Seorang bernama Yohanes diutus oleh Allah. Yohanes datang untuk memberitahu orang tentang cahaya itu, supaya semua orang mendengar dan percaya kepada perkhabarannya. Dia sendiri bukan cahaya itu; dia datang untuk mengkhabarkan cahaya itu. Inilah cahaya sejati, yang datang ke dunia untuk menerangi umat manusia.
Firman itu ada di dunia. Walaupun Allah menjadikan dunia ini melalui Dia, orang di dunia ini tidak mengenal Dia. Dia datang ke negeri-Nya sendiri, tetapi bangsa-Nya tidak menyambut Dia. Tetapi kepada mereka yang menyambut Dia dan percaya kepada-Nya, mereka diberikan-Nya hak menjadi anak Allah. Mereka menjadi anak Allah bukan dengan jalan dilahirkan oleh manusia, tetapi Allah sendiri menjadikan mereka anak-anak-Nya.
Firman itu sudah menjadi manusia dan tinggal antara kita. Kita nampak kemuliaan-Nya, kemuliaan yang diterima-Nya sebagi anak tunggal Bapa. Melalui Dia, kasih Allah dan Allah sendiri ditunjukkan kepada kita.
Yohanes memberikan kesaksian tentang Dia. Yohanes berseru, Inilah Dia yang aku katakan akan datang kemudian daripadaku, tetapi Dia lebih besar daripadaku, kerana Dia sudah ada sebelum aku dilahirkan.
Dia penuh kasih; Dia terus-menerus memberkati kita semua. Allah memberikan Taurat melalui Musa, tetapi melalui Yesus Kristus, Allah menyatakan kasih-Nya dan kesetiaan-Nya kepada kita. Tidak seorang pun pernah melihat Allah. Anak tunggal Bapa yang sama dengan Bapa dan di sisi Bapa, sudah menunjukkan Allah kepada kita.
Para penguasa orang Yahudi di Yerusalem mengutus imam-imam dan beberapa orang Lewi kepada Yohanes untuk bertanya kepadanya, Siapakah kamu?
Yohanes mengaku dengan terus terang, Aku bukan Penyelamat yang diutus oleh Allah.
Jika demikian, siapakah kamu? tanya mereka. Adakah kamu Elia?
Bukan, jawab Yohanes.
Adalah kamu Nabi itu? tanya mereka lagi.
Bukan, jawabnya.
Katakanlah siapa kamu ini, kata mereka, kerana kami mesti memberikan jawapan kepada mereka yang mengutus kami. Apa katamu tentang dirimu sendiri?
Yohanes menjawab dengan memetik ayat daripada Kitab Nabi Yesaya, Aku ini:
Seorang yang berseru di padang gurun: Luruskanlah jalan bagi Tuhan!
Mereka yang diutus oleh orang Farisi, kemudian bertanya kepada Yohanes, Jika kamu bukan Penyelamat yang diutus oleh Allah, atau Elia, atau Nabi itu, mengapa kamu membaptis orang?
Yohanes menjawab, Aku membaptis dengan air. Tetapi Dia yang tidak kamu kenal ada di kalangan kamu. Dia datang kemudian daripadaku, tetapi aku tidak layak mengurai tali kasut-Nya pun.
Semua ini berlaku di Betania, di sebelah timur Sungai Yordan tempat Yohanes membaptis orang.
Keesokan harinya Yohanes nampak Yesus datang kepadanya. Lalu Yohanes berkata, Lihatlah Anak Domba Allah yang menghapus dosa dunia! Dialah yang aku katakan akan datang kemudian daripada aku, tetapi yang lebih besar daripadaku kerana Dia sudah ada sebelum aku dilahirkan. Dahulu aku tidak tahu siapa Dia itu. Tetapi aku datang membaptis orang dengan air supaya bangsa Israel mengenal Dia.
Yohanes memberikan kesaksian ini, Dahulu aku belum mengetahui siapa Dia itu. Tetapi Allah yang menyuruh aku membaptis orang dengan air berfirman kepadaku, Engkau akan nampak Roh Allah turun lalu tinggal di atas seseorang. Dialah yang akan membaptis orang dengan Roh Allah. Aku nampak Roh Allah turun seperti burung merpati dari langit lalu tinggal di atas-Nya. Aku sudah nampak kejadian ini, kata Yohanes, dan aku memberitahu kamu bahawa Dialah Anak Allah.
Keesokan harinya Yohanes di tempat itu lagi dengan dua orang pengikutnya. Ketika dia nampak Yesus lalu di situ, dia berkata, Lihatlah Anak Domba Allah!
Kedua-dua orang pengikut itu mendengar kata-kata Yohanes lalu mengikuti Yesus. Yesus berpaling dan nampak mereka sedang mengikuti Dia. Lalu Yesus bertanya, Apa yang kamu cari?
Mereka menjawab, Rabbi, di manakah rabbi tinggal? (Dalam bahasa Ibrani rabbi bermakna guru.)
Marilah lihat, kata Yesus. (Masa itu kira-kira pukul empat petang.) Mereka pun mengikut Dia dan melihat tempat Yesus tinggal. Lalu mereka tinggal bersama-sama Dia pada hari itu.
Seorang daripada dua orang yang mendengar kata-kata Yohanes lalu pergi mengikut Yesus, ialah Andreas saudara Simon Petrus. Dengan segera Andreas mencari Simon, saudaranya dan berkata kepadanya, Kami sudah berjumpa dengan Mesias! (Mesias sama dengan Kristus). Kemudian Andreas membawa Simon kepada Yesus.
Yesus memandang dia lalu berkata, Kamu Simon anak Yohanes, tetapi kamu akan disebut Kefas. (Kefas sama dengan Petrus dan bermakna: bukit batu.)
Keesokan harinya Yesus mengambil keputusan untuk pergi ke Galilea. Dia berjumpa dengan Filipus, lalu berkata kepadanya, Ikutlah Aku! (Filipus berasal dari Betsaida, kota tempat Andreas dan Petrus tinggal.) Kemudian Filipus mencari Natanael dan berkata kepadanya, Kami sudah berjumpa dengan orang yang disebut oleh Musa di dalam Taurat, dan yang dituliskan oleh nab-nabi. Dia Yesus anak Yusuf dari Nasaret.
Tetapi Natanael berkata, Bolehkah sesuatu yang baik datang dari Nasaret?
Marilah lihat, jawab Filipus.
Apabila Yesus nampak Natanael datang kepada-Nya, Dia berkata tentang Natanael, Inilah orang Israel sejati; tiada kepalsuan padanya!
Natanael bertanya kepada Yesus, Bagaimana tuan mengenal saya?
Yesus menjawab, Sebelum Filipus memanggil kamu, Aku telah nampak kamu di bawah pokok ara itu.
Natanael berkata, Guru, Guru Anak Allah! Guru Raja bangsa Israel!
Yesus berkata pula, Adakah kamu percaya kerana Aku berkata Aku nampak kamu di bawah pokok ara itu? Kamu akan melihat perkara-perkara yang jauh lebih besar daripada hal ini! Lalu Yesus berkata kepada mereka, Percayalah, kamu akan melihat langit terbuka, dan malaikat-malaikat Allah naik turun pada Anak Manusia.
2 Dua hari kemudian, ada majlis perkahwinan di kota Kana di negeri Galilea. Ibu Yesus di sana. Yesus dan pengikut-pengikut-Nya juga dijemput ke majlis tersebut. Apabila wain sudah habis, ibu Yesus berkata kepada Yesus, Mereka kehabisan wain.
Yesus menjawab, Puan, janganlah suruh Aku. Saat-Ku belum tiba,
Kemudian ibu Yesus berkata kepada pelayan-pelayan di situ, Lakukan apa sahaja yang dikatakan-Nya kepada kamu.
Orang Yahudi mempunyai adat pembasuhan. Di situ ada enam buah tempayan untuk keperluan itu dan setiap tempayan isinya kira-kira seratus liter air. Yesus berkata kepada pelayan-pelayan itu, Isilah tempayan-tempayan ini dengan air. Mereka mengisi semua tempayan itu sehingga penuh. Lalu Yesus berkata kepada mereka, Sekarang ambillah sedikit air itu dan hidangkannya kepada ketua majlis. Mereka membawa air itu kepada ketua majlis. Ketua majlis itu mengecap air yang sudah berubah menjadi wain. Dia tidak tahu dari mana datangnya wain itu. (Hanya pelayan-pelayan yang menuang air itu yang mengetahuinya.) Oleh itu ketua majlis memanggil pengantin lelaki, lalu berkata kepadanya, Biasanya orang menghidangkan wain terbaik terlebih dahulu, lalu apabila para tetamu sudah puas minum barulah wain biasa dihidangkan. Tetapi kamu menyimpan wain terbaik sehingga sekarang!
Itulah mukjizat pertama yang dilakukan oleh Yesus di Kana di negeri Galilea. Dia menyatakan kemuliaan-Nya dan pengikut-pengikut-Nya percaya kepada-Nya.
Selepas itu Yesus, ibu-Nya, saudara-saudara-Nya, dan pengikut-pengikut-Nya pergi ke Kapernaum. Mereka tinggal di sana selama beberapa hari.
Apabila sudah hampir Perayaan Paska orang Yahudi, Yesus pergi ke Yerusalem. Di dalam Rumah Tuhan, Dia menjumpai orang menjual lembu, domba, dan burung merpati; penukar wang pun berniaga di situ. Yesus membuat cemeti daripada tali, lalu mengusir semua orang dan binatang itu keluar dari Rumah Tuhan, baik domba mahupun lembu. Dia menunggangbalikkan meja penukar wang sehingga wang mereka berhamburan. Dia berkata kepada penjual burung merpati, Angkat semuanya dari sini. Jangan jadikan rumah Bapa-Ku tempat berniaga! Pengikut-pengikut-Nya lalu teringat akan ayat Alkitab yang mengatakan, Kasih-Ku terhadap rumah-Mu, ya Allah, berkobar-kobar seperti api!
Para penguasa Yahudi bertanya kepada Yesus, Mukjizat apakah yang dapat kamu lakukan untuk membuktikan bahawa kamu berhak bertindak seperti ini?
Yesus menjawab, Runtuhkanlah Rumah Tuhan ini, lalu dalam tiga hari Aku akan membinanya lagi.
Engkau mahu membinanya lagi dalam tiga hari? tanya mereka. Empat puluh enam tahun sudah diperlukan untuk membina Rumah Tuhan ini!
Sebenarnya Rumah Tuhan yang dimaksudkan oleh Yesus itu tubuh-Nya sendiri. Oleh itu ketika Yesus dibangkitkan daripada kematian, pengikut-pengikut-Nya teringat bahawa Dia pernah mengatakan demikian. Lalu percayalah mereka kepada apa yang tertulis di dalam Alkitab dan kepada apa yang dikatakan oleh Yesus.
Sementara Yesus di Yerusalem pada masa Perayaan Paska, banyak orang percaya kepada-Nya kerana mukjizat-mukjizat yang dilakukan-Nya. Tetapi Yesus tidak mempercayakan diri-Nya kepada mereka, kerana Dia mengetahui hati manusia. Tidak perlu orang memberitahu Dia tentang sesiapa pun, kerana Dia mengetahui isi hati manusia.
3 Ada seorang pemimpin Yahudi bernama Nikodemus; dia daripada golongan Farisi. Pada suatu malam dia datang kepada Yesus lalu berkata kepada-Nya, Guru, kami tahu bahawa guru diutus oleh Allah untuk mengajar kami. Tidak seorang pun dapat melakukan mukjizat seperti yang guru lakukan, kecuali Allah menyertai dia.
Yesus menjawab, Percayalah, tidak seorang pun dapat menikmati Pemerintahan Allah kecuali dia dilahirkan semula.
Nikodemus bettanya, Bagaimanakah seorang dewasa dapat dilahirkan semula? Tidak mungkin dia masuk semula ke rahim ibunya lalu dilahirkan untuk kali kedua!
Yesus menjawab, Apa yang Aku katakan ini benar: Tidak mungkin seorang pun menikmati Pemerintahan Allah, kecuali dia dilahirkan daripada air dan daripada Roh Allah. Secara jasmani manusia dilahirkan oleh manusia, tetapi secara rohani manusia dilahirkan oleh Roh Allah. Janganlah hairan kerana Aku berkata kepadamu bahawa kamu semua mesti dilahirkan semula!
Angin bertiup ke mana sahaja angin mahu; kita mendengar bunyinya, tetapi tidak tahu dari mana datangnya dan ke mana perginya angin itu. Begitu juga halnya dengan setiap orang yang dilahirkan oleh Roh Allah.
Nikodemus bertanya, Bagaimanakah perkara ini boleh berlaku?
Yesus menjawab, Kamu guru terkenal di Israel. Adakah kamu tidak mengetahui perkara ini? Apa yang Aku katakan kepadamu benar: Kami mengatakan apa yang kami ketahui dan memberitahukan apa yang kami lihat, tetapi kamu tidak mahu menerimanya. Aku memberitahu kamu perkara-perkara dunia ini, tetapi kamu tidak percaya; bagaimana kamu boleh percaya apabila Aku memberitahu kamu perkara-perkara syurga? Tidak seorang pun pernah naik ke syurga, kecuali Anak Manusia yang turun dari syurga.
Sebagaimana ular gangsa ditinggikan oleh Musa pada sebatang kayu di padang gurun, begitu jugalah Anak Manusia harus ditinggikan, supaya semua orang yang percaya kepada Anak Manusia beroleh hidup sejati dan kekal. Allah sangat mengasihi orang di dunia ini sehingga Dia memberikan Anak-Nya yang tunggal, supaya setiap orang yang percaya kepada Anak itu tidak binasa tetapi beroleh hidup sejati dan kekal. Allah mengutus Anak-Nya ke dunia ini bukan untuk menghakimi dunia, tetapi untuk menyelamatkannya.
Sesiapa yang percaya kepada Anak itu tidak dihukum, tetapi sesiapa yang tidak percaya sudah dihukum kerana dia tidak percaya kepada Anak Allah yang tunggal. Penghakiman itu berdasarkan hal ini: Cahaya itu sudah datang ke dunia, tetapi manusia lebih menyukai kegelapan daripada cahaya kerana perbuatan mereka jahat. Sesiapa yang melakukan kejahatan membenci cahaya, dan tidak mahu datang kepada cahaya, supaya perbuatannya yang jahat tidak kelihatan. Tetapi sesiapa yang melakukan kehendak Allah datang kepada cahaya, supaya nyata bahawa perbuatan yang dilakukannya menurut kehendak Allah,
Setelah itu Yesus dan pengikut-pengikut-Nya pergi ke wilayah Yudea. Dia tinggal di situ dengan mereka untuk sementara waktu, dan Dia membaptis orang. Pada masa itu Yohanes belum dipenjarakan. Di Ainon, tempat yang tidak berapa jauh dari Salim, Yohanes membaptis orang kerana di situ terdapat banyak air. Orang datang kepadanya dan dia membaptis mereka.
Beberapa orang pengikut Yohanes mula bertengkar dengan seorang Yahudi tentang adat pembasuhan. Kemudian mereka pergi kepada Yohanes dan berkata, Adakah guru masih ingat akan orang yang bersama-sama guru di seberang Sungai Yordan itu, orang yang guru tunjukkan kepada kami dahulu? Lihatlah, sekarang dia membaptis orang dan semua orang pergi kepadanya!
Yohanes menjawab, Seseorang tidak dapat menerima sesuatu, jika Allah tidak memberikannya. Kamu sendiri menjadi saksiku bahawa aku pernah berkata, Aku bukan Penyelamat yang diutus oleh Allah, tetapi aku diutus terlebih dahulu daripada-Nya. Pengantin perempuan kepunyaan pengantin lelaki. Sahabat pengantin lelaki hanya menunggu dan mendengar, serta bersukacita apabila dia mendengar suara pengantin lelaki. Begitulah halnya dengan aku. Sekarang kegembiraanku sempurna. Dia mesti menjadi semakin penting dan aku semakin kurang penting.
Dia yang datang dari syurga paling utama daripada semua orang. Orang yang datang dari dunia tergolong orang dunia, dan dia bercakap tentang perkara-perkara dunia ini. Tetapi Dia yang datang dari syurga, Dialah yang paling utama! Dia memberitahukan apa yang dilihat-Nya dan didengar-Nya, tetapi tidak seorang pun menerima kesaksian-Nya. Tetapi orang yang menerima kesaksian-Nya mengakui bahawa apa yang difirmankan oleh Allah benar. Orang yang diutus oleh Allah menyampaikan firman Allah, kerana Allah mengurniakan Roh-Nya kepada Dia dengan sepenuhnya. Bapa mengasihi Anak-Nya dan sudah menyerahkan segala sesuatu di bawah kuasa-Nya. Sesiapa yang percaya kepada Anak itu beroleh hidup sejati dan kekal, tetapi sesiapa yang tidak taat kepada Anak itu tidak akan beroleh hidup itu. Dia akan dihukum oleh Allah selama-lamanya.
4 Orang Farisi mendengar bahawa Yesus mendapat dan membaptis lebih ramai pengikut daripada Yohanes. (Sebenarnya Yesus tidak membaptis sesiapa pun melainkan para pengikut-Nya yang melakukan hal itu.) Apabila Yesus tahu bahawa orang Farisi sudah mendengar hal itu, Dia meninggalkan Yudea lalu kembali ke Galilea. Dalam perjalanan-Nya ke sana Yesus harus melalui Samaria.
Di Samaria Yesus tiba di sebuah bandar bernama Sikhar, yang tidak jauh dari sebidang tanah yang dahulu diberikan oleh Yakub kepada Yusuf anaknya. Di situ ada sebuah perigi yang dahulunya milik Yakub. Yesus yang penat kerana perjalanan-Nya, duduk di pinggir perigi itu, Masa itu kira-kira pukul dua belas tengah hari dan pengikut-pengikut Yesus telah pergi ke bandar untuk membeli makanan.
Kemudian seorang wanita Samaria datang untuk menimba air. Yesus berkata kepadanya, Berilah Aku minum.
Wanita Samaria menjawab, Tuan orang Yahudi sedangkan saya orang Samaria. Mengapa tuan meminta minum daripada saya? (Orang Yahudi tidak mahu menggunakan cawan dan mangkuk yang pernah digunakan oleh orang Samaria.)
Yesus menjawab, Jika kamu tahu akan pemberian Allah, dan siapa yang meminta minum daripadamu, tentu kamu akan meminta minum daripada-Nya, lalu Dia akan mengurniakan air yang memberikan hidup kepadamu.
Tuan, kata wanita itu, tuan tidak mempunyai timba, lagi pun perigi ini sangat dalam. Dari mana tuan boleh mendapat air yang memberikan hidup? Nenek moyang kami, Yakub, memberikan pergi ini kepada kami. Dia, anak-anaknya, dan ternakannya minum dari perigi ini. Adakah tuan menyangka bahawa tuan lebih besar daripada Yakub?
Yesus berkata, Sesiapa yang minum air ini akan dahaga lagi; tetapi sesiapa minum air yang akan Aku berikan kepadanya, dia tidak akan dahaga selama-lamanya. Air yang akan Aku berikan itu menjadi suatu mata air yang memancar di dalam dirinya, dan memberi dia hidup sejati dan kekal.
Wanita itu berkata, Tuan, berilah saya air itu, supaya saya tidak dahaga lagi dan tidak usah kembali ke sini untuk menimba air,
Yesus menjawab, Pergilah panggil suamimu lalu kembalilah ke sini.
Wanita itu menjawab, Saya tidak bersuami.
Lalu Yesus berkata, Betul katamu bahawa kamu tidak bersuami. Kamu sudah berkahwin lima kali, dan lelaki yang tinggal denganmu sekarang ini bukan suamimu. Memang benar katamu.
Wanita itu berkata, Sekarang saya tahu bahawa tuan seorang nabi. Nenek moyang kami menyembah Allah di gunung ini, tetapi bangsa tuan berkata bahawa hanya di Yerusalem orang dapat menyembah Allah.
Yesus berkata kepadanya, Percayalah, akan tiba masanya orang tidak lagi menyembah Bapa di gunung ini ataupun di Yerusalem. Kamu orang Samaria sebenarnya tidak mengenal yang kamu sembah; tetapi kami orang Yahudi mengenal yang kami sembah, kerana penyelamatan datang daripada orang Yahudi. Masanya akan tiba, malahan sudah tiba, apabila dengan kuasa Roh Allah orang akan menyembah Bapa sebagai Allah yang benar seperti yang dikehendaki oleh Bapa. Allah itu Roh, dan hanya dengan kuasa Roh Allah orang dapat menyembah Bapa sebagai Allah yang benar.
Wanita itu berkata kepada Yesus, Saya tahu Penyelamat yang diutus oleh Allah, yang disebut Kristus, akan datang. Apabila Dia datang Dia akan memberitahu kita segala-galanya.
Yesus menjawab, Akulah Dia; Aku yang sekarang sedang bercakap dengan kamu.
Pada waktu itu, pengikut-pengikut Yesus kembali. Mereka hairan melihat Yesus bercakap dengan seorang wanita. Tetapi tidak seorang pun daripada mereka bertanya kepada wanita itu, Mahu apa? atau betanya kepada Yesus, Mengapa Guru bercakap dengan wanita ini?
Kemudian wanita itu meninggalkan buyung airnya lalu balik ke bandar dan memberitahu orang di bandar. Dia berkata, Marilah lihat orang yang memberitahu saya segala sesuatu yang pernah saya lakukan. Mungkinkah dia Penyelamat yang diutus oleh Allah? Oleh itu penduduk di situ meninggalkan bandar lalu pergi kepada Yesus,
Sementara itu pengikut-pengikut-Nya mengajak Yesus makan, Guru, silalah makan!
Tetapi Yesus menjawab, Akun mempunyai makanan yang tidak kamu ketahui.
Pengikut-pengikut-Nya mula bertanya sesama sendiri, Adakah orang sudah membawa makanan untuk-Nya?
Yesus berkata, Makanan-Ku itu melakukan kehendak Dia yang mengutus Aku, dan menyelesaikan pekerjaan yang diserahkan-Nya kepada-Ku. Kamu berkata, Masih empat bulan lagi sebelum musim menuai. Tetapi Aku berkata kepada kamu, pandanglah ladang yang sudah menguning, siap unyuk dituai! Orang yang menuai tuaian menerima upah serta mengumpulkan hasil untuk hidup sejati dan kekal. Oleh itu orang yang menabur benih dan orang yang menuai tuaian boleh bergembira bersama-sama. Benarlah pepatah ini: Yang seorang menanam, yang lain menuai. Aku menyuruh kamu menuai tuaian di ladang yang tidak kamu usahakan; orang lain sudah bekerja di sana, dan sekarang kamu mendapat hasil pekerjaan mereka.
Banyak orang Samaria di bandar itu percaya kepada Yesus kerana wanita itu berkata, Dia memberitahu saya segala sesuatu yang pernah saya lakukan. Oleh itu, apabila semua orang Samaria ini berjumpa dengan Yesus, mereka memohon supaya Yesus tinggal bersama-sama mereka. Lalu Yesus tinggal di situ selama dua hari.
Lebih banyak lagi orang percaya kepada Yesus kerana ajaran-Nya. Mereka berkata kepada wanita itu, Kami sekarang percaya, bukan kerana apa yang kamu katakan kepada kami, tetapi kerana kami sendiri sudah mendengar Dia dan kami tahu bahawa Dia Penyelamat dunia.
Setelah Yesus tinggal di sana selama dua hari, Dia pergi ke Galilea. Yesus berkata, Seorang nabi tidak dihormati di negerinya sendiri. Apabila Dia tiba di Galilea, orang di sana menyambut Dia. Mereka telah melihat segala yang dilakukan-Nya di Yerusalem pada Perayaan Paska.
Kemudian Yesus kembali ke Kana di Galilea, tempat Dia pernah mengubah air menjadi wain. Di situ ada seorang pegawai kerajaan; anak lelakinya sedang sakit di Kapernaum. Apabila dia mendengar bahawa Yesus telah datang ke Galilea dari Yudea, dia pergi menjumpai Yesus. Dia meminta Yesus pergi ke Kapernaum dan menyembuhkan anaknya yang hampir meninggal. Tetapi Yesus berkata kepadanya, Jika kamu semua tidak melihat mukjizat dan perkara yang luar biasa, kamu tidak percaya.
Pegawai itu menjawab, Tuan, marilah pergi dengan saya sekarang, sebelum anak saya meninggal.
Lalu Yesus berkata, Pergilah, anakmu akan sembuh.
Orang itu percaya kepada kata-kata Yesus lalu pergi. Dalam perjalanannya ke rumah, hamba-hamba orang itu menjumpai dia, dan berkata bahawa anak lelakinya sudah sembuh.
Lalu pegawai itu bertanya pukul berapa anaknya mula sembuh. Mereka menjawab, Kelmarin pada pukul satu petang demamnya hilang. Bapa anak itu teringat bahawa pada masa itu Yesus berkata kepadanya, Anakmu akan sembuh. Lalu dia dan keluarganya percaya kepada Yesus.
Inilah mukjizat kedua yang dilakukan oleh Yesus di Galilea setelah Dia datang dari Yudea.
5 Selepas itu ada satu perayaan Yahudi dan Yesus pergi ke Yerusalem. Di Yerusalem dekat Pintu Domba ada sebuah kolam yang dalam bahasa Ibrani dinamakan Betesda. Kolam ini dikelilingi lima buah serambi. Banyak orang sakit berbaring di serambi-serambi itu - yang buta, yang tempang, dan yaqng lumpuh. Mereka semua menunggu air di kolam itu berkocak, kerana ada kalanya malaikat Tuhan turun ke dalam kolam itu dan mengocakkan airnya, lalu orang sakit yang pertama masuk ke dalam kolam itu semasa air berkocak akan sembuh daripada penyakit apa pun yang dihidapnya. Di situ terdapat seorang lelaki yang sudah sakit selama tiga puluh lapan tahun. Yesus nampak dia terbaring di situ, dan Dia tahu bahawa orang itu sudah lama sekali sakit. Oleh itu Yesus bertanya kepadanya, Mahukah kamu sembuh?
Orang sakit itu menjawab, Tuan, tiada sesiapa pun di sini yang dapat memasukkan saya ke dalam kolam apabila air berkocak. Sementara saya mencuba masuk ke dalam kolam, orang lain telah mendahului saya.
Yesus berkata kepadanya, Bangunlah, angkatlah tikarmu, dan berjalanlah. Pada saat itu juga orang itu sembuh. Dia mengangkat tikarnya lalu berjalan.
Hal ini berlaku pada hari Sabat.
Oleh itu para penguasa Yahudi berkata kepada orang yang baru disembuhkan itu, Hari ini hari Sabat; kamu melanggar Taurat kita kerana mengangkat tikar.
Tetapi orang itu menjawab, Orang yang menyembuhkan saya tadi menyuruh saya mengangkat tikar dan berjalan.
Mereka bertanya, Siapakah orang yang menyuruh kamu mengangkat tikar dan berjalan?
Orang yang baru disembuhkan itu tidak tahu siapa orang itu, kerana Yesus sudah menghilang antara orang ramai di tempat itu.
Tidak lama kemudian, Yesus berjumpa dengan dia di dalam Rumah Tuhan dan berkata kepadanya, Sekarang kamu sudah sembuh. Janganlah berdosa lagi, supaya kamu tidak ditimpa perkara yang lebih dahsyat.
Kemudian orang itu pergi dan memberitahu para penguasa Yahudi bahawa Yesuslah yang menyembuhkan dia. Oleh itu, mereka mula memusuhi Yesus, kerana Dia menyembuhkan orang pada hari Sabat.
Tetapi Yesus berkata kepada mereka, Bapa-Ku sentiasa bekerja; Aku pun harus bekerja.
Kata-kata-Nya ini membuat para penguasa Yahudi semakin bertekad untuk membunuh Dia. Bukan sahaja Dia telah melanggat hukum hari Sabat, tetapi Dia berkata bahawa Allah itu Bapa-Nya. Hal ini bererti Dia menyamakan diri dengan Allah
Yesus menjawab mereka, Percayalah, Anak tidak dapat melakukan apa-apa menurut kehendak-Nya sendiri. Dia hanya melakukan apa yang dilihat-Nya dilakukan oleh Bapa-Nya. Apa yang dilakukan oleh Bapa, perkara itu juga yang dilakukan oleh Anak. Bapa mengasihi Anak dan menunjukkan segala yang dilakukan-Nya kepada-Nya. Dia akan menyatakan perkara-perkara yang lebih besar lagi kepada Anak sehingga kamu semua hairan. Sebagaimana Bapa membangkitkan orang mati dan menyebabkan mereka hidup, begitu juga Anak memberikan hidup kepada orang yang dikehendaki-Nya. Bapa tidak menghakimi sesiapa pun. Dia sudah menyerahkan segala kekuasaan untuk menghakimi orang kepada Anak-Nya. Oleh itu semua orang menghormati Anak sebagaimana mereka menghormati Bapa. Orang yang tidak menghormati Anak, juga tida menghormati Bapa yang mengutus Anak.
Sungguh benar kata-kata-Ku ini: Sesiapa yang mendengar kata-kata-Ku dan percaya kepada Dia yang mengutus Aku, beroleh hidup sejati dan kekal, Dia tidak akan dihukum, melainkan sudah terlepas daripada kematian dan mulai benar-benar hidup. Percayalah: Akan tiba masanya, malah sudah tiba, apabila orang mati akan mendengar suara Anak Allah, dan orang yang mendengarkan apa yang dikatakan-Nya akan hidup. Sebagaimana Bapa sendiri sumber hidup, Dia menjadikan Anak-Nya sumber hidup juda. Dia sudah memberikan kuasa kepada Anak untuk menghakimi, kerana Anak itu Anak Manusia. Janganlah kamu hairan mendengar hal ini, kerana akan tiba masanya apabila semua orang mati akan mendengar suara-Nya, lalu keluar dari kubur. Orang yang berbuat baik dan hidup, tetapi orang yang berbuat jahat akan bangkit dan dihukum.