daripada kematian! Kristus akan menyinari kamu.'' 15 Oleh itu, perhatikanlah cara hidup kamu dengan baik. Janganlah hidup seperti orang bodoh, tetapi hiduplah seperti orang bijak. 16 Setiap kali kamu berpeluang melakukan apa yang baik, gunakanlah peluang itu, kerana masa ini masa yang jahat. 17 Janganlah bertindak bodoh, tetapi berusahalah untuk mengetahui apa yang dikehendaki Tuhan bagi kamu. 18 Janganlah kamu menjadi mabuk oleh wain, kerana hal itu akan merosakkan hidup kamu. Tetapi hendaklah kamu dikuasai oleh Roh Allah. 19 Gunakanlah kata-kata daripada mazmur, nyanyian puji-pujian, dan lagu rohani dalam percakapan kamu. Nyanyikanlah puji-pujian dan mazmur kepada Tuhan dengan hati yang gembira. 20 Hendaklah kamu sentiasa bersyukur kepada Allah Bapa bagi segala sesuatu, demi nama Yesus Kristus Tuhan kita. 21 Untuk menghormati Kristus, hendaklah kamu taat kepada satu sama lain. 22 Hai isteri, taatlah kepada suami seperti kamu taat kepada Tuhan, 23 kerana suami ialah ketua kepada isteri, sebagaimana Kristus ialah ketua kepada jemaah. Kristuslah Penyelamat jemaah, iaitu tubuh-Nya. 24 Oleh itu isteri harus taat dalam segala hal kepada suami, sebagaimana jemaah taat kepada Kristus. 25 Hai suami, kasihilah isteri kamu, sebagaimana Kristus mengasihi jemaah, dan mengorbankan nyawa-Nya untuk jemaah. 26 Kristus berbuat demikian untuk membersihkan jemaah dengan air dan dengan firman-Nya, supaya Dia dapat menyerahkan jemaah kepada Allah. 27 Dengan demikian Kristus memiliki jemaah yang penuh dengan kecemerlangan, yang murni, dan yang tidak bercacat cela sedikit pun. 28 Suami harus mengasihi isteri seperti mengasihi tubuh sendiri. Orang yang mengasihi isteri bererti mengasihi diri sendiri. ( 29 Tidak seorang pun pernah membenci tubuhnya sendiri. Sebaliknya, dia memelihara dan menjaganya, seperti Kristus juga memelihara dan menjaga jemaah, 30 kerana kita anggota tubuh Kristus.) 31 Di dalam Alkitab tertulis, "Itulah sebabnya seorang lelaki akan meninggalkan ibu bapanya untuk bersatu dengan isterinya, dan kedua-duanya akan menjadi satu.'' 32 Ayat itu mengandungi erti yang dalam. Menurut pengertianku, ayat itu berkaitan dengan hubungan antara Kristus dan jemaah. 33 Tetapi ayat itu juga berkaitan dengan kamu: Setiap suami harus mengasihi isterinya seperti dia mengasihi dirinya sendiri, dan setiap isteri harus menghormati suaminya.

Efesus 6

1 Hai anak-anak, sebagai pengikut Kristus, kamu harus taat kepada ibu bapa, kerana hal itulah yang seharusnya kamu lakukan. 2 "Hormatilah ibu bapamu'' adalah perintah pertama daripada Allah yang disertai janji: "supaya kamu hidup bahagia dan berumur panjang di bumi.'' 4 Hai bapa-bapa, janganlah perlakukan anak-anak kamu sedemikian rupa sehingga mereka menjadi marah. Sebaliknya, didiklah mereka dengan ajaran dan nasihat Tuhan. 5 Hai abdi, hormatilah tuan kamu dan taatilah mereka dengan sepenuhnya. Lakukanlah semuanya dengan hati yang ikhlas, seperti kamu melakukan apa yang diperintahkan oleh Kristus. 6 Janganlah berbuat demikian hanya pada masa kamu diawasi, untuk mendapat pujian mereka. Tetapi sebagai abdi Kristus, kamu harus melakukan kehendak Allah dengan sepenuh hati. 7 Lakukanlah kerja kamu sebagai abdi dengan hati yang gembira, seolah-olah kamu bekerja untuk Tuhan, dan bukan hanya untuk manusia. 8 Ketahuilah bahawa setiap orang, baik abdi ataupun orang bebas, akan menerima pahala daripada Tuhan bagi semua perbuatan baik yang dilakukannya. 9 Hai pemilik abdi, perlakukanlah abdi kamu dengan sepatutnya. Jangan lagi gunakan ancaman. Ketahuilah bahawa kamu dan abdi kamu dimiliki oleh satu tuan, iaitu Tuhan yang di syurga, yang menghakimi semua orang dengan adil. 10 Akhirnya, binalah kekuatan kamu dengan menerima kekuatan daripada kuasa Tuhan, kerana kamu hidup bersatu dengan Dia. 11 Pakailah seluruh perlengkapan senjata daripada Allah, supaya kamu dapat mempertahankan diri daripada muslihat Iblis yang jahat. 12 Hal itu demikian kerana kita tidak berjuang melawan manusia, tetapi melawan segala kuasa jahat di angkasa, iaitu roh-roh yang berkuasa dan yang memerintah zaman yang gelap ini. 13 Oleh itu, sekarang, pakailah seluruh perlengkapan senjata daripada Allah, supaya pada hari yang jahat kamu dapat mempertahankan diri daripada serangan musuh. Dengan demikian setelah kamu berjuang sampai akhir, kamu tidak akan berganjak sedikit pun. 14 Oleh itu, kamu harus bersiap sedia! Gunakanlah ajaran benar tentang Allah sebagai tali pinggang dan ketulusan sebagai perisai dada. 15 Hendaklah kesediaan untuk mengisytiharkan Berita Baik yang membawa kesejahteraan menjadi seperti kasutmu. 16 Hendaklah kamu sentiasa gunakan kepercayaan kamu kepada Allah sebagai perisai di tangan. Dengannya kamu dapat memadamkan semua anak panah berapi daripada Si Jahat. 17 Terimalah penyelamatan daripada Allah sebagai topi besi, dan firman Allah sebagai pedang daripada Roh Allah. 18 Lakukanlah semuanya sambil berdoa untuk meminta pertolongan daripada Allah. Berdoalah sentiasa, sebagaimana Roh Allah memimpin kamu. Oleh itu, bersiap sedialah dan janganlah menyerah. Berdoalah sentiasa untuk semua umat Allah. 19 Berdoalah untukku juga, supaya Allah memberitahu aku apa yang harus aku katakan, ketika menyampaikan perkhabaran. Berdoalah supaya dengan berani aku dapat memberitahukan rahsia Berita Baik itu. 20 Kerana Berita Baik itulah, aku menjadi seorang duta, walaupun aku sekarang dipenjarakan. Berdoalah supaya aku berani berkata-kata tentang Berita Baik itu, sebagaimana yang harus aku lakukan. 21 Tikhikus, saudara yang kita kasihi dan hamba yang setia dalam pekerjaan Tuhan, akan memberitahu kamu segala sesuatu tentang aku, supaya kamu mengetahui keadaanku. 22 Itulah sebabnya aku mengutus dia kepada kamu untuk memberitahu kamu keadaan kami semua, supaya kamu berbesar hati. 23 Semoga Allah Bapa dan Tuhan Yesus Kristus menolong semua orang Kristian hidup rukun, saling mengasihi, dan tetap percaya kepada Kristus. 24 Semoga Allah memberkati semua orang yang mengasihi Tuhan kita Yesus Kristus dengan kasih yang tidak kunjung padam.

Filipi 1

1 Surat daripada Paulus dan Timotius, hamba-hamba Kristus Yesus, dan surat ini ditujukan kepada umat Allah di Filipi yang bersatu dengan Kristus, termasuk para pemimpin dan penolong jemaah. 2 Semoga Allah Bapa kita dan Tuhan Yesus Kristus mengurniai kamu berkat dan kesejahteraan. 3 Setiap kali aku teringat akan kamu, aku bersyukur kepada Allah. 4 Setiap kali aku berdoa untuk kamu, aku berdoa dengan sukacita. 5 Aku bersukacita kerana kamu telah menolong aku sehingga dapat mengkhabarkan Berita Baik itu, sejak hari pertama sehingga sekarang. 6 Aku yakin bahawa Allah, yang sudah memulakan pekerjaan yang baik pada diri kamu, akan meneruskannya sehingga selesai pada Hari Kristus Yesus datang kembali. 7 Aku sentiasa mengingati kamu dengan sukacita. Memang aku patut mempunyai perasaan seperti itu terhadap kamu, kerana kamu semua sudah memberikan kerjasama dalam menjalankan tugas khas yang diberikan oleh Allah kepadaku. Kamu melakukannya baik sekarang semasa aku dipenjarakan, mahupun dahulu sewaktu aku bebas membela dan mempertahankan Berita Baik itu. 8 Allah tahu bahawa apa yang aku katakan ini benar. Aku mengasihi kamu dengan kasih yang berasal daripada Kristus Yesus. 9 Aku berdoa supaya kasih kamu kepada Allah dan sesama manusia terus bertambah, sehingga kamu tahu akan apa yang benar dan dapat membuat pertimbangan yang sempurna. 10 Dengan demikian kamu dapat memilih apa yang terbaik, sehingga pada Hari Kristus datang kembali kamu bebas daripada segala celaan dan tuduhan. 11 Hidup kamu akan penuh dengan perbuatan yang benar-benar baik, kerana Yesus Kristus sahaja yang dapat menyebabkan kamu berbuat demikian. Oleh itu Allah akan dimuliakan dan dipuji. 12 Saudara-saudaraku, aku mahu kamu tahu bahawa semua perkara yang berlaku kepadaku sesungguhnya menyebabkan lebih banyak orang mendengar Berita Baik itu. 13 Akibatnya, semua pengawal istana dan orang di sini tahu bahawa aku dipenjarakan kerana aku hamba Kristus. 14 Oleh sebab aku dipenjarakan, kebanyakan orang Kristian di kota ini mempunyai keyakinan yang lebih teguh kepada Tuhan. Mereka semakin berani mengkhabarkan berita itu tanpa berasa takut. 15 Memang beberapa orang antara mereka mengkhabarkan Kristus kerana iri hati terhadap aku serta suka bertengkar. Tetapi yang lain mengisytiharkan Kristus dengan maksud yang baik. 16 Mereka melakukan hal itu kerana mengasihi Allah dan aku. Mereka tahu bahawa Allah telah melantik aku untuk mempertahankan Berita Baik itu. 17 Orang lain mengkhabarkan Kristus dengan maksud yang tidak baik. Mereka melakukannya untuk kepentingan diri sendiri, kerana menyangka hal itu akan lebih menyusahkan aku sementara aku di dalam penjara. 18 Tetapi tidak mengapa! Aku tetap bergembira, asal sahaja Kristus diberitakan dengan segala cara, baik dengan maksud yang baik ataupun yang salah. Aku akan terus bersukacita, 19 kerana aku tahu bahawa dengan doa kamu dan dengan pertolongan daripada Roh Yesus Kristus, aku akan dibebaskan. 20 Aku berharap dengan sepenuh hati supaya jangan sekali-kali aku gagal dalam tugasku. Tetapi pada setiap masa, terutama sekali sekarang, aku dapat berkata-kata dengan berani, sehingga dengan segenap jiwa raga, aku akan menyebabkan orang memuliakan Kristus, sama ada aku hidup ataupun mati. 21 Bagiku, hidup itu mengabdi kepada Kristus, dan kematian lebih berfaedah. 22 Tetapi jika dengan hidup di dunia ini, aku dapat melakukan lebih banyak pekerjaan yang berguna, aku tidak pasti yang mana akan aku pilih. 23 Amatlah susah membuat pilihan. Aku sangat ingin meninggalkan dunia ini untuk pergi tinggal dengan Kristus, kerana hal itu lebih baik. 24 Tetapi bagi kepentingan kamu, lebih mustahak aku hidup. 25 Aku yakin akan hal itu. Oleh itu aku tahu bahawa aku akan terus hidup untuk menolong kamu, supaya iman kamu semakin teguh dan kamu semakin bersukacita dalam kepercayaan kepada Kristus. 26 Dengan demikian apabila aku bersama-sama kamu lagi, kamu akan mempunyai lebih banyak alasan untuk berbangga dengan aku, kerana kamu sudah bersatu dengan Kristus Yesus. 27 Oleh itu penting bagi kamu untuk hidup sesuai dengan apa yang dituntut oleh Berita Baik tentang Kristus. Dengan demikian sama ada aku dapat berjumpa dengan kamu atau tidak, aku akan mendapat berita bahawa kamu berdiri teguh dan berjuang dengan satu tujuan dan satu keinginan, untuk iman yang berdasarkan Berita Baik itu. 28 Janganlah takut akan orang yang menganiaya kamu; tabahkanlah hati. Hal itu akan membuktikan bahawa mereka akan kalah dan kamu akan menang, kerana Allah sendiri yang memberikan kemenangan itu kepada kamu. 29 Semua itu berlaku kerana kamu sudah diberikan oleh Allah anugerah untuk mengabdikan diri kepada Kristus, bukan sahaja dengan percaya kepada-Nya, tetapi juga dengan menderita bagi-Nya. 30 Sekarang kamu boleh menyertai aku dalam perjuanganku, perjuangan yang pernah kamu lihat aku lakukan dahulu. Sekarang kamu juga mendengar bahawa aku masih tetap berjuang.

Filipi 2

1 Kerana kamu hidup bersatu dengan Kristus, kamu dikuatkan. Kerana Kristus mengasihi kamu, kamu dihiburkan. Kamu dipimpin oleh Roh Allah, dan kamu saling mengasihi serta saling berbelas kasihan. 2 Aku berharap saudara semua dapat benar-benar menyenangkan hatiku dengan hidup seia sekata, saling mengasihi dengan kasih yang sama dan mempunyai fikiran serta tujuan yang sama. 3 Janganlah lakukan sesuatu bagi kepentingan diri sendiri, atau kerana hendak menyombongkan diri. Sebaliknya dengan rendah hati, anggaplah orang lain lebih baik daripada diri sendiri. 4 Utamakan kepentingan orang lain, jangan hanya kepentingan diri sendiri. 5 Sikap kamu hendaklah seperti sikap Kristus Yesus: 6 Sebenarnya Dia ilahi, tetapi Dia tidak menganggap keadaan-Nya yang ilahi harus dipertahankan-Nya. 7 Sebaliknya, Dia rela melepaskan segala-galanya, lalu menjadi seperti seorang hamba. Dia datang sebagai manusia, dan hidup seperti manusia. 8 Dia merendahkan diri dan hidup dengan taat kepada Allah sehingga mati -- iaitu mati di atas salib. 9 Itulah sebabnya Allah meninggikan Dia setinggi-tingginya, dan mengurniai Dia kedudukan yang lebih tinggi daripada semua kedudukan yang lain. 10 Oleh itu, untuk menghormati Yesus, semua makhluk di syurga, dan di bumi, dan di bawah bumi akan sujud menyembah Dia. 11 Mereka semua akan mengaku bahawa Yesus Kristus ialah Tuhan; dengan demikian Allah Bapa dimuliakan. 12 Oleh itu, saudara-saudaraku yang tercinta, sebagaimana kamu sentiasa taat kepadaku ketika aku bersama-sama kamu, lebih mustahak lagi kamu taat kepadaku sekarang ini ketika kita berjauhan. Allah sudah menyelamatkan kamu, oleh itu kamu harus terus berusaha untuk menyempurnakan kesejahteraan kamu. Lakukanlah hal itu dengan penuh hormat kepada Allah, 13 kerana Allah sentiasa bekerja di kalangan kamu untuk membuat kamu mahu dan sanggup melakukan apa yang dikehendaki-Nya. 14 Lakukanlah segala sesuatu tanpa bersungut-sungut atau bertengkar. 15 Dengan demikian kamu menunjukkan ketulusan dan kemurnian sebagai anak-anak Allah yang tidak bercela, yang hidup di kalangan orang jahat dan berdosa. Ketika kamu menyampaikan berita yang memberikan hidup yang sejati, kamu harus bersinar antara mereka seperti bintang menerangi langit. Jika kamu berbuat demikian, aku mempunyai alasan untuk berbangga dengan kamu pada Hari Kristus datang kembali. Hal itu membuktikan bahawa segala usaha dan jerih payahku tidak sia-sia. 17 Mungkin aku akan dibunuh dan darahku menjadi seperti persembahan yang dicurahkan di atas korban yang kamu persembahkan kepada Allah, sebagai tanda bahawa kamu percaya kepada-Nya. Jika demikian, aku bersyukur dan bersukacita dengan kamu semua. 18 Begitu juga kamu harus bersukacita kerana apa yang akan berlaku dan turut bergembira denganku. 19 Aku berharap bahawa dengan pertolongan Tuhan Yesus, aku dapat segera mengutus Timotius kepada kamu, supaya berita tentang kamu boleh menenteramkan hatiku. 20 Timotius satu-satunya orang yang sehati denganku, dan dia benar-benar mengambil berat tentang kamu. 21 Semua orang lain sibuk mengurus kepentingan sendiri dan bukan kepentingan Yesus Kristus. 22 Kamu sendiri tahu bahawa Timotius sudah membuktikan betapa baik keperibadiannya. Aku dan Timotius sama seperti bapa dengan anak, yang sudah bekerja bersama-sama untuk menyebarkan Berita Baik. 23 Oleh itu aku bercadang mengutus dia kepada kamu, sebaik sahaja aku mengetahui apa yang akan berlaku kepadaku. 24 Aku berharap bahawa dengan pertolongan Tuhan, aku sendiri akan dapat mengunjungi kamu tidak lama lagi. 25 Aku merasa perlu menyuruh Epafroditus, yang kamu utus untuk menolong aku, kembali kepada kamu. Dia sudah bekerja dan berjuang dengan aku untuk mempertahankan Berita Baik. 26 Dia sangat ingin berjumpa dengan kamu semua, dan dia susah hati kerana kamu sudah mendengar bahawa dia sakit. 27 Memang benar dia sakit dan hampir meninggal. Tetapi Allah mengasihani dia, dan bukan dia sahaja tetapi aku juga, supaya aku tidak bertambah sedih. 28 Itulah sebabnya aku semakin ingin menyuruh dia kembali kepada kamu, supaya kamu bergembira semula apabila berjumpa dengan dia, dan kesedihanku pun akan hilang. 29 Oleh itu sambutlah dia dengan penuh kegembiraan sebagai seorang saudara seiman. Hormatilah semua orang yang seperti dia, 30 kerana dia sudah mempertaruhkan nyawa dan hampir meninggal untuk kepentingan pekerjaan Kristus. Dia berbuat demikian untuk memberi aku pertolongan yang tidak dapat kamu berikan.

Filipi 3

1 Akhirnya, saudara-saudaraku, semoga kamu bersukacita kerana telah hidup bersatu dengan Tuhan. Aku tidak berkeberatan mengulangi apa yang telah aku tulis dahulu, kerana hal itu baik untuk keselamatan kamu. 2 Berhati-hatilah dengan mereka yang melakukan perbuatan jahat. Mereka itu ibarat anjing. Mereka mendesak bahawa orang harus disunat. 3 Tetapi kitalah orang yang sudah menerima sunat yang benar, bukan mereka. Kita menyembah Allah dengan pertolongan Roh-Nya dan kita bersukacita kerana hidup bersatu dengan Kristus. Kita tidak bergantung kepada upacara yang lahiriah. 4 Sebenarnya aku boleh bergantung kepada upacara-upacara itu. Jika sesiapa menyangka dia boleh bergantung kepada upacara yang lahiriah, aku mempunyai alasan yang lebih banyak. 5 Aku disunat ketika berumur lapan hari. Aku dilahirkan sebagai orang Israel daripada suku Benyamin. Oleh itu aku orang Ibrani sejati. Dalam hal mentaati hukum agama Yahudi, aku tergolong orang Farisi. 6 Aku sangat bersemangat melakukan apa yang aku anggap sebagai kehendak Allah, sehingga aku menganiaya orang yang percaya kepada Kristus. Jika orang boleh kembali kepada Allah dengan mentaati perintah Taurat, maka aku sudah melakukan semua perintah itu. 7 Tetapi kerana apa yang sudah dilakukan oleh Kristus bagiku, semua yang dahulu aku anggap sebagai menguntungkan, kini merugikan. 8 Bukan sahaja hal-hal itu aku anggap merugikan, tetapi semua hal lain yang biasa aku lakukan, sekarang aku anggap merugikan. Dengan demikian aku akan mendapat apa yang jauh lebih menguntungkan, iaitu mengenal Kristus Yesus sebagai Tuhanku. Kerana Kristus, aku telah meninggalkan segala perkara yang biasa aku lakukan. Aku menganggap semua itu sebagai sampah sahaja, supaya aku boleh mendapat Kristus 9 dan bersatu dengan Dia. Hubungan baik dengan Allah tidak aku peroleh dengan jalan taat kepada Taurat. Tetapi sekarang aku mempunyai hubungan baik dengan Allah, kerana aku percaya kepada Kristus. Hubungan baik itu datang daripada Allah dan berdasarkan kepercayaan kepada Kristus. 10 Inilah satu-satunya keinginanku: mengenal Kristus dan mengalami kuasa yang membangkitkan Dia daripada kematian, turut menderita dengan Dia, dan menjadi seperti Dia dalam hal kematian-Nya. 11 Aku berharap Allah akan menghidupkan aku semula daripada kematian. 12 Aku tidak berkata bahawa aku sudah berjaya melakukan semua yang harus aku lakukan, ataupun sudah menjadi sempurna. Tetapi aku terus berusaha dengan sungguh-sungguh untuk memenangi hadiah yang disediakan oleh Kristus Yesus. Itulah tujuan Kristus Yesus menjadikan aku milik-Nya. 13 Saudara-saudaraku, sebenarnya aku tidak menganggap bahawa aku sudah berjaya memenangi hadiah itu. Tetapi satu perkara aku lakukan. Aku melupakan apa yang di belakang dan berusaha dengan gigih untuk mencapai apa yang di hadapan. 14 Itulah sebabnya aku berlari terus ke arah tujuanku untuk memenangi hadiah itu. Hadiah itu hidup sejati dan kekal yang merupakan panggilan Allah kepadaku melalui Kristus Yesus. 15 Kita semua yang sudah matang dalam kehidupan sebagai orang yang percaya kepada Kristus, harus bersikap demikian. Tetapi jika ada antara kamu yang berpendapat lain, Allah akan menjelaskan hal itu kepada kamu. 16 Bagaimanapun kita perlu memperhatikan hal ini: Kita harus tetap hidup menurut peraturan yang telah kita taati sehingga sekarang. 17 Saudara-saudaraku, ikutlah teladanku. Kami sudah memberikan teladan yang baik kepada kamu. Oleh itu perhatikanlah orang yang mengikut teladan kami itu. 18 Apa yang akan aku beritahukan kepada kamu, sudah banyak kali aku katakan kepada kamu dahulu, dan sekarang aku mengulanginya lagi dengan tangisan. Banyak orang dengan kehidupan mereka sudah merosakkan erti kematian Kristus di kayu salib. 19 Hidup orang seperti itu akan berakhir dengan kehancuran, kerana mereka bertuhankan keinginan tubuh mereka sendiri. Mereka membanggakan hal-hal yang seharusnya memalukan. Mereka hanya memikirkan perkara-perkara duniawi. 20 Tetapi kewarganegaraan kita di syurga. Dengan penuh harapan kita menanti-nantikan kedatangan Penyelamat kita, Tuhan Yesus Kristus dari syurga. 21 Dia akan mengubah tubuh kita yang lemah dan fana ini, menjadi seperti tubuh-Nya sendiri yang mulia itu. Dia dapat melakukan hal itu kerana Dia memiliki kuasa untuk menaklukkan segala sesuatu.

Filipi 4

1 Oleh itu, saudara-saudaraku, demikianlah hendaknya kamu berdiri teguh dalam hidup yang bersatu dengan Tuhan. Aku sangat mengasihi dan sangat merindukan kamu! Kamu sungguh menggembirakan aku dan menyebabkan aku berasa bangga! 2 Euodia dan Sintikhe, aku memohon supaya kamu berdua sehati sebagai saudara seiman yang mentaati Tuhan. 3 Rakanku yang setia, aku ingin kamu menolong kedua-dua orang wanita itu. Mereka sudah bekerja keras bersama-sama aku untuk mengkhabarkan Berita Baik, sama seperti Klemen dan semua orang lain yang bekerja bersama dengan aku. Nama mereka tertulis di dalam kitab Allah yang mengandungi nama orang yang memiliki hidup sejati. 4 Semoga kamu sentiasa bersukacita kerana hidup bersatu dengan Tuhan. Sekali lagi aku berkata: bersukacitalah! 5 Hendaklah kamu bertolak ansur. Tuhan akan datang segera. 6 Janganlah khuatir akan apa pun. Dalam segala hal, berdoalah dan mintalah kepada Allah apa yang kamu perlukan. Apabila berdoa kepada Allah, hendaklah kamu selalu mengucap syukur. 7 Kesejahteraan daripada Allah yang tidak mungkin difahami oleh manusia, akan menjaga hati dan fikiran kamu, kerana kamu sudah bersatu dengan Kristus Yesus. 8 Akhirnya, saudara-saudaraku, hendaklah kamu menumpukan fikiran hanya kepada perkara-perkara yang baik dan yang patut dipuji, iaitu perkara yang benar, yang mulia, yang adil, yang murni, yang elok dan yang terhormat. 9 Lakukanlah apa yang telah kamu pelajari dan terima daripadaku, baik kata-kata mahupun perbuatanku. Allah yang mengurniai kita kesejahteraan akan menyertai kamu. 10 Dalam hidupku yang bersatu dengan Tuhan, aku bersukacita kerana setelah sedemikian lama, sekali lagi kamu berpeluang mengambil berat terhadap diriku. Aku tidak bermaksud bahawa kamu sudah melupakan aku, tetapi kamu tidak berpeluang untuk menunjukkan bahawa kamu mengambil berat terhadap diriku. 11 Aku berkata seperti itu bukan kerana aku berkekurangan; aku sudah belajar berpuas hati walaupun aku hanya memiliki sedikit. 12 Aku sudah mengalami hidup serba kekurangan dan juga lebih daripada kecukupan. Aku mengetahui rahsianya untuk menghadapi berbagai-bagai keadaan. Aku berpuas hati baik ketika kenyang ataupun lapar, baik ketika hidup mewah ataupun berkekurangan. 13 Dengan kuasa yang diberikan oleh Kristus, aku berdaya menghadapi segala macam keadaan. 14 Tetapi kamu sudah menolong aku dalam kesusahanku; perbuatan kamu itu baik. 15 Kamu yang tinggal di Filipi benar-benar tahu bahawa ketika aku meninggalkan Makedonia, pada waktu aku mula mengkhabarkan Berita Baik di situ, kamulah satu-satunya jemaah yang menolong aku. Hanya kamu yang mengalami untung rugi bersama-sama aku. 16 Semasa aku di Tesalonika dan memerlukan bantuan, lebih daripada sekali kamu mengirim bantuan kepadaku. 17 Aku tidak ingin menerima pemberian sahaja, tetapi aku ingin melihat keuntungan dimasukkan ke dalam akaun kamu. 18 Aku mengaku sudah menerima segala yang kamu berikan, yang lebih daripada cukup itu! Aku sudah menerima semua pemberian kamu yang dibawa oleh Epafroditus, dan sekarang aku mempunyai segala yang aku perlukan. Pemberian kamu seperti persembahan yang harum dan Allah berkenan menerima korban itu. 19 Allahku dengan kekayaan-Nya yang berlimpah-limpah, akan memenuhi segala keperluan kamu melalui Kristus Yesus. 20 Terpujilah Allah dan Bapa kita selama-lamanya! Amin. 21 Sampaikan salamku kepada semua umat Allah yang menjadi milik Kristus Yesus. Terimalah salam daripada saudara-saudara seiman yang bersama-sama aku. 22 Semua umat Allah di sini mengirim salam kepada kamu, terutama mereka yang dari istana Kaisar. 23 Semoga Tuhan Yesus Kristus memberkati kamu semua.

Kolose 1

1 Surat ini daripada Paulus, yang dengan kehendak Allah menjadi rasul Kristus Yesus, dan daripada saudara kita Timotius. 2 Surat ini ditujukan kepada umat Allah di Kolose, yang setia bersatu dengan Kristus. Semoga Allah Bapa kita mengurniai kamu berkat dan kesejahteraan. 3 Kami sentiasa bersyukur kepada Allah, Bapa Tuhan kita Yesus Kristus, apabila kami berdoa untuk kamu. 4 Hal itu demikian kerana kami telah mendapat berita tentang kepercayaan kamu kepada Kristus Yesus, dan tentang kasih kamu bagi semua umat Allah. 5 Apabila Berita Baik, perkhabaran yang benar itu disampaikan kepada kamu dahulu, kamu mendengar tentang harapan yang diberikan oleh Berita Baik itu. Kerana kamu berharap akan apa yang disediakan oleh Allah untuk kamu di syurga, kamu percaya kepada Kristus dan mengasihi umat Allah. 6 Berita Baik itu terus-menerus membawa berkat untuk manusia dan Berita Baik itu tersebar ke seluruh dunia, seperti yang berlaku di kalangan kamu sejak hari pertama kamu mendengar berita tentang rahmat Allah dan benar-benar menghayatinya. 7 Kamu mendengar hal itu daripada Epafras, rakan sekerja yang kami kasihi. Dia bekerja untuk Kristus bagi pihak kami dan dia dapat dipercayai. 8 Dia memberitahu kami bahawa dengan kuasa Roh Allah kamu dapat saling mengasihi. 9 Itulah sebabnya kami selalu berdoa bagi kamu, sejak kami mendengar berita tentang kamu. Kami berdoa kepada Allah supaya Roh Allah memberikan kebijaksanaan dan pengertian kepada kamu, sehingga boleh mengetahui kehendak Allah dengan sempurna. 10 Dengan demikian kamu dapat hidup menurut kehendak Tuhan, dan sentiasa melakukan apa yang menyenangkan hati-Nya. Cara hidup itu akan menghasilkan pelbagai perbuatan yang baik, dan pengetahuan kamu tentang Allah akan bertambah juga. 11 Semoga kamu dikuatkan oleh Allah dengan kuasa-Nya yang mulia, sehingga dapat menanggung derita dengan sabar. Dengan sukacita bersyukurlah kepada Bapa, yang telah menjadikan kamu layak menerima apa yang disediakan oleh Allah untuk umat-Nya dalam pemerintahan yang penuh dengan cahaya daripada Allah. 13 Allah sudah menyelamatkan kita daripada kuasa kegelapan, dan memindahkan kita ke bawah pemerintahan Anak-Nya yang dikasihi-Nya. 14 Melalui Anak-Nya, Allah membebaskan kita dan mengampunkan dosa kita. 15 Kristus serupa dengan Allah, tetapi Kristus dapat dilihat, sedangkan Allah tidak. Kristus itu Anak sulung yang lebih utama daripada segala sesuatu yang diciptakan. 16 Hal itu demikian kerana melalui Dialah Allah menciptakan segala sesuatu di syurga dan di atas bumi, segala sesuatu yang kelihatan dan yang tidak kelihatan, termasuk juga roh-roh yang berkuasa dan yang memerintah. Allah menciptakan alam semesta melalui Kristus dan untuk Kristus. 17 Kristus sudah ada, sebelum segala sesuatu ada. Kerana Dia juga, segala sesuatu mempunyai tempat yang bersesuaian. 18 Kristuslah kepala jemaah, iaitu tubuh-Nya. Dialah sumber kehidupan jemaah itu. Dialah Anak sulung Allah; Allah membangkitkan Dia daripada kematian, supaya Kristus sahaja yang menjadi terutama daripada segala sesuatu. 19 Allah sendiri yang menentukan bahawa keperibadian Allah juga terdapat dengan sepenuhnya dalam diri Anak. 20 Melalui Anak juga, Allah mengambil keputusan untuk membawa segala sesuatu, baik yang di bumi mahupun yang di syurga, kembali kepada-Nya. Allah melakukan hal itu melalui kematian Anak-Nya di kayu salib. 21 Dahulu kamu jauh daripada Allah, dan memusuhi Dia, kerana perbuatan dan fikiran kamu jahat. 22 Tetapi sekarang, dengan kematian Anak-Nya, Allah telah menjadikan kamu sahabat-sahabat-Nya, sehingga kamu dapat dibawa menghadap Dia dalam keadaan yang suci, murni, dan tidak bercela. 23 Tetapi kamu harus tetap percaya kepada Berita Baik itu dan dengan kepercayaan itu kamu dapat berdiri teguh. Janganlah lepaskan harapan yang kamu terima ketika mendengar Berita Baik daripada Allah. Itulah Berita Baik yang telah diisytiharkan kepada semua orang di dunia. Kerana Berita Baik itu, aku, Paulus menjadi hamba untuk mengisytiharkannya. 24 Sekarang aku bersukacita kerana boleh mengalami penderitaan untuk kepentingan kamu. Dengan penderitaan jasmani, aku melengkapi apa yang masih harus diderita oleh Kristus bagi pihak jemaah, iaitu tubuh-Nya. 25 Aku dijadikan penolong jemaah oleh Allah untuk kepentingan kamu. Aku diberikan tugas untuk menyampaikan keseluruhan perkhabaran Allah, 26 yang dirahsiakan oleh Allah kepada semua orang selama berabad-abad yang lalu, tetapi sekarang dinyatakan kepada umat-Nya. 27 Allah merancang untuk menyatakan rahsia-Nya kepada umat-Nya; rahsia yang agung dan mulia untuk umat manusia. Inilah rahsia itu: Kristus tinggal dalam diri kamu, dan hal ini bererti bahawa kamu akan ikut menikmati kemuliaan Allah. 28 Oleh itu kami mengisytiharkan Kristus kepada semua orang. Dengan segala kebijaksanaan kami memberikan amaran dan ajaran kepada mereka, supaya setiap orang dapat dibawa ke hadirat Allah sebagai orang yang matang dalam hal-hal rohani, kerana sudah bersatu dengan Kristus. 29 Untuk mencapai tujuan itu aku bekerja keras dengan segala kekuatan yang diberikan oleh Kristus, dan kekuatan itu nyata dalam apa yang aku lakukan.

Kolose 2

1 Aku ingin kamu tahu bahawa aku bekerja keras untuk kamu dan untuk mereka yang di Laodikia, serta untuk semua orang lain yang belum mengenal aku. 2 Aku berbuat demikian supaya kamu dan mereka berteguh hati, dan juga bersatu kerana saling mengasihi. Dengan demikian kamu dan mereka sungguh-sungguh meyakini dan mengerti serta mengenal rahsia Allah, iaitu Kristus sendiri. 3 Kristuslah yang menyingkap segala kebijaksanaan dan pengetahuan Allah yang diibaratkan sebagai harta tersembunyi. 4 Aku memberitahu kamu hal ini supaya tidak disesatkan oleh hujah yang menarik dan kedengarannya betul. 5 Meskipun aku tidak bersama-sama kamu, anggaplah aku hadir di kalangan kamu. Aku gembira melihat kamu sehati dan percaya kepada Kristus dengan teguh. 6 Kamu sudah menerima Kristus Yesus sebagai Tuhan. Oleh itu hendaklah kamu hidup bersatu dengan Dia. 7 Hendaklah kamu berakar umbi dalam Dia. Binalah hidup kamu, dengan Kristus sebagai asasnya. Hendaklah kamu semakin percaya kepada Kristus, seperti yang sudah diajarkan kepada kamu. Hendaklah hati kamu penuh kesyukuran. 8 Berwaspadalah supaya tidak seorang pun memperhamba kamu dengan falsafah manusia, yang tidak berguna dan menyesatkan. Ajaran itu bukan daripada Kristus, melainkan ajaran manusia yang diturunkan dari generasi ke generasi, dan ajaran daripada roh-roh yang menguasai alam semesta. 9 Seluruh keperibadian Allah juga terdapat dalam diri Kristus, pada waktu Dia hidup di bumi sebagai manusia. 10 Kerana kamu hidup bersatu dengan Kristus, kamu juga diberikan hidup sejati. Semua roh yang berkuasa dan yang memerintah berada di bawah kekuasaan Kristus. 11 Kerana bersatu dengan Kristus, kamu sudah disunat, bukan dengan sunat yang dilakukan oleh manusia, tetapi dengan sunat yang dilakukan oleh Kristus, yang membebaskan kamu daripada kuasa keinginan yang berdosa. 12 Hal itu demikian kerana pada waktu kamu dibaptis, kamu dikubur bersama-sama Kristus. Dengan baptisan itu juga kamu dihidupkan kembali bersama-sama Kristus, kerana kamu percaya kepada kuasa Allah yang telah membangkitkan Kristus daripada kematian. 13 Dahulu kamu sudah mati secara rohani kerana kamu berdosa, dan juga kerana kamu bukan orang Yahudi dan tidak mengenal Taurat Musa. Tetapi sekarang Allah telah menghidupkan kamu bersama-sama Kristus. Allah telah mengampunkan semua dosa kita. 14 Dia telah membatalkan surat hutang kita yang mengancam kita dengan syarat-syarat berat. Dia menghapuskan semuanya dengan menyalibkan surat hutang itu di kayu salib. 15 Di kayu salib itu Kristus membebaskan diri daripada kuasa roh-roh yang berkuasa dan yang memerintah. Dia menjadikan mereka tontonan umum apabila Dia menggiring mereka sebagai tawanan dalam perarakan kemenangan-Nya. 16 Oleh itu janganlah biarkan orang membuat peraturan tentang apa yang kamu makan atau minum, atau tentang hari-hari perayaan agama, atau perayaan bulan baru, ataupun tentang hari Sabat. 17 Semua peraturan itu cuma bayangan daripada hal-hal yang akan datang, tetapi kenyataan daripada hal-hal itu ialah Kristus! 18 Janganlah biarkan diri kamu ditipu oleh sesiapa yang pura-pura rendah hati dan yang menyembah malaikat. Orang seperti itu sombong kerana fikiran duniawi, dan mereka bangga kerana melihat penglihatan tertentu. 19 Dia tidak lagi bergantung kepada Kristus yang menjadi kepala kepada jemaah, iaitu tubuh-Nya. Di bawah pimpinan Kristus seluruh tubuh itu dipelihara, dan juga disatukan oleh sendi dan urat, serta membesar menurut kehendak Allah. 20 Kamu sudah mati bersama-sama Kristus, dan sudah dibebaskan daripada roh-roh yang menguasai alam semesta. Tetapi mengapakah kamu hidup seperti orang yang masih dikuasai dunia ini? Mengapakah kamu menurut peraturan seperti berikut, 21 "Jangan jamah ini,'' "Jangan kecap itu,'' "Jangan sentuh itu''? 22 Semua itu tidak berguna lagi, sebaik sahaja dipatuhi. Semua itu hanya peraturan dan ajaran manusia. 23 Memang peraturan-peraturan itu kelihatannya bijaksana, dengan desakan supaya orang menyembah malaikat, menyeksa diri, dan berpura-pura merendahkan diri. Tetapi semua peraturan itu tidak berguna untuk mengendalikan nafsu manusia.

Kolose 3

1 Kamu sudah dihidupkan semula bersama-sama Kristus. Oleh itu kamu harus mengingini perkara-perkara yang di syurga, di tempat Kristus duduk di atas takhta di sebelah kanan Allah. 2 Hendaklah kamu memusatkan fikiran kepada perkara-perkara yang di syurga, bukan kepada perkara-perkara yang di bumi. 3 Hal itu demikian kerana kamu sudah mati, dan hidup kamu tersembunyi dengan Kristus di dalam Allah. 4 Hanya Kristus yang dapat menyebabkan hidup kamu betul-betul bererti, dan apabila Dia menampakkan diri lagi di bumi, kamu juga akan bersama-sama Dia dan menikmati kemuliaan-Nya! 5 Oleh itu, matikanlah keinginan duniawi yang menguasai diri kamu, seperti perbuatan cabul, perkara yang tidak senonoh, hawa nafsu, keinginan yang jahat, dan ketamakan (kerana ketamakan itu serupa dengan penyembahan berhala). 6 Perkara-perkara semacam itu membangkitkan kemurkaan Allah terhadap orang yang tidak menurut perintah-Nya. 7 Dahulu kamu sendiri pun hidup menuruti keinginan-keinginan demikian, pada masa kamu dikuasai olehnya. 8 Tetapi sekarang kamu tidak boleh berbuat hal-hal ini lagi: marah, mengamuk, dan mempunyai perasaan benci terhadap orang lain. Janganlah caci maki orang ataupun guna kata-kata lucah. 9 Janganlah saling mendustai, kerana kamu sudah membuang hidup yang lama dengan semua sifatnya. 10 Sekarang kamu menjadi manusia baru yang sentiasa dibaharui oleh Penciptanya iaitu Allah, supaya menjadi seperti Dia. Dengan demikian kamu dapat mengenal Allah dengan sempurna. 11 Dengan demikian lenyaplah perbezaan antara orang bukan Yahudi dengan orang Yahudi, orang bersunat dengan orang yang tidak bersunat, orang asing dengan orang biadab, abdi dengan orang bebas. Kristuslah segala-galanya dan Dia bersatu dengan mereka semua. 12 Kamu umat Allah. Allah mengasihi kamu dan memilih kamu supaya menjadi milik-Nya sendiri. Oleh itu, kamu harus berbelas kasihan, baik hati, rendah hati, lemah lembut, dan bersabar. 13 Hendaklah kamu saling bersabar dan saling mengampuni apabila ada yang menaruh dendam terhadap orang lain. Kamu harus saling mengampuni sebagaimana Tuhan sudah mengampuni kamu. 14 Di samping melakukan semua itu, kamu harus saling mengasihi, kerana kasih menyatupadukan kamu dengan sempurna. 15 Hendaklah kedamaian yang diberikan oleh Kristus menolong kamu membuat keputusan tentang apa yang harus dilakukan, kerana Allah telah memanggil kamu supaya menjadi anggota satu tubuh, sehingga kamu dapat mengalami kedamaian itu. Bersyukurlah! 16 Hendaklah ajaran Kristus yang penuh berkat meresap di hati kamu. Hendaklah kamu saling mengajar dan menasihati dengan segala kebijaksanaan. Nyanyikanlah mazmur, nyanyian pujian, dan lagu rohani. Bernyanyilah untuk Allah dengan perasaan syukur di dalam hati. 17 Segala sesuatu yang kamu lakukan atau katakan, haruslah dilakukan demi nama Tuhan Yesus, sambil bersyukur kepada Allah Bapa bagi apa yang dilakukan oleh Tuhan Yesus untuk kamu. 18 Hai isteri, taatlah kepada suami, kerana demikianlah seharusnya kelakuan kamu sebagai orang Kristian. 19 Hai suami, kasihilah isteri dan janganlah berlaku kasar terhadap mereka. 20 Anak-anak, sebagai orang Kristian kamu wajib mentaati ibu bapa kamu, kerana hal itulah yang menyenangkan hati Allah. 21 Hai ibu bapa, janganlah sakiti hati anak-anak supaya mereka tidak menjadi tawar hati. 22 Hai abdi, dalam segala hal taatlah kepada tuan yang di dunia ini. Janganlah berbuat demikian hanya pada masa kamu diawasi, kerana ingin mendapat pujian. Taatilah mereka dengan ikhlas, kerana kamu menghormati Tuhan. 23 Lakukanlah semua tugas dengan sepenuh hati, seolah-olah kamu melakukannya untuk Tuhan dan bukan untuk manusia. 24 Ingatlah, kamu akan menerima pahala daripada Tuhan, yang telah disediakan Tuhan untuk umat-Nya. Hal itu demikian kerana tuan yang kamu layani sebenarnya Kristus. 25 Sesiapa yang berbuat salah akan dihukum setimpal dengan kesalahannya, kerana Allah mengadili setiap orang dengan tidak berat sebelah.

Kolose 4

1 Hai kamu yang menjadi tuan kepada abdi, perlakukanlah abdi dengan baik dan adil. Ingatlah bahawa kamu juga mempunyai Tuan di syurga. 2 Hendaklah kamu berdoa dengan tekun dan berwaspada, sambil bersyukur kepada Allah. 3 Berdoalah juga bagi kami, supaya Allah memberi kami peluang baik untuk mengisytiharkan berita tentang rahsia Kristus. Kerana hal itulah, sekarang aku dipenjarakan. 4 Berdoalah supaya aku dapat menyampaikan berita itu dengan sejelas-jelasnya, kerana hal itulah yang mesti aku lakukan. 5 Hendaklah kamu bijaksana dalam hubungan dengan orang yang tidak percaya kepada Kristus, dan gunakan setiap peluang dengan sebaik-baiknya. 6 Hendaklah percakapan kamu menyeronokkan dan menarik. Hendaklah kamu tahu memberikan jawapan kepada setiap orang dengan sepatutnya. 7 Tikhikus, saudara yang kita kasihi akan memberitahu kamu segala berita tentang aku. Dia seorang pekerja yang setia dan dia bekerja untuk Tuhan bersama-sama kami. 8 Itulah sebabnya aku mengutus dia kepada kamu, supaya dia boleh menggembirakan kamu dengan memberitahukan keadaan kami semua. 9 Tikhikus akan disertai oleh Onesimus, seorang daripada kalangan kamu. Onesimus seorang yang setia dan kami mengasihinya. Mereka berdua akan memberitahu kamu segala sesuatu yang berlaku di sini. 10 Aristarkhus yang ada di penjara bersama-samaku, mengirim salam kepada kamu. Demikian juga Markus, saudara sepupu Barnabas. (Kamu sudah diberitahu untuk menyambut Markus apabila dia datang.) 11 Yesus, yang dipanggil Yustus, mengirim salam juga. Hanya mereka bertiga daripada orang Yahudi, yang sudah percaya kepada Yesus dan yang bekerja bersama-sama aku untuk mewujudkan Pemerintahan Allah. Mereka sangat menolong aku. 12 Salam daripada Epafras, seorang lagi daripada kalangan kamu. Dia hamba Kristus Yesus, dan dia sentiasa berdoa dengan tekun bagi kamu. Dia memohon kepada Allah supaya iman kamu teguh, dan kamu betul-betul matang, serta taat kepada kehendak Allah dengan sepenuhnya. 13 Aku sendiri dapat memberikan kesaksian betapa kerasnya dia bekerja untuk kamu dan untuk orang di Laodikia dan Hierapolis. 14 Lukas, doktor yang kita kasihi dan Demas mengirim salam kepada kamu. 15 Sampaikanlah salam kami kepada saudara-saudara di Laodikia, dan kepada Nimfa, serta jemaah yang beribadat di rumahnya. 16 Setelah surat ini dibacakan kepada kamu, pastikanlah bahawa surat ini juga dibacakan kepada jemaah di Laodikia. Kamu juga harus membaca surat yang akan dikirim dari Laodikia. 17 Katakanlah kepada Arkhipus, "Selesaikanlah tugas yang diberikan kepadamu untuk melakukan kerja bagi Tuhan.'' 18 Dengan tangan sendiri aku menulis kata-kata ini: Salam daripada Paulus. Janganlah lupa bahawa aku masih di dalam penjara! Semoga Allah memberkati kamu.

1 Tesalonika 1

1 Surat ini daripada Paulus, Silas, dan Timotius. Surat ini ditujukan kepada jemaah di Tesalonika, yang menjadi milik Allah Bapa dan Tuhan Yesus Kristus. Semoga Allah mengurniai kamu berkat dan kesejahteraan. 2 Kami sentiasa bersyukur kepada Allah kerana kamu semua. Setiap kali kami berdoa kepada Allah, kami sentiasa mendoakan kamu. 3 Apabila kami berdoa kepada Allah dan Bapa kita, kami mengingat bagaimana perbuatan kamu menunjukkan kepercayaan kamu kepada Kristus, bagaimana kamu mengasihi orang lain sehingga bekerja untuk membantu mereka, dan bagaimana kamu berharap dengan teguh kepada Tuhan kita Yesus Kristus. 4 Saudara-saudaraku, kami tahu bahawa Allah mengasihi kamu dan sudah memilih kamu menjadi milik-Nya sendiri. 5 Hal itu demikian, kerana kami mengisytiharkan Berita Baik kepada kamu, bukan dengan kata-kata sahaja, tetapi juga dengan kuasa, dengan Roh Allah dan dengan keyakinan bahawa Berita Baik itu benar. Kamu mengetahui cara hidup kami ketika kami bersama-sama kamu dan semua itu untuk kebaikan kamu. 6 Kamu mengikut teladan kami dan teladan Tuhan. Meskipun kamu menanggung banyak penderitaan, kamu menyambut perkhabaran itu dengan kegembiraan yang datang daripada Roh Allah. 7 Oleh itu kamu menjadi teladan kepada semua orang Kristian di Makedonia dan Akhaya. 8 Berita tentang Tuhan tersebar sampai ke Makedonia dan Akhaya, kerana kamu. Orang di mana-mana sahaja juga mendengar berita tentang kepercayaan kamu kepada Allah. Oleh itu kami tidak perlu berkata apa-apa lagi. 9 Semua orang berkata bahawa kamu menyambut kami dengan baik ketika melawat kamu dahulu. Mereka berkata bahawa kamu tidak mahu menyembah berhala lagi, tetapi datang kepada satu-satunya Allah yang hidup untuk mentaati dan menyembah Dia. 10 Mereka juga berkata bahawa kamu menantikan kedatangan Anak Allah dari syurga, iaitu Yesus yang sudah dibangkitkan oleh Allah daripada kematian. Yesuslah yang menyelamatkan kita daripada kemurkaan Allah yang akan datang.

1 Tesalonika 2

1 Saudara-saudaraku, kamu sendiri tahu bahawa lawatan kami kepada kamu tidak sia-sia. 2 Kamu tahu bahawa kami dianiaya dan dihina di Filipi, sebelum kami datang kepada kamu di Tesalonika. Meskipun kami mengalami tentangan, Allah kita mengurniai kami keberanian untuk memberitahu kamu Berita Baik yang datang daripada-Nya. 3 Rayuan kami kepada kamu tidak berdasarkan kesilapan ataupun maksud yang tidak murni. Kami juga tidak cuba memperdaya sesiapa pun. 4 Sebaliknya kami sentiasa berkata-kata sebagaimana yang dikehendaki Allah, kerana kami dianggap layak oleh Allah untuk mengisytiharkan Berita Baik itu. Kami tidak berusaha untuk menyenangkan hati orang, tetapi kami berusaha untuk menyenangkan hati Allah yang menguji hati kami. 5 Kamu tahu bahawa kami tidak datang kepada kamu dengan kata-kata yang mengangkat, ataupun dengan maksud untuk mengambil untung daripada kamu. Allah saksi kami! 6 Kami tidak berusaha untuk mendapat pujian daripada sesiapa pun, baik daripada kamu mahupun daripada orang lain. 7 Sebenarnya sebagai rasul Kristus kami boleh menuntut sesuatu daripada kamu. Tetapi apabila kami bersama-sama kamu, kami bersikap lemah lembut seperti seorang ibu yang menjaga anak-anaknya. 8 Kerana kami mengasihi kamu, kami bersedia mati bagi kamu di samping memberitahu kamu Berita Baik daripada Allah. Kami sangat mengasihi kamu! 9 Saudara-saudaraku, tentu kamu ingat bagaimana kami bertungkus lumus! Kami bekerja siang malam supaya kami tidak menjadi beban kepada kamu semasa kami mengisytiharkan Berita Baik daripada Allah. 10 Kamulah saksi kami, demikian juga Allah. Kelakuan kami suci, benar, dan tidak bercela terhadap kamu yang percaya kepada Kristus. 11 Kamu tahu bahawa kami memperlakukan setiap orang daripada kamu seperti seorang bapa memperlakukan anak-anaknya. 12 Kami menasihati kamu, kami menggalakkan kamu, dan kami menggesa kamu supaya hidup sedemikian rupa sehingga menyenangkan hati Allah. Dialah yang memanggil kamu untuk menikmati Dunia Baru Allah dan kemuliaan-Nya. 13 Kami mempunyai alasan lain yang menyebabkan kami sentiasa bersyukur kepada Allah. Ketika kami menyampaikan perkhabaran Allah kepada kamu, kamu mendengar dan menyambutnya bukan sebagai perkhabaran daripada manusia, tetapi sebagai perkhabaran daripada Allah. Memang perkhabaran itu daripada Allah! Allah bekerja dalam diri kamu yang percaya kepada Kristus. 14 Saudara-saudaraku, kamu sudah mengalami perkara yang juga dialami oleh jemaah Allah di Yudea, yang menjadi milik Kristus Yesus. Kamu mengalami penganiayaan daripada orang sebangsa kamu sendiri, seperti jemaah di Yudea yang mengalami penganiayaan daripada orang Yahudi. 15 Orang Yahudi sudah membunuh Tuhan Yesus dan nabi-nabi, serta menganiaya kami juga. Mereka memusuhi semua orang dan mereka menyebabkan Allah sangat murka! 16 Bahkan mereka berusaha menghalangi kami mengisytiharkan perkhabaran Allah kepada orang bukan Yahudi, dan sebenarnya perkhabaran itu dapat menyelamatkan mereka. Demikianlah orang Yahudi terus-menerus menambah dosa sampai hadnya. Sekarang kemurkaan Allah menimpa mereka! 17 Tetapi saudara-saudara seiman, sejak kami terpisah daripada kamu untuk sementara waktu -- jauh di mata tetapi dekat di hati -- kami sangat merindui kamu. Kami berusaha seboleh-bolehnya supaya dapat berjumpa lagi dengan kamu! 18 Kami berniat melawat kamu lagi. Aku sendiri telah berusaha melawat kamu semula sekali dua, tetapi Iblis menghalangi kami. 19 Sesungguhnya kamulah harapan dan kegembiraan kami. Pada waktu Tuhan kita Yesus datang kelak, dan kita menghadap-Nya, maka kamulah yang akan menyebabkan kami dapat berbangga dengan kejayaan kami. 20 Sesungguhnya kamulah kebanggaan dan kegembiraan kami!

1 Tesalonika 3

1 Akhirnya kerinduan kami tidak tertahan lagi. Oleh itu kami membuat keputusan untuk tinggal sendirian di Atena, 2 sementara kami mengutus Timotius, saudara kita. Dia hamba Allah yang bekerja bersama-sama kami untuk mengkhabarkan Berita Baik tentang Kristus. Kami mengutus dia untuk menggalakkan kamu dan meneguhkan kepercayaan kamu kepada Kristus. 3 Dengan demikian tidak seorang pun daripada kamu meninggalkan Kristus kerana penganiayaan itu. Kamu sendiri tahu bahawa penganiayaan itu sebahagian daripada kehendak Allah bagi kita. 4 Semasa kami bersama-sama kamu, kami telah memberitahu kamu terlebih dahulu bahawa kita akan dianiaya. Sekarang kamu sendiri tahu bahawa hal itu benar-benar berlaku. 5 Itulah sebabnya aku mengutus Timotius, kerana aku ingin sekali mengetahui hal kepercayaan kamu kepada Kristus. Aku khuatir kalau-kalau Iblis sudah menggoda kamu sehingga segala usaha kami sia-sia. 6 Sekarang Timotius sudah kembali, dan dia membawa khabar baik bahawa kamu masih percaya kepada Kristus dan bahawa kamu saling mengasihi. Dia memberitahu kami bahawa kamu sentiasa gembira apabila mengenang kami dan kamu ingin berjumpa dengan kami seperti kami pun ingin berjumpa dengan kamu. 7 Itulah sebabnya, saudara-saudara seiman, dalam segala kesusahan dan penderitaan kami, kami terhibur oleh berita tentang kamu. Kepercayaan kamu kepada Kristus menggalakkan kami, 8 kerana sekarang kami berasa sungguh-sungguh hidup, jika kamu tetap teguh bersatu dengan Tuhan. 9 Sekarang kami sangat bersyukur kepada Allah kerana kamu. Kami bersyukur kepada Allah bagi kegembiraan yang kami alami di hadirat-Nya kerana kamu. 10 Siang malam kami memohon kepada-Nya dengan sepenuh hati, supaya kami sendiri boleh berjumpa dengan kamu, dan melengkapkan apa yang masih kamu perlukan untuk percaya kepada Kristus. 11 Semoga Allah Bapa kita dan Tuhan kita Yesus, membuka jalan bagi kami untuk berjumpa dengan kamu! 12 Semoga Tuhan menyebabkan kamu semakin saling mengasihi dan semakin mengasihi semua orang, sehingga kasih kamu kepada orang lain seperti kasih kami kepada kamu. 13 Dengan cara ini Tuhan akan menguatkan hati kamu, sehingga kamu akan menjadi suci dan tidak bercela di hadirat Allah Bapa kita, pada waktu Tuhan kita Yesus datang dengan semua orang yang menjadi milik-Nya.

1 Tesalonika 4

1 Akhirnya, saudara-saudaraku, kami telah memberikan teladan kepada kamu tentang cara hidup yang menyenangkan hati Allah. Aku tahu bahawa memang demikianlah cara kamu hidup. Tetapi sekarang demi nama Tuhan Yesus, kami meminta dan menggesa kamu supaya berbuat lebih daripada hal itu. 2 Aku berkata demikian kerana kamu mengetahui petunjuk-petunjuk yang telah kami berikan kepada kamu dengan kuasa Tuhan Yesus. 3 Inilah kehendak Allah bagi kamu: Hendaklah kamu mengamalkan hidup yang suci, dan menjauhkan diri daripada perbuatan yang cabul. 4 Setiap orang lelaki antara kamu harus tahu bagaimana hidup bersama-sama isterinya dengan cara yang menyenangkan hati Allah dan manusia, 5 serta tidak mengikut hawa nafsu, seperti yang dilakukan orang yang tidak mengenal Allah. 6 Dalam hal seperti ini, janganlah seorang pun berbuat salah terhadap saudaranya, ataupun memperdayakan dia. Kami telah memberitahu kamu hal ini dahulu dan telah memberikan amaran yang keras kepada kamu bahawa Tuhan akan menghukum orang yang melakukan kesalahan seperti itu. 7 Allah tidak memanggil kita supaya hidup cabul, tetapi supaya kita hidup dengan cara yang menyenangkan hati Allah. 8 Oleh itu, orang yang menolak ajaran ini, bukannya menolak manusia, tetapi menolak Allah yang mengurniai kamu Roh-Nya yang suci. 9 Tidak perlu kami menulis tentang bagaimana kamu harus mengasihi saudara-saudara seiman. Kamu sendiri telah diajar oleh Allah bagaimana kamu harus saling mengasihi. 10 Kamu sudah menunjukkan hal ini kepada semua saudara seiman di seluruh Makedonia. Oleh itu, saudara-saudaraku, kami menggesa kamu supaya lebih saling mengasihi. 11 Berusahalah hidup dengan tenang; janganlah campuri hal orang lain dan carilah nafkah sendiri, sebagaimana kami katakan kepada kamu dahulu. 12 Dengan cara ini kamu akan dihormati oleh mereka yang tidak percaya kepada Kristus. Kamu pun tidak perlu bergantung kepada sesiapa pun bagi keperluan kamu. 13 Saudara-saudaraku, kami ingin kamu mengetahui yang sebenarnya tentang mereka yang sudah meninggal dunia, supaya kamu tidak bersedih hati seperti orang yang tidak mempunyai harapan. 14 Kita percaya bahawa Yesus sudah mati dan hidup semula. Demikian juga kita percaya bahawa mereka yang percaya kepada Yesus dan sudah meninggal dunia akan dihidupkan semula oleh Allah supaya hidup bersama-sama Yesus. 15 Yang kami beritahukan kepada kamu ini ajaran Tuhan: Pada hari Tuhan datang kelak, kita yang masih hidup tidak akan mendahului mereka yang sudah meninggal dunia. 16 Pada masa itu malaikat agung akan berseru dengan suara yang kuat dan trompet Allah dibunyikan, lalu Tuhan sendiri akan turun dari syurga. Mereka yang percaya kepada Kristus dan sudah meninggal dunia akan dihidupkan terlebih dahulu. 17 Kemudian kita yang masih hidup pada waktu itu akan diangkat bersama-sama mereka ke awan untuk berjumpa dengan Tuhan di angkasa. Lalu kita akan bersama-sama Tuhan selama-lamanya. 18 Oleh itu, hendaklah kamu saling membesarkan hati dengan kata-kata ini.

1 Tesalonika 5

1 Saudara-saudara seiman, kami tidak perlu menulis tentang masa dan waktu, apabila perkara-perkara ini akan berlaku. 2 Hal itu demikian kerana kamu sendiri tahu dengan jelas bahawa Hari kedatangan Tuhan akan tiba seperti pencuri datang pada malam hari. 3 Apabila orang berkata, "Semuanya aman dan tenteram,'' pada waktu itulah mereka akan ditimpa kebinasaan dengan tiba-tiba dan tidak seorang pun dapat melepaskan diri. Hal itu akan berlaku dengan tiba-tiba seperti rasa sakit yang dialami seorang wanita semasa hendak melahirkan anak. 4 Tetapi kamu, saudara-saudara seiman, kamu tidak hidup dalam kegelapan. Hari itu tidak seharusnya mengejutkan kamu seperti kedatangan seorang pencuri. 5 Kamu semuanya orang yang hidup dalam cahaya, orang yang tergolong pada siang yang terang. Kita bukan orang yang hidup dalam kegelapan, atau yang tergolong pada malam yang gelap. 6 Oleh itu kita tidak seharusnya tidur seperti orang lain. Kita harus berjaga-jaga dan berwaspada. 7 Orang tidur pada malam hari; orang pun mabuk pada malam hari. 8 Tetapi kita ini orang yang tergolong pada siang yang terang. Oleh itu kita harus berwaspada. Kita mesti percaya kepada Tuhan dan mengasihi orang lain, maka hal itu seperti melindungi diri dengan perisai dada. Dengan yakin kita berharap akan diselamatkan, dan hal ini seperti melindungi kepala dengan topi besi. 9 Allah memilih kita bukannya untuk mengalami kemurkaan-Nya, tetapi untuk diselamatkan melalui Tuhan kita Yesus Kristus. 10 Yesus mati untuk kita supaya kita boleh hidup bersama-sama Dia pada waktu Dia datang kelak, baik kita masih hidup ataupun telah mati pada waktu itu. 11 Oleh itu, hendaklah kamu saling menggalakkan dan saling menguatkan, seperti yang kamu lakukan sekarang ini. 12 Saudara-saudaraku, kami menggesa kamu supaya menghormati mereka yang bekerja di kalangan kamu. Mereka memimpin dan menasihati kamu dalam kehidupan kamu sebagai orang Kristian. 13 Perlakukanlah mereka dengan penuh hormat dan kasihilah mereka, kerana semuanya yang dilakukan oleh mereka. Hendaklah kamu hidup rukun. 14 Saudara-saudaraku, kami menggesa kamu supaya memberikan amaran kepada orang yang malas bekerja, menabahkan hati orang yang takut, menolong orang yang perlu ditolong, dan bersabar terhadap semua orang. 15 Janganlah seorang pun membalas kejahatan dengan kejahatan, tetapi kamu harus sentiasa berusaha untuk saling berbuat baik dan menolong semua orang. 16 Hendaklah kamu sentiasa bersukacita, 17 dan berdoalah sentiasa. 18 Hendaklah kamu bersyukur dalam segala keadaan, kerana hal inilah yang dikehendaki oleh Allah daripada kamu sebagai orang yang hidup bersatu dengan Kristus Yesus. 19 Janganlah halang Roh Allah. 20 Janganlah hina perkhabaran-perkhabaran yang diberikan oleh Roh Allah. 21 Pertimbangkan semuanya; ikutlah apa yang baik, 22 dan jauhilah segala macam kejahatan. 23 Semoga Allah yang mengurniai kita kesejahteraan, menjadikan kamu sungguh-sungguh hidup khas untuk Allah. Semoga Allah menjaga roh, jiwa, dan tubuh kamu, sehingga tidak bercacat cela pada masa Tuhan kita Yesus Kristus datang kembali. 24 Allah yang memanggil kamu akan melakukan hal itu, kerana Dia setia. 25 Doakanlah kami, saudara-saudara seiman. 26 Bersalamanlah dengan mesra sebagai saudara Kristian. 27 Dengan kuasa Tuhan, aku menggesa kamu supaya membacakan surat ini kepada semua saudara seiman. 28 Semoga Tuhan kita Yesus Kristus memberkati kamu semua.

2 Tesalonika 1

1 Surat ini daripada Paulus, Silas, dan Timotius, serta ditujukan kepada jemaah di Tesalonika, yang menjadi umat Allah Bapa kita dan Tuhan Yesus Kristus. 2 Semoga Allah Bapa kita dan Tuhan Yesus Kristus mengurniai kamu berkat dan kesejahteraan. 3 Saudara-saudaraku, kami harus sentiasa bersyukur kepada Allah kerana kamu. Memang sepatutnya kami berbuat demikian, kerana kamu semakin percaya kepada Yesus dan kamu semakin mengasihi satu sama lain. 4 Itulah sebabnya kami membanggakan kamu antara jemaah Allah di tempat lain. Dengan bangga kami menceritakan bagaimana kamu tetap percaya kepada Kristus semasa mengalami penganiayaan dan penderitaan. 5 Di sini nyata betapa adilnya penghakiman Allah: Allah akan menjadikan kamu layak untuk menikmati Dunia Baru Allah, yang baginya kamu telah mengalami penderitaan. 6 Allah akan melakukan apa yang adil. Dia akan mendatangkan penderitaan kepada orang yang membuat kamu menderita. 7 Dia pun akan memberikan kelegaan kepada kamu yang menanggung penderitaan dan juga kepada kami. Allah akan melakukan hal ini apabila Tuhan Yesus turun dari syurga dan menampakkan diri dengan malaikat-malaikat-Nya yang perkasa, 8 dan dengan api yang bernyala-nyala. Dia datang untuk menghukum orang yang tidak mahu mengakui Allah dan orang yang tidak mahu mentaati Berita Baik tentang Yesus Tuhan kita. 9 Mereka akan menerima hukuman kebinasaan selama-lamanya; mereka akan terpisah daripada hadirat Tuhan dan kekuasaan-Nya yang mulia. 10 Semua itu akan berlaku, apabila Tuhan datang pada Hari itu kelak untuk menerima kemuliaan daripada semua umat-Nya dan penghormatan daripada semua orang yang percaya kepada-Nya. Kamu pun akan bersama-sama umat Allah itu, kerana kamu percaya kepada perkhabaran yang kami sampaikan. 11 Itulah sebabnya kami sentiasa mendoakan kamu. Kami berdoa supaya Allah menjadikan kamu layak untuk hidup menurut kehendak-Nya; untuk hal itulah Dia telah memanggil kamu. Semoga Allah dengan kekuasaan-Nya memenuhi segala keinginan kamu untuk berbuat baik, dan menyempurnakan segala usaha yang kamu lakukan, kerana percaya kepada Kristus. 12 Dengan demikian Yesus Tuhan kita akan kamu muliakan dan kamu pun akan dimuliakan oleh-Nya. Semuanya akan berlaku kerana rahmat Allah kita dan rahmat Tuhan Yesus Kristus.

2 Tesalonika 2

1 Tentang kedatangan Tuhan kita Yesus Kristus dan tentang hal kita dikumpulkan bersama-sama Dia kelak, aku menggesa kamu, saudara-saudaraku supaya hal-hal ini tidak berlaku. 2 Janganlah kamu gelisah, dan janganlah fikiran kamu cepat dikelirukan kerana orang berkata bahawa hari kedatangan Tuhan sudah tiba. Mungkin ada yang berpendapat bahawa kami mengatakan demikian semasa bernubuat atau mengajar atau menulisnya di dalam surat. 3 Janganlah biarkan orang menipu kamu, kerana hari itu hanya akan tiba, apabila banyak orang memberontak terhadap Allah, dan Manusia Jahat yang ditetapkan masuk ke neraka, menampilkan diri. 4 Dia akan melawan semua yang disebut tuhan. Dia menganggap dirinya lebih berkuasa daripada semua yang disembah oleh manusia. Bahkan dia akan masuk ke Rumah Allah dan duduk di situ serta mengisytiharkan dirinya sebagai Allah. 5 Ingatlah bahawa aku pernah memberitahu kamu semua itu semasa aku bersama-sama kamu. 6 Namun kamu tahu bahawa ada sesuatu yang menghalang perkara itu daripada berlaku sekarang ini. Manusia Jahat itu akan menampilkan diri pada masa yang ditentukan oleh Allah. 7 Kekuasaan yang melakukan kejahatan sudah mula bertindak secara rahsia. Tetapi perkara yang akan berlaku itu tidak akan terjadi, selagi yang menahannya tidak disingkirkan. 8 Kemudian Manusia Jahat itu akan kelihatan, tetapi apabila Tuhan Yesus datang, Dia akan membunuh Manusia Jahat itu dengan nafas dari mulut-Nya, dan membinasakannya dengan kegemilangan hadirat-Nya. 9 Manusia Jahat itu akan datang dengan kuasa Iblis. Dia akan melakukan segala macam mukjizat dan keajaiban yang menyesatkan orang. 10 Dia akan menggunakan segala tipu muslihat jahat untuk menyesatkan semua orang yang akan binasa. Mereka akan binasa kerana tidak mahu menerima atau menghargai berita benar daripada Allah yang dapat menyelamatkan mereka. 11 Itulah sebabnya Allah mengirim kuasa yang menyesatkan kepada mereka sehingga mereka percaya kepada apa yang tidak benar. 12 Akibatnya, semua orang yang tidak percaya kepada berita benar daripada Allah, tetapi menyukai dosa akan dihukum. 13 Kami mesti sentiasa bersyukur kepada Allah bagi kamu, saudara-saudara yang dikasihi Tuhan. Hal itu demikian kerana Allah telah memilih kamu antara orang yang terdahulu sekali diselamatkan-Nya. Dengan kuasa Roh-Nya dan dengan kepercayaan kamu kepada berita benar daripada Allah, Allah telah menjadikan kamu umat-Nya yang suci. 14 Allah memanggil kamu melalui Berita Baik yang kami khabarkan kepada kamu. Dia memanggil kamu supaya ikut memiliki kemuliaan Tuhan kita Yesus Kristus. 15 Oleh itu, saudara-saudaraku, kamu harus tetap percaya dan berpegang kepada ajaran-ajaran yang telah kami sampaikan, baik secara lisan mahupun bertulis. 16 Allah Bapa kita mengasihi kita, dan kerana rahmat-Nya Dia menyebabkan kita sentiasa tabah mengharapkan yang baik. Semoga Dia dan Tuhan kita Yesus Kristus sendiri menggalakkan kamu dan menguatkan kamu untuk melakukan dan mengatakan yang baik.

2 Tesalonika 3

1 Akhirnya, saudara-saudaraku, berdoalah untuk kami, supaya perkhabaran Tuhan boleh terus tersebar dengan cepat dan diterima dengan baik, sebagaimana halnya antara kamu dahulu. 2 Berdoalah juga supaya Allah menyelamatkan kami daripada orang yang kejam dan jahat, kerana tidak semua orang percaya kepada perkhabaran itu. 3 Tetapi Tuhan kita setia. Dia akan menguatkan kamu dan menyelamatkan kamu daripada Si Jahat. 4 Tuhanlah yang menyebabkan kami mempercayai kamu, dan kami yakin bahawa kamu sedang melakukan dan akan terus melakukan apa yang kami beritahu kamu. 5 Semoga Tuhan memimpin kamu untuk lebih memahami kasih Allah dan ketabahan yang diberikan oleh Kristus. 6 Saudara-saudaraku, demi nama Tuhan Yesus Kristus, kami memerintah kamu supaya menjauhkan diri daripada semua saudara yang hidup bermalas-malas, dan yang tidak mengikut ajaran yang kami berikan. 7 Kamu sendiri tahu bahawa kamu harus melakukan apa yang telah kami lakukan. Semasa kami bersama-sama kamu, kami tidak bermalas-malas. 8 Kami membayar semua makanan yang kami makan. Kami bekerja dengan tidak mengenal lelah, supaya kami tidak menjadi beban kepada sesiapa pun di kalangan kamu. 9 Kami berbuat demikian bukan kerana kami tidak berhak menuntut pertolongan kamu, tetapi supaya kami menjadi teladan kepada kamu. 10 Semasa kami bersama-sama kamu, kami memberikan peraturan berikut, "Orang yang tidak mahu bekerja, tidak boleh makan.'' 11 Kami berkata demikian kerana kami mendengar bahawa ada beberapa orang di kalangan kamu yang bermalas-malas. Mereka tidak melakukan sesuatu pun kecuali mencampuri urusan orang lain. 12 Demi nama Tuhan Yesus Kristus kami memerintah dan memperingatkan orang seperti itu, bahawa mereka mesti hidup dengan sepatutnya dan mencari nafkah sendiri. 13 Tetapi kamu, saudara-saudara seiman, janganlah jemu berbuat baik. 14 Mungkin ada orang yang tidak mahu mengikut apa yang kami katakan di dalam surat ini. Jika demikian, perhatikanlah mereka dan jangan bergaul dengan mereka agar mereka malu. 15 Tetapi janganlah anggap mereka sebagai musuh. Sebaliknya, nasihatilah mereka sebagai saudara. 16 Semoga Tuhan, sumber kesejahteraan kita, sentiasa mengurniai kamu kesejahteraan dalam segala hal. Tuhan menyertai kamu semua. 17 Dengan tanganku sendiri aku menulis kata-kata ini: Salam daripada Paulus. Demikianlah caraku menandatangani semua suratku dan beginilah aku menulisnya. 18 Semoga Tuhan kita Yesus Kristus memberkati kamu semua.

1 Timotius 1

1 Surat ini daripada Paulus yang menjadi rasul Kristus Yesus dengan perintah Allah, Penyelamat kita dan Kristus Yesus, harapan kita. 2 Aku menulis surat ini kepada Timotius, yang dalam iman kita kepada Kristus, bagaikan anakku sendiri. Semoga Allah Bapa dan Kristus Yesus Tuhan kita mengurniai engkau berkat, rahmat dan kesejahteraan. 3 Aku ingin engkau tinggal di Efesus sebagaimana aku tekankan pada waktu aku pergi ke Makedonia. Beberapa orang di Efesus sedang menyebarkan ajaran sesat, dan engkau mesti menyuruh mereka berhenti mengajarkannya. 4 Suruhlah mereka berhenti mengajarkan dongeng dan senarai nenek moyang yang sangat panjang. Semua itu hanya menimbulkan pertengkaran dan tidak berguna bagi rancangan Allah yang dapat diketahui melalui kepercayaan kepada-Nya. 5 Perintah ini bertujuan menjadikan kita saling mengasihi dengan kasih yang berasal daripada hati yang murni, hati nurani yang suci, dan kepercayaan yang sungguh-sungguh kepada Tuhan. 6 Beberapa orang sudah menyimpang daripada hal-hal itu, lalu tersesat dalam perbincangan yang sia-sia. 7 Mereka ingin menjadi guru Taurat, tetapi mereka tidak memahami kata-kata mereka sendiri ataupun hal-hal yang dikemukakan mereka dengan penuh keyakinan. 8 Kita tahu bahawa Taurat baik, jika digunakan dengan betul. 9 Perlu diingat bahawa hukum diadakan bukan untuk orang baik, tetapi untuk orang jahat dan pelanggar hukum, orang yang tidak mengenal Allah dan orang berdosa, orang yang tidak salih dan yang duniawi, orang yang membunuh ayah atau ibu, pembunuh, 10 orang yang cabul dan yang memburit, pedagang abdi, pembohong, saksi palsu, dan sesiapa sahaja yang membuat perkara-perkara yang bertentangan dengan ajaran yang benar. 11 Ajaran itu terdapat di dalam Berita Baik yang dipercayakan kepadaku untuk diisytiharkan. Berita Baik yang mulia itu diberikan oleh Allah yang patut dipuji. 12 Aku bersyukur kepada Kristus Yesus Tuhan kita, yang sudah memberi aku kekuatan untuk menjalankan pekerjaanku. Aku berterima kasih kepada-Nya, kerana Dia menganggap aku layak, dan telah melantik aku untuk melakukan tugas itu, 13 meskipun dahulu aku mengkufuri, menganiaya dan menghina Dia. Tetapi Allah mengasihani aku, kerana pada waktu itu aku tidak percaya kepada Kristus, sehingga aku tidak tahu apa yang aku lakukan. 14 Tetapi Tuhan kita melimpahkan rahmat-Nya kepadaku. Dia membolehkan aku percaya kepada-Nya dan mengasihi orang lain, kerana hidup bersatu dengan Kristus Yesus. 15 Pernyataan ini sungguh benar dan harus diterima serta dipercayai sepenuhnya: Kristus Yesus datang ke dunia untuk menyelamatkan orang berdosa. Akulah yang paling jahat, 16 tetapi justeru kerana itulah Allah mengasihani aku, supaya Kristus Yesus dapat menunjukkan kesabaran dengan sepenuhnya terhadap aku, orang yang paling berdosa. Hal ini menjadi contoh untuk semua orang yang kelak akan percaya kepada-Nya dan mendapat hidup sejati dan kekal. 17 Hendaklah Allah, Raja yang kekal, yang hidup selama-lamanya, yang tidak kelihatan, dan yang esa, dihormati serta dimuliakan selama-lamanya! Amin. 18 Timotius, anakku, arahan ini aku berikan kepadamu, sesuai dengan nubuat tentang dirimu yang disampaikan dahulu. Gunakanlah kata-kata nubuat itu sebagai senjatamu dalam perjuangan yang baik itu. 19 Hendaklah imanmu menjadi pegangan hidup dan hendaklah engkau mempunyai hati nurani yang suci. Ada orang yang tidak mempedulikan hati nurani, sehingga iman mereka hancur. 20 Himeneus dan Aleksander tergolong kepada orang yang sedemikian. Aku telah menghukum kedua-duanya dengan menyerahkan mereka kepada kuasa Iblis, untuk mengajar mereka berhenti mengkufuri Allah.

1 Timotius 2

1 Pertama sekali aku menggesa supaya doa permohonan dan ucapan syukur disampaikan kepada Allah untuk semua orang, 2 untuk raja-raja dan semua penguasa. Berdoalah kepada Allah supaya kita boleh hidup dengan aman dan tenteram. Kita harus menghormati Allah, dan berlaku sopan terhadap orang lain. 3 Hal ini baik dan menyenangkan hati Allah, Penyelamat kita. 4 Dia mahu semua orang diselamatkan serta mengetahui ajaran benar tentang penyelamatan, 5 kerana hanya ada satu Allah dan hanya ada satu yang dapat memimpin manusia kepada Allah, iaitu Kristus Yesus yang datang ke bumi sebagai manusia. 6 Dia telah menyerahkan diri-Nya untuk menyelamatkan manusia daripada dosa. Hal ini membuktikan bahawa pada waktu yang tepat, Allah menghendaki semua orang diselamatkan. 7 Itulah sebabnya aku diutus sebagai rasul dan guru kepada orang bukan Yahudi untuk memberitakan perkhabaran tentang iman yang benar. Aku tidak berdusta. Aku mengatakan yang benar! 8 Aku mahu orang lelaki berdoa di mana-mana sahaja dengan hati yang suci, tanpa kemarahan ataupun pertengkaran. 9 Aku juga mahu kaum wanita menghias diri dengan sederhana dan mengenakan pakaian yang senonoh. Jangan dandani diri dengan potongan rambut yang bukan-bukan, atau perhiasan emas atau mutiara, atau pakaian yang mahal-mahal. 10 Sebaliknya, wanita harus menghias diri dengan perbuatan baik yang sepatutnya dilakukan oleh wanita yang mengabdikan diri kepada Allah. 11 Wanita harus belajar dengan berdiam diri dan dengan rendah hati. 12 Aku tidak membenarkan wanita mengajar ataupun memerintahi lelaki; wanita mesti berdiam diri. 13 Hal ini demikian kerana Adam yang diciptakan dahulu, kemudian barulah Hawa. 14 Lagi pula bukan Adam yang ditipu, tetapi wanita yang tertipu, sehingga melanggar perintah Allah. 15 Meskipun demikian wanita akan diselamatkan dengan melahirkan anak, tetap beriman, mengasihi orang lain, dan hidup suci.

1 Timotius 3

1 Sungguh benar kata-kata ini, "Seseorang yang ingin menjadi pemimpin jemaah, dia menginginkan pekerjaan yang sangat baik.'' 2 Seorang pemimpin jemaah haruslah orang yang tidak bercela. Dia mesti mempunyai seorang isteri sahaja, bijaksana, tahu mengawal diri, dan tertib kelakuannya. Dia mesti suka menyambut orang ke rumahnya, dapat mengajar orang, 3 dan bukan seorang pemabuk yang suka berkelahi. Sebaliknya, dia mesti lemah-lembut dan suka akan kedamaian. Dia tidak boleh tamak akan wang. 4 Dia mesti tahu mengurus rumah tangganya dengan baik dan mendidik anak-anaknya agar menurut perintahnya serta menghormati dia. 5 Jika seseorang tidak tahu mengurus rumah tangganya sendiri, bagaimanakah dia dapat mengurus jemaah Allah? 6 Pemimpin jemaah seharusnya bukan orang yang baru sahaja menjadi Kristian, kerana nanti dia menjadi sombong lalu terkutuk seperti Iblis dahulu. 7 Dia mestilah seorang yang dihormati oleh orang di luar jemaah, supaya dia tidak dipermalukan lalu jatuh ke dalam perangkap Iblis. 8 Penolong jemaah mestilah juga orang yang baik sifatnya dan tulus. Mereka tidak boleh minum terlalu banyak wain atau tamak akan wang. 9 Dengan hati nurani yang murni, mereka mesti berpegang kepada ajaran iman Kristian yang sudah dinyatakan oleh Allah. 10 Mereka harus diuji dahulu dan jika terbukti mereka tidak bercela, barulah mereka boleh membantu. 11 Isteri mereka pun mestilah orang yang baik sifatnya. Mereka tidak boleh mengumpat; mereka haruslah tahu mengawal diri dan jujur dalam segala perkara. 12 Seorang penolong jemaah mesti mempunyai seorang isteri sahaja. Dia mesti tahu mendidik anak-anaknya dan mengurus rumah tangganya dengan baik. 13 Pembantu jemaah yang menjalankan tugas dengan baik akan dihormati, dan mereka dapat bercakap dengan kewibawaan tentang kepercayaan mereka kepada Kristus Yesus. 14 Semasa aku menulis surat ini kepadamu, aku berharap dapat segera pergi melawat engkau. 15 Tetapi jika aku terlambat, surat ini akan memberitahu engkau bagaimana kita harus hidup sebagai orang Kristian. Kita anggota keluarga Allah, iaitu jemaah Allah yang hidup. Jemaah inilah tiang dan penunjang ajaran yang benar tentang Allah. 16 Tidak seorang pun dapat menafikan betapa mulianya rahsia kepercayaan kita: Kristus Yesus menampakkan diri dengan rupa manusia, dan dinyatakan benar oleh Roh Allah, serta dilihat oleh para malaikat. Dia diisytiharkan antara bangsa-bangsa, dan Dia dipercayai di seluruh dunia, dan telah diangkat ke syurga.

1 Timotius 4

1 Roh Allah dengan jelas mengatakan bahawa pada akhir zaman beberapa orang akan menyangkal Kristus. Mereka akan taat kepada roh yang menyesatkan dan kepada ajaran roh jahat. 2 Ajaran itu disampaikan oleh orang munafik dan pendusta yang tidak mempedulikan suara hati mereka. 3 Mereka mengajar orang supaya tidak berkahwin dan tidak memakan makanan tertentu. Tetapi Allah menciptakan makanan untuk dimakan, dan kita sebagai orang Kristian yang mengenal ajaran yang benar harus menerima semua makanan dengan mengucap syukur kepada-Nya. 4 Segala sesuatu yang sudah diciptakan oleh Allah itu baik. Tiada satu pun yang harus ditolak. Terimalah segala-galanya dengan mengucap syukur kepada-Nya, 5 kerana firman Allah dan doa yang diucapkan menjadikan makanan itu suci. 6 Jika engkau memberikan semua petunjuk ini kepada saudara-saudara seiman, engkau akan menjadi hamba Kristus Yesus yang baik. Teguhkanlah hidup kerohanianmu dengan ajaran iman Kristian dan ajaran benar yang telah engkau ikuti. 7 Jauhkanlah dirimu daripada cerita-cerita tahayul yang jahat dan sia-sia. Latihlah dirimu untuk kehidupan yang beribadat. 8 Latihan jasmani ada faedahnya, tetapi latihan rohani sangat berfaedah dalam segala hal, kerana latihan rohani memberikan faedah kepada hidup kita baik sekarang mahupun pada masa yang akan datang. 9 Kata-kata ini sungguh benar dan harus benar-benar diterima serta dipercayai. 10 Kita berjuang dan bekerja keras, kerana kita berharap sepenuhnya kepada Allah yang hidup, Penyelamat semua orang, terutama sekali orang yang percaya kepada-Nya. 11 Ajarkanlah semua itu dan suruhlah mereka mentaatinya. 12 Jangan biarkan sesiapa pun menghina engkau kerana engkau muda. Sebaliknya, hendaklah engkau menjadi teladan bagi semua orang yang percaya kepada Kristus dengan percakapanmu, kelakuanmu, kasihmu untuk orang lain, imanmu kepada Kristus dan cara hidupmu yang suci. 13 Sementara itu sehingga aku datang kelak, gunakanlah masamu dengan membaca Alkitab kepada jemaah, dan berkhutbah serta mengajar. 14 Janganlah abaikan pemberian yang dikurniakan oleh Allah kepadamu pada masa nabi-nabi menyampaikan perkhabaran Allah tentang dirimu, dan para pemimpin jemaah memberkatimu dengan meletakkan tangan pada kepalamu. 15 Lakukanlah semuanya tanpa mengenal lelah, supaya kemajuanmu dilihat oleh semua orang. 16 Berhati-hatilah dengan dirimu sendiri dan ajaranmu. Jika engkau selalu melakukannya, engkau akan menyelamatkan baik dirimu sendiri mahupun orang yang mendengar engkau.

1 Timotius 5

1 Janganlah marahi orang yang lebih tua daripadamu, tetapi hendaklah engkau bercakap kepadanya seolah-olah dia bapamu. Perlakukanlah orang muda seperti saudaramu, 2 dan wanita tua seperti ibu. Dengan hati yang tulus, hendaklah engkau memperlakukan wanita muda seperti adik. 3 Hormatilah balu yang benar-benar hidup seorang diri. 4 Tetapi jika seorang balu mempunyai anak cucu, mereka inilah yang harus terlebih dahulu menjalankan kewajipan agama terhadap kaum keluarga sendiri. Dengan cara itu mereka membalas budi ibu bapa, nenek, dan datuk. Perbuatan ini menyenangkan hati Allah. 5 Seorang balu yang benar-benar seorang diri, tanpa seseorang yang dapat memeliharanya, hanya berharap kepada Allah. Siang malam dia berdoa kepada Allah meminta pertolongan-Nya. 6 Tetapi seorang balu yang hidup berfoya-foya, dia ini sudah pun mati meskipun dia masih hidup. 7 Sampaikanlah petunjuk-petunjuk ini kepada mereka, supaya jangan sesiapa pun dapat mencela mereka. 8 Jika seseorang tidak memelihara sanak saudaranya, apa lagi anggota keluarganya sendiri, dia menyangkal Kristus. Dia lebih jahat daripada orang yang tidak beriman. 9 Seorang balu yang memenuhi syarat-syarat berikut ini boleh digolongkan ke dalam senarai balu: umurnya harus lebih daripada enam puluh tahun, hanya berkahwin sekali, 10 dan terkenal kerana perbuatannya yang baik, misalnya membesarkan anak-anaknya dengan baik, menyambut orang ke dalam rumahnya, melayani orang seiman, menolong orang susah, dan sentiasa melakukan apa yang baik. 11 Jangan golongkan balu muda ke dalam senarai itu. Jika perasaan berahi mereka timbul, mereka ingin berkahwin lagi. Dengan demikian mereka meninggalkan Kristus, 12 lalu bersalah kerana memungkiri janji mereka kepada Kristus. 13 Selain daripada itu mereka suka membuang masa dengan keluar masuk rumah orang. Tetapi yang lebih buruk lagi, mereka mengumpat dan turut campur urusan orang lain serta mempercakapkan perkara-perkara yang tidak seharusnya dikatakan. 14 Oleh itu aku mahu supaya balu muda berkahwin lagi, mempunyai anak dan mengurus rumah tangga, agar musuh kita tidak berpeluang menjahatkan nama kita. 15 Hal itu demikian kerana ada balu yang sudah meninggalkan Kristus lalu mengikut Iblis. 16 Tetapi jika seorang wanita Kristian mempunyai anggota keluarga yang sudah menjadi balu, hendaklah dia memelihara mereka dan tidak membebani jemaah dengan tugas itu. Dengan demikian jemaah dapat menolong balu yang sama sekali tidak mempunyai sanak keluarga. 17 Pemimpin jemaah yang menjalankan tugas dengan baik sebagai pemimpin, layak menerima bayaran dua kali ganda, terutama sekali mereka yang rajin berkhutbah dan mengajar. 18 Seperti yang tertulis di dalam Alkitab, "Janganlah berangus mulut lembu yang sedang mengirik biji-bijian,'' dan juga, "Orang yang bekerja layak menerima upah.'' 19 Janganlah percaya tuduhan terhadap seorang pemimpin jemaah, kecuali tuduhan itu diperkuat oleh dua atau tiga orang saksi. 20 Orang yang berbuat dosa harus ditegur di hadapan jemaah, supaya yang lain menjadi takut. 21 Di hadapan Allah, Kristus Yesus, dan malaikat-malaikat yang suci, aku mengarahkan engkau mentaati perintah-perintah ini tanpa prasangka terhadap sesiapa pun dan tidak berat sebelah. 22 Janganlah tergesa-gesa letakkan tangan pada seseorang untuk melantik dia sebagai hamba Tuhan. Jika orang lain berdosa, janganlah terikut-ikut. Jagalah supaya dirimu tetap murni. 23 Jangan minum air sahaja, tetapi minumlah sedikit wain untuk menolong pencernaanmu, kerana engkau sering sakit. 24 Dosa beberapa orang sudah nyata sebelum diadili, tetapi dosa beberapa orang lain akan ketahuan kemudian. 25 Demikian juga perbuatan baik mudah dilihat dan yang tidak kelihatan pun tidak akan tetap tersembunyi.

1 Timotius 6

1 Orang Kristian yang menjadi abdi mesti menghormati tuan mereka, supaya orang tidak dapat memburukkan nama Allah ataupun ajaran kita. 2 Abdi Kristian yang menjadi milik orang Kristian, tidak boleh menghina tuan mereka, kerana mereka saudara seiman. Sebaliknya, abdi harus melayani tuan mereka dengan lebih baik, kerana orang yang menikmati pelayanan itu saudara seiman yang dikasihi. Engkau harus mengajarkan perkara-perkara ini kepada jemaah dan menggalakkan mereka melakukannya. 3 Sesiapa mengajarkan ajaran yang bertentangan dengan ajaran benar daripada Tuhan kita Yesus Kristus dan ajaran agama kita, 4 dia sombong dan tidak tahu apa-apa! Keinginannya tidak wajar. Dia suka berdebat dan bertengkar tentang istilah sehingga mengakibatkan kecemburuan, perselisihan, penghinaan, kecurigaan, 5 dan pertengkaran yang tidak habis-habis dengan semua orang yang tidak tahu berfikir dan tidak mengenal apa yang benar. Mereka menyangka dapat menjadi kaya kerana beragama. 6 Agama memang menyebabkan orang menjadi kaya, jika orang puas dengan apa yang dimiliki. 7 Adakah kita membawa sesuatu ke dalam dunia ini? Tidak! Dapatkah kita membawa sesuatu ke luar dunia ini? Tidak! 8 Oleh itu, cukuplah jika kita mempunyai pakaian dan makanan. 9 Orang yang ingin menjadi kaya tergoda dan terjerat oleh bermacam-macam keinginan yang sia-sia dan mencelakakan. Keinginan seperti itu menjatuhkan dan membinasakan orang. 10 Sikap mencintai wang menimbulkan segala macam kejahatan. Ada orang yang mengejar wang, sehingga menyangkal Kristus dan akhirnya menderita serta berdukacita. 11 Tetapi engkau, hai orang yang melakukan kehendak Allah, jauhkanlah dirimu daripada segala perkara itu. Berusahalah supaya sentiasa melakukan kehendak Allah, hidup beribadat, sentiasa percaya kepada Kristus, mengasihi saudara seiman, tabah menghadapi penderitaan, dan bersikap lemah-lembut. 12 Berjuanglah sungguh-sungguh untuk hidup sebagai orang Kristian yang setia, supaya engkau merebut hadiah hidup sejati dan kekal, kerana untuk hidup itulah Allah memanggil engkau apabila engkau mengaku percaya kepada Kristus di hadapan banyak orang. 13 Di hadapan Allah yang memberikan nyawa kepada semua makhluk, dan juga di hadapan Kristus Yesus yang memberikan kesaksian yang benar kepada Pontius Pilatus, aku menggesa engkau: 14 Taatilah semua perintah itu dengan saksama supaya orang tidak dapat mencelamu, sehingga pada hari Tuhan kita Yesus Kristus datang kembali. 15 Kedatangan-Nya akan ditentukan pada waktu yang tepat oleh Allah sendiri. Dialah Penguasa Satu-satunya, Raja Yang Terutama dan Tuhan Yang Agung. 16 Dialah satu-satunya yang hidup selama-lamanya. Dia hidup dalam cahaya yang tidak dapat didekati oleh sesiapa pun. Tiada seorang pun pernah melihat Dia atau dapat melihat-Nya. Hendaklah Dia selalu dihormati dan berkuasa selama-lamanya! Amin. 17 Nasihatilah orang yang kaya dengan harta dunia, supaya jangan sombong dan jangan bergantung kepada barang-barang yang tidak tetap, seperti kekayaan. Berharaplah kepada Allah yang mengurniai kita segala sesuatu dengan berlimpah-limpah untuk dinikmati. 18 Nasihatilah mereka supaya berbuat baik, supaya rajin berbuat kebajikan, murah hati, dan suka memberi. 19 Dengan jalan ini mereka mengumpulkan harta yang akan menjadi asas yang kukuh untuk masa depan. Dengan demikian mereka akan mendapat hidup kekal iaitu hidup sejati. 20 Timotius, jagalah baik-baik apa yang telah dipercayakan kepadamu. Jauhkanlah dirimu daripada percakapan yang tidak berguna dan perdebatan yang sia-sia tentang hal-hal yang disebut orang sebagai "Pengetahuan''. 21 Ada orang yang mengaku memiliki pengetahuan itu, tetapi akibatnya mereka menyimpang daripada ajaran Kristian. Semoga Allah memberkati kamu semua.

2 Timotius 1

1 Surat ini daripada Paulus yang menjadi rasul Kristus Yesus kerana kehendak Allah, dan yang diutus untuk mengisytiharkan hidup yang dijanjikan oleh Allah. Hidup itu kita terima kerana bersatu dengan Kristus Yesus. 2 Aku menulis surat ini untuk Timotius, anakku yang aku kasihi. Semoga Allah Bapa dan Kristus Yesus Tuhan kita mengurniai engkau berkat, rahmat, dan kesejahteraan. 3 Aku bersyukur kepada Allah yang aku sembah dengan hati nurani yang murni, seperti yang dilakukan nenek moyangku dahulu. Semasa berdoa, aku bersyukur kepada Allah setiap kali aku teringat akan engkau, baik siang mahupun malam. 4 Aku ingat akan tangisanmu dan aku ingin sekali berjumpa dengan engkau supaya aku benar-benar gembira. 5 Aku teringat akan imanmu yang sungguh-sungguh itu, seperti iman nenekmu Lois dan ibumu Eunike. Aku yakin bahawa engkau pun memiliki iman itu. 6 Itulah sebabnya aku mengingatkan engkau supaya sentiasa menggunakan pemberian yang dikurniakan oleh Allah kepadamu pada waktu aku meletakkan tanganku pada kepalamu. 7 Roh yang diberikan oleh Allah kepada kita tidak menjadikan kita penakut, sebaliknya Roh Allah melengkapi kita dengan kuasa, kasih, dan kekuatan untuk mengawal diri. 8 Oleh itu, janganlah malu memberikan kesaksian tentang Tuhan kita dan juga janganlah malu akan aku, yang dipenjarakan kerana Kristus. Sebaliknya, hendaklah engkau dengan kekuatan yang diberikan oleh Allah, turut menderita untuk Berita Baik itu. 9 Allah menyelamatkan dan memanggil kita menjadi umat-Nya sendiri, bukan kerana apa yang sudah kita lakukan, tetapi kerana tujuan-Nya dan rahmat-Nya sendiri. Dia memberikan kita rahmat-Nya melalui Kristus Yesus sebelum dunia ini diciptakan. 10 Tetapi sekarang rahmat-Nya telah dinyatakan kepada kita dengan kedatangan Penyelamat kita, Kristus Yesus. Yesus sudah mengalahkan kuasa kematian dan membawa hidup yang kekal melalui Berita Baik itu. 11 Allah sudah melantik aku menjadi rasul dan guru untuk mengisytiharkan Berita Baik itu. 12 Itulah sebabnya aku menderita semua ini. Tetapi aku tetap yakin, kerana aku mengenal siapa yang aku percayai. Aku yakin bahawa Dia berkuasa menjaga apa yang telah dipercayakan-Nya kepadaku sehingga Hari Kiamat. 13 Ikutilah ajaran benar yang telah aku ajarkan kepadamu. Hendaklah engkau tetap berpegang kepada iman dan kasih yang menjadi milik kita kerana bersatu dengan Kristus Yesus. 14 Dengan kuasa Roh Allah yang hidup di dalam kita, jagalah Berita Baik yang telah dipercayakan kepadamu, seperti engkau menjaga harta yang berharga. 15 Engkau tahu bahawa semua orang di wilayah Asia telah meninggalkan aku, termasuk Figelus dan Hermogenes. 16 Semoga Tuhan mengasihani keluarga Onesiforus, kerana Onesiforus sering menggembirakan hatiku. Meskipun aku dipenjarakan, dia tidak malu dengan keadaanku. 17 Setibanya di Roma, dia mula mencari aku sehingga bertemu dengan aku. 18 Semoga Tuhan mengasihani dia pada Hari Kiamat. Engkau pun tahu bahawa dia sangat menolong aku di Efesus.

2 Timotius 2

1 Timotius, anakku! Kuatkanlah dirimu dengan rahmat-Nya yang menjadi milik kita, kerana kita bersatu dengan Kristus Yesus. 2 Ajaran yang engkau dengar ketika aku mengisytiharkannya di hadapan banyak saksi, hendaklah engkau percayakan kepada orang yang boleh dipercayai dan yang dapat mengajar orang lain. 3 Engkau juga harus turut menderita sebagai askar Kristus Yesus yang setia. 4 Seorang askar yang sedang bertugas ingin menyenangkan hati komandannya. Dia tidak membabitkan diri dengan urusan orang awam. 5 Seorang olahragawan tidak akan memenangi hadiah kecuali dia mentaati peraturan. 6 Peladang yang bekerja keras patut mendapat bahagian pertama daripada hasil tuaian. 7 Renungkanlah apa yang aku katakan ini, kerana Tuhan akan membolehkan engkau memahami semuanya. 8 Ingatlah akan hal ini: Menurut Berita Baik yang aku isytiharkan, Yesus Kristus telah dibangkitkan daripada kematian dan Dia keturunan Daud. 9 Oleh sebab aku mengisytiharkan Berita Baik itu, aku menderita, bahkan aku dirantai seperti seorang penjahat. Tetapi firman Allah tidak dapat dirantai. 10 Itulah sebabnya aku bertabah hati menanggung semuanya demi kepentingan umat yang telah dipilih oleh Allah, supaya mereka juga mendapat penyelamatan yang diberikan melalui Kristus Yesus dan yang disertai kemuliaan yang kekal. 11 Sungguh benar kenyataan ini: "Jika kita mati bersama-sama Dia, kita juga akan hidup bersama-sama Dia. 12 Jika kita tetap bertabah, kita juga akan memerintah bersama-sama Dia. Jika kita menyangkal Dia, Dia juga akan menyangkal kita. 13 Jika kita tidak setia, Dia tetap setia, kerana Dia tidak dapat bertentangan dengan diri-Nya sendiri.'' 14 Nasihatilah ahli jemaahmu dan ingatkan mereka di hadapan Allah, supaya jangan bertengkar tentang istilah. Perkara itu tidak ada gunanya, malahan merosakkan iman orang yang mendengarnya. 15 Berusahalah sebaik-baiknya untuk mendapat pujian daripada Allah, seperti seorang pekerja yang tidak malu dengan pekerjaannya. Hendaklah engkau mengajar ajaran benar daripada Allah dengan betul. 16 Jauhkanlah dirimu daripada percakapan yang sia-sia dan menghina Allah. Percakapan seperti itu hanya membuat orang semakin jauh daripada Allah. 17 Ajaran mereka itu seperti luka yang mengudis dan tidak dapat sembuh. Dua orang daripada mereka ialah Himeneus dan Filitus. 18 Mereka telah menyimpang daripada ajaran yang benar, dan sekarang merosakkan iman sesetengah orang yang percaya kepada Kristus. Mereka berkata bahawa kebangkitan daripada kematian sudah berlaku. 19 Tetapi asas kukuh yang sudah diletakkan oleh Allah tidak dapat digoncangkan. Di atasnya tertulis kata-kata ini: "Tuhan mengenal orang milik-Nya,'' dan "Sesiapa yang berkata bahawa dia milik Tuhan, mesti berhenti melakukan perbuatan yang salah.'' 20 Di dalam rumah yang besar ada bermacam-macam pinggan mangkuk. Ada yang dibuat daripada perak dan emas, ada juga yang dibuat daripada kayu dan tanah. Ada yang digunakan untuk keperluan istimewa, ada juga yang digunakan untuk keperluan biasa. 21 Sesiapa yang membersihkan diri daripada segala ajaran sesat, akan digunakan untuk tujuan yang mulia. Dia telah mengabdikan diri kepada Tuannya dan berguna bagi-Nya. Dia sedia digunakan untuk semua pekerjaan yang baik. 22 Jauhkanlah diri daripada nafsu orang muda. Berusahalah untuk hidup menurut kehendak Allah, setia kepada-Nya, mengasihi saudara seiman, dan hidup damai dengan mereka. Lakukanlah semua perkara itu bersama-sama mereka yang meminta pertolongan Tuhan dengan hati yang tulus. 23 Jauhkan diri daripada perdebatan yang sia-sia dan tidak berguna. Engkau tahu bahawa semua itu hanya menimbulkan pertengkaran. 24 Hamba Tuhan tidak sepatutnya bertengkar. Dia mesti ramah dengan semua orang dan dapat mengajar orang dengan baik dan sabar. 25 Dia mesti menasihati lawannya dengan lemah lembut. Mudah-mudahan Allah memberi mereka peluang untuk bertaubat daripada dosa dan untuk mengenal ajaran yang benar. 26 Lalu mereka akan insaf dan terlepas daripada perangkap Iblis yang telah menawan dan memaksa mereka mengikut kehendaknya.

2 Timotius 3

1 Ingatlah hal ini! Pada hari-hari terakhir akan timbul banyak kesusahan. 2 Manusia akan mementingkan diri sendiri, tamak dan serakah, sombong dan bongkak. Mereka akan menghina dan melawan ibu bapa, tidak tahu berterima kasih dan tidak mahu mengenal Allah. 3 Mereka tidak mengasihi sesama manusia, tidak berbelas kasihan, suka mengumpat, suka akan keganasan; mereka kejam dan benci akan kebaikan. 4 Mereka suka berkhianat, tidak berfikir panjang dan sombong. Mereka lebih menyukai kesenangan dunia daripada mengasihi Allah. 5 Pada lahirnya mereka menjalankan kewajipan agama kita, tetapi mereka tidak menurut ajarannya. Jauhkanlah dirimu daripada mereka. 6 Beberapa orang daripada mereka pergi ke rumah orang, lalu menguasai wanita yang tidak berpendirian dan dibebani perasaan berdosa serta dipengaruhi segala macam keinginan. 7 Wanita-wanita itu selalu ingin belajar tetapi tidak dapat mengetahui ajaran yang benar itu. 8 Sebagaimana Yanes dan Yambres melawan Musa dahulu, demikianlah juga semua orang ini menentang ajaran Allah. Fikiran mereka rosak dan iman mereka hancur. 9 Tetapi mereka tidak akan berjaya, kerana semua orang akan tahu tentang kebodohan mereka, seperti yang dialami oleh Yanes dan Yambres dahulu. 10 Tetapi engkau telah mengikut ajaranku, kelakuanku, dan tujuan hidupku. Engkau telah memperhatikan bagaimana aku sungguh percaya kepada Kristus dan sabar menanggung penderitaan; bagaimana aku mengasihi saudara seiman dan bertabah hati. 11 Engkau melihat bagaimana aku menanggung penganiayaan dan penderitaan. Engkau tahu akan segala yang berlaku kepadaku di Antiokhia, Ikonium, dan Listra. Aku telah dianiaya dengan kejam, tetapi aku diselamatkan oleh Tuhan daripada semuanya. 12 Semua orang yang mahu hidup beribadat dan bersatu dengan Kristus akan dianiaya. 13 Orang jahat dan penipu akan menjadi semakin jahat. Mereka menipu orang lain, padahal mereka sendiri juga tertipu. 14 Tetapi Timotius, hendaklah engkau tetap berpegang kepada ajaran benar yang sudah diajarkan kepadamu dan yang engkau percayai dengan sepenuhnya. Engkau mengetahui siapa guru-gurumu dahulu, 15 dan sejak kecil lagi engkau telah mengenal Alkitab. Alkitab itu boleh memberi engkau kebijaksanaan untuk mendapat penyelamatan melalui iman kepada Kristus Yesus. 16 Semua yang tertulis di dalam Alkitab diilhami oleh Allah dan berguna 17 Dengan Alkitab, orang yang mengabdikan diri kepada Allah dapat dilengkapi dengan sempurna untuk melakukan segala macam pekerjaan yang baik.

2 Timotius 4

1 Kristus Yesus akan datang lagi untuk menghakimi orang yang hidup dan yang mati. Dia akan datang untuk memerintah sebagai Raja. Oleh itu, di hadapan Allah dan Kristus Yesus, dengan sepenuh hati aku menggesa engkau 2 supaya mengkhabarkan berita daripada Allah dan sentiasa bertekun untuk mengisytiharkannya, baik masanya tepat atau tidak. Hendaklah engkau meyakinkan orang, menunjukkan kesalahan mereka dan memberikan galakan kepada mereka. Ajarlah orang dengan segala kesabaran. 3 Akan tiba masanya apabila orang tidak mahu mendengar ajaran yang benar. Mereka akan menuruti keinginan sendiri dan mengumpulkan banyak guru yang mahu mengajar perkara-perkara yang ingin didengar oleh mereka. 4 Mereka akan menutup telinga terhadap apa yang benar, tetapi menumpukan perhatian kepada cerita dongeng. 5 Dalam keadaan apa pun, engkau mesti tahu mengawal diri. Tabahlah dalam penderitaan, laksanakan tugas mengisytiharkan Berita Baik, dan jalankanlah kewajipanmu sebagai hamba Allah dengan sebaik-baiknya. 6 Tentang diriku, sudah tiba masanya aku akan mati sebagai korban kepada Allah. Tidak lama lagi aku meninggalkan dunia ini. 7 Aku sudah berusaha dengan sebaik-baiknya dalam perlumbaan dan aku sudah sampai di garis akhir. Aku tetap setia kepada Kristus sampai akhir. 8 Sekarang hadiah kemenangan menantikan aku. Pada Hari Kiamat, Tuhan, Hakim yang adil akan menyerahkan hadiah itu kepadaku, kerana aku telah hidup menurut kehendak-Nya. Bukan aku sahaja yang akan menerimanya, tetapi juga semua orang yang menantikan kedatangan-Nya dengan penuh kerinduan. 9 Berusahalah untuk datang kepadaku secepat mungkin. 10 Demas sudah meninggalkan aku kerana mencintai dunia ini. Dia sudah pergi ke Tesalonika. Kreskes pun sudah pergi ke Galatia dan Titus ke Dalmatia. 11 Hanya Lukas bersama-sama aku di sini. Jemputlah Markus dan bawalah dia bersama denganmu, kerana dia dapat menolong aku dalam pekerjaanku. 12 Aku sudah menyuruh Tikhikus pergi ke Efesus. 13 Apabila engkau datang, bawalah baju panas yang aku tinggalkan di Troas di rumah Karpus. Bawalah gulungan-gulungan naskhah itu juga, terutamanya gulungan naskhah yang dibuat daripada kulit. 14 Aleksander, tukang besi itu sudah melakukan perkara-perkara yang jahat terhadapku. Tuhan akan membalas dia menurut perbuatannya. 15 Engkau sendiri harus berhati-hati dengannya, kerana dia sangat menentang perkhabaran kita. 16 Tidak seorang pun mendampingi aku ketika aku membela diriku kali pertama; semuanya meninggalkan aku. Semoga Allah tidak menyalahkan mereka dalam hal ini! 17 Tetapi Tuhan menyertai aku. Dia memberi aku kekuatan, sehingga aku dapat mengisytiharkan seluruh Berita Baik itu supaya didengar oleh semua orang bukan Yahudi. Aku pun diselamatkan daripada hukuman mati. 18 Tuhan juga akan menyelamatkan aku daripada segala kejahatan. Dia akan membawa aku dengan selamat ke dalam Kerajaan-Nya di syurga. Hendaklah Dia dimuliakan selama-lamanya! Amin. 19 Aku mengirim salam kepada Priskila dan Akwila dan kepada keluarga Onesiforus. 20 Erastus tinggal di Korintus, tetapi Trofimus aku tinggalkan di Miletus kerana dia sakit. 21 Berusahalah dengan sebaik-baiknya untuk datang sebelum musim sejuk. Ebulus, Pudes, Linus, dan Klaudia mengirim salam kepadamu; demikian juga semua saudara seiman yang lain. 22 Semoga Tuhan menyertai engkau. Semoga Allah memberkati kamu semua.

Titus 1

1 Aku, Paulus menulis surat ini sebagai hamba Allah dan rasul Yesus Kristus. Aku dipilih dan diutus untuk meneguhkan iman umat pilihan Allah. Aku juga harus memimpin mereka supaya mengenal ajaran benar yang diajarkan oleh agama kita. 2 Ajaran itu berdasarkan harapan kita untuk menerima hidup sejati dan kekal. Allah yang tidak berdusta, telah menjanjikan hidup itu sebelum permulaan zaman. 3 Pada waktu yang tepat, Allah menyatakan janji itu dalam perkhabaran-Nya. Perkhabaran tersebut diamanahkan kepadaku dan aku mengisytiharkannya dengan perintah Allah Penyelamat kita. 4 Titus, dalam iman kita kepada Kristus, engkau bagaikan anakku sendiri. Semoga Allah Bapa dan Kristus Yesus Penyelamat kita mengurniai engkau berkat dan kesejahteraan. 5 Aku meninggalkan engkau di Kreta supaya engkau dapat menyelesaikan semua perkara yang masih perlu dilakukan, dan melantik pemimpin jemaah di setiap kota. Ingatlah akan petunjuk-petunjukku ini: 6 Seorang pemimpin jemaah haruslah orang yang tidak bercela; dia mesti mempunyai seorang isteri sahaja; anak-anaknya mesti percaya kepada Kristus, berkelakuan baik, dan bersifat taat. 7 Hal itu demikian kerana seorang pemimpin jemaah bertugas mengurus pekerjaan Allah. Oleh itu dia haruslah tidak bercela. Dia tidak boleh sombong ataupun cepat marah, atau pemabuk, atau suka berkelahi, ataupun tamak akan wang. 8 Dia mesti suka menyambut orang ke rumah dan menyukai apa yang baik. Dia harus tahu mengawal diri, jujur, suci, dan berdisiplin. 9 Dia mesti berpegang teguh pada perkhabaran yang dapat dipercaya dan yang sesuai dengan asas kepercayaan. Dengan demikian dia dapat menggalakkan orang lain dengan ajaran yang benar, dan juga menunjukkan kesalahan orang yang menentang ajaran itu. 10 Dia harus berbuat demikian, kerana banyak orang yang memberontak dan menipu orang lain dengan cakap karut mereka, terutama sekali orang yang dahulunya beragama Yahudi. 11 Mereka harus dihentikan menyebar ajaran sesat itu, kerana mereka merosakkan iman banyak keluarga. Perbuatan mereka itu hanya bertujuan untuk mencari wang dan hal itu sungguh memalukan. 12 Seorang nabi dari Kreta pun pernah berkata, "Orang Kreta selalu berdusta. Mereka seperti binatang buas yang rakus dan malas.'' 13 Apa yang dikatakannya itu memang benar. Itulah sebabnya dengan tegas kamu mesti menegur orang yang mengajarkan ajaran sesat, supaya mereka tetap berpegang teguh pada ajaran yang benar, 14 dan tidak lagi mengendahkan dongeng-dongeng orang Yahudi ataupun peraturan daripada orang yang tidak mahu menerima ajaran benar itu. 15 Bagi orang yang suci, semuanya suci. Tetapi bagi orang yang fikiran mereka dicemari dosa dan tidak percaya kepada apa yang benar, tiada sesuatu pun yang suci, kerana fikiran dan hati nurani mereka sudah tercemar! 16 Mereka mengaku mengenal Allah, tetapi perbuatan mereka tidak membuktikannya. Mereka terkutuk dan tidak taat kepada Allah; mereka tidak dapat melakukan apa yang baik.

Titus 2

1 Tetapi engkau, Titus, harus mengajarkan apa yang sesuai dengan asas kepercayaan yang benar. 2 Nasihatilah orang lelaki yang tua supaya bijaksana, bersifat baik, dan tahu mengawal diri. Mereka juga harus sentiasa percaya kepada Kristus, mengasihi saudara seiman, dan tabah menghadapi penderitaan. 3 Demikian juga, nasihatilah wanita yang tua supaya kelakuan mereka sesuai dengan kelakuan wanita yang mengabdikan diri kepada Allah. Mereka tidak boleh mengumpat atau menjadi kaki botol. Mereka mesti mengajarkan apa yang baik. 4 Dengan demikian wanita yang tua dapat mendidik wanita yang muda supaya mengasihi suami dan anak-anak, 5 tahu mengawal diri, suci dan menjadi suri rumah yang baik, serta taat kepada suami. Dengan demikian tidak ada orang yang dapat mencela perkhabaran daripada Allah. 6 Begitu juga, gesalah orang muda supaya mengawal diri. 7 Hendaklah engkau menjadi teladan kelakuan yang baik dalam segala perkara. Hendaklah engkau jujur dan bersungguh-sungguh, apabila engkau mengajar. 8 Gunakanlah kata-kata bijak yang tidak dapat dicela orang, supaya musuhmu malu kerana tidak dapat mengecam kita. 9 Abdi harus menurut perintah tuan mereka dan menyenangkan hati mereka dalam segala hal. Abdi tidak boleh membantah 10 ataupun mencuri. Sebaliknya abdi mesti sentiasa bersikap baik dan setia, supaya dengan perbuatan mereka itu orang memuji ajaran tentang Allah, Penyelamat kita. 11 Hal itu demikian, kerana Allah sudah menunjukkan rahmat-Nya untuk menyelamatkan umat manusia. 12 Rahmat-Nya mengajar kita supaya hidup salih dan tidak mengejar hal-hal keduniaan. Di dalam dunia ini kita harus hidup dengan mengawal diri, jujur, dan menghormati Allah. 13 Sekarang kita sedang menantikan Hari yang kita harap-harapkan itu, apabila keagungan Allah Maha Besar dan Yesus Kristus Penyelamat kita akan kelihatan. 14 Dia sudah mengorbankan nyawa untuk membebaskan kita daripada segala kejahatan, menyucikan kita, dan menjadikan kita milik-Nya sahaja, serta menjadikan kita rajin berbuat baik. 15 Ajarkanlah semua perkara itu, dan dengan penuh wibawa hendaklah engkau menggalakkan dan menegur para pendengarmu. Janganlah biarkan seorang pun memandang rendah kepadamu.

Titus 3

1 Ingatkan anggota jemaahmu supaya taat kepada pemerintah dan penguasa, patuh kepada mereka dan bersedia melakukan segala perkara yang baik. 2 Beritahu jemaahmu supaya tidak mengumpat ataupun bertengkar dengan sesiapa pun, tetapi bersikap ramah tamah dan lemah lembut kepada semua orang. 3 Kita harus bersikap demikian, kerana dahulu kita juga bodoh, tidak taat, dan sesat. Kita diperhamba oleh berbagai-bagai nafsu dan keinginan. Hidup kita dipenuhi dengan perasaan dengki dan cemburu, dan kita saling membenci. 4 Tetapi Allah, Penyelamat kita menunjukkan kasih dan kebaikan hati-Nya kepada kita. 5 Dia menyelamatkan kita, bukan kerana perbuatan baik kita, tetapi kerana belas kasihan-Nya. Allah menyelamatkan kita melalui Roh-Nya, yang mengurniai kita kelahiran baru dan hidup baru dengan membasuh kita. 6 Allah melimpahkan Roh-Nya kepada kita melalui Yesus Kristus, Penyelamat kita, 7 supaya oleh rahmat-Nya, kita berbaik semula dengan Allah, dan kita menerima hidup sejati dan kekal yang kita harap-harapkan. 8 Kata-kata itu sungguh benar. Aku mahu engkau memberikan perhatian kepada perkara-perkara tersebut, supaya orang yang percaya kepada Allah sungguh-sungguh berusaha untuk melakukan perbuatan yang baik dan berguna bagi semua orang. 9 Tetapi jauhkanlah diri daripada perdebatan yang sia-sia, senarai nenek moyang, pertengkaran, dan perkelahian tentang Taurat. Semua itu sia-sia dan tidak berguna. 10 Berikanlah amaran kepada orang yang menyebabkan perpecahan dalam jemaah. Nasihatilah orang itu sekurang-kurangnya dua kali, setelah itu jauhilah dia. 11 Engkau tahu bahawa orang seperti itu jahat dan dosa-dosanya membuktikan dia bersalah. 12 Apabila aku mengutus Artemas atau Tikhikus kepadamu, berusahalah seboleh-bolehnya untuk datang kepadaku di Nikopolis, kerana aku telah mengambil keputusan akan tinggal di sana pada musim sejuk. 13 Berusahalah seboleh-bolehnya untuk menolong Zenas, peguam itu dan Apolos, supaya mereka dapat memulakan perjalanan. Pastikanlah mereka tidak kekurangan apa-apa. 14 Hendaklah jemaah kita mengamalkan perbuatan baik supaya dapat membantu orang yang memerlukan pertolongan. Dengan demikian hidup mereka berguna. 15 Semua saudara yang bersama-sama aku mengirim salam kepadamu. Sampaikanlah salam kami kepada sahabat-sahabat kita yang seiman. Semoga Allah memberkati kamu semua.

Filemon 1

1 Surat ini daripada Paulus, yang dipenjarakan kerana mengabdikan diri kepada Kristus Yesus, dan daripada saudara kita Timotius. 2 Surat ini ditujukan kepada Filemon, sahabat dan rakan kami, dan kepada jemaah yang berkumpul di rumahmu, serta kepada saudara kita Apfia, dan rakan seperjuangan kita Arkhipus. 3 Semoga Allah Bapa kita dan Tuhan Yesus Kristus mengurniai kamu berkat dan kesejahteraan. 4 Saudaraku Filemon, setiap kali aku berdoa, aku menyebut namamu dan bersyukur kepada Allahku. 5 Aku berbuat demikian kerana aku diberitahukan bahawa kamu mengasihi semua umat Allah, dan sungguh-sungguh percaya kepada Tuhan Yesus. 6 Aku berdoa semoga persaudaraan kita sebagai orang yang percaya kepada Kristus, akan mendatangkan pengertian yang lebih mendalam tentang setiap berkat yang kita miliki kerana hidup bersatu dengan Kristus. 7 Saudaraku Filemon, kasihmu bagi umat Allah sudah menggembirakan dan menggalakkan aku! Kamu menggembirakan hati semua umat Allah. 8 Itulah sebabnya sebagai saudara yang seiman, aku sebenarnya dapat memerintah kamu melakukan apa yang harus dilakukan. 9 Tetapi kerana aku mengasihi kamu, aku hanya mengajukan permintaan. Aku berbuat demikian, meskipun aku ini duta Kristus Yesus, dan sekarang aku dipenjarakan kerana Dia. 10 Aku mengajukan suatu permintaan bagi pihak Onesimus, yang aku anggap seperti anak sendiri, kerana dia juga percaya kepada Kristus. Semasa di penjara, aku menjadi seperti bapa kepadanya. 11 Dahulu dia tidak berguna bagimu, tetapi sekarang dia berguna bukan sahaja bagimu, tetapi bagiku juga. 12 Aku menghantar dia kembali kepadamu, dia yang sangat aku kasihi. 13 Sebenarnya aku ingin dia tetap di sini bersama-sama aku untuk membantu aku bagi pihakmu, selama aku dipenjarakan kerana mengisytiharkan Berita Baik. 14 Tetapi aku tidak mahu memaksa kamu menolong aku. Aku lebih suka jika kamu melakukannya dengan rela hati. Oleh itu aku tidak mahu melakukan apa-apa kecuali kamu bersetuju. 15 Mungkin Onesimus berpisah daripada kamu untuk sementara, supaya kamu boleh mendapatnya kembali untuk seterusnya. 16 Sekarang dia bukan sahaja abdi, tetapi lebih daripada itu. Dia saudara Kristian yang dikasihi. Dia sangat bererti bagiku, dan dia lebih bererti lagi bagimu, baik sebagai abdi mahupun sebagai sesama saudara yang percaya kepada Tuhan! 17 Oleh itu, jika kamu menganggap aku sebagai rakan sekerja, sambutlah dia kembali seperti kamu menyambut aku. 18 Jika dia sudah bersalah atau berhutang kepadamu, biarlah aku yang menanggungnya. 19 Lihatlah, kata-kata berikut aku tulis sendiri: Aku, Paulus akan melunasi semuanya. (Aku tidak perlu mengingatkan kamu bahawa kamu berhutang kepadaku kehidupanmu sebagai orang Kristian.) 20 Oleh itu, demi Tuhan tolonglah aku dan gembirakanlah hatiku sebagai sesama saudara yang percaya kepada Kristus. 21 Semasa menulis surat ini, aku yakin bahawa kamu akan mengabulkan permintaanku. Sebenarnya aku tahu bahawa kamu akan melakukan hal yang lebih daripada permintaanku. 22 Sementara itu, tolong sediakan bilik untukku di rumahmu, kerana aku berharap Allah akan mengabulkan doa kamu semua dan membolehkan aku kembali kepada kamu. 23 Epafras, yang dipenjarakan bersama-sama aku kerana Kristus Yesus, mengirim salam kepada kamu. 24 Terimalah juga salam rakan-rakan sekerjaku: Markus, Aristarkhus, Demas, dan Lukas. 25 Aku berdoa semoga Tuhan Yesus Kristus memberkati kamu semua.

Ibrani 1

1 Pada masa lampau, banyak kali Allah berfirman kepada nenek moyang kita melalui nabi-nabi dengan berbagai-bagai cara. 2 Tetapi pada zaman akhir ini Dia telah berfirman kepada kita melalui Anak-Nya. Melalui Anak-Nya inilah Allah menciptakan alam semesta. Allah sudah menetapkan bahawa Anak-Nya inilah yang berhak memiliki segala sesuatu pada akhirnya. 3 Dia memancarkan kemuliaan Allah yang gilang-gemilang dan Dia perwujudan Allah sendiri. Dia memelihara keutuhan alam semesta ini dengan firman-Nya yang berkuasa. Setelah Dia memungkinkan manusia dibebaskan daripada dosa, Dia duduk di syurga di sebelah kanan Allah, Penguasa Yang Tertinggi. 4 Anak itu mendapat kedudukan yang jauh lebih tinggi daripada malaikat, dan nama yang diberikan oleh Allah kepada-Nya pun jauh lebih terhormat daripada nama-nama malaikat. 5 Tidak pernah Allah berfirman kepada mana-mana malaikat-Nya, "Engkaulah Anak-Ku; pada hari ini Aku menjadi Bapa-Mu.'' Tidak pernah Allah berfirman tentang malaikat yang mana pun begini, "Aku akan menjadi Bapa-Nya, dan Dia akan menjadi Anak-Ku.'' 6 Tetapi pada masa Allah mengutus Anak-Nya yang sulung ke dunia ini, Dia berfirman, "Semua malaikat Allah wajib menyembah Anak itu.'' 7 Tentang malaikat-malaikat, Allah berfirman demikian, "Allah menjadikan malaikat-malaikat-Nya angin, dan hamba-hamba-Nya nyala api.'' 8 Tetapi tentang Anak itu, Allah berfirman, "Takhta-Mu, ya Allah, akan kekal selama-lamanya! Engkau memerintah umat-Mu dengan keadilan. 9 Engkau suka akan keadilan, dan benci akan kecurangan; itulah sebabnya Allah, Allah-Mu, memilih Engkau dan memberi Engkau kehormatan yang mendatangkan kegembiraan yang jauh lebih besar daripada yang diberikan-Nya kepada sahabat-sahabat-Mu.'' 10 Allah juga berfirman, "Engkau, ya Tuhan, pada mulanya menjadikan bumi, dan dengan tangan-Mu sendiri Engkau menjadikan langit. 11 Semua itu akan lenyap, dan menjadi usang seperti pakaian; tetapi Engkau tidak akan berubah. 12 Alam semesta Engkau lipat seperti jubah, dan akan Engkau ganti seperti pakaian. Tetapi Engkau tidak akan berubah, dan hidup-Mu tidak akan berakhir.'' 13 Allah tidak pernah berfirman kepada malaikat-Nya yang mana pun begini, "Duduklah di sebelah kanan-Ku, sehingga musuh-musuh-Mu Aku jadikan alas kaki-Mu.'' 14 Jika demikian, apakah sebenarnya malaikat-malaikat itu? Mereka roh yang berbakti kepada Allah, dan yang disuruh oleh-Nya untuk menolong orang yang akan menerima penyelamatan.

Ibrani 2

1 Itulah sebabnya kita harus lebih bersungguh-sungguh berpegang kepada ajaran-ajaran yang sudah kita dengar, supaya kita tidak meninggalkan kepercayaan kita. 2 Perkhabaran yang disampaikan oleh para malaikat kepada nenek moyang kita sudah terbukti benar, dan orang yang tidak menurutinya atau mentaatinya sudah menerima hukuman yang setimpal. 3 Oleh itu, bagaimanakah kita boleh selamat, jika kita tidak mempedulikan penyelamatan yang agung itu? Tuhan sendirilah yang pertama sekali mengisytiharkan penyelamatan itu, dan orang yang mendengarnya sudah membuktikan kebenarannya kepada kita. 4 Di samping itu, Allah juga menguatkan kesaksian mereka dengan melakukan pelbagai mukjizat dan keajaiban. Dia juga membahagi-bahagikan pemberian Roh Allah menurut kehendak-Nya sendiri. 5 Allah tidak melantik malaikat menjadi penguasa dunia baru yang akan datang -- iaitu dunia yang sedang kita percakapkan sekarang. 6 Sebaliknya, seperti yang tertulis pada suatu bahagian Alkitab, "Ya Allah, apakah manusia itu, sehingga Engkau mahu mengingat mereka? Manusia hanya manusia, tetapi Engkau memperhatikan mereka? 7 Untuk seketika Engkau menjadikan manusia lebih rendah daripada malaikat; Engkau mengurniai manusia kemuliaan dan kehormatan, 8 serta menjadikan manusia penguasa atas segala sesuatu.'' Ayat itu mengatakan bahawa Allah menjadikan manusia "penguasa atas segala sesuatu''; hal itu bererti tiada suatu pun yang tidak dikuasai oleh manusia. Tetapi sekarang kita tidak melihat manusia berkuasa atas segala sesuatu. 9 Tetapi kita sudah melihat Yesus berkuasa! Untuk seketika, Dia dijadikan sedikit lebih rendah daripada malaikat, supaya dengan rahmat Allah, Dia dapat mati untuk semua orang. Sekarang kita melihat Dia dikurniai kemuliaan dan kehormatan kerana Dia sudah menderita sampai mati. 10 Memang sudah sepatutnya Allah, yang menciptakan dan memeliharakan segala sesuatu, menjadikan Yesus, penyelamat yang sempurna melalui penderitaan. Dengan demikian Allah dapat membawa banyak orang ikut menikmati kemuliaan Yesus, kerana Yesus itu pemimpin yang membawa orang kepada penyelamatan. 11 Yesus menyucikan manusia daripada dosa mereka. Dia dan mereka yang disucikan-Nya mempunyai satu Bapa. Itulah sebabnya Yesus tidak malu mengakui mereka sebagai saudara-saudara-Nya. 12 Yesus berkata kepada Allah, "Aku akan memberitahu saudara-saudara-Ku tentang Engkau; Aku akan memuji Engkau apabila jemaah beribadat.'' 13 Yesus juga berkata, "Aku akan berharap kepada Allah.'' Yesus berkata juga, "Inilah Aku bersama-sama anak-anak yang telah diberikan oleh Allah kepada-Ku.'' 14 Oleh sebab mereka yang disebut anak-anak adalah manusia yang terdiri daripada darah dan daging, maka Yesus sendiri menjadi seperti mereka dan hidup dalam keadaan manusia. Dia berbuat demikian, supaya dengan kematian-Nya Dia dapat memusnahkan Iblis yang menguasai kematian. 15 Dengan cara itu Dia membebaskan mereka yang seumur hidup diperhamba, kerana takut akan kematian. 16 Nyatalah bahawa bukan malaikat yang ditolong-Nya, tetapi Dia menolong keturunan Abraham. 17 Hal ini bererti Dia harus menjadi seperti saudara-saudara-Nya dalam segala hal. Dengan demikian Dia dapat menjadi Imam Agung yang setia dan berbelas kasihan. Dengan pelayanan-Nya itu dosa manusia dapat diampunkan. 18 Oleh itu, sekarang Dia dapat menolong mereka yang kena cubaan, kerana Dia sendiri pernah dicubai dan menderita.

Ibrani 3

1 Saudara-saudara Kristian yang dipanggil oleh Allah! Cuba fikirkan sedalam-dalamnya hal ini: Yesus diutus oleh Allah untuk menjadi Imam Agung bagi kepercayaan yang kita anut. 2 Yesus setia kepada Allah yang sudah memilih Dia untuk tugas itu, sebagaimana Musa pun setia melakukan tugasnya di rumah Allah. 3 Orang yang membina sebuah rumah mendapat kehormatan yang lebih besar daripada rumah itu sendiri. Demikian juga Yesus layak mendapat kemuliaan yang jauh lebih besar daripada Musa. 4 Memang tiap-tiap rumah dibina oleh seseorang, tetapi Allah yang membina segala sesuatu. 5 Musa setia sebagai hamba di dalam rumah Allah. Dia berucap tentang hal-hal yang akan difirmankan oleh Allah pada masa hadapan. 6 Tetapi Kristus setia sebagai Anak yang bertanggungjawab terhadap rumah Allah. Kitalah rumah Allah, sekiranya kita tetap bersemangat dan tetap yakin untuk mendapat apa yang kita harapkan. 7 Oleh itu, seperti kata Roh Allah, "Jika pada hari ini kamu mendengar suara Allah, 8 janganlah berkeras kepala seperti nenek moyang kamu yang memberontak terhadap Allah, ketika mereka menguji Dia di padang gurun. 9 `Di sana nenek moyang kamu menguji Aku dan mencubai Aku,' firman Allah, `meskipun mereka telah melihat apa yang Aku lakukan selama empat puluh tahun.' 10 Itulah sebabnya Aku murka terhadap mereka dan berfirman, `Mereka sentiasa menderhaka, dan tidak mahu mentaati perintah-Ku.' 11 Aku murka dan bersumpah, `Mereka tidak akan masuk ke negeri itu untuk mendapat rehat bersama-sama Aku!' '' 12 Saudara-saudaraku, berhati-hatilah supaya tidak seorang pun di kalangan kamu yang hatinya begitu jahat dan tidak percaya sehingga meninggalkan Allah yang hidup. 13 Oleh itu, supaya tidak seorang pun di kalangan kamu ditipu oleh dosa lalu menjadi keras kepala, setiap hari kamu mesti saling menasihati selama kita masih hidup dalam zaman yang disebut "Hari Ini'' di dalam Alkitab. 14 Kita semua rakan seperjuangan Kristus, sekiranya sampai akhir kita memegang teguh keyakinan yang kita miliki pada mulanya. 15 Inilah yang tertulis di dalam Alkitab, "Jika pada hari ini kamu mendengar suara Allah, janganlah berkeras kepala seperti nenek moyang kamu, ketika mereka memberontak terhadap Allah.'' 16 Siapakah orang yang mendengar suara Allah lalu memberontak terhadap-Nya? Mereka semua yang dipimpin oleh Musa keluar dari Mesir. 17 Terhadap siapakah Allah murka selama empat puluh tahun? Terhadap mereka yang berdosa, yang jatuh mati di padang gurun. 18 Ketika Allah bersumpah, "Mereka tidak akan masuk ke negeri itu untuk mendapat rehat bersama-sama Aku'' -- siapakah yang dimaksudkan oleh-Nya? Mereka yang memberontak terhadap Allah. 19 Sekarang kita faham bahawa mereka tidak dapat masuk ke negeri itu, kerana mereka tidak mahu percaya kepada Allah.

Ibrani 4

1 Tetapi sekarang Allah memberikan janji itu kepada kita bahawa kita boleh mendapat rehat yang difirmankan-Nya. Oleh itu biarlah kita berwaspada supaya tidak seorang pun di kalangan kamu gagal mendapat rehat itu. 2 Hal itu demikian, kerana seperti mereka, kita sudah mendengar Berita Baik itu. Mereka mendengar perkhabaran itu, tetapi berita itu tidak berguna bagi mereka, kerana ketika mereka mendengarnya, mereka tidak percaya kepada janji Allah itu. 3 Tetapi kita yang percaya kepada Allah, menerima rehat yang dijanjikan oleh Allah. Hal itu sesuai dengan yang difirmankan-Nya, "Aku murka dan bersumpah, `Mereka tidak akan masuk ke negeri itu untuk mendapat rehat bersama-sama Aku!' '' Allah berfirman demikian meskipun kerja-Nya telah selesai sejak Dia menciptakan dunia ini. 4 Tentang hari ketujuh, ada tertulis di dalam Alkitab, "Pada hari ketujuh Allah berehat daripada semua kerja-Nya.'' 5 Hal itu dikatakan sekali lagi, "Mereka tidak akan masuk ke negeri itu untuk mendapat rehat bersama-sama Aku.'' 6 Mereka yang lebih dahulu mendengar Berita Baik itu, tidak mendapat rehat itu kerana mereka tidak percaya. Jika demikian, ada orang lain yang boleh mendapat rehat itu. 7 Hal ini nyata kerana Allah telah menentukan suatu hari yang lain, yang disebut "Hari Ini.'' Allah berfirman tentang hal ini bertahun-tahun kemudian melalui Daud, dalam ayat yang telah dikutip tadi, "Jika pada hari ini kamu mendengar suara Allah, janganlah berkeras kepala.'' 8 Sekiranya Yosua sudah memberi mereka rehat yang dijanjikan oleh Allah, tentu Allah tidak akan berfirman lagi tentang suatu hari yang lain. 9 Oleh itu masih ada lagi rehat bagi umat Allah, seperti Allah berehat pada hari yang ketujuh itu. 10 Hal itu demikian kerana sesiapa mendapat rehat yang dijanjikan oleh Allah, akan berehat juga daripada kerjanya sebagaimana Allah berehat daripada kerja-Nya. 11 Oleh itu, marilah kita berusaha sebaik-baiknya untuk mendapat rehat yang dijanjikan oleh Allah. Janganlah seorang pun daripada kita gagal seperti mereka dahulu, kerana tidak percaya kepada Allah. 12 Firman Allah itu hidup dan berkuasa, lebih tajam daripada pedang bermata dua. Firman itu menusuk sampai ke batas antara jiwa dan roh, sampai ke batas antara sendi-sendi dan tulang sumsum. Firman Allah menghakimi fikiran dan niat hati manusia. 13 Tiada sesuatu pun dapat disembunyikan daripada Allah. Segala sesuatu di alam semesta terbuka dan terdedah di sisi Allah. Kita semua harus memberikan pertanggungjawapan tentang hidup kita kepada Allah. 14 Oleh itu, hendaklah kita berpegang teguh kepada pengakuan iman kita, kerana kita mempunyai Imam Agung yang besar, yang sudah masuk ke hadirat Allah. Dia Yesus, Anak Allah. 15 Imam Agung kita ini bukanlah imam yang tidak dapat bersimpati terhadap segala kelemahan kita. Sebaliknya, kita mempunyai Imam Agung yang pernah dicubai dalam segala hal seperti kita sendiri, tetapi Dia tidak berbuat dosa! 16 Oleh itu, marilah kita dengan penuh keberanian menghadap takhta Allah, kerana di situ rahmat-Nya melimpah. Di situ kita akan menerima belas kasihan-Nya dan mengalami kasih-Nya, pada masa kita memerlukan pertolongan.

Ibrani 5

1 Tiap-tiap imam agung dipilih daripada kalangan umat, dan dilantik untuk mengabdikan diri kepada Allah sebagai wakil mereka. Tugasnya mempersembahkan pemberian dan korban untuk pengampunan dosa. 2 Oleh sebab dia sendiri lemah dalam banyak perkara, dia dapat berlaku lemah lembut terhadap orang yang sesat kerana tidak tahu apa-apa. 3 Oleh sebab dia sendiri lemah, dia mesti mempersembahkan korban bukan sahaja untuk dosa umat, tetapi juga untuk dosanya sendiri. 4 Tiada seorang pun mempermuliakan dirinya sendiri dengan menjadi imam agung. Hanya dengan panggilan Allah, seseorang dapat menjadi imam agung, seperti yang berlaku kepada Harun. 5 Demikian juga, Kristus tidak mempermuliakan diri-Nya sendiri dengan menjadi Imam Agung. Sebaliknya Allah berfirman kepada-Nya, "Engkaulah Anak-Ku; pada hari ini Aku menjadi Bapa-Mu.'' 6 Dalam ayat lain Allah berfirman juga, "Engkau akan menjadi Imam selama-lamanya, seperti Imam Melkisedek.'' 7 Semasa Yesus hidup di bumi ini, Dia berdoa dan memohon dengan seruan dan tangisan kepada Allah yang berkuasa menyelamatkan Dia daripada kematian. Oleh sebab Yesus merendahkan diri dan taat kepada Allah, Allah mendengarkan permintaan-Nya. 8 Tetapi meskipun Yesus Anak Allah, Dia belajar menjadi taat melalui penderitaan-Nya. 9 Oleh itu, sesudah Dia menjadi penyelamat yang sempurna, Dia menjadi sumber penyelamatan yang kekal bagi semua orang yang taat kepada-Nya. 10 Allah pun mengisytiharkan Dia menjadi Imam Agung seperti Imam Melkisedek. 11 Masih banyak lagi yang perlu kami katakan tentang hal ini, tetapi susah kami hendak menerangkannya kerana kamu lambat sekali mengerti. 12 Sebenarnya sudah waktunya bagi kamu untuk menjadi guru, tetapi sehingga sekarang kamu masih perlu menerima ajaran asas tentang perkhabaran Allah. Kamu masih belum dapat menerima makanan keras, tetapi masih minum susu sahaja. 13 Sesiapa yang minum susu sebagai makanan utama masih kanak-kanak; dia tidak faham akan apa yang benar dan apa yang salah. 14 Sebaliknya, makanan keras untuk orang dewasa, yang sudah terlatih untuk membezakan yang baik daripada yang jahat.

Ibrani 6

1 Oleh itu, marilah kita menuju kepada kedewasaan kehidupan Kristian, dan jangan hanya perhatikan ajaran asas tentang Kristus. Janganlah kita ulangi ajaran asas tentang hal berhenti melakukan yang sia-sia dan tentang kepercayaan kepada Allah, 2 atau ajaran asas tentang baptisan dan tentang hal meletakkan tangan pada orang, atau tentang kebangkitan orang mati dan hukuman yang kekal. 3 Marilah kita menjadi orang Kristian yang dewasa! Jika diizinkan Allah, hal inilah yang akan kita lakukan! 4 Hal itu demikian, kerana orang yang tidak mahu percaya kepada Kristus lagi, tidak dapat dipimpin kembali supaya bertaubat. Mereka pernah berada dalam terang Allah; mereka pernah menikmati pemberian Allah, dan menerima Roh Allah yang menjadi bahagian mereka. 5 Melalui pengalaman, mereka tahu bahawa firman Allah baik, dan mereka telah merasai kuasa daripada kurnia Allah pada zaman yang akan datang. 6 Tetapi sesudah itu mereka tidak mahu percaya kepada Kristus lagi! Tidak mungkin mereka dipimpin kembali supaya bertaubat, kerana mereka menyalibkan Anak Allah lagi dan mempermalukan Dia di hadapan umum. 7 Allah memberkati tanah yang menghisap air hujan yang sering turun ke atasnya, lalu tanah itu menghasilkan tanam-tanaman yang berguna bagi orang yang menanamnya. 8 Tetapi jika tanah itu mengeluarkan duri dan lalang, maka tanah itu tidak berguna. Tanah itu akan dikutuk oleh Allah dan dimusnahkan oleh api. 9 Tetapi, saudara-saudara yang tercinta, meskipun kami berkata demikian, kami yakin akan kamu. Kami tahu bahawa kamu mempunyai berkat-berkat yang lebih baik, yang termasuk dalam penyelamatan kamu. 10 Allah bukannya tidak adil. Dia tidak melupakan apa yang sudah kamu lakukan bagi-Nya, ataupun kasih yang kamu tunjukkan kepada-Nya dengan menolong sesama saudara Kristian, baik dahulu mahupun sekarang. 11 Kami ingin sekali supaya setiap orang di kalangan kamu terus bergiat sehingga akhir, supaya segala perkara yang kamu harap-harapkan itu boleh kamu terima. 12 Kami tidak mahu kamu menjadi malas. Hiduplah seperti mereka yang menerima apa yang telah dijanjikan oleh Allah, kerana percaya kepada-Nya dan bersabar. 13 Ketika Allah berjanji kepada Abraham, Dia bersumpah bahawa Dia akan melakukan apa yang sudah dijanjikan-Nya. Kerana tidak ada sesiapa pun yang lebih tinggi daripada Allah, Dia bersumpah demi nama-Nya sendiri. 14 Allah berfirman, "Aku berjanji akan memberkati engkau dan memberikan keturunan yang banyak kepadamu.'' 15 Abraham bersabar. Oleh itu dia menerima apa yang dijanjikan oleh Allah. 16 Ketika seseorang bersumpah, dia menggunakan nama orang lain yang lebih tinggi kedudukannya daripada dia. Lalu sumpah itu menyelesaikan segala perselisihan. 17 Allah hendak meyakinkan orang yang akan menerima apa yang dijanjikan-Nya, bahawa Dia tidak sekali-kali akan mengubah maksud-Nya. Itulah sebabnya Dia menambah sumpah pada janji-Nya itu. 18 Dua perkara itu tidak dapat berubah, iaitu janji-Nya dan sumpah-Nya. Allah tidak dapat berdusta tentangnya. Oleh itu, kita yang sudah pergi kepada-Nya untuk mendapat perlindungan, sangat digalakkan supaya berpegang teguh kepada harapan yang ada di hadapan kita. 19 Harapan kita itu seperti sauh yang menjadi pegangan hidup yang kuat dan aman. Harapan itu menembusi tirai Bilik Maha Suci di Rumah Tuhan di syurga. 20 Yesus telah masuk ke situ lebih dahulu daripada kita, dan Dia menjadi Imam Agung yang kekal seperti Imam Melkisedek.

Ibrani 7

1 Imam Melkisedek ialah raja Salem dan imam Allah Yang Maha Tinggi. Ketika Abraham balik dari peperangan mengalahkan empat orang raja, Melkisedek menjumpainya dan memberkatinya. 2 Lalu Abraham memberi Melkisedek sepersepuluh daripada segala apa yang dirampasnya. (Pertama sekali nama Melkisedek bermakna "Raja Keadilan.'' Oleh sebab dia raja Salem, namanya juga bermakna "Raja Kesejahteraan.'') 3 Tidak ada catatan tentang ibu bapa Melkisedek ataupun nenek moyangnya. Tidak ada catatan tentang kelahirannya ataupun kematiannya. Dia seperti Anak Allah; dia menjadi imam selama-lamanya. 4 Lihatlah betapa tingginya kedudukan Melkisedek. Abraham, bapa bangsa kita, memberi dia sepersepuluh daripada segala yang didapatinya daripada peperangan itu. 5 Menurut hukum Taurat, imam-imam keturunan suku Lewi harus memungut sepersepuluh daripada pendapatan umat Israel, iaitu saudara-saudara mereka sendiri, walaupun mereka juga keturunan Abraham. 6 Melkisedek bukan keturunan suku Lewi, tetapi dia menerima sepersepuluh daripada apa yang sudah diterima oleh Abraham, dan memberkati yang telah menerima janji Allah. 7 Tidak dapat diragukan lagi bahawa orang yang diberkati lebih rendah kedudukannya daripada orang yang memberkati. 8 Imam-imam yang memungut sepersepuluh bahagian itu manusia biasa yang tentu akan mati. Tetapi menurut Alkitab, Melkisedek yang menerima sepersepuluh bahagian itu tetap hidup. 9 Boleh dikatakan bahawa ketika Abraham membayar sepersepuluh bahagian itu, Lewi juga membayarnya (walaupun keturunannya memungut sepersepuluh bahagian daripada umat Israel.) 10 Pada masa Melkisedek berjumpa dengan Abraham, Lewi belum lahir tetapi boleh dikatakan sudah ada di dalam tubuh Abraham nenek moyangnya. 11 Imam-imam keturunan Lewi merupakan asas hukum Taurat, yang diberikan kepada umat Israel. Jika apa yang dilakukan imam-imam suku Lewi dahulu itu sempurna, maka tidak perlu ada imam lain seperti Imam Melkisedek, yang bukan keturunan Imam Harun. 12 Apabila ada perubahan dalam keimaman, hukum Taurat pun mesti berubah. 13 Yang dimaksudkan di sini adalah Tuhan kita. Dia daripada suku lain, dan belum pernah seorang pun daripada suku-Nya bertugas sebagai imam. 14 Semua orang tahu bahawa Tuhan kita berasal daripada suku Yehuda; dan Musa tidak pernah menyebut suku itu ketika dia berucap tentang imam-imam. 15 Hal yang dibincangkan itu menjadi lebih jelas sekarang: Seorang imam lain sudah datang, imam seperti Melkisedek. 16 Dia dilantik menjadi imam, tidak menurut hukum atau peraturan manusia, tetapi berdasarkan hidupnya yang berkuasa dan tidak berkesudahan. 17 Di dalam Alkitab tertulis, "Engkau akan menjadi imam selama-lamanya, seperti Imam Melkisedek.'' 18 Oleh itu peraturan yang lama telah dibatalkan, kerana lemah dan tidak berguna. 19 Taurat Musa tidak dapat menyempurnakan sesuatu pun. Sekarang kita diberikan suatu harapan yang lebih baik, dan dengannya kita dapat mendekati Allah. 20 Tambahan pula, semua itu disertai sumpah daripada Allah. Apabila imam-imam lain dilantik, tidak ada sumpah seperti itu. 21 Tetapi Yesus diangkat menjadi imam dengan sumpah, ketika Allah berfirman kepada-Nya, "Tuhan sudah bersumpah, dan tidak akan mengubah fikiran, `Engkau akan menjadi imam selama-lamanya.' '' 22 Dengan sumpah itu, Yesus menjadi jaminan suatu perjanjian yang lebih baik. 23 Ada satu hal lagi: imam-imam lain itu banyak bilangannya kerana mereka mati dan tidak dapat meneruskan tugas. 24 Tetapi Yesus hidup selama-lamanya dan tugas-Nya sebagai imam tidak beralih kepada orang lain. 25 Oleh itu, baik sekarang ataupun selamanya, Dia dapat menyelamatkan orang yang datang kepada Allah melalui-Nya, kerana Dia hidup selama-lamanya untuk memohon kepada Allah bagi mereka. 26 Dengan demikian, Yesuslah Imam Agung yang kita perlukan. Dia suci; pada-Nya tidak terdapat kesalahan ataupun dosa. Dia dipisahkan daripada orang berdosa, dan dinaikkan ke tempat yang lebih tinggi daripada langit. 27 Dia tidak seperti imam-imam agung lain, yang setiap hari harus mempersembahkan korban, pertama sekali untuk dosa sendiri dan kemudian untuk dosa umat. Yesus mempersembahkan korban sekali sahaja untuk selama-lamanya, ketika Dia mempersembahkan diri-Nya sendiri sebagai korban. 28 Taurat Musa melantik manusia yang tidak sempurna menjadi imam agung. Tetapi janji Allah yang disertai sumpah dan yang datang kemudian daripada Taurat telah menjadikan Anak, Penyelamat yang sempurna selama-lamanya.

Ibrani 8

1 Inilah perkara penting daripada apa yang kami katakan: Kita mempunyai Imam Agung seperti itu; Dia duduk di sebelah kanan takhta Allah Yang Maha Besar di syurga. 2 Dia bertugas sebagai Imam Agung di Bilik Maha Suci, di dalam Khemah Tuhan yang sejati dan yang didirikan oleh Tuhan, bukan oleh manusia. 3 Tiap-tiap Imam Agung dilantik untuk mempersembahkan persembahan dan korban binatang kepada Allah; demikian juga Imam Agung kita mesti mempunyai sesuatu untuk dipersembahkan. 4 Andaikata Dia di bumi ini, Dia tidak akan menjadi imam, kerana sudah ada imam yang mempersembahkan korban menurut Taurat orang Yahudi. 5 Tugas yang dilakukan mereka sebagai imam, sebenarnya hanya suatu gambaran dan bayangan daripada apa yang di syurga. Demikian juga halnya dengan Musa dahulu. Ketika dia hendak mendirikan Khemah Tuhan, Allah berfirman kepadanya, "Ingatlah, engkau harus membuat segala-galanya menurut contoh yang ditunjukkan kepadamu di atas gunung itu.'' 6 Tetapi sekarang Yesus diberikan tugas imam yang jauh lebih mulia daripada yang dijalankan imam-imam itu, kerana perjanjian yang diadakan-Nya antara Allah dengan manusia adalah lebih baik. Perjanjian itu berdasarkan janji tentang perkara-perkara yang lebih baik. 7 Andaikata tidak ada kekurangan pada perjanjian pertama, maka tidak perlu diadakan perjanjian kedua. 8 Tetapi Allah mendapati kesalahan umat-Nya, ketika Dia mencela mereka, "Masanya akan tiba, firman Tuhan, apabila Aku akan mengadakan perjanjian baru dengan umat Israel, dan dengan umat Yehuda. 9 Perjanjian itu tidak seperti perjanjian yang Aku buat dengan nenek moyang mereka, pada masa Aku membimbing mereka keluar dari negeri Mesir. Mereka tidak setia kepada perjanjian yang Aku buat dengan mereka, itulah sebabnya Aku tidak mempedulikan mereka. 10 Tetapi sekarang, inilah perjanjian yang akan Aku buat dengan umat Israel pada masa akan datang, firman Tuhan: Aku akan menanamkan hukum-Ku di dalam fikiran mereka, dan menuliskannya di dalam hati mereka. Aku akan menjadi Allah mereka, dan mereka akan menjadi umat-Ku. 11 Tidak seorang pun perlu mengajar sesama wargakota, atau memberitahu sesama suku, `Kenallah akan Tuhan.' Mereka semua akan mengenal Aku, daripada yang terkecil sehingga yang terbesar. 12 Aku akan mengampunkan kesalahan mereka, dan tidak mengingat lagi dosa mereka.'' 13 Oleh sebab Allah berfirman tentang perjanjian baru, Dia menjadikan perjanjian pertama itu lama. Apa sahaja yang menjadi lama dan usang, akan segera lenyap.

Ibrani 9

1 Perjanjian pertama mengandungi peraturan ibadat, dan mempunyai tempat ibadat buatan manusia. 2 Khemah yang didirikan di bahagian paling depan, dinamakan Bilik Suci. Di situ terdapat sebuah kaki pelita dan sebuah meja dengan roti yang dipersembahkan kepada Allah. 3 Di belakang tirai kedua, terdapat bahagian khemah yang dinamakan Bilik Maha Suci. 4 Di situ terdapat mazbah emas yang digunakan untuk membakar kemenyan dan juga terdapat Tabut Perjanjian yang seluruhnya disalut dengan emas. Di dalam Tabut itu terdapat balang emas berisi manna, tongkat Harun yang telah bertunas, dan dua buah batu tulis yang bertuliskan sepuluh hukum Allah. 5 Di atas Tabut itu terdapat dua kerub iaitu makhluk bersayap yang melambangkan hadirat Allah. Sayap kerub ini terbentang di atas penutup Tabut, tempat dosa diampunkan. Tetapi sekarang bukanlah masanya untuk menerangkan semuanya dengan terperinci. 6 Demikianlah semua itu diatur. Setiap hari imam-imam masuk ke dalam bahagian depan khemah itu untuk menjalankan tugas mereka. 7 Hanya Imam Agung yang masuk ke bahagian paling dalam daripada khemah itu, dan hal itupun dilakukannya hanya sekali setahun. Dia membawa darah yang dipersembahkannya kepada Allah bagi dirinya sendiri dan bagi dosa yang dilakukan oleh umat dengan tidak disedari. 8 Dengan aturan tersebut, Roh Allah mengajar kita dengan jelas, bahawa selama bahagian depan khemah itu masih berdiri, jalan masuk ke dalam Bilik Maha Suci itu masih belum terbuka. 9 Hal ini melambangkan zaman sekarang. Maknanya, semua persembahan dan korban binatang yang dipersembahkan kepada Allah tidak dapat menyempurnakan hati nurani orang yang membawa persembahan. 10 Semua itu hanya berkenaan dengan makanan, minuman, dan berbagai-bagai upacara penyucian. Semua itu hanya peraturan lahir yang berlaku sehingga masanya Allah mengadakan pembaharuan. 11 Tetapi Kristus sudah datang sebagai Imam Agung daripada perkara-perkara baik, yang sudah ada di sini. Khemah tempat Dia menjalankan tugas sebagai Imam Agung, adalah lebih penting dan lebih sempurna. Khemah itu tidak dibuat oleh manusia, ertinya bukan sebahagian daripada dunia yang diciptakan ini. 12 Ketika Kristus memasuki Bilik Maha Suci sekali sahaja untuk selama-lamanya, Dia tidak membawa darah kambing dan darah lembu jantan untuk dipersembahkan. Tetapi Dia membawa darah-Nya sendiri, dan dengan demikian Dia membebaskan kita selama-lamanya. 13 Darah kambing dan darah lembu jantan, serta abu daripada korban anak lembu, dipercikkan ke atas orang yang najis menurut peraturan agama. Perbuatan itu menyucikan mereka daripada semua yang menajiskan mereka. 14 Jika orang dapat disucikan dengan cara itu, darah Kristus lebih berkuasa pula! Melalui Roh yang kekal, Kristus mempersembahkan diri-Nya sendiri kepada Allah sebagai korban yang sempurna. Darah-Nya akan menyucikan hati nurani kita daripada upacara agama yang sia-sia, supaya kita boleh mengabdikan diri kepada Allah yang hidup. 15 Itulah sebabnya Kristus menjadi Pengantara bagi suatu perjanjian baru, supaya orang yang sudah dipanggil oleh Allah boleh menerima berkat kekal yang sudah dijanjikan oleh Allah. Hal itu dapat berlaku kerana Kristus telah mati untuk membebaskan orang daripada kesalahan yang dilakukan mereka pada masa perjanjian pertama masih berlaku. 16 Jika ada surat wasiat, haruslah dibuktikan bahawa orang yang membuat surat wasiat itu sudah meninggal. 17 Surat wasiat tidak bererti apa-apa selagi orang yang membuatnya masih hidup. Surat itu berlaku hanya setelah orang itu meninggal. 18 Itulah sebabnya perjanjian pertama pun harus disahkan dengan darah. 19 Mula-mula Musa menyampaikan semua perintah dalam Taurat kepada umat Israel. Setelah itu dia mengambil darah lembu jantan dan darah kambing, lalu mencampurnya dengan air, kemudian memercikkannya pada kitab Taurat dan pada seluruh umat, dengan menggunakan setangkai rumput hisop dan bulu domba berwarna merah. 20 Musa berkata, "Inilah darah yang mengesahkan perjanjian daripada Allah yang harus kamu taati.'' 21 Dengan cara yang sama, Musa juga memercikkan darah itu pada Khemah Tuhan dan pada semua alat untuk ibadat. 22 Sebenarnya, menurut Taurat, hampir segala sesuatu disucikan dengan darah. Demikian juga dosa hanya dapat diampunkan jika ada penumpahan darah. 23 Hal-hal yang melambangkan perkara-perkara di syurga, perlu disucikan dengan cara tersebut. Tetapi perkara-perkara di syurga itu memerlukan korban yang jauh lebih baik. 24 Kristus tidak masuk ke Bilik Suci buatan manusia, yang hanya melambangkan Bilik Suci sebenarnya. Tetapi Kristus masuk ke syurga; di sana Dia sekarang menghadap hadirat Allah sebagai wakil kita. 25 Setiap tahun Imam Agung Yahudi masuk ke dalam Bilik Maha Suci dengan membawa darah seekor binatang. Tetapi Kristus tidak masuk untuk mempersembahkan diri-Nya berulang kali; 26 kerana jika demikian, Dia harus menderita berulang kali sejak dunia ini dijadikan. Sebaliknya, sekarang pada zaman akhir ini Dia menunjukkan diri satu kali sahaja untuk selama-lamanya, bagi menghapuskan dosa dengan mengorbankan diri-Nya sendiri. 27 Semua orang mesti mati satu kali, dan setelah itu dihakimi oleh Allah. 28 Demikian juga Kristus dipersembahkan sebagai korban satu kali sahaja untuk menghapuskan dosa banyak orang. Dia akan menunjukkan diri sekali lagi, bukan untuk menyelesaikan masalah dosa, tetapi untuk menyelamatkan orang yang menantikan Dia.

Ibrani 10

1 Taurat orang Yahudi bukanlah gambaran lengkap dan sempurna tentang perkara-perkara yang sebenarnya, tetapi hanya bayangan daripada perkara-perkara baik yang akan datang. Tahun demi tahun korban yang sama dipersembahkan. Bagaimanakah Taurat, melalui korban-korban ini dapat menyempurnakan orang yang datang menyembah Allah? 2 Jika orang yang menyembah Allah benar-benar telah disucikan daripada dosa, mereka tidak akan berasa bersalah lagi, dan korban tidak perlu dipersembahkan lagi. 3 Tetapi nyatanya, korban-korban yang dipersembahkan tahun demi tahun itu mengingatkan orang akan dosa mereka. 4 Darah lembu jantan dan darah kambing tidak dapat menghapuskan dosa. 5 Itulah sebabnya pada masa Kristus hampir datang ke dunia, Dia berkata kepada Allah, "Engkau tidak menghendaki korban dan persembahan, tetapi Engkau sudah menyediakan tubuh bagi-Ku. 6 Engkau tidak minta korban untuk menyenangkan hati-Mu, ataupun korban untuk menghapuskan dosa. 7 Lalu Aku berkata, `Inilah Aku, ya Allah, Aku datang untuk melakukan kehendak-Mu, seperti yang tertulis di dalam kitab Taurat tentang diri-Ku.' '' 8 Mula-mula Kristus berkata, "Engkau tidak menghendaki korban dan persembahan; Engkau tidak minta korban untuk menyenangkan hati-Mu, dan korban untuk menghapuskan dosa.'' Dia berkata demikian meskipun segala korban itu dipersembahkan menurut Taurat. 9 Setelah itu Dia berkata, "Inilah Aku, ya Allah. Aku datang untuk melakukan kehendak-Mu.'' Oleh itu, Allah meniadakan segala korban yang lama itu, lalu menggantikannya dengan korban Kristus. 10 Yesus Kristus melakukan kehendak Allah, dan mempersembahkan diri-Nya sendiri sebagai korban. Hal itu dilakukan-Nya satu kali sahaja untuk selama-lamanya. Dengan persembahan itu, kita semua dibersihkan daripada dosa. 11 Setiap imam Yahudi menjalankan tugas tiap-tiap hari dan berulang kali mempersembahkan korban yang sama. Tetapi korban-korban itu sama sekali tidak dapat menghapuskan dosa. 12 Sebaliknya, Kristus mempersembahkan hanya satu korban untuk pengampunan dosa, dan korban itu berlaku untuk selama-lamanya. Setelah itu Dia duduk di sebelah kanan Allah. 13 Sekarang Dia menantikan masanya Allah menjadikan musuh-musuh-Nya sebagai alas kaki-Nya. 14 Demikianlah dengan satu korban, untuk selama-lamanya Dia menyempurnakan orang yang sudah disucikan daripada dosa. 15 Roh Allah juga memberikan kesaksian kepada kita. Roh Allah berkata, 16 "Inilah perjanjian yang akan Aku buat dengan mereka pada masa akan datang, firman Tuhan, Aku akan menanamkan hukum-Ku di dalam hati mereka, dan menuliskannya di dalam fikiran mereka.'' 17 Dia juga berkata, "Aku akan melupakan segala dosa dan kejahatan mereka.'' 18 Oleh itu, apabila segala dosa dan kejahatan itu sudah diampunkan, persembahan korban untuk pengampunan dosa tidak diperlukan lagi. 19 Oleh itu, saudara-saudara-ku, dengan kematian Yesus kita mempunyai kebebasan penuh untuk masuk ke Bilik Maha Suci. 20 Yesus sudah membuka satu jalan baru bagi kita, jalan yang memberikan kehidupan. Jalan itu melalui tirai, iaitu tubuh Yesus sendiri. 21 Sekarang kita mempunyai imam agung, yang bertanggungjawab terhadap rumah Allah. 22 Oleh itu, marilah kita hampiri Allah dengan hati yang tulus dan iman yang teguh, dengan hati yang sudah disucikan daripada perasaan bersalah, dan dengan tubuh yang sudah dibersihkan oleh air bersih. 23 Hendaklah kita berpegang teguh kepada harapan yang kita akui, kerana Allah dapat dipercayai dan Dia akan menepati janji-Nya. 24 Hendaklah kita perhatikan satu sama lain, supaya kita dapat saling memberikan dorongan untuk mengasihi satu sama lain dan untuk melakukan hal yang baik. 25 Janganlah kita hentikan kebiasaan berkumpul bersama-sama, seperti yang dilakukan oleh beberapa orang saudara. Sebaliknya lebih-lebih lagi kita harus menggalakkan satu sama lain, kerana kita tahu bahawa tidak lama lagi Tuhan akan datang. 26 Tidak ada lagi korban yang dapat menghapuskan dosa, jika kita dengan sengaja terus berdosa, setelah ajaran benar tentang Berita Baik sudah disampaikan kepada kita. 27 Satu-satunya yang masih tinggal bagi kita adalah dengan takut menantikan pengadilan Allah dan api dahsyat yang akan membinasakan orang yang melawan Allah. 28 Seseorang yang tidak mentaati Taurat Musa dihukum mati tanpa kasihan, jika dengan kesaksian dua atau tiga orang saksi, dia terbukti bersalah. 29 Lebih berat lagi hukuman yang harus dijatuhkan kepada seseorang yang menginjak-injak Anak Allah, yang menganggap hina darah perjanjian Allah yang sudah menyucikan dia daripada dosa, dan yang menista Roh Allah yang mengasihinya! 30 Hal itu demikian kerana kita mengenal Dia yang berfirman, "Aku akan membalas dendam! Aku akan menghukum!'' Dia juga berfirman, "Tuhan akan menghakimi umat-Nya.'' 31 Alangkah ngerinya jika jatuh ke tangan Allah yang hidup! 32 Ingatlah keadaan kamu pada masa lampau. Pada masa itu, setelah cahaya Allah menyinari kamu, sering kali kamu menderita, namun kamu tetap berjuang dengan gigih. 33 Ada kalanya kamu dihina dan dianiaya di hadapan umum. Ada kalanya juga kamu rela menderita bersama-sama mereka yang diperlakukan demikian. 34 Kamu ikut merasakan penderitaan orang yang dipenjarakan. Apabila segala milik kamu dirampas, kamu menanggungnya dengan gembira, kerana kamu tahu bahawa kamu masih mempunyai sesuatu yang lebih baik dan yang akan tahan selama-lamanya. 35 Oleh itu, janganlah putus harapan, kerana besar balasannya jika kamu tetap berharap. 36 Kamu perlu bersabar supaya dapat melakukan kehendak Allah, dan dengan demikian menerima apa yang dijanjikan-Nya. 37 Hal ini demikian, kerana di dalam Alkitab tertulis, "Hanya sebentar lagi, lalu Dia yang akan datang itu akan segera tiba; Dia tidak akan berlambat. 38 Umat-Ku yang melakukan kehendak-Ku akan percaya kepada-Ku dan hidup; tetapi jika ada antara mereka yang tidak lagi percaya kepada-Ku, Aku tidak berkenan kepadanya.'' 39 Kita ini bukanlah umat yang tidak lagi percaya kepada Allah, dan bukan umat yang sesat. Sebaliknya, kita beriman dan diselamatkan.

Ibrani 11

1 Beriman bererti yakin sungguh-sungguh akan perkara-perkara yang diharapkan, dan mempunyai kepastian akan perkara-perkara yang tidak dapat kita lihat. 2 Kerana beriman, nenek moyang kita diperkenankan oleh Allah. 3 Kerana beriman, kita mengerti bahawa alam ini diciptakan oleh firman Allah, maka apa yang dapat dilihat dijadikan daripada apa yang tidak dapat dilihat. 4 Kerana beriman, Habel mempersembahkan korban yang lebih baik daripada korban yang dipersembahkan oleh Kain kepada Allah. Dengan imannya itu, Habel diterima oleh Allah sebagai orang yang baik, oleh sebab Allah menerima persembahannya. Kerana imannya itu, Habel masih berkata-kata sampai sekarang, meskipun dia sudah meninggal. 5 Kerana beriman, Henokh tidak mati. Sebaliknya dia diangkat dan dibawa kepada Allah. Tidak seorang pun dapat menjumpainya, kerana dia sudah diangkat oleh Allah. Di dalam Alkitab tertulis, bahawa sebelum Henokh diangkat, dia menyenangkan hati Allah. 6 Tanpa iman, tidak seorang pun dapat menyenangkan hati Allah. Orang yang datang kepada Allah mesti percaya bahawa Allah wujud, dan bahawa Allah menganugerahi orang yang mencari-Nya. 7 Kerana beriman, Nuh mendengarkan amaran Allah tentang perkara-perkara pada masa depan, yang belum dilihat olehnya. Nuh taat kepada Allah, lalu membina sebuah bahtera yang kemudian menyelamatkan dia dan keluarganya. Dengan demikian dunia dihukum, dan kerana imannya Nuh dinyatakan oleh Allah sebagai orang yang baik. 8 Kerana beriman, Abraham mentaati Allah ketika Allah memanggilnya dan menyuruhnya pergi ke negeri yang dijanjikan oleh Allah kepadanya. Abraham meninggalkan negerinya tanpa mengetahui ke mana dia akan pergi. 9 Kerana beriman, Abraham tinggal sebagai orang asing di negeri yang dijanjikan oleh Allah kepadanya. Dia tinggal di khemah dengan Ishak dan Yakub, yang menerima janji yang sama daripada Allah. 10 Hal itu demikian kerana Abraham sedang menantikan kota yang kekal, kota yang dirancang dan dibina oleh Allah. 11 Kerana beriman, Abraham dapat menjadi bapa, meskipun dia sudah sangat tua dan Sara pun mandul. Abraham yakin bahawa Allah akan menepati janji-Nya. 12 Meskipun Abraham pada masa itu sudah mati pucuk, tetapi dia mendapat keturunan sebanyak bintang di langit dan pasir di pantai. 13 Semua orang ini beriman sampai mati. Mereka tidak menerima perkara-perkara yang dijanjikan oleh Allah, tetapi dari jauh mereka nampak dan menyambutnya. Mereka mengaku dengan terang-terang bahawa mereka hanyalah orang asing dan pengembara di bumi ini. 14 Orang yang berkata demikian menunjukkan dengan jelas bahawa mereka sedang mencari negeri yang akan menjadi tanah air mereka. 15 Mereka tidak selalu memikirkan negeri yang sudah ditinggalkan. Jika mereka selalu memikirkannya, mereka berpeluang kembali ke negeri itu. 16 Sebaliknya, mereka merindukan sebuah negeri yang lebih baik, iaitu negeri yang di syurga. Itulah sebabnya Allah tidak malu apabila mereka menyebut Dia sebagai Allah mereka, kerana Allah sudah menyediakan sebuah kota untuk mereka. 17 Kerana beriman, Abraham mempersembahkan anaknya, Ishak, sebagai korban, ketika Allah menguji Abraham. Allah memberikan janji-Nya kepada Abraham, namun Abraham bersedia mempersembahkan anaknya yang tunggal sebagai korban. 18 Allah sudah berfirman kepadanya, "Melalui Ishak engkau akan beroleh keturunan yang Aku janjikan.'' 19 Abraham yakin bahawa Allah berkuasa membangkitkan Ishak daripada kematian. Oleh itu boleh dikatakan, Abraham sudah menerima Ishak kembali daripada kematian. 20 Kerana beriman, Ishak menjanjikan berkat untuk masa depan bagi Yakub dan Esau. 21 Kerana beriman, Yakub memberkati setiap anak Yusuf sebelum Yakub meninggal. Yakub bersandar pada kepala tongkatnya dan menyembah Allah. 22 Kerana beriman, Yusuf ketika hampir meninggal berkata tentang keluarnya orang Israel dari Mesir. Dia juga berpesan tentang apa yang harus dilakukan dengan jenazahnya. 23 Kerana beriman, ibu bapa Musa menyembunyikan dia selama tiga bulan setelah dia lahir. Mereka melihat bahawa Musa bayi yang comel, dan mereka tidak takut menentang titah raja. 24 Kerana beriman, Musa sesudah menjadi dewasa, tidak mahu disebut anak puteri raja Mesir. 25 Musa lebih suka menderita bersama-sama umat Allah daripada menikmati kesenangan hidup berdosa untuk sementara waktu. 26 Musa berpendapat bahawa jauh lebih berharga menanggung hinaan bagi Penyelamat yang diutus oleh Allah daripada mendapat segala harta negeri Mesir, kerana Musa mengharapkan pahala pada masa yang akan datang. 27 Kerana beriman, Musa meninggalkan Mesir tanpa berasa takut akan kemurkaan raja. Musa tidak mahu berpatah balik, kerana seolah-olah dia sudah nampak Allah yang tidak kelihatan itu. 28 Kerana beriman, Musa memulakan Paska dan memberikan perintah supaya darah dipercikkan pada pintu, agar Malaikat Maut tidak membunuh anak laki-laki sulung orang Israel. 29 Kerana beriman, orang Israel dapat menyeberang Laut Merah, seolah-olah mereka berjalan di atas tanah yang kering. Ketika orang Mesir cuba menyeberang, mereka mati lemas di dalam laut itu. 30 Kerana beriman, orang Israel menyebabkan tembok-tembok Yerikho roboh setelah mereka mengelilinginya selama tujuh hari. 31 Kerana beriman, Rahab, wanita pelacur itu, tidak turut terbunuh bersama-sama orang yang melawan Allah, kerana dia menyambut pengintip-pengintip Israel dengan ramah. 32 Perlukah aku meneruskannya? Masa tidak cukup bagiku untuk bertutur tentang Gideon, Barak, Simson, Yefta, Daud, Samuel, dan nabi-nabi. 33 Kerana beriman, mereka mengalahkan negeri-negeri. Mereka melakukan apa yang benar. Oleh itu mereka menerima apa yang dijanjikan oleh Allah. Mereka menutup mulut singa, 34 memadamkan api yang dahsyat, dan menyelamatkan diri daripada tikaman pedang. Mereka lemah, tetapi menjadi kuat; mereka perkasa dalam peperangan dan mengalahkan pasukan-pasukan bangsa asing. 35 Kerana beriman, kaum wanita mendapat kembali sanak keluarga yang sudah dibangkitkan daripada kematian. Ada pula yang rela diseksa sampai mati, dan menolak untuk dibebaskan, kerana ingin dihidupkan kembali bagi kehidupan yang lebih baik. 36 Ada yang diolok-olok dan dicambuk. Ada juga yang dirantai dan dipenjarakan. 37 Ada yang direjam sehingga mati, ada yang dipotong menjadi dua dengan gergaji, dan ada pula yang dibunuh dengan pedang. Mereka mengembara dengan berpakaian kulit domba atau kambing. Mereka miskin, dianiaya, dan diseksa. 38 Dunia ini bukan tempat yang layak bagi mereka. Mereka mengembara seperti pelarian di padang gurun dan di bukit-bukit. Mereka tinggal di dalam gua dan lubang-lubang di tanah. 39 Alangkah besarnya kejayaan yang dicapai oleh semua orang itu kerana iman mereka! Namun mereka tidak menerima apa yang dijanjikan oleh Allah, 40 kerana Allah mempunyai rancangan yang lebih baik bagi kita. Dia merancang bahawa hanya bersama-sama kita, mereka akan menjadi sempurna.

Ibrani 12

1 Sedangkan bagi kita, di sekeliling kita ada banyak saksi. Oleh itu, marilah kita buang segala halangan yang menghalang kita dan dosa yang berpaut pada kita. Marilah kita tempuh perlumbaan di hadapan kita dengan tekun. 2 Hendaklah pandangan kita tertumpu kepada Yesus, kerana iman kita bergantung kepada-Nya dari permulaan sehingga akhir. Yesus tidak putus asa, walaupun Dia harus mati pada kayu salib. Sebaliknya, kerana kegembiraan yang menantikan-Nya, Yesus tidak peduli bahawa mati pada kayu salib adalah suatu hal yang memalukan. Sekarang Dia duduk di sebelah kanan takhta Allah. 3 Fikirkanlah betapa beratnya penderitaan yang dialami oleh Yesus, kerana orang berdosa sangat membenci Dia! Oleh itu janganlah berkecil hati dan putus asa. 4 Dalam perjuangan kamu melawan dosa, kamu belum pernah melawan sehingga dibunuh. 5 Janganlah lupa akan nasihat Allah, yang diberikan kepada kamu sebagai anak-anak-Nya: "Hai anak-Ku, perhatikan baik-baik apabila Tuhan menunjukkan kesalahanmu, dan janganlah kecil hati apabila Dia menghukum kamu. 6 Tuhan menunjukkan kesalahan setiap orang yang dikasihi-Nya, dan menghukum setiap orang yang diakui-Nya sebagai anak.'' 7 Hendaklah penderitaan yang kamu tanggung dianggap sebagai hukuman daripada seorang bapa. Penderitaan kamu membuktikan bahawa Allah memperlakukan kamu sebagai anak-anak-Nya. Pernahkah seorang anak tidak dihukum oleh bapanya? 8 Jika kamu tidak dihukum seperti semua anak-Nya yang lain, hal ini bererti kamu bukan anak sah, tetapi anak haram. 9 Di dunia ini kita mempunyai bapa. Mereka menghukum kita, dan kita menghormati mereka. Oleh itu, kita harus menerima hukuman yang dikenakan oleh Bapa kita yang di syurga, supaya kita hidup. 10 Bapa kita yang di dunia menghukum kita hanya untuk masa pendek ketika kita masih anak-anak, menurut apa yang dirasakan baik oleh mereka. Tetapi Allah menghukum kita untuk kebaikan kita sendiri, supaya kita dapat menjadi suci seperti Dia. 11 Pada masa kita dihukum, hukuman itu membuat kita susah hati, bukannya senang hati. Tetapi kemudian, orang yang dihukum untuk menunjukkan kesalahan mereka, akan hidup menurut kehendak Allah dan mengalami kesejahteraan. 12 Oleh itu, kuatkanlah tangan yang lemah dan lutut yang gementar! 13 Berjalanlah sentiasa pada jalan yang lurus, supaya kaki yang tempang itu tidak terkilir, tetapi menjadi sembuh. 14 Berusahalah untuk hidup rukun dengan semua orang. Berusahalah untuk hidup suci, khas bagi Tuhan, kerana tidak seorang pun akan melihat Tuhan jika tidak hidup seperti itu. 15 Pastikanlah supaya tidak ada orang meninggalkan Allah yang merahmati kita. Janganlah sesiapa pun menjadi seperti tanaman pahit, yang menimbulkan pelbagai kesusahan dan mencemari orang dengan bisanya. 16 Janganlah sesiapa pun lakukan perbuatan cabul atau tidak hargai perkara rohani seperti yang dilakukan oleh Esau. Dia menjual haknya sebagai anak sulung, hanya untuk mendapat semangkuk makanan. 17 Kamu tahu bahawa kemudian Esau ingin mendapat berkat daripada bapanya, tetapi dia ditolak. Meskipun dengan tangisan dia cuba mencari jalan untuk memperbaiki apa yang sudah dilakukannya, dia tidak dapat berbuat demikian. 18 Kamu tidak datang untuk menghadapi sesuatu seperti yang dihadapi oleh umat Israel. Mereka datang kepada sesuatu yang dapat disentuh iaitu Gunung Sinai dengan apinya yang bernyala-nyala; mereka datang kepada kegelapan, kekelaman, angin ribut, 19 bunyi trompet, dan suara Allah yang berfirman. Apabila umat Israel mendengar suara itu, mereka dengan sungguh-sungguh berkata bahawa mereka tidak mahu mendengar suara itu lagi. 20 Mereka berkata demikian kerana mereka tidak tahan mendengar perintah yang mengatakan, "Baik manusia ataupun binatang yang menyentuh gunung ini, harus direjam sampai mati.'' 21 Apa yang dilihat oleh umat Israel sedemikian dahsyat sehingga Musa berkata, "Aku takut dan gementar.'' 22 Sebaliknya, kamu telah datang ke Bukit Sion dan ke kota Allah yang hidup, iaitu Yerusalem yang di syurga dengan beribu-ribu malaikatnya. 23 Kamu telah datang ke perhimpunan yang meriah, perhimpunan anak-anak sulung Allah, yang nama mereka terdaftar di syurga. Kamu sudah datang kepada Allah yang menghakimi semua orang, dan kepada roh-roh orang baik yang sudah disempurnakan. 24 Kamu sudah datang kepada Yesus, Pengantara yang mengadakan perjanjian baru itu, dan kepada darah percikan yang menjanjikan perkara-perkara yang jauh lebih baik daripada yang dijanjikan oleh darah Habel. 25 Oleh itu, pastikanlah supaya kamu dengarkan Dia yang berfirman itu. Mereka yang tidak mahu mendengarkan Dia yang datang ke bumi dan menyampaikan berita daripada Allah, tidak dapat menyelamatkan diri. Jika kita meninggalkan Dia yang berfirman dari syurga, pastilah kita tidak akan dapat menyelamatkan diri. 26 Pada masa itu, suara-Nya menggoncangkan bumi. Tetapi sekarang Dia telah berjanji, "Sekali lagi bumi akan Aku goncangkan, dan bukan bumi sahaja tetapi langit juga.'' 27 Kata-kata "sekali lagi'' menunjukkan bahawa seluruh alam yang diciptakan akan digoncangkan dan disingkirkan, supaya apa yang tidak dapat digoncangkan akan tertinggal. 28 Oleh itu, hendaklah kita bersyukur, kerana kita menerima suatu kerajaan yang tidak dapat digoncangkan. Hendaklah kita bersyukur dan menyembah Allah dengan hormat dan takut, menurut cara yang diperkenankan oleh-Nya, 29 kerana Allah kita seperti api yang memusnahkan.

Ibrani 13

1 Sebagai saudara-saudara Kristian, hendaklah kita sentiasa saling mengasihi. 2 Janganlah segan menyambut orang yang belum kamu kenal ke rumah. Pernah orang berbuat demikian dan menyambut malaikat tanpa menyedarinya. 3 Ingatlah akan orang yang di dalam penjara, seolah-olah kamu juga di dalam penjara bersama-sama mereka. Ingatlah akan orang yang menderita, seolah-olah kamu juga menderita seperti mereka. 4 Perkahwinan harus dihormati oleh semua orang. Suami isteri harus setia kepada satu sama lain. Allah akan menghakimi orang yang melakukan perbuatan cabul dan orang yang berzina. 5 Janganlah hidup kamu dikuasai oleh cinta akan wang. Hendaklah kamu puas hati dengan apa yang kamu miliki. Allah sudah berfirman, "Aku tidak akan membiarkan kamu; Aku tidak akan meninggalkan kamu.'' 6 Oleh itu, dengan penuh keyakinan kita berkata, "Tuhan Penolongku, aku tidak akan takut. Apakah yang dapat dilakukan orang terhadap aku?'' 7 Janganlah lupa akan pemimpin-pemimpin kamu yang dahulu menyampaikan perkhabaran Allah kepada kamu. Ingatlah bagaimana mereka hidup dan mati, dan contohilah iman mereka. 8 Yesus Kristus tetap sama, baik dahulu, sekarang, dan selama-lamanya. 9 Janganlah biarkan segala macam ajaran ganjil menyesatkan kamu. Hati kita harus dikuatkan oleh rahmat Allah, bukan oleh ketaatan kepada peraturan tentang makanan. Orang yang mentaati peraturan itu tidak mendapat faedah daripadanya. 10 Imam-imam yang bertugas di Khemah Tuhan tidak berhak untuk mendapat bahagian daripada korban di atas mazbah kita. 11 Imam Agung Yahudi membawa darah binatang ke dalam Bilik Maha Suci untuk mempersembahkannya sebagai korban untuk mengampunkan dosa, tetapi bangkai binatang itu dibakar di luar perkhemahan. 12 Itulah sebabnya Yesus juga mati di luar pintu gerbang kota, untuk menyucikan umat-Nya daripada dosa dengan darah-Nya sendiri. 13 Oleh itu, marilah kita pergi kepada-Nya di luar perkhemahan dan tanggung hinaan bersama-sama Dia. 14 Hal itu demikian, kerana di bumi tidak ada kota yang kekal untuk kita; kita mencari kota yang akan datang. 15 Oleh itu, marilah kita sentiasa persembahkan puji-pujian sebagai korban kepada Allah melalui Yesus. Kata-kata pujian itu persembahan kita, apabila kita mengaku Dia sebagai Tuhan kita. 16 Jangan lupa berbuat baik dan saling menolong, kerana perkara itu seperti korban yang menyenangkan hati Allah. 17 Taatilah pemimpin kamu dan turutlah perintah mereka. Tanpa mengenal lelah mereka memperhatikan kamu, kerana mereka harus bertanggungjawab kepada Allah bagi pelayanan mereka. Jika kamu taat kepada mereka, mereka dapat bekerja dengan sukacita. Jika tidak, mereka akan bekerja dengan dukacita, dan hal ini tidak berfaedah bagi kamu. 18 Teruslah berdoa untuk kami. Kami yakin bahawa hati nurani kami murni, kerana kami selalu ingin melakukan perkara yang benar. 19 Khasnya aku memohon supaya kamu berdoa agar Allah segera menghantar aku kembali kepada kamu. 20 Allah sudah membangkitkan Tuhan kita Yesus daripada kematian. Oleh sebab kematian-Nya itu, Dia sekarang menjadi Gembala Agung kita, domba-domba-Nya. Kematian-Nya juga mengesahkan perjanjian kekal yang dibuat oleh Allah dengan kita. 21 Semoga Allah sumber kesejahteraan itu melengkapi kamu dengan segala perkara baik yang kamu perlukan untuk melakukan kehendak-Nya. Semoga dengan perantaraan Yesus Kristus, Allah melakukan apa yang dikehendaki-Nya dalam hidup kita. Hendaklah Kristus dimuliakan selama-lamanya! Amin. 22 Aku memohon supaya kamu mendengarkan nasihat-nasihat yang menggalakkan dengan sabar, kerana suratku ini tidak terlalu panjang. 23 Aku hendak memberitahu kamu bahawa saudara kita Timotius sudah dibebaskan dari penjara. Jika dia segera ke sini, aku akan melawat kamu bersama-sama dia. 24 Sampaikanlah salam kami kepada semua pemimpin kamu dan semua umat Allah. Terimalah salam daripada saudara-saudara di Italia. 25 Semoga Allah memberkati kamu semua.

Yakobus 1

1 Saudara-saudaraku sesama umat Allah, yang tercerai-cerai di seluruh dunia. Salam daripadaku, Yakobus, hamba Allah dan hamba Tuhan Yesus Kristus. 2 Saudara-saudaraku! Anggaplah diri kamu berbahagia apabila mengalami bermacam-macam cubaan, 3 kerana kamu tahu bahawa semasa kamu mengalami cubaan, dan masih tetap percaya kepada Kristus, kamu sudah membuktikan bahawa kamu tabah menanggung penderitaan. 4 Pastikan supaya ketabahan kamu untuk menanggung penderitaan itu berterusan, sehingga kamu menjadi benar-benar sempurna dan tidak kekurangan sesuatu pun. 5 Jika ada sesiapa antara kamu kurang bijaksana, hendaklah dia berdoa kepada Allah supaya Allah memberikan kebijaksanaan kepadanya; kerana Allah memberikan dengan murah hati dan dengan sukacita kepada setiap orang. 6 Tetapi apabila kamu berdoa, kamu mesti percaya. Kamu tidak boleh ragu-ragu, kerana orang yang ragu-ragu seperti ombak di laut yang diumbang-ambingkan angin. 7 Orang seperti itu tidak tetap pendiriannya dan teragak-agak dalam semua perbuatannya. Oleh itu dia juga tidak dapat mengharapkan apa-apa daripada Tuhan. 9 Orang Kristian yang miskin haruslah gembira apabila Allah meninggikan mereka. 10 Orang Kristian yang kaya haruslah gembira apabila Allah merendahkan mereka, kerana orang kaya akan lenyap seperti bunga rumput. 11 Ketika matahari naik, panas teriknya melayukan tanaman sehingga bunganya gugur dan hilanglah keindahannya. Demikianlah orang kaya akan jatuh miskin semasa mengusahakan perniagaan mereka. 12 Berbahagialah orang yang tabah semasa mengalami cubaan. Apabila mereka berjaya mengatasi cubaan itu, mereka akan menerima pahala berupa kehidupan yang sudah dijanjikan oleh Allah kepada orang yang mengasihi-Nya. 13 Jika seseorang tergoda semasa mengalami cubaan seperti itu, dia tidak boleh berkata, "Godaan ini datangnya daripada Allah.'' Hal ini demikian kerana Allah tidak dapat digoda oleh kejahatan, dan Allah sendiri tidak menggoda orang. 14 Seseorang tergoda apabila dia dipikat dan diperangkap oleh keinginannya sendiri yang jahat. 15 Apabila dia menuruti keinginannya yang jahat itu, maka lahirlah dosa; dan dosa yang berterusan akan mengakibatkan kematian. 16 Janganlah kamu tertipu, saudara-saudara yang aku kasihi! 17 Setiap pemberian yang baik dan sempurna datangnya dari syurga dan diturunkan oleh Allah, Pencipta semua cahaya di langit. Dia Allah yang tidak berubah, dan Dia tidak menyebabkan kegelapan apa pun. 18 Dengan kehendak-Nya sendiri Dia menjadikan kita melalui firman-Nya yang benar. Itulah sebabnya kita mendapat kedudukan yang utama antara semua makhluk ciptaan-Nya. 19 Saudara-saudara yang aku kasihi! Kamu tahu bahawa setiap orang haruslah cepat mendengar, tetapi lambat berkata-kata, dan lambat naik marah. 20 Orang yang marah tidak dapat melakukan perkara baik, yang menyenangkan hati Allah. 21 Oleh itu, buanglah segala kebiasaan buruk dan kelakuan yang jahat. Berserahlah kepada Allah dan terimalah firman yang ditanam-Nya di dalam hati kamu, kerana firman itu dapat menyelamatkan kamu. 22 Janganlah tipu diri sendiri dengan hanya mendengarkan firman-Nya. Sebaliknya, lakukanlah apa yang difirmankan-Nya. 23 Seseorang yang mendengar firman Allah tetapi tidak melakukannya, adalah seperti seorang yang melihat dirinya sendiri di depan cermin. 24 Dia menatap dirinya baik-baik, lalu pergi dan langsung lupa akan rupanya. 25 Berita Baik itu hukum Allah yang sempurna dan dapat membebaskan manusia. Seseorang yang mendalami hukum itu dan melakukannya, akan diberkati Allah dalam segala perkara yang dilakukannya, kerana dia tidak hanya mendengar lalu melupakannya. 26 Adakah sesiapa menganggap dirinya beribadat? Jika dia tidak mengendalikan lidahnya, maka ibadatnya sia-sia dan dia menipu dirinya sendiri. 27 Menurut Allah Bapa, inilah ibadat yang murni dan sejati: Menolong anak yatim piatu dan balu yang mengalami penderitaan, serta menjaga diri supaya tidak dicemari kejahatan di dunia ini.

Yakobus 2

1 Saudara-saudaraku! Sebagai orang yang percaya kepada Tuhan Yesus Kristus, Tuhan kita yang mulia, janganlah beza-bezakan orang berdasarkan hal-hal yang lahir. 2 Andaikan dua orang datang ke pertemuan kamu, yang seorang kaya dan berpakaian indah serta memakai cincin emas; yang seorang lagi miskin dan memakai pakaian buruk. 3 Dengan hormat kamu menyambut orang kaya itu dan berkata kepadanya, "Silakan duduk di tempat yang terbaik ini.'' Tetapi kamu berkata kepada orang miskin itu, "Berdirilah di sana, atau duduk di lantai dekat kakiku.'' 4 Dengan perbuatan itu, kamu membeza-bezakan orang di kalangan kamu dan kamu menilai orang berdasarkan fikiran yang jahat. 5 Ketahuilah, saudara-saudara yang aku kasihi! Allah sudah memilih orang miskin di dunia ini menjadi orang yang kaya dalam iman. Mereka akan menikmati Pemerintahan Allah seperti yang sudah dijanjikan-Nya kepada mereka yang mengasihi Dia. 6 Tetapi kamu menghina orang miskin, padahal orang kayalah yang menindas kamu dan yang menyeret kamu ke hadapan hakim. 7 Merekalah yang menghina nama yang terhormat, yang kamu terima daripada Tuhan. 8 Kamu melakukan apa yang benar jika kamu mengamalkan hukum Pemerintahan Allah yang tertulis di dalam Alkitab, "Kasihilah sesama manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri.'' 9 Tetapi jika kamu memperlakukan orang berdasarkan hal-hal yang lahir, kamu berdosa, dan menurut Taurat, kamu telah melanggar hukum. 10 Sesiapa yang melanggar salah satu perintah Taurat, melanggar seluruh Taurat. 11 Hal ini demikian, kerana Allah yang berfirman, "Janganlah berzina,'' juga berfirman, "Janganlah membunuh.'' Oleh itu, meskipun kamu tidak berzina, tetapi jika kamu membunuh, kamu telah melanggar hukum. 12 Bercakaplah dan bertindaklah sebagai orang yang akan diadili oleh Allah menurut hukum yang membebaskan manusia. 13 Hal itu demikian kerana pada masa Allah menghakimi manusia, Dia tidak akan mengasihani orang yang tidak berbelas kasihan. Tetapi orang yang berbelas kasihan tidak akan dihukum oleh Allah. 14 Saudara-saudaraku! Tidak ada gunanya seorang Kristian berkata, "Saya beriman,'' jika perbuatannya tidak membuktikan imannya. Iman semacam itu tidak dapat menyelamatkan dia. 15 Andaikan seorang saudara lelaki atau saudara perempuan memerlukan pakaian dan tidak mempunyai cukup makanan. 16 Tidak ada gunanya kamu berkata kepadanya, "Allah memberkati kamu! Pakailah baju panas dan makanlah dengan secukupnya!'' -- jika kamu tidak memberikan keperluan sehari-hari kepadanya. 17 Demikian jugalah dengan iman. Jika iman tidak dinyatakan dengan perbuatan, iman itu sia-sia! 18 Mungkin ada yang berkata, "Ada orang yang mempunyai iman, dan ada pula yang mengamalkan perbuatan baik.'' Aku akan menjawab, "Tunjukkanlah seorang yang mempunyai iman tetapi tidak mengamalkan perbuatan baik, lalu dengan perbuatanku yang baik, aku akan menunjukkan bahawa aku beriman.'' 19 Kamu percaya bahawa Allah hanya satu. Bagus! Roh-roh jahat pun percaya akan hal itu dan gementar kerana takut. 20 Alangkah bodohnya kamu! Adakah perlu dibuktikan bahawa iman tanpa perbuatan baik itu sia-sia? 21 Mengapakah Allah berkenan kepada nenek moyang kita Abraham? Allah berkenan kepada Abraham kerana perbuatan Abraham, iaitu mempersembahkan Ishak, anaknya di atas mazbah, sebagai persembahan kepada Allah. 22 Kamu tidak nampakkah bahawa Abraham menunjukkan imannya dengan perbuatannya? Oleh itu, iman Abraham menjadi sempurna. 23 Perkara itu sesuai dengan ayat Alkitab, "Abraham percaya kepada Allah, dan kerana imannya Allah menerima dia sebagai orang yang melakukan kehendak Allah.'' Itulah sebabnya Abraham disebut sahabat Allah. 24 Jelaslah sekarang bahawa Allah berkenan kepada seseorang kerana perbuatan orang itu, dan bukan hanya kerana imannya. 25 Demikian juga halnya dengan Rahab, wanita pelacur itu. Allah berkenan kepada Rahab kerana perbuatannya. Rahab menyambut pengintip-pengintip Israel dan menolong mereka melarikan diri melalui jalan lain. 26 Oleh itu, sebagaimana tubuh tanpa roh adalah tubuh yang mati, demikian juga iman tanpa perbuatan adalah iman yang sia-sia!

Yakobus 3

1 Saudara-saudaraku! Sepatutnya beberapa orang sahaja antara kamu berusaha untuk menjadi guru. Kamu tahu bahawa kita yang menjadi guru akan diadili dengan lebih keras daripada orang lain. 2 Kita semua sering membuat kesalahan. Jika seseorang tidak pernah membuat kesalahan dengan kata-katanya, dia orang yang sempurna. Dia dapat menguasai seluruh dirinya. 3 Kita memasang kekang pada mulut kuda supaya kuda menuruti kehendak kita. Dengan kekang kita dapat mengendalikan kuda. 4 Demikian juga halnya dengan kapal, meskipun besar dan digerakkan oleh angin yang sangat kencang, namun kapal dikendalikan oleh kemudi yang sangat kecil. Kapal bergerak ke arah yang dikehendaki jurumudi. 5 Demikian juga dengan lidah kita, meskipun kecil, tetapi dapat menyombongkan perkara-perkara yang besar. Bayangkan betapa luasnya hutan yang dapat dibakar oleh api yang sangat kecil! 6 Lidah seperti api. Pada diri kita, lidah seperti dunia yang dikuasai kejahatan, dan menyebarkan kejahatan ke seluruh diri kita. Lidah menghanguskan seluruh hidup kita dengan api yang berasal dari neraka. 7 Manusia dapat menjinakkan dan memang sudah menjinakkan semua makhluk lain -- binatang buas, burung, binatang menjalar, dan ikan. 8 Tetapi tidak seorang pun dapat menjinakkan lidah manusia. Lidah itu jahat dan tidak dapat dikuasai, serta penuh dengan racun yang mematikan. 9 Kita menggunakan lidah untuk mengucapkan syukur kepada Tuhan dan Bapa kita, tetapi juga untuk mengutuk sesama manusia, yang sudah diciptakan menurut rupa Allah. 10 Ucapan syukur dan kata-kata kutukan keluar dari mulut yang sama. Saudara-saudaraku, perkara ini tidak seharusnya berlaku! 11 Tidak ada mata air yang mengeluarkan air tawar dan air pahit dari sumber yang sama. 12 Saudara-saudaraku, pokok ara tidak dapat menghasilkan buah zaitun, dan pokok anggur tidak dapat menghasilkan buah ara. Mata air yang masin, juga tidak dapat mengeluarkan air tawar. 13 Adakah antara kamu seorang yang bijak dan pandai? Dia harus membuktikannya dengan kelakuannya yang baik, dan melalui kebajikan yang diamalkannya dengan kerendahan hati dan kebijaksanaan. 14 Tetapi jika kamu sangat iri hati dan mementingkan diri sendiri, janganlah berdosa terhadap berita benar daripada Allah, dengan bercakap besar tentang kebijaksanaan kamu. 15 Kebijaksanaan semacam itu tidak datang dari syurga, tetapi berasal dari dunia, daripada tabiat manusia yang berdosa dan daripada roh jahat! 16 Apabila orang iri hati dan mementingkan diri sendiri, maka akan berlakulah kekacauan dan segala macam kejahatan. 17 Tetapi orang yang mempunyai kebijaksanaan yang datang dari syurga, pertama sekali murni, suka akan kedamaian, lemah lembut, dan ramah tamah. Mereka berbelas kasihan dan mengamalkan segala macam perbuatan baik. Mereka tidak berat sebelah ataupun munafik. 18 Kebaikan adalah hasil daripada benih kedamaian yang ditanam oleh orang yang suka akan kedamaian.

Yakobus 4

1 Dari manakah datangnya semua perkelahian dan pertengkaran yang berlaku antara kamu? Semua itu berasal daripada keghairahan untuk kesenangan hidup, yang sentiasa bertentangan dalam diri kamu. 2 Kamu mengingini sesuatu, tetapi tidak mendapatnya, maka kamu mahu membunuh. Kamu sangat menghendaki sesuatu, tetapi tidak dapat memperolehnya, maka kamu bertengkar dan berkelahi. Kamu tidak mendapat apa yang kamu ingini, kerana kamu tidak memintanya daripada Allah. 3 Apabila kamu memintanya, kamu tidak mendapatnya, kerana tujuan kamu jahat. Apa yang kamu minta itu untuk kesenangan diri sendiri. 4 Kamu orang yang tidak setia! Kamu tahu bahawa orang yang bersahabat dengan dunia menjadi musuh Allah. Oleh itu, sesiapa yang mahu bersahabat dengan dunia, menjadi musuh Allah. 5 Janganlah anggap ringan ayat Alkitab ini, "Roh yang penuh dengan keinginan keras, ditempatkan oleh Allah dalam diri kita.'' 6 Meskipun demikian, rahmat yang diberikan oleh Allah lebih kuat. Itulah sebabnya di dalam Alkitab tertulis, "Allah menentang orang sombong, tetapi Dia merahmati orang yang rendah hati.'' 7 Oleh itu, taatlah kepada Allah. Lawanlah Iblis, maka Iblis akan lari daripada kamu. 8 Hampirilah Allah, dan Allah pun akan menghampiri kamu. Basuhlah tangan kamu, hai kamu yang berdosa! Sucikanlah hati kamu, hai kamu yang munafik! 9 Hendaklah kamu menyesal, menangis, dan meratap! Hendaklah ketawa kamu menjadi tangisan dan kegembiraan kamu menjadi kedukaan! 10 Hendaklah kamu merendahkan diri di hadapan Tuhan, maka Dia akan meninggikan kamu. 11 Saudara-saudaraku, janganlah saling mengecam. Sesiapa mengecam atau menghakimi saudara seiman, orang itu mengecam dan menghakimi Taurat. Jika dia menghakimi Taurat, maka dia tidak lagi mentaati Taurat, tetapi menghakiminya. 12 Hanya Allah yang berhak membuat hukum dan menghakimi manusia. Hanya Dialah yang dapat menyelamatkan ataupun membinasakan orang. Tetapi siapakah kamu sehingga mahu menghakimi sesama manusia? 13 Sekarang dengarlah nasihatku, hai kamu yang berkata, "Hari ini atau esok kami akan berangkat ke suatu negeri dan tinggal di sana selama setahun untuk berniaga dan mencari wang.'' 14 Tetapi apa yang akan berlaku dengan kehidupan kamu esok, kamu tidak tahu! Kamu seperti kepulan asap, yang kelihatan sebentar sahaja lalu lenyap. 15 Kamu seharusnya berkata begini, "Jika diperkenankan Tuhan, kami akan hidup dan melakukan ini atau itu.'' 16 Tetapi sekarang kamu sombong dan bercakap besar. Bercakap besar seperti itu salah. 17 Oleh itu, seseorang yang tidak melakukan apa yang baik dan yang harus dilakukan, orang itu berdosa.

Yakobus 5

1 Dengarlah nasihatku, hai orang kaya! Hendaklah kamu menangis dan meratap, kerana kesengsaraan akan menimpa kamu! 2 Kekayaan kamu akan lenyap dan pakaian kamu akan dimakan gegat. 3 Emas dan perak kamu akan berkarat; karatnya akan menjadi saksi untuk menuduh kamu dan akan membakar habis badan kamu seperti api. Kamu telah menimbun harta di dunia ini yang segera akan berakhir. 4 Kamu tidak membayar upah orang yang bekerja di ladang kamu. Dengarkanlah sungutan mereka! Orang yang menuai hasil ladang kamu berseru minta tolong dan seruan mereka sudah sampai ke telinga Allah, Tuhan Yang Maha Kuasa. 5 Hidup kamu di dunia ini penuh dengan kemewahan dan kesenangan. Kamu seolah-olah menggemukkan diri untuk hari penyembelihan. 6 Kamu menghukum dan membunuh orang yang tidak bersalah, dan mereka tidak melawan kamu. 7 Oleh itu, saudara-saudaraku, bersabarlah sehingga Tuhan datang. Lihatlah betapa sabarnya seorang peladang menunggu tanahnya mengeluarkan hasil yang berharga. Dengan sabar dia menunggu hujan musim luruh dan hujan musim bunga. 8 Kamu juga mesti bersabar. Teguhkanlah hati kamu, kerana hari kedatangan Tuhan sudah dekat. 9 Saudara-saudaraku, janganlah saling bersungut-sungut, supaya kamu tidak dihakimi oleh Allah. Hakim sudah dekat dan segera datang. 10 Saudara-saudaraku, ingatlah akan nabi-nabi yang bersabda demi nama Tuhan. Contohilah kesabaran dan ketabahan mereka pada masa menanggung penderitaan. 11 Kami menyebut mereka berbahagia kerana mereka tabah menanggung penderitaan. Kamu telah mendengar kisah tentang kesabaran Ayub, dan kamu tahu bagaimana Tuhan memberkati dia pada akhirnya. Hal itu berlaku kerana Tuhan berbelas kasihan dan baik hati. 12 Saudara-saudaraku, hal ini penting sekali: janganlah bersumpah apabila membuat janji. Janganlah bersumpah demi langit atau bumi, ataupun apa sahaja. Katakanlah "Ya'' apabila maksudmu ya, dan "Tidak'' apabila maksudmu tidak. Dengan demikian kamu tidak akan dihukum oleh Allah. 13 Adakah sesiapa antara kamu sedang mengalami kesusahan? Hendaklah dia berdoa. Adakah sesiapa yang bersukacita? Hendaklah dia menyanyikan lagu pujian kepada Allah. 14 Adakah sesiapa yang sakit? Hendaklah dia memanggil pemimpin-pemimpin jemaah, supaya mereka berdoa baginya dan menyapukan minyak zaitun padanya demi nama Tuhan. 15 Doa yang diucapkan dengan iman, akan menyembuhkan orang sakit itu. Tuhan akan memulihkan kesihatannya dan dosa yang sudah dilakukannya akan diampunkan. 16 Oleh itu, hendaklah kamu saling mengakui kesalahan dan berdoa bagi satu sama lain, supaya kamu disembuhkan. Doa orang yang melakukan kehendak Allah mempunyai kuasa yang besar. 17 Elia pun orang biasa seperti kita. Dia berdoa dengan tekun supaya hujan tidak turun, dan hujan pun tidak turun selama tiga tahun setengah. 18 Kemudian dia berdoa lagi, lalu langit mencurahkan hujan dan tanah mengeluarkan hasilnya. 19 Saudara-saudaraku, jika seorang antara kamu sesat, lalu yang lain memimpin dia kembali kepada Allah, 20 ingatlah ayat ini: Sesiapa memimpin seorang berdosa berbalik dari jalan yang salah, orang itu menyelamatkan jiwa orang berdosa itu daripada kematian dan menyebabkan banyak dosa diampunkan.

1 Petrus 1

1 Surat ini daripada Petrus, rasul Yesus Kristus dan ditujukan kepada umat pilihan Allah, yang tinggal sebagai orang pelarian yang tercerai-cerai di seluruh daerah Pontus, Galatia, Kapadokia, Asia, dan Bitinia. 2 Kamu dipilih sesuai dengan rancangan Allah Bapa, dan dijadikan umat-Nya yang suci oleh Roh Allah, supaya kamu taat kepada Yesus Kristus dan disucikan oleh darah-Nya. Semoga Allah mengurniai kamu berkat dan kesejahteraan dengan berlimpah-limpah. 3 Marilah kita bersyukur kepada Allah, Bapa Tuhan kita Yesus Kristus! Kerana Dia sangat mengasihani kita, Dia mengurniai kita hidup yang baru, dengan membangkitkan Yesus Kristus daripada kematian. Hal ini memberikan harapan yang kukuh kepada kita. 4 Oleh itu, kita berharap untuk memiliki berkat-berkat yang disediakan oleh Allah bagi umat-Nya. Berkat-berkat itu disimpan-Nya di syurga, supaya tidak dapat rosak, reput, ataupun musnah. 5 Berkat-berkat itu untuk kamu kerana kamu percaya kepada Allah. Oleh itu kamu dipelihara oleh kuasa Allah supaya kamu menerima penyelamatan yang siap dinyatakan pada akhir zaman. 6 Oleh itu hendaklah kamu bersukacita, meskipun sekarang mungkin kamu harus berdukacita untuk sementara waktu kerana mengalami berbagai-bagai cubaan. 7 Semuanya bertujuan untuk membuktikan sama ada kamu sungguh-sungguh percaya kepada Tuhan atau tidak. Emas yang dapat rosak pun diuji dengan api. Oleh itu, iman kamu yang lebih berharga daripada emas pun harus diuji, supaya menjadi teguh. Dengan demikian, apabila Yesus Kristus datang kembali, kamu akan menerima pujian, kemuliaan, dan penghormatan daripada Allah. 8 Kamu mengasihi Dia meskipun kamu belum pernah melihat Dia. Kamu percaya kepada-Nya meskipun sekarang kamu tidak melihat Dia. Oleh itu, kegembiraan yang kamu alami itu sungguh besar, mulia, dan tidak terkata. 9 Hal itu demikian kerana kamu menerima penyelamatan jiwa kamu, iaitu tujuan kepercayaan kamu kepada Kristus. 10 Penyelamatan inilah yang dikaji dan diselidiki oleh para nabi, dan mereka bernubuat tentang anugerah yang dikurniakan oleh Allah kepada kamu. 11 Roh Kristus ada pada diri para nabi, dan Roh itu bernubuat tentang penderitaan yang harus ditanggung oleh Kristus, dan tentang kemuliaan-Nya yang akan menyusul. Para nabi berusaha mengetahui masa dan bagaimana hal itu akan berlaku. 12 Allah memberitahu nabi-nabi itu bahawa apa yang dilakukan mereka bukanlah untuk kepentingan mereka sendiri, tetapi untuk kepentingan kamu. Perkara-perkara yang disampaikan oleh nabi-nabi itu, sekarang telah kamu dengar daripada mereka yang menyampaikan Berita Baik itu. Mereka mengisytiharkannya kepada kamu dengan kuasa Roh Allah yang dikirim dari syurga. Bahkan malaikat-malaikat pun ingin memahami semua perkara itu. 13 Oleh itu, hendaklah kamu bersiap sedia. Berwaspadalah dan berharaplah dengan sepenuhnya akan berkat yang diberikan kepada kamu apabila Yesus Kristus datang kembali. 14 Taatlah kepada Allah, dan jangan hidup menurut keinginan kamu yang dahulu, ketika kamu masih belum mengenal Allah. 15 Sebaliknya, hendaklah kamu suci dalam segala sesuatu yang kamu lakukan, sebagaimana Allah yang memanggil kamu itu suci. 16 Di dalam Alkitab tertulis, "Hendaklah kamu suci, kerana Aku suci.'' 17 Kamu memanggil Allah itu Bapa, apabila kamu berdoa kepada-Nya. Dia Allah yang menghakimi manusia menurut perbuatan masing-masing dan Dia tidak berat sebelah. Oleh itu hendaklah kamu menghormati Dia selama kamu hidup di dunia. 18 Kamu mengetahui apa yang telah dibayarkan untuk membebaskan kamu daripada kehidupan sia-sia yang kamu warisi daripada nenek moyang kamu. Bayarannya bukanlah sesuatu yang dapat dimusnahkan seperti perak atau emas, 19 tetapi korban yang sangat berharga, iaitu Kristus sendiri, yang menjadi seperti domba yang tidak bercacat cela. 20 Dia dipilih oleh Allah sebelum dunia ini diciptakan. Oleh itu menjelang akhir zaman ini, Dia datang untuk menyelamatkan kamu. 21 Melalui Dialah kamu percaya kepada Allah, yang sudah membangkitkan Dia daripada kematian dan memuliakan-Nya. Oleh itu, sekarang kamu percaya kepada Allah dan berharap kepada-Nya dengan sepenuhnya. 22 Kerana kamu mentaati ajaran benar daripada Allah, 23 Melalui firman Allah yang hidup dan kekal, kamu sudah dilahirkan kembali, bukan oleh manusia, tetapi oleh Bapa yang kekal. 24 Di dalam Alkitab tertulis, "Umat manusia bagaikan rumput, dan segala kemuliaan mereka seperti bunga rumput. Rumput layu, bunga pun gugur; 25 tetapi firman Tuhan kekal selama-lamanya.'' Firman itu Berita Baik yang diisytiharkan kepada kamu.

1 Petrus 2

1 Oleh itu, buanglah segala kejahatan daripada diri kamu. Janganlah berdusta lagi dan janganlah berpura-pura. Janganlah iri hati dan janganlah fitnah orang. 2 Hendaklah kamu menjadi seperti bayi yang baru lahir, yang sentiasa haus akan susu rohani yang murni. Dengan meminumnya kamu akan membesar dan diselamatkan. 3 Di dalam Alkitab tertulis, "Kamu sendiri sudah mengalami kebaikan Tuhan.'' 4 Datanglah kepada Tuhan. Dia bagaikan batu yang hidup, batu yang dibuang oleh manusia kerana dianggap tidak berguna, tetapi yang dipilih oleh Allah kerana dianggap berharga. 5 Hendaklah kamu datang kepada-Nya sebagai batu-batu yang hidup. Biarlah kamu digunakan untuk membina rumah Allah yang rohani. Dengan demikian kamu menjadi imam yang hidup khas untuk Allah dan yang mempersembahkan korban rohani yang berkenan kepada Allah, melalui Yesus Kristus. 6 Hal itu demikian kerana di dalam Alkitab tertulis, "Aku telah memilih suatu batu berharga, yang Aku tempatkan di Sion sebagai batu asas; dan sesiapa yang percaya kepada-Nya tidak akan dikecewakan.'' 7 Batu ini sangat berharga bagi kamu yang percaya. Tetapi bagi orang yang tidak percaya, "Batu yang dibuang oleh pembina bangunan telah menjadi batu yang paling utama.'' 8 Di dalam Alkitab juga tertulis ayat ini, "Inilah batu yang akan menyebabkan orang tersandung, batu yang akan menyebabkan mereka jatuh.'' Mereka tersandung kerana mereka tidak percaya kepada firman itu. Demikianlah kehendak Allah bagi mereka. 9 Tetapi kamu bangsa yang terpilih, imam-imam yang mengabdikan diri kepada Raja, bangsa yang suci, umat Allah sendiri. Allah memilih kamu untuk mengisytiharkan perbuatan-Nya yang luar biasa. Allah sudah memanggil kamu keluar daripada kegelapan supaya masuk ke dalam cahaya-Nya yang gemilang. 10 Dahulu kamu bukan umat Allah, tetapi sekarang kamu umat Allah. Dahulu kamu tidak mengenal rahmat Allah, tetapi sekarang kamu sudah menerima rahmat-Nya. 11 Sahabat-sahabatku, kamu seperti orang asing dan orang pelarian di dunia ini! Oleh itu, aku menggesa kamu supaya tidak menuruti hawa nafsu manusia, yang sentiasa berlawanan dengan jiwa. 12 Kelakuan kamu antara orang yang tidak mengenal Allah, hendaklah begitu baik sehingga apabila mereka menuduh kamu sebagai orang jahat, mereka terpaksa mengakui perbuatan kamu yang baik, dan memuji Allah pada hari Allah datang untuk menghukum orang. 13 Demi Tuhan, hendaklah kamu taat kepada pemerintah, baik kepada Kaisar yang menjadi penguasa yang terutama, 14 mahupun kepada gabenor yang dilantik oleh Kaisar untuk menghukum orang jahat, dan untuk memuji orang yang berbuat baik. 15 Allah mahu kamu melakukan perbuatan baik supaya orang yang bercakap bodoh tidak berpeluang memfitnah kamu. 16 Hiduplah sebagai orang bebas, tetapi jangan gunakan kebebasan kamu untuk menutupi kejahatan, melainkan hiduplah sebagai abdi Allah. 17 Hormatilah semua orang, kasihilah sesama saudara seiman, takutlah akan Allah, dan hormatilah Kaisar. 18 Hamba, taatlah kepada tuan kamu, dan hormati mereka dengan sepenuhnya, bukan sahaja mereka yang baik hati dan bertimbang rasa, tetapi juga mereka yang kejam. 19 Allah akan memberkati kamu, jika kamu dengan tabah menanggung perlakuan yang tidak adil kerana kamu tahu akan kehendak Allah. 20 Apakah keistimewaannya, jika kamu menanggung hukuman yang memang harus kamu tanggung kerana bersalah? Tetapi jika kamu tabah menanggung penderitaan apabila dihukum kerana melakukan yang benar, Allah akan memberkati kamu. 21 Untuk hal inilah Allah memanggil kamu, kerana Kristus sendiri sudah menanggung penderitaan untuk kamu, dan memberi kamu satu teladan, supaya kamu mengikut jejak-Nya. 22 Dia tidak pernah berdosa dan sesiapa pun tidak pernah mendengar Dia berdusta. 23 Apabila Dia dicerca, Dia tidak membalas dengan cercaan. Pada waktu Dia menanggung penderitaan, Dia tidak mengancam orang, tetapi Dia mempercayakan diri kepada Allah, Hakim yang adil itu. 24 Kristus sendiri memikul dosa kita pada tubuh-Nya di kayu salib, supaya kita bebas daripada kuasa dosa, lalu hidup menurut kehendak Allah. Luka-luka Kristuslah yang menyembuhkan kamu. 25 Dahulu kamu seperti domba yang sesat, tetapi sekarang kamu telah dibawa pulang untuk mengikut Gembala dan Pemelihara jiwa kamu.

1 Petrus 3

1 Demikian juga kamu, isteri-isteri harus taat kepada suami, supaya jika ada antara suami kamu yang tidak percaya kepada firman Allah, kelakuan kamu akan menyebabkan mereka menjadi percaya. Kamu tidak perlu mengatakan apa-apa kepada mereka, 2 kerana mereka boleh melihat kelakuan kamu yang murni dan penuh hormat. 3 Janganlah kecantikan kamu bergantung kepada hiasan rambut, barang kemas, ataupun pakaian yang mahal-mahal. 4 Sebaliknya, hendaklah kecantikan kamu terdiri daripada batin yang murni, budi pekerti yang lembut, dan tenang. Itulah kecantikan abadi yang sangat berharga di sisi Allah. 5 Pada zaman dahulu, wanita salih yang mempercayakan diri kepada Allah mempercantik diri dengan ketaatan kepada suami mereka. 6 Sara pun demikian juga; dia taat kepada Abraham dan menyebut dia tuannya. Kamu sekarang anak-anak Sara, jika kamu melakukan perkara yang baik dan tidak takut akan apa pun. 7 Demikian juga kamu, suami-suami harus hidup dengan isteri kamu dengan penuh pengertian, dan sedar bahawa mereka itu kaum yang lebih lemah. Perlakukanlah mereka dengan hormat, kerana mereka bersama-sama kamu, akan menerima anugerah hidup sejati dan kekal daripada Allah. Berbuatlah demikian supaya tiada sesuatu pun menghalangi doa kamu. 8 Inilah kesimpulannya: Hendaklah kamu semua seia sekata dan seperasaan. Hendaklah kamu saling mengasihi seperti orang yang bersaudara, dan hendaklah kamu saling berbelas kasihan dan bersikap rendah hati. 9 Janganlah balas kejahatan dengan kejahatan, atau cercaan dengan cercaan; sebaliknya balaslah kejahatan dengan berkat daripada Allah. Kamu harus berbuat demikian kerana Allah menjanjikan berkat, ketika Dia memanggil kamu. 10 Di dalam Alkitab tertulis, "Sesiapa yang hendak menikmati hidup dan yang ingin mengalami masa yang baik, tidak boleh memfitnah orang dan tidak boleh berdusta. 11 Dia tidak boleh melakukan kejahatan lagi, tetapi berbuat baik; dia harus berusaha dengan sungguh-sungguh untuk mendapat perdamaian. 12 Berbuatlah demikian, kerana Tuhan sentiasa memperhatikan orang yang melakukan kehendak-Nya, Dia sentiasa mendengarkan doa mereka; tetapi Tuhan menentang orang yang melakukan kejahatan.'' 13 Siapakah akan menyusahkan kamu jika kamu ingin sekali berbuat baik? 14 Tetapi meskipun kamu harus menanggung penderitaan kerana melakukan perkara yang baik, kamu berbahagia! Janganlah takut akan sesiapa pun dan janganlah khuatir. 15 Tetapi dengan tulus hormatilah Kristus sebagai Tuhan dalam hidup kamu. Hendaklah kamu sentiasa bersedia memberikan jawapan kepada sesiapa sahaja yang meminta kamu menjelaskan harapan yang kamu miliki. 16 Tetapi lakukanlah hal itu dengan lemah lembut dan hormat. Hendaklah hati nurani kamu murni, supaya apabila kamu difitnah kerana hidup dengan baik sebagai pengikut Kristus, orang yang memfitnah kamu itu akan menjadi malu. 17 Lebih baik menanggung penderitaan kerana berbuat baik, jika hal itu memang kehendak Allah, daripada menanggung penderitaan kerana berbuat jahat. 18 Hal itu demikian kerana Kristus sendiri mati sekali sahaja dan untuk selama-lamanya, supaya dosa kita diampunkan. Dia tidak bersalah tetapi mati untuk orang yang bersalah, supaya Dia boleh memimpin kamu kepada Allah. Dia dibunuh dalam keadaan jasmani, tetapi dihidupkan semula dalam keadaan rohani. 19 Dalam keadaan roh Dia pergi mengisytiharkan berita daripada Allah kepada roh-roh yang dipenjarakan, 20 iaitu roh-roh orang yang tidak taat kepada Allah ketika Allah menantikan mereka dengan sabar pada masa Nuh membina bahteranya. Hanya lapan orang di bahtera itu, dan mereka diselamatkan oleh air bah itu. 21 Air bah itu melambangkan baptisan yang sekarang ini menyelamatkan kamu. Baptisan ini bukanlah pembasuhan kotoran daripada tubuh, tetapi janji kamu kepada Allah daripada hati nurani yang baik. Baptisan ini menyelamatkan kamu kerana Yesus Kristus sudah bangkit daripada kematian, 22 dan sudah naik ke syurga. Sekarang Dia di sebelah kanan Allah dan memerintah semua malaikat, penguasa, dan pemerintah di langit.

1 Petrus 4

1 Kerana Kristus sudah menanggung penderitaan secara jasmani, kamu juga mesti menguatkan diri dengan pendirian seperti itu. Hal ini demikian kerana sesiapa yang menanggung penderitaan secara jasmani, tidak lagi berbuat dosa. 2 Oleh itu, selama kamu hidup di dunia ini, kamu mesti dikuasai oleh kehendak Allah dan bukan oleh keinginan manusia. 3 Pada masa lampau, kamu sudah cukup lama melakukan apa yang suka dilakukan oleh orang yang tidak mengenal Allah. Hidup kamu tidak senonoh. Kamu menuruti hawa nafsu, bersifat pemabuk, berpesta liar, minum minuman keras dengan berlebih-lebihan, dan menyembah berhala yang menjijikkan. 4 Sekarang orang yang tidak mengenal Allah hairan apabila kamu tidak mengikut cara hidup mereka yang jahat itu. Itulah sebabnya mereka menghina kamu. 5 Tetapi mereka harus mempertanggungjawabkan hidup mereka kepada Allah yang siap menghakimi orang hidup dan orang mati. 6 Itulah sebabnya Berita Baik sudah diisytiharkan juga kepada orang mati, supaya mereka yang telah diadili dalam keadaan jasmani -- seperti halnya semua orang akan diadili -- dapat hidup secara rohani menurut kehendak Allah. 7 Tidak lama lagi segala sesuatu akan berakhir. Oleh itu, kamu harus mengawal diri dan berwaspada, supaya kamu dapat berdoa. 8 Inilah perkara yang terpenting: Kamu harus saling mengasihi dengan sepenuh hati, kerana jika kamu saling mengasihi, kamu juga bersedia untuk saling mengampuni. 9 Hendaklah kamu saling menyambut saudara seiman di rumah tanpa bersungut-sungut. 10 Setiap orang daripada kamu sudah menerima kurnia yang berlainan daripada Allah. Oleh itu sebagai pengurus yang baik bagi kurnia Allah, kamu mesti menggunakan kurnia-kurnia itu untuk kepentingan semua orang. 11 Sesiapa yang menyampaikan perkhabaran, harus menyampaikan perkhabaran daripada Allah. Sesiapa yang memberikan pertolongan kepada orang lain, harus melakukannya dengan kekuatan yang diberikan oleh Allah, supaya dalam segala hal Allah dimuliakan melalui Yesus Kristus. Kristuslah yang memiliki kemuliaan dan kekuasaan selama-lamanya. Amin. 12 Sahabat-sahabat yang aku kasihi! Kamu sekarang menanggung penderitaan yang berat kerana kamu sedang diuji. Janganlah hairan dan janganlah anggap perkara itu luar biasa. 13 Sebaliknya, bersyukurlah kerana kamu turut menanggung penderitaan bersama-sama Kristus. Dengan demikian kamu akan bersukacita, apabila kemuliaan Kristus dinyatakan kelak. 14 Berbahagialah kamu jika kamu dihina kerana kamu pengikut Kristus. Hal ini bererti bahawa Roh yang mulia, iaitu Roh Allah ada pada kamu. 15 Janganlah seorang pun antara kamu menanggung penderitaan kerana dia pembunuh, atau pencuri, atau penjahat, atau kerana dia mencampuri urusan orang lain. 16 Tetapi jika kamu menanggung penderitaan oleh sebab kamu orang Kristian, janganlah malu kerananya. Bersyukurlah kepada Allah, kerana kamu pengikut Kristus. 17 Tibalah saatnya Allah mengadili dunia. Mula-mula Dia akan mengadili umat-Nya sendiri. Jika kita yang mula-mula diadili, betapa dahsyatnya kesudahan orang yang tidak percaya kepada Berita Baik daripada Allah! 18 Di dalam Alkitab tertulis, "Jika orang baik pun susah diselamatkan, apa yang akan berlaku kepada orang berdosa yang tidak mengenal Allah?'' 19 Oleh itu, orang yang menanggung penderitaan kerana hal itu kehendak Allah, harus berbuat baik dan berserah kepada Pencipta mereka, yang sentiasa menepati janji-Nya.

1 Petrus 5

1 Aku meminta perhatian pemimpin-pemimpin jemaah di kalangan kamu. Aku juga pemimpin jemaah dan aku sudah menyaksikan penderitaan Kristus. Aku akan turut dimuliakan apabila kemuliaan Kristus dinyatakan kepada manusia. Aku menggesa kamu 2 supaya kamu menjaga jemaah yang diberikan oleh Allah kepada kamu, seperti gembala menjaga kawanan domba. Jagalah jemaah dengan senang hati sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah. Janganlah lakukan tugas itu dengan berat hati. Jangan lakukan pekerjaan kamu hanya untuk mendapat upah, tetapi lakukannya kerana kamu sungguh-sungguh ingin melakukannya. 3 Janganlah bertindak sebagai penguasa terhadap orang yang dipercayakan kepada kamu, tetapi jadilah teladan kepada mereka. 4 Apabila Gembala Agung itu datang kelak, kamu akan menerima mahkota yang mulia dan kekal. 5 Demikian juga kamu, orang muda, hendaklah kamu taat kepada orang yang lebih tua. Hendaklah kamu semua merendahkan diri dan saling melayani, kerana di dalam Alkitab tertulis, "Allah menentang orang yang sombong, tetapi Dia merahmati orang yang rendah hati.'' 6 Oleh itu, rendahkanlah diri kamu ke bawah tangan Allah yang berkuasa, supaya Dia meninggikan kamu pada masa yang ditetapkan-Nya. 7 Serahkanlah segala kekhuatiran kamu kepada Allah, kerana Dia mengambil berat tentang kamu. 8 Berjaga-jagalah dan berwaspadalah, kerana Iblis, musuh kamu merayau-rayau seperti singa yang mengaum sambil mencari mangsa. 9 Teguhkanlah iman dan lawanlah Iblis, kerana kamu tahu bahawa saudara-saudara sesama Kristian lainnya di seluruh dunia, juga mengalami penderitaan yang sama. 10 Tetapi setelah kamu menanggung penderitaan untuk sementara waktu, Allah sendiri akan menyempurnakan kamu. Dia akan menegakkan, menguatkan, dan mengukuhkan kamu, kerana Dia Allah yang sangat baik hati dan yang sudah memanggil kamu untuk turut menikmati kemuliaan-Nya yang kekal, kerana kamu hidup bersatu dengan Kristus. 11 Dialah yang berkuasa selama-lamanya! Amin. 12 Suratku yang ringkas ini aku tulis kepada kamu dengan pertolongan Silas, yang aku anggap sebagai seorang saudara Kristian yang setia. Aku ingin menggalakkan kamu dan memberikan kesaksianku bahawa apa yang aku tulis ini berkenaan dengan rahmat Allah untuk kamu. Hendaklah kamu sentiasa bersandar kepada rahmat-Nya. 13 Jemaah di Babel yang juga dipilih oleh Allah, mengirim salam kepada kamu, demikian juga anakku Markus. 14 Bersalam-salamanlah dengan penuh kasih sayang. Semoga Allah mengurniakan kesejahteraan kepada kamu semua yang menjadi milik Kristus.

2 Petrus 1

1 Surat ini daripada Simon Petrus, hamba dan rasul Yesus Kristus. Surat ini ditujukan kepada mereka yang percaya kepada Kristus seperti kami juga. Yesus Kristus, iaitu Allah dan Penyelamat kita memungkinkan kita percaya kepada-Nya, kerana Dia melakukan yang adil. 2 Semoga Allah mengurniai kamu berkat dan kesejahteraan yang berlimpah-limpah, kerana kamu mengenal Allah dan Yesus, Tuhan kita. 3 Dengan kuasa-Nya sendiri, Allah sudah mengurniai kita segala sesuatu yang diperlukan untuk hidup salih. Dia melakukan hal ini melalui apa yang kita ketahui tentang Allah yang telah memanggil kita untuk menikmati kemuliaan dan kebaikan-Nya sendiri. 4 Dengan cara ini Dia telah mengurniai kita berkat-berkat yang sangat baik dan berharga yang dijanjikan-Nya. Dengan berkat-berkat itu kamu terlepas daripada keinginan jahat yang membinasakan, yang terdapat di dunia ini, dan kamu menerima sifat Allah sendiri. 5 Oleh itu, berusahalah sebaik-baiknya supaya kamu tetap percaya kepada Kristus, mengamalkan hidup yang baik, dan juga mengetahui kehendak Allah. 6 Di samping itu kamu harus dapat mengawal diri, bertabah hati ketika menghadapi segala sesuatu, dan kamu juga mesti hidup salih. 7 Hendaklah kamu menyayangi saudara seiman dan mengasihi semua orang. 8 Semua itu sifat yang kamu perlukan, dan jika kamu memilikinya dengan berlimpah-limpah, hidup kamu akan bermakna dan berguna serta lebih mengenal Yesus Kristus Tuhan kita dengan baik. 9 Tetapi sesiapa yang tidak mempunyai sifat-sifat baik itu, pandangannya picik. Dia tidak dapat melihat dan dia lupa bahawa dosa-dosanya yang lampau sudah dihapuskan. 10 Oleh itu, saudara-saudaraku, berusahalah lebih keras lagi supaya panggilan Allah dan pilihan-Nya atas diri kamu itu menjadi suatu pengalaman yang kekal. Jika kamu berbuat demikian, kamu tidak akan membuang iman. 11 Dengan cara ini, kamu akan diberikan hak sepenuhnya untuk menikmati Pemerintahan kekal daripada Tuhan dan Penyelamat kita Yesus Kristus. 12 Oleh itu, aku akan sentiasa mengingatkan kamu tentang perkara-perkara ini, meskipun kamu sudah mengetahuinya dan sungguh-sungguh percaya kepada ajaran Allah yang sudah kamu terima itu. 13 Selama aku masih hidup, aku wajib mengingatkan kamu tentang perkara-perkara itu. 14 Aku tahu bahawa tidak lama lagi aku akan meninggalkan dunia ini, kerana Tuhan kita Yesus Kristus telah memberitahu aku dengan jelas. 15 Oleh itu aku akan berusaha sebaik-baiknya supaya setelah aku meninggal pun, kamu sentiasa ingat akan perkara-perkara ini. 16 Semasa kami memberitahu kamu tentang Tuhan kita Yesus Kristus yang akan datang dengan penuh kuasa, kami tidak bergantung kepada dongeng yang direka-reka manusia. Dengan mata kepala sendiri kami melihat kemuliaan Kristus. 17 Kami di sana ketika Dia dihormati dan dimuliakan oleh Allah Bapa. Pada waktu itu terdengar suara daripada Yang Maha Mulia berfirman kepada-Nya, "Inilah Anak-Ku yang Aku kasihi. Dia menyenangkan hati-Ku!'' 18 Kami sendiri mendengar suara itu datang dari syurga ketika kami bersama-sama Dia di atas gunung yang suci itu. 19 Oleh itu kami lebih yakin lagi akan perkhabaran yang diisytiharkan oleh nabi-nabi. Sebaiknya kamu perhatikan perkhabaran itu, kerana perkhabaran itu seperti pelita yang bersinar di tempat gelap sehingga fajar menyingsing, dan cahaya bintang fajar bersinar di dalam hati kamu. 20 Tetapi hal terutama inilah yang harus kamu ingat: Tidak seorang pun dapat mentafsirkan nubuat di dalam Alkitab menurut pendapat sendiri. 21 Hal itu demikian kerana tidak ada nubuat yang disampaikan oleh para nabi, berasal daripada kehendak manusia. Tetapi Roh Allah menguasai orang semasa mereka menyampaikan perkhabaran yang datang daripada Allah.

2 Petrus 2

1 Pada masa lampau, nabi-nabi palsu muncul di kalangan umat Allah. Demikian juga guru-guru palsu akan muncul di kalangan kamu. Mereka akan menyebarkan ajaran yang tidak benar dan yang membinasakan. Mereka akan menyangkal Yesus Kristus, Penguasa yang sudah menyelamatkan mereka. Dengan demikian mereka mendatangkan kebinasaan yang akan menimpa diri mereka dengan tiba-tiba. 2 Meskipun demikian, banyak orang akan mengikut cara hidup guru-guru palsu yang melakukan perbuatan cabul. Perbuatan mereka itu menyebabkan orang menghina Jalan Benar kepada Allah. 3 Guru-guru palsu ini tamak; mereka mencari keuntungan dengan jalan menceritakan cerita-cerita rekaan mereka sendiri kepada kamu. Sejak dahulu Allah telah menjatuhkan hukuman kepada mereka, dan kebinasaan yang telah ditetapkan-Nya menunggu-nunggu mereka. 4 Malaikat-malaikat berdosa pun tidak terlepas daripada hukuman Allah. Dia membuang mereka ke dalam neraka. Di situ mereka dirantai di tempat yang gelap sehingga Hari Pengadilan. 5 Dunia zaman dahulu pun tidak terlepas daripada hukuman Allah. Dia mendatangkan air bah kepada orang derhaka zaman itu. Hanya Nuh dan tujuh orang lain yang diselamatkan-Nya, kerana Nuh mengisytiharkan cara hidup yang dikehendaki Allah. 6 Allah menghukum kota Sodom dan Gomora; Dia memusnahkannya dengan api, supaya menjadi contoh tentang apa yang akan berlaku terhadap orang derhaka. 7 Tetapi Allah menyelamatkan Lot, seorang baik yang bersusah hati kerana perbuatan cabul orang jahat di situ. 8 Lot yang baik itu hidup di kalangan mereka, dan hari demi hari batinnya terseksa kerana melihat dan mendengar perbuatan mereka yang jahat itu. 9 Demikianlah Tuhan tahu akan cara menyelamatkan orang salih daripada cubaan. Tuhan juga tahu akan cara menahan orang jahat supaya dihukum pada Hari Pengadilan, 10 terutamanya mereka yang menuruti keinginan hawa nafsu yang kotor, dan mereka yang menghina kekuasaan Allah. Guru-guru palsu ini tidak tahu malu dan sombong. Mereka tidak menghormati makhluk-makhluk mulia di syurga; sebaliknya mereka menghina semua makhluk itu. 11 Sedangkan malaikat-malaikat yang jauh lebih kuat dan berkuasa daripada guru-guru palsu itu, tidak menuduh makhluk-makhluk itu di hadirat Tuhan dengan kata-kata hinaan. 12 Tetapi guru-guru palsu itu seperti binatang buas yang lahir untuk ditangkap dan dibunuh; mereka bertindak menurut naluri sahaja. Dengan kata-kata hinaan mereka menyerang perkara-perkara yang tidak difahami. Mereka akan dibinasakan seperti binatang buas. 13 Mereka akan menderita kesengsaraan, kerana menyebabkan orang lain menderita kesengsaraan. Bagi mereka, kesenangan bererti berfoya-foya pada siang hari untuk memuaskan hawa nafsu. Semasa mereka makan bersama-sama kamu, kelakuan mereka amat memalukan. Mereka berasa seronok kerana dapat menipu kamu. 14 Mereka suka memandang wanita dengan perasaan berahi, dan nafsu mereka untuk berdosa tidak dapat dipuaskan. Orang yang lemah iman diperangkap oleh mereka. Hati mereka dikuasai ketamakan. Mereka dikutuk Allah! 15 Mereka telah meninggalkan jalan yang lurus, lalu sesat. Mereka mengambil jalan yang diikuti oleh Bileam anak Beor dahulu. Bileam ingin sekali mendapat wang daripada perbuatannya yang jahat. 16 Bileam mendapat teguran kerana dosanya itu. Keldainya bercakap dengan suara manusia dan menghentikan Bileam daripada perbuatannya yang bodoh. 17 Guru-guru palsu itu seperti mata air yang kering dan seperti awan yang ditiup oleh ribut. Allah sudah menyediakan suatu tempat yang sangat gelap untuk mereka. 18 Mereka membuat kenyataan yang sombong dan bodoh, serta menggunakan nafsu cabul untuk menjerumuskan orang yang baru sahaja terlepas daripada kalangan orang yang hidup sesat. 19 Guru-guru palsu itu menjanjikan kebebasan kepada mereka, sedangkan guru-guru palsu itu diperhamba oleh kebiasaan yang membinasakan. Hal itu demikian, kerana seseorang yang dikalahkan, menjadi hamba kepada yang mengalahkannya. 20 Orang yang mengenal Tuhan dan Penyelamat kita Yesus Kristus, sudah terlepas daripada kuasa dunia yang mencemarkan manusia. Tetapi jika kemudian mereka ditawan semula dan dikalahkan oleh kuasa-kuasa tersebut, keadaan mereka menjadi lebih buruk daripada sebelum mengenal Kristus. 21 Lebih baik orang seperti itu tidak pernah mengenal cara hidup yang dikehendaki oleh Allah, daripada mereka mengenalnya lalu tidak mahu mentaati perintah yang diberikan oleh Allah. 22 Apa yang berlaku kepada mereka membuktikan bahawa peribahasa ini benar, "Anjing akan makan semula apa yang sudah dimuntahkannya,'' dan "Babi yang sudah dimandikan, akan bergulingan semula di lumpur.''

2 Petrus 3

1 Sahabat-sahabat yang aku kasihi! Inilah suratku yang kedua kepada kamu. Di dalam kedua-dua pucuk surat ini, aku berusaha untuk membangkitkan fikiran yang murni dengan mengingatkan kamu tentang perkara-perkara ini. 2 Aku mahu kamu ingat akan kata-kata yang diucapkan oleh nabi-nabi Allah pada zaman dahulu, dan ingat akan perintah daripada Tuhan dan Penyelamat yang disampaikan oleh rasul-rasul kepada kamu. 3 Mula-mula kamu harus mengerti bahawa pada akhir zaman akan muncul beberapa orang yang kehidupan mereka dikuasai oleh hawa nafsu. Mereka akan memperolok-olokkan kamu 4 dengan berkata, "Bukankah Tuhan berjanji akan datang? Di manakah Dia? Ibu bapa kita sudah meninggal, tetapi segala-galanya masih sama sahaja seperti sejak kejadian alam!'' 5 Mereka sengaja tidak mahu mengakui bahawa dahulu Allah menciptakan langit dan bumi dengan firman-Nya. Bumi dijadikan daripada air dan dengan air. 6 Dengan air juga, iaitu air bah, dunia zaman dahulu itu dibinasakan. 7 Tetapi langit dan bumi sekarang ini, dipelihara oleh firman Allah itu juga, untuk dimusnahkan dengan api kelak. Langit dan bumi masih dipelihara sehingga hari orang derhaka dihukum dan dibinasakan. 8 Tetapi janganlah lupa akan satu perkara ini, hai sahabat-sahabat yang aku kasihi! Di sisi Tuhan, satu hari tidak ada bezanya dengan seribu tahun. Bagi-Nya, kedua-duanya sama sahaja. 9 Tuhan tidak berlambat untuk melakukan apa yang sudah dijanjikan-Nya, meskipun beberapa orang berfikir demikian. Sebaliknya, Dia sabar terhadap kamu, kerana Dia tidak ingin sesiapa pun binasa. Dia mahu semua orang bertaubat daripada dosa. 10 Tetapi Hari kedatangan Tuhan akan tiba seperti pencuri. Pada Hari itu, langit akan lenyap dengan bunyi gemuruh, benda-benda di langit akan terbakar dan musnah, dan bumi dengan segala yang ada di dalamnya akan lenyap. 11 Semua itu akan dibinasakan dengan cara yang demikian. Oleh itu, bagaimanakah seharusnya kamu hidup? Kamu harus sentiasa hidup suci dan khas untuk Allah, 12 sementara kamu menantikan Hari apabila Allah mengadili dunia. Hendaklah kamu berusaha sebaik-baiknya untuk mempercepat kedatangan Hari itu. Pada Hari itu langit akan terbakar dan musnah, dan benda-benda di langit akan lebur kerana bahangnya. 13 Tetapi kita menantikan apa yang sudah dijanjikan oleh Allah, iaitu langit baru dan bumi baru. Di situ terdapat keadilan. 14 Oleh itu, saudara-saudara yang aku kasihi, sementara kamu menantikan Hari itu, berusahalah sebaik-baiknya supaya kamu hidup suci dan tidak bercela di sisi Allah. 15 Anggaplah kesabaran Tuhan kita sebagai peluang yang diberikan-Nya kepada kamu supaya diselamatkan. Paulus, saudara yang kita kasihi, juga menulis demikian kepada kamu dengan menggunakan kebijaksanaan yang dikurniakan oleh Allah kepadanya. 16 Dalam semua suratnya, Paulus selalu menulis tentang perkara-perkara itu. Memang ada beberapa hal dalam suratnya yang sukar difahami. Lalu orang yang tidak tahu apa-apa dan yang lemah iman, telah menyalahtafsirkan hal-hal itu. Mereka juga menyalahtafsirkan bahagian-bahagian lain daripada Alkitab. Perbuatan itu mengakibatkan kebinasaan diri mereka sendiri. 17 Tetapi kamu, saudara-saudara yang aku kasihi, telah mengetahui hal ini. Oleh itu, berwaspadalah supaya kamu tidak disesatkan oleh kesilapan orang jahat, lalu jatuh dari tempat berpijak yang kukuh. 18 Hendaklah kamu semakin menghayati kasih Yesus Kristus, Tuhan dan Penyelamat kita, dan hendaklah kamu juga semakin mengenal Dia. Marilah kita memuji dan memuliakan Kristus, sekarang dan selama-lamanya! Amin.

1 Yohanes 1

1 Kami menulis surat kepada kamu tentang Firman yang memberikan hidup, iaitu Firman yang telah ada sejak permulaan. Kami sudah mendengarnya, dan kami sudah melihatnya dengan mata kepala sendiri. Kami sudah melihatnya dan kami sudah menyentuhnya dengan tangan. 2 Ketika hidup sejati dan kekal itu dinyatakan, kami melihatnya. Itulah sebabnya kami memberikan kesaksian tentangnya. Kami memberitahu kamu tentang hidup sejati dan kekal, yang bersama-sama Bapa, dan yang sudah ditunjukkan kepada kami. 3 Kami pun memberitahu kamu apa yang sudah kami lihat dan dengar, supaya kamu bersama-sama kami turut menghayati hidup bersatu dengan Bapa dan dengan Anak-Nya Yesus Kristus. 4 Kami menulis hal ini supaya kita benar-benar gembira. 5 Inilah berita yang telah kami dengar daripada Anak-Nya dan yang kami isytiharkan kepada kamu: Allah itu cahaya, dan pada-Nya tidak ada kegelapan sama sekali. 6 Jika kita berkata bahawa kita hidup bersatu dengan Dia, padahal kita hidup dalam kegelapan, maka kita berdusta baik dengan kata-kata mahupun dengan perbuatan. 7 Tetapi jika kita hidup dalam cahaya, sebagaimana Allah ada dalam cahaya, maka kita hidup rukun dan darah Yesus, Anak-Nya, membersihkan kita daripada segala dosa. 8 Jika kita berkata bahawa kita tidak berdosa, kita menipu diri sendiri, dan Allah tidak ada di dalam hati. 9 Tetapi jika kita mengakui dosa kita kepada Allah, Dia akan menepati janji-Nya dan melakukan apa yang adil. Dia akan mengampunkan dosa kita dan membersihkan kita daripada segala perbuatan yang salah. 10 Tetapi jika kita berkata bahawa kita tidak berdosa, kita menjadikan Allah pendusta, dan firman-Nya tidak kita simpan di dalam hati.

1 Yohanes 2

1 Anak-anakku, aku menulis surat ini kepada kamu, supaya kamu tidak berdosa. Tetapi jika seseorang berdosa, kita mempunyai seorang pembela, iaitu Yesus Kristus yang adil. Dia akan memohon bagi kita di hadapan Bapa. 2 Melalui Kristuslah dosa kita diampunkan, dan bukannya dosa kita sahaja, tetapi juga dosa semua orang. 3 Jika kita taat kepada perintah Allah, itulah tandanya kita mengenal Dia. 4 Jika seseorang berkata, "Aku mengenal Allah,'' tetapi tidak taat kepada perintah-Nya, orang seperti itu pendusta. Allah tidak ada di dalam hatinya. 5 Tetapi sesiapa taat kepada firman-Nya, orang itu mengasihi Allah dengan sempurna. Itulah tandanya kita hidup bersatu dengan Allah. 6 Sesiapa berkata bahawa dia hidup bersatu dengan Allah, orang itu harus hidup mengikut jejak Kristus. 7 Sahabat-sahabat yang aku kasihi! Perintah yang aku tulis ini bukanlah suatu perintah yang baru. Perintah ini perintah lama, yang telah kamu terima sejak kamu percaya kepada Kristus. Perintah lama ini berita daripada Allah yang sudah kamu dengar. 8 Walaupun demikian, perintah yang aku tulis ini baru juga, kerana kebenarannya nyata pada diri Kristus dan juga pada diri kamu. Hal ini demikian kerana kegelapan hampir berlalu, dan cahaya yang sejati mula bersinar. 9 Sesiapa berkata bahawa dia hidup dalam cahaya tetapi membenci saudaranya, orang itu masih hidup dalam kegelapan sehingga saat ini. 10 Sesiapa yang mengasihi saudaranya, hidup dalam cahaya sehingga tiada suatu pun pada dirinya yang akan menyebabkan orang lain berdosa. 11 Tetapi sesiapa membenci saudaranya, orang itu hidup dalam kegelapan. Dia berjalan dalam kegelapan, dan tidak tahu ke mana dia pergi, kerana kegelapan itu sudah membutakan dia. 12 Anak-anakku, aku menulis kepada kamu, kerana dosa kamu sudah diampunkan demi Kristus. 13 Bapa-bapa, aku menulis kepada kamu, kerana kamu kenal akan Dia yang telah ada sejak permulaan. Aku menulis kepada kamu, orang muda, kerana kamu sudah mengalahkan Iblis. 14 Anak-anakku, aku menulis kepada kamu kerana kamu kenal akan Allah Bapa. Aku menulis kepada kamu, bapa-bapa, kerana kamu kenal akan Dia yang telah ada sejak permulaan. Aku menulis kepada kamu, orang muda, kerana kamu teguh hati. Kamu menyimpan firman Allah di dalam hati, dan kamu sudah mengalahkan Iblis. 15 Janganlah kasihi dunia ini, atau segala sesuatu di dunia ini. Jika kamu mengasihi dunia ini, kamu tidak mengasihi Allah Bapa. 16 Segala sesuatu di dunia ini, iaitu yang diingini oleh keinginan hati orang berdosa, dan yang dilihat lalu dikehendaki, serta yang dibangga-banggakan, semuanya tidak berasal daripada Bapa, tetapi dari dunia. 17 Dunia dan segala sesuatu di dunia yang diingini oleh manusia tidak kekal. Tetapi orang yang melakukan kehendak Allah, akan hidup selama-lamanya. 18 Anak-anakku, akhir zaman sudah dekat! Kamu diberitahu bahawa Musuh Kristus akan datang. Sekarang banyak orang yang memusuhi Kristus telah muncul. Oleh itu kita tahu bahawa akhir zaman sudah dekat. 19 Musuh-musuh Kristus itu sebenarnya tidak termasuk dalam golongan kita, itulah sebabnya mereka meninggalkan kita. Jika mereka termasuk dalam golongan kita, tentu mereka tetap bersama-sama kita. Tetapi mereka meninggalkan kita, supaya nyata bahawa tidak seorang pun antara mereka yang benar-benar termasuk dalam golongan kita. 20 Tetapi kamu sudah menerima Roh Allah yang dicurahkan oleh Kristus. Itulah sebabnya kamu semua mengenal ajaran yang benar. 21 Aku menulis kepada kamu, bukan kerana kamu tidak mengenal ajaran yang benar; tetapi justeru kerana kamu mengenalnya. Kamu juga tahu bahawa tidak ada dusta dalam ajaran yang benar itu. 22 Sesiapa berkata bahawa Yesus bukan Penyelamat yang diutus oleh Allah, orang itu pendusta. Orang seperti itu Musuh Kristus; orang itu tidak mengakui Bapa mahupun Anak. 23 Sesiapa yang tidak mengakui Anak, juga tidak mengakui Bapa. Sesiapa yang menyambut Anak, menyambut Bapa juga. 24 Oleh itu, perkhabaran yang kamu dengar sejak kamu mula-mula percaya kepada Kristus harus kamu simpan di dalam hati. Jika kamu berpegang kepada perkhabaran itu, kamu akan sentiasa hidup bersatu dengan Anak dan dengan Bapa. 25 Inilah yang dijanjikan oleh Kristus sendiri kepada kita: hidup sejati dan kekal. 26 Aku menulis surat ini kepada kamu tentang mereka yang berusaha untuk menipu kamu. 27 Tetapi bagi kamu, Kristus telah mencurahkan Roh-Nya kepada kamu. Selama Roh-Nya ada pada kamu, kamu tidak memerlukan sesiapa pun untuk mengajar kamu. Hal ini demikian kerana Roh-Nya mengajar kamu tentang segala sesuatu, dan apa yang diajarkan-Nya itu benar, bukan palsu. Oleh itu, taatlah kepada ajaran Roh-Nya, dan tetaplah hidup bersatu dengan Kristus. 28 Oleh itu, anak-anakku, tetaplah hidup bersatu dengan Kristus, supaya pada waktu Dia datang, kita dapat menghadap Dia dengan penuh keberanian. Kita tidak perlu bersembunyi kerana malu. 29 Kamu tahu bahawa Kristus melakukan kehendak Allah. Oleh itu kamu harus tahu bahawa setiap orang yang melakukan kehendak Allah ialah anak Allah.

1 Yohanes 3

1 Ketahuilah bahawa Allah Bapa sangat mengasihi kita! Dia amat mengasihi kita, sehingga kita diakui sebagai anak-anak Allah dan memang kita anak-anak Allah. Itulah sebabnya dunia ini tidak mengenal kita, kerana dunia ini tidak mengenal Allah. 2 Sahabat-sahabat yang aku kasihi! Kita sekarang anak-anak Allah, tetapi keadaan kita kelak belum jelas. Tetapi kita tahu bahawa apabila Kristus datang, kita akan menjadi seperti Dia, kerana kita akan melihat Dia dalam keadaan-Nya yang sebenarnya. 3 Setiap orang yang mempunyai harapan ini kepada Kristus, menjaga dirinya supaya suci, sebagaimana Kristus pun suci. 4 Sesiapa yang berbuat dosa, melanggar hukum Allah, kerana dosa itu pelanggaran terhadap hukum Allah. 5 Kamu tahu bahawa Kristus datang untuk menghapuskan dosa manusia, dan bahawa pada diri-Nya tidak ada dosa. 6 Oleh itu, setiap orang yang hidup bersatu dengan Kristus, tidak terus-menerus berbuat dosa. Sesiapa yang terus-menerus berbuat dosa, tidak pernah melihat Kristus ataupun mengenal Dia. 7 Anak-anakku, janganlah biarkan sesiapa pun menipu kamu. Sesiapa melakukan kehendak Allah, dia anak Allah, seperti Kristus. 8 Sesiapa terus-menerus berbuat dosa, dia anak Iblis, kerana Iblis berdosa sejak permulaan. Justeru untuk hal inilah Anak Allah datang bagi memusnahkan pekerjaan Iblis. 9 Sesiapa yang menjadi anak Allah, tidak terus-menerus berbuat dosa kerana sifat Allah sendiri ada padanya. Kerana Allah itu Bapanya, dia tidak dapat terus-menerus berbuat dosa. 10 Inilah perbezaan antara anak Allah dengan anak Iblis: Sesiapa tidak melakukan kehendak Allah, atau tidak mengasihi saudaranya, dia bukanlah anak Allah. 11 Inilah perkhabaran yang kamu dengar sejak permulaan: Kita harus saling mengasihi. 12 Janganlah kita seperti Kain. Dia menjadi anak Iblis dan membunuh adiknya sendiri. Mengapakah Kain membunuh adiknya? Kerana perbuatan yang dilakukannya salah, tetapi perbuatan yang dilakukan adiknya benar. 13 Oleh itu, saudara-saudaraku, janganlah hairan jika orang di dunia ini membenci kamu. 14 Kita tahu bahawa kita hidup dan sudah meninggalkan kematian, kerana kita mengasihi saudara-saudara kita. Sesiapa yang tidak mengasihi saudaranya, masih dikuasai kematian. 15 Sesiapa membenci saudaranya, dia pembunuh. Kamu tahu bahawa seorang pembunuh tidak mempunyai hidup sejati dan kekal. 16 Dengan jalan ini kita mengetahui cara mengasihi orang lain: Kristus sudah menyerahkan hidup-Nya untuk kita. Oleh itu kita harus menyerahkan hidup kita untuk saudara-saudara kita! 17 Jika seorang kaya melihat saudaranya yang miskin memerlukan pertolongan, tetapi tidak mahu menolong saudaranya itu, bagaimanakah dia dapat berkata bahawa dia mengasihi Allah? 18 Anak-anakku! Janganlah kita mengasihi hanya dengan kata-kata belaka. Kita harus saling mengasihi dengan kasih yang sejati, yang dibuktikan dengan perbuatan. 19 Demikianlah caranya kita tahu bahawa kita tergolong sebagai anak-anak Allah yang benar, dan hati kita tenang di hadapan Allah. 20 Jika hati nurani kita menyalahkan kita, maka kita tahu bahawa Allah lebih besar daripada hati nurani kita, dan bahawa Dia mengetahui semuanya. 21 Oleh itu, sahabat-sahabat yang aku kasihi, jika hati nurani kita tidak menyalahkan kita, kita dapat menghadap Allah dengan penuh keberanian. 22 Kita menerima apa yang kita minta daripada-Nya, kerana kita taat kepada perintah-Nya dan kita melakukan apa yang menyenangkan hati-Nya. 23 Inilah perintah-Nya: Kita harus percaya kepada Anak-Nya, Yesus Kristus, dan kita harus saling mengasihi, seperti yang diperintahkan Kristus kepada kita. 24 Sesiapa yang taat kepada perintah Allah, hidup bersatu dengan Allah, dan Allah hidup bersatu dengan dia. Kita tahu bahawa Allah hidup bersatu dengan kita, kerana Dia telah mengurniai kita Roh-Nya.

1 Yohanes 4

1 Sahabat-sahabat yang aku kasihi! Janganlah percaya kepada semua orang yang mengaku bahawa mereka mempunyai Roh Allah, tetapi ujilah mereka untuk mengetahui sama ada roh yang ada pada mereka itu berasal daripada Allah atau tidak. Hendaklah kamu berbuat demikian kerana banyak nabi palsu telah pergi ke serata tempat. 2 Inilah caranya kamu boleh mengetahui sama ada roh itu Roh Allah atau tidak: Sesiapa mengakui Yesus Kristus datang ke dunia sebagai manusia, orang itu mempunyai Roh yang datang daripada Allah. 3 Tetapi sesiapa menafikan hal ini tentang Yesus, orang itu tidak mempunyai Roh Allah. Orang itu mempunyai roh daripada Musuh Kristus. Kamu sudah mendengar bahawa roh itu akan datang, dan sekarang roh itu sudah di dunia ini. 4 Tetapi anak-anakku, kamu milik Allah. Kamu sudah mengalahkan nabi-nabi palsu itu, kerana Roh yang ada pada kamu lebih berkuasa daripada roh yang ada pada orang milik dunia ini. 5 Nabi-nabi palsu itu berkata-kata tentang perkara-perkara dunia, dan orang dunia ini mendengar kata-kata mereka, kerana mereka milik dunia ini. 6 Tetapi kita milik Allah. Sesiapa yang mengenal Allah, mendengar kata-kata kita. Sesiapa yang bukan milik Allah, tidak mahu mendengar kata-kata kita. Itulah caranya kita dapat membezakan Roh yang memberikan ajaran benar, dengan roh yang menyesatkan orang. 7 Sahabat-sahabat yang aku kasihi, marilah kita saling mengasihi kerana kasih berasal daripada Allah. Sesiapa yang saling mengasihi, mengenal Allah dan dia anak Allah. 8 Sesiapa yang tidak mengasihi orang lain, tidak mengenal Allah kerana Allah itu kasih. 9 Inilah cara Allah menunjukkan kasih-Nya kepada kita: Dia mengutus Anak-Nya yang tunggal ke dalam dunia supaya melalui Anak-Nya kita beroleh hidup sejati dan kekal. 10 Inilah kasih: Bukannya kita telah mengasihi Allah, tetapi Allah mengasihi kita dan mengutus Anak-Nya supaya melalui Dia dosa kita diampunkan. 11 Sahabat-sahabat yang aku kasihi, jika Allah sangat mengasihi kita, kita pun harus saling mengasihi. 12 Tidak seorang pun pernah melihat Allah. Jika kita saling mengasihi, Allah hidup bersatu dengan kita, dan kasih-Nya disempurnakan dalam diri kita. 13 Kerana Allah telah mengurniai kita Roh-Nya, kita tahu bahawa kita hidup bersatu dengan Allah dan Allah hidup bersatu dengan kita. 14 Kami sendiri telah melihat Anak Allah dan memberitahu orang lain bahawa Bapa mengutus Anak-Nya untuk menjadi Penyelamat dunia ini. 15 Allah hidup bersatu dengan orang yang mengakui Yesus itu Anak Allah, dan mereka hidup bersatu dengan Allah. 16 Kita sendiri tahu dan benar-benar yakin bahawa Allah mengasihi kita. Allah itu kasih. Sesiapa yang sentiasa mengasihi orang lain, hidup bersatu dengan Allah, dan Allah hidup bersatu dengan dia. 17 Kasih disempurnakan dalam diri kita, supaya kita beroleh keberanian pada Hari Kiamat kelak. Kita tentu akan mempunyai keberanian, kerana hidup kita di dunia ini seperti hidup Kristus. 18 Orang yang menikmati kasih Allah tidak mengenal perasaan takut, kerana kasih yang sempurna melenyapkan segala perasaan takut. Oleh itu, orang yang belum menikmati kasih Allah dengan sempurna, akan takut menghadapi hukuman pada Hari Kiamat. 19 Kita mengasihi orang lain, kerana Allah mengasihi kita terlebih dahulu. 20 Jika seseorang berkata, "Aku mengasihi Allah,'' tetapi dia membenci saudaranya, orang itu pendusta. Jika seseorang tidak mengasihi saudaranya yang dilihatnya, tidak mungkin dia dapat mengasihi Allah yang tidak dilihatnya. 21 Inilah perintah yang diberikan oleh Kristus kepada kita: Sesiapa yang mengasihi Allah mesti mengasihi saudaranya juga.

1 Yohanes 5

1 Sesiapa percaya bahawa Kristus Penyelamat yang diutus oleh Allah, orang itu anak Allah. Sesiapa yang mengasihi seorang bapa, mengasihi anak bapa itu juga. 2 Inilah caranya kita tahu bahawa kita mengasihi anak-anak Allah: Kita mengasihi Allah dan kita mentaati perintah-Nya. 3 Apabila kita mentaati perintah Allah, maka kita mengasihi Allah. Perintah-Nya pun tidak terlalu susah bagi kita, 4 kerana setiap anak Allah dapat mengalahkan dunia ini. Kita mengalahkan dunia ini dengan iman kita. 5 Siapakah dapat mengalahkan dunia ini? Hanya orang yang percaya bahawa Yesus Anak Allah. 6 Yesus Kristuslah yang datang ke dunia dengan air baptisan-Nya dan dengan darah kematian-Nya. Dia datang bukan dengan air sahaja, tetapi dengan air dan darah. Roh Allah sendiri memberikan kesaksian bahawa hal itu benar, kerana Roh tidak pernah berdusta. 7 Ada tiga saksi: 8 Roh Allah, air dan darah; dan ketiga-tiganya memberikan kesaksian yang sama. 9 Kita percaya kepada kesaksian manusia; tetapi kesaksian Allah lebih kuat lagi. Itulah kesaksian yang diberikan oleh Allah tentang Anak-Nya. 10 Oleh itu, sesiapa yang percaya kepada Anak Allah, mempunyai kesaksian itu di dalam hatinya. Tetapi sesiapa yang tidak percaya kepada Allah, menjadikan Allah pendusta, kerana orang itu tidak percaya kepada apa yang difirmankan Allah tentang Anak-Nya. 11 Inilah kesaksian itu: Allah sudah memberi kita hidup sejati dan kekal, dan hidup itu berasal daripada Anak-Nya. 12 Sesiapa yang mempunyai Anak Allah, mempunyai hidup itu; dan sesiapa yang tidak mempunyai Anak Allah, tidak mempunyai hidup itu. 13 Aku menulis surat ini kepada kamu yang percaya kepada Anak Allah, supaya kamu tahu bahawa kamu sudah mempunyai hidup sejati dan kekal. 14 Kita berani menghadap Allah, kerana kita yakin bahawa Dia mengabulkan doa kita, jika kita memohon apa sahaja yang sesuai dengan kehendak-Nya. 15 Kita tahu bahawa Dia mendengarkan kita bila-bila masa kita memohon kepada-Nya. Oleh itu kita pun tahu bahawa Dia memberi kita apa yang kita minta daripada-Nya. 16 Jika kamu melihat seorang saudara seiman melakukan dosa yang tidak mengakibatkan orang itu kehilangan hidup sejati dan kekal, hendaklah kamu berdoa kepada Allah supaya memberi dia hidup itu. Hal ini berkenaan dengan orang yang dosa mereka tidak mengakibatkan mereka kehilangan hidup itu. Tetapi ada dosa yang mengakibatkan orang kehilangan hidup itu. Aku tidak berkata bahawa kamu harus berdoa kepada Allah tentang hal itu. 17 Semua perbuatan salah itu dosa, tetapi ada dosa yang tidak mengakibatkan orang kehilangan hidup sejati dan kekal. 18 Kita tahu bahawa tidak seorang pun daripada anak-anak Allah terus-menerus berbuat dosa, kerana Anak Allah melindunginya dan Iblis tidak dapat berbuat apa-apa terhadapnya. 19 Kita tahu bahawa kita milik Allah, meskipun seluruh dunia ini di bawah kuasa Iblis. 20 Kita tahu bahawa Anak Allah sudah datang dan sudah memberi kita pengertian, supaya kita mengenal Allah yang benar. Kita hidup bersatu dengan Allah yang benar kerana kita hidup bersatu dengan Anak-Nya Yesus Kristus. Inilah Allah yang benar, dan inilah hidup sejati dan kekal. 21 Anak-anakku, jauhkanlah diri kamu daripada berhala!

2 Yohanes 1

1 Kepada puan yang dipilih oleh Allah dan kepada anak-anak puan. 2 kerana Allah ada di dalam hati kita dan menyertai kita selama-lamanya. 3 Semoga Allah Bapa dan Yesus Kristus, Anak Bapa itu mengurniai kita berkat, rahmat, dan kesejahteraan. Semoga kita memiliki semua itu dengan hati yang tulus dan dengan kasih. 4 Saya sangat gembira kerana mengetahui beberapa orang antara anak-anak puan hidup menurut ajaran Allah, seperti yang diperintahkan oleh Allah Bapa kepada kita. 5 Oleh itu, puan, saya meminta supaya kita saling mengasihi. Saya tidak mengemukakan satu perintah baru; perintah ini telah diberikan sejak kita percaya kepada Kristus. 6 Mengasihi satu sama lain bererti hidup menurut perintah Allah. Inilah perintah yang telah puan dan anak-anak puan dengar sejak permulaan: Puan dan anak-anak puan harus saling mengasihi. 7 Banyak penipu telah pergi ke seluruh dunia. Mereka tidak mengakui Yesus Kristus datang ke dunia sebagai manusia. Orang semacam itu penipu dan Musuh Kristus. 8 Oleh itu, berwaspadalah supaya tidak kehilangan apa yang telah kami usahakan untuk puan dan anak-anak puan. Berusahalah supaya puan dan anak-anak puan menerima pahala sepenuhnya daripada Allah. 9 Sesiapa yang tidak berpegang kepada ajaran Kristus tetapi melampaui ajaran itu, tidak mempunyai Allah. Sesiapa yang berpegang kepada ajaran itu, mempunyai Allah Bapa dan Anak. 10 Oleh itu, jika sesiapa datang dan memberitakan ajaran yang tidak diajarkan oleh Kristus, janganlah sambut dia ke dalam rumah puan dan anak-anak puan. Janganlah berkata kepadanya, "Salam sejahtera.'' 11 Hal ini demikian, kerana sesiapa yang memberikan salam kepada orang semacam itu, menjadi subahat dalam perbuatannya yang jahat. 12 Banyak lagi yang hendak saya katakan, tetapi lebih baik tidak melalui surat. Saya berharap dapat melawat puan dan anak-anak puan, dan bercakap dengan puan sendiri, supaya kita benar-benar gembira. 13 Anak-anak daripada saudara perempuan puan yang juga dipilih oleh Allah, mengirim salam kepada puan.

3 Yohanes 1

1 Gayus, sahabat yang aku kasihi! Aku, pemimpin jemaah yang sangat mengasihimu, 2 berdoa semoga semuanya baik dengan kamu, dan semoga kamu sihat, seperti jiwamu pun sihat. 3 Aku sangat bersukacita ketika beberapa orang saudara Kristian tiba dan memberitahu aku betapa setianya kamu kepada Allah yang benar. Kamu memang sentiasa hidup menurut ajaran Allah. 4 Tidak ada yang lebih menggembirakan aku daripada mendengar bahawa anak-anakku hidup menurut ajaran Allah. 5 Sahabat yang aku kasihi! Kamu sungguh setia dalam kerja yang kamu lakukan untuk saudara-saudara Kristian, bahkan untuk orang Kristian yang belum kamu kenal. 6 Mereka memberitahu jemaah di sini tentang kasihmu. Tolonglah mereka supaya dapat meneruskan perjalanan dengan cara yang menyenangkan hati Allah. 7 Kamu harus berbuat demikian kerana dalam tugas untuk memberitakan Kristus, mereka berangkat tanpa menerima bantuan apa-apa pun daripada orang yang tidak mengenal Allah. 8 Oleh itu, kita orang Kristian, mesti menolong orang seperti itu, supaya kita dapat menjadi rakan sekerja dalam usaha mereka untuk memberitakan ajaran Allah. 9 Aku sudah menulis sepucuk surat yang pendek kepada jemaah, tetapi Diotrefes yang ingin menjadi pemimpin jemaah, tidak mahu menurut kata-kataku. 10 Apabila aku datang kelak, aku akan mendedahkan segala sesuatu yang telah dilakukannya, iaitu hal-hal jahat dan dusta yang dikatakannya tentang kami. Tetapi semua itu belum lagi cukup baginya. Dia tidak mahu menerima saudara-saudara Kristian semasa mereka datang. Bahkan dia menghalangi orang yang mahu menyambut saudara-saudara itu, dan dia berusaha untuk menghalau mereka keluar daripada jemaah! 11 Sahabat yang aku kasihi, janganlah tiru apa yang buruk, tetapi tirulah apa yang baik. Sesiapa berbuat baik, dia milik Allah. Sesiapa berbuat jahat, dia belum mengenal Allah. 12 Setiap orang memuji Demetrius, bahkan Allah pun memuji dia. Kami juga memuji dia, dan kamu tahu bahawa apa yang kami katakan itu benar. 13 Banyak lagi yang hendak aku katakan kepadamu, tetapi lebih baik tidak melalui surat. 14 Aku berharap dapat segera berjumpa denganmu, lalu kita dapat berbincang. 15 Semoga Tuhan memberkati kamu. Semua sahabatmu di sini mengirim salam. Sampaikan salamku kepada semua sahabat di sana seorang demi seorang.

Yudas 1

1 Surat ini daripada Yudas, hamba Yesus Kristus dan saudara Yakobus. Surat ini ditujukan kepada mereka yang telah dipanggil dan dikasihi oleh Allah Bapa, serta dilindungi oleh Yesus Kristus. 2 Semoga Allah memberikan berkat, kesejahteraan, dan rahmat dengan berlimpah-limpah kepada kamu. 3 Saudara-saudara yang aku kasihi! Aku telah berusaha sebaik-baiknya untuk menulis surat kepada kamu tentang penyelamatan yang kita alami bersama. Tetapi hatiku tergerak untuk menggalakkan kamu melalui surat ini, supaya kamu terus berjuang untuk iman yang telah diberikan oleh Allah sekali sahaja kepada umat-Nya untuk selama-lamanya. 4 Beberapa orang derhaka sudah menyeludup ke kalangan kita tanpa kita sedari. Mereka memutarbalikkan berita tentang kasih Allah kita, untuk membenarkan perbuatan mereka yang cabul. Mereka juga tidak mengakui Yesus Kristus, Penguasa satu-satunya dan Tuhan kita. Sejak dahulu Alkitab telah menuliskan hukuman yang akan dialami mereka. 5 Meskipun kamu mengetahui semua perkara itu, aku hendak mengingatkan kamu bagaimana Tuhan menyelamatkan umat Israel dari negeri Mesir. Tetapi kemudian Dia membinasakan mereka yang tidak percaya. 6 Ingatlah akan malaikat-malaikat yang melampaui batas kekuasaan yang telah diberikan oleh Allah, sehingga meninggalkan tempat kediaman mereka. Allah membelenggu malaikat-malaikat itu dengan rantai abadi, di tempat yang gelap di bawah bumi. Allah menahan mereka di situ sehingga Hari Kiamat apabila mereka akan dihukum. 7 Penduduk kota Sodom, Gomora, dan bandar-bandar di sekitarnya berbuat seperti malaikat-malaikat tersebut. Orang di situ melakukan perbuatan cabul dan lucah. Kota-kota itu dan penduduknya dimusnahkan oleh api yang kekal. Hukuman itu dijadikan amaran bagi semua orang. 8 Demikian juga semua orang derhaka itu berkhayal, dan khayalan itu menyebabkan mereka berdosa terhadap tubuh sendiri. Mereka menghina kuasa Allah dan mencaci makhluk-makhluk mulia di syurga. 9 Ketua malaikat, Mikhael, tidak pernah berbuat demikian. Semasa dia bertengkar dengan Iblis tentang siapa yang akan mendapat jenazah Musa, Mikhael tidak berani mengutuk Iblis dengan kata-kata hinaan. Mikhael hanya berkata, "Tuhan menengking kamu!'' 10 Tetapi semua orang derhaka itu menghina perkara-perkara yang sama sekali tidak dimengerti oleh mereka. Mereka mengetahui beberapa hal, tetapi seperti binatang yang tidak berakal, mereka mengetahuinya dengan naluri dan hal itulah yang membinasakan mereka. 11 Alangkah malangnya mereka! Mereka telah mengikut jalan yang ditempuh oleh Kain. Untuk mendapat wang, mereka telah membabitkan diri dengan kesesatan, seperti yang dilakukan oleh Bileam. Mereka dibinasakan kerana memberontak seperti Korah. 12 Kehadiran mereka mencemarkan perjumpaan makan bersama dengan saudara-saudara seiman, kerana mereka makan dengan rakus dan hanya mementingkan diri sendiri. Mereka seperti awan yang ditiup angin, tetapi tidak membawa hujan. Mereka juga seperti pokok yang tidak menghasilkan buah walaupun pada musim buah. Mereka seperti pokok yang sudah dicabut dengan akarnya dan mati sama sekali. 13 Mereka seperti ombak ganas di laut, yang membuihkan perbuatan memalukan. Mereka seperti bintang mengembara, yang tempatnya telah disediakan oleh Allah dalam kegelapan yang paling dahsyat untuk selama-lamanya. 14 Henokh, keturunan ketujuh daripada Adam, dahulu pernah bernubuat tentang mereka. Dia berkata, "Lihatlah! Tuhan akan datang dengan beribu-ribu malaikat-Nya yang suci. 15 Dia akan mengadili semua orang. Dia akan menghukum orang derhaka kerana perbuatan derhaka mereka dan kerana semua kata hinaan yang diucapkan mereka terhadap-Nya!'' 16 Semua orang itu sentiasa bersungut-sungut dan menyalahkan orang lain. Mereka menuruti nafsu jahat. Mereka memuji-muji diri sendiri dan mengangkat-angkat orang lain untuk mendapat keuntungan. 17 Tetapi saudara-saudaraku, ingatlah akan apa yang dikatakan dahulu oleh rasul-rasul Tuhan kita Yesus Kristus. 18 Mereka berkata kepada kamu, "Apabila akhir zaman tiba, orang akan tampil dan memperolok-olokkan kamu. Mereka orang yang mengikuti keinginan berdosa.'' 19 Merekalah orang yang memecah-belah jemaah. Mereka tidak dipimpin oleh Roh Allah, tetapi dikuasai oleh keinginan sendiri. 20 Tetapi kamu, saudara-saudaraku, teruslah bina hidup yang berdasarkan kepercayaan kepada Kristus. Iman kamu sangat suci. Berdoalah dengan pimpinan Roh Allah. 21 Hendaklah kamu hidup di bawah naungan kasih Allah sementara menantikan rahmat Tuhan kita Yesus Kristus, yang akan menganugerahi kamu hidup sejati dan kekal. 22 Tunjukkanlah belas kasihan kepada orang yang kurang keyakinan. 23 Tariklah orang keluar dari dalam api dan selamatkanlah mereka. Hendaklah kamu menunjukkan belas kasihan kepada orang lain, tetapi berhati-hatilah supaya kamu tidak dicemari oleh keinginan mereka yang menyebabkan orang berdosa. 24 Allah, yang dapat menjaga kamu supaya tetap beriman, dan yang dapat membawa kamu ke hadirat-Nya yang mulia dengan sukacita dan tanpa cela, 25 Dialah satu-satunya Allah, Penyelamat kita melalui Yesus Kristus Tuhan kita. Dialah Allah yang mulia, agung, berkuasa, dan berwibawa sejak dahulu kala sehingga sekarang dan selama-lamanya! Amin.

Wahyu 1

1 Kitab ini mengandungi peristiwa-peristiwa yang dinyatakan oleh Yesus Kristus. Allah memberitahukannya kepada Kristus, dan Kristus menunjukkan apa yang segera harus berlaku itu kepada hamba-hamba Allah. Kristus mengutus malaikat-Nya untuk memberitahu Yohanes, hamba-Nya semua peristiwa itu. 2 Yohanes menceritakan segala yang telah dilihatnya itu. Inilah laporannya tentang perkhabaran daripada Allah dan hal-hal yang dinyatakan oleh Yesus Kristus. 3 Berbahagialah orang yang membaca kitab ini kepada jemaah. Berbahagialah mereka yang mendengarkan perkhabaran nubuat ini serta taat kepada apa yang tertulis di dalam kitab ini, kerana tidak lama lagi semuanya ini akan berlaku. 4 Daripada Yohanes kepada jemaah di tujuh buah tempat di daerah Asia: Terimalah berkat dan kesejahteraan daripada Allah, iaitu Dia yang ada, yang sudah ada, dan yang akan datang, serta daripada tujuh roh yang di hadapan takhta-Nya, 5 dan daripada Yesus Kristus, saksi yang setia. Dialah yang pertama sekali dibangkitkan daripada kematian dan Dialah pemerintah raja-raja dunia. Yesus mengasihi kita, dan dengan kematian-Nya Dia membebaskan kita daripada dosa-dosa kita. 6 Kristus menjadikan kita imam yang memerintah bersama-sama Dia dan yang mengabdikan diri kepada Allah, Bapa-Nya. Marilah kita muliakan keagungan dan kekuasaan Yesus Kristus yang kekal itu. Amin! 7 Lihatlah, Dia datang dengan awan! Semua orang akan melihat Dia, termasuk juga mereka yang sudah membunuh Dia. Semua bangsa di bumi akan meratap kerana Dia. Ya, tentu! Amin! 8 "Akulah yang pertama dan yang terakhir,'' firman Tuhan, Allah Yang Maha Kuasa, yang ada, yang sudah ada, dan yang akan datang. 9 Aku Yohanes, saudara kamu, juga mengalami penderitaan yang dialami oleh setiap pengikut Yesus. Kita menantikan Pemerintahan-Nya dan harus menanggung penderitaan dengan tabah hati. Aku dibuang ke pulau Patmos kerana mengisytiharkan firman Allah dan hal-hal yang dinyatakan oleh Yesus. 10 Pada hari Tuhan, Roh Allah menguasai aku, lalu aku mendengar suara yang kuat dan jelas, seperti bunyi trompet, berkata-kata di belakangku. 11 Suara itu berkata, "Tuliskanlah apa yang engkau lihat dan kirimlah kitab ini kepada jemaah di tujuh buah kota berikut: Efesus, Smirna, Pergamus, Tiatira, Sardis, Filadelfia, dan Laodikia.'' 12 Aku menoleh ke belakang untuk melihat siapa yang berkata-kata kepadaku. Lalu aku nampak tujuh buah kaki pelita daripada emas. 13 Di tengah-tengah kaki pelita itu ada sesusuk tubuh yang kelihatan seperti manusia. Dia memakai jubah yang panjangnya sampai ke kaki dan dada-Nya dililiti seutas pengikat daripada emas. 14 Rambut-Nya sangat putih, seputih kapas, dan mata-Nya bernyala-nyala seperti api. 15 Kaki-Nya bersinar seperti gangsa yang sudah dibersihkan dan digosok, dan suara-Nya seperti deruman air terjun yang besar. 16 Tangan kanan-Nya memegang tujuh buah bintang, dan dari mulut-Nya keluar sebilah pedang tajam yang bermata dua. Muka-Nya terang seperti matahari pada waktu tengah hari. 17 Ketika aku melihat-Nya, aku meniarapkan diri di hadapan-Nya seperti orang mati. Dia meletakkan tangan kanan-Nya padaku lalu berfirman, "Janganlah takut! Akulah yang awal dan yang penghujung. 18 Akulah Dia yang hidup! Aku sudah mati, tetapi lihatlah, Aku hidup selama-lamanya. Aku berkuasa atas kematian dan atas dunia orang mati. 19 Oleh itu, tulislah perkara-perkara yang engkau lihat, iaitu perkara-perkara yang ada sekarang ini, dan perkara-perkara yang akan berlaku kelak. 20 Inilah makna yang dilambangkan oleh tujuh buah bintang yang engkau lihat di tangan kanan-Ku dan oleh tujuh buah kaki pelita daripada emas itu. Tujuh buah bintang itu melambangkan para malaikat daripada jemaah di tujuh buah tempat itu, dan tujuh buah kaki pelita itu melambangkan jemaah di tujuh buah tempat itu.''

Wahyu 2

1 "Tulislah surat ini kepada malaikat jemaah di Efesus: Inilah perkhabaran daripada Dia yang memegang tujuh buah bintang pada tangan kanan-Nya dan yang berjalan di antara tujuh buah kaki pelita daripada emas. 2 Aku mengetahui apa yang telah kamu lakukan; Aku tahu bahawa kamu bekerja keras dan tabah menanggung penderitaan. Aku tahu bahawa kamu tidak tahan lagi dengan orang jahat. Kamu sudah menguji orang yang mengaku diri mereka rasul padahal bukan, dan kamu sudah mendapati mereka pendusta. 3 Kamu tabah menanggung penderitaan; kamu sudah menderita kerana Aku, dan kamu tidak putus asa. 4 Tetapi Aku mencela kamu tentang hal ini: Kamu tidak mengasihi Aku lagi seperti ketika kamu mula-mula percaya kepada-Ku. 5 Ingatlah betapa dalamnya kamu sudah jatuh ke dalam dosa. Bertaubatlah daripada dosa kamu dan lakukanlah apa yang kamu lakukan ketika kamu mula-mula percaya kepada-Ku. Jika tidak, Aku akan datang kepada kamu dan menyingkirkan kaki pelita kamu dari tempatnya. 6 Tetapi ada sesuatu yang baik pada kamu: Kamu membenci perbuatan pengikut Nikolaus, yang juga Aku benci. 7 Jika kamu bertelinga, dengarkanlah apa yang dikatakan oleh Roh Allah kepada jemaah! Mereka yang menang akan Aku benarkan makan buah dari pokok yang memberikan hidup, yang tumbuh di Taman Allah.'' 8 "Tulislah surat ini kepada malaikat jemaah di Smirna: Inilah perkhabaran daripada Dia yang awal dan yang penghujung, yang sudah mati dan hidup semula. 9 Aku mengetahui kesusahan kamu; Aku tahu bahawa kamu miskin -- tetapi sebenarnya kamu kaya! Aku mengetahui fitnah yang dilemparkan kepada kamu oleh orang yang mengaku diri mereka Yahudi padahal bukan. Mereka dikuasai oleh Iblis! 10 Janganlah takut akan penderitaan yang tidak lama lagi akan kamu alami. Ketahuilah! Iblis akan menguji kamu. Dia akan memasukkan beberapa orang daripada kamu ke dalam penjara. Kamu akan mengalami penderitaan selama sepuluh hari. Hendaklah kamu setia kepada-Ku sampai mati, dan Aku akan mengurniai kamu hidup sejati dan kekal sebagai hadiah kemenangan. 11 Jika kamu bertelinga, dengarkanlah apa yang dikatakan oleh Roh Allah kepada jemaah! Mereka yang menang tidak akan mengalami derita kematian kedua.'' 12 "Tulislah surat ini kepada malaikat jemaah di Pergamus: Inilah perkhabaran daripada Dia yang memiliki sebilah pedang tajam bermata dua. 13 Aku mengetahui tempat kamu tinggal; di situlah Iblis bertakhta. Kamu setia kepada-Ku. Kamu bahkan tidak menafikan kepercayaan kamu kepada-Ku, semasa Antipas, saksi-Ku yang setia itu dibunuh di tempat Iblis tinggal. 14 Tetapi Aku mencela kamu tentang hal ini: Beberapa orang antara kamu mengikut ajaran Bileam. Dahulu Bileam mengajar Balak menjerumuskan umat Israel ke dalam dosa, dengan memujuk mereka makan makanan yang telah dipersembahkan kepada berhala, dan dengan melakukan perbuatan cabul. 15 Demikian juga ada beberapa orang antara kamu yang mengikut ajaran Nikolaus. 16 Oleh itu, bertaubatlah daripada dosa kamu! Jika tidak, Aku akan segera datang kepada kamu dan melawan semua orang itu dengan pedang yang keluar dari mulut-Ku. 17 Jika kamu bertelinga, dengarkanlah apa yang dikatakan oleh Roh Allah kepada jemaah! Mereka yang menang akan Aku kurniai manna yang tersembunyi. Aku juga akan mengurniai setiap orang daripada mereka seketul batu putih. Batu itu ditulisi nama baru, yang tidak diketahui oleh sesiapa pun, kecuali orang yang menerimanya.'' 18 "Tulislah surat ini kepada malaikat jemaah di Tiatira: Inilah perkhabaran daripada Anak Allah, yang mata-Nya bernyala-nyala seperti api, dan kaki-Nya bersinar seperti gangsa yang digosok. 19 Aku mengetahui semua yang sudah kamu lakukan. Aku tahu bahawa kamu saling mengasihi, kamu setia, kamu saling menolong, dan kamu tabah menanggung penderitaan. Aku tahu bahawa kamu sekarang melakukan lebih banyak kerja berbanding dahulu semasa kamu mula-mula percaya kepada-Ku. 20 Tetapi Aku mencela kamu tentang hal ini: Kamu membenarkan Izebel, perempuan yang mengaku dirinya pesuruh Allah mengajar umat-Ku. Dengan ajarannya, dia menyesatkan hamba-hamba-Ku sehingga mereka melakukan perbuatan cabul dan makan makanan yang sudah dipersembahkan kepada berhala. 21 Aku sudah memberikan peluang kepadanya untuk bertaubat daripada dosa, tetapi dia tidak mahu berhenti melakukan perbuatan cabul. 22 Oleh itu, Aku akan menghukum dia dengan penyakit dan mereka yang berzina dengan dia akan mengalami penderitaan yang dahsyat. Aku akan melakukan semua itu sekarang juga, kecuali mereka bertaubat daripada perbuatan keji yang dilakukan bersama-sama dia. 23 Aku juga akan membunuh pengikut-pengikutnya, lalu semua jemaah akan tahu bahawa Akulah Dia yang menyelami fikiran dan hati manusia. Aku akan membalas kamu menurut perbuatan masing-masing. 24 Tetapi kamu yang lain yang tinggal di Tiatira tidak mengikut ajaran jahat itu. Kamu tidak mempelajari ilmu daripada Iblis. Aku berkata kepada kamu bahawa Aku tidak akan membebani kamu dengan kewajipan lain. 25 Tetapi kamu harus terus berpegang kepada apa yang kamu miliki, sehingga Aku datang kelak. 26 Mereka yang menang, dan terus-menerus melakukan kehendak-Ku sehingga akhir, akan Aku kurniai kekuasaan seperti yang Aku terima daripada Bapa-Ku. Mereka akan menerima kekuasaan daripada-Ku untuk memerintah bangsa-bangsa dengan tangan besi dan untuk menghancurkan mereka seperti periuk tanah. Mereka juga akan menerima bintang fajar daripada-Ku. 29 Jika kamu bertelinga, dengarkanlah apa yang dikatakan oleh Roh Allah kepada jemaah!''

Wahyu 3

1 "Tulislah surat ini kepada malaikat jemaah di Sardis: Inilah perkhabaran daripada Dia yang mempunyai tujuh Roh Allah dan tujuh buah bintang itu. Aku mengetahui apa yang kamu lakukan. Kamu dikatakan hidup, padahal kamu mati! 2 Oleh itu, bangunlah dan perkuatlah apa yang masih ada pada kamu sebelum semuanya mati sama sekali. Hal itu demikian kerana Aku dapati apa yang kamu lakukan masih belum sempurna di sisi Allah-Ku. 3 Ingatlah kembali apa yang telah diajarkan kepada kamu dan apa yang telah kamu dengar. Taatilah semuanya dan bertaubatlah daripada dosa kamu. Jika kamu tidak bangun, Aku akan datang kepada kamu seperti pencuri dan kamu tidak akan mengetahui saatnya Aku datang. 4 Tetapi ada beberapa orang antara kamu di Sardis yang menjaga pakaian mereka supaya tetap bersih. Mereka akan berjalan bersama-sama Aku dengan berpakaian putih, kerana mereka layak berbuat demikian. 5 Mereka yang menang akan dikenakan pakaian putih seperti itu dan Aku tidak akan menghapuskan nama mereka dari Kitab Orang Hidup. Di hadapan Bapa-Ku dan malaikat-malaikat-Nya Aku akan mengaku bahawa mereka milik-Ku. 6 Jika kamu bertelinga, dengarkanlah apa yang dikatakan oleh Roh Allah kepada jemaah!'' 7 "Tulislah surat ini kepada malaikat jemaah di Filadelfia: Inilah perkhabaran daripada Dia yang suci dan setia. Dia memegang kunci yang dimiliki Daud; apabila Dia membuka pintu, tidak seorang pun dapat menutupnya, dan apabila Dia menutupnya, tidak seorang pun dapat membukanya. 8 Aku mengetahui apa yang kamu lakukan. Aku tahu bahawa kamu tidak seberapa kuat, tetapi kamu telah mengikut ajaran-Ku dan setia kepada-Ku. Aku telah membuka sebuah pintu bagi kamu, yang tidak dapat ditutup oleh sesiapa pun. 9 Ketahuilah! Orang yang berpihak kepada Iblis, pendusta-pendusta yang mengaku diri mereka orang Yahudi padahal bukan, akan Aku bawa kepada kamu untuk bersujud di hadapan kamu. Mereka semua akan tahu bahawa Aku mengasihi kamu. 10 Kerana kamu menurut perintah-Ku supaya tabah ketika menanggung penderitaan, Aku pun akan menyelamatkan kamu daripada masa kesusahan yang akan menimpa seluruh dunia untuk menguji semua orang di bumi. 11 Aku akan segera datang! Jagalah baik-baik apa yang kamu miliki, supaya tidak seorang pun merampas hadiah kemenangan kamu. 12 Sesiapa yang menang akan Aku jadikan seperti tiang di rumah Allah-Ku dan dia tidak akan meninggalkan tempat itu lagi. Pada dirinya akan Aku tulis nama Allah-Ku dan nama kota Allah-Ku, iaitu Yerusalem baru yang akan turun dari syurga, daripada Allah-Ku. Pada dirinya juga akan Aku tulis nama-Ku yang baru. 13 Jika kamu bertelinga, dengarkanlah apa yang dikatakan oleh Roh Allah kepada jemaah!'' 14 "Tulislah surat ini kepada malaikat jemaah di Laodikia: Inilah perkhabaran daripada Dia yang disebut Amin, saksi yang setia dan benar, sumber segala sesuatu yang diciptakan oleh Allah. 15 Aku mengetahui apa yang kamu lakukan. Aku tahu bahawa kamu tidak sejuk dan tidak panas juga. Alangkah baiknya jika kamu salah satu daripadanya. 16 Tetapi kerana kamu suam-suam kuku, Aku akan meludahkan kamu. 17 Kamu berkata, `Kami kaya dan serba cukup; kami tidak kekurangan sesuatu pun.' Tetapi kamu tidak tahu bahawa kamu sangat melarat dan keadaan kamu sangat menyedihkan! Kamu miskin, telanjang, dan buta. 18 Oleh itu Aku menasihati kamu: Belilah emas daripada Aku, belilah emas tulen supaya kamu menjadi kaya. Belilah pakaian putih juga supaya kamu berpakaian dan menutupi keadaan kamu yang telanjang serta memalukan itu. Belilah ubat juga untuk mata kamu supaya boleh melihat. 19 Aku menegur dan menghukum orang yang Aku kasihi. Oleh itu kamu harus bersungguh-sungguh, dan juga bertaubat daripada dosa. 20 Dengarlah! Aku berdiri di depan pintu dan mengetuk. Jika seseorang mendengar suara-Ku dan membuka pintu, Aku akan masuk ke dalam rumahnya lalu makan bersama-sama dia dan dia makan bersama-sama Aku. 21 Mereka yang menang akan Aku benarkan duduk di takhta-Ku, sebagaimana Aku sendiri sudah menang dan sekarang duduk bersama-sama Bapa-Ku di takhta-Nya. 22 Jika kamu bertelinga, dengarkanlah apa yang dikatakan oleh Roh Allah kepada jemaah!''

Wahyu 4

1 Sesudah itu aku nampak suatu penglihatan lagi. Aku melihat sebuah pintu terbuka di syurga. Suara seperti bunyi trompet, yang pernah bercakap kepadaku berkata, "Marilah naik ke sini. Aku akan menunjukkan apa yang harus berlaku selepas ini.'' 2 Dengan segera Roh Allah menguasai aku. Aku melihat sebuah takhta di syurga dan seseorang duduk di atas takhta itu. 3 Mukanya bersinar seperti batu jasper dan batu sardis. Takhta itu dikelilingi oleh pelangi yang bersinar seperti zamrud. 4 Di lingkaran yang mengelilingi takhta itu terdapat dua puluh empat buah takhta lain. Di situ duduk dua puluh empat orang pemimpin yang berpakaian putih dan memakai mahkota emas. 5 Takhta ini memancarkan pancaran kilat dan aku mendengar gemuruh bunyi guruh. Di hadapan takhta itu terdapat tujuh buah suluh yang bernyala; itulah ketujuh-tujuh Roh Allah. 6 Di hadapan takhta itu terdapat sesuatu yang kelihatan seperti lautan kaca, hening seperti kristal. Di sekeliling takhta itu terdapat empat makhluk, satu makhluk pada setiap sisi takhta. Makhluk itu diliputi mata pada bahagian depan dan belakang. 7 Makhluk yang pertama rupanya seperti singa, yang kedua rupanya seperti lembu jantan, yang ketiga mempunyai muka seperti muka manusia, dan yang keempat rupanya seperti burung helang yang sedang terbang. 8 Setiap makhluk itu mempunyai enam buah sayap. Keempat-empat makhluk itu diliputi mata, bahkan bahagian bawah sayap. Siang malam makhluk-makhluk itu tidak henti-hentinya menyanyi, "Suci, suci, sucilah Tuhan, Allah Maha Kuasa, yang ada, yang sudah ada, dan yang akan datang.'' 9 Keempat-empat makhluk itu menyanyikan lagu-lagu kemuliaan, penghormatan, dan kesyukuran kepada Dia yang duduk di atas takhta itu, iaitu Dia yang hidup selama-lamanya. Ketika makhluk-makhluk ini menyanyi, 10 dua puluh empat orang pemimpin itu bersujud di hadapan Dia yang duduk di atas takhta itu dan menyembah Dia yang hidup selama-lamanya. Mereka meletakkan mahkota mereka di hadapan takhta itu dan berkata, 11 "Ya Tuhan dan Allah kami! Engkau sahaja yang layak menerima kemuliaan, penghormatan, dan kekuasaan, kerana Engkaulah yang menciptakan segala sesuatu, dan dengan kehendak-Mu juga segala sesuatu itu wujud dan hidup.''

Wahyu 5

1 Aku melihat sebuah gulungan naskhah di tangan kanan Dia yang duduk di atas takhta itu. Gulungan naskhah itu penuh dengan tulisan pada kedua-dua belah sisinya dan dimeterai dengan tujuh buah meterai. 2 Lalu aku melihat satu malaikat perkasa bertanya dengan suara yang lantang, "Siapakah yang layak memecahkan meterai-meterai ini serta membuka gulungan naskhah ini?'' 3 Tetapi tidak seorang pun di syurga, atau di bumi, ataupun di bawah bumi, yang dapat membuka gulungan naskhah itu dan membaca kandungannya. 4 Aku menangis tersedu-sedu, kerana tidak seorang pun layak membuka gulungan naskhah itu dan membaca kandungannya. 5 Lalu salah seorang pemimpin itu berkata kepadaku, "Jangan menangis! Lihatlah! Singa daripada suku Yehuda, keturunan agung daripada Daud, sudah menang. Dia dapat memecahkan tujuh buah meterai itu dan membuka gulungan naskhah itu.'' 6 Kemudian aku nampak seekor Anak Domba berdiri di tengah-tengah takhta itu, dikelilingi oleh empat makhluk dan semua pemimpin itu. Anak Domba itu nampaknya sudah disembelih. Anak Domba itu mempunyai tujuh buah tanduk dan tujuh biji mata, iaitu tujuh Roh Allah yang telah diutus ke seluruh dunia. 7 Anak Domba itu pergi mengambil gulungan naskhah itu dari tangan kanan Dia yang duduk di atas takhta. 8 Sementara Anak Domba itu berbuat demikian, empat makhluk itu dan dua puluh empat orang pemimpin itu bersujud di hadapan Anak Domba. Masing-masing memegang sebuah kecapi dan sebuah mangkuk emas berisi kemenyan, iaitu doa-doa umat Allah. 9 Mereka menyanyikan sebuah lagu baru, "Engkau layak mengambil gulungan naskhah itu dan memecahkan meterai-meterainya, kerana Engkau telah dibunuh dan dengan kematian-Mu, manusia daripada semua suku, bahasa, negara, dan bangsa telah Engkau beli untuk Allah. 10 Engkau sudah menjadikan mereka imam yang mengabdi kepada Allah kita, dan memerintah di dunia.'' 11 Lalu aku melihat lagi. Aku mendengar suara malaikat yang beribu-ribu dan berjuta-juta bilangannya! Mereka berdiri mengelilingi takhta, keempat-empat makhluk, dan para pemimpin itu. 12 Mereka menyanyi dengan suara yang lantang, "Anak Domba yang sudah dibunuh itu layak menerima kekuasaan, kekayaan, kebijaksanaan, kekuatan, penghormatan, kemuliaan, dan pujian.'' 13 Lalu aku mendengar semua makhluk di syurga, di bumi, di bawah bumi, dan semua makhluk di dalam laut -- pendeknya semua makhluk di alam semesta ini -- menyanyi, "Kepada Dia yang duduk di atas takhta, dan kepada Anak Domba itu, kami persembahkan pujian dan penghormatan, kemuliaan dan kekuasaan selama-lamanya!'' 14 Keempat-empat makhluk itu menjawab, "Amin!'' Para pemimpin itu pun bersujud serta menyembah Allah dan Anak Domba itu.

Wahyu 6

1 Kemudian aku melihat Anak Domba itu memecahkan meterai pertama daripada tujuh buah meterai itu. Lalu aku mendengar salah satu daripada empat makhluk itu berkata dengan suara yang mengguntur, "Mari!'' 2 Aku melihat, lalu nampak seekor kuda putih. Penunggangnya memegang sebuah busur dan dia diberikan sebuah mahkota. Dia mara sebagai seorang penakluk yang menang. 3 Kemudian Anak Domba itu memecahkan meterai kedua, dan aku mendengar makhluk kedua berkata, "Mari!'' 4 Seekor kuda merah keluar. Penunggangnya diberikan kuasa untuk mendatangkan peperangan di bumi, sehingga manusia saling membunuh. Dia diberikan sebilah pedang yang besar. 5 Kemudian Anak Domba itu memecahkan meterai ketiga, dan aku mendengar makhluk ketiga berkata, "Mari!'' Aku melihat, lalu nampak seekor kuda hitam. Penunggangnya memegang sebuah dacing di tangan. 6 Aku mendengar sesuatu yang kedengaran seperti suara dari tengah-tengah empat makhluk itu, berkata, "Satu kilogram gandum seharga upah sehari dan tiga kilogram barli seharga upah sehari juga. Tetapi jangan rosakkan pokok zaitun dan ladang anggur!'' 7 Kemudian Anak Domba itu memecahkan meterai keempat dan aku mendengar makhluk keempat berkata, "Mari!'' 8 Aku melihat, lalu nampak seekor kuda kuning pucat. Penunggangnya bernama Maut, dan Alam Maut mengikutinya dekat di belakang. Mereka diberikan kuasa untuk membunuh seperempat penduduk bumi dengan peperangan, kebuluran, wabak, dan binatang buas. 9 Kemudian Anak Domba itu memecahkan meterai kelima. Di bawah mazbah aku nampak roh-roh orang yang mati terbunuh. Mereka dibunuh kerana mengisytiharkan firman Allah dengan setia melalui kesaksian mereka. 10 Mereka berseru dengan suara lantang, "Ya Tuhan Yang Maha Kuasa, yang suci dan setia! Berapa lama lagi sebelum Engkau menghakimi penduduk bumi dan menghukum mereka kerana telah membunuh kami?'' 11 Setiap orang daripada mereka diberikan sehelai jubah putih. Lalu mereka disuruh berehat lebih lama lagi, sehingga cukup bilangan rakan seperjuangan dan saudara seiman yang akan dibunuh seperti mereka. 12 Kemudian aku melihat Anak Domba itu memecahkan meterai keenam. Lalu berlakulah gempa bumi yang dahsyat. Matahari menjadi hitam seperti kain hitam yang kasar, dan bulan menjadi merah seperti darah. 13 Bintang-bintang jatuh dari langit ke bumi, seperti buah ara yang belum matang gugur dari pokok semasa digoncang oleh angin keras. 14 Langit menghilang seperti gulungan naskhah yang digulung, dan semua gunung serta pulau beralih tempat. 15 Lalu raja-raja dunia, para penguasa, dan panglima, orang kaya dan orang berkuasa serta semua orang lain, baik abdi mahupun orang bebas, menyembunyikan diri di dalam gua-gua dan di celah-celah batu di gunung. 16 Mereka berseru kepada gunung-gunung dan batu-batu itu, "Timpalah kami dan sembunyikanlah kami daripada pandangan Dia yang duduk di atas takhta dan daripada kemurkaan Anak Domba itu! 17 Hari yang dahsyat sudah tiba; Allah dan Anak Domba akan menghukum kami dan tidak seorang pun akan terselamat.''

Wahyu 7

1 Setelah itu, aku nampak empat malaikat berdiri di empat penjuru bumi, dan menahan keempat-empat angin di bumi supaya tidak bertiup di darat, di laut, ataupun pada pokok-pokok. 2 Lalu aku nampak malaikat lain muncul dari sebelah timur, dengan membawa meterai yang digunakan oleh Allah yang hidup. Dengan suara lantang malaikat itu memanggil keempat-empat malaikat yang sudah diberikan kuasa oleh Allah untuk merosakkan darat dan laut. 3 Malaikat itu berkata, "Janganlah rosakkan darat, atau laut, ataupun pokok-pokok, sehingga kami telah memeterai dahi hamba-hamba Allah kita.'' 4 Aku diberitahu bahawa 144,000 orang ditandai dengan meterai Allah pada dahi mereka. Mereka berasal daripada dua belas suku Israel; 5 dua belas ribu orang daripada setiap suku, iaitu suku Yehuda, Ruben, Gad, Asyer, Naftali, Manasye, Simeon, Lewi, Isakhar, Zebulon, Yusuf, dan Benyamin. 9 Setelah itu aku melihat lagi, lalu nampak lautan manusia yang luar biasa banyaknya. Tidak seorang pun dapat mengira mereka! Mereka daripada setiap bangsa, suku, negara, dan bahasa. Dengan berpakaian jubah putih dan dengan memegang daun palma di tangan, mereka berbaris-baris berdiri di hadapan takhta dan Anak Domba itu. 10 Mereka berseru dengan suara kuat, "Kita telah diselamatkan oleh Allah kita, yang duduk di atas takhta, dan oleh Anak Domba itu!'' 11 Semua malaikat berdiri di sekeliling takhta, para pemimpin, dan keempat-empat makhluk itu. Lalu mereka semua bersujud di hadapan takhta dan menyembah Allah. 12 Mereka berkata, "Amin! Pujian, kemuliaan, kebijaksanaan, kesyukuran, penghormatan, kekuasaan, dan kemegahan bagi Allah kita selama-lamanya! Amin.'' 13 Salah seorang pemimpin itu bertanya kepadaku, "Siapakah mereka yang berjubah putih itu, dan dari manakah mereka datang?'' 14 "Saya tidak tahu, tetapi tuan tahu,'' jawabku. Dia berkata kepadaku, "Merekalah orang yang berjaya melalui masa penganiayaan yang dahsyat itu. Mereka telah membasuh dan menjadikan jubah mereka putih dengan darah Anak Domba itu. 15 Itulah sebabnya mereka berdiri di hadapan takhta Allah, dan beribadat kepada-Nya siang malam di dalam rumah Allah. Dia yang duduk di atas takhta akan melindungi mereka dengan hadirat-Nya. 16 Mereka tidak akan lapar ataupun dahaga lagi; matahari ataupun panas terik tidak akan membakar mereka lagi. 17 Hal itu demikian kerana Anak Domba yang di tengah-tengah takhta itu akan menggembalakan mereka, dan Dia akan memimpin mereka ke sumber air yang memberikan hidup. Allah akan menyapu air mata mereka.''

Wahyu 8

1 Ketika Anak Domba itu memecahkan meterai ketujuh, syurga menjadi senyap selama kira-kira setengah jam. 2 Kemudian aku melihat tujuh malaikat berdiri di hadapan Allah, dan mereka diberikan tujuh buah trompet. 3 Satu malaikat lain yang membawa sebuah perbaraan emas, datang dan berdiri di hadapan mazbah. Dia diberikan banyak kemenyan untuk ditambahkan pada doa-doa semua umat Allah, dan untuk dipersembahkan di atas mazbah emas yang terletak di hadapan takhta. 4 Doa umat Allah bersama-sama asap kemenyan yang terbakar itu mengepul naik dari tangan malaikat yang berdiri di hadapan Allah. 5 Kemudian malaikat itu mengambil perbaraan itu, dan mengisinya dengan bara api yang diambil dari mazbah, lalu melemparkannya ke atas bumi. Lalu guruh bergemuruh, kilat sabung-menyabung, dan gempa bumi berlaku. 6 Kemudian tujuh malaikat yang memegang tujuh buah trompet itu bersedia untuk meniup trompet. 7 Malaikat pertama meniup trompetnya, lalu hujan batu dan api bercampur darah, turun dengan derasnya ke atas bumi. Api membakar sepertiga daripada bumi dan memusnahkan semua pokok dan tumbuh-tumbuhan di situ. 8 Kemudian malaikat kedua meniup trompetnya dan sesuatu yang kelihatannya seperti gunung besar yang bernyala-nyala, dilempar ke dalam laut. Sepertiga daripada lautan berubah menjadi darah; 9 sepertiga daripada semua makhluk di laut mati dan sepertiga daripada kapal-kapal musnah. 10 Kemudian malaikat ketiga meniup trompetnya dan sebuah bintang besar, yang bernyala-nyala seperti suluh, jatuh dari langit dan menimpa sepertiga daripada semua sungai dan mata air di bumi. 11 (Nama bintang itu "Pahit''.) Sepertiga daripada air menjadi pahit, dan banyak orang mati kerana minum air yang sudah menjadi pahit. 12 Kemudian malaikat keempat meniup trompetnya. Matahari, bulan, dan bintang terpukul, sehingga tidak dapat bersinar sepertiga daripada waktunya. Matahari tidak bersinar selama sepertiga daripada siang hari; bulan dan bintang tidak bersinar selama sepertiga daripada malam hari. 13 Kemudian aku melihat dan mendengar seekor burung helang yang terbang tinggi di angkasa, berseru, "Sungguh malang! Sungguh malang! Sungguh malang semua orang yang hidup di bumi apabila terdengar bunyi trompet yang akan ditiup oleh tiga malaikat lain.''

Wahyu 9

1 Kemudian malaikat kelima meniup trompetnya, dan aku nampak sebuah bintang jatuh dari langit ke atas bumi. Bintang itu diberikan kunci jurang maut. 2 Bintang itu membuka jurang maut, lalu asap keluar dari dalamnya seperti asap dari relau yang besar. Matahari dan angkasa menjadi gelap kerana asap dari jurang itu. 3 Lalu dari dalam asap keluarlah belalang-belalang yang turun ke atas bumi. Belalang-belalang itu diberikan kekuatan yang dimiliki kala jengking. 4 Belalang-belalang itu dilarang merosak rumput, atau pokok, ataupun tanaman lain. Hanya orang yang tidak bertandakan meterai Allah pada dahi mereka boleh diserang. 5 Belalang-belalang itu tidak dibenarkan membunuh mereka, tetapi hanya menyeksa mereka selama lima bulan. Kesakitan yang disebabkan seksaan belalang-belalang itu seperti kesakitan yang disebabkan sengat kala jengking. 6 Selama lima bulan itu mereka berusaha untuk mati, tetapi tidak dapat; mereka ingin mati, tetapi maut menjauhkan diri daripada mereka. 7 Belalang-belalang itu kelihatan seperti kuda yang siap untuk berperang. Pada kepala belalang ada sesuatu yang nampaknya seperti mahkota emas, dan muka belalang seperti muka manusia. 8 Rambut belalang seperti rambut wanita dan gigi belalang seperti gigi singa. 9 Dada belalang ditutupi dengan sesuatu yang seperti perisai dada. Bunyi sayap kawanan belalang itu seperti bunyi kereta-kereta kuda yang sedang mara ke medan peperangan. 10 Belalang-belalang itu mempunyai ekor dan sengat seperti kala jengking. Dengan ekor itulah belalang berkuasa menyakiti manusia selama lima bulan. 11 Kawanan belalang diperintah oleh raja, iaitu malaikat yang bertanggungjawab atas jurang maut. Dalam bahasa Ibrani namanya Abadon, dan dalam bahasa Yunani namanya Apolion (yang bermakna "Perosak''). 12 Bencana pertama sudah lalu. Setelah itu dua lagi bencana akan datang. 13 Kemudian malaikat keenam meniup trompetnya dan aku mendengar suara yang datang dari keempat-empat sudut mazbah emas di hadapan Allah. 14 Suara itu berkata kepada malaikat keenam, "Lepaskanlah keempat-empat malaikat yang terikat di Sungai Efrat itu!'' 15 Keempat-empat malaikat itu pun dilepaskan. Mereka telah dipersiapkan khas bagi jam, hari, bulan, dan tahun itu, untuk membunuh sepertiga daripada umat manusia. 16 Aku diberitahukan bahawa pasukan berkuda itu berjumlah 200 juta. 17 Dalam penglihatan, aku nampak banyak kuda dengan para penunggang kuda. Mereka memakai perisai dada berwarna merah seperti api, biru seperti batu nilam, dan kuning seperti belerang. Kepala kuda seperti kepala singa dan dari mulut kuda keluar api, asap, dan belerang. 18 Sepertiga daripada umat manusia terbunuh oleh tiga malapetaka itu: api, asap, dan belerang yang keluar dari mulut kuda. 19 Kekuatan kuda terdapat pada mulut dan juga pada ekor. Ekor kuda seperti ular berkepala, dan kuda menggunakan ekor untuk menyeksa manusia. 20 Umat manusia yang selebihnya, yang tidak terbunuh oleh malapetaka itu, tidak meninggalkan berhala yang dibuat oleh mereka. Mereka tidak berhenti menyembah roh jahat dan berhala yang dibuat daripada emas, perak, gangsa, batu, dan kayu. Berhala-berhala itu tidak dapat melihat, mendengar, ataupun berjalan. 21 Mereka juga tidak berhenti melakukan pembunuhan, mengamalkan ilmu sihir, melakukan perbuatan cabul, dan mencuri.

Wahyu 10

1 Kemudian aku melihat satu lagi malaikat perkasa turun dari syurga. Dia diselubungi awan dan kepalanya dikelilingi pelangi. Mukanya bersinar seperti matahari, dan kakinya seperti tiang api. 2 Tangannya memegang sebuah gulungan naskhah kecil yang terbuka. Dia meletakkan kaki kanannya di laut, dan kaki kirinya di darat. 3 Lalu dia berseru dengan suara yang kuat seperti raungan kawanan singa. Setelah dia berseru, tujuh guruh menjawab dengan suara gemuruh. 4 Sebaik sahaja tujuh guruh itu berkata-kata, aku hendak menulis apa yang dikatakan. Tetapi aku mendengar suara dari syurga berkata, "Rahsiakanlah apa yang dikatakan oleh tujuh guruh itu; jangan tulis hal itu!'' 5 Kemudian malaikat yang aku lihat berdiri di laut dan di darat mengangkat tangan kanannya ke langit. 6 Dia bersumpah demi Allah yang hidup selama-lamanya, yang menciptakan langit, bumi, dan laut, serta segala sesuatu di dalam semuanya itu. Malaikat itu berkata, "Masanya tidak akan ditunda lagi! 7 Tetapi apabila malaikat ketujuh meniup trompetnya, Allah akan menyelesaikan rancangan-Nya yang dirahsiakan itu, seperti yang telah diberitakan kepada hamba-hamba-Nya, para nabi.'' 8 Kemudian suara yang aku dengar dari syurga itu, berkata kepadaku lagi, "Pergilah ambil gulungan naskhah terbuka itu, yang dipegang oleh malaikat yang berdiri di laut dan di darat.'' 9 Aku pergi kepada malaikat itu dan meminta dia memberikan gulungan naskhah kecil itu kepadaku. Dia berkata, "Ambillah dan makanlah ini. Gulungan naskhah ini akan menjadi masam di dalam perutmu, tetapi manis seperti madu di mulutmu.'' 10 Aku mengambil gulungan naskhah kecil itu dari tangannya lalu memakannya. Di mulutku gulungan naskhah itu rasanya manis seperti madu, tetapi setelah aku menelannya, gulungan itu menjadi masam di dalam perut. 11 Lalu aku diberitahu, "Sekali lagi engkau mesti mengisytiharkan perkhabaran Allah tentang pelbagai negara, bangsa, bahasa, dan raja.''

Wahyu 11

1 Kemudian aku diberikan sebatang tongkat yang kelihatannya seperti kayu pengukur. Lalu aku diperintahkan, "Pergilah ukur Rumah Allah dan mazbah. Kiralah orang yang beribadat di Rumah Allah. 2 Tetapi janganlah ukur halaman yang di sebelah luar, kerana bahagian itu sudah diserahkan kepada orang yang tidak mengenal Allah. Mereka akan menginjak-injak kota suci itu selama empat puluh dua bulan. 3 Aku akan mengutus dua orang saksi-Ku yang mengenakan pakaian berkabung. Mereka akan mengisytiharkan perkhabaran Allah selama 1,260 hari.'' 4 Kedua-dua orang saksi itu adalah dua batang pokok zaitun dan dua buah kaki pelita yang berdiri di hadapan Tuhan alam semesta. 5 Jika sesiapa cuba mencederakan mereka, api keluar dari mulut mereka dan membinasakan musuh. Dengan demikian sesiapa sahaja yang cuba mencederakan mereka akan terbunuh. 6 Mereka mempunyai kuasa untuk menutup langit supaya hujan tidak turun selama mereka mengisytiharkan perkhabaran Allah. Mereka juga berkuasa atas mata air untuk mengubah air menjadi darah; mereka juga berkuasa menimpakan segala macam malapetaka ke atas bumi, bila-bila masa mereka menghendakinya. 7 Apabila mereka selesai mengisytiharkan perkhabaran, binatang yang keluar dari jurang maut akan melawan mereka, lalu mengalahkan dan membunuh mereka. 8 Mayat mereka akan terlantar di jalan raya kota besar, tempat Tuhan mereka disalibkan. Kota itu diberikan nama kiasan Sodom atau Mesir. 9 Orang dari semua negara, suku, bahasa, dan bangsa akan melihat mayat mereka selama tiga hari setengah, dan tidak mengizinkan mayat-mayat itu dikubur. 10 Penduduk bumi akan bersukacita kerana kematian dua orang saksi ini. Mereka akan merayakannya dan saling mengirim hadiah, kerana kedua-dua orang nabi itu telah mendatangkan banyak kesusahan kepada umat manusia. 11 Setelah tiga hari setengah, nafas daripada Allah yang memberikan hidup, memasuki mereka. Mereka pun bangkit, sehingga semua orang yang melihat mereka sangat ketakutan. 12 Kemudian dua orang nabi itu mendengar suara lantang dari syurga berkata kepada mereka, "Marilah naik ke sini!'' Di depan mata musuh mereka, kedua-dua orang nabi itu naik ke syurga dengan awan. 13 Tepat pada masa itu berlakulah gempa bumi yang dahsyat. Satu persepuluh kota itu musnah dan tujuh ribu orang terbunuh kerana gempa itu. Orang yang selebihnya ketakutan, lalu mereka memuji keagungan Allah di syurga. 14 Bencana kedua sudah lalu. Tetapi lihatlah! Bencana ketiga akan segera datang. 15 Kemudian malaikat ketujuh meniup trompetnya dan suara-suara lantang di syurga berkata, "Allah, Tuhan kita dan Penyelamat yang diutus-Nya mempunyai kuasa untuk memerintah dunia. Dia akan memerintah selama-lamanya!'' 16 Lalu dua puluh empat orang pemimpin yang duduk di atas takhta mereka di hadapan Allah, bersujud dan menyembah Allah. 17 Mereka berkata, "Ya Tuhan, Allah Maha Kuasa, yang ada dan yang sudah ada! Kami bersyukur kepada-Mu kerana Engkau telah menggunakan kuasa-Mu yang besar, dan mula memerintah! 18 Orang yang tidak mengenal Engkau meradang, kerana telah tiba masanya Engkau meluahkan kemurkaan-Mu, dan masanya Engkau mengadili orang mati. Inilah masanya Engkau menghadiahi hamba-hamba-Mu para nabi itu, dan juga umat-Mu, semua orang yang hormat dan takut akan Engkau, baik orang besar mahupun orang biasa. Inilah masanya Engkau membinasakan mereka yang memusnahkan bumi!'' 19 Rumah Allah di syurga terbuka dan Tabut Perjanjian kelihatan di situ. Kemudian kilat sabung-menyabung, guruh menggelegar dan bergemuruh, bumi bergoncang dan hujan batu turun dengan lebat.

Wahyu 12

1 Kemudian terlihat di langit sesuatu yang ajaib dan luar biasa: Seorang wanita berpakaian matahari dan kakinya beralaskan bulan. Dia memakai sebuah mahkota yang terdiri daripada dua belas bintang, pada kepalanya. 2 Dia sedang mengandung dan masa bersalin sudah tiba. Oleh itu, dia berteriak kerana kesakitan. 3 Lalu sesuatu yang ajaib kelihatan pula di langit: Seekor naga merah yang besar sekali mempunyai tujuh kepala dan sepuluh tanduk. Setiap kepala memakai sebuah mahkota. 4 Dengan ekornya naga itu menyeret sepertiga daripada bintang-bintang di langit dan melemparkannya ke bumi. Naga itu berdiri di hadapan wanita yang sedang bersalin, kerana hendak memakan anaknya, sebaik sahaja bayi itu lahir. 5 Kemudian wanita itu melahirkan seorang anak lelaki yang akan memerintah dan menguasai semua bangsa dengan tangan besi. Tetapi anak itu direnggut daripada wanita itu dan dibawa kepada Allah yang duduk di atas takhta. 6 Wanita itu lari ke padang gurun, ke tempat yang telah disediakan oleh Allah baginya. Di situ dia akan dipelihara selama 1,260 hari. 7 Kemudian peperangan berlaku di syurga. Mikhael dengan malaikat-malaikatnya berperang melawan naga itu. Naga itu, yang dibantu oleh malaikat-malaikatnya melawan Mikhael. 8 Tetapi naga itu dikalahkan. Naga itu dan malaikat-malaikatnya tidak dibenarkan tinggal di syurga lagi. 9 Naga besar itu dibuang dari syurga. Itulah ular tua yang bernama Iblis atau Syaitan, yang menipu seluruh dunia. Dia dibuang ke bumi dengan semua malaikatnya. 10 Kemudian aku mendengar suara lantang di syurga berkata, "Sekaranglah masanya Allah menyelamatkan umat-Nya dan menunjukkan kuasa-Nya sebagai Raja! Sekarang Penyelamat yang diutus-Nya itu menunjukkan kekuasaan-Nya, kerana yang menuduh saudara-saudara kita di hadapan Allah siang dan malam, sudah dibuang dari syurga. 11 Saudara-saudara kita telah mengalahkan dia dengan darah Anak Domba dan dengan berita daripada Allah yang diisytiharkan mereka. Mereka tidak cuba menyelamatkan diri, tetapi rela mengorbankan nyawa. 12 Oleh itu, bersukacitalah, hai syurga dan semua yang tinggal di syurga! Tetapi malanglah bumi dan laut, kerana Iblis telah turun kepadamu. Dia sangat marah, kerana tahu bahawa masanya tinggal sedikit.'' 13 Ketika naga itu menyedari dirinya sudah dibuang ke bumi, naga itu mula mengejar wanita yang telah melahirkan anak lelaki itu. 14 Tetapi wanita itu diberikan sepasang sayap burung helang yang besar, supaya dia dapat terbang ke tempatnya di padang gurun. Di situ dia akan dipelihara selama tiga tahun setengah, supaya terhindar daripada serangan naga itu. 15 Kemudian, dari mulutnya naga itu menyemburkan air seperti aliran sungai ke arah wanita itu, untuk menghanyutkan dia. 16 Tetapi bumi menolong wanita itu. Bumi membuka mulut dan menelan air yang keluar dari mulut naga. 17 Naga itu sangat marah terhadap wanita itu, sehingga memerangi semua keturunan lain daripada wanita itu. Mereka itu semua orang yang taat kepada perintah Allah dan setia kepada ajaran yang dinyatakan oleh Yesus. 18 Lalu naga itu berdiri di pantai.

Wahyu 13

1 Kemudian aku melihat seekor binatang keluar dari dalam laut. Binatang itu mempunyai sepuluh tanduk dan tujuh kepala. Pada setiap tanduk ada sebuah mahkota dan pada setiap kepala tertulis satu nama yang mengkufuri Allah. 2 Binatang yang aku lihat itu kelihatan seperti harimau bintang, kakinya seperti kaki beruang dan mulutnya seperti mulut singa. Naga itu memberi binatang itu kekuatannya sendiri, takhtanya, dan kekuasaannya yang besar. 3 Salah satu kepala binatang itu mempunyai parut daripada luka yang parah sekali, tetapi luka itu sudah sembuh. Semua penduduk dunia kehairanan dan mengikut binatang itu. 4 Semua orang menyembah naga itu kerana naga itu sudah memberikan kekuasaannya kepada binatang itu. Mereka juga menyembah binatang itu sambil berkata, "Siapakah seperti binatang ini? Siapakah dapat melawannya?'' 5 Binatang itu dibenarkan mengkufuri Allah dan dibenarkan memerintah selama empat puluh dua bulan. 6 Binatang itu mula mengkufuri Allah, nama Allah, tempat kediaman Allah, dan semua yang tinggal di syurga. 7 Binatang itu dibenarkan melawan umat Allah serta mengalahkan mereka. Binatang itu diberikan kekuasaan atas setiap suku, negara, bahasa, dan bangsa. 8 Semua orang yang hidup di bumi akan menyembah binatang itu, kecuali orang yang nama mereka terdaftar di dalam Kitab Orang Hidup. Nama-nama itu ditulis sebelum dunia ini diciptakan, dan kitab itu dimiliki oleh Anak Domba yang sudah disembelih. 9 "Oleh itu, jika kamu bertelinga, dengarlah! 10 Sesiapa yang harus ditawan, pasti akan ditawan; sesiapa yang harus dibunuh dengan pedang, pasti akan dibunuh dengan pedang. Itulah sebabnya umat Allah mesti tabah hati dan setia kepada Kristus.'' 11 Lalu aku nampak seekor binatang lain keluar dari dalam bumi. Binatang itu mempunyai dua tanduk seperti tanduk anak domba, dan suaranya seperti suara naga. 12 Binatang ini menggunakan kekuasaan besar binatang pertama itu di depan matanya. Semua penduduk dunia dipaksa untuk menyembah binatang pertama, yang luka parahnya sudah sembuh. 13 Binatang kedua ini melakukan mukjizat-mukjizat yang hebat. Di hadapan semua orang, api diturunkannya dari langit ke bumi. 14 Binatang kedua ini diizinkan oleh Allah untuk melakukan mukjizat-mukjizat di hadapan binatang pertama. Dengan mukjizat-mukjizat itu, binatang kedua ini menipu semua orang yang hidup di bumi dan menyuruh mereka membuat sebuah patung untuk menghormati binatang pertama yang sudah dilukai oleh pedang, tetapi tetap hidup. 15 Binatang kedua ini dibolehkan memberikan nyawa kepada patung itu, sehingga patung itu dapat berkata-kata dan membunuh semua orang yang tidak mahu menyembahnya. 16 Binatang kedua ini memaksa semua orang: orang biasa dan orang besar, orang kaya dan orang miskin, abdi dan orang bebas, supaya menerima tanda pada tangan kanan atau dahi mereka. 17 Tidak seorang pun dapat membeli ataupun menjual sesuatu, kecuali dia mempunyai tanda itu, iaitu nama binatang itu sendiri atau nombor yang melambangkan nama itu. 18 Hal ini memerlukan kebijaksanaan. Sesiapa yang bijak dapat memahami erti nombor binatang itu, kerana nombor itu melambangkan nama seorang manusia. Nombor itu 666.

Wahyu 14

1 Kemudian aku melihat dan nampak Anak Domba berdiri di atas Bukit Sion. Bersama-sama-Nya berdiri 144,000 orang yang pada dahi mereka tertulis nama-Nya dan nama Bapa-Nya. 2 Lalu aku mendengar suara dari langit, seperti deruman air terjun dan seperti gemuruh guruh. Bunyi itu seperti muzik daripada para pemain kecapi yang memainkan kecapi. 3 Di hadapan takhta, empat makhluk hidup itu, dan pemimpin-pemimpin itu, berdirilah 144,000 orang itu. Mereka menyanyikan satu nyanyian baru, yang tidak dapat dinyanyikan orang lain. Mereka sahajalah yang telah diselamatkan oleh Allah. 4 Mereka tidak bersetubuh dengan wanita. Oleh itu mereka murni seperti anak dara. Mereka mengikuti Anak Domba ke mana sahaja Dia pergi. Antara umat manusia, merekalah yang telah diselamatkan oleh Allah. Mereka milik Allah dan Anak Domba itu, kerana mereka seperti bahagian pertama daripada tuaian, yang dipersembahkan kepada Allah. 5 Mereka tidak pernah berbohong; mereka tidak bercela. 6 Kemudian aku nampak satu lagi malaikat terbang tinggi di angkasa. Dia membawa berita baik yang kekal untuk diisytiharkan kepada manusia di bumi, iaitu kepada semua bangsa, suku, bahasa, dan negara. 7 Malaikat itu berseru, "Hormatilah Allah dan pujilah kebesaran-Nya! Tibalah masanya Allah menghakimi manusia. Sembahlah Dia yang menjadikan langit, bumi, laut, dan semua mata air!'' 8 Setelah malaikat pertama pergi, datanglah malaikat kedua yang berkata, "Kota Babel sudah jatuh! Kota besar itu sudah jatuh! Perbuatan cabul kota Babel merosakkan semua bangsa, seperti wain yang memabukkan mereka.'' 9 Setelah kedua-dua malaikat itu pergi, datanglah malaikat ketiga yang berseru, "Sesiapa yang menyembah binatang itu dan patungnya, serta menerima tanda binatang itu pada dahi atau tangan, 10 akan minum wain yang melambangkan kemurkaan Allah. Wain yang pekat itu dituang ke dalam cawan kemurkaan-Nya! Semua orang itu akan diseksa di dalam api dan belerang di hadapan malaikat-malaikat suci dan Anak Domba. 11 Asap api yang menyeksa mereka akan mengepul terus-menerus untuk selama-lamanya. Mereka yang menyembah binatang itu dan patungnya, serta mereka yang mempunyai tanda nama binatang itu, akan terus-menerus terseksa siang dan malam.'' 12 Itulah sebabnya umat Allah yang taat kepada perintah-Nya dan setia kepada Yesus mesti tabah hati. 13 Kemudian aku mendengar suara dari syurga berkata, "Tuliskanlah hal ini: Mulai sekarang, berbahagialah orang yang mati semasa mengabdi kepada Tuhan dengan setia!'' "Benar!'' jawab Roh Allah. "Mereka tidak berjerih payah lagi, kerana perbuatan baik mereka akan menyertai mereka.'' 14 Kemudian aku memandang dan nampak awan putih. Di atas awan itu duduklah sesusuk tubuh yang kelihatannya seperti manusia. Kepala-Nya bermahkota emas dan tangan-Nya memegang sebilah sabit yang tajam. 15 Kemudian satu lagi malaikat keluar dari Rumah Allah. Dia berseru dengan suara kuat kepada Dia yang duduk di atas awan itu, "Gunakan sabit-Mu dan mulakan kerja menuai, kerana musim menuai sudah tiba! Tuaian di bumi sudah masak dan sudah tiba masanya untuk dituai!'' 16 Lalu Dia yang duduk di atas awan itu mengayunkan sabit-Nya ke bumi, dan tuaian di bumi dikumpulkan. 17 Kemudian aku nampak satu lagi malaikat keluar dari Rumah Allah di syurga. Dia juga memegang sebilah sabit yang tajam. 18 Setelah itu, satu lagi malaikat yang berkuasa atas api, keluar dari mazbah. Dia berseru dengan suara kuat kepada malaikat yang memegang sebilah sabit tajam itu, "Gunakanlah sabitmu dan sabit buah anggur di ladang anggur di atas bumi, kerana buah anggur sudah masak!'' 19 Oleh itu malaikat itu mengayunkan sabitnya ke bumi dan menyabit buah anggur dari batangnya, lalu melempar buah anggur ke dalam alat pemeras anggur, iaitu kemurkaan Allah. 20 Buah anggur diperas di luar kota, dan dari alat pemeras anggur itu mengalirlah darah seperti air bah, sejauh tiga ratus kilometer dan sedalam kira-kira dua meter.

Wahyu 15

1 Kemudian aku nampak di langit sesuatu yang ajaib, luar biasa, dan menghairankan. Ada tujuh malaikat yang bertugas mendatangkan tujuh bencana terakhir ke atas bumi. Dengan ketujuh-tujuh bencana itu hukuman Allah akan berakhir. 2 Kemudian aku nampak sesuatu yang kelihatannya seperti lautan kaca bercampur api. Aku juga melihat semua orang yang telah mengalahkan binatang itu dan patungnya, serta mengalahkan orang yang namanya dilambangkan oleh nombor. Semua orang itu berdiri di tepi lautan kaca sambil memegang kecapi yang diberikan oleh Allah. 3 Mereka menyanyikan nyanyian Musa, hamba Allah, dan nyanyian Anak Domba, "Tuhan, Allah Yang Maha Kuasa, perbuatan-Mu sungguh agung dan menakjubkan! Raja semua bangsa, alangkah adil dan benar tindakan-Mu! 4 Siapakah yang tidak takut kepada-Mu, ya Tuhan? Siapakah yang tidak mahu mengisytiharkan keagungan-Mu? Hanya Engkau yang suci. Semua bangsa akan datang menyembah Engkau, kerana tindakan-Mu yang adil dilihat oleh semua orang.'' 5 Setelah itu aku melihat Rumah Tuhan di syurga terbuka dan Khemah Tuhan ada di dalamnya. 6 Tujuh malaikat yang bertugas mendatangkan tujuh bencana ke atas bumi, keluar dari Rumah Tuhan. Mereka mengenakan pakaian daripada kain linen yang bersih dan berkilauan. Dada mereka dililiti pengikat daripada emas. 7 Kemudian salah satu daripada empat makhluk itu memberi tujuh malaikat itu tujuh buah mangkuk emas yang penuh dengan kemurkaan Allah, iaitu Allah yang hidup selama-lamanya. 8 Rumah Allah dipenuhi oleh asap daripada kemuliaan dan kekuasaan Allah. Tidak seorang pun dapat masuk ke dalam Rumah Allah sehingga tujuh bencana yang didatangkan oleh tujuh malaikat itu berakhir.

Wahyu 16

1 Kemudian aku mendengar suara lantang dari Rumah Allah berkata kepada tujuh malaikat itu, "Pergilah dan tuanglah isi tujuh mangkuk kemurkaan Allah itu ke atas bumi!'' 2 Malaikat pertama pergi dan menuang isi mangkuknya ke atas bumi. Lalu timbullah kudis yang teruk dan menyakitkan pada semua orang yang mempunyai tanda binatang itu, serta pada orang yang menyembah patungnya. 3 Kemudian malaikat kedua menuang isi mangkuknya ke laut. Lalu air laut berubah menjadi seperti darah orang mati dan matilah semua makhluk yang hidup di dalam laut. 4 Kemudian malaikat ketiga menuang isi mangkuknya ke dalam sungai dan mata air, lalu air berubah menjadi darah. 5 Aku mendengar malaikat yang berkuasa atas air berkata, "Hukuman yang Engkau jatuhkan itu adil, ya Yang Maha Suci, Allah yang ada dan yang sudah ada! 6 Mereka telah menumpahkan darah umat Allah dan darah para nabi. Sekarang Engkau memberi mereka minum darah. Hukuman itu setimpal dengan perbuatan mereka!'' 7 Kemudian aku mendengar suara dari mazbah berkata, "Tuhan, Allah Yang Maha Kuasa! Hukuman-Mu itu benar dan adil!'' 8 Kemudian malaikat keempat menuang isi mangkuknya ke atas matahari, lalu matahari dibenarkan menghanguskan manusia dengan panasnya yang terik. 9 Manusia dihanguskan oleh panas yang terik itu dan mereka mengutuki Allah, yang berkuasa atas semua malapetaka tersebut. Tetapi mereka tidak mahu bertaubat daripada dosa dan tidak mahu memuji keagungan Allah. 10 Kemudian malaikat kelima menuang isi mangkuknya ke takhta binatang itu. Lalu seluruh kerajaan binatang itu menjadi gelap dan manusia menggigit lidah kerana kesakitan. 11 Mereka mengutuki Allah di syurga kerana kesakitan dan kudis mereka. Tetapi mereka tidak bertaubat daripada perbuatan jahat mereka. 12 Kemudian malaikat keenam menuang isi mangkuknya ke dalam Sungai Efrat yang besar. Sungai itu menjadi kering sehingga raja-raja dari timur dapat melaluinya. 13 Kemudian aku melihat tiga roh jahat yang kelihatan seperti katak. Roh-roh itu keluar dari mulut naga, dari mulut binatang itu, dan dari mulut nabi palsu. 14 Roh-roh itu roh jahat yang melakukan mukjizat-mukjizat. Ketiga-tiga roh itu pergi kepada semua raja di seluruh dunia, dan mengumpulkan mereka untuk berperang pada hari Allah Yang Maha Kuasa menjatuhkan hukuman. 15 "Dengarlah! Aku datang seperti pencuri! Berbahagialah orang yang berjaga-jaga dan siap berpakaian, sehingga mereka tidak berjalan dalam keadaan telanjang dan dipermalukan di hadapan umum!'' 16 Kemudian roh-roh itu mengumpulkan semua raja itu di suatu tempat yang dalam bahasa Ibrani dinamakan Harmagedon. 17 Kemudian malaikat ketujuh menuang isi mangkuknya ke udara. Lalu terdengarlah dari takhta di Rumah Allah, suara kuat berkata, "Sudah selesai!'' 18 Kemudian kilat sabung-menyabung, guruh berderam-derum dan gempa bumi yang dahsyat berlaku. Belum pernah gempa bumi semacam itu berlaku sejak manusia dijadikan. Inilah gempa bumi yang paling dahsyat! 19 Kota besar itu terbelah menjadi tiga bahagian, dan kota-kota semua negeri di bumi juga musnah. Allah tidak lupa akan Babel yang besar itu. Dia memaksa Babel minum dari mangkuk-Nya yang berisi wain kemurkaan Allah yang menyala-nyala. 20 Semua pulau lenyap, dan semua gunung pun tiada lagi. 21 Hujan batu yang dahsyat turun dari langit dan menimpa manusia. Berat setiap batu hampir lima puluh kilogram. Oleh itu manusia mengutuki Allah kerana malapetaka hujan batu yang dahsyat itu.

Wahyu 17

1 Kemudian salah satu daripada tujuh malaikat yang memegang tujuh buah mangkuk itu datang kepadaku dan berkata, "Marilah, kepadamu akan aku tunjukkan bagaimana pelacur yang termasyhur itu dihukum. Pelacur itu kota besar yang dibina dekat sungai-sungai. 2 Raja-raja dunia melakukan perbuatan cabul dengan pelacur itu, dan penduduk dunia menjadi seperti orang mabuk ketika pelacur itu melakukan perbuatan cabul dengan mereka.'' 3 Lalu Roh Allah menguasai aku dan malaikat itu membawa aku ke padang gurun. Di situ aku melihat seorang wanita duduk di atas seekor binatang berwarna merah, yang seluruh badannya ditulisi dengan nama-nama yang mengkufuri Allah. Binatang itu mempunyai tujuh kepala dan sepuluh tanduk. 4 Wanita itu berpakaian ungu dan merah tua, serta memakai perhiasan emas, permata, dan mutiara. Tangannya memegang sebuah cawan emas yang penuh dengan perkara-perkara cabul dan keji, hasil daripada perbuatannya yang cabul. 5 Pada dahinya tertulis suatu nama yang mempunyai makna rahsia. Nama itu "Babel yang besar, ibu kepada semua pelacur dan orang yang melakukan perbuatan cabul di dunia ini.'' 6 Lalu aku nampak wanita itu mabuk kerana minum darah umat Allah dan darah orang yang dibunuh kerana setia kepada Yesus. Aku sangat hairan ketika nampak wanita itu. 7 Tetapi malaikat itu berkata kepadaku, "Mengapakah engkau hairan? Aku akan memberitahu engkau rahsia tentang wanita itu dan binatang yang ditungganginya, iaitu binatang yang mempunyai tujuh kepala dan sepuluh tanduk. 8 Binatang itu dahulu pernah hidup, tetapi sekarang tidak hidup lagi. Tidak lama lagi binatang itu akan keluar dari jurang maut dan akan menuju kepada kebinasaan. Penduduk bumi yang nama mereka tidak terdaftar di dalam Kitab Orang Hidup sebelum dunia diciptakan, akan hairan apabila mereka melihat binatang itu. Binatang itu dahulu pernah hidup; sekarang binatang itu tidak hidup lagi, tetapi akan muncul semula. 9 Hal ini memerlukan kebijaksanaan dan pengertian. Tujuh kepala itu melambangkan tujuh buah bukit, tempat wanita itu duduk. Tujuh kepala itu juga melambangkan tujuh orang raja. 10 Lima orang antara mereka sudah meninggal, yang seorang masih memerintah, dan yang seorang lagi belum datang. Apabila dia datang, dia akan memerintah sebentar sahaja. 11 Binatang yang dahulu pernah hidup, tetapi sekarang tidak hidup lagi, melambangkan raja kelapan. Dia salah satu daripada tujuh orang raja itu juga dan sedang menuju kepada kebinasaan. 12 Sepuluh tanduk yang engkau lihat itu melambangkan sepuluh orang raja yang belum mula memerintah. Tetapi mereka akan diberikan kuasa untuk memerintah sebagai raja bersama-sama binatang itu selama sejam. 13 Sepuluh orang raja itu semuanya mempunyai tujuan yang sama dan mereka menyerahkan kekuatan dan kekuasaan mereka kepada binatang itu. 14 Mereka akan berperang melawan Anak Domba. Tetapi Anak Domba itu dengan para pengikut-Nya yang setia, yang telah dipanggil dan dipilih oleh-Nya akan mengalahkan mereka. Dialah Tuhan Yang Agung dan Raja Yang Terutama.'' 15 Malaikat itu berkata pula kepadaku, "Sungai-sungai yang engkau lihat itu, tempat pelacur itu duduk, melambangkan pelbagai negara, rakyat, bangsa, dan bahasa. 16 Sepuluh tanduk yang engkau lihat itu, dan binatang itu akan membenci pelacur itu. Mereka akan merampas segala sesuatu yang dimiliki pelacur itu dan mereka akan menelanjangi dia. Mereka akan makan dagingnya dan membinasakan dia dengan api. 17 Hal itu demikian kerana Allah telah menggerakkan hati mereka untuk melaksanakan rancangan-Nya. Allah menyebabkan mereka bersetuju untuk menyerahkan kekuasaan mereka kepada binatang itu, supaya binatang itu memerintah sehingga apa yang difirmankan oleh Allah berlaku. 18 Wanita yang engkau lihat itu kota besar yang rajanya memerintah raja-raja di bumi.''

Wahyu 18

1 Setelah itu aku melihat satu lagi malaikat turun dari syurga. Dia mempunyai kuasa besar, dan cahaya yang mengelilinginya menerangi seluruh bumi. 2 Dia berseru dengan suara lantang, "Babel sudah jatuh! Babel yang agung sudah jatuh! Sekarang syaitan-syaitan dan roh-roh jahat tinggal di Babel. Segala macam burung yang najis dan dibenci orang tinggal di situ. 3 Semua bangsa sudah minum wainnya, iaitu perbuatannya yang cabul. Raja-raja dunia melakukan perbuatan cabul dengannya, dan saudagar-saudagar di bumi menjadi kaya oleh nafsunya yang tidak terkendali itu.'' 4 Kemudian aku mendengar suara lain dari syurga berkata, "Keluarlah, hai umat-Ku! Keluarlah dari Babel! Janganlah berbuat dosa seperti penduduk kota itu; janganlah ikut menanggung hukumannya, 5 kerana dosanya bertimbun-timbun sampai ke langit, dan Allah tidak lupa akan kejahatannya. 6 Perlakukanlah Babel sebagaimana Babel telah memperlakukan kamu; balaslah Babel dua kali ganda bagi semua perbuatannya. Isilah cawannya dengan minuman yang dua kali lebih keras daripada minuman yang disediakannya untuk kamu. 7 Berilah Babel penderitaan dan kesedihan sebanyak kemuliaan dan kemewahan yang diberikannya kepada dirinya sendiri, kerana Babel sentiasa berkata kepada dirinya sendiri, `Aku ratu yang memerintah! Aku bukan balu, aku tidak akan mengalami kesedihan!' 8 Itulah sebabnya dalam sehari semua malapetaka ini akan menimpanya: penyakit, kesedihan, dan kebuluran. Babel akan dihanguskan oleh api, kerana Tuhan Allah yang menghakiminya itu berkuasa.'' 9 Raja-raja dunia yang ikut melakukan perbuatan cabul dan lucah dengannya, akan menangisi dan meratapi kota itu apabila mereka melihat asap api yang menghanguskannya. 10 Mereka berdiri dari jauh, kerana mereka takut terkena penderitaannya. Mereka berkata, "Alangkah malangnya kota Babel yang agung dan perkasa itu! Dalam satu jam sahaja Babel telah dihukum!'' 11 Para saudagar di bumi menangis dan berkabung kerananya, oleh sebab tidak seorang pun membeli barang dagangan mereka lagi. 12 Tidak seorang pun membeli emas, perak, permata, ataupun mutiara mereka; tidak seorang pun membeli kain linen, kain ungu, kain sutera, dan kain merah tua; tidak seorang pun membeli segala macam kayu yang jarang didapati, pelbagai benda yang dibuat daripada gading, kayu yang mahal, gangsa, besi, dan marmar; 13 tidak seorang pun membeli kayu manis, rempah-rempah, setanggi, mur, dan kemenyan; tidak seorang pun membeli wain dan minyak, tepung dan gandum, lembu dan domba, kuda dan pedati, abdi dan tawanan perang sekalipun. 14 Para saudagar berkata kepadanya, "Segala yang ingin engkau miliki sudah lenyap, dan semua kekayaan serta keindahanmu sudah hilang. Engkau tidak akan mendapati semua itu lagi!'' 15 Para saudagar yang menjadi kaya kerana berniaga di kota itu akan berdiri dari jauh, kerana mereka takut terkena penderitaannya. Mereka akan menangis dan berkabung, 16 serta berkata, "Alangkah malangnya kota yang agung itu! Biasanya Babel berpakaian kain linen, kain ungu, dan kain merah tua; biasanya Babel memakai perhiasan emas, permata, dan mutiara! 17 Tetapi dalam satu jam sahaja, Babel telah kehilangan segala kekayaannya!'' Semua nakhoda, penumpang, dan anak kapal, serta semua orang yang mempunyai mata pencarian di laut, berdiri dari jauh. 18 Mereka berteriak apabila melihat asap api yang membakar kota itu. Mereka berseru, "Belum pernah ada kota seperti kota yang agung ini!'' 19 Mereka menghamburkan abu ke atas kepala sebagai tanda berkabung. Lalu mereka menangis dan berseru, "Alangkah malangnya kota yang agung itu! Di situlah semua orang yang mempunyai kapal-kapal di laut menjadi kaya kerana kekayaan kota itu! Tetapi dalam satu jam sahaja, Babel telah kehilangan segala-galanya!'' 20 Bersukacitalah, hai syurga, kerana kemusnahan kota itu! Bersukacitalah, hai umat Allah, rasul-rasul, dan nabi-nabi, kerana Allah telah menghukum Babel bagi apa yang sudah dilakukannya terhadap kamu! 21 Kemudian satu malaikat perkasa mengangkat sebuah batu sebesar batu kisaran yang besar, lalu membuangnya ke dalam laut seraya berkata, "Demikianlah kota Babel yang agung itu akan dihempaskan dengan kuat, dan tidak akan dijumpai lagi. 22 Suara penyanyi dan bunyi muzik daripada pemain kecapi, pemain seruling dan trompet tidak akan terdengar lagi di kota Babel! Semua tukangmu yang mahir tidak dapat dijumpai lagi dan bunyi batu kisaran pun tidak akan terdengar lagi! 23 Cahaya pelita tidak akan terlihat lagi di Babel dan keriuhan pesta perkahwinan tidak akan terdengar lagi. Saudagar-saudagarmu ialah orang yang terkemuka di seluruh dunia, dan dengan ilmu sihir engkau menipu semua orang di dunia!'' 24 Babel dihukum kerana darah nabi-nabi dan darah umat Allah didapati di dalam kota itu -- singkatnya darah semua orang yang sudah dibunuh di atas bumi.

Wahyu 19

1 Setelah itu aku mendengar sesuatu seperti suara sekumpulan orang ramai di syurga yang berseru, "Pujilah Allah! Allah kita Allah yang menyelamatkan! Dia Allah yang mulia dan berkuasa! 2 Penghakiman-Nya benar dan adil! Dia telah menjatuhkan hukuman kepada pelacur termasyhur itu, yang menyesatkan dunia dengan perbuatan cabulnya. Allah sudah menghukum dia kerana dia membunuh hamba-hamba Allah.'' 3 Sekali lagi mereka berseru, "Pujilah Allah! Asap api yang menghanguskan kota agung itu mengepul terus-menerus untuk selama-lamanya!'' 4 Dua puluh empat orang pemimpin dan empat makhluk itu bersujud dan menyembah Allah yang duduk di atas takhta. Mereka berkata, "Amin! Pujilah Allah!'' 5 Lalu terdengar dari takhta itu suara yang berkata, "Pujilah Allah, hai semua hamba-Nya dan semua orang yang takut akan Dia -- baik orang besar mahupun orang biasa!'' 6 Kemudian aku mendengar sesuatu seperti suara sekumpulan orang ramai, seperti deruman air terjun, dan seperti gemuruh guruh. Aku mendengar mereka berkata, "Pujilah Allah, kerana Tuhan, Allah kita Yang Maha Kuasa itu Raja! 7 Marilah kita bersukacita dan bergembira! Marilah kita memuji keagungan-Nya, kerana masa perkahwinan Anak Domba sudah tiba dan pengantin perempuan-Nya sudah siap untuk perkahwinan itu. 8 Pengantin perempuan itu telah diberikan pakaian linen yang bersih dan berkilauan untuk dikenakan.'' (Pakaian linen itu perbuatan baik yang dilakukan oleh umat Allah.) 9 Kemudian malaikat itu berkata kepadaku, "Tuliskan ini: Berbahagialah orang yang telah dijemput ke majlis perkahwinan Anak Domba itu.'' Malaikat itu berkata lagi, "Inilah firman yang benar daripada Allah.'' 10 Aku bersujud hendak menyembah dia, tetapi dia berkata kepadaku, "Jangan! Jangan sembah aku, sembahlah Allah! Aku pun hamba seperti engkau dan semua saudaramu, dan seperti semua orang yang berpegang teguh pada ajaran benar yang dinyatakan oleh Yesus.'' Ajaran benar yang dinyatakan Yesus itulah yang mengilhami nabi-nabi. 11 Kemudian aku nampak syurga terbuka dan aku melihat seekor kuda putih. Penunggangnya bernama Yang Setia dan Yang Benar. Dia menghakimi dengan adil dan berperang untuk keadilan. 12 Mata-Nya menyala seperti api dan Dia memakai banyak mahkota pada kepala-Nya. Pada diri-Nya tertulis satu nama yang hanya diketahui oleh-Nya. 13 Jubah yang dipakai-Nya berlumuran darah. Nama-Nya "Firman Allah.'' 14 Tentera syurga mengikuti Dia dengan menunggang kuda putih dan mengenakan pakaian linen putih yang bersih. 15 Dari mulut-Nya keluar sebilah pedang yang tajam, dan dengan pedang itu Dia akan mengalahkan bangsa-bangsa. Dia akan memerintah mereka dengan tangan besi. Dia akan memeras anggur di dalam alat pemeras anggur, iaitu kemurkaan yang menyala-nyala daripada Allah Yang Maha Kuasa. 16 Pada jubah-Nya dan paha-Nya tertulis nama ini: "Raja Yang Terutama dan Tuhan Yang Agung.'' 17 Kemudian aku nampak satu malaikat berdiri di atas matahari. Dengan suara kuat dia berseru kepada semua burung yang terbang di angkasa, "Marilah berkumpul untuk menghadiri jamuan besar yang disediakan oleh Allah. 18 Marilah makan daging raja, daging panglima dan askar, daging kuda dan penunggang kuda, daging semua orang, baik abdi mahupun orang bebas, orang besar mahupun orang biasa!'' 19 Kemudian aku nampak binatang itu dan raja-raja di bumi dengan tentera mereka berkumpul untuk melawan Dia yang menunggang kuda putih dengan tentera-Nya. 20 Tetapi binatang itu ditawan bersama-sama nabi palsu yang telah melakukan mukjizat di hadapannya. (Dengan mukjizat itulah binatang itu menipu orang yang mempunyai tanda binatang itu, dan orang yang menyembah patung binatang itu.) Binatang itu dan nabi palsu itu dibuang hidup-hidup ke dalam lautan api yang bernyala-nyala dengan belerang. 21 Tentera mereka dibunuh dengan pedang yang keluar dari mulut penunggang kuda putih itu. Lalu semua burung datang dan memakan daging mereka dengan lahap.

Wahyu 20

1 Kemudian aku nampak satu malaikat turun dari syurga. Dia memegang kunci jurang maut dan seutas rantai besar. 2 Dia menangkap naga itu, ular tua itu iaitu Iblis atau Syaitan, dan merantainya selama seribu tahun. 3 Malaikat itu membuang naga itu ke dalam jurang maut, lalu mengunci jurang itu dan memeteraikannya, supaya naga itu tidak dapat menipu bangsa-bangsa lagi, sehingga masa seribu tahun itu berlalu. Selepas itu naga itu mesti dilepaskan untuk masa yang singkat. 4 Kemudian aku nampak takhta-takhta dan orang yang duduk di atas takhta-takhta itu diberikan kuasa untuk menghakimi. Aku juga melihat roh-roh orang yang sudah dipancung kerana memberitakan ajaran benar yang dinyatakan oleh Yesus, dan kerana menyampaikan firman Allah. Mereka tidak menyembah binatang itu ataupun patungnya. Mereka tidak menerima tanda binatang itu pada dahi ataupun pada tangan. Mereka hidup semula dan memerintah sebagai raja bersama-sama Kristus selama seribu tahun. 5 (Tetapi orang mati lainnya tidak hidup semula sehingga masa seribu tahun itu berlalu.) Inilah tahap pertama orang mati dibangkitkan. 6 Berbahagialah mereka yang dibangkitkan pada tahap pertama itu; mereka milik Allah. Kematian tahap kedua tidak berkuasa atas mereka. Mereka akan menjadi imam Allah dan imam Kristus. Mereka akan memerintah bersama-sama Dia selama seribu tahun. 7 Selepas masa seribu tahun itu berlalu, Iblis akan dilepaskan dari penjara, 8 dan dia akan pergi menipu bangsa-bangsa yang tersebar di seluruh dunia, iaitu Gog dan Magog. Iblis akan mengumpulkan mereka semua untuk berperang, dan mereka sebanyak pasir di pantai. 9 Mereka berpecah-pecah ke seluruh dunia, lalu mengepung perkhemahan umat Allah dan kota yang dikasihi-Nya. Tetapi api turun dari langit dan memusnahkan bangsa-bangsa itu. 10 Kemudian Iblis yang telah menipu mereka itu dibuang ke dalam lautan api dan belerang. Di situlah tempat binatang itu dan nabi palsu itu telah dibuang dahulu. Mereka semua akan diseksa siang dan malam untuk selama-lamanya. 11 Kemudian aku nampak sebuah takhta besar berwarna putih dan Dia yang duduk di atasnya. Langit dan bumi lari dari hadirat-Nya, sehingga tidak kelihatan lagi. 12 Aku nampak orang yang sudah mati, baik orang besar mahupun orang biasa, semuanya berdiri di hadapan takhta itu. Lalu kitab-kitab pun dibuka dan sebuah kitab lain juga dibuka iaitu Kitab Orang Hidup. Orang yang sudah mati dihakimi menurut perbuatan mereka seperti yang tertulis di dalam kitab-kitab itu. 13 Lalu laut menyerahkan orang mati yang ada di dalamnya. Maut dan alam maut pun menyerahkan orang mati yang di situ. Semua orang mati diadili menurut perbuatan masing-masing. 14 Kemudian maut dan alam maut dibuang ke dalam lautan api. (Lautan api ini kematian tahap kedua.) 15 Sesiapa yang namanya tidak tertulis di dalam Kitab Orang Hidup dibuang ke dalam lautan api.

Wahyu 21

1 Kemudian aku nampak langit baru dan bumi baru. Langit pertama dan bumi pertama tidak ada lagi, dan laut pun lenyap. 2 Aku nampak kota suci itu, Yerusalem baru turun dari syurga daripada Allah. Kota itu sudah disiapkan seperti pengantin perempuan yang telah berhias untuk menemui suaminya. 3 Aku mendengar suara lantang berseru dari takhta itu, "Sekarang Allah tinggal bersama-sama manusia! Dia akan hidup bersama-sama mereka dan mereka akan menjadi umat-Nya. Allah sendiri akan tinggal bersama-sama mereka dan menjadi Allah mereka. 4 Dia akan menyapu air mata mereka. Kematian akan tiada lagi, demikian juga kesedihan, tangisan, dan kesakitan. Perkara-perkara lama sudah lenyap.'' 5 Kemudian Dia yang duduk di atas takhta itu berkata, "Sekarang Aku menjadikan semuanya baru!'' Dia juga berkata kepadaku, "Tuliskanlah ini, kerana kata-kata ini benar dan dapat dipercayai.'' 6 Dia berkata, "Sudah selesai! Akulah yang pertama dan yang terakhir, Akulah Tuhan dari permulaan sampai penghabisan. Orang yang dahaga akan Aku berikan air minum dengan percuma dari sumber air yang memberikan hidup. 7 Sesiapa yang menang akan menerima hak ini daripada-Ku: Aku akan menjadi Allahnya, dan dia akan menjadi anak-Ku. 8 Tetapi pengecut, pengkhianat, orang yang melakukan perbuatan cabul, pembunuh, orang yang lucah, orang yang mengamalkan ilmu ghaib, penyembah berhala, dan semua pendusta, akan dibuang ke dalam lautan api dan belerang yang bernyala-nyala, iaitu kematian tahap kedua.'' 9 Satu daripada tujuh malaikat yang mempunyai tujuh buah mangkuk yang penuh dengan tujuh bencana terakhir itu datang kepadaku dan berkata, "Marilah, aku akan menunjukkan Pengantin Perempuan kepadamu, iaitu isteri Anak Domba.'' 10 Roh Allah menguasai aku, dan malaikat itu membawa aku ke puncak gunung yang sangat tinggi. Dia menunjukkan Yerusalem kepadaku, kota suci itu yang turun dari syurga daripada Allah, 11 dengan semarak kemuliaan Allah. Kota itu berkilauan seperti batu permata, seperti batu jasper yang hening seperti kristal. 12 Kota itu bertembok tinggi besar, dengan dua belas buah pintu gerbang, dan dijaga oleh dua belas malaikat. Pada pintu-pintu gerbang itu tertulis nama dua belas suku Israel. 13 Pada setiap sisi terdapat tiga buah pintu gerbang: tiga di sebelah timur, tiga di sebelah selatan, tiga di sebelah utara, dan tiga di sebelah barat. 14 Tembok kota itu dibina di atas dua belas buah batu asas. Pada setiap batu asas tertulis nama dua belas orang rasul Anak Domba itu. 15 Malaikat yang berkata-kata kepadaku mempunyai sebatang pengukur daripada emas, untuk mengukur kota itu, pintu-pintu gerbangnya, dan temboknya. 16 Kota itu berbentuk empat persegi, panjang dan lebarnya sama. Malaikat itu mengukur kota itu dengan tongkat pengukurnya: panjangnya 2,400 kilometer; lebar dan tingginya sama dengan panjangnya. 17 Malaikat itu juga mengukur tembok kota: tingginya enam puluh meter menurut ukuran yang biasa diguna oleh manusia. 18 Tembok kota itu dibuat daripada batu jasper, sedangkan kota itu sendiri dibuat daripada emas tulen, hening seperti kaca. 19 Batu-batu asas tembok kota itu dihiasi berbagai-bagai batu permata. Batu asas yang pertama batu jasper, yang kedua batu nilam, yang ketiga batu akik, yang keempat batu zamrud, 20 yang kelima batu oniks, yang keenam batu sardis, yang ketujuh batu kuarza kuning, yang kelapan batu beril, yang kesembilan batu topaz, yang kesepuluh batu kalsedoni, yang kesebelas batu firus, dan yang kedua belas batu kecubung. 21 Dua belas buah pintu gerbang itu dua belas mutiara: tiap-tiap pintu gerbang dibuat daripada satu mutiara. Jalan raya kota itu dibuat daripada emas tulen, hening seperti kaca. 22 Aku tidak nampak rumah ibadat di kota itu, kerana rumah ibadat itu Tuhan Allah Yang Maha Kuasa dan Anak Domba. 23 Kota itu tidak memerlukan matahari ataupun bulan untuk menyinarinya, kerana kemuliaan Allah meneranginya, dan Anak Domba itu lampunya. 24 Bangsa-bangsa di dunia akan hidup dalam cahayanya, dan raja-raja dunia pun akan membawa kekayaan mereka ke dalam kota itu. 25 Pintu gerbang kota itu akan terbuka sepanjang hari; pintu gerbang kota tidak akan ditutup kerana tidak ada malam di situ. 26 Kebesaran dan kekayaan bangsa-bangsa akan dibawa ke dalam kota itu. 27 Tetapi segala sesuatu yang najis tidak akan masuk ke kota itu, demikian juga orang yang melakukan perkara-perkara memalukan, dan orang yang berdusta. Hanya orang yang nama mereka tertulis di dalam Kitab Orang Hidup, yang dimiliki oleh Anak Domba akan masuk ke kota itu.

Wahyu 22

1 Malaikat itu juga menunjukkan sungai kepadaku; air sungai itu memberikan hidup. Sungai itu berkilauan seperti kristal dan mengalir dari takhta Allah dan Anak Domba 2 ke tengah-tengah jalan raya di kota itu. Pada kedua-dua tepi sungai itu terdapat sebatang pokok sumber kehidupan, yang berbuah dua belas kali setahun, iaitu sekali sebulan. Daunnya digunakan untuk menyembuhkan bangsa-bangsa. 3 Di dalam kota itu tidak terdapat sesuatu pun yang kena kutuk Allah. Takhta Allah dan Anak Domba akan ada di dalam kota itu dan hamba-hamba-Nya akan menyembah Dia. 4 Mereka akan melihat wajah-Nya, dan nama-Nya akan ditulis pada dahi mereka. 5 Malam tiada lagi; lampu dan cahaya matahari pun tidak diperlukan, kerana Tuhan Allah sendiri akan menerangi mereka. Mereka akan memerintah sebagai raja selama-lamanya. 6 Kemudian malaikat itu berkata kepadaku, "Kata-kata ini benar dan dapat dipercayai. Tuhan Allah yang memberikan Roh-Nya kepada nabi-nabi, telah mengutus malaikat-Nya kepada hamba-hamba-Nya untuk menunjukkan apa yang mesti segera berlaku.'' 7 "Dengarlah!'' kata Yesus. "Aku akan segera datang! Berbahagialah orang yang mentaati kata-kata nubuat di dalam kitab ini!'' 8 Aku, Yohanes sudah mendengar dan melihat segala perkara ini. Setelah aku mendengar dan melihatnya, aku bersujud di hadapan malaikat yang menunjukkan segala perkara itu kepadaku. Aku hendak menyembah dia, 9 tetapi dia berkata kepadaku, "Janganlah sembah aku, kerana aku pun hamba seperti engkau dan seperti saudara-saudaramu para nabi itu, dan seperti semua orang yang mentaati kata-kata di dalam kitab ini. Sembahlah Allah!'' 10 Dia berkata lagi, "Janganlah rahsiakan kata-kata nubuat di dalam kitab ini, kerana sudah hampir masanya apabila semua perkara ini akan berlaku. 11 Orang yang jahat akan terus berbuat jahat; orang yang mencemarkan diri akan terus mencemarkan diri; orang yang melakukan kehendak Allah mesti terus melakukannya, dan orang yang mengabdikan diri kepada Allah mesti terus mengabdikan diri.'' 12 "Dengarlah!'' kata Yesus. "Aku akan segera datang! Aku akan membawa ganjaran untuk tiap-tiap orang menurut perbuatannya. 13 Akulah yang pertama dan yang terakhir, yang awal dan yang penghujung; Akulah Tuhan dari permulaan sampai penghabisan.'' 14 Berbahagialah orang yang mencuci jubah mereka sehingga bersih. Mereka berhak makan buah pokok sumber kehidupan dan masuk ke dalam kota melalui pintu gerbang. 15 Tetapi orang yang melakukan perbuatan cabul, orang yang mengamalkan ilmu ghaib, orang yang lucah, pembunuh, orang yang menyembah berhala, dan orang yang berdusta baik dengan kata-kata mahupun dengan perbuatan, tidak dibenarkan masuk ke dalam kota. 16 "Aku, Yesus, telah mengutus malaikat-Ku supaya mengisytiharkan perkara-perkara ini kepada jemaah. Aku keturunan Daud; Aku bintang timur yang terang itu.'' 17 Roh Allah dan Pengantin Perempuan berkata, "Marilah!'' Tiap-tiap orang yang mendengarnya juga mesti berkata, "Marilah!'' Marilah, sesiapa yang dahaga! Terimalah pemberian air yang memberikan hidup, hai kamu yang menginginkannya! 18 Aku, Yohanes, dengan sungguh-sungguh memperingatkan setiap orang yang mendengar kata-kata nubuat kitab ini: Jika seseorang menambahkan apa sahaja pada nubuat ini, Allah juga akan menambahkan hukumannya dengan malapetaka yang digambarkan di dalam kitab ini. 19 Jika seseorang mengurangkan kata-kata nubuat di dalam kitab ini, Allah juga akan mengambil balik hak orang itu untuk makan buah pokok sumber kehidupan dan haknya untuk tinggal di kota suci itu, seperti yang digambarkan di dalam kitab ini. 20 Dia yang memberikan semua kesaksian ini berkata, "Betul, Aku akan segera datang!'' Amin! Datanglah, ya Tuhan Yesus! 21 Semoga Tuhan Yesus memberkati setiap orang.